HUKUM SOLAT SUNAT HAJAT BERJEMAAH

18 Nov

TUJUAN

Kertas ini adalah disediakan untuk pertimbangan semula Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berkenaan fatwa yang telah dikeluarkan sebelum ini berkenaan hukum solat sunat berjemaah.

LATAR BELAKANG

Fatwa Negeri Perlis yang disiarkan di laman web rasmi Fatwa Malaysia iaitu www.e-fatwa.gov.my telah menimbulkan keraguan berkenaan harusnya solat sunat hajat berjemaah di mana fatwa ini dilihat bercanggah dengan pendapat ulama-ulama muktabar Ahli Sunnah wal Jamaah as-Salafiyyah yang merupakan pegangan negeri Perlis.

Oleh itu, fatwa tersebut perlu disemak semula mengikut garis panduan dan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah menurut as-Salaf as-Soleh.

HUKUM SOLAT SUNAT HAJAT DAN PENSYARIATANNYA

Para Ulama’ telah berbeza pandangan berkenaan dengan hukum solat hajat ini sama ada ianya disyariatkan atau tidak. Jumhur Ulama’ menetapkan adanya solat ini berdalilkan hadis yang dikeluarkan oleh Imam at-Tarmizi (w279) dan Ibn Majah (w273H) dalam sunan keduanya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ لاَ تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Abi Aufa katanya: Bersabda Rasulullah S.A.W: “Sesiapa yang ada hajat kepada Allah (memohon sesuatu pada Allah) atau hendak mendapat sesuatu dari manusia, maka hendaklah dia berwudhu’ dan memperelokkan wudhu’ kemudian solat dua rakaat. Setelah itu (selepas solat) hendaklah dia memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi S.A.W (pembukaan doa) kemudia berdoa:

“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Penyantun lagi Maha Mulia, Maha Suci Allah Tuhan ‘Arasyh yang agung, segala puji bagi Allah Tuhan semesta Alam, Aku bermohon mendapat rahmat-Mu dan mendapat kemapunan-Mu dan mendapat segala kebaikan dan keselamatan dari segala dosa, Janganlah Engkau biarkan aku berdosa melainkan Engkau ampunkan, dan jangan pula Kau biarkan aku susah melainkan Engkau tolong dan jangan biarkan aku berhajat sesuatu yang Engkau Redha melainkan Engkau tunaikan Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih”.

Dalam riwayat Ibn Majah ditambah Sabda Nabi S.A.W:

Kemudia hendaklah dia memohon hajatnya itu”.[ Sunan at-Tarmizi (no.476) tahkik Ahmad Syakir dll, Ibn Majah (no.1384) Tahkik Muhmmad Fuad Abdul Baqi].

Hadis ini didha’ifkan oleh Imam at-Tarmizi sendiri, Muhaddith Diyar asy-Syamiah Muhammad Nasiruddin al-Albani (w1999M), dan al-Hafiz al-Mubarakfuri (w1353H)[ Rujuk at-Tarmizi, Abu Isa, Sunan at-Tarmizi, 2/344. cet.Dar Ihya at-Turath al-Arabi, tahqiq Ahmad Syakir dll, Takhrij al-Albani dan al-Mubarakfuri,Muhammad Abdul Rahman, Tuhfatul Ahwazi, 2/590&560,cet. Dar al-Fikr].

Maka ulama’ Hadis melihat solat Hajat ini adalah bidaah dan tidak disunnahkan. Namun, al-Imam Ibn Majah R.H mendatangkan sebuah hadis sebagai penguat wujudnya solat hajat ini iaitulah:

عن عثمان بن حنيف :أن رجلا ضرير البصر أتى النبي صلى الله عليه و سلم فقال ادع الله أن يعافيني . فقال ( إن شئت أخرت لك وهو خير . وإن شئت دعوت ) فقال ادعه . فأمره أن يتوضأ فيحسن وضوءه . ويصلي ركعتين . ويدعو بهذا الدعاء ( اللهم إني أسألك وأتوجه إليك بمحمد نبي الرحمة . يا محمد إني قد توجهت بك إلى ربي في حاجتي هذه لتقضى . اللهم فشفعه في )

Maksudnya: Daripada Usman bin Hanif R.A: Bahawa seorang lelaki yang cacat penglihatannya datang bertemu Nabi S.A.w lalu berkata: “Berdoalah kepada Allah supaya disembuhkan aku ini”. Maka Nabi bersabda: “Jika engkau mahu engkau tangguhkanlah (bersabar dengan penyakit) dan ini lebih baik tetapi jika engkau mahu juga aku boleh doakan”. Jawab lelaki itu: “Berdoalah”. Maka Nabi S.A.W menyuruhnya berwudhu’ dan memperelokkan wudhu’nya dan solat dua rakaat serta berdoa dengan doa ini: “Ya Allah sesungguhnya aku bermohon kepada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan Muhammad Nabi Rahmat”, Wahai Muhammad aku bermohon dengan (doa)mu kepada Tuhanku dalam hajatku untuk ditunaikan.”Ya Allah syafaatkanlah dia dalam hak(urusan)ku”.

Hadis ini sahih dikeluarkan oleh at-Tamizi, an-Nasai, Ibn Khuzaimah dan al-Hakim. At-Tabrani mengeluarkannya dengan tambahan yang syaz[1].

Demikian juga ada sebuah hadis yang dikeluarkan Imam Ahmad bin Hanbal dalam Musnad-nya daripada Abu ad-Darda’ R.A sabda Nabi S.A.W:

من توضأ فاسبغ الوضوء ثم صلى ركعتين يتمهما أعطاه الله ما سأل معجلا أو مؤخرا

Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu’ lalu memperelokkan wudhu’ kemudian solat dua rakaat dielokkan kedua rakaatnya Allah akan memberinya apa yang dia minta sama ada cepat atau lambat”.

Hadis ini dinilai dhaif oleh al-Albani (al-Albani, Muhammad Nasir ad-Din, Tamamul Minnah fi at-Takliq ‘ala Fiqhis Sunnah, hal 260,cet. Dar ar-Rayah 1409H) dan al-Arnauth (Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, 6/442, Muassasah Qurtubah-Qaherah, Muazyyal bi Ahkam al-Arnauth). Namun, hadis Ibn Majah yang tersebut adalah sahih dan mentsabitkan adanya solat hajat. Wallahua’lam.

Walaubagaimanapun tidak warid adanya solat hajat ini dibuat secara berjemaah dalam mana-mana hadis ini.

 

 

HUKUM BERJEMAAH DALAM SOLAT SUNAT

Perintah solat berjemaah warid untuk solat fardhu yang lima, solat jumaat. Solat Jenazah dan beberapa jenis solat sunat iaitu solat Tarawih, solat Eid, Solat gerhana dan solat istisqa’. Adapun solat sunat selain ini tidak disyariatkan berjemaah. Ini berdasarkan qaedah:

الأصل في العبادات الحظر والتوقيف

Maksudnya: “Asal dalam perkara Ibadat itu adalah dilarang dan terhenti” –[as-Syeikh, Walid bin Rasyid Saidan, Risalah fi at-Tafriq baina Asl al-Ibadah wa Wasfiha, hal. 3, Maktabah al-Meshkat.net]

Maka termasuklah dhabit qaedah ini:

الأصل في صفة العبادة الوقف على الدليل

Maksudnya: “Asal dalam sifat ibadat itu adalah terhenti atas dalil”-[ibid]

Oleh kerana tidak ada dalil menunjukkan bahawa Solat Hajat itu pernah dikerjakan secara berjemaah oleh baginda Nabi S.A.W maka hukumnya adalah tidak disyariatkan.

Adapun para Ulama’ telah menjelaskan bahawa hukum solat berjemaah bagi solat tatawwu’ adalah diharuskan jika tidak diambil sebagai suatu kemestian dan kelaziman.

Berkata Ibn Qudamah:

يَجُوزُ التَّطَوُّعُ جَمَاعَةً وَفُرَادَى ؛ { لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَ الْأَمْرَيْنِ كِلَيْهِمَا ، وَكَانَ أَكْثَرُ تَطَوُّعِهِ مُنْفَرِدًا ، وَصَلَّى بِحُذَيْفَةَ مَرَّةً ، وَبِابْنِ عَبَّاسٍ مَرَّةً ، وَبِأَنَسٍ وَأُمِّهِ وَالْيَتِيمِ مَرَّةً ، وَأَمَّ أَصْحَابَهُ فِي بَيْتِ عِتْبَانَ مَرَّةً ، وَأَمَّهُمْ فِي لَيَالِي رَمَضَانَ ثَلَاثًا }

Maksudnya: “Harus solat tatawwu’ secara berjemaah dan sendiri-sendiri kerana Nabi S.A.W melakukan kedua-duanya dan kebanyakan tatawwu’ baginda adalah seorang diri dan baginda bersolat (jemaah) dengan Huzaifah sekali, dengan Ibn Abbas sekali dan dengan Anas beserta ibunya dan seorang anak yatim sekali dan bersama para sahabat baginda di rumah Atban sekali dan mengimamkan mereka di malam-malam Ramadhan (terawih)”.-[Ibn Qudamah,al-Mughni]

Pernyataan Ibn Qudamah ini meletakkan syarat solat tatawwu’ yang hendak dilakukan secara berjemaah itu hendaklah sekali sekali dan tidak dilazimi. Fuqaha’ juga meletakkan syarat supaya ianya tidak dilakukan secara masyhur dan di tempat yang masyhur seperti di Masjid. Kata as-Syeikh Abul Barakat ad-Dardir al-Maliki:

وأما غير الفرض فمنه ما لجماعة فيه مستحبة كعيد وكسوف واستسقاء أو تراويح ومنه ما تكره فيه كجمع كثير في نفل أو مشتهر بمكان قليل وإلا جازت

Maksudnya: “dan adapun selain solat fardhu maka berjemaah padanya (solat) ada yang mustahab seperti eid dan gerhana dan istisqa’ atau Terawih dan ada yang dimakruhkan seperti dalam bentuk yang ramai dalam solat sunat atau di tempat yang masyhur jika tidak maka harus”.-[ad-Dardir, Abul Barakat, as-Syarh al-Kabir, 1/320, Dar al-Fikr]

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah R.H [Majmu’ al-Fatawa,23/133]:

وَأَمَّا الصَّلَاةُ فِيهَا جَمَاعَةً فَهَذَا مَبْنِيٌّ عَلَى قَاعِدَةٍ عَامَّةٍ فِي الِاجْتِمَاعِ عَلَى الطَّاعَاتِ وَالْعِبَادَاتِ فَإِنَّهُ نَوْعَانِ أَحَدُهُمَا سُنَّةٌ رَاتِبَةٌ إمَّا وَاجِبٌ وَإِمَّا مُسْتَحَبٌّ كَالصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ وَالْجُمُعَةِ وَالْعِيدَيْنِ . وَصَلَاةِ الْكُسُوفِ وَالِاسْتِسْقَاءِ وَالتَّرَاوِيحِ فَهَذَا سُنَّةٌ رَاتِبَةٌ يَنْبَغِي الْمُحَافَظَةُ عَلَيْهَا وَالْمُدَاوَمَةُ . وَالثَّانِي مَا لَيْسَ بِسُنَّةِ رَاتِبَةٍ مِثْلَ الِاجْتِمَاعِ لِصَلَاةِ تَطَوُّعٍ مِثْلَ قِيَامِ اللَّيْلِ أَوْ عَلَى قِرَاءَةِ قُرْآنٍ أَوْ ذِكْرِ اللَّهِ أَوْ دُعَاءٍ . فَهَذَا لَا بَأْسَ بِهِ إذَا لَمْ يُتَّخَذْ عَادَةً رَاتِبَةً . فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى التَّطَوُّعَ فِي جَمَاعَةٍ أَحْيَانًا وَلَمْ يُدَاوِمْ عَلَيْهِ إلَّا مَا ذُكِرَ وَكَانَ أَصْحَابُهُ إذَا اجْتَمَعُوا أَمَرُوا وَاحِدًا مِنْهُمْ أَنْ يَقْرَأَ وَالْبَاقِي يَسْتَمِعُونَ . وَكَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ يَقُولُ لِأَبِي مُوسَى ذَكَرْنَا رَبَّنَا فَيَقْرَأُ وَهُمْ يَسْتَمِعُونَ وَقَدْ رُوِيَ { أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَلَى أَهْلِ الصُّفَّةِ وَمِنْهُمْ وَاحِدٌ يَقْرَأُ فَجَلَسَ مَعَهُمْ } وَقَدْ رُوِيَ فِي الْمَلَائِكَةِ السَّيَّارِينَ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ مَجَالِسَ الذِّكْرِ الْحَدِيثُ الْمَعْرُوفُ . فَلَوْ أَنَّ قُومَا اجْتَمَعُوا بَعْضَ اللَّيَالِي عَلَى صَلَاةِ تَطَوُّعٍ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَتَّخِذُوا ذَلِكَ عَادَةً رَاتِبَةً تُشْبِهُ السُّنَّةَ الرَّاتِبَةَ لَمْ يُكْرَهْ . لَكِنَّ اتِّخَاذَهُ عَادَةً دَائِرَةً بِدَوَرَانِ الْأَوْقَاتِ مَكْرُوهٌ لِمَا فِيهِ مِنْ تَغْيِيرِ الشَّرِيعَةِ وَتَشْبِيهِ غَيْرِ الْمَشْرُوعِ بِالْمَشْرُوعِ .

Maksudnya: “Adapun melakukan solat secara berjemaah maka ia terbina di atas qaedah am dalam melakukan ketaatan dan ibadat secara berkumpulan, pertamanya adalah sunat ratibah (yang dilazimi) sama ada dengan hukum wajib atau sunat seperti solat jemaah 5 waktu, solat jumaat , solat dua hari raya, solat gerhana, solat istisqa’, dan solat terawih maka ini disunatkan secara tetap dan dikehendaki sentiasa berjemaah padanya. Keduanya apa yang tidak disunatkan secara tetap seperti berjemaah dalam solat sunat seperti qiamullail, membaca al-Quran, berzikir atau berdoa. Amalan ini diharuskan berjemaah jika tidak diambil sebagai kebiasaan yang selalu diamalkan kerana Nabi S.A.W melakukan solat tatawwu’ secara berjemaah kadang-kadang sahaja dan tidak dilazimi melainkan solat yang telah disebut (terawih, istisqa’ dll) dan para sahabat baginda apabila mereka berhimpun mereka akan menyuruh salah seorang membaca al-Quran dan yang lain mendengar dan diriwayatkan bahawa Nabi S.A.W keluar dari rumah baginda dan mendapati ada ahli suffah yang memebaca al-Quran lalu baginda duduk mendengarnya. Begitu juga diriwayatkan malaikat sayyarin yang mengikuti majlis-majlis zikir dalam hadis yang telah dikenali. Jika ada satu kaum yang berkumpul pada sebahgaian malam untuk bersolat sunat tanpa mengambilnya sebagai adat kelaziman sehingga menyerupai sunat ratibah maka tidaklah makruh. Tetapi jika dijadikan sebagai kelaziman dan sentiasa berulang-ulang hukumnya makruh kerana mengubah syariat dan menyamakan sesuatu yang tidak disyariatkan dengan yang disyariatkan (bidaah)”-[Ibn Taimiyyah, Taqiyyuddin, Syeikh al-Islam, Majmuk al-Fatawa, 23/132 & 133, cet. Dar al-Wafa’, 1426H-2005M]

Begitu juga Ibn Taimiyyah menjelaskan sebagai berikut:

وَمَعْلُومٌ أَنَّ الصَّوَابَ هُوَ مَا جَاءَتْ بِهِ السُّنَّةُ فَلَا يُكْرَهُ أَنْ يَتَطَوَّعَ فِي جَمَاعَةٍ . كَمَا فَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ . وَلَا يَجْعَلُ ذَلِكَ سُنَّةً رَاتِبَةً كَمَنْ يُقِيمُ لِلْمَسْجِدِ إمَامًا رَاتِبًا يُصَلِّي بِالنَّاسِ بَيْنَ الْعِشَاءَيْنِ أَوْ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ كَمَا يُصَلِّي بِهِمْ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ كَمَا لَيْسَ لَهُ أَنْ يَجْعَلَ لِلْعِيدَيْنِ وَغَيْرَهُمَا أَذَانًا كَأَذَانِ الْخَمْسِ ؛ وَلِهَذَا أَنْكَرَ الصَّحَابَةُ عَلَى مَنْ فَعَلَ هَذَا مِنْ وُلَاةِ الْأُمُورِ إذْ ذَاكَ

Maksudnya: “dan maklum yang benar adalah apa yang datang daripada sunnah tidak dimakruhkan solat tatawwu’ berjemaah seperti yang dibuat oleh Nabi S.A.W dan jangan pula dijadikan perbuatan itu sebagai sunat ratibah seperti dijadikan seorang Imam ratib di masjid mengimami manusia bersolat antara maghrib dan isya’ atau di tengah malam (qiyamullail) seolah-olah solat fardhu 5 waktu, seperti mana juga tidak boleh diazankan untuk solat hari raya dan lainnya seperti solat 5 waktu; oleh sebab itu para sahabat mengingkari orang yang membuatnya daripada kalangan pemimpin waktu itu”-[Majmuk al-Fatawa, 23/112].

Ksimpulan daripada fatwa para fuqaha’ ini adalah boleh dilakukan solat sunat yang tidak disyariatkan berjemaah dengan syarat-syarat berikut:

1-         Tidak dijadikan sebagai satu kebiasaan dan amalan yang diamalkan selalu

2-         Tidak dilakukan secara masyhur dan di tempat yang masyhur seperti masjid atau musolla.

 

DALIL-DALIL HUKUM DI ATAS

Dalil diharuskan bersolat jemaah dalam solat tatawwu’ adalah beberapa hadis berikut:

عَنْ عِتْبَانَ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَاهُ فِي مَنْزِلِهِ فَقَالَ أَيْنَ تُحِبُّ أَنْ أُصَلِّيَ لَكَ مِنْ بَيْتِكَ قَالَ فَأَشَرْتُ لَهُ إِلَى مَكَانٍ فَكَبَّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَفَفْنَا خَلْفَهُ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: Daripada Atban bin Malik bahawa Nabi S.A.W datang ke rumahnya lalu berkata: “Di manakah tempatnya yang engkau suka supaya aku bersolat  untukmu (menjadi imam) di rumah mu ini?” Jawab Atban: “Aku tunjukkan padanya sebuah tempat maka Nabi S.A.W bertakbir dan kami mendirikan saf di belakangnya dan baginda solat dua rakaat bersama kami”-[al-Bukhari (424) & Muslim (33)]

عن أنس بن مالك أن جدته مليكة دعت رسول الله صلى الله عليه و سلم لطعام صنعته فأكل منه ثم قال  قوموا فأصلي لكم قال أنس بن مالك فقمت إلى حصير لنا قد اسود من طول ما لبس فنضحته بماء فقام عليه رسول الله صلى الله عليه و سلم وصففت أنا واليتيم وراءه والعجوز من ورائنا فصلى لنا رسول الله صلى الله عليه و سلم ركعتين ثم انصرف

Maksudnya: Daripada Anas b. Malik katanya bahawa neneknya Malikah menjemput Rasulullah S.A.W untuk makan (di rumahnya) lalu setelah makan baginda bersabda: “Bagunlah aku akan bersolat (mengimamkan) kamu”. Kata Anas bin Malik: “Maka aku bangun dan ambil sebuah tikar milik kami yang telah menjadi kehitaman kerana lamanya lalu aku renjis dengan air dan Rasulullah S.A.W berdiri (atasnya) dan membuat saf aku dengan seorang budak yatim dan di belakang golongan wanita lalu baginda bersolat mengimamkan kami dua rakaat kemudian baginda pulang”.-[Muslim (658), Abu Daud (612), at-Tirmizi (234), an-Nasai (801), Ahmad (12362), (12529), (12703)]

Berkata al-Azhim al-Abadi (w.1310H/1892M) dalam Aunul Ma’bud[2/225, cet. Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut-Lubnan, cet.ke-2, 1415H]:

قال الخطابي قلت فيه من الفقه جواز صلاة الجماعة في التطوع

Maksudnya: “Berkata al-Khattabi: Aku berpendapat bahawa dalam hadis ini terhadap faedah fiqh diharuskan solat berjemaah bagi solat tatawwu’ (sunat)”

عن أنس قال:دخل النبي صلى الله عليه و سلم علينا وما هو إلا أنا وأمي وأم حرام خالتي فقال قوموا فلأصلي بكم ( في غير وقت صلاة ) فصلى بنا فقال رجل لثابت أين جعل أنسا منه ؟ قال جعله على يمينه ثم دعا لنا أهل البيت بكل خير من خير الدنيا والآخرة فقالت أمي يا رسول الله خويدمك ادع الله له قال فدعا لي بكل خير وكان في آخر ما دعا لي به أن قال اللهم أكثر ماله وولده وبارك له فيه

Maksudnya:  Daripada Anas katanya: Rasulullah S.A.W datang ke rumah kami dan yang ada di rumah hanyalah aku, ibuku dan Ummu Haram Ibu saudaraku (sebelah ibu) lalu bersabda: “Bangunlah aku akan solat dengan kamu (dalam waktu bukan waktu solat fardhu)”lalu baginda bersolat bersama kami. Berkata seorang lelaki kepada Tsabit (perawi) : Di mana Rasulullah meletakkan Anas? Jawab Tsabit: Di sebelah kanan baginda. (kata Anas) Kemudian baginda mendoakan kebaikan bagi kami sekeluarga di dunia dan akhirat. Lalu ibuku berkata: Wahai Rasulullah, doakanlah khadam kecilmu ini (Anas). Lalau baginda mendoakan dengan semua kebaikan dan akhir sekali baginda mendoakan adalah dengan doa: Ya Allah, banyakkan hartanya dan anaknya dan berkati dia padanya.- [Muslim (660), Abu Daud (608), Ahmad (13619)]

Dalam riwayat Ahmad disebut:

فصلى بنا تطوعا

Maksudnya: “Lalu baginda bersolat dengan kamu solat tatawwu'”.

An-Nawawi (w.679H/ 1278M) bahawa peristiwa dalam hadis ini adalah berlaku pada hari lain bukan hari yang Rasulullah S.A.W dijemput oleh Malikah nenek Anas [al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Bin Hajjaj, 5/126, cet. 2, 1392H, Dar al-Ihya’ at-Turath al-Arabi-Beirut].

Berkata al-Azhim al-Abadi [Aunul Ma’bud, 2/223, 2/225, cet. Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut-Lubnan, cet.ke-2, 1415H]” 

وقال بعضهم ولعل النبي صلى الله عليه و سلم أراد تعليمهم أفعال الصلاة مشاهدة مع تبريكهم فإن المرأة قلما تشاهد أفعاله صلى الله عليه و سلم في المسجد فأراد أن تشاهدها وتتعلمها وتعلمها غيرها

Maksudnya: “dan berkata sebahagian mereka (ulama’) dan mudah-mudahan Nabi S.A.W ingin mengajar mereka solat secara langsung dan memberkati mereka sekaligus kerana wanita itu jarang melihat perbuatan (gerak-geri) solat baginda S.A.W di Masjid maka baginda ingin mereka melihatnya dan belajar darinya kemudian mengajarkan pula selain mereka (daripada wanita)”.

Jadi jelas di sini bahawa Nabi S.A.W bukanlah sengaja bersolat tatawwu’ berjemaah tetapi dengan tujuan mengajar.

Daripada hadis-hadis ini menunjukkan harus berjemaah dalam solat sunat dan dalil bahawa solat sunat berjemaah itu bukanlah sesuatu yang dilazimi bahkan kekadang sahaja dilakukan baginda Nabi S.A.W.

Demikian juga dalil bahawa solat sunat tatawwu’ itu jika dilakukan secara berjemaah di lakukan dalam rumah dalam bilangan yang kecil dan tidak masyhur.

Demikian juga telah tsabit perintah supaya solat sunat itu dilakukan di selain masjid terutama di rumah sebagaimana hadis al-Bukhari (1187):

اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلَاتِكُمْ وَلَا تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا

Maksudnya: “Jadikan di rumah-rumah kamu itu sebahagian daripada solat kamu (solat tatawwu’) dan jangan jadikan ianya (rumah) seperti kubur”.-[al-Bukhari, Bab Solat Tatawwu’ di Rumah].

عَنْ مُجَاهِدٍ قَالَ:دَخَلْتُ أَنَاوَعُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ الْمَسْجِدَ فَإِذَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا جَالِسٌ إِلَى حُجْرَةِ عَائِشَةَ وَإِذَا نَاسٌ يُصَلُّونَ فِي الْمَسْجِدِ صَلَاةَ الضُّحَى قَالَ فَسَأَلْنَاهُ عَنْ صَلَاتِهِمْ فَقَالَ بِدْعَةٌ ثُمَّ قَالَ لَهُ كَمْ اعْتَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَرْبَعًا إِحْدَاهُنَّ فِي رَجَبٍ فَكَرِهْنَا أَنْ نَرُدَّ عَلَيْهِ

Maksudnya: Daripada Mujahid katanya: Aku dan Urwah bin az-Zubair masuk ke Masjid (an-Nabawi) dan tiba-tiba kami dapati Abdullah bin Umar R.Hma sedang duduk di bilik Aisyah (Perkuburan Nabi S.A.W) sedang manusia melakukan solat di masjid solat Dhuha. Maka kami bertanya kepadanya tentang solat mereka itu lalu kata Ibn Umar: Bidaah. Kemudian kami bertanya: Berapa kali Rasulullah S.A.W melakukan Umrah?  Jawabnya: 4 kali salah satunya di bulan Rejab. Lalu kami tidak mahu lagi membalas kata-katanya.-[al-Bukahri & Muslim].

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan menzahirkan solat sunat di masjid (selain ratib yang mengiringi fardhu) adalah bidaah walaupun tanpa berjemaah maka jika berjemaah lebih patut lagi bidaah dan keji.

Berkata al-Allamah al-Aini (w.855H) dalam Umdah al-Qari []jil.5 juz 10, hal.111, cet. Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan]:

وقيل أراد أن إظهارها في المسجد والاجتماع لها هو البدعة لا أن نفس تلك الصلاة بدعة وهذا هو الأوجه

Maksudnya: “dan dikatakan bahawa yang dikehendaki Ibn Umar adalah menzahirkan solat ini di masjid dan berkumpul melaksanakannya adalah bidaah bukan solat itu sendiri yang bidaah dan pendapat ini lebih jelas”.

 

KESIMPULAN

Oleh itu, amalan solat hajat berjemaah yang diamalkan di Malaysia pada hari ini secara berjemaah adalah bidaah dhalalah yang tercela pada syarak kerana tidak berhukum dengan hukum Allah S.W.T bahkan meletakkan rasional pikiran sebagai dasar hukum.

Begitu juga amalan solat hajat memohon hujan adalah bidaah kerana menukar dengan asal syarak iaitu solat al-Istisqa’ dan demikian lagi amalan solat hajat jemaah kerana peperiksaan dan seumpamanya kerana di zaman Rasulullah S.A.W tidak pernah baginda solat hajat untuk pergi berjihad sedangkan jihad itu lebih dahsyat dan bahaya daripada peperiksaan atau pilihanraya.

Qaedah yang perlu diraikan dalam masalah ini adalah:

1.   كل فعل توفر سببه على عهد النبي e ولم يفعله فالمشروع تركه

2.   ما ليس بسنة راتبة جاز فعله أحيانًا

3.    لا قياس في باب العبادات

Maka hendaklah fatwa negeri ini diubah kepada:

“Harus melakukan solat sunat yang tidak disyariatkan berjemaah secara berjemaah sekali sekala dan tidak dilakukan secara masyhur dan tetap, adapun amalan solat hajat berjemaah yang diamalkan sekarang adalah bidaah dholalah”.

 

[1] Iaitulah tambahan arahan Usman bin Hanif r.a kepada seorang yang buta untu berdoa dengan doa ini selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.


About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: