MANHAJ AHLI SUNNAH WAL JAMAAH TERHADAP PEMIMPIN YANG ZALIM

11 Feb

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

Artikel ringkas ini akan cuba menjelaskan manhaj yakni kaedah Ahli Sunnah wal Jamaah dalam bermuamalah atau berhubungan dan bergaul dengan pemimpin yang zalim.

Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) meletakkan permasalahan berkenaan pemimpin ini dalam bab akidah melambangkan betapa pentingnya isu kepimpinan ini sekaligus menafikan dakwaan bahawa Islam adalah agama sekular yang mengasingkan agama daripada politik. Fahaman sekular amat menyelweng daripada akidah Islam keran Islam melihat politik sebagai masalah akidah yang perlu dipelihara.

Pemahaman politik yang terkeluar daripada manhaj ASWJ akan melahirkan kesesatan dalam perkara akidah. Sebagai contoh ajaran Syiah Rafidah yang bukan sekadar sesat bahkan kafir adalah berpunca daripada pergolakan politik.

Selain itu, masalah bagaimana kita perlu bermuamalah dengan pemimpin muslim yang zalim juga termasuk dalam akidah al-Wala’ wa al-Bara’ (Cinta dan Benci kerana Allah)  yang merupakan ikatan iman yang paling teguh.

Pemimpin yang muslim yang melakukan kezaliman termasuklah dalam kategori kedua manusia dalam akidah al-Wala’ wa al-Bara’ iaitu mereka yang berhak mendapat al-wala’ (kesetiaan) dan al-Bara’ (berlepas diri) sekaligus.  Berikut kita jelaskan noktah-noktah penting dalam manhaj ini:

Pertama: Mentaati Pemerintah Adalah Wajib ‘Ain

Mentaati pemerintah kaum muslimin yang beragama Islam adalah fardu ‘ain berdalilkan firman Allah s.w.t dalam surah alp-Nisaa ayat ke-59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Kewajipan taat kepada pemimpin kaum muslimin adalah perkara ijmak dalam kalangan ASWJ bahkan para ulama juga telah ijmak wajibnya memerangi kaum bughah yakni mereka yang menentang pemimpin Islam secara bersenjata.

Kedua: Haram Mentaati Perintah Yang Maksiat

Demikian juga telah ijmak ulama haram terhadap muslim mengikut perintah pemimpin yang membawa kepada maksiat. Ini berdasarkan ayat di atas (surah al-Nisaa: 59) yang mengqaidkan (mengikat) ketaatan kepada pemimpin itu dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. Demikian juga sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Ketaatan itu sesungguhnya hanya dalam perkara makruf” [Muttafaq ‘Alaih].

Dan sabda Nabi s.a.w:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: “Dengar dan Taat itu wajib atas setiap muslim dalam perkara yang dia suka dan benci selama tidak disuruh melakukan maksiat maka apabila dia (pemimpin) menyuruh melakukan maksiat maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taat” [Muttafaq ‘alaih].

Antara contoh dalam tidak mentaati perkara maksiat adalah sebagaimana hadis dalam sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa seorang panglima perang yang dilantik Rasulullah s.a.w dalam satu sariah memerintahkan para prajuritnya untuk masuk dalam api lalu mereka semua enggan. Sehingga akhirnya kemarahan panglima mereka reda dan api pun  padam, mereka pulang ke Madinah dan mengadukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda berkata: “Jika kamu masuk ke dalamnya tentulah kamu tidak akan keluar lagi, sesungguhnya taat itu hanya dalam perkara makruf”.

Ketiga: Wajib Menasihati Pemimpin Yang Zalim.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih lagi masyhur:

الدين النصيحة قلنا لمن ؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم 

Maksudnya: “Agama itu adalah Nasihat”. Kami (Sahabt) bertanya: ‘Untuk siapa?’ Jawab baginda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan awam mereka”. [Muslim].

Dan sabda Nabi s.a.w:

أفضل الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر

Maksudnya: “Jihad yang Afdal adalah perkataan yang benar di sisi pemimpin yang zalim” [Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, dan Ahmad dan hadisnya sahih].

Nasihat kepada pemimpin itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin depan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (43) فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى (44)

Maksudnya:  “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. [Taha: 43&44].

Istidlalnya adalah jika kepada Firaun yang kafir pun Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s bercakap secara lemah lembut maka lebih utama lagi dilakukan kepada pemimpin Islam.

Sabda Nabi s.a.w:

من أراد أن ينصح لذى سلطان بأمر فلا يبدله علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فان قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه

Maksudnya: “sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi pegnaglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Ahmad, sahih].

Dalam hadis ini menjelaskan wajibnya menasihati pemimpin dan wajib pula melakukannya dengan cara yang baik. Dalam sebuah riwayat dinyatakan:

عن زياد بن كسيب العدوي قال كنت مع أبي بكرة تحت منبر ابن عامر وهو يخطب وعليه ثياب رقاق فقال أبو بلال : أنظروا إلى أميرنا يلبس ثياب الفساق فقال أبو بكرة اسكت سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول من أهان سلطان الله في الأرض أهانه الله

Maksudnya: Daripada Ziyad bin Kasib al-Adwi katanya: Aku bersama Abu Bakrah di bawah minbar Ibn Amir ketika dia sedang berkhutbah dengan memakai pakaian yang nipis maka berkata Abu Bilal: ‘Lihat pemimpin kita itu, dia memakai pakaian orang fasiq’. Maka berkata Abu Bakrah r.a: Diamlah, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah di bumi maka Allah akan menghinanya”. [al-Tarmizi, sahih].

Oleh itu, jelas sekali dalam manhaj Syarak yang benar, perbuiatan berdemonstrasi dan protes jalanan membantah pemimpin yang zalim adalah maksiat dan perbuatan itu hanyalah menambah dosa atas dosa semata-mata.

Abu Ishaq al-Sabi’i r.h, daripada pembesar ulama Tabiin berkata:

ما سب قوم أميرهم، إلا حرموا خيره

Maksudnya: “Tidak ada suatu kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan akan terhalang daripada mendapat kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani].

Keempat: Haram Memberontak dan Menggulingkan Pemerintah Yang Zalim

Walaupun disuruh kita tidak mengikuti perintah yang berunsur maksiat, namun pemimpin yang menyuruh melakukan maksiat atau melakukan maksiat hanya wajib dinasihati secara baik dan tidak boleh digulingkan dengan kekerasan atau menderhaka kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w:

Dalilnya hadis Muslim dan Ahmad berikut:

عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول الله أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال ( لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا تكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة )

Maksudnya: Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknapt mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.

Hadis ini tidaklah menunjukkan bolehnya melaknat pemimpin kerana tidak boleh sama sekali melaknat seseorang muslim tetapi melaknat amalan pemimpin tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w:

(ستكون أمراء فتعرفون وتنكرون فمن عرف برئ ومن نكر سلم ولكن من رضي وتابع ) قالوا أفلا نقاتلهم ؟ قال ( لا ما صلوا )

Maksudnya: “Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana ianya maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Kata baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. [Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, Ahmad].

Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

( يكون بعدي أئمة لا يهتدون بهداي ولا يستنون بسنتي وسيقوم فيهم رجال قلوبهم قلوب الشياطين في جثمان إنس ) قال قلت كيف أصنع ؟ يا رسول الله إن أدركت ذلك ؟ قال ( تسمع وتطيع للأمير وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك فاسمع وأطع )

Maksudnya: “Akan ada selepasku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak mengikut sunnahku dan akan ada dalam mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan berbadan manusia”. Kata Huzaifah:’Aku bertanya: Maka bagaimana aku harus lakukan wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: “Kamu dengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia menyebat belakangmu dan merampas hartamu, dengar dan taatlah”. [al-Bukhari & Muslim, lafaz bagi Muslim].

Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ فَإِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِنْ السُّلْطَانِ شِبْرًا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya: “Sesiapa yang membenci akan perbuatan pemimpinnya (yang maksiat) maka bersabarlah kerana sesungguhnya sesiapa yang keluar menentang pemerintah sejengkal lalu mati, maka dia mati sebagai orang jahiliah”. [al-Bukhari & Muslim]

Syarat untuk keluar memberontak adalah apabila pemimpinnya menjadi kafir maka ketika itu wajib atas kaum muslimin melucutkan jawatannya dengan cara yang paling elok dan jika tidak ada jalan lain melainkan perang maka hendaklah berperang jika tidak hendaklah mereka berhijrah. [Syarah Tahawiyah min Kalam Ibn Taimiah, 86&87].

Ini sebagaimana sabit dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Ubadah bin al-Samit r.a katanya:

دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ

Maksudnya: “Rasulullah s.a.w memanggil kami lalu baginda mengambil baiat daripada kami dan antara yang baginda syaratkan adalah dengar dan taat (pada pemimpin) dalam perkara yang kami suka dan benci (selagi bukan maksiat), dalam keadaan senang dan susah kami dan dalam perkara yang merugikan kami dan janganlah kami menandingi hak ahlinya melainkan kamu melihat kufur yang jelas yang padanya kamu mempunyai dalil di hadapan Allah nanti”.

Berkata al-Qadi ‘Iyadh r.h:

لو طرأ عليه الكفر انعزل

Maksudnya: “Jika dia (pemimpin) menjadi kafir (nauzubillah min zalik) maka dia terlucut jawatan..” [Syarah Sahih Muslim li al-Nawawi, 12/229].

Berkata Imam Abul Hasan al-Asy’ari r.h:

ونرى الدعاء لأئمة المسلمين بالصلاح والإقرار بإمامتهم وتضليل من رأى الخروج عليهم إذا ظهر منهم ترك الاستقامة

وندين بإنكار الخروج بالسيف وترك القتال في الفتنة

Maksudnya: “dan kami berkeyakinan wajibnya mendoakan kebaikan bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan kestabilan pemerintahan mereka serta menyesatkan sesiapa sahaja yang berpendapat bolehnya menderhaka kepada pemimpin yang zalim dan kami beriman haramnya memberontak dengan senjata dan kami beriman perlu meninggalkan berperang dalam fitnah”. [al-Ibanah, 1/11].

Jelas daripada kenyataan Imam al-Asy’ari ini, ASWJ bersepakat haramnya memberontak kepada pemerintah selama dia muslim dan beriman walaupun dia melakukan maksiat dan berlaku zalim.

Analoginya mudah, apabila ibu bapa kita melakukan maksiat atau menyuruh kita melakukan maksiat maka kita wajib mengingkari maksiat tersebut tetapi kita tidak boleh memutuskan nasab kita dengan mereka.

Imam Abu Jaafar al-Tahawi r.h menyatakan dalam kitab Aqidah beliau:

-“ولا نرى الخروج على أئمتنا وولاة أمورنا وإن جاروا ولا ندعو عليهم ولا ننزع يدا من طاعتهم ونرى طاعتهم من طاعة الله عز وجل فريضة، ما لم يأمروا بمعصية، وندعو لهم بالصلاح والمعافاة.”

Maksudnya: “dan kami tidak percaya sama sekali bolehnya keluar menetang pemerintah walaupun mereka berlaku zalim dan kami tidak akan mendoakan keburukan atas mereka dan tidak akan menderhaka pada mereka bahkan kami berpendapat mentaati mereka termasuk taat kepada Allah Azza wa Jall dan ianya fardu (wajib) selama mereka tidak menyuruh melakukan maksiat dan kami mendoakan bagi mereka kebaikan dan kemapunan”. [Syarah Tahaiwah min Kalam Ibn Taimiah, 85].

Contoh Ulama al-Salaf dalam Berhadapan Kezaliman Pemimpin

Imam Abu Hanifah r.h: Beliau telah dipenjarakan oleh Khalifah al-Mansur al-Abbasi hanya kerana tidak mahu menerima jawatan Qadi (Hakim). Abu Hanifah r.h tidak pernah sama sekali membenarkan kaum muslimin menentang atau memberontak terhadap al-Mansur sehingga beliau wafat dalam penjara.

Imam Malik bin Anas r.h: Di zaman beliau terdapat pemberontakan terhadap al-Mansur (yakni Khalifah al-Mansur yang menghukum Abu Hanifah tadi) kemudian pemberontak ini berjaya menawan Madinah dan dipaksa untuk membaiat pemimpin mereka. Imam Malik enggan menderhaka pada Khalifah dan sanggup diseksa walaupun diketahui al-Masnur seorang yang zalim.

Imam al-Syafii r.h: Beliau telah ditangkap dan ditahan tanpa usul periksa dan dituduh sebagai pemberontak oleh Khalifah Harun al-Rasyid r.h, namun Imam Syafii setelah dibebaskan tidak pernah berdendam dengan khalifah bahkan sentiasa mendoakan kebaikan buat beliau.

Imam Ahmad bin Hanbal r.h: Khalifah al-Makmun dan al-Muktasim telah menyiksa beliau kerana keengganan menurut perintah maksiat mereka mengatakan al-Qur’an makhluk. Namun, Imam Ahmad melarang para pengikutnya yakni ASWJ memberontak.

Kesimpulan

Apa yang kami bentangkan ini semuanya berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, bukanlah berdasarkan hawa nafsu dan emosi. Kami menasihatkan kaum muslimin yang kami cintai sekalian untuk berpegang teguh dengan Manhaj ASWJ ini dalam semua aspek kehidupan mudah-mudahan kita berjaya dunia dan akhirat.

Ingatlah, Umat Muhammad yang diakhir zaman ini tidak akan berjaya melainkan mereka mengikut jejak langkah yang telah dilalui oleh pendahulu mereka yang soleh yang telah berjaya dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

About these ads

6 Respons to “MANHAJ AHLI SUNNAH WAL JAMAAH TERHADAP PEMIMPIN YANG ZALIM”

  1. abu muhammad Julai 23, 2009 at 12:04 am #

    salam ya ustaz, semoga Allah memberkati ustaz. mohon kebenaran untuk mengambil artikel untuk disebar-sebarkan di internet. insyaAllah, link akan disertakan. jazakallahukhairan

  2. mashoori Julai 23, 2009 at 1:03 am #

    Salam..dipersilakan insya-Allah mudah-mudahan memberi manfaat dunia dan akhirat.

  3. wardah Mei 11, 2010 at 8:09 am #

    salam..saya baru je terbaca artikel ni..alhamdulillah..bnyak inputnya.cuma ada bbrp persoalan yg ingin saya tanyakan:
    1. terdapat pendalilan yang berbeza dalam soal mentaati pemimpin yang zalim,ada yg menyuruh mentaati walaupun dia zalim dan dalam masa yang sama terdapat dalil yang menyuruh supaya kita berpaling daripada kemungkaran yang dilakukan oleh seorang pemimpin.soalan saya:
    -Apakah konsep `kezaliman’ yang disandarkan pada pemimpin yang zalim tapi perlu ditaati?
    2. pemimpin yang meninggalkan SOLAT wajib ditentang.apa yg kita maklum solat merupakan salah satu daripada bentuk ketaatan pada Allah.meninggalkannya beerti melakukan kemaksiatan kepada Allah.
    -Apa pendekatan kita terhadap pemimpin yang meninggalkan kitabullah dalam dasar kepimpinan?meninggalkan hukum Allah juga merupakan kemaksiatan kepada Allah.

  4. mashoori Mei 17, 2010 at 12:49 am #

    waalaikumussalam wrt.
    Barakallahu fik,

    Pertama: Mungkin anda boleh juga merujuk artikel Jawapan Rasulullah s.a.w terhadap Murjiah dan Khawarij yg saya tuliskan di dalam blog ini.
    Kedua: Kezaliman dan Maksiat yang tidak membenarkan kita ‘memberontak’ kpd pemerintah adalah apa2 maksiat yg tidak menjadikan seseorang itu kufur, apabila telah tsabit dgn hujah yg teguh seorang pemerintah menjadi kafir maka wajiblah ditukar dan diubah walaupun memerlukan pertumpahan darah selagi maslahah yg kuat berada pada kaum muslimin, namun jika mudarat lebih daripada kebaikan dlm usaha penukaran itu maka bersabar dan berpindah ke negara Islam yang berdekatan jika mampu.

    Ketiga: Meninggalkan solat bukanlah maksiat biasa kerana ia meninggalkan rukun Islam, maksud di sini selagi seorang pemerintah itu mendirikan solat adalah selagi dia muslim kerana sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang meninggalkannya (solat) dia telah kufur terang-terangan”.
    Maka selagi pemerintah ini muslim, menegakkan rukun2 Islam: Syahadah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji maka dia wajib ditaati dlm perkara makruf. dan k’rajaan m’sia sekarang masih menegakkan rukun Islam yg lima ini sebagaimana tidak tersembunyi pada sesiapa pun jua.

    Keempat: Hukum Allah dan HududNya bukanlah terhad pd hukum jinayah sahaja, bahkan semua syariat Islam adalah hudud-hudud Allah, maka tidaklah boleh semata2 kerana pemimpin itu melakukan maksiat dlm suatu masalah kita hendak menggulingkannya terus, selagi mana dia muslim.

    mudah2an Allah memberikan hidayah kpd kita semua..ameen.

  5. ahmadi ya habibi ya habibi November 22, 2012 at 9:19 pm #

    salam ustaz…
    dalam konteks pemilihan pemimpin…
    adakah pemberontakan seperti yang berlaku di syria itu telah terkeluar dari methology Islam..dan bagaimana pula keadaan nya pemimpin yang zalim itu sendiri terhadap rakyatnya. kita rakyat haram memberontak..tetapi pemimpin yang zalim..halal membunuh?
    begitu kah..
    utk menasihati pemimpin itu pula..ada golongan2 sahaja yang diberikan authority utk menasihati pemimpin…bukan semua orang boleh nasihat beliau..dan bukan semua orang beliau@pemimpin tu nak dengar..ego nya mesti ada?
    daripada mahhaj ASWJ yang ustaz rencanakan di atas..ya saya paham..kita perlu taat kepada pemimpin..tetapi apakah jaminan ketaatan kita dengan balasan yang diterima mereka.
    jika saya berada di syria..nescaya saya juga akan menjadi seorang tentera pembebasan mujahidin dan melawan pentadbiran basyar as-sad…

  6. mashoori November 22, 2012 at 9:32 pm #

    Waalaikumussalam. pemerintah Syria, basyar asasd adalah kafir Syi’ah batiniah xde khilaf bhwa dia kafir, sesiapa yg tidak beriktiqad basyar kafir maka dia juga boleh mrnjadi kafir.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: