SIAPAKAH RASUL YANG PERTAMA?

16 Feb

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

Maksud Nabi dan Rasul:

Rasul (الرسول) bermaksud: “Utusan”, Nabi (النبي) bermaksud: “Penyampai Berita”. Maka difahami daripada perkataan Rasul Allah adalah Utusan Allah dan Nabi Allah adalah Penyampai Berita daripada Allah.

Adapun dalam istilah Usuluddin, makna Rasul adalah:

هو من أَوْحى الله إليه بشرع وأُمِرَ بتبليغه إلى قوم مخالفين

Maksudnya: “Iaitulah sseorang yang diberi wahyu oleh Allah dan syariat untuk disampaikan kepada kaum yang menyelisihi kebenaran”. [Syarah Tahawiah, Soleh Alu Syeikh, 1/79].

Adapun Nabi bermaksud:

هو من أَوْحَى الله إليه بشرعٍ لنفسه أو أَمرَه بالتبليغ إلى قوم موافقين

Maksudnya: “Dia adalah seorang manusia yang diberi wahyu oleh Allah dengan suatu syariat untuk dirinya sendiri atau diperintah untuk disampaikan kepada kaum yang sedia mengikut kebenaran”. [Ibid]

 

Perbezaan Antara Nabi dan Rasul Pada Istilah:

Rasul dan Nabi mempunyai persamaan selaku manusia, lelaki, yang diberi wahyu oleh Allah s.w.t. Wahyu pula bermaksud: “Pemberitahuan Allah kepada Rasul atau Nabi sama ada dalam bentuk Kalam atau makna”. [Mukjam Alfaz al-Aqidah, 439].

Maka wahyu itu boleh berlaku sama ada dalam bentuk pemeberian kitab, suhuf, mimpi, dan hadis atau sunnah.

Namun, Rasul itu lebih khusus daripada Nabi kerana Nabi itu sama ada diutus kepada kaum tertentu atau hanya diberi wahyu untuk kegunaan dirinya sendiri sebagaimana dalam sebuah hadis:

وَالنَّبِيُّ لَيْسَ مَعَهُ أَحَدٌ

Maksudnya: “dan aku melihat (pada malam Mikraj) ada Nabi dan tiada pengikut bersamanya…” [al-Bukhari & Muslim].

 Demikian juga kaum seseorang Nabi itu adalah kaum yang sedia beriman kepada Allah s.w.t dan mentauhidkannya dan tujuan seseorang Nabi diutuskan adalah untuk menjadi pembimbing kepada kaum tersebut supaya mereka terus mengikut syariat Rasul yang diutuskan sebelum itu.

Dalilnya adalah sabda Nabi s.a.w:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِىٌّ خَلَفَهُ نَبِىٌّ

Maksudnya: “Adalah Bani Israil itu dipimpin oleh para Nabi, setiap kali wafat seorang Nabi akan ada Nabi yang mengganti…” [al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, Ahmad].

Hadis ini menjelaskan para Nabi yang diutuskan kepada Bani Israil selepas Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s berada di atas Tauhid tetapi berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan Syariat maka para Nabi yang datang selepas itu berperanan sebagai mereka yang menasihat dan menegur kegelinciran yang berlaku.

Demikian juga dalam hadis lain:

وإن العلماء ورثة الأنبياء

Maksudnya: “dan sesungguhnya para Ulama adalah pewaris para Nabi..” [Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, Ahmad].

Dalam hadis ini terdapat tasybih atau penyamaan antara ulama dengan nabi kerana tugas ulama adalah meneruskan ajaran tauhid yang telah tersedia bukan membuat syariat baharu. Maka dapat difahami bahawa para Nabi itu diutuskan kepada Umat yang tersedia mengikut ajaran Tauhid. [Lihat: Ithaf al-Sail Lima fi al-Tahawiah min al-Masail, 1/79, Syarah Tahawiah, Soleh al-Fauzan,44, al-Takliqat al-Asariyah ‘ala al-Tahawiah, 11].

Asal pembezaan antara Nabi dan Rasul adalah firman Allah s.w.t:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ إِلَّا إِذَا تَمَنَّى أَلْقَى الشَّيْطَانُ فِي أُمْنِيَّتِهِ فَيَنْسَخُ اللَّهُ مَا يُلْقِي الشَّيْطَانُ ثُمَّ يُحْكِمُ اللَّهُ آيَاتِهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada agama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya Dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. [al-Haj: 52].

Syahid daripada ayat ini adalah pembezaan antara Nabi dan Rasul pada perkataan Allah s.w.t: مِنْ رَسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ (seorang Rasul atau seorang Nabi). Berkata Imam al-Alusi r.h:

وعطف «نبي» على «رسول» يدل على المغايرة بينهما

Maksudnya: “dan ataf ‘Nabi’ atas ‘Rasul’ menunjukkan terdapat perbezaan antara keduanya”. [Ruhul Ma’ani, 13/92].

Oleh itu, pendapat sekelompok ulama bahawa tiada perbezaan sama sekali antara Nabi dan Rasul adalah qaul syaz yang menyalahi nas al-Qur’an. Wallahua’lam.

 

Rasul Pertama yang Diutuskan:

Dalam hadis Syafaat dinytakan:

فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ يَا نُوحُ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الْأَرْضِ وَسَمَّاكَ اللَّهُ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: “Maka manusia pun datang pula kepada Nuh dan mereka berkata: ‘Wahai Nuh, engkau adalah Rasul yang pertama diutus kepada penduduk bumi dan Allah menamakan kamu Hamba yang sangat bersyukur..” [al-Bukhari, Muslim, al-Tarmizi, Ahmad].

Berdasarkan hadis ini, sabitlah bahawa Nabi Nuh a.s adalah Rasul pertama yang Allah utuskan kepada manusia selepas mereka menjadi musyrik. Adapun Nabi Adam a.s, baginda adalah Nabi bukan Rasul kerana manusia di zaman baginda semuanya beriman. Dalilnya firman Allah s.w.t:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ

Maksudnya: ” pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan …” [al-Baqarah: 213]

Saidina Ibn Abbas r.a menyatakan dalam tafsir ayat ini:

كان بين نوح وآدم عشرة قرون، كلهم على شريعة من الحق، فاختلفوا، فبعث الله النبيين مبشرين ومنذرين

Maksudnya: “Adalah antara Nuh dan Adam sepuluh kurun semuanya berada syariat yang benar (Tauhid) lalu mereka berselisih (menjadi syirik) maka Allah mengutuskan para Nabi sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan”. [al-Tabari, 4/275].

Dengan demikian terjawab jugalah persoalan Nabi Idris a.s atas pendapat yang mengatakan baginda adalah sebelum Nuh a.s namun pendapat yang rajih pada pandangan penulis adalah Nabi Idris a.s adalah Nabi Ilyas a.s yakni keduanya orang yang sama.

Ini berdasarkan riwayat yang diterima daripada Saidina Abdullah bin Masud r.a dan disokong oleh Qatadah, al-Dahhak, dan Muhammad bin Ishaq. [Ibn Kasir, 7/37]. Tafsiran ini sesuai dengan firman Allah s.w.t:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِدْرِيسَ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَبِيًّا (56) وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا (57) أُولَئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ مِنْ ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِنْ ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَا إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا ( 58)

Maksudnya: “dan bacakanlah (Wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; Sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi. dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya. mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis”. [Maryam: 56-58]

Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t meletakkan Nabi Idris a.s sebagai keturunan Nuh a.s dan Ibrahim a.s, maka pendapat yang mengatakan Idris adalah Nabi sebelum Nuh a.s kurang tepat bahkan yang benar Nabi Idris a.s adalah Nabi Ilyas a.s itu sendiri dan baginda termasuk Nabi-nabi Bani Israil kerana sabit juga Nabi Ilyas a.s adalah zuriat Nuh a.s dan Ibrahim a.s dalam firman Allah s.w.t:

وَنُوحًا هَدَيْنَا مِنْ قَبْلُ وَمِنْ ذُرِّيَّتِهِ دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَى وَهَارُونَ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (84) وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَى وَعِيسَى وَإِلْيَاسَ كُلٌّ مِنَ الصَّالِحِينَ (85 )

Maksudnya: “dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. dan Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh”. [al-An’am: 84 & 85].

Berkata Abdullah bin Masud r.a dalam mentafsirkan ayat ini:

“إدريس”، هو”إلياس”، و”إسرائيل”، هو”يعقوب”

Maksudnya: “Idris” adalah “Ilyas” dan “Israil” adalah “Yaakub”. [al-Tabari, 11/509, hadis hasan].

Ibn Hajar al-Asqalani r.h juga menyatakan ini adalah pendapat Ibn Abbas r.a [Fathul Bari, 10/124]. Wallahua’lam.

 

Kesimpulan:

Nabi dan Rasul pada dasarnya adalah sama tetapi mempunyai perbezaan pada beberapa segi iaitu Nabi lebih umum daripada Rasul kerana semua Rasul itu Nabi tetapi tidak semua Nabi itu Rasul.

Rasul yang pertama diutuskan oleh Allah s.w.t kepada manusia untuk menyeru mereka kepada tauhid selepas berlakunya syirik adalah Nuh a.s dan Rasul terakhir sekaligus Nabi yang terakhir adalah Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi-nabi sebelum Nuh a.s adalah Nabi tetapi bukan Rasul dan pendapat yang rajih juga adalah Nabi Idris a.s adalah Nabi Ilyas a.s iaitu orang yang sama dan baginda termasuk Nabi daripada para Nabi Bani Israil.Wallahua’lam.

About these ads

2 Respons to “SIAPAKAH RASUL YANG PERTAMA?”

  1. Abu Islam Februari 19, 2009 at 1:00 am #

    Ya akhi, jazakallaahu khair atas tulisan ilmiah yang ditebarkan. Cuba enta kaji pandangan seorang guru ana yang berpandangan bahawa semua Nabi adalah Rasul dan bukan semua Rasul adalah Nabi. Berdalilkan penggunaan perkataan Rasul dan Nabi di dalam Al-Quran. Jika dilihat kedua-dua perkataan tersebut, ternyata kita akan mendapati bahawa Al-Quran hanya menggunakan perkataan Nabi untuk Rasul yang diutuskan dari kalangan manusia, manakala Rasul digunakan secara umum, samada untuk malaikat dan manusia.Cuba lihat dan kaji isu ini supaya perbahasan dapat dikembangkan. Wallahua’alam.

  2. mashoori Februari 21, 2009 at 7:09 pm #

    jazakallahu khairul jaza’ diucapkan kepada al-fadil ustaz fathul bari, guru yang saya hormati. insya-Allah akan cuba kaji perkara ini.jazakumullah khairal jaza’.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: