BERIMAN KEPADA QADA’ DAN QADAR

23 Feb

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

 

TAKRIF AL-QADA’ DAN AL-QADAR:

Al-Qada’ dan al-Qadar merupakan rukun Iman keenam sebagaiman sabda Nabi s.a.w apabila ditanya Jibril a.s berkenaan Iman:

أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وتؤمن بالقدر خيره وشره

Maksudnya: “Hendaklah kamu percaya kepada Allah, MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, Hari Akhirat, dan beriman pula dengan Qadar (ketentuan) baik dan buruk”. [al-Bukhari, Muslim].

Kalimah al-Qada’ wal Qadar jika disebut salah satunya tanpa yang satu lagi seperti dalam hadis di atas di mana hanya menggunakan kalimah al-Qadar tanpa al-Qada maka  ia membawa makna yang meliputi keduanya dan jika bersamaan keduanya maka terdapat makna yang berbeza. [Majmuk Fatawa Ibn Usaimin, 2/79&80].

Al-Qadar bermaksud:

“Ketentuan Allah s.w.t terhadap makhlukNya semenjak Azali” [Ibid]

Al-Qada’ pula bermaksud:

“Pelaksanaan Allah s.w.t terhadap ketentuan tersebut” [Ibid].

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:

قَالَ كَذَلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا

Maksudnya: “ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.” [Maryam: 21].

Allah s.w.t menyatakan pelaksanaan terhadap sesuatu ketentuan yang telah ditetapkan semenjak azali sebagai al-Qada’ dalam ayat ini dan sekaligus menolak bidaah Muktazilah Moden (Hizb-ut-Tahrir) yang mengatakan al-Qada’ tidak  warid dalam naqal.

Adapun berkenaan Qadar adalah berdasarkan sabda Nabi s.a.w:

“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”

Maksudnya: “Allah s.w.t telah menulis takdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].

HUKUM BERIMAN DENGAN AL-QADA DAN AL-QADAR

Jelas daripada hadis terdahulu bahawa al-Qadar dan al-Qada termasuk rukun Iman yang enam maka mereka yang tidak percaya dengan perkara ini adalah kufur. Ingkar kepada al-Qadar bermakna ingkar kepada Qudrat Allah s.w.t sebagaimana kata Imam Ahmad bin Hanbal r.h:

القدر قدرة الله

Maksudnya: “Qadar itu Kekuasaan Allah”. [Tuhfah al-Saniyyah fi Syarhi al-Haiyyah, syeikh Muhsin al-Abbad].

Berkata Saidina Ibn Abbas r.a:

القدر نظام التوحيد فمن وحد الله وكذب بالقدر فقد نقض تكذيبُه توحيده

Maksudnya: “(Beriman kepada) al-Qadar itu termasuk dalam Tauhid, maka sesiapa yang mentauhidkan Allah tetapi mengingkari Qadar maka pengingkarannya itu membatalkan tauhidnya”. [Ibid].

Beriman kepada al-Qada dan al-Qadar membawa makna seseorang muslim itu hendaklah yakin dan percaya dengan sebenar-benarnya bahawa segala yang berlaku dalam alam ini sama ada yang baik atau buruk, Iman atau Kufur, Sunnah atau Bidaah, semuanya adalah berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah s.w.t dan Allah s.w.t jua yang menjadikannya. Firman Allah s.w.t:

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “dan Allah jua yang menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan” [al-Saffat: 96].

Sabda Nabi s.a.w:

واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ولو اجتمعواعلى أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك رفعت الأقلام وجفت الصحف

Maksudnya : “dan ketahuilah bahawa jikalau makhluk sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah seslesi ditulis suhuf (tempat tulisan takdir)”. [al-Tarmizi, Ahmad]

MARTABAT BERIMAN DENGAN QADA DAN QADAR

Terdapat empat martabat yang perlu kita beriman dalam masalah al-Qada dan al-Qadar ini iaitu:

Pertama: Beriman bahawa Allah s.w.t mengetahui semua yang akan berlaku sebelum ianya berlaku sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَداً وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu Yang mengandung). dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuanNya”. [Luqman: 34]

Maka martabat yang pertama ini termasuk dalam beriman dengan sifat Ilmu bagi Allah s.w.t.

Kedua: Tulisan dan catatan Allah s.w.t terhadap ilmuNya akan perkara-perkara tersebut dalam Kitab di sisNya di atas Arasy sebagimana firman Allah s.w.t:

وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

Maksudnya: “dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata”. [Yasin: 12]

Berkata Ibn Kasir r.h: “Semua perkara yang berlaku telah pun ditulis (sebelum berlakunya) dalam kitab yang dibentang dan ditetapkan dalam Lauh Mahfuz dan maksud Imam Mubin dalam ayat ini adalah Ibu Kitab” [Ibn Kasir, 6/568]

Demikianlah tafsir ayat ini dengan sepakat Mujahid, Qatadah, dan Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam rahimahumullah dan Ibn Jarir al-Tabari r.h tidak menyebutkan sebarang khilaf dalam tafsirannya.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”

Maksudnya: “Allah s.w.t telah menulis takdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].

Imam al-Nawawi r.h dalam Syarah Muslim menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan peringkat penulisan Allah s.w.t terhadap takdir yang telah diketahuiNya sebelum itu lagi. [al-Minhaj, 16/203].

Ketiga: Martabat beriman bahawa semua yang berlaku dalam alam ini adalah dengan masyiah (kehendak) Allah s.w.t. Hal ini telah ijmak Ahli Sunnah wal Jamaah dan terkenal dalam akidah mereka dengan ibarat:

ما شاء الله كان وما لم يشأ لم يكن

Maksudnya: “Apa yang Allah s.w.t kehendaki pasti berlaku dan apa yang Allah s.w.t tidak kehendaki pasti tidak akan berlaku”.

Firman Allah s.w.t:

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلَ الَّذِينَ مِنْ بَعْدِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَلَكِنِ اخْتَلَفُوا فَمِنْهُمْ مَنْ آمَنَ وَمِنْهُمْ مَنْ كَفَرَ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلُوا وَلَكِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ

Maksudnya: “dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”. [al-Baqarah: 253].

Firman Allah s.w.t:

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: “dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya)”. [al-Insan: 30].

Dalam ayat ini, Allah s.w.t menjelaskan bahawa segala kehendak manusia itu bergantung pada kehendak Allah s.w.t. Jika kehendak mereka sesuai dengan kehendak Allah dan diizinkan Allah untuk berlaku maka barulah ia berlaku jika tidak maka sama sekali tidak akan terjadi.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Takwir ayat 29:

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam”.

Dalam surah Hud ayat 34 Allah s.w.t berfirman menceritakan perkataan RasulNya yang pertama, Nuh a.s.:

 وَلَا يَنْفَعُكُمْ نُصْحِي إِنْ أَرَدْتُ أَنْ أَنْصَحَ لَكُمْ إِنْ كَانَ اللَّهُ يُرِيدُ أَنْ يُغْوِيَكُمْ هُوَ رَبُّكُمْ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika Aku hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan kepadanya kamu akan kembali”.

Ayat ini menunjukkan dengan jelas, baik dan buruk, Iman dan Kufur seseorang, semuanya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t.

*Perlu diberi perhatian juga bahawa Iradah dan Masyiah Allah itu terdapat dua jenis:

1- Iradah Kauniah: Iaitulah kehendak Allah s.w.t berkenaan kejadian alam ini seperti adanya baik dan jahat, iman dan kufur, tauhid dan syirik, dan sunnah dan bidaah. Iradah Kauniah mesti terjadi jika Allah s.w.t mengkehendakinya terjadi walaupun tidak semuanya diredai Allah s.w.t seperti kufur, Allah s.w.t mengkehendaki kufur tetapi tidak meredainya.

2- Iradah Syar’iyyah: Kehendak Allah yang berkaitan urusan sayriat seperti kehendak Allah s.w.t supaya hamba-Nya beriman dan mentauhidkanNya. Kehendak ini tidak semestinya berlaku kepada semua makhluk tetapi semua kehendak jenis ini diredai Allah s.w.t.

Keempat: Penciptaan Allah s.w.t terhadap takdir yang ditetapkanNya atau disebut marhalan ‘Penciptaan Perbuatan’ dan inilah yang dimaksudkan dengan Qada’. Maka apa yang Allah s.w.t berkehendak untuk berlaku maka Dia jualah yang menciptanya untuk berlaku. Dalilnya firman Allah s.w.t:

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “dan Allah jua yang menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan” [al-Saffat: 96].

Maka apabila seseorang melakukan sesuatu perkara seperti makan maka dia makan adalah dengan kehendak yang Allah jadikan pada dirinya dan berlakunya perbuatan makan itu kerana mendapat izin dan perkenan Allah s.w.t dan perbuatannya makan itu makhluk (ciptaan) Allah s.w.t kerana Allah jua yang mencipta kekuatan (qudrat) pada makhlukNya untuk makan.

JENIS-JENIS QADAR:

Qadar itu terdapat beberapa jenis berdasarkan marhalah penulisannya dan kesemuanya terdapat lima jenis:

Pertama: Takdir Am sebelum penciptaan alam iaitulah yang dijelaskan terdahulu yang tertulis dalam Lauh Mahfuz. Takdir dalam Lauh Mahfuz ini tidak berubah bahkan Lauh Mahfuz adalah Ummul Kitab sebagaimana firman Allah s.w.t:

يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِنْدَهُ أُمُّ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakiNya. dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu Segala suratan”. [al-Ra'd: 39].

Maka yang tertulis di dalam Lauh Mahfuz ini adalah berdasarkan Ilmu Allah yang azali lagi abadi yang tidak akan berubah.

Kedua: Takdir Rezeki, Ajal, dan amalan manusia sebelum diciptakan mereka sebagaimana dalam hadis debat Adam a.s dengan Musa a.s:

أتلومني على أمر قدره الله علي قبل أن يخلقني بأربعين سنة

Maksudnya: “(berkata Adam) Adakah kamu mencela aku atas urusan yang telah ditakdirkan Allah s.w.t berlaku atasku sebelum Dia mencipta aku dalam jarak 40 tahun?”

Ketiga: Takdir yang di atas juga setelah menjadi janin dan ditiupkan ruh. Ini berdasarkan hadis:

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما ثم يكون في ذلك علقة مثل ذلك ثم يكون في ذلك مضغة مثل ذلك ثم يرسل الملك فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات بكتب رزقه وأجله وعمله وشقي أو سعيد فوالذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها

Maksudnya: “Sesungguhnya kejaidn seseorang kamu dikumpulkan dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian dalam tempoh itu ia menjadi segumpal darah kemudian dalam tempoh itu ia menjadi segumpal daging kemudian diutuskan malaikat dan ditiup ruh padanya dan diperintah untuk menulis empat perkara iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya, dan kedudukannya sama ada celaka (ahli neraka) atau bahagia (ahli syurga), maka demi Zat yang tiada sembahan yang berhak disembah kecuali dia sesungguhnya seseorang kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga antara dia dan syurga tinggal sehasta sahaja lagi lalu didahului dengan kitab (takdir) maka dia beramal dengan amalan ahli neraka dan memasukinya dan seseorang kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dia dengan neraka jaraknya sehasta sahaja lagi lalu didahului takdir maka dia beramal dengan amalan ahli syurga lalu memasukinya”. [al-Bukhari & Muslim].

Keempat: Takdir Tahunan yang ditentukan pada malam Lailatul Qadar berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah al-Qadar ayat 4:

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ

Maksudnya: “pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)”.

Kelima: Takdir Harian berdasarkan firman Allah s.w.t:

يَسْأَلُهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ

Maksudnya: “sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. tiap-tiap masa Dia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)”. [Al-Rahman: 29]

Maka demikianlah martabat penulisan takdir itu dan empat takdir yang terkemudian semuanya bergantung dan pecahan daripada takdir yang telah ditetapkan dalam Ummul Kitab (Lauh Mahfuz).

TAKDIR DAN USAHA:

Ahli Sunnah wal Jamaah percaya bahawa manusia itu bukanlah perlu menyerah sahaja kepada Allah s.w.t tanpa berbuat apa-apa kerana usaha adalah termasuk dalam takdir Allah s.w.t iaitu Allah s.w.t telah menetapkan dalam Alam ini setiap yang berlaku ada sebabnya, maka atas wujudnya sebablah manusia berusaha. Sabda Nabi s.a.w:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ كُتِبَ مَقْعَدُهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَمَقْعَدُهُ مِنْ النَّارِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نَتَّكِلُ فَقَالَ اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ ثُمَّ قَرَأَ { فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى إِلَى قَوْلِهِ لِلْعُسْرَى }

Maksudnya: “Tidaklah ada seorang daripada kamu melainkan telah ditetapkan baginya tempat sama ada di syurga atau neraka”. Tanya Sahabat: ‘Wahai Rasulullah, tidak bolehkan jika demikian kami bertawakkal sahaja?’ Jawab baginda: “Berusahalah kerana setiap kamu dimudahkan baginya (berdasar apa yang ditetapkan padanya)”. Lalu Nabi s.a.w membaca : فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى hingga firman Allah:  لِلْعُسْرَى

[Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim].

Maksudnya Nabi s.a.w menyatakan bahawa setiap manusia akan dimudahkan untuk berusaha ke arah takdir yang ditetapkan baginya. Ini sesuai dengan firman Allah s.w.t:

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى (5) وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى (6) فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى (7) وَأَمَّا مَنْ بَخِلَ وَاسْتَغْنَى (8) وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَى (9) فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَى (10)

Maksudnya: “Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya),  serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, -serta ia mendustakan perkara yang baik, maka Sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan”. [al-Lail: 5-10]

Oleh itu, tidak ada hujah ke atas Jabariah yang berdalih dengan takdir kerana takdir itu rahsia Allah s.w.t, seseorang itu tidak mengetahui nasibnya kecuali setelah dia berusaha dan mendapat natijah usahanya. Demikian juga Allah s.w.t telah menetapkan bagi manusia itu hasil sekedar apa yang diusahakannya sesuai dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam kitab-Nya dan telah diketahuiNya sejak azali.

Dalam hadis yang lain menyatakan:

قال عمر يا رسول الله أرأيت ما نعمل فيه أمر مبتدع أو مبتدأ أو فيما فرغ منه ؟ فقال فيما قد فرغ منه يا ابن الخطاب وكل ميسر أما من كان من أهل السعادة فإنه يعمل للسعادة وأما من كان من أهل الشقاء فإنه يعمل للشقاء

Maksudnya: “Berkata Umar: Wahai Rasulullah, apakah yang kita lakukan (amalan makhluk) ini perkara yang baharu atau telah pun telah ditetapkan oleh Allah? Jwab Nabi s.a.w: Telah ditetapkan wahai Ibn al-Khattab dan setiap orang itu dimudahkan baginya (berdasarkan takdir yang telah ditetapkan), maka sesiapa yang ditetapkan menjadi ahli saadah (syurga) maka dia akan beramal dengan amalan yang membawanya kepada syurga adapun mereka yang ditetapkan sebagai ahli syaqawah (neraka) maka dia akan beramal dengan amalan yang membawanya ke neraka”. [al-Tarmizi, Ahmad-sahih-].

Maka dengan jawapan Rasulullah s.a.w ini, terungkailah segala kemusykilan dan jelaslah jalan bahawa tiada pertentangan antara usaha dan takdir. Wallahua’lam.

TAKDIR DAN REDA:

Kita diperintahkan reda dalam takdir yang Allah s.w.t redainya dan tidak mencela pelakunya seperti Iman, Islam, dan musibah alam seperti cedera, sakit, kemalangan, dan kematian.

Adapun takdir yang Allah s.w.t mencela pelakunya maka kita dilarang meredainya seperti perbuatan dosa, walaupun ianya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t tetapi kehendak kauni dan Allah s.w.t mencela pelakunya maka dalam hal semacam ini kita dilarang meredainya. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 8/190-192].

About these ads

3 Respons to “BERIMAN KEPADA QADA’ DAN QADAR”

  1. karanz Februari 8, 2010 at 4:13 pm #

    saya adalah orang yang suka diberi banyak tugas oleh guru dan teman – teman, koment saya =>
    makalah nya bagus….terima kasih atas ilmunya….

  2. Mawardi April 1, 2010 at 8:34 pm #

    salam kenal terima kasih artikelnya saya ambil ya

  3. mashoori April 21, 2010 at 2:28 pm #

    ya dipersilakan

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 47 other followers

%d bloggers like this: