BERMUSAFIRLAH DENGAN MAHRAM

26 Feb

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

Maksud Musafir:

Musafir dalam bahasa melayu bermaksud orang yang melakukan pengembaraan atau perjalanan yang jauh daripada tanah airnya. Inilah yang dimaksudkan dengan safar secara bahasa yakni melakukan perjalanan yang jauh.

Adapun secara syaraknya adalah:

الْخُرُوجُ عَلَى قَصْدِ قَطْعِ مَسَافَةِ الْقَصْرِ الشَّرْعِيَّةِ فَمَا فَوْقَهَا

Maksudnya: “Keluar dengan tujuan menempuh jarak perjalanan yang membolehkan qasar (solat) secara Syarak dan lebih”. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 25/26].

Maka orang yang bermusafir itu adalah seorang pengembara yang keluar mengembara sejauh jarak perjalanan yang pada syaraknya adalah mengharuskan qasar solat. Jarak perjalanan ini pula ditentukan oleh uruf atau keadaan setempat.

Oleh itu, apa-apa perjalanan yang pada adat manusia dianggap musafir seperti perjalanan yang merentas sempadan negeri walaupun dekat dan memerlukan persiapan maka dianggap musafir.

Disyariatkan Bermusafir Secara Jemaah:

عن ابن عمر : أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال لو أن الناس يعلمون ما أعلم من الوحدة ما سرى راكب بليل يعني وحده

Maksudnya: Daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Jikalau manusia mengetahui apa yang aku ketahui perihal bersendirian tentulah tidak ada penunggang di malam hari seorang diri”. [al-Tarmizi, al-Jihad, no. 1673].

Sabda Nabi s.a.w:

إِذَا خَرَجَ ثَلاَثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya: “Apabila keluar tiga orang dalam musafir maka lantiklah salah seorang mereka sebagai ketua”. [Abu Daud, no. 2608, Hasan Sahih].

Maka hedaklah seseorang apabila hendak musafir berjalan dalam kumpulan yang sekurang-kurangnya tiga orang berdasarkan hadis di atas dan hadis berikut:

الراكب شيطان والراكبان شيطانان والثلاثة ركب

Maksudnya: “Seorang penunggang itu syaitan, dan dua orang penunggang itu dua syaitan, adapun tiga penunggang itulah yang sepatutnya”. [al-Tarmizi, no. 1674, sahih].

Ulama hadis bersetuju ini adalah pada hak lelaki dalam musafir dan hukumnya sunat. Adapun jika perjalanan itu memerlukan kerahsiaan seperti menghantar utusan rahsia maka dibolehkan berseorangan. [Tuhfatul Ahwazi, 5/138].

Wajib Bagi Wanita Bermusafir Dengan Mahram:

Setelah kita jelaskan bagaimana Islam menjaga kemaslahatan kaum lelaki yang mempunyai kekuatan dan keberanian ketika bermusafir dengan memerintahkan mereka bermusafir secara jemaah, maka demikian juga Islam memberi perhatian yang lebih kepada wanita.

Wanita diciptakan Allah s.w.t sebagai pendamping hidup seorang lelaki dan wanita merupakan tulang belakang sesebuah keluarga, masyarakat dan negara kerana daripada perut merekalah lahirnya manusia dan daripada merekalah anak-anak dan suami-suami mendapat kasih sayang maka mereka dicipta dengan sifat lemah lembut dan kedaifan.

Atas jasa yang besar ini, Islam mewajibkan kepada kaum lelaki yang telah diciptakan dengan kekuatan dan kemantapan untuk menjaga wanita daripada sebarang ancaman bahaya.

Maka terdapat perintah supaya wanita itu apabila hendak musafir perlu ditemani oleh Mahramnya atau suami:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ تُسَافِرَ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ لَيْسَ مَعَهَا حُرْمَةٌ

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Bersabda Rasulullah s.a.w: Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari tanpa mahram”. [al-Bukhari (1088), Abu Daud (1724), Ibn Majah (2899), Ahmad (10583) dan lafaz bagi al-Bukhari].

Dalam riwayat lain menyatakan:

عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم  : لا يحل لإمرأة أن تسافر ثلاثا إلا ومعها ذو محرم منها

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak halal bagi wanita bermusafir selama tiga hari kecuali bersama mahramnya”. [Muslim (1339)].

Dalam riwayat yang lain menyatakan:

عن أبي سعيد الخدري قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : لا يحل لإمرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر سفرا يكون ثلاثة أيام فصاعدا إلا ومعها أبوها أو ابنها أو زوجها أو أخوها أو ذو محرم منها

Maksudnya: “Daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat bermusafir selama tiga hari dan seterusnya kecuali bersamanya terdapat bapanya atau anaknya atau suaminya atau saudaranya atau sesiapa yang menjadi mahramnya”. [Muslim (1340), Abu Daud (1726), al-Tarmizi (1169)]

Dalam riwayat yang lain menyatakan pula juga daripada Abu Said al-Khudri r.a kata beliau:

سمعت من رسول الله صلى الله عليه و سلم أربعا فأعجبنني وآنقنني نهى أن تسافر المرأة مسيرة يومين إلا ومعها زوجها أو ذو محرم..

Maksudnya: “Aku mendengar daripada Rasulullah s.a.w empat perkara yang menakjubkan aku: Baginda melarang wanita bermusafir selama dua hari kecuali bersamanya suami atau mahram…(diringkaskan Muslim)”. [Muslim (827), Ahmad (11312)].

Perbezaan tempoh musafir yang mensyaratkan mahram untuk wanita tidak memberi kesan kerana dalam riwayat Abu Hurairah r.a sabda Nabi s.a.w:

لا يحل لامرأة أن تسافر يوما فما فوقه الا ومعها ذو حرمة

Maksudnya: “Tidak halal bagi wanita untuk bermusafir selama satu hari atau lebih melainkan bersamanya mahram”. [Ahmad (9462)]

Dalam riwayat Abu Said al-Khudri pula menyatakan:

لا يصلح للمرأة ان تسافر الا ومعها ذو محرم لها

Maksudnya: “Tidak boleh bagi wanita bermusafir kecuali bersamanya mahram”. [Ahmad (11644)].

Tempoh-tempoh yang dinyatakan sebelum ini adalah tempoh yang menunjukkan satu perjalanan yang dinamakan musafir pada masa tersebut iaitu satu hari satu malam dan lebih dengan unta yang membawa muatan sederhana. Adapun pada masa sekarang, perjalanan yang menggunakan kereta dan kapal terbang, menggunakan jarak masa untuk mengukur sesuatu perjalanan jauh atau tidak, tidak lagi sesuai.

Oleh itu, Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h dan Ibn Hazm r.h menyatakan kaedah yang tepat untuk menyatakan sesuatu perjalanan sebagai musafir atau tidak dikembalikan kepada uruf sesuatu masyarakat. Maka apa-apa perjalanan yang dianggap safar seperti merentas sempadan negeri, perjalanan yang memerlukan persiapan dan seumpamanya dianggap musafir.

Imam al-Nawawi r.h menjelaskan:

قال العلماء اختلاف هذه الالفاظ لاختلاف السائلين واختلاف المواطن وليس في النهي عن الثلاثة تصريح بإباحة اليوم والليلة أو البريد قال البيهقي كأنه صلى الله عليه و سلم سئل عن المرأة تسافر ثلاثا بغير محرم فقال لا وسئل عن سفرها يومين بغير محرم فقال لا وسئل عن سفرها يوما فقال لا وكذلك البريد فأدى كل منهم ما سمعه وما جاء منها مختلفا عن رواية واحد فسمعه في مواطن فروى تارة هذا وتارة هذا وكله صحيح وليس في هذا كله تحديد لأقل ما يقع عليه اسم السفر ولم يرد صلى الله عليه و سلم تحديد أقل ما يسمى سفرا فالحاصل أن كل ما يسمى سفرا تنهى عنه المرأة بغير زوج أو محرم سواء كان ثلاثة أيام أو يومين أو يوما أو بريدا أو غير ذلك

Maksudnya: “Berkata para ulama perbezaan lafaz ini (had masa yang dikatakan musafir) adalah kerana berbezanya pertanyaan yang diajukan dan berbezanya tempat  dan tidak dijelaskan dalam hadis yang melarang jarak tiga hari bolehnya bermusafir sehari atau semalam atau setengah hari tanpa mahram. Berkata al-Baihaqi: Seolah-olah Nabi s.a.w ditanya tentang wanita yang bermusafir tiga hari tanpa mahram maka dijawan tidak boleh, kemudian ditanya pula tentang dua hari tanpa mahram maka dijawab tidak boleh dan ditanya pula jika sehari dijawab juga tidak boleh demikian juga setengah hari maka setiap perawi meriwayatkan sesuai dengan apa yang didengarnya dan rawi yang sama meriwayatkan dengan banyak lafaz pula meriwayatkan sesuai dengan setiap tempat yang dia dengar dan semuanya sahih dan tidak ada dalam hadis-hadis ini penentuan sekurang-kurang musafir itu berapa jaraknya dan tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w penentuan sekurang-kurang jarak musafir maka hasilnya setiap perjalanan yang dinamakan musafir dilarang padanya wanita melakukannya tanpa suami atau mahram sama ada tiga hari, dua hari, sehari, setengah hari atau selainnya”. [al-Minhaj, 9/103].

Dalam riwayat Ibn Abbas r.a:

لا تسافر امرأة الا مع ذي محرم

Maksudnya: “Janganlah bermusafir seorang wanita kecuali dengan mahram”. [Muslim].

Jadi riwayat ini menunjukkan semua perjalanan yang dinamakan safar disyaratkan baginya mahram untuk wanita. [ibid].

Hukum Berteman Mahram Bagi Wanita dalam Musafir:

Hukumnya adalah wajib sebagaimana dinyatakan para ulama dengan ijmak dalam kalangan mereka. Ibn Hajar al-Asqalani r.h menyatakan:

وَاسْتُدِلَّ بِهِ عَلَى عَدَم جَوَاز السَّفَر لِلْمَرْأَةِ بِلَا مَحْرَم ، وَهُوَ إِجْمَاع فِي غَيْر الْحَجّ وَالْعُمْرَة وَالْخُرُوج مِنْ دَار الشِّرْك

Maksudnya: “dan hadis ini menjadi dalil bahawa tidak boleh bermusafir seorang wanita tanpa mahram dan ianya ijmak selain ketika melakukan haji, umrah (yang wajib), dan berhijrah dari negeri syirik”. [Fathul Bari, 4/56].

Ulama juga telah berijmak tidak disyaratkan mahram dalam hijrah kerana hijrah bukanlah musafir. Maka seorang wanita yang memeluk Islam di negeri kafir harbi yang menyebabkan dia tidak boleh melaksanakan agamanya diwajibkan atasnya berhijrah walaupun tidak mempunyai mahram. Ini kerana kekalnya dia di negeri tersebut lebih merbahaya daripada ancaman keselamatan dirinya kerana tinggal di negeri kafir harbi itu merosakkan akidah dan ini lebih teruk daripada dibunuh, dirompak, atau dirogol sekalipun. [al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 25/37 & 38].

Demikian juga jika dia keluar bermusafir bersama mahram lalu mahramnya meninggal atau hilang atau bersama suami kemudian berlaku talak bain maka boleh baginya meneruskan musafir untuk ke tempat yang selamat seorang diri atau dia mencari perlindungan sehingga datang mahramnya yang lain untuk menemaninya. [Ibid].

Namun, berlaku khilaf (perbezaan pendapat) jika perjalanan itu adalah haji atau umrah wajib, adakah wajib juga baginya mahram atau boleh diganti tempat mahram itu teman yang dipercayai?

Ulama Syafiiah menyatakan untuk perjalanan haji dan umrah yang wajib sahaja maka boleh baginya berteman dengan sekumpulan wanita yang dipercayai.

Ulama Malikiah pula menyatakan boleh berteman dengan sekumpulan wanita atau lelaki yang soleh lagi dipercayai. Malikiah juga menghubungkan dengan haji dan umrah wajib semua musafir yang wajib ke atas wanita seperti bermusafir untuk menjadi saksi di dalam sesuatu kes mahkamah di negeri lain.

Ulama Hanafiah dan Hanabilah bersetuju untuk mengekalkan hukum asal iaitu mesti juga bersama suami atau mahram. Jika tiada maka gugurlah kewajipan haji dan umrah tadi.[al-Fiqhul Islami wa Adillatuh, 3/423].

Maka perlu diberi peringatan, khilaf di sini dalam masalah haji dan umrah wajib dan perjalanan yang mendesak dan wajib ke atas wanita, adapun perjalanan yang tidak wajib seperti menziarahi ibu bapa dan kaum kelaurga atau menuntut ilmu yang boleh didapati di negerinya, tidak ada khilaf antara ulama wajibnya mahram atau suami dan tidak boleh diganti dengan teman yang dipercayai. [Ibid, 3/424]

Berkata al-Nawawi r.h:

وحاصله أنه يجوز الخروج للحج الواجب مع زوج أو محرم أو امراة ثقة ولايجوز من غير هؤلاء وان كان الطريق أمنا وفيه وجه ضعيف انه يجوز إن كان أمنا (وأما) حج التطوع وسفر الزيارة والتجارة وكل سفر ليس بواجب فلا يجوز على المذهب الصحيح المنصوص الا مع زوج أو محرم وقيل يجوز مع نسوة أو امرأة ثقة كالحج الواجب

Maksudnya: “dan hasilnya, bahawa harus bagi wanita keluar mengerjakan haji wajib bersama dengan suami atau mahram atau perempuan yang dipercayai dan tidak harus dengan selain mereka ini walaupun perjalanan dijangkakan selamat dan terdapat satu pendapat yang daif mengatakan harus wanita berhaji seorang diri jika jalan selamat, adapun haji sunat dan safar untuk ziarah dan berniaga serta semua safar yang tidak wajib maka tidak boleh atas mazhab yang sahih yang dinaskan kecuali dengan suami atau mahram dan dikatakan harus bersama dengan sekumpulan atau seorang wanita yang dipercayai seperti haji wajib”. [al-Majmuk, 8/342]

Imam al-Nawawi dalam pernyataan ini menunjukkan ada dua pendapat syaz dalam masalah ini yang sering menjadi helah puak safih (lihat maksud puak safih ini dalam artikel sebelum ini) membolehkan wanita bermusafir seorang diri iaitu:

1- Pendapat yang membolehkan wanita berhaji seorang diri jika jalan selamat

2- Pendapat yang membolehkan wanita bermusafir dalam musafir yang tidak wajib dengan ditemani sekumpulan wanita siqah (dipercayai).

Dua pendapat ini bertentangan dengan zahir nas hadis yang kita sebutkan kerana jika boleh seorang wanita bermusafir tanpa mahram atau suami tentulah Rasulullah s.a.w akan mengizinkan wanita di zaman baginda berbuat demikian. Dalam sebuah hadis dijelaskan:

لا يخلون رجل بامرأة إلا ومعها ذو محرم، ولا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم، فقام رجل، فقال: يا رسول الله ، إن امرأتي خرجت حاجة، وإني اكتتبت في غزوة كذا وكذا، فقال: انطلق، فحج مع امرأتك

Maksudnya: “Tidak boleh bersunyi-sunyian seorang lelaki dengan seorang wanita kecuali bersamanya (wanita itu) mahramnya dan janganlah bermusafir seorang wanita kecuali dengan mahram”. Maka bangun seorang lelaki lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteriku hendak pergi menunaikan haji sedangkan aku telah ditugaskan untuk berperang”. Maka kata baginda: “Pergilah dan buatlah haji bersama isterimu”. [al-Bukhari & Muslim].

Dalam hadis ini menjelaskan bagaimana Nabi s.a.w meletakkan pentingnya suami atau mahram menemani seorang wanita melakukan musafir sehingga mengatasi Jihad. Kita sedia maklum seseorang yang telah ditugaskan oleh pemimpin untuk berjihad menjadi fardu ‘ain atasnya untuk berjihad namun baginda s.a.w menggugurkan kewajipan lelaki tersebut supaya dia boleh menemani isterinya berhaji.

Demikian juga dua pendapat ini bertentangan dengan ijmak yang diriwayatkan para ulama. Berkata Syeikh Wahbah al-Zuhaili h.f:

هذا ويلاحظ أن الخلاف بين الشافعية والمالكية وبين باقي الفقهاء محصور في سفر الفريضة ومنه سفر الحج، فلا يقاس عليه سفر الاختيار بالإجماع

Maksudnya: “dan perlu diberi perhatian di sini bahawa Khilaf antara al-Syafiiah dan al-Malikiah serta ulama lainnya terbatas dalam masalah safar wajib seperti safar haji maka tidak boleh diqias atas safar ikhtiar (bukan wajib) dengan ijmak”. [al-Fiqhul Islami wa Adillatuh, 3/424].

Difahami daripada pernyataan beliau ini, dua pendapat ulama yang kami sebut terdahulu bahawa boleh seorang wanita berhaji wajib seorang diri jika aman perjalanan dan boleh bersafar bukan wajib dengan wanita siqah adalah pendapat syaz bertentangan dengan ijmak. Wallahua’lam.

Syubhat:

عن ( عدي بن حاتم ) قال ( بينا ) أنا ( عند ) النبي إذ أتاه رجل فشكا إليه الفاقة ثم أتاه آخر فشكا إليه قطع السبيل فقال يا عدي هل رأيت الحيرة قلت لم أرها وقد أنبئت عنها قال فإن طالت بك حياة لترين الظعينة ترتحل من الحيرة حتى تطوف بالكعبة لا تخاف أحدا إلا الله قلت فيما بيني وبين نفسي فأين دعار طيىء الذين قد سعروا البلاد ولئن طالت بك حياة لتفتحن كنوز كسرى قلت كسرى بن هرمز قال كسرى بن هرمز

Maksudnya: Daripada Adi bin Hatim r.a katanya: Ketika aku berada di sisi Nabi s.a.w ketika datangnya seorang lelaki mengadu kepada baginda tentang kemiskinan hidupnya dan datang pula seorang lelaki yang mengadu terhalang perjalanannya, maka Nabi s.a.w berkata: “Wahai Adi, sudahkah kamu melihat Hirah?” Jawabku: Belum pernah aku melihatnya tetapi aku mendengar cerita berkenaannya. Kata Rasulullah s.a.w: “Jika panjang umurmu kamu akan lihat seorang wanita (za’inah) mengembara daripada Hirah sehingga dia bertawaf di Kaabah tanpa takut kepada sesiapa pun kecuali Allah”. Kataku kepada diriku sendiri: ‘Ke mana perginya askar-askar Farsi yang selama ini merampas negeri-negeri?’ Sabda Nabi s.a.w lagi: “Jika kamu panjang umur maka (kamu akan lihat) dibuka harta-harta Kisra”. Kataku: ‘Adakah Kisra bin Hurmuz?’ Jawab baginda: “Kisra bin Hurmuz…” [al-Bukhari].

Sesetengah orang safih menyangka hadis ini menunjukkan adanya keharusan wanita yang bermusafir seorang diri jika aman perjalanannya. Namun, dalam hadis ini tidak menunjukkan wanita itu berjalan seorang diri kerana Nabi s.a.w menyatakan: ‘Za’inah’ (الظعينة) yang bermaksud wanita yang berada dalam Haudaj yakni khemah yang dipasang atas unta dan wanita akan duduk di dalamnya sementara ada seorang yang akan membawa unta tersebut. Wanita yang duduk dalam Haudaj tidak akan dapat membawa untanya seorang diri kerana dia dilindungi khemahnya itu. Maka hadis ini sama sekali tidak menunjukkan wanita tersebut berjalan seorang diri tetapi Nabi s.a.w memberitahu nanti kerajaan Farsi akan tumbang sehingga para Musafir yang datang ke Mekah melakukan haji tidak merasa takut lagi kepada kaum kafir. Wallahua’lam.

Maksud Mahram:

Perlu dijelaskan maksud mahram dalam hadis ini adalah mereka yang diharamkan untuk berkahwin dengan wanita tersebut secara muabbad (selama-lamanya) sama ada dari keturunan, susuan, atau perkahwinan seperti bapa, datuk, anak, anak tiri, anak saudara, bapa saudara, bapa susuan, saudara susuan, dan bapa mertua.

Adapun sepupu, suami kepada ibu saudara, dan ipar tidak lah termasuk dalam mahram ini. [al-Fiqhul Islami wa Adillatuh, 4/424].

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 47 other followers

%d bloggers like this: