Arkib Label: sifat

KAEDAH DALIL-DALIL AL-ASMA’ WA AL-SIFAT [II]

22 Nov

SINGKAP SYUBHAT:

Berdasar kaedah ini tersingkap segala syubhat ahli bidaah terhadap tafsiran salaf ke atas beberapa ayat dan hadis. Kami datangkan misalnya:

1- Istiwa dengan makna menuju dalam firman Allah s.w.t:

ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ

Maksudnya: “Kemudian Dia beristiwa (menuju) ke langit…”-[al-Baqarah: 29]

Dalam ayat ini sebahagian salaf mentafsirkan dengan قصـد namun ini bukanlah mengubah makna zahir kerana istiwa di sini berhubung dengan huruf jar إلى  maka tidaklah hairan makna zahirnya berubah.

2- Perkataan Ibn Abbas r.a:

الحجر الأسود يمين الله في الأرض فمن صافحه وقبله، فكأنما صافح الله وقبل يمينه

Maksudnya: “al-Hajar al-aswad adalah tangan kanan Allah di bumi, maka sesiapa yang menyentuh dan menciumnya, maka dia seolah-olah menyentuh dan mencium tangan kanan Allah”

Lihat sahaja dalam siaq ayat di atas, terdapat qaid yang mengeluarkan ‘tangan kanan Allah’ daripada sifat kepada suatu zat iaitulah kalimah ‘di bumi’ kemudian perhatikan pula kalimah ‘seolah-olah’ menunjukkan Hajar al-Aswad bukanlah tangan kanan Allah yang merupakan sifat-Nya. Adapun di penghujung hadis ini, Ibn Abbas r.a menetapkan adanya tangan kanan Allah yang sebenar yang bukan di bumi.

Maka, sekali lagi kita katakan, ini bukanlah takwil tetapi zahir ayat ini tidak menunjukkan tangan kanan Allah di bumi itu sifat-Nya tetapi adalah Hajar al-Aswad.

3- Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hadis ayat 4:

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ

Maksudnya: “dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada..”

Dan firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadilah ayat 7:

وَلَا أَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلَا أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا

Maksudnya: “dan tidak ada yang lebih rendah dari itu atau lebih banyak dari itu melainkan Dia bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada…”

Jawapannya masih sama yakni apakah zahir ayat ini? Adakah zahir ayat ini menunjukkan Allah s.w.t bercampur baur dengan makhluk-Nya atau zahir ayat ini bermakan Allah bersama mereka dengan ilmu, pendengaran dan penglihatan-Nya?.

Ini kerana kalimah  مـع  dan sifat المعية  tidak semestinya bermakna bercampur dengan zat. Bahkan ia juga membawa maksud menyertai tanpa bercampur. Misalnya mudah, seperti perkataan kita:

سرت والقمر

Maksudnya: “Aku berjalan bersama bulan”.

Al-Qamar adalah maf’ul ma’ah dan waw dalam jumlah ini waw al-maiyyah. Namun, tidak bersama sewaktu kita berjalan, bulan itu berada sebelah kita atau bersama kita dengan zatnya. Zat bulan jauh tinggi di atas langit tetapi dia bersama kita di malam hari dengan cahayanya.

Cuba kita teliti ayat ke-4 surah al-Hadid itu keseluruhannya:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; Dia Mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

Jika diteliti siaq ayat, jelas Allah s.w.t terlebih dahulu menetapkan Dia berada di atas Arasy dan jika diteliti betul-betul Allah s.w.t menqaidkan kebersamaan-Nya dengan ilmu dan penglihatan-Nya (lihat tempat bergaris).

Demikian juga dalam surah al-Mujadilah:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلَا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمْ وَلَا أَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلَا أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Lihat Siaq ayat ini, Allah s.w.t dengan jelas menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui apa yang berlaku di langit dan di bumi kemudian barulah Dia menyatakan Dia bersama mereka. Di akhir ayat sekali lagi Allah mengaitkan Maiyyah dengan ilmu-Nya.

Maka, zahir makna ‘bersama’ dalam kedua-dua ayat ini bukanlah bersama dengan zat-Nya tetapi Dia bersama dengan ilmu-Nya, pendengaran dan penglihatan-Nya dan qudrat-Nya adapun zat-Nya berada di atas Arasy-Nya.

Oleh itu, sesiapa yang berkata Allah s.w.t bersama dengan makhluk-Nya dengan zat-Nya adalah fahaman dan takwilan yang salah menyalahi zahir ayat.

4- Takwilan Ibn Taimiah r.h terhadap ‘Wajah Allah’ dengan ‘Qiblat Allah’.

Dalam surah al-Baqarah ayat ke-115:

 وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ   

Maksudnya: “dan Allah jualah Yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah Yang diredhai Allah; Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa mengetahui.”

Imam al-Syafii, Mujahid dan Ibn Taimiah mentafsirkan ‘wajah Allah’ dalam ayat ini sebagai Qiblat Allah yakni Kaabah. Takwilan ini tidak bermakna mereka menafikan Allah mempunyai wajah. Takwilan ini dibuat kerana ayat ini tidak membawa makna wajah sebagai sifat tetapi membawa makna wajah sebagai ‘jihah’ atau arah. Ini kerana kalimah ‘al-Masyriq’ dan ‘al-Maghrib’ (timur dan barat) pada awal ayat menjadi qarinah yang dikehendaki sebagai wajah adalah jihah. Maka maksud ayat itu: “Timur dan barat itu milik Allah, maka arah mana sahaja (sama ada timur atau barat) kamu berada hadapkanlah ke arah tempat beradanya ‘wajah Allah’(sama ada timur atau barat); sesungguhnya Allah maha luas lagi maha mengetahui”.

Telah diketahui bahawa Wajah Allah yang menajdi sifat-Nya tidak berada di timur atau barat tetapi berada bersama zat Allah di atas arasy-Nya. Maka wajah Allah dalam ayat ini tidak boleh diertikan sebagai sifat tetapi wajah di sini adalah makhluk yakni zat yang berpisah daripada Allah. Maka, zahir ayat ini tidak menunjukkan wajah bermakna wajah tetapi makna zahir wajah di sini adalah jihah. Adapun sifat wajah Allah yang merupakan sifatnya sabit dengan ayat 27 surah ar-Rahman:

   وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: “dan akan kekalah wajah Tuhanmu Yang mempunyai kebesaran dan Kemuliaan”

Dalam ayat ini ‘wajah’ adalah sifat kerana Allah mensifatkannya dengan baqa’ (kekal) setelah kiamat dan berisfat mulia, dan diidafahkan pada Allah pula maka tetaplah ia menjadi sifat Allah.

 

RUJUKAN:

AL-QAWAID AL-MUSLA OLEH IBN USAIMIN R.H.

AL-MUJLA FI SYARHI AL-QAWAID AL-MUSLA OLEH KAMILAH AL-KAWARI

MAJMUK FATAWA IBN TAIMIAH R.H OLEH IBN QASIM R.H.

TAQRIB AL-TADMURIAH OLEH IBN USAIMIN R.H.

KAEDAH DALIL-DALIL AL-ASMA’ WA AL-SIFAT [I]

22 Nov

Dalam menetapkan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t , Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) mempunyai beberapa kaedah yang telah ditetapkan oleh para ulama salaf semenjak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Kaedah ini perlu difahami dengan baik supaya dalam menetapkan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t kita menggunakan dalil yang betul serta memahami dalil tersebut dengan betul juga. Berikut adalah kaedah-kaedahnya:

1- Nama-nama dan Sifat-sifat Allah s.w.t Hanya Sabit Melalui al-Qur’an dan al-Sunnah yang Sahih Sahaja.

Berdasarkan kaedah ini, akal manusia tidak berperanan untuk menetap atau menafikan apa-apa sifat kepada Allah s.w.t kerana memikirkan bagaimana Allah s.w.t itu bukanlah peranan akal.

Apa-apa lafaz sifat dan nama yang Allah tetapkan bagi diri-Nya maka wajib kita terima dan beriman sesuai dengan lafaz dan maknanya seperti mendengar, melihat, ar-Rahman, ar-Rahim, mata, tangan, dan sebagainya demikian juga apa-apa yang Allah nafikan wajib kita nafikan seperti beranak, diperanakkan, cacat dan lain-lainnya.

Adapun, jika sifat atau nama itu tidak sabit dalam al-Qur’an atau Hadis yang sahih maka kita bertawaqquf (mendiamkan diri) pada lafaznya dengan tidak menafikan dan tidak pula menetapkannya kepada Allah s.w.t.

Adapun dari segi makna maka dilihat apakah yang hendak dimaksudkan dengan kalimah (lafaz) tersebut. Misalnya kalimah Jisim, Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menggunakan kalimah Jisim sama ada menetap atau menafikan maka kita tidak menceburkan diri dalam membincangkan perkara ini. Dilihat pula apakah maksud Jisim itu. Jika yang dikehendaki dengan jisim adalah zat maka kita katakan Allah mempunyai zat  jadi dalam konsep ini tidaklah kufur orang yang mengatakan allah berjisim dengan makna zat tetapi penggunaan kalimah jisim itu perlu dijauhi kerana tidak digunakan Allah dan Rasul-Nya. Adapun jika maksud jisim itu Allah menyamai makhluk maka dalam konteks ini perkataan Allah berjisim dengan makna sama dengan makhluk adalah kufur.

Demikian juga penggunaan kalimah المكان iaitu ‘tempat’ bagi Allah s.w.t. Kita tidak boleh berkata Allah bertempat dan tidak juga Allah tidak bertempat kerana tidak sabit perbincangan ini dalam al-Qur’an dan Hadis Sahih. Dilihat pula maksud kepada mereka yang mengatakan Allah bertempat, jika yang dikehendaki dengan tempat adalah Arasy maka ianya benar tetapi penggunaan kalimah ‘tempat’ tidak sesuai namun jika dikehendaki Allah terhad dan tertentu (terkurung) dalam suatu tempat maka ianya jelas kufur.

Dalil kaedah ini firman Allah s.w.t :

فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Maksudnya: “oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.[al-A'raf : 158].

Dan sabda Nabi s.a.w:

إنَّ الله فَرَضَ فرائِضَ ، فَلا تُضَيِّعُوها ، وحَدَّ حُدُوداً فلا تَعْتَدوها ، وحَرَّمَ أَشْياءَ ، فلا تَنتهكوها ، وسَكَتَ عنْ أشياءَ رَحْمةً لكُم غَيْرَ نِسيانٍ ، فلا تَبحَثوا عَنْها

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepada kamu beberapa kewajipan maka janganlah disia-siakan danDia menetapkan batasan maka jangan kamu lampauinyadan Dia mengharamkan beberapa perkara maka jangan kamu langgarnya dan Dia ‘mendiamkan’ tentang beberapa perkara sebagai Rahmat bagi kamu bukan kerana lupa maka jangan kamu mencari-cari ia[al-Daruqutni dll].

 

2- Wajib Menetapkan Nas-nas Sifat Sesuai dengan Makna yang Zahir daripada Lafaznya Tanpa Tahrif (pengubahan).

Berkata Imam al-Zuhri r.h:

“من الله تعالى الرسالة وعلى الرسول صلى الله عليه وسلم البلاغ وعلينا التسليم، أمروا أحاديث رسول الله كما جاءت”

Maksudnya: “Daripada Allah Taala datangnya Risalah (agama), dan atas Rasulullah s.a.w (kewajipan) menyampaikan dan atas kita (kewajipan) menerima; Jalankanlah (berimanlah) kepada hadis-hadis Rasulullah sebagaimana ia datang”[Aqwal al-Tabiin fi al-Tauhid wal Iman, 809].

Berkata Imam al-Khattabi r.h:

مذهب السلف في الصفات إثباتها وإجراؤها على ظاهرها ونفي الكيفية والتشبيه عنها

Maksudnya: “Mazhab al-Salaf (ASWJ) dalam sifat-sifat (allah) adalah menetapkannya dan beriman sesuai dengan zahirnya dan menafikan kaifiat dan penyerupaan (dengan makhluk)”-[Mukhtasar al-Uluww,31]

Berkata pula Imam Ibn abdil Barr r.h:

أهل السنة مجمعون على الإقرار بالصفات الواردة في الكتاب والسنة وحملها على الحقيقة لا على المجاز إلا أنهم لم يكيفوا شيئا من ذلك

Maksudnya: “Ahli Sunnah telah ijmak berikrar (beriman) dengan sifat-sifat (Allah) yang warid (sabit) dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan membawa (maknanya) dengan makna hakiki bukan majazi (kiasan) tetapi mereka tidak memberikan kaifiat (bagaimana) terhadap sifat-sifat tersebut”-[Mukhtasar al-Uluww,32]

Berdasarkan kaedah ini, semua lafaz sifat dalam al-Qur’an dan Hadis Sahih mesti difahami dengan makna yang zahir daripada bahasa Arab yang asli yang wujud pada zaman Rasulullah s.a.w dan para Sahabat.

Maka, apabila Allah berfirman:

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Maksudnya: “Dialah al-Rahman yang bersemayam di atas Arasy (Takhta Kebesaran Allah s.w.t)”-[Taha:5]

Kalimah استوى dalam ayat itu perlu difahami dengan bahasa arab yang zahir iaitu العلو (Meninggi) dan الارتفاع (Teratas) kerana di ta’addi dengan huruf jarr على. [Rujuk al-Mukjam al-Wasit, 466].

Demikian juga sifat السمع (Mendengar) maka dalam bahasa arab maksud mendengar adalah “إدراك المسموعات والأصوات”(Mendapat dengar perkara yang boleh didengari dan suara) bukan diterjemah sebagai “Mengetahui perkara-perkara yang boleh didengari” sebagaiman takwilan Asyairah kerana ini bertentangan dengan bahasa asli.

Dalil Kaedah ini sabit melalui Naqli dan Akli. Dalil Naqli adalah firman Allah s.w.t:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran Yang dibaca Dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya”.[Yusuf:2]

Dan firman Allah s.w.t:

مِنَ الَّذِينَ هَادُوا يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا

Maksudnya: ” di antara orang-orang Yahudi ada Yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya Yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata Dalam hati): “Kami tidak akan menurut…”[al-Nisaa:46].

Dalam dalil yang pertama menunjukkan wajibnya memahami dalil sesuai dengan bahasa Arab dan dalam dalil kedua menjadi bukti laranagn mengubah makna nas daripada zahirnya kecuali dengan dalil yang kukuh pula.

Adapun dalil akli adalah Penutur nas ini sama ada al-Qur’an yang ditutrkan oleh Allah atau Hadis Nabawi yang penuturnya adalah Rasulullah s.a.w lebih mengetahui maksudnya dan mereka bertutur dengan bahasa Arab yang jelas maka perlulah difahami sesuai dengan kehendak penuturnya.

Adalah mustahil kita hendak memahami bahasa Arab melalui bahasa Yunani Greek sebagaimana yang dibuat oleh Ahli Kalam sama ada Muktazilah mahupun Asyairah.

 

3- Zahir Nas-nas Sifat adalah Maklum kepada Kita dari segi Makna dan Majhul dari segi Kaifiat.

Asal kaedah ini adalah ucapan para salaf dan yang masyhur adalah ucapan Imam Malik bin Anas r.h:

الاستواء غير مجهول، والكيف غير معقول، والإيمان به واجب، والسؤال عنه بدعة

Maksudnya: “Istiwa’ itu bukanlah majhul (yakni diketahui maknanya bukanlah tidak diketahui) dan caranya itu tidak diketahui oleh akal dan beriman dengannya wajib dan bertanya berkenaan (caranya) adalah bidaah”[Tafsir al-Baghawi,3/236].

Kaedah ini menjadi pembeza di antara ahli Sunnah wal Jamaah dengan al-Asyairah al-Mufawwidah (الأشاعرة المفوضة) kerana mereka ini berkata sifat Allah (sifat Khabariah) itu Majhul Makna dan Kaif.

Maka, atas kaedah ini, apabila ditanya kepada mereka apakah makna Istiwa’? maka jawabnya: “Hanya Allah sahaja yang tahu”. Adapun jika Ahli Sunnah ditanya apakah makna Istiwa maka jawabnya : “Istiwa’ itu adalah meninggi dan tertatas tetapi bagaimana caranya Allah meninggi dan teratas di atas Arasy hanya Dia jua yang Maha Mengetahui”.

Dalil Kaedah ini sabit dengan Naqli dan Akli. Dalil Naqli adalah firman Allah s.w.t:

 كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab Yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab Yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami Dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang Yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”[Sod:29]

Maka, hikmah allah menurunkan al-Quran adalah untuk diteliti maknanya, jika maknanya majhul ternafilah hikmah ini. Ayat ini merupakan tamparan Allah s.w.t kepada al-Asyairah al-Mufawwidah.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nahl ayat 44:

وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran Yang memberi peringatan, supaya Engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa Yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.”

Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w diperintah supaya menjelaskan al-Qur’an maka amat mustahil baginda menjelaskan al-Qur’an tanpa menjelaskan makna. Demikian juga hikmah al-Qur’an itu diturunkan supaya manusia berfirkir maka bagaimana mereka hendak berfikir jika maknanya majhul?!subhananllah.

Adapun dalil akli, adalah mustahil Allah s.w.t menurunkan kitab-Nya yang merupakan kalam-Nya dan Rasul-Nya bertutur menjelaskan kitab-Nya dan kedua-dua kalam ini merupakan hidayah (petunjuk bagi manusia) serta menjelaskan kepada mereka perkara-perkara paling mustahak untuk diketahui tetapi maknanya majhul seperti huruf-huruf hijai (abjad arab) kerana ini menisbahkan kebodohan dan kejahilan kepada Allah dan Rasul-Nya.Maha Suci Allah daripada kekejian lidah Asyairah!!

 

4- Maksud Zahir Nas-nas itu adalah Apa yang Segera ditangkap Oleh Akal (Zihin) dan Ia Berbeza-beza dengan Berbezanya Siaq Ayat (Gaya Bahasa Sesuatu Ayat).

Kaedah keempat ini sangat penting untuk menjelaskan syubhat ahli bidaah terhadap beberapa tafsiran salaf  terhadap ayat-ayat yang disangka ayat sifat.

Perlu difahami bahawa kalimah dalam bahasa arab itu membawa maksud yang berbeza apabila dihubungkan dengan kalimah yang berbeza atau disusun dalam gaya bahasa yang berbeza.

Ambil contoh yang mudah kalimah رغب apabila dihubung dengan huruf  jar في yakni (رغب في…) ia membawa makna ‘suka kepada…’ tetapi apabila dihubung kepada huruf عن (رغب عن…) ia membawa maksud ‘benci akan..’.

Terdapat 3 perkara yang mempengaruhi makna sesuatu kalimah:

1-al-Siaq (السياق)   yakni Gaya Bahasa

2-al-Idhafah (الإضافـــة) yakni penisbatan

3-at-Tarakib(التراكيب)  yakni susunan ayat.

Contoh pengaruh al-Siaq seperti kalimah  القريــــــــــة kadangkala membawa maksud kaum dan kadangkala bermaksud tempat tinggal sesuatu kaum.

Dalam firman Allah s.w.t:

وَإِنْ مِنْ قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا

Maksudnya: ” dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya Dengan azab seksa Yang berat; “.[al-Israa: 58].

Maksud qaryah adalah suatu kaum dan dalam firman yang lain:

إِنَّا مُهْلِكُو أَهْلِ هَذِهِ الْقَرْيَةِ

Maksudnya: “Sebenarnya Kami hendak membinasakan penduduk bandar ini…”[al-Ankabut:31]

Qaryah dalam ayat ini bermaksud tempat tinggal suatu kaum.

Misal Idhafah pula seperti kita berkata:

قبضت الكتاب بيدي

Maksudnya: “Saya memegang buku dengan tangan saya”

Kalimah اليد (tangan) di sini bermaksud tangan makhluk yang merupakan anggota tubuhnya kerana diidafahkan pada makhluk. Kemudian dalam al-Qur’an digunakan kalimah al-Yad dan diidafah kepada Allah s.w.t:

لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ

Maksudnya: “..kepada apa yang Aku (Allah) cipta dengan dua tangan-Ku”

Maka apabila kita mendengar kalam yang pertama sebaik mendengar kalimah ‘tangan’ kita akan terbayang tangan mempunyai lima jari, ruas-ruas jari, kuku dan tapak tangan kerana zahir daripada idafah tangan kepada makhluk. Tetapi bila kita mendengar firman Allah s.w.t maka tersegera dalam akal kita sebaik mendengar kalimah ‘tangan’ suatu sifat Tuhan yang tidak tergambar bagaimana rupanya.

Misal Tarkib pula seperti kita berkata:

ما عندك إلا زيد

Maksudnya: “Tidak ada di sisi kamu kecuali Zaid”

Dan kata kita:

ما زيد إلا عندك

Maksudnya: “Tidaklah Zaid itu kecuali bersama kamu”

Dalam contoh pertama tarkib yang digunaan adalah قصر الصفة على الموصوف yang membawa maksud di sisi kamu hanya ada Zaid seorang sahaja. Adapun dalam tarkib kedua kita terbalikkan قصر الموصوف على الصفة bermakna Zaid hanya berada dengan kamu tetapi tidak bermakna tiada orang lain bersama kamu.

Ini merupakan keajaiban bahasa Arab oleh sebab itulah Allah s.w.t memilih untuk bertutur menggunakan bahasa Arab dalam al-Qur’an.

Oleh itu, perlu difahami bahawa yang dimaksudkan ‘Makna Zahir yang segera tergambar di fikiran’ adalah apa yang tergambar sesuai dengan siaq ayat atau idafahnya atau tarkibnya.

Kesimpulannya, setiap makna kalimah itu perlu dirujuk kepada qarinah-qarinah yang menunjuk kepada sesuatu makna.

TAUHID AL-ASMA’ WA AL-SIFAT II: PERINCIAN KAEDAH

20 Nov

1- Menetapkan Apa yang Allah dan Rasul-Nya Tetapkan

Qaedah yang pertama hendaklah diketahui bahawa sifat dan nama Allah yang maha sempurna dan baik itu adalah apa yang Allah sebutkan dalam al-Quran atau sabit dalam hadis yang sahih sahaja. Apa-apa sifat atau nama Allah yang sabit dalam al-Quran atau Hadis Sahih wajib diimani menurut zahir maknanya dan ingkar padanya adalah kufur.

2- Menafikan Apa-apa yang Allah dan Rasul-Nya Nafikan

Apabila Allah dan Rasul-Nya menafikan suatu nama atau sifat maka wajib menafikan sifat atau nama itu. Sesiapa yang menetapkannya maka dia kufur seperti Allah menafikannya beranak maka sesiapa yang berkata Tuhan mempunyai anak maka dia kufur.

3- Mendiamkan Diri dalam Perkara yang Tidak Sabit

Apabila terdapat suatu sifat yang bukan terang sifat kekurangan tetapi Allah dan Rasul-Nya tidak menafikannya maka janganlah digunakan tetapi dilihat pada maknanya. Contoh sifat Qidam, tidak sabit pada Allah tetapi dilihat apakah maksud qidam yang dikehendaki, jika dikatakan Qidam Allah itu tidak berpermulaan dan tidak dicipta yakni (al-Awwal) maka ia sahih tetapi manamakan Allah sebagai al-Qadim adalah tidak benar.

4- Sifat itu Lebih Am daripada Nama

Maksudnya tidak semua sifat Allah adalah nama Allah. Misalnya Allah bersifat dengan sifat al-Majii المجيء (datang) tetapi tidak boleh dinamakan Allah sebagai الجائي (Yang Maha Datang) kerana datang adalah sifat fi’li dan tidak sabit Allah menamakan diri-Nya demikian.

5- Semua Sifat Allah itu Maklum Maknanya, Majhul Kaifiatnya

Makna Sifat Allah adalah maklum sesuai dengan bahasa Arab seperti sifat al-Yad (tangan) maka maksudnya adalah tangan tetapi bagaimana tangan Allah itu (kaifiatnya) tidak diketahui. Maka ayat-ayat dan hadis-hadis sifat adalah muhkamat bukan mutsayabihat.

6- Perbincangan Sifat adalah sebahagian Perbincangan Zat

Sebagaimana Zat Allah tidak sama dengan makhluk sama sekali maka demikian juga sifat Allah tidak sama dengan makhluk sama sekali walaupun pada lafaznya ada persamaan.

7- Perbincangan Sebahagian Sifat Meliputi Keseluruhannya

Apabila kita boleh menerima Allah mendengar, makhluk juga mendengar tetapi tidak ada persamaan pada kaifiat mendengar Allah dan makhluk maka demikian juga qaedah yang diguna bagi sifat tangan, mata, kaki, dan sebagainya.

Pelajaran Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat I

18 Nov

Tauhid Al-Asma’ (Nama-nama), As-Sifat (Sifat-sifat) dan Zat (zat) merupakan bahagian ketiga dari bahagian-bahagian tauhid dan tergolong dalam tauhid Al-Makrifah.

Maudhu’ Tauhid ini:

Tauhid ini membincangkan secara khusus berkaitan nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya dan Zat-Nya. Selaku Umat Islam, perlulah kita percaya bahawa ada bagi Allah itu Nama,Sifat dan Zat yang Maha Mulia lagi Luhur, tidak sama dengan makhluknya dan suci daripada kekurangan.

Matlab Tauhid Ini:

Matlab Tauhid ini ada dua:

1- Isbat (menetapkan)

2- Tanzih (menyucikan)

Maka hendaklah kita menetapkan bagi Allah segala sifat dan nama yang telah ditetapkan Allah bagi diri-Nya dan apa yang ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W dan menyucikan Allah dari kekurangan dan penyerupaan.

Konsekuens Tauhid Ini:

Tauhid ini membawa kepada makrifatullah dan megukuhkan lagi tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah.

Jenis-jenis Manusia Dalam menghadapi Tauhid Ini:

Ada 3 Jenis:

1-       Muatthilah

2-       Musyabbihah

3-       Musbitah (sifatiyyah)

Golongan pertama adalah golongan yang tidak percaya akan adanya sifat Tuhan seperti Kristian, Jahmiyyah dan Muktazilah.

Golongan kedua adalah golongan yang menyamakan sifat Tuhan dengan Makhluk seperti Hindu dan Karramiyyah dan sebahagian Sufiyyah.

Golongan ketiga adalah golongan yang percaya Allah S.W.T mempunyai sifat dan sifat-Nya tidak sama dengan makhluk. Mereka ini terdiri daripada Al-Asya’irah, Al-Maturidiyyah dan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalil-dalil Tauhid Ini:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

 Maksudnya:  Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

(Al-Fatihah:1)

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

 

Maksudnya:tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha mendengar dan Melihat.- (as-Syura:11)

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

 

Maksudnya:  (yaitu) Tuhan yang Maha Pemurah. yang bersemayam di atas ‘Arsy- (Thaha:5)

Maksudnya:  Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya.- (Aala-Imran:2)

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ

 

 

Sabda Rasulullah S.A.W:

 

ما من نبي إلا و قد أنذر أمته الأعور الكذاب ألا إنه أعور و إن ربكم ليس بأعور مكتوب بين عينيه ك ف ر- (رواه الترمذي،حديث صحيح)

Maksudnya: Tidak ada seorang Nabi pun melainkan dia akan mengingatkan umatnya tentang Si Buta sebelah yang sangat Penipu, Sesungguhnya (Dajjal) itu buta sebelah dan Tuhan kamu tidak Buta sebelah, tertulis antara dua matanya(Dajjal) ك ف ر – [Riwayat At-Tarmizi, Hadis Sahih].

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: إِنَّ للهِ ، عَزَّ وَجَلَّ ، تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا ، مَنْ أَحْصَاهَا كُلَّهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ.-(رواه مسلم والترمذي)

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A. katanya: Bersabda Rasulullah S.A.W : Sesungguhnya bagi Allah itu 99 nama 100 kecuali 1, sesiapa yang menghitungnya masuk ke syurga.-[Riwayat Muslim&Turmizi dll].

Qaedah Tauhid Ini:

1-       Menetapkan apa yang Allah & Rasul-Nya tetapkan bagi Zat Allah.

2-       Menafikan Apa yang Allah dan Rasul-Nya nafikan.

3-       Berdiam diri terhadap apa yang tidak disebut oleh Allah dan Rasul-Nya.

Selain itu ada beberapa qaedah tambahan:

1-       apa jua penetapan yang dibuat bagi sesuatu sifat maka sama tsabitnya dengan sifat yang lain.

2-       Perbincangan terhadap sifat adalah sebahagian perbincangan terhadap zat.

3-       Ayat-ayat dan hadis-hadis berkenaan sifat bukan mutasyabihat.

4-       Makna Zahir sifat Allah tidak membawa kepada tasybih.

5-       Sifat-sifat Allah itu sama ada sifat Tsubuti (Positif) atau salbi(Negatif) dan keduanya terbahagi kepada Zati(Sifat zat) dan Fi’li (Sifat perbuatan).

6-       Sifat dan Nama Allah adalah Tauqifiyy dan tidak boleh direka.

7-       Semua Nama Allah menunjukkan atas Sifat-Nya tetapi tidak semua Sifat menunjukkan atas nama-Nya.

Perosak Tauhid Ini:

1-Ta’thil –Menafikan Sifat Allah

2- Takwil –Mengubah Makna Sifat

3- Tafwidh Makna – Menjahilkan Makna Sifat.

4- Tasybih –Menyerupakan Allah dengan Makhluk

5- Tahrif – Mengubah Lafaz Sifat dan Nama Allah seperti Al-Aziz kepada Al-Uzza. Dinamakan juga Al-Ilhad fil Asma’.

 

 

Sebagaian Sifat Allah dan Nama-nama-Nya:

Sifat Zatiyyah:

1-       Al-Ilmu (Ilmu)

2-       Al-Hayah (Hayat)

3-       As-Sama’ (Mendengar)

4-       Al-Basar (Melihat)

5-       Al-Kalam (Berkata-kata)

6-       Al-Hikmah (Hikmah)

7-       Al-Barakah (Berkat)

8-       Ar-Rahmah (Pengasih lagi Penyayang)

9-       Asy-Syukr (Terima Kasih)

10-   Al-wajh (Wajah)

11-   Al-Saq( Betis)

12-   Al-Qadam (Tapak Kaki)

13-   Al-Yad (Tangan)

14-   Al-’Ain (Mata)

 

Sifat Fi’liyyah:

1-       al-maji’ (Datang)

2-       An-Nuzul (Turun)

3-       Al-Istiwa’ (Bersemayam)

4-       Al-Dahk (Ketawa)

5-       Ar-Ridha (Redha)

6-       Al-Farh (Gemberi)

7-       Al- Ghadab (Murka)

8-       At-Tajalli (Menzahirkan Zat-Nya). 

Nama-Nama Allah Taala:

Allah Taalah mempunyai nama-nama yang baik lagi mulia sebagaimana Firman-Nya:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي

أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Hanya milik Allah asmaa-ul husna, Maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang Telah mereka kerjakan.- (Al-A’raf:180) 

Begitu juga seperti yang disebut oleh Nabi S.A.W dalam hadis yang lalu bahawa Allah ada 99 Nama tetapi bukanlah bermakna terhad pada 99 Nama ini sahaja berdasarkan hadis:

أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ – (رواه أحمد)

Maksudnya: “aku bermohon kepada-Mu dengan semua nama-Mu yang engkau namakannya diri-Mu atau engkau turunkan-Nya dalam Kitab-Mu atau Engkau ajar kepada seseorang dari makhluk-Mu atau Engkau simpan dalam Ilmu Ghaib di sisi-Mu”.-[Riwayat Ahmad].

Tidak ada hadis yang sahih menetapkan perhitungan khusus akan nama-nama Allah ini tetapi para ulama’ Hadis ada menyenaraikannya dalam riwayat mereka terhadap hadis berkenaan dan ianya masyhur.

Nama Allah yang Paling Agung:

Iaitulah ‘Allah’ itu sendiri kerana Ism ini adalah Ismuz Zat atau Isim yang menunjukkan Zat Allah dan kepadanyalah disifatkan semua Sifat-sifat Allah itu.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.