KRISIS EKONOMI DUNIA DALAM TIMBANGAN SYARIAT

16 Nov

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Mimbar Jumaat menyeru hadirin sekalian supaya bertakwa kepada Allah s.w.t dan menjauhi segala perkara yang mengundang kemurkaan-Nya.

Hadirin  sekalian,

Khutbah hari ini akan memperkatakan berkenaan “Krisis Ekonomi Dunia pada Pandangan Islam”.

Seperti yang diketahui, pada bulan September yang lepas, telah bermula satu lagi krisis ekonomi dan kali ini menyerang sebuah negara yang ramai orang tidak menyangka ia akan dilanda krisis ekonomi iaitulah Amerika Syarikat.

Kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat berpunca daripada sistem ekonomi mereka yang menyanggah hukum Allah s.w.t.

Sistem ekonomi Amerika yang berasaskan sistem Kapitalisme iaitulah fahaman yang beranggapan manusia bebas menjalankan aktiviti ekonomi tanpa sebarang batasan termasuklah menagmbil riba dan mengenakan cukai yang tinggi . Sistem Kapitalis juga membuka ruang kepada manusia untuk memonopoli ekonomi dan memanipulasi kewangan sesebuah negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Maurice Allais, seorang pemenang anugerah Nobel untuk bidang ekonomi dalam kajian beliau membuat kesimpulan yang sangat mengejutkan dunia Kapitalis apabila dia mendapati kadar ‘interest’ atau bunga yang sesuai untuk menjamin kestabilan ekonomi adalah 0% yang bermaksud ekonomi bebas riba. Demikian juga dalam kajiannya, dia mendapati kadar cukai yang sesuai adalah 2.5% iaitu menyamai nilai zakat dalam Islam.

Demikian juga keputusan yang dicapai baru-baru ini oleh negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat untuk mengawal aktiviti kewangan membenarkan sistem ekonomi Islam yang berdiri di tengah-tengah antara Kapitalisme yang memberikan kebebasan penuh kepada individu dan Sosialisme yang terlalu mengongkong ekonomi individu sehingga membawa kepada sistem diktator.

Keutuhan sistem perbankan Islam di tengah-tengah kemelesetan ekonomi sekarang dan impak yang kecil terhadap institusi kewangan itu menunjukkan bahawa masalah kemelesetan ekonomi ini berpunca daripada sistem yang tidak berlandaskan syariah Islamiah.

 

Sidang Jumaat sekalian,

Oleh itu, penyelesaian masalah ini adalah dengan:

Pertama: Menghapuskan Riba sesuai dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 276: 

Maksudnya:  Allah susutkan (kebaikan harta Yang dijalankan Dengan mengambil) riba dan ia pula mengembangkan (berkat harta Yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang kekal terus Dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

 

Kedua: Mengamalkan al-Qardul Hasan yakni memberi pinjaman tanpa riba dan memberi peluang kepada yang tidak berkemampuan untuk membayar hutang dengan baik sesuai dengan firman Allah s.w.t:

  

Maksudnya: dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) Bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

Kaedah memberikan cuti bagi peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka pada waktu tertentu seperti musim persekolahan seperti yang dilaksanakan Bank Islam amat wajar dengan kaedah ini.

 

Ketiga: Menjauhi Amalan Hidup Berhutang sesuai dengan hadis Nabi s.a.w daripada Aisyah r.a kata beliau: “Adalah Rasulullah s.a.w berlindung (kepada Allah) daripada belenggu hutang”.[Riwayat al-Humaidi]. Demikian lagi mereka yang berhutang kerana perlu, apabila mampu membayarnya hendaklah bersegera membayar sesuai sabda Nabi s.a.w: “Sengaja melengahkan pemabayaran hutang bagi orang kaya (yang mampu membayarnya) adalah kezaliman”[Ahmad, Ibn Majah, at-Tarmizi].

 

Keempat: Mengelakkan Pembaziran. Ini kerana diakui antara punca kemelesetan ekonomi adalah kadar inflasi yang tinggi yang tentunya berpunca daripada pembaziran dan perbelanjaan kepada perkara yang tidak perlu. Pembaziran adalah dosa yang sangat besar dalam Islam sebagaiman Firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat ke-27:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

 

Kaum Mukminin yang dirahmati Allah,

Inilah sebahagian langkah-langkah yang perlu dalam mengatasi dan mengelak kemelut ekonomi yang dahsyat. Dalam kata yang ringkas dan padat apa yang perlu kita lakukan adalah kembali kepada sistem ekonomi Islam yang sesuai dengan manhaj al-Salaf al-Soleh dan menjauhi segala bentuk sistem pemikiran dan ekonomi yang menyimpang. Apa yang berlaku hari ini boleh diibarat sebagai ‘Tsunami Ekonomi’ yang menajdi peringatan daripada Allah kepada hamba-hambaNya utuk kembali kepada ajaranNya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: