BERTUTUP TAPI TELANJANG

30 Nov

feseyen syaitan

feseyen syaitan

Allah S.W.T telah berfirman dalam Al-Qur’an Al-Karim:

 

 

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.- An-Nur:31

Dalam ayat di atas Allah S.W.T dengan jelas mengharamkan para wanita menampakkan perhiasan diri mereka kepada lelaki yang bukan mahram, Allah S.W.T melarang mereka menghentak kaki supaya tidak kedengaran gelang kaki mereka yang mereka pakai oleh lelaki yang bukan mahram. Ayat ini jelas sekali menerangkan perhiasan yang diharamkan syara’ untuk menzahirkannya ialah perhiasan khalqiyyah dan perhiasan muktasabah.

Perhiasan dapat dibahagi menjadi dua, iaitu; 1. Perhiasan Khalqiyyah iaitulah aurat badan mereka iaitulah seluruh tubuh mereka dan sebahagian ulama’ mengecualikan muka dan tapak tangan. 2. Perhiasan Muktasabah iaitulah perhiasan tambahan yang terdiri daripada gelang, pakaian yang berhias-hias, mekap wajah mereka seperti pemerah bibir dan bedak, pakaian yang menarik perhatian dan sebaginya.

Allah S.W.T juga dalam ayat yang lain melarang wanita itu bertabarruj:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: ” dan hendaklah kamu tetap diam di Rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – Wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari Segala perkara yang keji)”.Al-Ahzab:33

Tabarruj bermkasud menzahirkan (memperlihatkan) perhiasan kepada lelaki yang bukan mahram. Dalam ayat ini Tabarruj Jahiliyyah Al-Ula adalah bentuk atau cara berpakaian yang dilakukan oleh wanita-wanita zaman sebelum Islam iaitu antara zaman Nabi Isa A.S sehingga Nabi Muhammad S.A.W.  Kata Imam Mujahid dalam mentafsirkan ayat ini bahawa adalah wanita dahulu (Jahiliyyah Al-Ula) keluar dari rumah mereka dan berjalan di hadapan lelaki (bukan mahram). Kata Qatadah (dalam nada yang sama dan menambah lagi penerangan pada qaul Mujahid): Adalah mereka (wanita) itu berjalan dalam keadaa.n melentuk liuk.(Tafsir Al-Qur’an Al-Azhim, Abul Fida’ Ismail Ibn Kathir,Jil 4, m/s 410).

Antara bentuk Tabarruj Jahiliyyah Al-Ula juga adalah wanita-wanita menggunakan pakaian yang dibuat daripada mutiara dan permata lalu mereka keluar berjalan sehingga melihat akan lelaki ajnabi pada pakaian mereka itu-(Tafsir Al-Khazin,Ali bin Muhammad Asy-Syihi Al-Khazin, jil 5 m/s 191).

Maka jelaslah bahawa Allah S.W.T melarang wanita-wanita mukmin meniru gaya-gaya wanita jahiliyyah yang berhias selain untuk suami dan mahram mereka. Kata Syeikh Wahbah Az-Zuhaili : “ dan termasuk bentuk tabarruj itu ialah berjalan dengan melentuk liuk dan gerakan yang menimbulkan syahwat”.-( Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, jil 9, m/s 319).

Nabi S.A.W bersabda:

أبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم صنفان من أهل النار لم أرهما قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس ونساء كاسيات عاريات مميلات مائلات رءوسهن كأسنمة البخت المائلة لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها ليوجد من مسيرة كذا وكذا

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A. berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “ Dua golongan ahli neraka yang aku belum lihat (akan wujudnya pada masa hidup baginda) iaitulah satu kaum yang membawa cemeti seperti ekor-ekor lembu memukul manusia dengannya(sesuka hati) dan golongan wanita yang bertutup tetapi telanjang, menarik dan tertarik kepala mereka seperti bonggol untu yang senget, wanita-wanita ini tidak akan masuk ke syurga dan tidak pula mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak sekian-sekian…-Riwayat Muslim.

Ulama’ Muhaddisin (Ahli Hadis) menyatakan beberapa makna bagi wanita yang bertutup tapi telanjang ini antaranya mereka yang berpakain nipis, mereka yang berpakaian ketat, mereka yang menutup aurat tetapi akhlak mereka tidak baik. Dalam hadis itu baginda Nabi S.A.W menyatakan sifat mereka sebagai “mumilat” iaitu yang menarik perhatian lelaki dalam gerak langkahnya. Jadi jelas di sini bahawa maknanya mereka ini wanita yang menutup aurat tetapi gerak langkah mereka masih lagi menarik perhatian lelaki dan menimbulkan syahwat sama ada kerana pakaian mereka itu ketat atau jarang mahupun kerana berkelip-kelip berhias-hias yang menarik perhatian ataupun peragai mereka serta cara berjalan yang melentok lenggok di hadapan lelaki ajnabi.

Jadi jelaslah bahawa apa yang dibuat manusia-manusia durjana menipu menggunakan nama Allah S.W.T dan berdusta atas nama Rasulullah S.A.W. dengan apa yang dinamakan pertunjukan busana muslimah atau pun fesyen Islam adalah haram dan termsuk dosa besar, pelakunya diajnjikan neraka oleh Rasulullah S.A.W.

Tidakkah anda melihat mereka ini mengenakan pakaian jubah dan sebagainya tetapi berjalan lenggok-lenggok di hadapan lelaki ajnabi? Bukankah pakaian mereka yang diperagakan itu berhias-hias menarik perhatian?jika tidak menarik perhatian maka takkan jadilah pertunjukan fesyen namanya kan? Maka hendaklah para ulama’ dan umara’ mengambil perhatian besar terhadap hal ini.Ini merupakan maksiat yang jelas dan bidaah yang nyata dalam cara menutup aurat. Menutup aurat itu ibadah yang telah ditentukan syara’ syarat-syaratnya maka mengadakan cara-cara yang tidak menepati syarat-syarat itu adalah bidaah.

Nabi S.A.W. telah berpesan jika kita melihat golongan ini hendaklah kita melaknat mereka:

سيكون آخر أمتي نساء كاسيات عاريات على رؤسهن كأسنمة  البخت ، العنوهن فإنهن ملعونات

Maksudnya: “Akan ada di akhir masa umatku ini wanita-wanita yang bertutup tetapi telanjang atas kepala mereka seakan-akan bonggol unta, laknatlah mereka kerana mereka dilakat”- [Riwayat Ahmad,Al-Hakim, Tabrani, dan Ibn Hibban].

Ini menunjukkan betapa besarnya dosa tabarruj dan mendedahkan aurat. Perlu difahami juga bahawa Tabarruj lebih umum dari mendedahkan aurat. Seorang wanita yang tidak bertudung atau memakai t-shirt lengan pendek maka dia telah mendedahkan aurat dan bertabarruj, adapun seorang wanita yang berpurdah litup dari hujung rambut ke hujung kaki namun bajunya bermanik-manik, bercorak-corak yang menarik perhatian maka dia bertabarruj dan tetap dilaknat oleh Allah dan RasulNya- waliyazubillah- dan melakukan dosa besar sama seperti dia tidak memakai tudung dan membuka aurat juga.

Hendaklah wanita muslimah mengetahui tujuan disyariatkan mereka menutup aurat adalah supaya mereka berakhlak sopan dan tidak dikacau oleh orang-orang yang lemah imannya ini jelas dalam firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.-Al-Ahzab:59

Maka jika dia memakai pakain yang berlitup tetapi cara berjalan, cara bercakap, dan lain-lain masih menimbulkan kegahirahan lelaki maka hikmah tadi ternafi maka sama sahajalah dia dengan wanita yang menaikkan ghairah lelaki dengan mendedahkan aurat atau berpakaian ketat.

 

 Allah S.W.T berfirman:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan”).-Al-Ahzab:32

Dalam ayat ini dengan jelas Allah melarang wanita Islam menjaga adab tutur katanya dan janganlah mereka mendayu-dayukan suara yang boleh menarik perhatian lelaki. Ini dalil yang jelas mengharamkan wanita menyanyi. Mana mungkin syara’ melarang wanita melaungkan azan kemudian mebenarkan dia menyanyi dan didengari pula lelaki ajnabi? Adapun hadis-hadis jariah yang menyanyi maka hendaklah diketahui janganlah kita menjadi jahil bahawa jariah mempunyai hukum yang khas berkenaan dengan aurat misalnya mereka tidak diwajibkan berjilbab, aurat mereka hanya dari pusat hingga ke lutut dan lain-lain. Maka mengqiaskan jariah dengan wanita yang merdeheka adalah qias ma’al fariq (qias dengan perkara yang berbeza) maka qias ini batil.

Oleh yang demikian jelaslah sudah bahawa menutup aurat itu mempunyai konsep yang luas bukan sempit dan memerlukan syarat-syarat zahir dan batin demi mencapai hikmah pensyariatannya. Kita tidak perlu lagi berasa hairan atau ragu jika kita terdengar ada wanita bertudung melakukan zina atau maksiat lainnya, wanita bertudung masih dikacau,dirogol dan sebagainya. Bertudung jika sekadar trend kita katakan wanita Jahliyyah juga bertudung namun tudung jahiliyyah tidak sama dengan tudung Islam, Islam menekankan menutup aurat bukan sekadar bertudung. Hendaklah muslimah hari ini memerhatikan kembali diri mereka dan menailai sejauh manakah mereka sudah menepati kehendak syara’ dalam menutup aurat dan mentaati perintah Allah S.W.T. Janganlah kita tertipu dengan jarum-jarum suntikan barat yang sentiasa bekerja 24 jam sehari untuk menghancurkan umat Islam sama ada memesongkan mereka ke arah maksiat yang jelas mahupun dengan menyesatkan mereka dalam rangka menunaikan tuntutan agama.

Pihak media perlu lebih prihatin dengan apa yang mereka akan siarkan, hendaklah mereka pastikan rancangan Islami itu tidak terkeluar dari aqidah dan ibadah Ahli Sunnah wal Jamaah. Rancangan Busana Mulimah yang diciplak berdasarkan sebuah rancangan Indonesia adalah terbitan puak-puak Muktazilah Baru atau Islam Liberal yang telah menjadikan Agama  mereka permainan hawa nafu mereka. Hendaklah kaum muslimin menjaga kaum muslimat daripada tertipu dengan perangkap halus kaum Kuffar dalam peperangan saraf yang sedang kita hadapi sekarang ini. Semoga kita diselamatkan Allah daripada segala fitnah..Amin…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: