HUKUM KUBAH HIJAU

17 Dec

Kubah Hijau

PENGENALAN KEPADA KUBAH HIJAU DAN SEJARAHNYA

Dalam sejarah Islam, terdapat dua Kubah Hijau iaitulah pertamanya Kubah Hijau Baghdad yang merupakan bumbung istana Darul Khilafah (Istana Khalifah) Bani Abbasiah yang dibina oleh Khalifah al-Mansur r.h[1].

Kedua adalah Kubah Hijau yang menaungi Kubur Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda Abu Bakar dan Umar r.a. Kubah Hijau inilah yang dimaksudkan dalam tulisan ini dan sebagaimana yang tertera di dalam gambar di atas.

Kubah Hijau ini dibina pada zaman kesultanan Mamalik tahun 678 H. Sultan ketika itu adalah Qalawun al-Alfi al-Solihi. Pada zaman Usmaniah, di era Sultan Abdul Hamid II bersamaan tahun 1228 H kubah ini dicat dengan warna hijau.

Maka, daripada segi sejarah kubah ini, kita dapati ia tidak dibina di zaman Rasulullah s.a.w, tidak juga zaman Khulafa’ al-Rasyidin, tidak juga zaman tabiin, bahkan tidak juga zaman tabi’ tabiin. Maka, pembinaan kubah ini langsung tidak menjadi dalil keharusan membina kubah di atas kubur.

Kedudukan Kubur Nabi s.a.w dan Dua Sahabat Baginda

Kubur Nabi s.a.w, Abu Bakar r.a, dan Umar r.a bukanlah di dalam Masjid Nabawi sebagaimana sangkaan sesetangah manusia tetapi kubur baginda berada di luar daripada kawasan Masjid iaitu berada dalam bilik (rumah) Aisyah r.a sedangkan rumah Aisyah r.a ini melekat dengan masjid yakni dinding rumah Aisyah bercantum dengan dinding masjid. Namun, para ulama telah ijmak bahawa bangunan yang melekat dengan masjid bukanlah sebahagian daripada masjid selama mana ia tidak dimasukkan ke dalam kawasan masjid[2].

Pada tahun 88 Hijrah dalam bulan Rabul Awwal, Khalifah al-Walid bin Abdul Malik al-Umawy memerintahkan gabenornya, Umar bin Abdul Aziz r.h untuk meluaskan Masjid Nabawi dan meruntuhkan rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w untuk dijadikan kawasan masjid. Fuqaha Sepuluh tidak bersetuju kerana mereka tidak mahu rumah-rumah Ummuhatul Mukminin yang menjadi lambang kehidupan zuhud Rasulullah s.a.w  namun Al-Walid bertekad juga untuk melaksanakannya. Rumah Aisyah r.a berada di sebelah timur masjid dan qiblat berada di selatan.

Oleh sebab ini Said bin al-Musayyab r.h tidak bersetuju memasukkan bilik Aisyah dalam masjid kerana takut kawasan kubur Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda dijadikan sebagai kawasan masjid[3].

Namun, para tabiin rahiamahumullah memahami perkara ini lalu mereka memisahkan kubur Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda daripada masjid dengan tiga tembok. Berkata Ibn Qayyim r.h :

ودعا بأن لا يجعل القبر الذي قد ضمه وثنا من الأوثان

فأجاب رب العالمين دعاءه وأحاطه بثلاثة الجدران

Maksudnya : “dan baginda berdoa supaya kuburnya tidak menjadi berhala yang disembah, maka Tuhan sekalian ‘alam memperkenankan doanya dan kuburnya diliputi 3 lapis dinding”[4].

Ini kerana, sebaik ditanam Rasulullah s.a.w dijadikan dinding memisahkan kawasan tempat tinggal Aisyah dengan kawasan kubur. Maka jadilah rumah beliau dua bahagian. Kemudian, setelah dtanam Umar, Aisyah berpindah dan dijadikan dinding yang menutup terus rumah tersebut kecuali tingkapnya sahaja. Kemudian apabila zaman al-Walid, Umar bin Abdul Aziz membina sebuah lagi dinding dan dijadikan dinding bahagian utara (yakni kawasan kubur) berbentuk tiga segi supaya apabila orang bersolat tidak menghadap kubur. Jarak antara dindng Umar dengan dinding sahabat adalah jauh. Maka dinding Umar ini sekaligus mengeluarkan kawasan perkuburan Rasulullah s.a.w dan dua sahabat baginda daripada kawasan masjid. Maka dindng yang menjadi pagar kawasan kubur dengan kawasan masjid inilah yang bercamtum dengan masjid. Selepas itu, dibina pula diding ketiga yang memisahkan dinding Umar dengan masjid. Jadilah dinding yang ketiga inilah yang bercantum dengan masjid. Di atas asas dinding yang ketiga inilah berdirinya Kubah Hijau. Kemudian dibina pula pagar besar selepas dinding ketiga dan jarak antara pagar besi ini daripada dinding ketiga adalah 1 meter setengah sehingga 82 meter. Setiap dinding in tidak mempunyai sebarang pintu atau lubang sehingga sesiapa yang menjenguk melalui pagar ini, yang dlihat hanyalah kawasan dinding ketiga dan kawasan kubur masih jauh ke dalam[5]. Oleh itu, jelas bahawa kubur Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda bukanlah berada dalam kawasan masjid tetapi kekal di dalam bilik Aisyah r.a.

Larangan Rasulullah s.a.w Menjadikan Kubur Sebagai Tempat Ibadat

عن عائشة – رضي الله عنها – « أن أم سلمة ذكرت لرسول الله صلى الله عليه وسلم كنيسة رأتها بأرض الحبشة وما فيها من الصور ، فقال : ” أولئك شرار الخلق عند الله ، أولئك إذا مات فيهم الرجل الصالح أو العبد الصالح بنوا على قبره مسجدا ، وصوروا فيه تلك الصور ، أولئك شرار الخلق عند الله »

Maksudnya : Daripada Aisyah r.a : Bahawa Ummu Salamah r.a menceritakan kepada Rasulullah s.a.w berkenaan sebuah gereja yang dilihatnya d Habsyah dan berkenaan gambar-gambar yang ada di dalamnya, maka sabda Nabi s.a.w : “Itulah sekeji-keji makhluk di sisi Allah, mereka itu (Kristian) apabla mati seorang lelaki soleh dalam kalangan mereka, mereka bina di atas kuburnya masjid (tempat ibadat) dan mereka lukis gambar-gambar itu, merekalah sekeji-keji makhluk di sisi Allah”. [al-Bukhari dan Muslim].

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani :

وَفِيهِ كَرَاهِيَة الصَّلَاة فِي الْمَقَابِر سَوَاء كَانَتْ بِجَنْبِ الْقَبْر أَوْ عَلَيْهِ أَوْ إِلَيْهِ

Maksudnya : “dan pada hadis ini menunjukkan dibenci untuk bersolat di perkuburan sama ada bersebelahan kubur atau di atasnya atau menghadapnya”[6].

Imam al-Nawawi r.h dalam Syarahnya terhadap Sahih Muslim meletakkan hadis di atas dalam bab : “Bab Larangan Membina Masjid di atas Kubur dan Membuat Gambar-gambar di Dalamnya”[7].

Daripada Aisyah r.a juga katanya :

“لما نُزل برسول الله – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- طفق يطرح خميصة له على وجهه، فإذا اغتم بها كشفها، فقال وهو كذلك: “لعنة الله على اليهود والنصارى اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد” يحذِّر ما صنعوا، ولولا ذلك أُبرز قبره، غير أنه خُشي أن يُتخذ مسجداً

Maksudnya : “Apabila Rasulullah s.a.w didatangi kematian (dalam nazak), baginda menutup wajahnya dengan kain, apabila susah untuk bernafas baginda membukanya lalu bersabda dalam keadaan itu : Laknat Allah ke atas Yahudi Nasrani yang menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid. (kata Aisyah) Baginda melarang umatnya berbuat demikian, jika tidak tentulah akan dizahirkan kubur baginda tetapi takut ianya dijadikan kuburan”. [al-Bukhari dan Muslim].

Menurut Imam al-Nawawi, maksud Aisyah r.a dengan tidak dizahirkan kuburan Nabi s.a.w adalah dengan membina tiga dinding yang kami sebutkan. Jadi jelaslah daripada hadis ini, para sahabat berpandangan dengan adanya tiga dinding itu, kuburan Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda tidak termasuk dalam kawasan masjid[8].

Daripada Jundub r.a, Nabi s.a.w bersabda :

وإن من كان قبلكم كانوا يتخذون قبور أنبيائهم وصالحيهم مساجد ألا فلا تتخذوا القبور مساجد إني أنهاكم عن ذلك

Maksudnya : “dan sesungguhnya umat sebelum kamu mereka menjadikan perkuburan Nabi-nabi mereka dan orang-orang soleh mereka sebagai masjid (tempat ibadat), maka janganlah kamu jadikan kuburan sebagai masjid sesungguhnya aku melarang kamu daripada melakukan perkara itu”. [Muslim].

Hadis ini jelas menunjukkan haramnya menjadikan kuburan sebagai tempat ibadat. Perkara ini adalah ijmak ulama Ahli Sunnah wal Jamaah[9].

Dalam riwayat Malik dan Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

“اللهم لا تجعل قبري وثناً يُعبد. اشتد غضبُ الله على قوم اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد”

Maksudnya : “Ya Allah, Janganlah Engkau jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah, amat besar kemurkaan Allah atas kaum yang menjadikan kuburan Nabi-nabi sebagai masjid”[10].

Hadis ini menunjukkan larangan berlebih-lebih terhadap kubur sehingga menjadikan berhala yang disembah.

عن ابن عباس -رضي الله عنهما- قال: “لعن رسول الله -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- زائرات القبور، والمتخذين عليها المساجد والسُّرج”

Maksudnya : Daripada Ibn Abbas r.a katanya : “Rasulullah s.a.w telah melaknat wanita-wanita yang melazimi ziarah kubur, orang yang menjadikannya (kubur) sebagai masjid, dan yang meletakkan lampu (di kubur)”. [Riwayat Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad].

Hadis ini melarang kita berlebih-lebihan menyanjung kuburan kerana akan membawa kepada syirik. Oleh itu, menyanjung kuburan dengan menghiasinya dan sebagainya adalah dosa besar. Nauzubillah min zalik.

Hukum Membuat Binaan Kubur

Hukum membuat binaan kubur adalah dilarang dalam syariat Islam kerana ia termasuk perkara yang membawa kepada pemujaan kubur dan menjadikannya tempat ibadat.

Terdapat beberapa hadis sahih yang melarangnya :

عنْ أبي وَائِلٍ، أَنّ عَليَا قالَ لأَبِي الهَيّاجِ الأسَدِيّ: أبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِي به النبيّ صلى الله عليه وسلم: “أنْ لاَ تَدَع قَبْراً مُشْرِفاً إلاّ سَوّيْتَهُ، ولاَ تِمْثَالاً إلاّ طَمَسْتَهُ”

Maksudnya : Daripada Abu Wael bahawa Ali r.a berkata kepada Abul Hiyaj al-Asadi : “Aku menghantarmu (dengan suatu perintah) sebagaimana Rasulullah s.a.w menghantarku (dengan suatu perintah)iaitu janganlah kamu membiarkan kuburan yang ditinggikan melainkan engkau ratakan dan janganlah kau biarkan patung melainkan engkau pecahkan”. [Riwayat al-Jamaah kecuali al-Bukhari dan Ibn Majah].

Dalam hadis ini terdapat larangan keras membina kuburan dan berkata al-Syaukani r.h :

وَمِنْ رَفْعِ الْقُبُورِ الدَّاخِلِ تَحْتَ الْحَدِيثِ دُخُولًا أَوَّلِيَّا الْقُبَبُ وَالْمَشَاهِدُ الْمَعْمُورَةُ عَلَى الْقُبُورِ

Maksudnya : “dan termasuk secara lebih aula larangan meninggikan kuburan yang dilarang dalam hadis adalah kubah-kubah dan mashad-mashad yang dibina di atas kubur”[11].

عن جابر قال : نهى رسول الله صلى الله عليه و سلم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه

Maksudnya : Daripada Jabir r.a kata beliau :”Rasulullah s.a.w telah melarang untuk menyemen kubur dan duduk di atasnya dan membuat binaan atasnya”[12].

Hadis ini menunjukkan Rasulullah s.a.w melarang kita daripada mengapur kubur atau menyemennya, duduk di atas kubur, dan membuat binaan di atasnya. Maka, jikalau sekadar menyapu semen atau kapur pun dilarang oleh syarak kerana takut membawa kepada syirik dan pemujaan kubur bagaimana pula dengan membina kubah dan bangunan-bangunan mewah di atasnya.

Berkata al-Husoini al-Syafii r.h :

ويكره تجصيصه والكتابة عليه وكذا البناء عليه فلو بني عليه إما قبة أو محوطا ونحوه نظر إن كان في مقبرة مسلبة هدم لأن البناء والحالة هذه حرام

Maksudnya : “dan dimakruhkan menyemen (mengapur) kubur dan menulis di atasnya demikian lagi membuat binaan atasnya, maka jika dibina atasnya sama ada kubah atau pagar dan seumpamanya dilihat; jika ianya perkuburan waqaf (kubur awam) maka dimusnahkan (binaan) kerana membuat binaan  dalam keadaan ini adalah haram”[13].

Berkata pengarang Manarus Sabil[14] :

ويكره تزويقه ، وتجصيصه ، وتبخيره لقول جابر نهى النبي صلى الله عليه وسلم أن يجصص القبر ، وأن يبنى عليه ، وأن يقعد عليه رواه مسلم ، زاد الترمذي وأن يكتب عليها . وتقبيله ، والطواف به والصحيح تحريمه ، لأنه من البدع ، وقد روي أن ابتداء عبادة الأصنام تعظيم الأموات

Maksudnya : “dan dimakruhkan menghiasnya (kubur), menyemennya, dan  memberikannya wangian berdasarkan hadis Jabir Nabi s.a.w melarang disemen kubur dan dibina atasnya dan diduduk atasnya; diriwayatkan Muslim, al-Tarmizi (dalam riwayatnya) menambah : dan (dilarang) menulis di atasnya. Demikian juga menciumnya dan tawaf mengelilinginya. Adapun yang sahih adalah diharamkannya kerana ianya termasuk bidaah dan telah diriwayatkan bahawa permulaan menyembah berhala adalah memuja orang mati”[15].

Berkata Ibn Hajar al-Haitami r.h :

وَتَجِبُ الْمُبَادَرَةُ لِهَدْمِهَا وَهَدْمِ الْقِبَابِ الَّتِي عَلَى الْقُبُورِ

Maksudnya : “dan wajib bersegera memusnahkannya (masjid-masjid di atas kubur) dan kubah-kubah yang berada di atas kuburan”[16].

Daripada kenyataan ulama di atas, kita dapati bahawa para ulama telah bersepakat dilarang membina kubah di atas kubur. Namun, mereka berbeza pendapat apakah hukum larangan itu sama ada makruh atau haram. Ini jika kubah ini tidak dijadikan tempat ibadat dan bukan di perkuburan awam. Adapun jika kubah ini dijadikan sebagai tempat bertabaruk, membayar nazar dan bersolat serta seumpamanya daripada ibadat, maka mereka bersepakat ianya haram dan wajib diruntuhkan.

Kedudukan Kubah Hijau

Hadis-hadis di atas jelas tidak menegcualikan kuburan Nabi s.a.w bahkan kuburan baginda lebih utama untuk dibersihkan daripada perkara-perkara makruh apatah lagi haram. Oleh itu, sekurang-kurang hukum Kubah Hijau hari ini adalah makruh yakni dibenci oleh Allah s.w.t kerana ia tidak lagi menjadi tempat syirik setelah dikawal oleh Kerajaan Arab Saudi. Tetapi kami melihat, pendapat yang rajih adalah haram membina sebarang kubah di atas kubur kerana ia termasuk dalam erti kata ‘Tasyrif’ yang diperintah Rasulullah s.a.w supaya diratakan. Inilah pendapat sekumpulan Hanabilah, Syafiiah, dan dirajihkan al-Syaukani r.h.

Oleh itu, yang afdalnya hendaklah kerajaan Saudi dan sekalian kerajaan-kerajaan Islam[17] berusaha membuang Kubah Hijau ini supaya tidak menjadi fitnah kepada mereka yang jahil dan generasi mendatang. Demikian lagi wujudnya kubah ini adalah penghinaan kepada Rasulullah s.a.w dan menyalahi sunnah baginda. Oleh itu, amat tidak layak untuk dibiarkan kubah ini terus wujud.

Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi menyatakan :

“Tidak sah berhujjah dengan perbuatan manusia membina kubah di atas kubur Nabi s.a.w bahawa harus membina kubah di atas kubur-kubur lainnya sama ada orang soleh atau bukan, kerana pembinaan mereka akan kubah di atas kubur Nabi s.a.w itu adalah haram dan pembuatnya berdosa kerana menyalahi akan apa yang sabit daripada Abul Hiyaj al-Asadi : ‘Berkata kepadaku Ali bin Abu Talib r.a : Aku mengutusmu sebagaimana Rasulullah s.a.w mengutusku supaya tidaklah engkau biarkan kubur yang ditinggikan melainkan engaku ratakan dan sebuah patung melainkan engkau pecahkan’…” [Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi, 9/83]. Wallahua’lam.

 


[1] Tarikh Baghdad, 1/31-32. Kubah ini bertahan selama 180 tahun lebih sehingga ia runtuh di zaman al-Wasiq Billah (329 H).

[2] Sebagai contoh kawasan Sa’i walaupun bercantum dengan bangunan Masjidil Haram namun ia bukan kawsan masjid. Maka wanita yang haid dan orang junub masih boleh memasukinya dan melakukan sa’i.

[3] Al-Bidayah wan Nihayah, 9/89-90

[4] Al-Qasidah al-Nuniah, 252.

[5] Al-Tamhid fi Syarhi Kitab al-Tauhid, 365-368.

[6] Fathul Bari , 2/148

[7] Al-Minhaj, 5/11

[8] Ibid, 5/14.

[9] Lihat Tashniful Asma’ bi Ba’di Masail Ijmak.

[10] Muwatta’ (85), Ahmad, 2/246. Lihat : al-Mulakhas fi Syarhi Kitab al-Tauhid, 1/178.

[11] Nailul Autor, 6/276

[12] Muslim (970)

[13] Kifayatul Akhyar, 1/164

[14] Iaitulah Ibn Dauban, Ibrahim bn Muhammad. Wafat pada tahun 1353 H.

[15] Manarus Sabil, 1/117.

[16]Al-Zawajir,  1/386

[17] Usaha ini mesti datang daripada OIC dan Rabitah Fiqh Sedunia sepertimana usaha meluaskan tempat Saie yang melibatkan fatwa setiap majlis fatwa negara Islam supaya Ahli Bidaah tidak memiliki hujah ke atas Ahli Sunnah untuk memfitnah mereka.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: