PEMBETULAN TERHADAP PANDANGAN TUN MAHATHIR

11 Jan

OLEH : MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Pada pukul 10.30 p.m, Jumaat, 9 Januari 2009, Y.Bhg Tun Dr. Maharthir Mohamad telah dijemput dalam rancangan Blog @1 kelolaan TV1 RTM. Saya amat tertarik dalam perbincagan yang menumpukan isu Palestin dan Gaza yang turut menjadi tajuk utama di Blog Tun Mahathir.

Namun, saya berasa bertanggungjawab untuk membetulkan pandangan Tun bahawa Isu Israeli bukanlah satu ‘Isu Agama’. Pandangan Tun ini sangat bertentangan sekali dengan akidah Islam yang murni. Saya amat menghargai pandagan Tun berkenaan Isu Gaza dan Palestin dan anggaplah pembetulan terbuka ini sebagai tanda penghargaan saya terhadap buah fikiran Tun.

Punca permusuhan sebenar antara Islam dan Yahudi adalah perbezaan akidah yang dinauti. Islam mengajar umatnya supaya berlepas diri dan mengambil sikap benci dan bermusuhan terhadap segala bentuk syirik dan kekufuran terhadap Allah s.w.t. Bahkan jika kita lihat makna Islam itu sendiri sudah jelas sebagaimana dinyatakan para ulama al-Salaf al-Soleh sebagai :

الاستسلام لله بالتوحيد ، والانقياد له بالطاعة ، والبراءة من الشرك وأهله

Maksudnya : “(Islam itu) menyerah diri kepada Allah dengan mentauhidkan-Nya, mengikut perintah-Nya dengan ketaatan kepada-Nya, dan berlepas diri daripada syirik dan ahlinya” [al-Usul al-Salasah, Syeikh Muhammad al-Tamimi].

Oleh itu, dalam akidah Islamiah, perkara puncak akidah adalah akidah al-Wala’ dan al-Bara’ yakni memberikan kesetiaan kepada kaum mukminin dan berlepas diri daripada ahli syirik dan kufur.

Kewajipan memberikan kesetiaan kepada kaum mukminin ini jelas dalam firman Allah s.w.t :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara..” [al-Hujurat : 10]

Sabda Nabi s.a.w pula :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya : “Tidak beriman seseorang kamu (dengan iman yang sempurna) sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri” [al-Bukhari].

Maksud saudara dalam hadis ini adalah sesuai dengan firman Allah s.w.t dalam ayat di atas iaitu saudara seagama dan seiman.

Kemudian Allah s.w.t juga melarang kita menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, teman setia, dan sahabat karib :

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya : “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya”. [al-Mujadilah : 22]

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah s.w.t melarang kita mencintai dan memberi kesetiaan kepada kaum kafir walaupun mereka itu kaum kerabat kita sendiri. Kita tidak boleh membela mereka mahupun membantu mereka dalam melakukan kekufuran dan syirik kepada Allah s.w.t.

Sabda Nabi s.a.w :

أوثق عرى الإِيمان الحب في الله والبغض في الله

Maksudnya : “Akar Iman yang paling teguh adalah mencintai kerana Allah dan memusuhi kerana Allah” [Ibn Abi Syaibah, al-Tayalisi].

Namun, perlu difahami Islam tidak melarang umatnya untuk menjalankan perniagaan dengan kaum kafir yang tidak menzahirkan permusuhan dengan Islam, berbuat baik dan berkhidmat kepada ibu bapa yang bukan Islam, menegakkan keadilan terhadap kaum kafir yang tertindas dan seumpamanya tetapi Islam melarang kita meredai perbuatan syirik mereka dan hendaklah kita terus berdakwah kepada mereka kepada Islam. Allah menjelaskan perkara ini dalam firman-Nya :

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya : “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [al-Mumtahanah : 8]

Dalam sebuah hadis sahih bahwa ibu Asma’ binti Abu Bakar r.a datang menziarahinya di Madinah semasa perjanjian Hudaibiah dan menghadiahkannya hadiah. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan perkara ini lalu Allah s.w.t menurunkan firman-Nya ini. [Tafsir Ibn Kasir, 8/90].

Maka perlu difahami di sini Islam melarang kita ‘bermawaddah’ terhadap orang kafir tetapi Islam tidak melarang kita melakukan ‘Ihsan’ dan ‘Birr’ kepada mereka. Mawaddah bermaksud cinta dan kasih sayang, adapun Ihsan dan Birr adalah berbuat kebaikan walaupun kita membenci seseorang.

Seorang muslim yang melakukan maksiat, kita membenci perbuatan maksiatnya, tetapi kita mencintainya sebagai saudara kita, kita mendoakannya, kita menasihatinya, kita tidak melaknatnya tetapi orang kafir yang berbuat baik kepada kita, kita tidak boleh mencintainya dan mendoakan kebaikan buatnya kecuali kita berdoa supaya Allah memberinya hidayah kepada Islam. Adapun orang kafir yang memerangi kita, kita membencinya dan kita tidak berbuat ihsan kepadanya, kita tidak membantunya bahkan kita memeranginya semula.

Oleh itu, kita perlu jelas dalam masalah kita dengan Yahudi berdasarkan kaedah akidah al-wala dan al-bara ini. Kita memushui Yahudi kerana mereka syirik dan kufur kepada Allah s.w.t tetapi kita memerangi mereka kerana mereka memerangi kita dan menyekat dakwah kita dan mencerca agama kita. Allah s.w.t berfirman :

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya : “dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas kerana Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampui batas.” [al-Baqarah : 190]

Dalam ayat ini, Allah s.w.t memerintahkan kita memerangi kaum kafir yang memerangi kita dan peperangan itu hendaklah berdasarkan menuntut keredaan Allah. Jelas daripada suruhan berperang dalam menuntut keredaan Allah, mempertahankan bumi Palestin termasuk suruhan agama. Apabila ia daripada suruhan agama, ia termasuk urusan agama. Hendaklah Tun fahami agama Islam ini bukanlah sempit dan terpencil dalam urusan kerohanian solat, puasa, dan zikir sahaja. Bahkan Jihad termasuk perkara kerohanian terbesar dalam Islam.

Nabi s.a.w bersabda :

 ذُِرْوَةُ سَنَامِ الإِسْلاَمِ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ

Maksudnya : “Kemuncak Islam adalah Jihad di Jalan Allah” [Ahmad]

Oleh kerana mempertahankan bumi Palestin adalah Jihad fi Sabilillah, dan Jihad fi Sabilillah adalah urusan agama, maka natijah yang kita dapat adalah Palestin adalah urusan agama. Lebih-lebih lagi kita maklum Palestin adalah tempat letaknya Masjid al-Aqsa dan tempat Isra’ Rasulullah s.a.w dan bermulanya Mikraj baginda di Palestin. Hakikat ini perlu disedari Umat Islam sehingga mereka tidak lagi mengharapkan kaum kafir untuk menyelesaikan masalah mereka.

Kita amat sedih dengan tindakan bekas Presiden Palestin, Abu Mazin Mahmud Abbas yang sentiasa mengharap pihak barat yang kafir itu menyelesaikan masalah Umat Islam Palestin. Apabila Raja Abdullah Al Saud mengadakan perjanjian di antara Fatah dan Hamas di hadapan Kaabah untuk meleraikan pertikaian dua pihak, pihak Fatah sanggup mencabuli perjanjian itu lalu bertadah ke Amerika Syarikat untuk meminta penyelesaian.

Semua ini berpunca kerana melihat isu Palestin hanyalah isu orang Arab atau lebih sempit dan lebih teruk isu dalaman Negara Palestin. Jika benar Palestin adalah isu Arab atau bukan isu agama, kenapakah OIC ditubuhkan, khas untuk memelihara Palestin? Penubuhan OIC jelas memberi isyarat Isu Palestin adalah isu Umat Islam dan apabila ianya isu umat Islam, ia menjadi urusan agama.

Demikianlah saya nyatakan hujah dan dalil yang jelas insyaAllah bahawa isu Palestin sama ada dari sudut naqli (nas-nas wahyu) mahupun aqli (akal dan logik) adalah isu agama bukan isu biasa. Saya berharap pihak Tun dan yang sealiran mengubah perspektif ini dan memberi tumpuan menyatukan Umat Islam di bawah Panji Tauhid untuk berjihad membebaskan Palestin dan seluruh negara Islam daripada penjajahan kafir sama ada dalam bentuk hissi mahupun maknawi. Wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: