DEMONSTRASI MEMBELA PALESTIN: SEJAUH MANA MEREKA TERBELA?

15 Jan

Oleh : Muhammad Asrie bin Sobri

Demonstrasi menjadi pilihan utama rata-rata Umat Islam dalam usaha yang mereka namakan “Membela Palestin dan Gaza”. Kita selaku Umat Islam terikat dengan Manhaj al-Salaf al-Soleh dalam melakukan setiap perkara dalam hidup ini. Hal ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w :

فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي ، فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي ، وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ ، تَمَسَّكُوا بِهَا ، وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang hidup selepas ku akan melihat banyak pertelingkahan pendapat maka hendaklah kamu mengikut sunnahku dan sunnah para khalifah yang memberi petunjuk dan diberi petunjuk (para Sahabat), peganglah ia dengan teguh dan gigitlah dengan gerahammu dan hati-hatilah dengan perkara baharu (dalam agama) kerana perkara baharu dalam agama itui bidaah dan setiap bidaah itu menyesatkan”. [Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, Ahmad].

Oleh itu, dalam menghadapi isu Gaza ini, kita perlu sama ada mahu atau tidak, mengikuti sunnah Nabi s.a.w dan para Sahabat baginda dalam menghadapi Nazilah atau Musibah Am yang menimpa kaum muslimin.

Pergelutan Bersejarah

Pertarungan antara Islam dan Yahudi bukanlah perkara baru, bukanlah baru sebulan dua ini kita berperang dan bertempur dengan Yahudi, sepanjang sejarah daripada kebangkitan Rasulullah s.a.w membawa risalah Ilahi telah bermula pelbagai pertarungan antara baginda dengan Yahudi sama ada berbentuk ketenteraan atau pemikiran atau yang disebut sekarang sebagai al-Ghazwul Fikri.

Oleh itu, kita seharusnya mengambil contoih teladan daripada Rasulullah s.a.w dalam memerangi Yahudi dan membantu saudara-saudara kita di Gaza. Firman Allah s.w.t :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya : ” Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. [al-Ahzab: 21]

Dalam ayat yang mulia ini, Allah s.w.t menyeru kaum mukminin supaya mengikut jejak langkah Rasul mereka Muhammad s.a.w serta difahami juga daripada perintah ini menjauhi segala bentuk perbuatan yang bertentangan dengan cara Rasulullah s.a.w.

Jihad dan Sunnah Nabi s.a.w

Ulama Islam telah bersepakat semua amal ibadah hanya akan diterima oleh Allah jika mencakupi dua syarat iaitu:

1- Ikhlas kepada Allah s.w.t lahir dan batin. Yakni bebas daripada Syirik Akbar dan Syirik Asghar. Dalilnya firman Allah s.w.t :

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Maksudnya : “Maka sesiapa yang berharap untuk bertemu Tuhannya maka hendaklah dia beramal dengan amalan soleh (amalan yang dicintai Allah) dan janganlah dia menyekutukan Tuhannya dalam ibadahnya itu dengan suatupun” [al-Kahfi: 110]

2- Mengikuti petunjuk dan cara (kaifiat) yang sesuai dengan Sunnah Nabi s.a.w berdalilkan hadis Nabi s.a.w:

مَنْ احْدَثَ فِي امْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya : “Sesiapa yang mereka-reka perkara baharu dalam urusan kami ini (agama Islam) yang tidak berasal daripadany maka ia tertolak” [al-Bukhari dan Muslim].

Maka, setiap ibadah yang dilakukan jika ianya ikhlas tetapi tidak mencontoihi Rasulullah s.a.w misalnya orang yang sengaja solat subuh 4 rakaat dengan niat mendapat pahala lebih, maka ibadatnya batal dan berdosa, demikian juga mereka yang beribadat cukup syarat, rukun, dan sunat-sunatnya tetapi hatinya riya’ dan ujub tidak diterima Allah s.w.t.

Demikianlah jihad, yang merupakan salah satu ibadah yang terpenting dalam Islam, ia tidak terlepas daripada keterikatan dengan dua syarat di atas. Orang yang berjihad cukup syaratnya, tidak membunuh wanita dan kanak-kanak, tidak menebang pokok tanpa keperluan, tidak merobohkan rumah Ibadat, dan sebagainya daripada pantang larang jihad tetapi tidak ikhlas, dia memohon pertolongan daripada jin, memakai tangkal dan ilmu kebal, maka ini syirik akbar, dia mati sebagai musyrik seperti Abu Lahab dan Abu Jahal atau dia riya’ yang merupakan syirik kecil maka tiada dia memperoleh pahala syahid.

Orang yang ikhlas berjihad tetapi melanggar pantang larang jihad, membunuh orang yang tidak bersalah, mengkafirkan orang yang tidak kafir dan sebagainya, jihadnya juga ditolak oleh syarak.

Maka, kita jangan cepat melatah jika mendengar seruan jihad yang dilaungkan sebahagian manusia melawan Yahudi, kerana jika jihad itu tidak menurut syarat-syaratnya ia hanya sia-sia sahaja.

Menjauhi Yang Sia-sia

Selain itu, orang muslim juga terikat dengan hadis Nabi s.a.w :

 مِنْ حَسَن إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

Maksudnya : “Antara tanda keelokan Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak memberi faedah kepadanya” [Ahmad]

Oleh itu, antara maqasid syariah Islam yang utama adalah menjaga kemaslahatan manusia dan menolak kemudaratan. Islam melarang umatnya melakukan perkara yang sia-sia apatah lagi perkara yang mendatangkan mudarat padanya.

Allah s.w.t dalam surah al-Mukminun ayat ketiga menjelaskan ciri-ciri orang beriman antaranya :

وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Maksudnya : “dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia”

Para Ulama Tafsir menyatakan maksud al-Laghwi yang dieprintahkan kaum muslimin menjauhinya adalah : “Perkara yang tidak ada faedah padanya sama ada perkataan atau perbuatan”.[Ibn Kasir, 5/462]

Kaum muslimin apabila hendak melakukan sesuatu perkara mereka akan menilai dahulu apakah ianya memberi faedah atau tidak. Khalifah Umar bin Abdul Aziz rahimahullah, mengarahkan supaya tentera Islam yang telah mengepung Kostantinopel selama bertahun-tahun bermula zaman al-Walid bin Abdul Malik supaya berundur setelah kepungan itu mendatangkan mudarat kepada tentera Islam.

Semenjak itu kaum muslimin menghentikan kepungan terhadap Kostantinopel kerana mereka tahu walaupun penting untuk menawan kota yang menjadi markas Nasrani ketika itu tetapi kemaslahatan umat perlu diutamakan. Perlu menilai apakah yang lebih berfaedah.

Terdahulu daripada itu, Khalifah Usman bin Affan r.a menarik semula hasratnya untuk membukukan al-Sunnah setelah melihat adanya mafsadah bercampur al-Qur’an dan al-Sunnah walaupun penting untuk membukukan al-Sunnah namun pada zaman beliau, maslahah tadwin sunnah bukanlah masalahah rajihah.

Lebih awal daripada itu, Nabi s.a.w membuat perjanjian Hudaibiah dengan pihak Musyrikin yang membawa gencatan senjata selama sepuluh tahun dan dilihat memberi beberapa kelebihan kepada kaum musyrikin namun Nabi s.a.w menerimanya kerana adanya maslahah yang lebih besar daripada itu iaitu penyeruan Islam kepada kaum bukan Arab dan Arab di luar Jazirah.

Larangan Tasyabbuh

Sikap ini menjadi kayu ukur kepada kaum muslimin untuk menerima apa-apa budaya atau pemikiran daripada musuh mereka di Barat yang tidak nyata larangannya oleh al-Qur’an dan Hadis Rasulullah s.a.w. Kita lihat kaum muslimin dahulu berjaya membawa banyak ilmu daripada barat namun tidak hilang identiti mereka sebagai muslim.

Ini berbeza dengan muslim moden yang mengambil apa sahaja daripada barat tanpa penapisan. Rasulullah s.a.w telah bersabda :

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ.

Maksudnya : “Sesiapa yang meniru suatu kaum maka dia termasuk daripada mereka” [Abu Daud, Ahmad]

Hadis ini menjadi asas larangan apa-apa bentuk peniruan gaya hidup yang tidak Islamik serta apa-apa pemikiran yang bertentangan dengan akidah Islam. Apa-apa ilmu yang diperoleh daripada Barat hendaklah dinilai dengan kayu ukur maslahah dan mafsadah yang dibawa ilmu itu kerana tidak semua ilmu berfaedah berdalilkan sabda Nabi s.a.w :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ

Maksudnya : “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat…” [Ahmad, al-Nasai]

Umat Islam menjadi goyah apabila mereka meninggalkan asas yang penting ini ketika mereka menterjemah kitab-kitab falsafah Yunani sehingga mempernagruhi akal sebahagian kaum muslimin yang lemah lalu muncul lah aliran-aliran sesat seperti al-Hallajiah yang mengaku dia bersatu dengan Tuhan, aliran Wihdatul Wujud yang berpunca dari teori al-Faidh Ibn Sina yang diambil daripada Falsafah Yunani dan sebagainya.

Jadi jika sesuatu perkara itu datang daripada Barat atau kaum kafir lainnya, hendaklah kaum muslimin menilai dengan akal yang sihat dan akidah yang jelas mana yang patut diambil dan mana yang patut ditolak.

Menilai Demonstrasi

Setelah kita memahami kaedah-kaedah penting di atas, kita sudah boleh menilai sekarang apakah hukum demonstrasi yang kita lakukan untuk membela Gaza. Adakah benar ianya membela Gaza?

Persoalan pertama kita perlu bertanya adakah cara berdemo dan protes jalanan sesuai dengan cara Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda? Jawapnnya; tidak pernah ada riwayat pun sama ada sahih, hasan hatta daif dan mauduk sekalipun menyatakan Nabi s.a.w dan para Sahabat baginda mengadakan protes jalanan membantah kekejaman yang dilakukan terhadap kaum muslimin. Apa yang ada dilakukan adalah baginda berdoa qunut yang dikenali sebagai qunut nazilah. Hal ini sabit dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik r.a katanya :

إِنَّمَا قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَعْدَ الرُّكُوعِ شَهْرًا ، أُرَاهُ كَانَ بَعَثَ قَوْمًا ، يُقَالُ لَهُمْ : الْقُرَّاءُ ، زُهَاءَ سَبْعِينَ رَجُلاً ، إِلَى قَوْمٍ مِنْ الْمُشْرِكِينَ دُونَ أُولَئِكَ ، وَكَانَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَهْدٌ ، فَقَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم شَهْرًا يَدْعُو عَلَيْهِمْ

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berqunut selama sebulan selepas rukuk kerana baginda menghantar satu kaum (daripada sahabat) yang digelar al-Qurra’ seramai 70 orang kepada kaum musyrikin (untuk mengajar al-Qur’an kepada mereka dan berdakwah) dan antara mereka (kaum musrikin) dan Rasulullah s.a.w mempunyai perjanjian maka Nabi s.a.w berqunut mendoakan kecelakaan mereka selama sebulan”.

Dalam riwayat yang lain:

أَنَّهُ قَنَتَ شَهْرًا بَعْدَ الرُّكُوعِ ، يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ ، قَالَ : بَعَثَ أَرْبَعِينَ ، أَوْ سَبْعِينَ ، يَشُكُّ فِيهِ ، مِنَ الْقُرَّاءِ ، إِلَى أُنَاسٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ، فَعَرَضَ لَهُمْ هَؤُلاَءِ فَقَتَلُوهُمْ ، وَكَانَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَهْدٌ ، فَمَا رَأَيْتُهُ وَجَدَ عَلَى أَحَدٍ مَا وَجَدَ عَلَيْهِمْ.

Maksudnya : “Adalah baginda s.a.w berqunut selama sebulan selepas rukuk mendoakan kecelakaan atas penduduk Bani Sulaim yang mana baginda menghantar kepada mereka 40 atau 70 qari’ (untuk mengajarkan Islam) kepada kaum musyrikin lalu mereka membunuh para qari ini sedangkan mereka mempunyai perjanjian dengan Rasulullah s.a.w maka aku tidak melihat sesiapun yang dilaknat seperti yang dikenakan ke atas mereka”.

Pensyariatan qunut nazilah telah disepakati para ulama walaupun terdapat khilaf dalam masalah kaifiatnya sama ada ia dibaca dalam solat jemaah sahaja atau termasuk solat berseorangan, dibaca oleh pemerintah sahaja atau rakyat juga dan seumpamanya.

Maka jika kita lihat, mereka yang berdemo dan memprotes Bani Israil ini, mereka meninggalkan sunnah Nabi s.a.w. Mereka tidak berqunut nazilah sebagai yang dicontohkan Nabi s.a.w.

Ini kayu ukur pertama, kayu ukur kedua pula, adakah demo dan priotes jalanan ini meberi kesan yang hakiki atau ia memudaratkan? Jika kita lihat, pada awal proses demo mereka mengutuk Israeli dan Yahudi, namun sejak akhir-akhir ini, demo mereka bertukar menjadi demo yang mengutuk kerajaan Islam dan pemimpinnya. Ini bukanlah caranya yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk berinteraksi dengan pemerintah. Nabi s.a.w bersabda:

خِيَارُكُمْ وَخِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ ، الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ ، وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ ، وَشِرَارُكُمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ ، الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ ، وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُوكُمْ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، أَفَلاَ نُقَاتِلُهُمْ ؟ قَالَ : لاَ ، مَا صَلَّوْا لَكُمُ الْخَمْسَ، أَلاَ وَمَنْ عَلَيْهِ وَالٍ ، فَرَآهُ يَأْتِي شَيْئًا مِنْ مَعَاصِي اللهِ ، فَلْيَكْرَهْ مَا أَتَى ، وَلاَ تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

Maksudnya : “Sebaik-baik kamu dan sebaik-baik pemerintah kamu adalah yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu dan sejahat-jahat kamu dan pemerintah kamu adalah yang kamu benci dan dia membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Maka sahabat berkata: “Apakah tidak boleh kami memerangi mereka (melawan dengan kekerasan)?” Jawab baginda s.a.w : “Tidak boleh selagi dia mendirikan bagi kamu solat lima waktu, sesungguhnya jika ada seseorang pemerintah kamu melakukan maksiat kepada Allah maka bencilah maksiatnya itu dan jangan cabut tangannya daripada mentaatinya (dalam makruf)”.[Ahmad dan al-Darimi].

Kita lihat pula dalam demo itu berlaku percampuran lelaki dan wanita ajnabi, mengangkat suara dalam masjid dan membazir harta dengan membeli bendera kemudian membakarnya, ada pula yang membawa patung kanak-kanak berdarah sedangkan patung itu dilarang dalam Islam. Lebih dari itu, ada yang membawa gambar-gambar pemimpin untuk diagung-agungkan dan dipuja sedangkan ini bertentangan dengan akidah Islam yang sudah dimaklumi.

Tindakan yang sepatutnya diambil adalah menderma untuk jihad di Palestin, memberi bantuan kepada saudara-saudara kita yang tercedera dan membantu mereka dengan cara yang berkesan bukan dengan emosi semata-mata.

Maka, demonstrasi masih gagal menepati kriteria dalam kayu ukur yang kedua. Kita lihat pula kayu ukur yang ketiga, demonstrasi sebagai budaya yang dibawa daripada barat dan kaum kafir. Islam tidak pernah kenal budaya menunjuk perasaan ini tetapi ia bermula dengan revolusi Perancis yang kufur kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kita memahami bahawa demonstrasi tidak membawa faedah dalam membantu Palestin dan ia pula budaya luar Islam maka tentulah ia termasuk dalam budaya yang ditolak Islam.

Kaum Yahudi sama sekali tidak terasa dengan demo dan protes yang kita lakukan bahkan mereka rasa bangga kerana akhirnya kita menurut jejak langkah mereka dan jejak langkah orang yang kafir kepada Allah s.w.t.

Hakikatnya

Setelah kita memahami perkara ini dan menilainya dengan prinsip-prinsip Islam kita dapati bahawa demonstrasi adalah :

1-     Bukan Sunnah Nabi s.a.w dan para Sahabat baginda dalam menentang musuh.

2-     Tidak memberi faedah yang rajih kepada kaum muslimin bahkan menjadi jalan kepada berlakunya kejahatan.

3-     Budaya Luar Islam yang tidak membawa faedah.

Maka, hukum demonstrasi jelas dilarang dalam Islam dan ianya haram kerana mengandungi perkara-perkara yang haram.

Mereka yang menghalalkan demonstrasi tidak seharusnya cukup berpegang kepada kaedah : “Wasilah itu mengambil hukum matlamat” bahkan mereka juga perlu mengambil kira kaedah : “Matlamat tidak menghalalkan cara”.

Hakikatnya demonstrasi membela Palestin yang diadakan akhirnya telah digunakan sesetengah pihak menyeludup masuk pemikiran salah ke dalam otak kaum muslimin, mereka berjaya mengherat kaum muslimin menunaikan agenda jahat mereka menentang pemerintah dan memecah belahkan saf  kaum muslimin.

Kita lihat di Arab Saudi, walaupun rakyatnya tidak berdemo di jalanan tetapi mereka adalah yang paling banyak menyumbang dan membantu rakyat Palestin. Kita di Malaysia walaupun banyak demo yang dilakukan tetapi masih jauh ketinggalan dalam memabntu rakyat Palestin. Wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: