PANDANGAN SYARIAT TERHADAP FITNAH POLITIK PERAK

10 Feb

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Fitnah atau kekacauan politik yang berlaku di negeri Perak Darul Rizwan mendapat perhatian banyak pihak dan banyak pula yang membincangkannya dalam pelbagai aspek. Namun, seperti biasa, amat sedikit bilangan mereka yang membincangkannya daripada sudut pandang syarak sedangkan syarak adalah penyelesaian tunggal dalam menghadapi krisis yang runcing ini.

Kita berterima kasih kepada S.S Mufti Perak yang sebelum ini terkenal dengan kebencian beliau kepada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) namun dalam situasi yang meruncing ini, beliau sendiri berfatwa selaras dengan manhaj ASWJ. Kita berharap selepas ini beliau terus membuka mata hati beliau daripada taklid buta, menerima manhaj ASWJ yang sejati sama ada dalam akidah, ibadah, akhlak, muamalat, dan siasah (politik).

Berbalik kepada isu pergelutan politik Perak, kita perlu memahami hakikat bahawa parti yang sebenarnya memerintah Perak adalah Democratic Action Party (DAP), iaitu parti kafir yang terkenal dengan permusuhannya terhadap Islam dan umatnya. Jika kita merujuk kepada kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak dalam PRU-12, kita dapati DAP mempunyai 18 kerusi manakala PAS hanya 6 kerusi dan PKR 7 kerusi.

Perlantikan Nizar bin Jamaluddin sebagai Menteri Besar hanyalah dalam memenuhi tuntutan perundangan yang menghendaki Menteri Besar mestilah seorang Melayu Islam. Barisan Exco Perak majoritinya adalah golongan kafir demikian juga Speaker DUN dan timbalannya.

Oleh itu, mengiktiraf kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat sebagai kerajaan Islam tulin adalah pembohongan dan pendustaan. Allah s.w.t telah melarang kaum muslimin menjadikan kaum kafir sebagai pemimpin dan pemegang jawatan-jawatan besar negara dalam firman-Nya:

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً

Maksudnya: “Janganlah kaum mukminin menjadikan kaum kafir sebagai ‘wali’ selain orang mukmin, sesiapa yang melakukan demikian maka tiada baginya pertolongan Allah melainkan kamu melakukannya kerana takut secara taqiyah..” [Ali Imran: 28].

Imam Ibn Jarir al-Tabari r.h menyatakan bahawa ayat ini merupakan larangn daripada Allah s.w.t kepada kaum mukmin untuk menjadikan kaum kafir sebagai penolong dan pendamping, demikian juga menjadikan mereka sebagai teman rapat. Dikecualikan jika mereka melakukannya secara taqiyah yakni dipaksa dan diancam bahaya seperti dia berada di negeri kafir atau ditawan oleh orang kafir (dijajah), maka hendaklah mereka membencinya dalam hati sahaja. [Tafsir al-Tabari].

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah kamu memanggil orang munafiq sebagai tuan, kerana jika kamu menjadikannya sebagai tuan kamu telah menyebabkan kemurkaan Tuhan kamu” [Ahmad].

Lihatlah, jika sekadar memanggil ‘tuan’ pun tidak boleh, apatah lagi kita memberinya jawatan yang menjadikannya ‘tuan’ dan ‘pemerintah’ kita. Perkara ini (haramnya melantik kaum kafir sebagai pemimpin) adalah ijmak dalam kalangan ulama ASWJ. Perkara ini para ulama membincangkannya dalam isu akidah yang dinamakan akidah al-wala’ dan al-bara’ dan boleh dirujuk kepada kitab-kitab berkenaan seperti Al-Wala’ wal Bara’ oleh Syeikh Soleh al-Fauzan hafizahullah.

Kesimpulan daripada isu pertama ini dapatlah kita katakan bahawa tidak ada bezanya antara hukum Barisan Nasional yang turut menjadikan kaum kafir sebagai peimpin dengan Pakatan Rakyat yang melakukan perkara yang sama, namun dalam hal semacam ini kaum muslimin hendaklah berpegang dengan kaedah fiqah yang telah disepakati para ulama iaitu:

ارتكاب أخف الضررين

Maksudnya: “Melakukan Mudarat yang teringan antara dua mudarat”.

Jika kembali meninjau fiqah waqi’ (Kefahaman Realiti), kita dapati kerajaan yang dipimpin BN lebih ringan mudaratnya kerana kedudukan Melayu yang majoritinya beragama Islam adalah majoriti walaupun kita sedar kerajaan BN ini masih ada mukhalafat (Penyelisihan) syariah yang mereka lakukan. Maka rakyat Perak perlu sedar bahawa mereka apabila mengundi DAP suatu ketika dahulu telah melakukan dosa besar dan apa yang menimpa mereka hari ini adalah diharap sebagai kaffarah (penebus dosa) daripada Allah untuk mereka.

Isu kedua yang perlu mereka faham adalah kedudukan Menteri Besar dalam syarak hanyalah sebagai Wazir sahaja yakni pembantu kepada pemerintah yang sebenar yakni Paduka Seri Sultan Perak dalam konteks ini.

Imam al-Mawardi dalam kitab beliau al-Ahkam al-Sultaniah menyatakan jenis Wizarah (Kementerian) itu terdapat dua:

  • 1- Wizarah al-Tafwid yakni pemerintah menyerahkan kuasa kepada menteri untuk menjalankan kuasanya tanpa perlu menunggu arahan beliau terlebih dahulu dalam beberapa perkara
  • 2- Wizarah al-Tanfiz yakni berlawanan dengan jenis pertama, menteri jenis ini terikat dengan arahan pemerintah.

Menteri Besar, Perdana Menteri, dan Ketua Menteri di Malaysia boleh dikategorikan sebagai Wizarah al-Tafwid manakala menteri di bawah mereka jika dilihat dari hubungan mereka dengan Raja atau Sultan adalah wizarah al-Tafwid manakala dari segi hubungan mereka dengan Wazir Mufawwad Ilaih (Menteri Besar dsbg) adalah Wazir Tanfiz.

Maka, dalam keadaan ini, ketaatan rakyat hendaklah dicurahkan kepada Sultan atau Raja yang memerintah dalam konteks kita ini kerana bagindalah pemerintah sebenar dan ketaatan kita terhadap Menteri Besar, Perdana Menteri, Ketuan Menteri, dan sebagainya hanyalah ketaatan tabaiyyah (yang bersifat mengikut) kepada ketaatan terhadap Sultan dan Raja. Apabila Sultan atau Raja membuat keputusan untuk menukar orang memegang jawatan Wizarah al-Tafwid tadi, maka rakyat hendaklah taat dan patuh tanpa bangkangan selagi orang yang dilantik itu beragama Islam dan layak memerintah.

Dalam hal ini, rakyat perlu sedar pula bagaimana syarak mengatur langkah dalam mentaati pemerintah. Syarak meletakkan syarat hendaklah perkara yang ditaati itu dalam perkara makruf yakni bukan maksiat. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya ketaatan itu adalah hanya dalam urusan makruf”.[al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Nasai].

Namun, adakah bermakna apabila seorang pemerintah itu melakukan maksiat dan memerintahkan kita melakukan maksiat kita perlu menggulingkannya dan merampas takhtanya? Atau sekadar kita tidak menjalankan perintah maksiatnya tanpa menggunakan kekerasan terhadapnya?

Rasulullah s.a.w bersabda: “Dengar dan taatlah (kepada pemerintah) walaupun dia memukul belakang kamu dan merampas harta kamu..” [al-Bukhari & Muslim, lafaz bagi Muslim].

Sabda Rasulullah s.a.w juga: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah kamu cinta dan dia mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”; kemudian seorang sahabat bertanya: ‘Adakah boleh kami menggulingkan mereka ketika itu?’ Jawab Nabi s.a.w: “Tidak boleh selagi mereka mendirikan solat (2x), sesungguhnya seseorang kamu apabila melihat pemimpinnya melakukan maksiat maka bencilah maksiat yang dilakukan tetapi janganlah dia mencabut tangannya daripada memberikan ketaatan”. [Muslim, Ahmad, dll].

Daripada dua hadis yang sangat-sangat sahih dan jelas maknanya ini, kita dapati Rasulullah s.a.w melarang kita menderhaka kepada pemerintah dengan menggulingkannya secara kekerasan walaupun dia melakukan maksiat dan kezaliman. Jika beginilah sekali hukumnya apabila pemerintah melakukan maksiat, maka apakah kita akan sangka hukumnya jika pemerintah memerintahkan sesuatu yang bukan maksiat?

Allah s.w.t berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan pemimpin dalam kalangan kamu…” [al-Nisaa: 59].

Ayat ini memerintahkan orang yang beriman memberikan ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya serta mentaati pemerintah dalam urusan yang sesuai dengan syarak dan pemerintah kaum mukmin itu hendaklah dalam kalangan mereka bukan orang kafir.

Oleh itu, ayat ini menjelaskan dalam hal yang bukan maksiat wajib ke atas kaum muslimin mentaati perintah pemimpin walaupun perintah itu bertentangan dengan kehendak dan kepentingan peribadinya.

Akhir kata dalam penyelesaian isu ini adalah kembali ke pangkal jalan dan melazimi methode berpolitik yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda. Sebagai penutup saya ingin menyampaikan pesan Rasulullah s.a.w apabila kita berhadapan dalam keadaan fitnah seperti ini.

Hendaklah kita melazimi manhaj ASWJ yang sejati iaitu yang mengikut al-Salaf al-Soleh bukan mengikut amalan nenek moyang dan orang banyak tanpa mempedulikan sandaran daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Janganlah kita berhukum dengan emosi dan perasaan kita semata-mata kerana Allah s.w.t telah mencela dengan celaan yang besar golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah s.w.t. Wallahua’lam.

4 Respons to “PANDANGAN SYARIAT TERHADAP FITNAH POLITIK PERAK”

  1. militian Februari 11, 2009 pada 1:41 am #

    kerana Allah s.w.t telah mencela dengan celaan yang besar golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah s.w.t. Wallahua’lam.<<<m’sia berhukum dgn hukum Allah atau adakah usaha menuju ke situ (50 thn)???

    serta mentaati pemerintah dalam urusan yang sesuai dengan syarak<<<syarak islam hadhari umno sesuai dgn anta???

    pemerintah kaum mukmin itu hendaklah dalam kalangan mereka bukan orang kafir<<<YB Nizar kafir/boneka/siapa boneka BN???

    munafiq???wali kafir??<<<siapa???

    “Melakukan Mudarat yang teringan antara dua mudarat”<<<dirasakan mudarat pada diri/harta/badan mrk yg pro umno atau pada agama atau pd mrk kontra umno (ISA)???

    tolak zakat bleh perang-tolak qisas xbleh perang-riba xbleh perang-adakah berbeza ayat suruhan???

    merobohkan kerajaan islam uthmaniah pd persepsi apa pula???
    merobohkan kerajaan islam hadhari pd persepsi apa pula???

    Berbeza sungguh pemahaman syariat antara kita???
    menyatakan yg HAK!!! kpd pemerintah<<<apa yg jamaah anta zahirkan???

  2. mashoori Februari 11, 2009 pada 3:57 pm #

    Kepada saudara militan, perkara pertama saya ingin nasihatkan saudara adalah menggunakan gelaran yang sesuai dengan diri kita sebagai muslim. istilah militan dalam konteks hari ini adalah tidak sesuai sama sekali.
    saya tegaskan sekali lagi, Islam memerintahkan kita mentaati pemerintah secara juziyat bukan kulliyat, kesalahan saudara dalam hal ini kerana terpengaruh dengan mantiq aristotle yang kafir yang sentiasa melihat sesuatu sebagai kuliyyat sedangkan Islam menekankan mantiq istiqrai yang melihat sesuatu secara juziyyat.
    selama seorang pemimpin itu muslim dan kerajaannya dikuasai orang Islam maka kita tidak boleh menggulingkannya kerana fasiq tidak menjadi sebab hilangnya wilayah sultan (rujuk Syarah Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).
    Saya menolak sama sekali konsep Islam Hadhari tetapi tidak bermakna kita perlu menggulingkan kerajaan Islam Hadhari secara peperangan atau lainnya kerana Imam Ahmad bin Hanbal r.a walaupun berkali-kali diminta fatwa daripadanya untuk menggulingkan kerajaan Khalifah Abbasiyah al-Makmun dan al-Muktasim yang berfahaman Muktazilah namun beliau tidak mengizinkannya. Tetapi perintah Khalifah untuk mengatakan al-Qur’an adalah makhluk sama sekali kita tolak.
    demikian juga sultan Salahuddin al-Ayyubi yang membebaskan Baitul Maqdis seorang pemimpin yang dikatakan melakukan beberapa maksiat antaranya membina kubah di atas kubur namun para ulama di zaman beliau tetap berjihad bersama beliau.
    Ketiga, saya tidak sama sekali mengkafirkan YB Nizar tetapi saya menyatakan kerajaan pimpinan beliau adalah kafir kerana dikuasai orang2 kafir sama seperti kerajaan al-Najasyi walaupun baginda seorang muslim tetapi kerajaan yang diperintahnya adalah kafir tetapi keadaan beliau sebelum hijrah tentu berbeza hukumnya dengan kita yang berada di zaman pasca madani.
    Keempat, mudarat yang dikira bukan mudarat peribadi tetapi mudarat umum terhadap Islam yang terus dihina DAP, sekutu PAS. Jika saudara perhatikan secara ikhlas sabda Nabi s.a.w dalam hadis Muslim, Nabi s.a.w memerintahkan terus mentaati pemimpin walaupun dia memukul kita dan merampas harta kita.
    Kelima, Peperangan saidina abu Bakar terhadap golongan yang enggan membayar zakat adalah kerana mereka kafir iaitu beranggapan zakat tidak wajib dikeluarkan dan sebahagian yang lain pula mengikut pemerintah yang kafir seperti musailamah al-kazzab dan malik bin nuwairah yang pada mulanya seorang yang enggan membayar zakat kerana tidak melihat wajibnya dan ini adalah kafir demikian juga mereka yang berwala’ kepada mereka dan menentang khilafah abu bakar al-siddiq r.a. Maka mereka yang diperangi Abu Bakar itu sama ada mereka kafir kerana enggan mengiktiraf kewajipan zakat atau kerana mereka keluar dari khilafah. Maka menurut qias yang sahih yang perlu diperangi kalau mengikut perbuatan Abu Bakar, PAS lah yang patut diperangi kerana enggan menurut perintah Paduka seri Sultan Perak.
    Keenam, kerajaan Usmaniah diruntuhkan oleh orang kafir iaitu mustafa kamal al-taturk bukan orang Islam. Jika saudara hendak mengatakan kerajaan Saudi yang pada pandangan saudara kaum Wahabi memerangi Usmaniah ini adalah salah kerana sehingga kerajaan saudi ketiga, Usmaniah tidak pernah menguasai wilayah saudi. demikian juga khalifah usmaniah yang diperangi kerajaan saudi ketika itu, Sultan Mahmud II adalah seorang yang zindiq berfahaman freemason selain tentera mesir yang bersekongkol dengan usmaniah ketika itu kaum sufi wujudi yang zindiq dan tidak syak lagi mereka ini dihukum kafir.
    Namun, semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II kerajaan Saudi telah menyatakan baiat mereka kepada Usmaniah dan termasuk di bawah naungan khalifah kerana baginda seorang muslim walaupun terdapat beberapa maksiat yang baginda lakukan.
    Ketujuh, memang berbeza kerana syariat pada saya adalah hukum dan undang2 Allah yangs sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w tetapi pada saudara Syariat adalah apa yang dibuat oleh manusia2 bergelar tok guru atau presiden parti sahaja. Maka saudara termasuk mereka yang berhukum dengan hukum manusia bukan hukum Allah. Jika saudara berkeras juga hendak mengkafirkan orang2 UMNO maka silakan saudara kafirkan diri saudara terlebih dahulu-nauzubillah min zalik-.
    Saya ingin ingatkan saudra, apa yang saya cakap adalah berlapik dengan al-Qur’an dan Hadis Rasulullah s.a.w dan kenyataan Ulama terdahulu namun lidah saudara hanya menghembur nafsu semata-mata.wallahua’lam.

  3. pakteh Februari 23, 2009 pada 6:13 pm #

    klu sesat d hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan.. hgpa ada phd ka, ada title tuan guru ka atau ckp ikut logik dan sejarah je yg dowk berdebat ne? klu xtaw, tnya r pada yg taw.. ak xtaw, tp yg aku taw haram tetap haram dan halal tetap halal…

  4. mashoori Februari 23, 2009 pada 6:56 pm #

    diucapkan terima kasih kepada pakteh..pendirian pakteh: Yang Halal tetap Halal dan Yang Haram tetap Haram amat baik sekali dan sesuai denga syariat. Namun, jangan juga ditinggalkan kaedah Usuluddin: Yang Halal adalah Apa Yang Allah dan RasulNya halalkan dan Yang Haram adalah Apa Yang Allah dan RasulNya haramkan.
    Sabda Rasulullah s.a.w:
    “Yang Halal itu jelas, yang haram itu juga jelas tetapi antara keduanya terdapat perkara samar-samar yang tidak ramai mengetahuinya, sesiapa yang jatuh dalam perkara samar2 ini dia telah jatuh dalam perkara haram dan sesiapa yang menjauhinya maka dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya…” [al-Bukhari & Muslim].
    Oleh itu, saya nak nasihatkan diri saya dan semua yang membaca blog ini supaya berpegang teguh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah serta berpegang dengan kefahaman Sahabat, Tabiin dan Tabi’ Tabiin serta menjauhi golongan yang berselindung disebalik tirai Ph.D dan Tok Guru untuk menyesatkan manusia..mudah2an kita berjaya..amin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: