BERIMAN KEPADA KEWUJUDAN JIN

13 Feb

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Dewasa ini banyak sekali cerita-cerita hantu yang diterbitkan dan mempengaruhi masyarakat Islam Malaysia khasnya. Penerbitan filem seumpama ini sebenarnya jika tidak dikawal akan mencemarkan akidah Islam dan menunjukkan imej buruk Islam terhadap kaum kafir.

Sebenarnya percaya kepada kewujudan Jin dan Syaitan atau yang disebut hantu dalam masyarakat kita adalah wajib hukumnya dan termasuk dalam rangka beriman terhadap perkara-perkara ghaib. Firman Allah s.w.t:

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”.[al-Baqarah: 3].

Oleh itu, tindakan sebahagian orang yang enggan percaya kepada kewujudan jin dan sebagainya amatlah berbahaya kerana ia boleh mencemarkan akidah mereka.

Demikian juga para penerbit filem yang berunsur elemen ini perlu merujuk kepada pihak ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terlebih dahulu sebelum membuat sesuatui filem supaya tidak tercemar dengan akidah yang salah.

Dalil Kewujudan Jin:

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nas:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَهِ النَّاسِ (3) مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia,”Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.

Imam Ibn Kasir r.h menjelaskan maksud al-Khannas dalam ayat dengan kata beliau:

وهو الشيطان الموكل بالإنسان

Maksudnya: “dia itu adalah syaitan yang diwakilkan kepada manusia (untuk menghasutnya)”. [Ibn Kasir, 8/539].

Firman Allah dalam surah al-Rahman ayat 15:

وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ

Maksudnya: “dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;”

Dalam surah al-Khafi ayat 5o Allah s.w.t menyatakan:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا

Maksudnya: “dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu”.

Bahkan dalam al-Quran terdapat surah yang dinamakan surah al-Jin iaitu surah yang ke-72 dalam turutan Mushaf. Allah s.w.t menceritakan dalam surah ini bahawa bukanlah semua jin itu syaitan bahkan ada antara mereka yang beriman dan beramal soleh:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا (1) يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ وَلَنْ نُشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا (2) وَأَنَّهُ تَعَالَى جَدُّ رَبِّنَا مَا اتَّخَذَ صَاحِبَةً وَلَا وَلَدًا (3)

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, Bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!`Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadaNya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.`Dan (ketahuilah Wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak”.

Allah s.w.t juga dalam surah al-Jin ini mencela para dukun dan bomoh dengan firman-Nya:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: “Dan Bahawa Sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”. [al-Jin: 6]

Allah s.w.t juga menetapkan Jin itu tidak dapat dilihat manusia tetapi mereka boleh melihat manusia:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” [al-A’raf: 27].

Semua dalil ini jelas menunjukkan kewujudan jin dan mereka adalah makhluk ghaib serta mukallaf seperti manusia juga.

Bolehkah Menangkap Jin?

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ عِفْرِيتًا مِنْ الْجِنِّ تَفَلَّتَ عَلَيَّ الْبَارِحَةَ أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلَاةَ فَأَمْكَنَنِي اللَّهُ مِنْهُ فَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تُصْبِحُوا وَتَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ فَذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ {رَبِّ هَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي}قَالَ رَوْحٌ فَرَدَّهُ خَاسِئًا

Maksudnya: Sesungguhnya Ifrit dari kalangan jin telah datang untuk menggodaku semalam agar aku lalai ketika sembahyang. Tetapi Allah telah melindungi aku daripadanya sehingga aku dapat menangkapnya iaitu menjerat lehernya. Aku mempunyai keinginan untuk mengikatnya di salah satu tiang masjid hingga ke waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Kemudian aku menyebutkan kata-kata saudaraku Nabi Sulaiman a.s: {رَبِّ هَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي} Tuhanku! Ampunilah aku, berikanlah kepadaku suatu kekuasaan yang tidak akan dicapai oleh seorang pun selepasku. Maka akhirnya Allah melepasnya secara menolak Ifrit tersebut dalam keadaan rugi, hina dan lemah [al-Bukhari dan Muslim].

Berdasarkan hadis ini kita dapati memang boleh kita menangkap jin jika dia menyerupa dalam bentuk lain secara tabii tetapi secara syarak, perbuatan tersebut dilarang kerana menghormati Nabi Sulaiman a.s.

Diriwayatkan juga bahawa Ifrit itu datang kepada Rasulullah s.a.w dalam bentuk anak kucing maka tidak ada pertentangan antara hadis ini dengan ayat di atas yang menyatakan manusia tidak dapat melihat jin dalam rupa asli mereka.

Apakah Ada Perbezaan Antara Jin dan Syaitan?

Terdapat perbezaan pada Jin dan Syaitan walaupun pada asalnya kalimah Syaitan itu merujuk kepada: ‘Jin yang mengganas dan mengganggu manusia’ atau istilah mudahnya: Jin Kafir atau Jin Muslim yang Fasiq; tetapi digunakan juga kalimah Syaitan pada manusia yang melakukan kejahatan kerana manusia tersebut menjadi pengikut syaitan. Firman Allah s.w.t:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ

Maksudnya:  “dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin,..[al-An’am:112]

Apakah Pula Itu Hantu?

Hantu adalah Syaitan daripada kalangan jin yang menganggu manusia dengan menakut-nakutkannya. Adapun tanggapan bahawa hantu itu adalah roh manusia yang mati yang tidak tenteram dan seumpamanya adalah karut berdasarkan firman Allah s.w.t:

حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100)

Maksudnya: “kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – “Supaya Aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)”. [al-Mukminun: 99 & 100].

Ayat ini menjelaskan bahawa roh orang yang mati itu berada di alam barzakh yang menghalang mereka untuk kembali ke dunia ini.  Demikian juga wujudnya azab dan nikmat kubur yang menafikan sama sekali roh itu akan kembali ke dunia semula.

Bolehkah Jin Merasuk?

Kerasukan jin terhadap manusia adalah sabit dengan firman Allah s.w.t:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ

Maksudnya: “orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu…” [al-Baqarah: 275]

Ayat ini menunjukkan bahawa berlaku di dunia ini kerasukan jin terhadap manusia [Tafsir al-Alusi, 2/374]. Berkata Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari r.h:

وأن الشيطان يوسوس الإنسان ويشككه ويخبطه خلافا للمعتزلة والجهمية

Maksudnya: “dan sesungguhnya (antara akidah Ahli Sunnah wal Jamaah itu) syaitan mewas-waskan manusia dan memasukkan syak dalam dirinya serta merasuknya bersalahan dengan akidah al-Muktazilah dan al-Jahmiah”. [al-Ibanah, 11].

Penutup:

Ini adalah sebagaian elemen yang perlu diketahui seorang muslim berkenaan beriman dengan kewujudan jin. Kita percaya kewujudan jin itu benar namun kita perlu yakin apa-apa perbuatan memohon pertolongan dan bantuan jin adalah membawa syirik kepada Allah s.w.t. Akidah yang benar dalam masalah jin ini adalah percaya mereka wujud dan percaya pula mereka itu sama dengan kita sebagai makhluk Allah s.w.t yang diberi tugas taklif yakni beribadah dan beriman kepada Allah s.w.t.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: