KESALAHAN-KESALAHAN DALAM HUBUNGAN SUAMI ISTERI

1 Mar

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

 

Islam mensyariatkan perkahwinan dan menjadikan perkahwinan itu sebagai pagar pemelihara kesucian nasab keturunan manusia. Firman Allah s.w.t:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”. [al-Rum: 21]

Maksud “al-Mawaddah” dalam ayat ini adalah jimak atau hubungan seks sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas r.a, Mujahid, dan Qatadah manakala “al-Rahmah” pula menurut mereka adalah anak-anak.

Maka Allah s.w.t meletakkan hubungan intim antara suami isteri sebagai satu perkara penting dalam alam perkahwinan bahkan menjadi pengikat utama antara suami isteri kerana hanya melalui perkahwinan sahaja seseorang manusia dihalalkan melakukan hubungan seks yang merupakan antara syahwat terbesar manusia demikian melalui hubungan seks jua lahirnya keturunan dan zuriat umat manusia.

Oleh itu, amat penting bagi pasangan suami isteri untuk melakukan hubungan seks sesuai dengan kehendak syariat dan sunnah Nabi s.a.w. Maka di sini saya ingin menyentuh beberapa kesalahan yang terjadi dalam perkara ini:

 

Pertama: Melihat Hubungan Seks sebagai Adat atau Tuntutan Nafsu Sahaja.

Apabila hendak melakukan hubungan seks, suami isteri perlu faham bahawa apa yang bakal mereka lakukan adalah satu ibadah kerana sabda Nabi s.a.w:

وفي بضع أحدكم صدقة

Maksudnya: “dan pada kemaluan seseorang kamu (digunakan untuk menjimak isterinya) adalah sedekah”. [Muslim & Ahmad].

Daripada hadis ini ulama telah bersetuju, hubungan seks antara suami isteri adalah ibadah dan diberi pahala atasnya. Hukumnya pula adalah wajib antara suami isteri yang memerlukannya. Dalilnya adalah sabda Nabi s.a.w:

إذا دعا الرجل امرأته إلى فراشه فأبت أن تجيء لعنتها الملائكة حتى تصبح

Maksudnya: “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur lalu dia (isteri) enggan maka dia akan dilaknat malaikat sehingga pagi”. [al-Bukhari & Muslim].

Maka apabila seorang isteri dipanggil suami untuk bermesra maka wajib dia datang walaupun dalam keadaan haid kerana wanita yang haid masih boleh bermesra dengan suaminya selama tidak melakukan seks penetretif berdasarkan sabda Nabi s.a.w:

اصنعوا كل شيء إلا النكاح

Maksudnya: “Buatlah semuanya kecuali nikah” [Muslim & Ahmad].

Maksudnya boleh suami bermesra dengan isterinya yang haid dan nifas selama dia menjauhi tempat keluarnya darah.

Demikian juga hadis ini walaupun menunjukkan kepada wanita tetapi masuk juga kepada suami apabila isterinya mengajak kepada hubungan wajiblah dia penuhi kerana hadis:

وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Maksudnya: “dan sesungguhnya isterimu mempunyai hak ke atasmu”. [al-Bukhari].

Para ulama berbeza pendapat berapa kali wajib melakukan hubungan seks itu, ada yang berpendapat setahun 3 kali sekurang-kurangnya, ada yang menyatakan 4 hari sekali, dan ada yang menyatakan setiap kali isternya suci daripada haid hendaklah dilakukan sekali (yakni sebulan sekali). Namun, yang zahir adalah wajib menurut keperluan setiap pasangan itu sendiri.

Kedua: Meninggalkan Doa Sebelum Jimak

Telah sabit dalam sunnah Nabi s.a.w hendaklah membaca doa khas yang diajar Nabi s.a.w sebelum melakukan jimak iaitu:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبْ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah, jauhkanlah Syaitan daripada kami dan jauhkanlah Syaitan daripada apa yang Engkau berikan kepada kami (anak)”.

Doa ini sabit dalam Sahih al-Bukhari dan lainnya serta membacanya memberi faedah yang besar iaitu mengelakkan syaitan daripada turut campur serta dalam hubungan seks mereka yang mana jika syaitan turut campur serta akan mengakibatkan terhasilnya zuriat yang jelik pada akhlaknya.

Demikian juga bagi pengantin baharu, apabila hendak melakukan hubungan seks buat kali pertama, hendaklah suami memegang ubun-ubun isterinya lalu membaca doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا ، وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا ، وَمِنْ َشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku bermohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan yang Engkau ciptakan padanya dan aku berlindung padaMu daripada keburukannya dan keburukan yang Engkau ciptakan padanya”. [Abu Daud, Ibn Majah-sahih-].

Doa ini juga sunat dibaca apabila kita membeli kenderaan baru atau khadam baharu dan seumpamanya.

Ketiga: Menambah Doa dan Zikir yang Tiada Asal dalam Syariat

Terdapat juga pihak-pihak yang menulis dan mengarang buku panduan hubungan suami isteri menyenaraikan doa dan zikir yang tiada asal usul dalam syariat, tidak bersumber kepada hadis-hadis yang sahih.

Tindakan ini amat bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mereka cipta perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini maka (amalan itu) tertolak”. [al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah, dan Ahmad].

Zikir dan bacaan doa khas adalah ibadat khas yang mesti bersumber daripada Rasulullah s.a.w tidak boleh direka-reka, maka perbuatan menambah-nambah bacaan seperti selawat sewaktu menyentuh bahagian tertentu daripada badan isteri, menyebut Asmaul Husna ketika hendak menyentuh atau mencium anggota tertentu adalah bidaah dolalah.

Keempat: Kepercayaan Larangan Melihat Kemaluan Suami Isteri

Tidak dinafikan ada pendapat sesetengah ulama yang menyatakan haram atau makruh melihat kemaluan antara suami isteri, bahkan ada yang beriktikad melihat kemaluan ini akan menjadikan anak buta atau cacat tetapi kepercayaan ini tidak dapat diterima sama sekali kerana ia berdasarkan hadis palsu yang berbunyi:

النظر إلى الفرج يورث الطمس

Maksudnya: “Melihat kepada kemaluan itu mewariskan buta”.

Dan hadis:

إذا جامع أحدكم زوجته أو جاريته فلا ينظر إلى فرجها فإن ذلك يورث العمى

Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu menjimak isterinya atau jariahnya janganlah melihat kepada kemaluannya kerana itu mewariskan buta”.

Hadis-hadis ini adalah mauduk, yakni palsu [Lihat: al-Maudu’at, 2/271].

Adapun hadis:

إِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ أَهْلَهُ فَلْيَسْتَتِرْ وَلاَ يَتَجَرَّدْ تَجَرُّدَ الْعَيْرَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendatangi isterinya maka hendaklah dia menutup (auratnya) dan janganlah berbogel seperti keldai”. [Ibn Majah]

Hadis ini daif sebagaimana dijelaskan al-Busairi r.h dalam al-Zawaid demikian juga al-Albani r.h dalam tahkik beliau terhadap Sunan Ibn Majah.

Demikian juga hadis Aisyah r.a katanya:

ما نظرت أو ما رأيت فرج رسول الله صلى الله عليه و سلم قط

Maksudnya: “Aku tidak pernah sama sekali melihat kemaluan Rasulullah s.a.w”. [Ibn Majah & Ahmad].

Hadis ini juga daif sebagaimana sepakat antara al-Busairi, al-Albani dan al-Arnauth.

Bahkan telah sepakat para ulama harus bahkan mustahab suami isteri saling pegang memegang kemaluan mereka untuk menambahkan keghairahan dalam hubungan. Imam Abu Hanifah r.h ditanya berkenaan hukum suami isteri saling memegang kemaluan antara mereka untuk menaikkan syahwat adakah salah? Maka beliau menjawab:

لاَ ، وَأَرْجُو أَنْ يَعْظُمَ الأَْجْرُ

Maksudnya: “Tidak menjadi kesalahan, bahkan aku berharap digandakan pahala bagi keduanya”. [al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/90].

Imam Malik r.h pula berfatwa:

لا بأس أن ينظر إلى الفرج في حال الجماع وزاد في رواية ويلحسه بلسانه

Maksudnya: “Tidak ada salahnya untuk dia melihat kemaluan isterinya semasa jimak”. Dalam riwayat lain menambah: “dan harus dia menjilatnya dengan lidahnya”. [Mawahib al-Jalil, 3/406]

Demikian juga dalam I’anah al-Tolibin, kitab fiqah Syafii menyatakan harus seorang suami beristimta’ (bersenang-senang) dengan seluruh tubuh isterinya termasuk menjilat klitoris tetapi dijauhi halaqah dubur. [I’anah al-Tolibin, 3/340]. Ini menunjukkan harusnya melihat kemaluan antara suami isteri. Dasar keharusan ini adalah sabda Nabi s.a.w:

احفظ عورتك إلا من زوجتك أو ما ملكت يمينك

Maksudnya: “Jagalah auratmu kecuali daripada isterimu atau hamba sahayamu”. [Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad serta ianya hasan].

Kelima: Merakam Aksi Seks dan Melihat Filem Porno untuk Ransangan

Antara seburuk-buruk kesalahan yang berlaku adalah merakam aksi seks yang dilakukan antara suami isteri. Jika yang merakam tersebut pihak ketiga maka keharaman dan kehinaannya amat jelas, demikian juga yang merakam itu suami isteri sendiri walaupun dengan alasan simpanan peribadi kerana tidak aman daripada rakaman itu terlepas ke tangan manusia lain paling kurang ahli rumahnya.

Telah sepakat ulama haram seseorang melakukan jimak dalam keadaan dilihat orang lain atau di tempat yang memungkinkan dilihat orang pada kebiasaannya dan sebahagian ulama memakruhkan jimak dalam bilik yang ada bayi kecil sekalipun.

Demikian juga perbuatan melihat filem porno untuk merangsang kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Telah maklum bahawa haram melihat aurat manusia lain sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Nur ayat 30 dan 31:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”

dan sabda Nabi s.a.w:

لا ينظر الرجل إلى عورة الرجل ولا المرأة إلى عورة المرأة

Maksudnya: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki yang lain dan seorang wanita memandang aurat wanita yang lain…”[Muslim].

Maka memandang aurat berlawanan jenis tentu lebih haram lagi.

Keenam: Tidak Melakukan Muqaddimah

Sabda Nabi s.a.w:

” لا يقعن أحدكم على امرأته كما تقع البهيمة ليكن بينهما رسول ، قيل ما الرسول ؟ قال : القبلة والكلمة “

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu menjimak isterinya seperti haiwan, hendaklah ada antara antara kedunya utusan”. Sahabat bertanya: “Apakah utusan itu?” Jawab Nabi s.a.w: “Ciuman dan ucapan”. [al-Baihaqi].

Daripada hadis ini, menjadi sunnah untuk suami isteri melakukan muqaddimah jimak seperti bercumbu rayu dan melakukan foreplay. Tindakan meninggalkan cumbu rayu ini menyebabkan amalan jimak tadi terpesong daripada sunnah Nabi s.a.w.

 

 

Ketujuh: Memecahkan Dara dengan Jari

Antara perkara bidaah yang berlaku dalam masyarakat arab adalah memecahkan dara dengan jari sebelum si isteri masuk ke kamar suami untuk menjadi bukti isterinya masih dara. [Mukjam al-Bida’, 84].

Demikian juga jika si suami memecahkan dengan jari semasa persetubuhan kerana seorang wanita itu mungkin telah terkoyak selaput daranya kerana terjatuh, banyak berjalan atau berlari, dan mungkin sahaja kerana kedatangan haid yang berat (heavy period). Tindakan suami memecahkan dara dengan jari akan mendatangkan rasa tidak senang jika tiba-tiba tiada darah yang keluar dan ini membuka jalan syaitan untuk menimbulkan syak wsangka pada suami terhadap isterinya. Wallahua’lam.

Kelapan: Melakukan Seks dalam Keadaan Tidak Sihat Tubuh Badan

Tidak ada tegahan syarak melakukan seks semasa suami atau isteri dalam keadaan kurang sihat seperti demam, selsema dan sebagainya tetapi secara ilmiahnya, ilmu Psikologi menetapkan perkara ini akan memberi kesan kepada anak yang terhasil semasa perhubungan tersebut.

Kondisi anak yang terhasil daripada persetubuhan semasa tubuh kurang sihat adalah lemah dan kurang daya tahan. Jadi hendaklah dielakkan melakukan seks penetratif dalam keadaan tubuh kurang sihat.

Kesembilan: Suami Tidak Menanti Isteri di Kemuncak

Hendaklah suami jangan menyudahkan hubungan sehingga isterinya juga mencapai orgasme kerana sabda Nabi s.a.w:

إذا أتى أحدكم أهله فليصدقها فإن سبقها فلا يعجلها

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendatangi (menjimak) isterinya maka berilah dia sedekah jika dia (si suami) mendahuluinya (si isteri) maka janganlah dia tergesa-gesa”. [Abu Yakla, daif].

Hadis ini daif tidak menjadi hujah namun secara ilmiahnya diketahui bahawa membiarkan isteri tidak mencapai kepuasan adalah satu kezaliman dan melanggar umum perintah Allah s.w.t:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “dan bergaullah dengan mereka (para isteri) dengan baik..” [al-Nisaa: 19].

Kesepuluh: Menyebarkan Rahsia Kamar

Amat jelik sekali akhlak mereka yang mendedahkan rahsia kamar tidur antara suami isteri kepada orang luar walau kepada ibu bapa sendiri sekalipun. Dalam hadis menyatakan:

إن من شر الناس منزلة الرجل يفضي إلى المرأة وتفضي إليه، ثم يصبح يتحدث بما جرى بينهما

Maksudnya: “Sesungguhnya seteruk-teruk manusia kedudukannya adalah seorang lelaki yang menyetubhi isterinya kemudian dia menceritakannya pada waktu paginya”. [Muslim].

Maka haram hukumnya menyebarkan rahsia kamar tidur kecuali dengan tujuan perubatan atau memohon fatwa dan seumpamanya daripada maslahat yang mendesak. [Maza Taf’al Lailatal Bina’, 28].

 

Penutup:

Maka demikianlah sebahagian kesalahan yang berlaku dalam hubungan intim suami isteri dan perlu diperbetulkan oleh setiap pasangan suami isteri yang inginkan hubungan intim mereka berlaku sesuai dengan panduan syariat Islam yang suci.

Perlu diketahui, persetubuhan merupakan langkah pertama dalam rangka membentuk seorang anak, maka amat wajar pembentukan anak itu dilakukan dengan cermat menurut garis panduan syariat dan janganlah menjadikan seks semata-mata untuk melampiaskan nafsu tetapi jadikanlah sebagai ibadah yang mudah-mudahan dengannya kita mendapat reda Allah s.w.t.

8 Respons to “KESALAHAN-KESALAHAN DALAM HUBUNGAN SUAMI ISTERI”

  1. abubakardin April 3, 2009 pada 11:28 am #

    terima kasih kerana info yang sangat mustahak diketahui oleh semua ahli lelaki dan perempuan.
    jasa anda hanya ALLH yang membalasnya

  2. hassand Julai 24, 2009 pada 8:54 pm #

    Tuan,,

    Mohon saya pinjam hujah dan ayat -ayat Allah yang tuan jadi kan asas untuk menerangkan apa itu sex dalam Islam..Moga2 Allah memberi taufik dan hidayah dan pahala yang besar kepada Tuan smua..Amin Ya rabul e..la min.

  3. mashoori Julai 25, 2009 pada 7:23 pm #

    dipersilakan barakallahu fik.

  4. syuhadah86 Ogos 21, 2009 pada 4:40 am #

    Assalamualaikum wrm wrbt.

    Saya ingin mendapat penjelasan dari ustaz harap dibalas dengan cepat..
    Saya memakai tudung dan ingin meluruskan rambut dengan niat untuk suami. Saya muskykil, sekiranya saya meluruskan rambut (teknik rebonding), adakah “chemical” yang digunakan akan menyaluti rambut sehingga menyebabkan tak sah mandi hadas? adakah selepas rebonding air tidak sampai pada rambut?saya ingin tahu hukum yang hadas ni sangat sebab cikgu kat sekolah menengah dulu pernah kata yang rebonding tak haram malah diharuskan kalau untuk keselesaan dan kcantikan depan suami..minta tolong ustaz balas dengan cepat ya..tq

    syuhadah zalika,

    bagan serai.

  5. mashoori Ogos 21, 2009 pada 4:07 pm #

    Waalaikumussalam wrt.
    Maaf kerana terlewat sebab saya ada urusan di perlis. saya tidak begitu arif apakah bahan yang digunakan dalam teknik rebonding namun meluruskan rambut untuk suami adalah perkara yang harus dan tidak termasuk dalam kategori mengubah ciptaan hukum Allah yang dilarang. Wallahua’lam.

  6. danish kaseem November 23, 2009 pada 8:17 pm #

    Assalamualaikum Warahmatullahi wa barakatuh…

    Terima kasih ustadz atas penjelasannya yang sangat terperinci….salam ukuwah saya dari indonesia…

  7. ABUBAKARDIN April 29, 2010 pada 2:56 pm #

    assalamualaikum wbr
    saya mohon untuk menyunting sebahagian dari tulisan ustaz untuk panduan anak-anak saya akan datang.
    terima kasih.

  8. mashoori Mei 17, 2010 pada 12:58 am #

    waalaikumussalam wrt.

    dipersilakan ya akhi, semoga Allah memanfaatkannya utk ana juga di akhirat nanti. doakan kebaikan utk kami para pendakwah kpd Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: