KHURAFAT ANAK BETONG

1 Mar

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

 

Antara siri televisyen yang mungkin ditonton ramai adalah cerita Anak Betong siaran sebuah rangkaian stesyen televisyen swasta. Kisah dogeng melayu lama yang dimodenkan semula dan dijadikan filem bersiri berkenaan bayi yang didapati daripada buloh betong.

Apa yang saya ingin sentuh berkenaan filem ini adalah beberapa babak yang ditayangkan boleh memberi kesan negatif kepada akidah umat Islam kerana dalam filem ini digambarkan seolah-olah tindakan salah adalah tidak salah.

Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam hari ini adalah memahami agama mereka dengan betul dan tidak mudah terpengaruh anasir luar.

Antara kekarutan filem ini dapat saya rumuskan dalam noktah-noktah berikut:

Pertama: Penggunaan Selawat Syifa’

Berkenaan selwat syifa’ ini saya tidak akan berbicara panjang, tetapi saya mengesyorkan supaya para pembaca merujuk kepada link berikut:

http://bahaya-syirik.blogspot.com/2007/05/tajuk-kesalahan-dan-kebatilan-selawat.html

Di link ini para pembaca boleh membaca kertas kerja yang disediakan Sahibul Fadilah Dr. Azwira bin Abdul Aziz, Pensyarah UKM merangkap Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis. Kertas Kerja beliau ini telah dibentangkan dalam mesyuarat fatwa negeri Perlis dan dikeluarkan fatwa mengharamkan penggunaan selawat ini.

Apa yang menghairankan adalah begitu banyak ayat-ayat al-Qur’an, doa-doa yang sahih daripada Nabi s.a.w , dan jampi-jampi daripada Salaf al-Soleh, kenapakah selawat syifa’ rekaan manusia biasa ini yang diambil sebagai penawar?

Kita semua tahu, antara jampi yang afdal dibacakan adalah membaca surah al-Fatihah demikain juga doa-doa yang warid daripada Nabi s.a.w dan para Sahabat baginda. Para ulama salaf telah menjelaskan dengan terpeinci cara-cara mengubati sihir dan sebagainya dalam kitab-kitab mereka bahkan Imam Ibn Hajar al-Asqalani r.h sendiri menceritakan kaifiat mengubati sihir menurut syariat dalam syarah beliau ke atas Sahih al-Bukhari.

Antara yang terkini Syeikh Abdul Wahid Salam Bali mengarang dua buah kitab, satunya berkenaan cara-cara penawar sihir dan satu lagi berkenaan pengubatan kerasukan Jin dan kedua-dua kitab ini diterjemah ke bahasa melayu.

Tidak ada seorang pun antara mereka menggunakan selawat yang dinamakan selawat syifa’ ini dalam pengubatan mereka. Tidak juga disebut Syeikh Abdul Wahid dalam kitab beliau berkenaan selawat ini demikian juga para ulama yang mengarang himpunan doa seperti Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar, Imam al-Nasai dalam Amal al-Yaum wa al-Lailah, dan Ibn Abi Dunya dalam kitabnya juga bernama Amal Yaum wa al-Lailah.

Sikap mengutamakan perkara bidaah melebihi sunnah Nabi s.a.w amatlah mengecewakan kerana Allah s.w.t berfirman:

 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. [al-Ahzab: 21]

Demikian lagi sabda Nabi s.a.w yang amat keras melarang bidaah:

وَإِيَّاكُمْ وَالأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ ، فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.

Maksudnya: “dan berjaga-jagalah kamu akan perkara baharu (rekaan dalam agama) kerana semua bidaah (rekaan dalam agama) adalah menyesatkan”. [Ibn Majah].

Maka wajib atas kaum muslimin memastikan wirid, zikir, dan segala jenis ibadat khusus yang hendak dilakukan mestilah berasal daripada alp-Qur’an dan al-Sunnah serta amalan al-Salaf al-Soleh.

Kedua: Menunjukkan Perkara Haram Seolah-olah Halal

Dalam filem ini, watak Zaman dan dua orang isteri muda Jagat digambarkan sebagai watak baik dan beriman. Zaman mempunyai kebolehan untuk menewaskan ilmu hitam yang diamalkan Jagat, anak betong.

Namun, watak Zaman juga ditonjolkan sebagai pelaku maksiat yang tidak seharusnya ada pada diri seorang pengubat sihir apatah lagi seorang muslim yang baik.

Maksiat yang dimaksudkan adalah ditunjukkan watak Zaman berduaan dengan kakak iparnya dan kakak iparnya tidak menutup aurat di hadapan Zaman.

Dalam hadis menyatakan:

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ : يَا رَسُولَ اللهِ ، أَفَرَأَيْتَ الْحَمْوَ ؟ قَالَ : الْحَمْوُ الْمَوْتُ.

Maksudnya: Daripada Uqbah bin Amir r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Jaga-jagalah kamu, janganlah kamu masuk (berseorangan) bertemu kaum wanita”. Maka berkata seorang lelaki Ansar: “Wahai Rasulullah, bagaimakah pula dengan ipar?” Jawab Nabi s.a.w: “Ipar itu maut”. [al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad].

Maksud hadis ini sebagaimana yang dijelaskan para ulama adalah:

أَنَّ دُخُول قَرِيب الزَّوْج عَلَى اِمْرَأَة الزَّوْج يُشْبِه الْمَوْت فِي الِاسْتِقْبَاح وَالْمَفْسَدَة ، أَيْ فَهُوَ مُحَرَّم مَعْلُوم التَّحْرِيم

Maksudnya: “Bahawa masuknya saudara suami (ipar duai) kepada isteri si suami menyerupai mati dalam buruk dan jeliknya perbuatan tersebut yakni perbuatan ini haram dan dimaklumi keharamannya…” [Fathul Bari, 15/42].

Maka jelas ulama telah bersepakat ipar bukanlah mahram dan wanita perlu menutup aurat di hadapnnya serta tidak boleh bersendirian dengannya di dalam rumah atau lainnya tanpa mahram atau suami. Bahkan perbuatan bersendirian ipar dengan isteri saudaranya lebih jelik daripada berkhalwat dengan wanita asing.

Oleh itu, diketahui bahawa perbuatan watak Zaman ini adalah jelik dan maksiat, maka bagaimana mungkin orang yang seperti ini sifatnya digambarkan sebagai mukmin yang dapat melawan syaitan sedangkan dia sendiri melakukan apa yang disuruh syaitan dalam bentuk yang lain?!

Syeikh Abdullah al-Jibrin hafizahullah menyatakan syarat-syarat pengubat yang doa dan jampinya memberi kesan, dalam syarat pertama menyatakan:

“Hendaklah keahlian seorang penjampi itu seorang yang baik yang lurus (akidahnya) dan menjaga solat, ibadat, zikir-zikir (yang sunnah), membaca al-Qur’an, beramal soleh, banyak kebaikannya dan menjauhi maksiat-maksiat dan bidaah-bidaah, kemungkaran, dosa-dosa besar dan kecilnya (yakni tidak melazimi dosa kecil)…” [al-Qawaid al-Musla li ‘Ilaj al-Sihr wal Sar’i wal ‘Ain bi al-Ruqa, 202].

Maka difahami daripada pernyataan ini, sifat Zaman yang melakukan maksiat iaitu mendampingi kakak iparnya dalam ketiadaan mahram dan terdedah aurat tidaklah wajar ditonjolkan sebagai pengubat sihir dan penjampi yang benar. Hal ini sama juga dengan cerita Puaka Niyang Rapik yang menunjukkan watak ustaz muda yang dikatakan hebat dalam melawan jin tapi pada hakikatnya berikhtilat (bergaul) dengan wanita yang bukan mahramnya dalam keadaan tiada mahram dan tidak menutup aurat.

Kebanyakan kita sangat jahil bahawa Islam bukan sekadar melarang lelaki dan wanita ajnabi berkhalwat atau bersunyi-sunyian tanpa mahram bahkan Islam juga melarang ikhtilat yakni pergaulan bebas seperti duduknya seorang lelaki bersama wanita sebelah menyebelah walaupun dalam keadaan menutup aurat dan adanya mahram dan bersesak-sesak lelaki dan wanita sehingga berlaku pergeseran dan sebagainya. Dalilnya adalah firman Allah s.w.t:

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ

Maksudnya: “dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka…” [al-Ahzab: 53].

Dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan para Sahabat apabila hendak meminta sesuatu atau ada keperluan untuk bercakap dengan isteri-isteri Nabi s.a.w hendaklah melakukannya di sebalik tabir. Ayat ini walaupun ditujukan kepada isteri-isteri Nabi s.a.w tetapi merangkumi juga seluruh kaum muslimat kerana yang dikira adalah umum lafaz bukan kekhususan sebab.

Demikian juga illah (sebab) pensyariatan hijab ini sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat adalah untuk menjaga hati daripada syahwat dan keraguan syaitan. Maka illah ini umum kepada semua yang tidak maksum (yakni selain Nabi s.a.w) maka hukumnya juga menjadi umum.[Adwa’ al-Bayan, 6/348].

Demikian juga secara ibarat nas dapat difahami keumuman hukum ini kepada semua kaum muslimin dan muslimat kerana jika Isteri-isteri Nabi s.a.w selaku semulia-mulia wanita di atas bumi ini dan para Sahabat selaku semulia-mulia umat sendiri diperintahkan dengan sebegini untuk menjaga hati mereka, apatah lagi kita yang penuh dengan titik hitam dalam hati ini.

Sabda Nabi s.a.w:

خير صفوف الرجال أولها وشرها آخرها وخير صفوف النساء آخرها وشرها أولها

Maksudnya: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang di hadapan dan seburuk-buruknya yang dibelakang dan sebaik-baik saf wanita di belakang dan seburuk-buruknya dihadapan”. [Muslim].

Dalam hadis ini menunjukkan bahawa sewaktu solat berjemaah, jemaah lelaki dan wanita diasingkan, lelaki di bahagian hadapan dan wanita dibelakang. Tujuan pengasingan ini adalah untuk mengelakkan pergaulan antara lelaki dan wanita dan mengelak syahwat-syahwat hati, demikianlah Islam melarang berlakunya ikhtilat dalam keadaan yang paling suci dan paling mulia yakni solat, waktu yang dianggap paling jauh seorang manusia dengan syahwatnya. Maka keadaan percampuran lelaki dan wanita ini lebih utama dilarang di luar solat yang menjadi tempat timbulnya keraguan dan kesangsian. [Lihat Syarah al-Nawawi li Sahih Muslim, 4/159].

Ini adalah antara dalil utama menunjukkan haramnya ikhtilat (pergaulan) lelaki dan wanita dalam tempat yang sama. Banyak lagi ayat-ayat dan hadis-hadis Nabi s.a.w yang menunjukkan larangan ini. Wallahua’lam.

Ketiga: Melakonkan Watak-watak Dan Dialog Yang Berunsur Syirik

Antara syarat lakonan yang dibolehkan syarak adalah sebagaimana yang dijelaskan para ulama:

1-     Tidak ada pendedahan aurat

2-     Tidak ada percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram

3-     Tidak berlaku khalwat lelaki dan wanita

4-     Tidak ada pendedahan aurat

5-     Tidak melakonkan watak yang bertentangan dengan akhlak Islam dan syariatnya seperti watak pembunuh, pencuri, ahli sihir dan seumpamanya.

6-     Tidak mempunyai ucapan dan aksi yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

7-     Tidak melakonkan watak Sahabat dan pembesar-pembesar Islam yang soleh apatah lagi Nabi dan Rasul.

Hasil daripada syarat-syarat ini, kita dapati kebanyakan filem yang wujud pada hari ini adalah tidak halal kerana melanggar banyak daripada syarat-syarat yang ditetapkan dan hanya sedikit sangat lakonan yang menepati syarat ini sepeti lakonan pelajar sekolah ketika membaca buku teks dalam bentuk dialog dan sebahagian dokumentari.

Berdasarkan noktah ini, saya telah menjelaskan secara ringkas hukum filem dalam Islam. Filem yang mencukupi syarat ini sahaja yang diiktiraf halal. [Lihat : http://www.islam-qa.com/ar/ref/10836/تمثيل ]

Namun, pelanggaran yang tersebar berlaku dalam filem Anak Betong ini adalah perbuatan syirik seperti sihir dan melakonkan watak seumpama ini amat berbahaya kepada akidah seseorang muslim.

Syeikh Abdullah bin Humaid ketika ditanya hukum melakonkan watak kaum kafir, musyrik, syaitan dan seumpamanya yang menyebabkan pelakon mengucapkan kalimah-kalimah kufur menjawab:

“Tidak boleh sama sekali seorang muslim menyerupakan dirinya sebagai lelaki kafir, musyrik musuh Allah dan RasulNya, musuh Islam, dan tidak boleh sama sekali menyamakan dirinya sebagai syaitan atau Iblis, musuh manusia sekaliannya, maka tidak harus seorang muslim melakukan perkara ini dan bercakap dengan kalimah kufur seolah-olah dia adalah Abu Lahab atau Utbah bin Rabiah atau lainnya dan melakonkan seumpama demikian. Wallahua’lam”.

 [ http://www.islam-qa.com/ar/ref/8926/  تمثيل ]

 

Maka segala perkara yang kami sebutkan ini perlulah diberi perhatian oleh kaum muslimin serta menjauhinya, hendaklah kita sentiasa beramal sesuai dengan kehendak Syariat dan menjauhi larangannya. Wallahua’lam.

 

Satu Respons to “KHURAFAT ANAK BETONG”

  1. abdul halim Mac 1, 2009 pada 5:04 pm #

    baraka allahhu fiikum……

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: