PENGENALAN KEPADA TAUHID

2 Mar

Maksud Tauhid

Tauhid bermaksud menunggalkan dan menjadikan sesuatu sebagai tunggal yakni satu. Adapun makna tauhid dalam istilah adalah:

“Mengesakan Allah s.w.t dalam Rububiyah-Nya, UluhiyahNya, dan kesempurnaan Zat, Sifat, dan Nama-nama yang terpuji”.[Lihat: Aqidatut Tauhid, Soleh al-Fauzan, 21].

 

Bahagian Tauhid

Maka difahami daripada takrif ini, Tauhid itu terbahagi kepada tiga jenis:

Pertama: Rububiyah yakni kita berkeyakinan dengan sepenuh hati bahawa hanya Allah s.w.t sahaja pencipta dan pentadbir alam ini. Hanya Dia lah Tuhan yang wujud mencipta, menghidup, mematikan, memberi rezeki, dan menarik rezeki dalam Alam semesta ini. Dia lah satu-satunya Zat yang mengatur perjalanan dan percaturan alam ini dan tidak ada sekutu bagiNya dalam perkara ini.

Dalil Tauhid ini adalah firman Allah s.w.t:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. [al-Fatihah: 2].

Kalimah ‘Rabb’ dalam bahasa bermaksud: Tuan yang ditaati dan Pengurus sesuatu perkara untuk kebaikan. Misalnya dalam bahasa disebut kepada suri rumah itu: ربة المنزل (pemelihara dan pengurus rumah) kerana dialah yang menjaga dan mengurus keadaan rumah.

Adapaun pada hak Allah s.w.t demikianlah juga, Dia adalah Zat yang bersifat dengan Rububiyyah yakni Pemilik dan Pentadbir Alam semesta ini. [Lihat: Tafsir Ibn Kasir,1/131, al-Tabari, 1/141-143].

Tauhid Rububiyah juga disebut sebagai Tauhid al-Af’al (توحيد الأفعال) yakni mengesakan Allah s.w.t dalam perbuatanNya.[Al-Wajiz fi Aqidah al-Salaf al-Soleh, 1/36].

Tidak ada manusia atau mana-mana makhluk jua dalam alam ini yang boleh mengenepikan tauhid ini daripada hatinya walaupun ada segelintir manusia yang mengingkarinya dengan lidah. Allah s.w.t menjelaskan dalam kalamNya perkataan Nabi Musa a.s kepada Firaun apabila dia mengingkari Rububiyah Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat 102:

لَقَدْ عَلِمْتَ مَا أَنْزَلَ هَؤُلاءِ إِلاَّ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ بَصَائِرَ

Maksudnya: “Nabi Musa menjawab: “Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran..”

Ayat ini menunjukkan Firaun tidaklah jahil akan Tuhan Sekalian Alam bahkan dia yakin di dalam hatinya kebenaran Musa a.s dan Harun a.s tetapi dia mengingkari dengan lidahnya kerana sombong dan takbur. [Lihat: Syarhul Aqidah al-Tahawiah, 79, al-Tabari, 17/569].

Allah s.w.t menjelaskan lagi hakikat kekufuran Firaun dan kaumnya:

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya: “dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan”. [al-Naml: 14].

Berkata Ibn Zaid r.h: “Mereka yakin bahawa mukjizat-mukjizat (Musa a.s) adalah daripada Allah dengan sebenarnya, maka kenapakah mereka ingkar? Jawab Allah Taala: Mereka itu bongkak dan zalim”. [Al-Tabari, 19/436].

Demikian juga keadaan kaum muyrikin Mekah, mereka beriman Allah s.w.t sebagai pencipta dan pentadbir alam ini tetapi mereka syirik dalam ibadat mereka. Sesiapa yang membawa Sirah Rasulullah s.a.w mengetahui hal ini dengan jelas. Lihat sahaja nama bapa Rasulullah s.a.w, Abdullah yang bermaksud ‘Hamba Allah’ sedangkan ketika itu kaum musyrikin turut menyembah berhala.

Firman Allah s.w.t:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

Maksudnya: “dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. maka Bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?” [al-Ankabut: 61].

Tafsiran ayat ini sebagaimana yang dinyatakan Imam al-Mufassirin (Ketua Ahli Tafsir) Ibn Jarir al-Tabari:

“Jika engkau bertanya kepada mereka yang melakukan syirik pada Allah ini wahai Muhammad: Siapakah yang mencipat petala langit dan bumi serta menyamakannya dan menjalan matahari dan bulan sesuai dengan kepentingan makhluk Allah? Maka pasti mereka menjawab: Yang mencipta dan mengaturnya adalah Allah. Maka berkata Allah: Maka bagaimana mereka boleh mengubah (ibadat) daripada yang melakukan semua itu (Allah) dan menyeleweng daripada Ikhlas dalam beribadah kepadaNya”. [al-Tabari, 20/59].

Ini merupakan noktah penting untuk difahami dengan baik iaitu Tauhid Rububiyah dipercayai dan diimani bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga kebanyakan manusia yang syirik. Tauhid Rububiyah adalah sabit dengan fitrah manusia yang sejahtera dan mereka yang melakukan syirik dalam Rububiyah ini adalah makhluk yang peling jelik dan buruk pekertinya seperti Tukang Sihir, Orang percaya kepada keramat orang mati dan penunggu serta lainnya yang mempercayai ada makhluk yang mampu mentadbir alam ini selain Allah dan tidak terkecuali kaum Komunis yang langsung menafikan kewujudan Tuhan, kekufuran mereka ini lebih kufur daripada Iblis.Nauzubillah min zalik.

Kedua: Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat wa al-Zat. Jika diteliti dalam takrif tauhid, tauhid ini berada di tempat ketiga tetapi kami dahulukan perbincangan mengenainya kerana rapatnya tauhid ini dengan Tauhid Rububiyah.

Tauhid al-Asma wal Sifat dan ditambah juga dengan wal zat bermaksud menetapkan bagi Allah s.w.t kesempurnaan yang mutlak dalam sifat-sifatNya, nama-namaNya dan zatNya.

Tauhid ini diimani juga sebahagian kaum kafir tetapi mereka melakukan Ilhad di dalamnya yakni mengubah dan menyeleweng nama-nama Allah s.w.t seperti mana kaum musyrikin mengubah nama-nama Allah seperti al-Aziz kepada al-Uzza dan Allah kepada al-Lat lalu dijadikan nama berhala mereka.[Al-Tabari, 13/282].

Firman Allah s.w.t:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan”. [al-An’am: 180].

Kaum Nasrani pula misalnya percaya ada bagi Allah ilmu dan hayat tetapi mereka menyatakan ilmu dan hayat adalah zat Allah sendiri yang menyebabkan mereka membahagikan Allah s.w.t kepada tiga-waliyazubillah- iaitu tiga oknum.

Maka tauhid ini menjadi pembeza antara muslim dan musyrik dan juga menjadi titik tolak utama untuk membezakan antara Ahli Sunnah wal Jamaah dengan Ahli Bidaah. Ini kerana, Ahli Bidaah semuanya menyeleweng dalam tauhid al-Asma wal Sifat seperti Jahmiah yang menafikan sifat daripada Allah s.w.t sehingga membawa kepada akidah hulul (yakni Allah s.w.t menjelma dalam makhluk) –nauzubillah min zalik- dan membawa kepada kesatuan agama dan lainnya daripada akidah kufur [Lihat: Syarhul Aqidah al-Tahawiah, 78 &79].

Dalil bagi Tauhid ini awalnya firman Allah s.w.t:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (1) الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (2) الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (3) مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ (4)

Maksudnya: “Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)”. [al-Fatihah: 1-4].

Dalam ayat ini Allah s.w.t menetapkan bagi diriNya nama ‘Allah’ yang menetapkan sifat Ilahiyah (Ketuhanan) bagi zatNya, nama Al-Rahman dan al-Rahim yang menetapkan sifat al-Rahmah (kasih sayang), al-Rabb yang menetapkan sifat Rububiyah bagi zatNya, al-Malik yang menetapkan sifat al-Mulk (Pemerintahan) bagi zatNya.

Demikian juga surah al-Ikhlas ayat pertama hingga akhir yang menceritakan sifat-sifat Allah s.w.t:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4)

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa;”Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;  “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Sebab turun surah ini adalah kaum musyrikin bertanya kepada Rasulullah s.a.w : “Sifatkanlah Tuhanmu kepada kami bagaimanakah Dia?”lalu Allah s.w.t menjawab pertanyaan mereka itu dengan surah al-Ikhlas. [al-Tabari, 24/687].

Maka diketahui surah al-Ikhlas menceritakan ‘sifat’ Allah s.w.t kerana ia menjawab pertanyaan kaum musyrikin berkenaan sifat Allah s.w.t. Ini menolak akidah Hizb-ut-Tahrir yang mengatakan kalimah sifat tidak warid (tidak ada) digunakan kepada Allah s.w.t.

Ahli Sunnah wal Jamaah dalam beriman kepada Tauhid ini menetapkan perkara-perkara berikut:

Pertama: Hendaklah menetapkan apa-apa sifat yang Allah s.w.t tetapkan bagi diriNya dalam al-Qur’an atau yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w dalam al-Sunnah al-Sahihah, tidak ada ruang bagi akal dalam bab ini kecuali menerima dan beriman.

Kedua: Menafikan apa-apa sifat yang Allah s.w.t nafikan daripada zatNya dan apa-apa sifat yang Rasulullah s.a.w nafikan pada zat Allah s.w.t seperti penafian anak, isteri, sekutu, teman, dan lainnya.

Ketiga: Mendiamkan diri dalam sifat-sifat yang Allah dan RasulNya diamkan seperti Jisim, adakah Allah s.w.t itu berjisim? Maka dalam alp-Qur’an dan al-Sunnah tidak dinafikan dan tidak ditetapkan, maka hendaklah kita mendiamkan diri dari menggunakan lafaz jisim pada Allah. Tetapi dari sudut makna dilihat, jika seseorang menyebut jisim Allah s.w.t dengan maksud zat Allah maka ianya betul pada makna tetapi salah (bidaah) pada lafaz, jika dimaksudkan jisim adalah jisim seperti makhluk, maka ini adalah kufur yang jelas, nauzubillah min zalik.

Keempat: Tafwid kaifiat sifat kepada Allah s.w.t jua. Yakni hendaklah apa-apa sifat yang Allah dan RasulNya tetapkan kita imani sesuai dengan zahir maknanya dan tidak diubah tetapi bagaimana cara (kaifiat) sifat tersebut hendaklah tidak dibincang tetapi diserahkan kepada Allah jua. Misalnya, Allah s.w.t mengatakan Dia mendengar, makna mendengar adalah mendapat (idrak) segala suara dan perkara yang boleh didengar tetapi bagaimana Allah s.w.t mendengar? Maka bagaimana ini hendaklah kita serahkan pada Allah s.w.t bagaimana Dia mendengar, tidaklah kita ketahui.

Kelima: Kaedah pada sebahagian Sifat adalah kaedah pada seluruh sifat. Maknanya, apabila kita menerima Allah s.w.t mendengar kerana sabit nas akannya dan kita tidak mengubah maknanya tetapi beriman sesuai dengan makna zahirnya dengan menyerahkan ilmu kaifiat sifat itu kepada Allah s.w.t  demikian juga pada sifat melihat yang juga sabit dalam nas, sifat berkata-kata, sifat mata, sifat bersemayam, sifat dua tangan, kuasa, kehendak, hidup, dan sebagainya yang sabit dalam nas hendaklah diimani zahirnya dan diserahkan ilmu kaifiatnya kepada Allah s.w.t.

Kami tidak akan memanjangkan kalam berkenaan tauhid ini kerana telah kami tulis dengan panjang lebar pada artikel-artikel sebelum ini.

*Rujuk Tauhid al-Asma wa al-Sifat ini dalam artikel sebelum ini:

https://mashoori.wordpress.com/2008/11/18/pelajaran-tauhid-al-asma-wa-al-sifat-i/

https://mashoori.wordpress.com/2008/11/20/tauhid-al-asma-wa-al-sifat-ii-perincian-kaedah/

https://mashoori.wordpress.com/2008/11/22/kaedah-dalil-dalil-al-asma-wa-al-sifat-i/

https://mashoori.wordpress.com/2008/11/22/kaedah-dalil-dalil-al-asma-wa-al-sifat-ii/

 

Tauhid al-Rububiyah dan al-Asma’ wa al-Sifat dapat disatukan dalam bahagian Tauhid yang dinamakan ‘Tauhid al-Makrifah wal Isbat’ (Tauhid Untuk Mengenal dan Menetapkan). Dua jenis tauhid ini beredar dengan amalan hati seseorang dan ianya hanya terzahir dalam amalan melalui Tauhid Uluhiyah.

 

Ketiga: Tauhid al-Uluhiyah dikenali juga sebagai Tauhid al-Ibadah dan Tauhid al-Qasdi wa al-Tolabi (Tauhid yang menjadi tuntutan dan tujuan). Maknanya kita mengesakan Allah s.w.t dalam ibadat kita dan mengikhlaskan amalan kerana Allah s.w.t sahaja.

Dalil Tauhid ini yang paling awal adalah firman Allah s.w.t:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (5) اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6)

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus”. [al-Fatihah: 5 & 6].

Maka Allah s.w.t memerintahkan kita berikrar bahawa kita hanya menyembah Dia, hanya kepada Dia juga kita memohon bantuan dan perlindungan secara mutlak dan dalam ayat ke-6 terdapat mengikhlaskan doa hanya untuk Allah sahaja.

Firman Allah s.w.t:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad) Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah…” [al-Isra’: 19].

Makna ‘Ilah’ dalam ucapan لاإله إلا الله  bermaksud: Zat yang disembah (المعبود) [Lihat: al-Tabari, 22/173].

Firman Allah s.w.t:

 

لَا تَجْعَلْ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ فَتَقْعُدَ مَذْمُومًا مَخْذُولًا

Maksudnya: “janganlah engkau adakan Tuhan (sembahan) yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan”. [al-Isra’: 22].

Ayat ini melarang manusia daripada menyembah selain Allah sw.t kerana semua sembahan selain Allah adalah batil yang membawa celaka di Akhirat nanti.[al-Tabari, 17/412].

Tauhid Uluhiyah adalah semulia-mulia Tauhid kerana inilah tauhid yang menjadi dakwah para Anbia’ yakni awal-awal dakwah mereka dan atas tauhid inilah manusia diperintahkan untuk mati.

Firman Allah s.w.t:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Maksudnya: “dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah Bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulNya”. [al-Nahl: 36].

Ayat ini menjelaskan bahawa awal-awal dakwah Rasul itu bahkan intipati dakwah semua Rasul adalah Tauhid Uluhiyah yakni mengikhlaskan ibadah untuk Allah dan meninggalkan taghut yakni semua sembahan selain Allah s.w.t.

Dalam hadis Nabi s.a.w baginda bersabda:

من كان آخر كلامه لا إله إلا الله دخل الجنة

Maksudnya: “Sesiapa akhir kalamnya (ketika dia meninggal dunia) adalah لا إله إلا الله dia masuk syurga”. [Abu Daud dan Ahmad-sahih-].

Ini menunjukkan bahawa Tauhid Uluhiyah jugalah yang menjadi penjamin seseorang manusia dihadapan Allah s.w.t. Lihat sahaja Abu Tolib, walaupun dia bapa saudara Nabi s.a.w dan penjaganya serta ‘pembantu’ dakwah baginda, akhirnya kerana dia tidak mengucapkan syahdah dan tidak beriman kepada Uluhiyah Allah s.w.t dia menjadi ahli neraka.

Tauhid Uluhiyah juga merupakan kelaziman dan kelangsungan daripada Tauhid Rububiyah kerana secara logiknya seseorang manusia tidak akan menyembah kecuali sesuatu yang mempunyai kekuasaan dan pemerintahan demikian juga pengakuan kekuasaan dan pemerintahan mutlak seseorang kepada Allah s.w.t menjadikannya menyembah Allah s.w.t jika benar dia memerhati dan mengambil iktibar.

Tauhid Uluhiyah juga berkait rapat dengan Tauhid alp-Asma wal Sifat kerana melalui pengenalan kita terhadap nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t kita menyembah Allah s.w.t dengan perasaan takut, harap, dan cinta yang merupakan inti pati Tauhid Uluhiyah (yakni beribadat kepada Allah dengan takut, harap, dan cinta).

Berkata Imam Ibn Abil Izz r.h:

“Bahkan Tauhid yang diseru oleh para Rasul dan diturunkan bersama mereka kitab adalah Tauhid Uluhiyah yang terkandung juga di dalamnya Tauhid Rububiyah, iaitulah (yakni Tauhid Uluhiyah) beribadat kepada Allah semata-mata tanpa syirik kepadaNya…” [Syarhul Aqidah al-Tahawiah, 81].

Sabda Rasulullah s.a.w:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa Tiada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, apabila mereka melakukannya terpeliharalah darah dan harta mereka kecuali dengan hak Islam dan perhitungan (amal) mereka kembali kepada Allah jua”. [al-Bukhari & Muslim].

Hadis ini menegaskan bahawa mengikhlaskan ibadah kepada Allah s.w.t merupakan perkara yang utama dalam dakwah Nabi s.a.w dan agenda utama dakwah baginda. Demikian juga solat, zakat dan lain-lain ibadah adalah termasuk dalam Tauhid Uluhiyah kerana amalan-amalan ibadat merupakan lambang Tauhid Uluhiyah.

Antara noktah penting untuk difahami adalah seseorang yang melakukan syirik dalam ibadah, pengakuannya bahawa dia mentauhidkan Allah s.w.t dalam rububiyah terbatal serta merta kerana Tauhid Uluhiyah dan Rububiyah itu saling kait mengait. Oleh itu, apabila seorang berdoa misalnya: “Wahai Syeikh Badawi, berilah aku rezeki”, dia dianggap syirik akbar yang menjadikannya kafir walaupun dia mengatakan dia hanya bertawassul atau menjadikan Syeikh itu perantara bukanlah pemberi rezeki sebenar kerana berdoa itu sendiri hak Allah s.w.t tidak boleh diubah kepada selain-Nya.

 

Kedudukan Tauhid

Tauhid adalah agenda yang paling penting dalam dakwah dan tauhid yang pertama perlu dimulakan adalah Tauhid Uluhiyah dan disertai dalamnya Tauhid Rububiyah dan al-Asma’ wa al-Sifat.

Seseorang yang hendak menyembah Allah s.w.t mestilah memahami ketiga-tiga Tauhid ini kerana dengan Tauhid Rububiyah akan timbul kesedaran dan tanggungjawab untuk beribadah, dengan Tauhid Uluhiyah pula dia boleh beribadat dengan betul dan diterima Allah s.w.t, manakala dengan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dia dapat beribadah dengan jujur kerana dia mengenal Tuhannya, dia tidak akan jemu beribadah kerana dia kenal Tuhannya bersifat dengan sifat Rahmah, sifat Ijabah (memperkenankan doa) dan lainnya, dengan Tauhid Asma wa Sifat juga dia takut melakukan dosa kerana dia kenal Tuhannya amat pedih siksaanNya kepada pelaku dosa dan melalui Tauhid Asma wa Sifat timbulnya sifat Ihsan dalam Ibadah kerana dia yakin Tuhannya Maha Melihat lagi Maha Mendengar.

Maka, setiap dai (pendakwah) hendaklah memulakan dakwah mereka kepada Tauhid, janganlah disibukkan dengan siasah (politik) dan mengejar pengikut yang ramai.Ini kerana politik tanpa Tauhid akan memesongkan matlamat dakwah, pengikut yang ramai tanpa ikatan Iman yang benar yang terhasil daripada Tauhid yang murni akan berpecah.

Sabda Rasulullah s.a.w kepada Muaz bin Jabal r.a apabila baginda mengahantar beliau berdakwah di Yemen:

إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ أَهْلِ كِتَابٍ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ عِبَادَةُ اللَّهِ فَإِذَا عَرَفُوا اللَّهَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ فَإِذَا فَعَلُوا فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ فَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً مِنْ أَمْوَالِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ فَإِذَا أَطَاعُوا بِهَا فَخُذْ مِنْهُمْ وَتَوَقَّ كَرَائِمَ أَمْوَالِ النَّاسِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan pergi kepada kaum Ahli Kitab, maka hendaklah perkara pertama yang kamu dakwah kepada mereka Ibadah kepada Allah, apabila mereka mengenal Allah maka beritahulah bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam, apabila mereka telah melakukannya maka beritahulah bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka zakat harta mereka, diberi kepada kaum fakir dalam kalangan mereka apabila mereka taat dalamnya maka ambillah zakat mereka dan jagalah kemuliaan harta manusia”. [al-Bukhari & Muslim].

Lihat bagaimana Nabi s.a.w mengajar cara dakwah kepada Muaz bin Jabal r.a, hendaklah bermula dengan Tauhid, sehingga mereka telah kenal Allah s.w.t, tahu hanya Allah sahaja yang berhak disembah maka barulah diajar rukun-rukun Islam yang lain secara berperingkat juga.

Manhaj Dakwah Islam inilah yang diseru oleh Ahli Sunnah wal Jamaah yang disebut sebagai Salafiyyun dan sering ditohmah oleh musuh-musuh mereka sebagai ‘Wahabi’.

Ahli Sunnah tidak boleh menerima manhaj dakwah seperti kelompok Ikhwan Muslimun yang menjadikan Tauhid sebagai second class bahkan mungkin third class dalam agenda dakwah mereka. Mereka asyik menyeru kepada pemerintahan dan kerajaan tetapi kita lihat pengikut mereka masih jahil akan Tauhid, bahkan antara pemimpin  mereka sendiri pun.

Mana mungkin seorang yang berpengaruh dalam jemaah Ikhwan al-Muslimun seperti Syeikh Ramadan al-Buti mentakwil (mengubah) sifat-sifat Allah s.w.t dan berakidah bahawa al-Qur’an mempunyai dua jenis, makhluk dan bukan makhluk. Ini adalah melanggar Tauhid Ulama Salaf daripada Sahabat, Tabiin dan Tabi’ Tabiin.[Lihat akidah al-Buti ini dalam Kitabnya: Kubral Yaqiniyyat].

Inilah yang menjadi pembeza dan garis merah pembatas antara dakwah salafi dengan dakwah Ikhwani. Dakwah Salafi metodenya menurut apa yang disusun atur oleh Rasulullah s.a.w, master mind dakwah salafi adalah tidak lain tidak bukan Nabi Muhammad s.a.w manakala metode Ikhwani dibina oleh hawa nafsu pemimpin mereka, mereka ubah dan tetapkan apa yang sesuai dengan cita rasa mereka. Semoga Allah s.w.t memberi mereka hidayah dan taufiqNya begitu juga dengan kita dan semoga Allah s.w.t mematikan kita di atas Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah yang tulin..Amin. Wallahua’lam.

 

 

 

 

 

Selesai ditulis oleh al-Faqir Ilallah,

Abu al-Rubayyi’ Muhammad Asrie bin Sobri al-Mashoori al-Salafi

Pada Isya’ 7 Rabiul Awwal 1430 H/ 2 Mac 2009 M.

8 Respons to “PENGENALAN KEPADA TAUHID”

  1. qardhawi Mac 7, 2009 pada 11:51 pm #

    Tuduhan kepada ikhwanul Muslimin mentakwil sifat Allah adalah tidak benar,

    Merujuk kepada Usul Isyrin imam Hasan al-Banna, pada usul yang ke10, Imam Hasan Al-Banna menyatakan dengan jelas pendirian Ikhwanul Muslimin bahawa;

    Mengenal Allah, mentauhidkanNya dan membersihkanNya dari sesuatu yang menyekutuiNya adalah aqidah yang paling tinggi dalam Islam. Ayat Al-Quran dan Hadith yang menyentuh sifat2 Allah hendaklah kita terima tanpa melakukan tafsiran dan takwilan. Kita jauhi perselisihan ulamak dalam masalah ini. Kita berpada dengan apa yang telah dipadakan oleh Rasulullah S.A.W. dan Para Sahabat.

    Semoga tuduhan dan fitnah jahat terhadap Ikhwanul Muslimin tidak dibuat sewenang2nya.

    Wallahua’lam.

  2. qardhawi Mac 8, 2009 pada 12:07 am #

    Tuduhan bahawa Dakwah Ikhwanul Muslimin tidak mengutamakan persoalan Aqidah juga adalah tidak tepat.

    Sila rujuk usul Isyrin yang menjadi dasar pegangan Ikhwanul Muslimin pada usul yang ke 17.

    Imam Hasan Al-Banna dengan tegas menyatakan;

    Akidah adalah asas kepada amal. Amal hati lebih penting dari anggota. Mencari kesempurnaan amal hati dan amal anggota adalah dituntut syara’, skalipun taraf tuntutan itu tidak sama.

    Akidah Islamiyah adalah aqidah yang tegak diatas dasar iman kepada Allah, malaikat dan kitab2 Allah, Rasul2 hari akhirat, qadha dan qadar samaada baik atau jahat. Juga tegak diatas asas yang terkandung dalam aqidah tersebut. Aqidah Islamiyyah yang seperti ini adalah menjadi asas kepada amal, dan amal tidak akan diterima jika tidak dilatarbekangkan dengan aqidah yang berfungsi sebagai pendoronguntuk melakukan amal, sesuai dengan tuntutan aqidah tersebut. Amal akan rosak dan tidak diterima apabila berlaku kecacatan, kerosakan dan kebatalan pada aqidah. Demikian juga keadaannya apabila asas2 aqidah Islamiah tidak sempurna dalam aqidah tersebut.

    Saya tidak melihat asas aqidah salafi berbeza dengan dasar aqidah yang dipegang oleh Ikhwanul Muslimin. Ayuh kita bersatu menentang musuh Allah dan jangan kita berpecah belah.

  3. mashoori Mac 8, 2009 pada 2:32 pm #

    Tuduhan bahawa Ikhwan al-Muslimun ‘tidak mentakwilkan sifat’ adalah dusta sekali kerana Syed Qutub rahimahullah berkata dalam Fi Zilalil Qur’an: “dan Istiwa’ (bersemayam) di atas Arasyh adalah Kinayahberkenaan penguasaan yang tinggi, tetap, dan kukuh”. [Rujuk Tafsir Fi Zilalil Qur’an, 4/125, Tafsir Surah Yunus].
    Dalam Tafsir Surah Taha Syed Qutub menyatakan: “dan bersemayam di atas Arasyh adalah perumpamaan tentang penguasaan tertinggi”.
    Said Hawa Rahimahullah menyatakan dalam Jaulat fi Fiqhain dalam Jaulah ke-4: “dan Umat dalam urusan akidah telah menyerahkan urusan mereka kepada Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi”.
    Diketahui Abul Hasan al-Asy’ari mempunyai tiga marhalah dalam akidahnya, marhalah pertama akidah muktazilah, kedua Kullabiah dan ketiga Salafiah. Namun apabila disertakan Abul Hasan al-Asy’ari dengan Imam Abu Mansur al-Maturidi, yang dikhendaki adalah Marhalah Kullabiah iaitulah marhalah beliau mentakwil sifat kerana diketahui Imam Abu Mansur al-Maturidi Rahimahullah mentakwil sifat.
    Demikian juga Umar Tilimsani dalam Kitabnya: Ba’du Ma ‘Allamani al-Ikhwan al-Muslimun ketika membicarakan sifat al-Yamin yakni tangan kanan Allah menyatakan: “Sesungguhnya al-Yamin yang dimaksudkan dalam ayat yang mulia ini adalah kemampuan untuk menggulung langit-langit iaitulah al-Qudrah..”
    Adapun Hasan al-Banna Rahimahullah jelas beliau berakidah Asyairah Mufawwidah yakni mentafwid makna sifat sehingga sifat-sifat Allah itu seperti kalam majin (perkataan sia-sia yang tiada makna)-nauzubillah min zalik-: “dan kami beriktiqad pandangan salaf yang berdiam diri dan mentafwid ilmu makna-makna sifat ini kepada Allah Tabaraka wa Taala adalah lebih selamat dan utama untuk diikut”. [Risalah al-Aqaid oleh Hasan al-Banna].
    Jelas Hasan al-Banna tidak memahami bahawa akidah salaf adalah tafwid kaifiat sifat bukan makna sifat. Jadi akidah beliau masih tetap dalam lingkungan akidah Asyairah, bukan akidah salaf yang sejati. Wallahua’lam.

  4. mashoori Mac 8, 2009 pada 2:41 pm #

    Dakwah Ikhwan al-Muslimun tidak mementingkan akidah sama sekali kerana mereka bekerjasam dengan kaum Syiah Rafidah. Demikian juga kita lihat pihak Ikhwan menerima sistem demokrasi sedangkan diketahui demokrasi itu bertentangan dengan akidah Islam yang murni yang meletakkan ketinggian hukum pada Allah s.w.t bukan pada rakyat.
    Syeikh Abdul Halim Mahmud rahimahullah seorang tokoh terbilang Ikhwan al-Muslimun meriwayatkan dalam Kitab beliau: al-Ikhwan al-Muslimun: Ahdas Sanaathu Tarikh jil 1 ucapan Hasan al-Banna berkenaan Palestin: “saya saya tegaskan di sini permusuhan kami terhadap Yahudi bukanlah kerana agama..”
    Ini adalah contoh yang jelas bahawa Firqah al-Ikhwaniah tidak mengikut akidah yang sahih. Mereka sama sahaja dengan parti-parti sekular dan liberal yang lain, bukanlah parti Islam seperti omongan mereka.Wallahua’lam.

    Lihat:

    Rujuk Blog saya:

  5. khairul April 9, 2010 pada 5:04 pm #

    >>Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat wa al-Zat<<

    "Tauhid ini diimani juga sebahagian kaum kafir tetapi mereka melakukan Ilhad di dalamnya yakni mengubah dan menyeleweng nama-nama Allah s.w.t…"

    salam,

    mohon pencerahan atas kenyataan tuan di atas.

    bagaimana dikatakan kaum kafir itu mengimani tauhid?
    kafir adalah terkeluar daripada Islam dan kafir juga adalah syirik….oleh yang demikian, bagaimana pula dalam masa yang sama seseorang itu boleh syirik dan tauhid dalam masa yang sama? dua perkara yang bertentangan?

    juga…bagaimana pula orang kafir itu mengimani tauhid? kafir dan tauhid juga sangat bertentangan…?

    sekian,

    wassalam..

  6. mashoori April 21, 2010 pada 5:19 pm #

    wkslm,

    Sila kita perhatikan firman Allah dalam surah Yusuf ayat ke-106:

    وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُمْ بِاللَّهِ إِلَّا وَهُمْ مُشْرِكُونَ

    Maksudnya: “Tidaklah mereka itu beriman kebanyakannya melainkan dalam keadaan mereka melakukan syirik (kpd Allah)”.

    Ulama Mufassirin menyatakan:
    “Adalah antara Iman mereka itu jika ditanya kpd mereka: “Siapakah yang menciptakan langit-langit dan bumi?” mereka menjawab: “Allah”. Apabila ditanya kepada mereka siapakah yan menurunkan hujan? jawab mereka: “Allah”. kemudian dalam keadaan itu (yakni dlm keadaan mereka mengakui semua itu) mereka menyembah berhala dan melakukan syirik. ” [Rujuk Tafsir al-Baghawi, Tafsir Ibn Kasir, dan Tafsir al-Tabari berkenaan ayat ini].

    Maka Iman dan Syirik boleh berkumpul pada seseorang secara waqii tetapi tidak secara hukum yakni mungkin benar pada hati seseorang dia percaya Allah wujud, Allah mencipta alam dan sebagainya tetapi dia menyembah berhala dan mengatakan Allah ada anak umpamanya maka pada hukum di sisi Allah dia adalah Kafir dan kekal dalam neraka jika dia mati dalam keadaan itu. Iman yang mereka bawa itu kerana tidak cukup syarat dan rukunnya tidaklah memberi manfaat.

    Perhatikan juga firman Allah Taala dalam surah al-Sajdah ayat ke-29 yg sering dibaca Imam dalam solat subuh di pagi Jumaat:

    قُلْ يَوْمَ الْفَتْحِ لَا يَنْفَعُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِيمَانُهُمْ وَلَا هُمْ يُنْظَرُونَ

    Maksudnya: “Katakanlah: Pada hari al-Fath (hari kiamat) tidak bermanfaat bagi orang-orang kafir itu iman mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh berlengah lagi (utk bertaubat)”.

    Iman kaum musyrikin apabila matahari terbit di barat tidak diiktiraf oleh Allah s.w.t namun Allah menetapkan bahawa ketika itu memang mereka beriman namun yang Allah perintahkan kpd manusia adalah ‘Beriman dengan benda ghaib’ bukan setelah berlaku di hadapan mata kiamat baru hendak percaya. Maka semua manusia ada imannya pada Allah tetapi hanya mereka yang beriman dengan terma dan syarat yang Allah tetapkan sahaja diterima di sisi Allah Taala.

    Wallahua’lam, hudita lima huwa khair.

  7. khairul Mei 27, 2010 pada 8:38 am #

    Salam tuan,

    terima kasih atas jawapan yang diberikan. Namun, masih ada kemusykilan sekiranya tuan sudi memberi pencerahan.

    merujuk kepada surah Yusuf, ayat 106, secara ringkas boleh disimpulkan sebagai : sungguhpun mereka beriman kepada Allah swt namun mereka masih berada dalam kesyirikan terhadap Allah swt. Dalam erti kata lain, mereka beriman tetapi mereka tidak mentauhidkan Allah swt dengan selayak dan sebenar-benarnya. Mereka mempercayai wujudnya kekuasaan selain dari Allah swt. Ayat ini menjelaskan bahawa iman dan tauhid merujuk kepada 2 perkara yang berbeza.

    Hal sedemikian bisa sahaja berlaku walau dikalangan mereka yang mengaku sebagai Islam. Mereka beriman/percaya kepada Allah serta semua yang terkandung dalam rukun iman 6 perkara. Namun mereka tidak Islam, umpamanya tidak lengkap pelaksanaan rukun Islam 5 perkara. Rukun iman adalah merujuk kepada kepercayaan, sedangkan rukun Islam merujuk kepada amal perbuatan. Dan Tauhid merupakan rukun Islam yang pertama, dan tauhid itu adalah perihal mengEsakan Allah swt dalam amal perbuatan kita. Dan Islam itu adalah pengamalan selepas datangnya iman.

    Maka, jelas di sini, tauhid adalah khusus merujuk kepada Islam semata-mata. Yakni orang yang mula dengan beriman kemudiannya Islam dan lantas mentauhidkan Allah swt. Yakni bermula dengan percaya kemudian diikuti dengan mengamalkan perintah atas apa yang diimaninya. Tauhid bukan sekadar kepercayaan, tetapi tauhid adalah meliputi kepercayaan dan amal perbuatan.

    Jelas di sini tauhid tidak diamalkan oleh orang-orang kafir. Dan tauhid adalah bertentangan dengan amal perbuatan orang-orang kafir. Kerana itulah, pernyataan tauhid (asma’, sifat & zat) itu diimani oleh sebahagian kaum kafir adalah suatu yang sangat bercanggah.

    wallahu’alam

    wassalam

  8. mashoori Julai 3, 2010 pada 1:38 pm #

    Waalaikumussalam kpd saudara Khairul,

    Apa yang saudara cuba terangkan dan fahamkan itu adalah usaha ijtihad saudara sendiri namun apa yang saudara simpulkan tidaklah sependapat dengan apa yang difahami oleh para Salafus Soleh.

    Jika Kaum Musyrikin tidak meyakini Tauhid Rububiyah maka mereka xkan pergi bersembunyi di bukit-bukit ketika mana Abrahah hendak menyerang Kaabah dan Abdul Muttalib tidak akan berkata: Kaabah itu ada Tuan yang akan menjaganya, kpd Abrahah.

    demikian juga atas dasar keimanan mereka kpd Tauhid Rububiyah lah Allah Taala menjadikan dalil RububiyahNya utk menegakkan hujah atas mereka supaya bertauhid dalam Uluhiyah dan Ibadah, demikian juga jika mereka tidak kenal Tauhid al-Asma’ wal Sifat maka tentulah ayah Nabi s.a.w tidak akan dinamakan dengan Abdullah.

    kenyataan saudara bahawa Tauhid adalah percaya, ucap dan amal ianya benar dan itu juga adalah Iman.
    Setiap istilah ini: Iman, Tauhid, Islam, Ihsan ada umum dan khususnya, bila bersatu ianya berbeza dan bila berbeza ianya satu.

    Maka perlulah memahami terminologi ini daripada sudut ilmu tafsir juga bukan hanya sudut ilmu akidah dgn makna khasnya. demikian juga perbezaan antara makna dari segi bahasa dan syarak amat penting dibezakan.

    ‘ala kulli hal xperlu dipanjangkan perdebatan di sini kerana kenyataan itu bunkanlah saya reka2 daripada otak saya sendiri tetapi ianya termaktub dalam tulisan para Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah yang lebih memahami nas2 al-Quran dan Hadis daripada saudara dan saya sendiri kerana mereka itu (daripada Sahabat2 Rasulullah s.a.w) menyaksikan penurunan wahyu. wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: