KEWAJIPAN MEMBENCI KEFASIQAN DAN MAKSIAT

11 Mar

Firman Allah s.w.t:

وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِنَ الْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ أُولَئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ

Maksudnya: “dan ketahuilah bersama-sama kamu ada Rasulullah yang jika dia mengikut kebanyakan permintaan kamu tentulah kamu akan menjadi susah tetapi Allah telah mencampakkan kecintaan terhadap Iman dan menghiaskannya dalam hati-hati kamu dan mencampakkan rasa benci terhadap kekufuran, kefasiqan, dan maksiat (dalam hati-hati kamu) demikianlah mereka itu orang-orang teguh di atas kebenaran”. [al-Hujurat: 7].

Sambungan Perbincangan Ayat:

Telah kita jelaskan sebelum ini berkenaan kewajipan membenci kekufuran sebagaimana yang dijelaskan ayat ke-7 surah al-Hujurat di atas. Maka berbaki kepada kita kepada dua perkara yang dijelaskan oleh Allah Taala yang perlu seorang muslim sejati membencinya iaitulah:

Pertama: al-Fusuq yakni perbuatan fasiq. Al-Fasiq dalam istilah syarak diletakkan kepada orang mukmin atau mukminah yang melakukan sesuatu dosa besar tetapi tidak mengeluarkannya daripada Islam bahkan dia adalah muslim yang derhaka.

Kedua: al-Isyan yakni amalan maksiat atau derhaka kepada Allah s.w.t dan RasulNya. Al-Isyan di sini bermaksud segala jenis dosa dan mungkin juga khusus kepada dosa kecil kerana dosa besar telah dikhususkan dengan ‘al-fusuq’. Kalimah al-‘Asi digunakan untuk menunjukkan mereka yang melakukan perbuatan maksiat daripada kaum muslimin dari segi istilahnya.[i]

Perbuatan dosa sama ada besar atau kecil adalah perbuatan yang bertentangan dengan kesempurnaan Iman dan kecantikan Islam seseorang. Ini kerana maksud Islam adalah tunduk kepada Allah s.w.t  dengan menjalankan perintah-perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Namun, kebencian seorang muslim terhadap fusuq dan maksiat tidak sama dengan kebencian mereka terhadap kufur dan syirik kepada Allah Taala kerana kedudukan pelaku maksiat sama ada kecil atau besar berbeza dengan hukuman mereka yang melakukan syirik dan kufur.

Kedudukan Pelaku Maksiat dan Dosa di Sisi Islam:

Kaedah yang telah disetujui para Ulama Ummah adalah: Kita tidak mengkafirkan seorang muslim dengan semua dosa yang dilakukannya selama dia tidak menghalalkannya.[ii]

Maksud tidak semua dosa adalah ada dosa-dosa tertentu yang dilakukan akan menyebabkan pelakunya menjadi kafir iaitulah syirik dan kufur.

Adapun dosa-dosa lain jika pelakunya melakukan dengan menghalalkan perbuatan tersebut seperti peminum arak dengan kepercayaan arak halal maka dia boleh dihukum kufur tetapi jika meminum arak kerana menurut hawa nafsu dalam keadaan dia tahu arak itu haram dan itulah yang dipegang olehnya maka dia tetap muslim.

Maka pelaku dosa-dosa besar menurut syarak adalah kaum yang beriman dan mereka dalam akidah al-wala’ dan al-Bara’ mendapat sebahagian wala’ (kesetiaan) dan sebahagian bara’ (kebencian).

Dalilnya adalah sebuah hadis:

عن عمر بن الخطاب : أن رجلا على عهد النبي صلى الله عليه و سلم كان اسمه عبد الله وكان يلقب حمارا وكان يضحك رسول الله صلى الله عليه و سلم وكان النبي صلى الله عليه و سلم قد جلده في الشراب فأتي به يوما فأمر به فجلد فقال رجل من القوم اللهم العنه ما أكثر ما يؤتى به ؟ فقال النبي صلى الله عليه و سلم ( لا تلعنوه فوالله ما علمت إلا أنه يحب الله ورسوله )

Maksudnya: “Daripada Umar bin al-Khattab bahawa seorang lelaki di zamn Rasulullah s.a.w bernama Abdullah dan digelar al-Himar, adalah beliau ini selalu membuat Rasulullah s.a.w tertawa dan Nabi s.a.w pernah menghukumnya dengan sebat kerana meminum arak, maka pada suatu hari dia dibawa kepada Nabi s.a.w untuk dihukum sebat, setelah dia disebat berkata seorang lelaki kepadanya: Ya Allah, laknatlah dia, sudah banyak kali dia dihukum begini. Maka Nabi s.a.w berkata: Janganlah kamu melaknat dia kerana demi Allah aku tidak tahu berkenaan dia kecuali seorang yang mencintai Allah dan RasulNya.”[al-Bukhari dan Abu Yakla].

Imam al-Bukhari rahimahullah memasukkan hadis ini di bawah bab ‘Pada menyatakan tidak disukai untuk melaknat peminum arak dan pelakunya tidaklah keluar daripada agama’. Jelas daripada bab yang dinyatakan Imam al-Bukhari ini, akidah Ahli Sunnah wal Jamaah terhadap pelaku dosa besar adalah dia tidak menjadi kufur.[iii]

Firman Allah s.w.t dalam ayat ke-9 dan 10 surah al-Hujurat:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (9) إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (10)

Maksudnya: “dan jika dua puak daripada kaum mukminin berperang maka damaikanlah antara keduanya jika salah satu puak melampau atas satu puak yang lain maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali tunduk pada hukum Allah, jika mereka telah berhenti maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adil lah kerana Allah suka kepada mereka yang berlaku adil. Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bergaduh itu) dan bertakwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu dirahmati”.

Pergaduhan sesama muslim merupakan perbuatan maksiat sebagaimana dalam sabda Nabi s.a.w:

لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُهَاجِرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Maksudnya: “Janganlah kamu bermusuhan dan jangan dengki mendengki dan jangan bermasam muka, jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara dan tidak halal kepada seorang muslim memulaukan saudaranya lebih dari tiga malam” [al-Bukhari, Muslim].

Namun, dalam ayat di atas Allah s.w.t tetap menamakan kaum mukmin yang bergaduh sesama mereka sebagai ‘mukmin’ dan ‘bersaudara’, maka ini menunjukkan semata-mata maksiat tidaklah menjadikan seseorang muslim itu kafir.

Adapun hadis Nabi s.a.w:

قتال المؤمن كفر وسبابه فسوق

Maksudnya: “Memerangi kaum mukmin itu kufur dan mencelanya fasiq”. [al-Nasai secara mauquf, Ahmad dan Abu Yakla secara marfu. Sahih atas penilaian al-Albani, al-Aranuth dan Husain Salim Asad].

Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah telah bersetuju bahawa hadis-hadis seumpama ini yang menunjukkan sesuatu perbuatan dosa sebagai kufur sedangkan dalam nas lain ada menunjukkan ianya tidak kufur sebagai kufur kecil yakni kufur yang tidak mengeluarkan pelakunya daripada Islam tetapi dinamakan perbuatan itu kufur kerana menyerupai amalan orang kafir dan dekatnya dosa tersebut dengan kekufuran. [iv]

Misalnya seorang yang memerangi kaum mukmin sama ada kerana sebab-sebab duniawi atau pun kerana benci kepada agama Islam itu sendiri. Maka jika seorang muslim memerangi muslim yang lain kerana sebab duniawi seperti kerana berebut jawatan pemerintahan, berebut harta, dan sebagainya maka dia adalah mukmin dan tidak kafir walaupun fasiq tetapi jikalau dia memerangi seorang muslim kerana benci kepada ajaran Islam itu sendiri maka dia kufur-nauzubillah min zalik- maka dosa yang disebut kufur ini dekat dengan sempadan iman dan kufur sehingga diberi peringatan yang keras oleh Rasulullah s.a.w dengan menggunakan lafaz kufur.

Dalil perkara ini adalah perbuatan Hatib bin Abi Baltaah r.a yang cuba menyampaikan berita kedatangan kaum muslimin dalam peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Mekah) namun apabila Hatib menyatakan sebab perbuatannya itu hanya kerana duniawi semata-mata bukan kerana membenci Islam maka Nabi s.a.w tidak menghukum Hatib r.a sebagai kufur bahkan baginda menyatakan perbuatan Hatib r.a tersebut telah sedia diampunkan Allah s.w.t.[v]

Maka dalil-dalil ini semuanya menunjukkan bahawa tidak semua perbuatan dosa akan menyebabkan seseorang muslim menjadi kufur. Sejelas-jelas dalil dalam hal ini adalah firman Allah s.w.t:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa yang melakukan syirik terhadapNya dan Dia mengampunkan dosa-dosa selain itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan sesiapa yang syirik kepada Allah maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang sangat besar”.[al-Nisaa: 48].

Berkata Imam al-Tabari r.h dalam mentafsirkan ayat ini:

فإن الله لا يغفر الشرك به والكفر، ويغفر ما دون ذلك الشرك لمن يشاء من أهل الذنوب والآثام

Maksudnya: “Maka sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik dan kufur dan dia mengampunkan selain daripada dosa syirik bagi sesiapa yang Dia kehendaki daripada Ahli Maksiat dan Dosa”.[vi]

Ayat ini menunjukkan pelaku dosa sama ada besar atau kecil berada dalam masyiah (kehendak) Allah s.w.t jika Dia kehendaki Dia ampunkan dan jika Dia kehendaki Dia akan mengazab mereka kemudian dimasukkan ke dalam syurga.

Namun, terdapat perkara yang boleh menghapuskan semua dosa seseorang hamba iaitulah Taubat dan Istighfar, jika Taubatnya di terima Allah s.w.t maka dosa-dosanya pasti terampun termasuklah pelaku syirik apabila dia bertaubat dengan meninggalkan syirik dan mengucap semula dua kalimah syahadah maka dia kembali menjadi muslim mukmin. Maka dosa apabila seseorang hamba itu bertaubat maka kemapunannya pasti dengan sepakat umat Islam.

Sabda Nabi s.a.w:

يخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن شعيرة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن برة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن ذرة من خير

Maksudnya: “dikeluarkan daripada neraka sesiapa yang menyebut Lailaha illallah dan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat sebiji syair dan dikelaurkan daripada neraka sesiapa yang mengucaokan Lailaha illallah dan di dalam hatinya terdapat kebaikan walau seberat sebiji gandum dan dikelaurkan daripada nereka itu sesiapa yang mengucapkan Lailaha illallah dan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat zarah”. [al-Bukhari & Muslim].

Hadis ini juga menjadi dalil bahawa seorang mukmin yang melakukan dosa jika dikehendaki Allah s.w.t dia diazab di neraka untuk tempoh yang dikehendaki Allah kemudian Allah akan mengeluarkannya daripada daripada nereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga.

Sabda Nabi s.a.w:

يدخل النار أقوام من أمتي حتى إذا كانوا حمما ادخلوا الجنة فيقول أهل الجنة من هؤلاء فيقال هم الجهنميون

Maksudnya: “Akan dimasukkan ke dalam neraka beberapa kaum daripada umatku sehingga mereka hangus dikatakan kepada mereka: masuklah ke syurga. Lalu berkata Ahli Syurga: Siapakah mereka ini? Dijawab kepada mereka: Mereka ini bekas Ahli Neraka (al-Jahannamiyun)”. [al-Bukhari & Ahmad, lafaz bagi Ahmad].

Demikianlah kedudukan orang-orang yang melakukan dosa di sisi Islam sekiranya mereka itu mukmin muslim, tidak melakukan syirik dan kufur kepada Allah s.w.t.

Namun, Islam tetap menyuruh penganutnya membenci dosa kerana asal dosa itu menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t dan kemurkaan Allah s.w.t itu penyebab kepada azab di akhirat.

Firman Allah s.w.t:

كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي وَمَنْ يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَى

Maksudnya: “Makanlah kamu akan perkara-perkara baik yang Kami berikan kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas maka kamu akan ditimpa kemurkaanKu dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu maka dia telah musnah”. [Taha: 81].

Dalam hadis Nabi s.a.w menyatakan:

عن ابن عباس قال  : مر النبي صلى الله عليه و سلم بحائط من حيطان المدينة أو مكة فسمع صوت إنسانين يعذبان في قبورهما فقال النبي صلى الله عليه و سلم ( يعذبان وما يعذبان في كبير ) . ثم قال ( بلى كان أحدهما لا يستتر من بوله وكان الآخر يمشي بالنميمة ) . ثم دعا بجريدة فكسرها كسرتين فوضع على كل قبر منهما كسرة فقيل له يا رسول الله لم فعلت هذا ؟ قال ( لعله أن يخفف عنهما ما لم تيبسا . أو إلى أن ييبسا )

Maksudnya: “Daripada Ibn Abbas kata beliau: Nabi s.a.w melalui kawasan tembok daripada tembok-tembok Madinah atau Mekah lalu baginda mendengar suara dua insane yang diazab di dalam kubur keduanya maka bersabda Nabi s.a.w: ‘Kedua mereka ini diazab dan tidaklah mereka diazab kerana dosa yang besar’. Kemudian baginda berkata: ‘Bahkan salah seorang mereka tidak menjaga kencingnya dan seorang lagi kerana suka mengadu domba’. Kemudian baginda meminta pelepah lalu baginda mengerat kepada dua bahagian lalu diletak di atas setiap kubur keduanya. Ditanya kepada baginda: ‘Wahai Rasulullah, kenapa kamu berbuat begini?’ Jawab baginda: ‘Mudah-mudahan diringankan azab keduanya selama pelepah ini belum kering’.” [al-Bukhari & Muslim].

Dalam hadis ini menunjukkan dosa juga penyebab kepada azab kubur dan dosa yang kecil juga turut menjadi penyebab kepada azab Allah s.w.t. Perbuatan Nabi s.a.w mendoakan keringanan azab kepada keduanya adalah dalil yang jelas pelaku dosa tidaklah menjadi kufur dengan semata-mata dosa yang dilakukan kereana jika mereka kafir terlaranglah daripada mendoakan keringanan azab atas mereka.

Perbuatan dosa juga berlawanan dengan akidah al-Wala’ dan al-Bara’ yakni cinta dan benci kerana Allah s.w.t kerana antara tuntutan akidah ini adalah kita mencintai apa yang Allah dan RasulNya cintai dan membenci serta menjauhi apa yang Allah dan RasulNya benci dan memerintahkan untuk kita jauhi.

Telah sabit Allah s.w.t dan RasulNya membenci maksiat dan dosa maka wajiblah ke atas seorang muslim itu berusaha menjauhi perbuatan dosa sebagaimana firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kamu daripada banyak berwasangka kerana sebahagian wasangka itu menyebabkan dosa…” [al-Hujurat: 12].

Firman Allah s.w.t:

وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Maksudnya: “dan janganlah kamu mendekati perkara-perkara keji (dosa) apa yang zahir dan apa yang tersembunyi daripadanya..” [al-An’am: 151].

Maka dalam dua ayat ini jelas Allah s.w.t menyuruh kita menjauhi jalan-jalan yang boleh menyebabkan kita terjerumus ke dalam lembah maksiat. Apabila kita terjebak juga dalam maksiat maka diwajibkan segera bertaubat sebagaiman firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha..” [al-Tahrim: 8].

Firman Allah s.w.t:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ

Maksudnya: “dan hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhan kamu kemudian bertaubatlah kepadanya…” [Hud: 3]

Demikianlah sebahagian dalil yang banyak daripada ayat-ayat al-Quran yang mewajibkan kita bertaubat kepada Allah s.w.t demikian juga terdapat dalil-dalil daripada hadis Nabi s.a.w antaranya hadis baginda yang dikeluarkan Imam Muslim dalam sahih beliau:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّى أَتُوبُ فِى الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari 100 kali taubat”.

Jika baginda Rasulullah s.a.w yang maksum (terpelihara) daripada melakukan dosa turut bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t maka tentulah kewajipan ini lebih utama ke atas kita selaku insan yang tidak lalai daripada melakukan dosa.

Kewajipan bertaubat adalah perkara yang ijmak umat atasnya dan taubat yang paling utama adalah bertaubat daripada Kufur kepada Iman dan Syirik kepada Tauhid kemudian martabat kedua adalah taubat daripada dosa-dosa besar dan martabat ketiga bertaubat daripada dosa-dosa kecil.

Syarat-syarat untuk bertaubat pula terdapat lima syarat sebagaimana yang dinyatakan Imam Muhammad bin Soleh al-Usaimin Rahimahullah[vii]:

Pertama: Ikhlas yakni hendaklah taubat yang dilakukan itu hanya mengharap kemapunan daripada Allah s.w.t tidak ada tujuan lain seperti menunjuk-nunjuk kepada manusia, atau mengelak hukuman dunia.

Kedua: Menyesal terhadap apa yang dilakukannya kerana penyesalan adalah tanda keikhlasan seseorang untuk bertaubat.

Ketiga: Meninggalkan dosa-dosa yang dilakukannya maka inilah syarat terpenting iaitu hendaklah dia meninggalkan maksiat yang dilakukan. Jika maksiat yang dilakukannya melibatkan kekufuran –nauzubillah min zalik- maka hendaklah dia kembali mengucap dua kalimah syahadah, jika dia tidak berzakat maka hendaklah segera dia mengeluarkan zakat, jika dia meninggalkan solat hendaklah dia bersolat tetapi adakah dia perlu mengqada solat yang ditinggalkan? Terdapat dua pendapat ulama, jumhur berpendapat wajib, sebahagian lagi seperti Daud al-Zahiri berpendapat tidak wajib dan dirajihkan Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah.

Demikian juga jika dosa itu berkaitan dengan manusia maka hendaklah mendapat kemafaan daripada manusia tersebut seperti kamu memukul orang tanpa hak maka hendaklah berjumpa dengan orang yang dipukul dan meminta maaf padanya dan jika dia menuntut qisas hendaklah diberikan.

Adapun dosa mengumpat cukuplah dia sekadar meminta ampun kepada Allah s.w.t dan memohon juga Allah mengampunkan dosa orang yang diumpatnya[viii].

Keempat: Azam untuk tidak kembali melakukan dosa tersebut.

Kelima: Waktu bertaubat masih lagi terbuka iaitu sebelum ruh sampai halqum bagi seseorang insan dan matahari belum terbit di barat bagi umum manusia.

Demikian juga dalam menghapuskan dosa-dosa kecil ia boleh dilakukan dengan melakukan amal kebaikan sebagimana sabda Nabi s.a.w:

وأتبع السيئة الحسنة تمحها

Maksudnya: “dan ikutilah amalan kejahatan dengan amal kebaikan supaya ia menghapuskan kejahatan itu” [al-Tarmizi & Ahmad, hadis hasan].

Demikianlah penjelasan ringkas yang dapat saya berikan berkenaan pentafsiran ayat ke-7 Surah al-Hujurat, walaupun ayatnya ringkas tetapi ia member faedah yang besar kepada kita dan mengandungi makna yang luas untuk dihayati.

 

Kesimpulan:

1-      Wajib membenci maksiat

2-      Tidak semua dosa itu membatalkan keimanan dan Islam seseorang walaupun ia menjejaskan Iman dan Islam seseorang.

3-      Harapan mendapat kemapunan daripada Allah s.w.t terus terbuka selagi nyawa belum sampai di halqum dan selagi matahari belum terbit di barat.

4-      Membenci maksiat termasuk kewajipan seorang muslim dan muslimah serta sebahagian daripada akidah al-Wala’ wal Bara’.

5-      Dosa itu terdapat besar dan kecil.

6-      Amalan-amalan kebaikan akan menghapuskan dosa-dosa kecil dengan kehendak Allah s.w.t dan taubat pula menghapuskan semua jenis dosa.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang mendengar kebaikan lalu mengikutnya.Amin.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

DITULIS OLEH:

AL-FAQIR ILALLAH, MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI AL-MASHOORI AL-SALAFI.

 

 

NOTA HUJUNG



[i] Rujuk Tafsir al-Qur’an al-Azim oleh Ibn Kasir

[ii] Rujuk Syarah al-Tahawiah oleh Ibn Abil Izz, m.s 296 dan selepasnya, cet. Kemeterian Waqaf Arab Saudi.

[iii] Lihat Sahih al-Bukhari, 6/2488-2489, cet. Dar Ibn Kasir, Beirut, 1407 H, Taklik Mustafa Dib al-Bugha.

[iv] Syarah Aqidah al-Tahawiah, m.s 301 dan selepasnya, cet. Kemeterian Waqaf Arab Saudi.

[v] Lihat Hadis dalam: Sahih al-Bukhari no. 2845, 2915, 3762, 4025, 4608, 5904, 6540, Sahih Muslim hadis no.2494.

[vi] Rujuk Tafsir al-Tabari pada ayat tersebut.

[vii] Syarah Riyadus Solihin oleh Imam Muhammad bin Soleh al-Usaimin, 1/16 Maktabah Syamilah.

[viii] Ibid.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: