KEMARAAN ORIENTALISME DI BELAKANG TABIR ISLAMISME

12 Mar

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Selaku pelajar tahun pertama di Universiti Antarabangsa al-Madinah al-Munawwarah dalam kuliah Usuluddin, antara subjek utama bagi kami adalah subjek ‘al-Ghazwul Fikri’ atau sering diterjemah secara mudah sebagai ‘Perang Saraf’.

Perang Saraf atau lebih saya suka terjemah sebagai ‘Serangan Ideologi’ ini merupakan racun berbisa yang masih menjalar dalam tubuh umat Islam dewasa ini yang telah dicuck ke dalam badan mereka bermula dari otak hingga ke hujung kaki oleh musuh-musuh Allah s.w.t sama ada Yahudi ataupun Nasrani bahkan tidak dinafikan kaum Musyrikin seperti Hindunisme.

Jarum yang digunakan untuk menyuntik racun ini ke dalam tubuh Umat Islam mempunyai cabang yang banyak sehingga sekali tusukan bukan sejenis racun yang dimasukkan tetapi pelbagai jenis dan antara yang perlu kita pandang serius adalah racun ‘Orientalisme’.

Orientalisme adalah usaha pihak kafir terutama barat mempelajari ilmu-ilmu Islam  kemudian mereka menjadi ahli dalam ilmu-ilmu ini dengan matlamat mereka dapat menggoncang akidah umat daripada dalam dan tanpa disedari.[1]

Teori menyatakan bermulanya orientalisme ini semasa peperangan salib apabila kaum Nasrani menjajah Negara-negara Islam dan hidup bersama masyarakat Islam dan ada yang meletakkan kepada sekumpulan paderi yang belajar bahasa Arab di Andalusia.[2]

Namun, saya lebih setuju jika kita meletakkan Oreintalis pertama adalah Abdullah bin Saba’ al-Yahudi dikenali juga sebagai Ibn al-Sauda’ (Anak Perempuan Hitam) iaitulah pengasas ajaran Syiah Rafidah yang menjadi anutan rasmi kerajaan Iran hari ini.

Ini berdasarkan fakta sejarah yang jelas dan disepakti bahawa Ibn al-Sauda’ adalah Yahudi pertama yang di zaman Khalifah Saidina Usman bin al-Affan radiallahuanhu yang menyamar sebagai muslim lalu memasukkan racun-racun fitnah ke dalam pemikiran Umat Islam sehingga membawa kepada terbunuhnya Saidina Usman radiallahuanhu yang dikenali sebagai ‘al-Fitnah al-Kubra’. [3]

Tindakan Abdullah bin Saba’ ini tidak ubah seperti Orientalis yang menyilinap dalam Islam, menampakkan diri sebagai ahli dalam ilmu-ilmu Islam kemudian memesongkan akidah umat Islam. Demikianlah pekerjaan Orientalis. Apabila keadaan umat telah lemah, maka datanglah kaum-kaum penjarah menjarah dan meratah bumi-bumi Umat Islam diikuti pula para pendakyah agama kufur untuk mengkafir dan memurtadkan Umat Islam-nauzubillah min zalik-. [4]

Usaha orientalis ini tidak terhenti di zaman Usman radiallahuanhu bahkan berterusan ke zaman kita hari ini dan menjadi rancak semenjak zaman peperangan salib. Bahkan kejayaan kemuncak kaum kafir ini adalah mereka melahirkan anak-anak Islam yang lahir daripada keluarga Islam, hidup di negeri Islam dan berakidah dengan akidah Islam tetapi mempunyai otak dan jiwa orientalis.

Kelahiran kaum munafiqin daripada anak-anak kaum muslimin ini merupakan sesuatu yang sangat menggemparkan penjuru-penjuru dunia Islam dan menggoncang tiang-tiang kerajaannya lebih-lebih lagi mereka ini bertopengkan wajah ulama dan berjubah dengan jubah mufti.

Namun, bagi mereka yang berpegang dengan al-Qur’an dan al-Sunnah sesuai dengan Manhaj Salafi tidaklah begitu terkejut dengan kelahiran kaum ini kerana kedatangan mereka memang telah dihidu dan dinanti dengan persediaan memerangi mereka.

Ini kerana dalam hadis yang dikeluarkan al-Bukhari dan Muslim telah pun menyatakan berkenaan mereka daripada Saidina Huzaifah bin al-Yaman radiallahuanhu kata beliau:

كان الناس يسألون رسول الله صلى الله عليه و سلم عن الخير وكنت أسأله عن الشر مخافة أن يدركني فقلت يا رسول الله إنا كنا في جاهلية وشر فجاءنا الله بهذا الخير فهل بعد هذا الخير من شر ؟ قال ( نعم ) . قلت وهل بعد ذلك الشر من خير ؟ قال ( نعم وفيه دخن ) . قلت وما دخنه ؟ قال ( قوم يهدون بغير هديي تعرف منهم وتنكر ) . قلت فهل بعد ذلك الخير من شر ؟ قال ( نعم دعاة على أبواب جهنم من أجابهم إليها قذفوه فيها ) . قلت يا رسول الله صفهم لنا قال ( هم من جلدتنا ويتكلمون بألسنتنا ) . قلت فما تأمرني إن أدركني ذلك ؟ قال ( تلزم جماعة المسلمين وإمامهم ) . قلت فإن لم يكن لهم جماعة ولا إمام ؟ قال ( فاعتزل تلك الفرق كلها ولو أن تعض بأصل شجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك )

Maksudnya: “Adalah manusia bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan kebaikan dan aku pula bertanya tentang keburukan kerana aku takut mengenai ku maka aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami dulu berada dalam jahiliyyah dan kejahatan maka kamu datang membawa kebaikan ini maka adakah selepas kebaikan ini kejahatan? Jawab baginda: Ya. Aku berkata: Adakah selepas kejahatan itu ada pula kebaikan? Jawab baginda: Ya, dan padanya ada kekaburan. Aku berkata: Apakah kekaburannya? Jawab baginda: Kaum yang tidak mengikut petunjuk ku, ada perkara yang kamu setuju dengan mereka ada yang kamu ingkar. Aku berkata lagi: Adakah selepas kebaikan ini kejahatan pula? Jawab baginda: Ya, para pendakwah di atas pintu-pintu Jahannam, sesiapa yang mengikut mereka akan dilontar ke dalamnya. Aku berkata: Wahai Rasulullah, sifatkanlah mereka kepada kami. Jawab baginda: Mereka itu daripada kulit kita dan bercakap dengan bahasa kita. Aku berkata: Apakah perintahmu jika aku mendapati keadaan tersebut? Jawab baginda: Hendaklah kamu melazimi jeamaah kaum muslimin dan pemimpin mereka. Aku berkata: Jika mereka tiada jemaah dan tiada Imam? Jawab baginda: Maka tinggalkanlah semua puak-puak yang ada walaupun kamu terpaksa menggigit akar kayu sehingga mati dalam keadaan itu”. [al-Bukhari & Muslim].

Dalam riwayat Muslim dengan jalan daripada Abu Sallam daripada Huzaifah radiallahuanhu menytakan:

قَالَ « يَكُونُ بَعْدِى أَئِمَّةٌ لاَ يَهْتَدُونَ بِهُدَاىَ وَلاَ يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِى وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِى جُثْمَانِ إِنْسٍ ». قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ « تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ »

Maksudnya: “Jawab baginda: Aka nada selepas ku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjuk dan sunnahku dan akan ada dalam kalangan mereka lelaki-lelaki berhati syaitan dalam badan manusia. Aku berkata: Bagaimana aku hendak lakukan jika aku mendapati keadaan itu? Jawab baginda: Engkau dengar dan taatlah kepada pemerintah walaupun dia memukul kamu dan merampas harta kamu, dengar dan taatlah”.

Maka inilah dia kejahatan yang ketiga kita berada dalamnya sekarang di mana ada pendakwah-pendakwah di atas pintu-pintu jahannam, mereka ini dari agama kita dan bercakap dengan bahasa kita yakni mendakwa menyeru kepada Islam dan Nabi s.a.w juga nyatakan mereka ini adalah manusia-manusia yang berhati syaitan-nauzubillah min zalik-.

Sejarah Islam Moden telah menyaksikan beberapa tokoh perosak umat yang berselubung di sebalik nama Islam dan dakwah pembaharuan. Mereka ini tanpa segan silu menamakan diri mereka sebagai ‘Mujaddid’ yakni pembaharu agama sedangkan meraka hanyalah ‘Mukharrib’ yakni perosak akidah umat. Mereka memegang ijazah al-Azhar al-Syarif tetapi ilmu mereka bersumber daripada Oxford University.

Antara tokoh yang terkenal sebagai kaum perosak daripada dalam ini adalah Taha Husein di Mesir iaitu seorang anak didik al-Azhar al-Syarif tetapi ilmu dan akidahnya berkiblat kepada barat, badannya dan lidahnya badan dan lidah arab muslim tetapi hatinya dan perkataan yang keluar daripada lisannya adalah pemikiran dan ucapan Hamilton Gibb seorang Orientalis yang terkenal dengan bukunya ‘al-Mazhab al-Muhammadi’ (Muhammadisme). [5]

Hamilton Gibb selaku seorang kafir telah menyatakan bahawa Islam hanyalah rekayasa Muhammad s.a.w dan segala isi al-Qur’an adalah karangan Muhammad s.a.w hasil pergaulan social baginda yang dikelilingi tamadun Arab lama dan Farsi. Ucapan ini dan ajaran ini diulang semula oleh Taha Husein dalam bukunya ‘al-Syiirul Jahili’ (Syair Jahiliah).[6]

Taha Husein berpendapat apa bangsa Arab Jahiliah adalah bangsa yang bertamaddun dan Syair-syair Jahiliah yang menggambarkan kehidupan arab jahili sebagai gasar, berpuak-puak, dan tiada system politik yang teratur sebagai tidak benar.

Bagaimanapun, al-Qur’an adalah sumber sebenar yang menunjukkan bangsa Arab yang bertamaddun dan mempunyai sistem sosial dan politik yang baik, atas dasar ini pada Taha Husein, al-Qur’an adalah sumber rujukan untuk sejarah arab semata-mata dan agama Islam adalah khusus untuk masyarakat arab bukan agama internasional.[7]

Bahkan Taha Husien melebihi Hamilton Gibb bahawa dakwah baginda Nabi s.a.w bukanlah dakwah agama tetapi untuk reformasi sosial semata-mata tetapi Gibb menyatakan apa yang dibawa Nabi s.a.w adalah agama.

Taha Husein juga dengan beraninya menyatakan bahawa segala kisah di dalam al-Qur’an tidak semstinya benar bahkan ianya adalah seumpama dogeng rakyat sahaja seperti kisah Ibrahim a.s dan kaumnya, kisah Sulaiman a.s dan Balqis, dan sebagainya, kewujudan kisah ini di dalam al-Qur’an dan Taurat tidak cukup untuk menyatakan ianya wujud kerana semunay adalah seumpama ‘kisah dongeng rakyat’ sahaja.[8]

Bahkan menurut khabar yang disampaikan pensyarah kami, al-Fadil Ustaz Shadi hafizahullah, pernah Taha Husien dalam kuliahnya di al-Azhar menyuruh para pelajarnya mengkritik balaghah al-Qur’an!! Subhanallah, adakah patut berlaku syak pada Allah s.w.t?!!

Demikian juga antara tokoh yang menggemparkan dunia Islam, Ali Abdul Razik, seorang qadi di Mahkamah Syariah Mesir mengarang sebuah kitab berjudul: ‘al-Islam wa Usul al-Hukmi’ (Islam dan Asas-asas Perundangan).

Dalam Kitabnya yang penuh dengan ulangan-ulangan akidah barat dan orientalis ini Ali Abdul Raziq menyatakan bahawa Islam adalah agama keruhanian semata-mata, tidak ada hubungkait dengan sosial, politik, dan lain-lain. Bahkan katanya, Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah mengasaskan Negara ataupun masyarakat.[9]

Kedua-dua tokoh ini terkenal sebagai ‘ulama’ yang dilahirkan daripada rahim al-Azhar al-Syarif, namun di manakah silapnya? Apakah syaitan yang telah merasuk mereka sehingga mereka menjadi duri dalam daging sebegitu rupa?

Jika kita kaji semula latar belakang pendidikan dua tokoh ini, kita dapati terdapat kesamaan yang ketara, yakni kedua-dua tokoh ini pernah menuntut dan belajar di Univerisiti yang diasaskan kaum penjajah dan orientalis.

Taha Husein ketika dia menuntut di al-Azhar, dia juga menuntut di Universiti Tempatan Mesir (al-Jamiah al-Ahliah) yang dasar-dasar pendidikannya berteraskan sistem penjajah dan akidah orientalis. Kemuncaknya, Taha Husein telah melanjutkan pengajian peringkat tinggi di Perancis dan di sana dia terkesan dengan pensyarahnya, Suzan yang tentu sekali menggunakan peluang ini untuk memasukkan virus kufur yang cukup kuat dalam diri Taha Husein.

Hasil pemikiran Taha Husein ini sangat membanggakan barat sehingga dia menerima banyak anugerah doktor kehormat daripada pelbagai Universiti Kufur antaranya Oxford University, Madrid University, dan Cambridge University. [10]

Ali Abdul Raziq pula jika kita lihat pendidikannya, selain belajar di al-Azhar, dia juga turut belajar di Universiti Mesir (al-Jamiah al-Misriah) yang terkenal sebagai university yang berkiblat ke barat dalam sistemnya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Oxford University selama empat tahun dari 1912 M hingga 1915 M kemudian terpaksa berhenti kerana meletusnya peperangan dunia pertama.[11]

Ini adalah dua contoh Orientalis muslim atau Muslim yang diorientaliskan oleh kaum kafir barat laknatullahi alaihim, bahkan banyak lagi contoh seumpama Rifaah al-Tahtawi yang turut mendapat pelajaran di Perancis, Abdul Razaq al-Sanhuri[12] juga mendapat pendidikan di Universiti bermanhaj barat kemudian melanjutkan pelajaran ke Pernacis dan berguru dengan Lamber, seorang ahli perundangan Perancis, Zaki Najib Mahmud[13] juga mendapat pendidikan di King’s College London, dan lainnya boleh kita rujuk dalam karya yang sangat baik dalam bidang ini oleh Syeikh Sulaiman al-Kharasyi Hafizahullah, ‘Nazarat Syar’iyyah fil Fikar al-Munharifah’.

Mereka ini terus disanjung dan dikenang sebagai tokoh pemikir umat sehingga ke hari ini oleh sesetengah kaum jahil bahkan ketika saya menghadiri Perhimpunan Bekas Pelajar al-Azhar yang diadakan di KLCC setahun yang lalu (2008M), seorang tokoh sufi Arab Saudi yang juga bekas penuntut al-Azhar, Umar Kamil, memebentangkan pemikiran Rifaah Tahtawi sebagai pemikiran Mujaddid Agung Islam. [14]

Ini sangat ajaib, manakan tidak, bukankah telah jelas dalam sejarah, Rifaah Tahtawi adalah bapa orientalis muslim yang wujud sehingga ke hari ini dan dialah manusia bernama muslim yang pertama mengesyorkan supaya wanita-wanita muslimah di Mesir menanggalkan hijab kerana mengikut budaya Perancis.[15]

Para pelajar kita yang mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) jika ditanya kepada mereka; ‘siapakah Rifaah Tahtawi?’  ‘Siapakah Taha Husein?’ maka jawapan yang kita dapat tentulah mereka akan menjawab mereka ini pemikir agung Islam dan tokoh Sastera Arab Islam Moden-kecuali mereka yang diberi rahmat dan hidayah Allah- , mereka tidak didedahkan dengan personaliti tokoh-tokoh ini di sebalik tabir Islam mereka. [16]

Bahaya virus nifaq atau kaum munafiqin seumpama ini sangat berat sehingga Allah s.w.t meletakkan kaum munafiqin di tempat yang paling bawah sebagaimana firman Allah s.w.t:

 إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang munafiq itu berada di tingkat paling bawah daripada neraka dan tiadalah sama sekali kamu dapati ada penolong bagi mereka”. [al-Nisaa: 145].

Demikianlah keadaan manusia-manusia yang berhati syaitan sebagaimana yang disifatkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam hadis baginda. Jika kita telah melihat beberapa tokoh golongan ini daripada Timur Tengah, perlu kita ingat bahawa di negeri kita ini juga tidak kurang manusia seperti ini.

Lihat sahaja gerakan Islam Liberal di Malaysia yang semakin menular bahkan muncul golongan yang berani dengan terang-terangan mengingkari kewajipan hijab terhadap wanita dan akidah azab kubur.

Namun, akhir-akhir ini, penulis dapat menghidu bau-bau tengik racun orientalis ini keluar daripada lidah-lidah mereka yang bukan sekadar mengaku muslim bahkan mengaku juga dirinya sebagai pejuang akidah salafiah (Ahli Sunnah wal Jamaah).

Mereka ini menyeru kepada pemansuhan kemuncak akidah Islam yakni akidah al-Wala’ wal Bara’ (Cinta dan Benci kerana Allah). Mereka menyatakan bahawa tiada permusuhan antara Islam dengan kufur bahkan segala permusuhan yang berlaku antara Islam dan Yahudi misalnya semata-mata kerana pertarungan duniawi seperti masalah perebutan tanah.

Akidah ini sangat bertentangan dengan sarihul Qur’an (ayat al-Qur’an yang jelas) dalam firman Allah s.w.t antaranya surah al-Mujadilah ayat 22:

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Makusdnya: “Tidak akan kamu dapati (wahai Muhammad) suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat mencintai mereka yang memusuhi Allah dan RasulNya walaupun mereka itu adalah bapa-bapa mereka, saudara-saudara mereka, dan kaum kerabat mereka, mereka inilah yang telah ditetapkan dalam hati mereka Iman dan dikuatkan dengan ruh (petnjuk dan hujjah) daripadaNya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepadaNya itulah dia parti Allah, sesungguhnya parti Allah jua yang akan mencapai kemenangan”.

Demikian juga firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat ayat ke-7:

وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِنَ الْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ أُولَئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ

Maksudnya: “dan ketahuilah bersama-sama kamu ada Rasulullah yang jika dia mengikut kebanyakan permintaan kamu tentulah kamu akan menjadi susah tetapi Allah telah mencampakkan kecintaan terhadap Iman dan menghiaskannya dalam hati-hati kamu dan mencampakkan rasa benci terhadap kekufuran, kefasiqan, dan maksiat (dalam hati-hati kamu) demikianlah mereka itu orang-orang teguh di atas kebenaran”.

Penulis telah menjelaskan panjang lebar berkenaan kewajipan membenci kekufuran dalam artikel sebelum ini, maka bolehlah merujuk kembali kepada artikel tersebut.

Seruan supaya memansuhkan akidah al-Wala dan al-Bara ini sangat berbahaya kerana akidah ini adalah tali iman yang paling teguh sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

” أوثق عري الإيمان الموالاة في الله و المعاداة في الله و الحب في الله و البغض في الله “

Maksudnya: “Ikatan Iman yang paling teguh adalah berwala’ kerana Allah dan bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan benci kerana Allah”. [al-Tabrani dan al-Baghawi, disahihkan al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, 998].

Oleh itu, penulis ingin menyeru kepada semua kaum muslimin dan muslimat dalam mengambil sesuatu ilmu terutama agama hendaklah mereka memastikan ianya sesuai dengan metode Ulama al-Salaf al-Soleh (Manhaj Salafi) dan janganlah taksub kepada pertubuhan tertentu walaupun ianya membawa nama Islam kerana virus Tahazzub (berpartai-partai dan berkelompok-kelompok) termasuk salah satu racun Serangan Pemikiran sebagaimana yang telah kami jelaskan dalam artikel sebelum ini.

Hendaklah kaum muslimin dan muslimat bersatu hati di atas manhaj salafi kerana ini sahajalah jalan yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w sebagai ‘al-Jamaah’, adapun selain daripadanya adalah firqah atau kelompok yang terkeluar daripada landasan Islam sejati. Wallahua’lam.



[1] Al-Istiysraq wal Khalfiah al-Fikriah lis Sira’ al-Hadari, Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq.

[2] Teks Pengajian Subjek: al-Ghazwul Fikri, MEDIU, dan Ibid.

[3] Ruus al-Fitnah fi al-Saurah ‘ala al-Khalifah Usman, Khalid Ilal, m.s 5 dan selepasnya dan al-Bidayah wan Nihayah, Ibn Kasir, 7/188.

[4] Teks Pengajian Subjek: al-Ghazwul Fikri, MEDIU. Lihat juga: Ajnihah al-Makru al-Salasah.

[5] Teks Pengajian Subejk: al-Ghazwul Fikri, MEDIU. Lihat juga, Nazarat Syar’iyyah fil Fikar al-Munharif, Syeikh Sulaiman al-Kharasyi, Majmuah al-Rabiah.

[6] Ibid

[7] Ibid

[8] Teks Pengajian Subjek: Al-Ghazwul Fikri dan Nazarat Syar’iyyah fil Fikar al-Munharif, Majmuah al-Rabiah.

[9] Ibid

[10] Nazarat Syar’iyyah fil Fikar al-Munharif, Majmuah al-Rabiah, Syeikh Sulaiman al-Kharasyi.

[11] Ibid.

[12] Dia adalah bapa kepada Qanun Syariah yang wujud di Negara-negara Islam sekular hari ini yang menjadikan undang-undang syariah sebagai pemboleh ubah disesuaikan dengan akal dan nafsu.

[13] Mengingkari perkara-perkara ghaib dalam kitabnya: Khurafat al-Metafiziqa.

[14] Penulis ketika itu hadir sebagai wakil Jabatan Mufti Negeri Perlis.

[15] Lihat kitabnya: Talkhis al-Ibriz fi Talkhis al-Baris.

[16] Rujuk Buku Teks : Tarikh al-Adab al-Arabi bagi matapelajaran STAM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: