AGAMA ASAL ITU ISLAM

24 Apr

Keputusan Kerajaan Malaysia bahawa agama anak-anak yang salah seorang ibu bapanya menukar agama terus kekal sebagai agama asal walaupun salah seorang ibu bapa itu memeluk Islam amat mengejutkan dan mengecewakan.

Keputusan kabinet yang tidak merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu amat mengecewakan kerana keputusan ini selain bertentangan dengan hukum syarak Islam turut melambangkan betapa rapuhnya kedudukan Islam di negara ini yang meletakkan Islam sebagai ‘Agama Rasmi’.

Perlu kita ingat akan sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه كما تنتج البهيمة بهيمة جمعاء هل تحسون فيها من جدعاء

Maksudnya: “Tidak ada satu bayi yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasarani atau Majusi seperti mana haiwan melahirkan anaknya yang sempurna, adakah kamu rasa ia akan menjadi cacat (tanpa kecederaan setelah itu)?” [al-Bukhari & Muslim].

Hadis ini menjelaskan maksud firman Allah Taala:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, Iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [al-Rum: 30].

Difahami daripada ayat dan hadis ini bahawa manusia ini asalnya dilahirkan sebagai muslim dan mukmin kemudian merekalah yang menyeleweng kerana pengaruh persekitaran dan yang paling kuat adalah didikan ibu dan bapanya.

Dalam ayat yang lain Allah Taala menjelaskan:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ (172) أَوْ تَقُولُوا إِنَّمَا أَشْرَكَ آبَاؤُنَا مِنْ قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِنْ بَعْدِهِمْ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ (173)

Maksudnya: “dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. atau supaya kamu tidak mengatakan:” Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang Kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. oleh itu, Patutkah Engkau (Wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?” [al-A’raf:172 & 173].

Demikianlah semua manusia itu telah pun mengaku beriman kepada Allah Taala di mana Allah mengeluarkan mereka dalam bentuk zuriat (benih-benih) daripada sulbi Adam alaihis salam, lalu menyaksikan mereka bahawa mereka akan mentauhidkan-Nya.

Atas perjanjian inilah manusia lahir ke dunia ini dan atas perjanjian inilah sepatutnya mereka kembali menghadap Allah Taala, tetapi kebanyakan manusia telah lupa kepada janji mereka lalu mereka merugikan diri mereka sendiri.

Ini adalah hakikat yang perlu diketahui oleh semua manusia dan perlu diterima sama ada suka atau tidak kerana kebenaran itu selalunya pahit. Atas dasar hakikat inilah juga kita perlu faham kenapa Islam mesti diberi keutamaan berbanding agama lain kerana Islam adalah agama asal, adapun agama lain adalah pendatang asing secara haram sahaja.

Sekarang kita melihat pula ketetapan syarak terhadap status agama kanak-kanak yang belum baligh atau yang sudah baligh tetapi tidak sempurna akalnya dalam keadaan salah seorang ibu bapanya menukar agama.

Jumhur Ulama Islam menetapkan bahawa anak hendaklah mengikut agama yang terbaik antara dua agama ibu bapanya. Jika bapanya seorang Hindu dan ibunya seorang Krsitian, maka hendaklah anaknya dihukum sebagai Krsitian kerana agama Kristian masih lagi agama samawi (langit) sedangkan Hindu adalah agama wasani (berhala) dan wad’i (ciptaan manusia semata-mata). [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 2/311].

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah:

ويتبع في الدين خيرهما دينا عند جماهير أهل العلم، وهو مذهب أبي حنيفة والشافعي وأحمد، وأحد القولين في مذهب مالك

Maksudnya: “dan anak itu mengikut (ibu bapanya) yang terbaik agama antara keduanya dalam urusan agama di sisi Jumhur Ahli Ilmu dan inilah mazhab Abu Hanifah, al-Syafii, Ahmad, dan salah satu pendapat mazhab Malik”. [Majmuk al-Fatawa, 31/67].

Maka atas dasar itu, apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam, maka secara otomatis anak yang belum baligh atau sudah baligh tetapi tidak sempurna akal dihukum sebagai muslim. Ulama Hanafiah mensyaratkan hendaklah anak dan ibu atau bapanya itu tinggal dalam negeri yang sama yakni kedua-duanya dalam negeri Islam seperti kedua-duanya tinggal dalam Malaysia atau seorang di Malaysia dan seorang di Indonesia atau anaknya di negeri Islam dan bapanya di negeri kafir harbi. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 2/310 & 311].

Satu lagi Qaul dalam Mazhab Malik adalah anak mengikut agama ayahnya sahaja, maka jika ayahnya seorang Islam maka anaknya juga dihukum Islam tetapi tidak mengikut agama ibu. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 2/311].

Jika kita terapkan hukum ini dalam kes Mohamad Ridzuan dan anak-anaknya, tentulah atas dua-dua pendapat ulama sama ada Jumhur atau Mazhab Malik, anak-anak beliau dihukum sebagai Islam kerana mereka semuanya masih belum mencapai usia baligh.

Tindakan kabinet memutuskan untuk mengekalkan status agama anak-anak Mohamad Ridzuan sebagai Hindu adalah tindakan yang menyekat kebebasan beragama kerana kanak-kanak tersebut telah pun menjadi muslim secara otomatis pada saat bapa mereka mengucapkan dua kalimah syahadah.

Bahkan jika kita kembali kepada hakikat Fitrah manusia, mereka adalah muslim sebenarnya sejak dalam perut ibu mereka sehinggalah dilahirkan dan diberi didikan Hindu. Tindakan bapa mereka memeluk Islam sekadar mengembalikan status agama sebenar anak-anak tersebut sebagai muslim.

Demikian juga keputusan kabinet bahawa status pernikahan seseorang yang memeluk Islam dengan pasangannya yang kafir hanya boleh dibubarkan oleh Mahkamah Sivil tidak sepatutnya berlaku.

Jika hendak mensyaratkan proses pembubaran perkahwinan itu perlu melalui mahkamah sekalipun, biarlah ianya berlaku di Mahkamah Syariah kerana kes ini melibatkan maruah umat Islam di negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Menurut hukum syarak pula, pernikahan antara suami isteri yang salah seorang mereka memeluk Islam menjadi terbatal serta merta walaupun ulama berbeza pendapat adakah bagi isteri iddah sehingga jika isteri memeluk Islam umpamanya kemudian dalam tempoh iddah suami pula memeluk Islam maka perkahwinan mereka menjadi sah semula selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Ulama Syafiiah berpendapat jika telah berlaku dukhul (persetubuhan) dalam perkahwinan tersebut, maka pernikahan mereka menjadi sah semula setelah suami masuk Islam dalam tempoh iddah. [al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah,4/101].

Oleh itu, jelas di sini bahawa keputusan pihak kabinet berhubung isu ini amat bertentangan dengan kehendak syarak yang sebenar dan menggambarkan seolah-olah Islam di negara ini kehilangan kedudukan ‘Rasminya’. Pihak kerajaan perlu melakukan tindakan segera bagi menambat semula hati umat Islam yang terobek dalam isu ini.

Saya juga menyeru kepada mereka yang bersemangat dalam membela Islam hendaklah membela dengan cara yang betul. Janganlah kita menghapus kemungkaran dengan mungkar yang lain. Nasihatilah pemimpin kita yang muslim dengan cara yang baik dan elok, bukan berdemonstrasi atau protes jalanan yang hanya akan membawa akibat buruk dunia dan akhirat.

Saya mengajak semua kaum muslimin agar menyuarakan terus rasa tidak senang mereka terhadap keputusan ini kepada pihak berwajip seperti YAB Perdana Menteri sendiri melalui surat menyurat atau e-mel yang mudah dilakukan melalui laman web beliau.

Ingatlah pesan Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

من أراد أن ينصح لسلطان بأمر فلا يبد له علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فإن قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذي عليه له

Maksudnya: “Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin atas sesuatu perkara maka janganlah dilakukan secara terbuka (yang boleh memalukan) tetapi peganglah tangan pemimpin itu dan bersendirianlah dengannya, jika dia menerima maka itulah yang dikehendaki, jika dia menolak maka engkau telah menunaikan tanggunggajawmu terhadapnya”. [Ahmad, Sahih li Ghairih dan Hasan li Ghairih].

Oleh itu, hendaklah dalam menasihati pemimpin itu dilakukan secara tidak menjatuhkan air muka beliau. Wallahua’lam.

 

DITULIS OLEH:

AL-FAQIR ILALLAH, MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: