PANDANGAN KABINET DISANGGAH PIHAK BERKUASA AGAMA

24 Apr

Pihak JAKIM melalui Ketua Pengarahnya menjelaskan bahawa keputusan kabinet berhubung isu status agama anak muallaf yang menimbulkan kemarahan kaum muslimin negara ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Hukum Syarak sekaligus.

Berikut laporan BERNAMA:

24 April, 2009 21:04 PM

Penentuan Status Agama Anak Perlu Lihat Hukum Syarak Dan Perundangan – Jakim

By: Ramjit

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) — Penentuan status agama anak apabila apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk agama Islam perlu dilihat kepada hukum syarak dan perundangan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata menurut Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

“Berdasarkan peruntukan ini, persetujuan salah satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12 (4) ini adalah ‘parent or guardian’, bukannya ‘parents or guardian’ yang mana ia bermaksud ‘ibu atau bapa atau penjaga’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohamad berkata, Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) pula memperuntuk bahawa seseorang kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh masuk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

“Antara kes yang boleh dirujuk yang berkaitan dengan hak penentuan agama anak ialah kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, di mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa bapa kanak-kanak tersebut mempunyai kuasa untuk mengislamkan anaknya berdasarkan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah kerana berdasarkan Perkara 12 (4) itu, agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya, oleh itu dalam kes ini suami adalah berhak untuk mengislamkan anaknya walaupun isterinya tidak bersetuju,” katanya.

Wan Mohamad berkata, dari segi hukum syarak pula, mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mestilah seorang Islam, kerana jika orang itu bukan beragama Islam dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.

Katanya, hak seorang muallaf di sisi undang-undang juga perlu dipertahankan, dan seseorang yang memeluk Islam itu tidak sewajarnya dianggap ingin melarikan diri dari tanggungjawab.

Semalam, Kabinet memutuskan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa mengumumkan perkara itu berkata keputusan tersebut adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh Kabinet memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang.

Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya — Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 — kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun emak mereka masih beragama Hindu.

Merujuk kepada kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Perak itu, Wan Mohamad berkata semua pihak perlu bersabar dan menghormati keputusan kes itu memandangkan perbicaraan masih belum selesai.

Semua pihak juga seharusnya mematuhi peruntukan undang-undang Islam dan Perlembagaan Persekutuan khususnya kerana ia merupakan undang-undang utama Persekutuan, katanya.

(Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=406634)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: