MUFTI KAYANGAN TURUN KE DUNIA

30 Apr

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Apabila mendengar perkataan ‘kayangan’, apa yang tergambar di benak fikiran adalah dunia khayalan orang-orang dahulu yang jika dikaji lebih kepada unsur fiktif dan mistik. Maka inilah yang cuba hendak saya kupas dalam artikel kali ini berkenaan penyakit yang lebih bahaya daripada selsema babi yang sedang melanda Umat Islam: ‘Fatwa yang berdasarkan khayalan dan fiktif semata-mata’.

Teringat kembali kisah kaum Musyrikin Mekah meminta supaya Allah Taala mendatangkan kepada Malaikat sebagai Rasul lalu Allah Taala berkata:

وَقَالُوا لَوْلَا أُنْزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌ وَلَوْ أَنْزَلْنَا مَلَكًا لَقُضِيَ الْأَمْرُ ثُمَّ لَا يُنْظَرُونَ

Maksudnya: “dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).” [Al-An’am: 8]

Allah Taala juga menyatakan:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [Ibrahim: 8].

Demikian Allah Taala meraikan umat manusia sehingga dalam soal pengutusan Rasul, Allah menghantar manusia kepada manusia bukan diutuskan Malaikat kepada manusia kerana Malaikat tidak akan memahami jiwa manusia itu seperti seorang manusia lain memahaminya. Allah juga mengutuskan Rasul kepada suatu kaum daripada kalangan kaum itu sendiri dan Allah bertutur dengan Rasul yang akan diutusNya dengan bahasa yang Rasul itu fahami juga.

Allah Taala juga memilih untuk bertutur dalam bahasa arab dalam kitabNya yang terakhir kerana bahasa arab adalah bahasa yang mudah dipelajari dan daripadanya berkembang segala bahasa yang ada dalam dunia ini.

Demikian juga Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam, apabila ditanya kepada baginda apakah amalan yang paling afdal maka baginda menjawab setiap soalan yang sama dengan jawapan berbeza mengikut keadaan penanya demikian juga apabila diminta nasihat maka baginda menjawab sesuai dengan kedudukan si peminta nasihat itu.

Semua perkara ini membawa kita kepada satu prinsip dalam berdakwah yang sering kita dengar disebut oleh guru-guru kita dalam Ilmu Dakwah terutama bagi mereka yang menuntut dalam jurusan Ususluddin dan Dakwah iaitu: ‘Berbicaralah kepada manusia sesuai dengan kemampuan akal mereka’.

Hasil perbincangan ini menunjukkan bahawa Islam dalam berdakwah kepada manusia dan menjalankan sesuatu hukum bukanlah bersifat ‘kekayangan’ atau ‘khayalan’ tetapi Islam adalah sesuatu yang realistik dan waqi’i (sesuai dengan keadaan dan tempat). Hukum Islam itu fleksibel sehingga boleh disesuaikan dengan keadaan tertentu dan tempat tertentu.

Kita ambil contoh solat, asalnya wajib berdiri dalam solat fardu tetapi jika seseorang itu uzur tidak mampu berdiri dia boleh duduk jika tidak mengiring jika tidak boleh sahaja dia berbaring. Demikian juga jika seseorang itu terpaksa solat di atas tempat yang sempat dan sukar dia berdiri seperti di atas perahu maka boleh sahaja dia duduk.

Namun, nasib buruk Umat Islam menjadi semakin parah apabila umat Islam hari ini dikerumuni dengan ulama-ulama dan mufti-mufti kayangan yang turun ke dunia ingin mentadbir urusan manusia bumi. Mereka tidak faham keadaan sebenar bahkan ada antara mereka yang berfatwa dalam mimpi indah mereka tanpa menjejakkan kaki ke dunia realiti.

Apa yang membuat kita hairan dan ajaib, mereka ini mendakwa mereka adalah orang yang berpegang dengan Fiqah Realiti dan menuduh ulama-ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang berpegang teguh dengan nas sebagai ulama ortodoks dan melampau adapun mereka sendiri adalah ulama moderate.

Terdapat dewasa ini kritikan ditujukan kepada Ulama Salafiah terutama di Arab Saudi kerana dikatakan ortodoks dan tidak terbuka. Saya bukanlah hendak taasub kepada Arab Saudi tetapi kita perlu mengikut Ulama yang berfahaman salaf sama ada suka atau tidak kerana ianya adalah kewajipan. Ulama Saudi dikatakan bersikap kuno kerana mewajibkan niqab atau hijab muka bagi wanita, melarang wanita memandu kenderaan sendiri, dituduh juga sebagai ulama haid dan nifas kerana enggan membenarkan penubuhan parti politik dan menolak untuk bekerjasama dengan sistem demokrasi seperti pilihanraya.

Namun, apabila kita kembali bersama dalam dunia realiti hari ini, ketika mana gejala sosial makin berleluasa, serangan pemikiran barat yang semakin berbisa, dan sistem demokrasi yang semakin menghampakan, apakah dapat kita katakan ulama saudi ini tidak realiti? Apakah masih lagi hendak dikatakan mereka ini jumud? Amat memalukan diri bagi mereka yang pernah mengkritik para Ulama ini.

Al-Ikhwan al-Muslimun apabila dinasihatkan ulama salafiah supaya menjauhi Iran dan Syiah Rafidah, mereka menuduh ulama salafi sebagai pemecah belah, enggan menyatukan Umat dan sebagainya, namun hari ini, Mehdi Akif, Mursyidul Am Ikhwan terkonyong-konyong tersepit dalam konflik Iran-Mesir dan Hizbullah-Mesir yang semakin meruncing setelah jelas Hizbullah adalah dalang di sebalik kejadia terorisme di Mesir dan Demonstrasi Syiah di Masjid al-Nabawi menunjukkan betapa Syiah adalah kaum kafir yang lebih busuk daripada Yahudi dan Nasrani.

Lihat sahaja Yusuf al-Qardawi yang dahulunya begitu sibuk menyeru kepada Taqrib (mendekatkan) antara mazhan Sunni dan Syiah, sekarang setelah segala bunga yang diberinya kepada Syiah dibalas dengan najis dan tinja, barulah terkonyong-konyong menyeru supaya berhati-hati daripada Syiah. Hilang sudah gah dengan fiqah realiti yang dibawanya hanya malu yang mengiring ke akhir hayat.

Dalam suasana yang sebegini ketika para moderate arab mula berhadapan dengan hakikat realiti dan kekalahan manhaj relaiti kekayangan mereka, terdapat pula bunyi-bunyi anak ayam mereka di negara kita ini yang cuba menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan lebih parah mereka ini bersembunyi di belakang tabir dakwah salafiah.

Dalam keadaan negara kita dilanda gejala sosial, muda-mudi terjebak dalam pergaulan bebas, perzinaan, perbuatan sumbang dan sebagainya bertebaran di serata pelosok negara ini, muncul pula fatwa bahawa bersalaman (shake hand) di antara lelaki dan wanita ajnabi (bukan mahram dan bukan pula suami isteri) sebagai perkara khilaf yang perlu diberi keluasan dalamnya.

Saidina Umar bin al-Khattab radiallahu anhu apabila gejala bermain dengan talak semakin gawat di zaman beliau, beliau telah melarang mana-mana suami yang menceraikan isterinya dengan talak tiga sekaligus daripada merujuk semula isterinya walaupun sebenarnya talak tiga sekaligus hanyalah dikira satu pada asal hukum syarak.

Inilah dia perealisasian terhadap kaedah fiqah yang menyatakan:

الأمر إذا ضاق اتسع وإذا اتسع ضاق

Maksudnya: “Sesuatu perkara apabila ia sempit maka menjadi luas dan apabila terlampau luas menjadi sempit”.

Namun, mufti kayangan hari ini gagal memahami kaedah fiqah yang ‘simple’ ini lalu mengeluarkan fatwa yang membawa ‘faudo’ (benca) kepada umat Islam. Apakah sesuai kita hendak mengatakan syarak membenarkan persentuhan antara lelaki dan wanita dalam keadaan gejala sosial di negara ini semakin gawat?

Apakah mereka ini tidak fikir bahawa fatwanya ini akan dibaca dan disebar dalam kalangan semua lapisan sama ada yang cerdik mahupun dungu, tua mahupun muda, yang kuat seks dan yang lemah syahwat? Alangkah dangkalnya mereka ini dengan relaiti dan fiqah realiti yang mereka war-warkan selama ini.

Ini jika kita menilai benar perkara ini adalah khilaf namun hakikat dan realitinya perkara ini tiada khilaf padanya, ulama semenjak zaman dahulu telah bersepakat tidak boleh bersalaman antara lelaki dan wanita ajnabi apabila mempunyai zhan yang kuat timbulnya syahwat.

Namun, para Mufti Kayangan sekali lagi membaca dalam mimpi, lalu berkata, jika tidak timbul syahwat maka haruslah bersalam. Oh, mufti, mufti, kamu ini terlalu jauh di kayangan dan kitab yang hendak kamu telaah nun di bawah sana di bumi, marilah turun dan kita baca dengan jarak dekat ye!

Dinyatakan bahawa jika ‘ada zhan (sangkaan) yang kuat timbulnya syahwat maka haram bersalaman’, bukan nanti  dah ‘terpacak’ dan ‘basah’ barulah nak jadi haram! Maka ulama yang membuat kaedah ini telah bersepakat haram bersalaman antara lelaki dan wanita yang masih muda atau yang masih mempunyai syahwat. Demikianlah hukum yang telah sepakat oleh semua ulama mazhab yang muktabar dalam Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalam ilmu usul fiqh pula, illah haramnya bersalaman atau bersentuhan lelaki dan wanita ajnabi pada asalnya adalah ‘syahwat’ namun syahwat adalah perkara subjektif dan tidak ‘muttarid’ maka illah tadi akan diletakkan pada ‘mazinnah’ atau tempat yang menjadi beredarnya illah iaitulah ‘ajnabiah’. Maka sifat ajnabiah antara lelaki dan wanita menjadi illah kepada haramnya bersalam antara lelaki dan wanita.

Ini adalah perbahasan masalah ini dari segi ilmu ijtihad, jika kita merujuk kepada ilmu istinbat pula, telah sabit Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersabda:

إني لا أصافح النساء

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak akan bersalaman dengan wanita (ajnabi)”.

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Nasai, Ibn Majah, dan Ahmad daripada Umaimah binti Raqiqah radiallahu anha dengan sanad yang sahih dan dinilai sahih oleh Imam al-Albani dan Syuaib al-Arnauth bahkan menurut Syuaib al-Arnauth, perawi hadis ini adalah perawi Sahihain yang perawi kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim.

Demikian juga Imam Ahmad mengelaurkan daripada jalan Asma’ binti Yazid radiallahua anha dan hadisnya adalah Sahih li ghairih sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Arnauth.

Nah! Jika Nabi sallallahu alaihi wa sallam sendiri tidak mahu bersalaman dengan wanita sedangkan baginda seperti mana yang dinyatakan oleh Saidatina Aisyah radiallahu anha sebagai manusia yang paling terkawal syahwatnya maka apakah pantas jika menghukum boleh bagi umatnya yang penuh dengan dosa yang sentiasa diruntun oleh syaitan ini dibolehkan bersalaman antara ajnabiah?! Ini merupakan kebodohan yang tidak disebut oleh orang bodoh sekalipun dan kegilaan yang tidak dialami oleh orang gila sekalipun!

Adapun hadis Ummu Atiyah radiallahu anha:

فمد يده من خارج البيت ومددنا أيدينا من داخل البيت

Maksudnya: “Maka baginda hulurkan tangan baginda daripada luar rumah dan kami hulurkan tangan kami daripada dalam rumah” [Ibn Hibban].

Hadis ini sama sekali tidak boleh difahami bahawa Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersentuhan tangan dengan wanita ketika baiah kerana telah jelas dalam hadis Umaimah di atas dan Asma’ binti Yazid bahawa baginda berkata baginda tidak bersalam dengan wanita ajnabi. Kedua-dua hadis ini menceritakan berkenaan peristiwa baiah yang sama maka janganlah kita beriman dengan sebahagian dan kufur dengan sebahagian yang lain.

Perkataan Ummu Atiyah dalam hadis al-Bukhari berkenaan peristiwa Baiah juga menyatakan:

فقبضت امرأة يدها

Maksudnya: “Maka seorang wanita menarik tangannya”.

Hadis ini perlu difahami dengan dua hadis terdahulu bahawa wanita ketika berbaiah dengan Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam tidaklah menyentuh tangan baginda tetapi hanya memberi isyarat sahaja dengan ‘menghulur’ tangan. Bagi mereka yang belajar bahasa arab jika setakat SPM pun sudah boleh faham hadis ini dengan baik apatah lagi jika para mufti kayangan ini yang dikatakan mempunyai ijazah yang hebat dalam bidang agama tentu sepatutnya lebih celik akal lagi.

Saidatina Aisyah radiallahuanha menyatakan sebagaimana dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim:

والله ما مست يده يد امرأة قط في المبايعة وما بايعهن إلا بقوله

Maksudnya: “Demi Allah tidaklah sama sekali tangan Rasulullah menyentuh tangan wanita ketika baiah dan baginda hanya berbaiat dengan perkataan sahaja”.

Ini adalah hadis-hadis yang sarih dan jelas lagi muhkam bahawa menyentuh wanita ajnabi itu dilarang secara ibrah nas dan nas-nas ini datang dalam bentuk khabar tidak menafikan maknanya sebagai insya’ sebagaimana yang maklum dalam ilmu bahasa dan usul.

Ini adalah contoh ringkas bagaimana fatwa-fatwa kayangan ini sebenarnya bukan sahaja bertentangan dengan realiti bahkan bertentangan dengan nas yang sarih dan kebanyakan mufti-mufti kayangan ini mengikut kepada nas-nas mustasyabihat seperti hadis Ummu Haram bintu Milhan radiallahu anha menyisir rambut Nabi sallallahu alaihi wa sallam sedangkan hadis ini para ulama salaf bersetuju Ummu Haram adalah mahram Nabi sallallahu alaihi wa sallam atau pun suatu khususiah bagi baginda.

Mereka yang mengikut mutasyabihat dan meninggalkan nas-nas muhkamat yang jelas adalah kaum yang diperintah Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam supaya kita jauhi apatah lagi mengangkat mereka sebagai mufti. Kita memahami nas sesuai dengan apa yang difahami oleh Ulama Salaf bukan sesuai dengan hawa nafsu kita.

Saya ingin mengingatkan sekali lagi, apabila sesuatu perkara itu terdapat dalil dan nas bukanlah menjadi suatu kelaziman kepada kita untuk berijtihad menyalahi ijmak ulama terdahulu kerana kita juga selain diwajibkan mengikut dalil kita juga diwajibkan memahami dalil sesuai dengan kefahaman ulama salaf.

Tidak terdapat seorang pun Ulama Salaf yang memahami hadis Ummu Haram misalnya sebagai dalil keharusan bersalaman lelaki dan wanita ajnabi atau bercampur gaul antara ajnabiah tanpa mahram. Bahkan semua Ulama telah bersepakat dan ijmak haram bersalaman dan bersentuhan antara lelaki dan wanita ajnabi sehinggalah turunnya para mufti kayangan ke dunia dalam kurun ke-19 dan 20 masihi baharulah munculnya polemik bersalaman antara ajnabi dan ajnabiah ini.

Oleh itu saya menyeru kepada para mufti kayangan ini, marilah bersama-sama kami kita memperkemaskan perpaduan umat dan mencapai kegemilangan melalui dakwah salafiah yang tulen yang bersih daripada campur aduk pemikiran luar. Janganlah demi mencapai matlamat duniawi tertentu kita sanggup menggadai prinsip dan ingatlah kata pepatah: ‘Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya’. Wallahua’lam.

 

RUJUKAN:

·         AL-MUSARAHAH FI AHKAMIL MUSAFAHAH, ABDUL NASIR BIN AL-KHIDR MILAD, MAKTABAH RAQAMIAH MEDIU

·         AL-WAJIZ FI USUL FIQH, ABDUL KARIM ZAIDAN

·         AL-RISALAH, IMAM AL-SYAFII

·         FATHUL BARI, IBN HAJAR AL-ASQALANI

3 Respons to “MUFTI KAYANGAN TURUN KE DUNIA”

  1. mohd azaludin Oktober 11, 2009 pada 1:17 am #

    hasil tulisan yang amat baik.namun,janganlah terlalu kasar bahasa yang digunakan

    hatta qaradhawi tersilap pun,adakah dia menanggung malu seumur hidup?pernyataan apakah ini?sesungguhnya dia bukan maksum.tidak perlu mencela sekiranya dia tersilap dalam fatwanya,namun,lihat dahulu hujjah-hujjah nya.andai dia tersilap,dapat satu.kalau betul dapat 2.

    bila anda menyeru orang ramai mengikut cara salaf,cara anda mesti cara yang diajar oleh nabi s.a.w

    lihat lah cara nabi ibrahim A.S menyeru dakwah dan menyampaikan risalah kepada ayahnya,menggunakan perkataan-perkataan lunak.begitu juga dengan kita,gunakanlah perkataan yang lunak.ikut lah cara salaf bila anda menyeru orang ramai mengikut cara salaf!

    teruskan dakwah anda..

    WA

  2. mashoori Disember 3, 2009 pada 12:41 pm #

    Apa yang ada pada Ulama Ahlus Sunnah itu sudah mencukupi daripada mencari2 kebenaran yang ada pada Ahlul Bidaah kerana jika sekalipun kau mendapat kebenaran pada Ahli Bidaah ketahuilah kebenaran itu juga berada pada AHlus Sunnah dengan lebih terang dan jelas lagi.

    Qardawi kamu bela tetapi Al-Quran dan Al-Sunnah serta Ulama Salaf kamu relakan ia dicela..perjuangan apa yang kau harapkan?!!!..Wallahua’lam.

  3. muhammad Mac 13, 2010 pada 11:45 am #

    bismillah

    qordawi bukan mujtahid yang pantas mendapat satu pahala jika salah dan 2 pahala jika betul, tetapi dia adalah seorang muqallid dholl. wallahumusta’an.

    kajilah bantahan ‘ulama terhadapnya nescaya anda akan faham siapakah dia qardawi, bukan hanya sekadar simpati tak bertempat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: