AL-MAQAM AL-MAHMUD

10 Jun

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا

Maksudnya: “dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.”  [al-Israa: 79].

Ayat ke-79 Surah al-Israa di atas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w akan dikhususkan Allah Taala pada hari akhirat dengan ‘al-Maqam al-Mahmud’.

Al-Maqam adalah isim (kata nama) makan (tempat) yang diterbitkan daripada kalimah قام –يقوم bermaksud: ‘Berdiri’, maka al-Maqam membawa makna ‘tempat berdiri’, sedangkan al-Mahmud adalah isim maf’ul daripada kata kerja: حمد-يحمد maksudnya memuji, maka al-Mahmud adalah yang dipuji dan al-Maqam al-Mahmud adalah ‘Tempat berdiri yang dipuji’.

Al-Maqam al-Mahmud juga sabit bagi Nabi s.a.w melalui sabda baginda yang masyhur berkenaan doa selepas azan:

من قال حين يسمع النداء اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمة آت محمد الوسيلة والفضيلة وابعثه مقاما محمودا الذي وعدته حلت له شفاعتي يوم القيامة

Maksudnya: “Sesiapa yang berkata ketika mendengar azan (setelah habis azan): ‘Ya Allah, Tuhan seruan ini dan solat yang akan didirkan, berikanlah kepada Muhammad al-Wasilah dan kelebihan dan bangunkan baginya Maqam yang terpuji yang Engkau janjikan kepadanya’, maka dia akan mendapat syafaatku di hari kiamat”. [al-Bukhari].

Al-Wasilah dalam hadis ini adalah suatu tempat dalam syurga yang dikhususkan untuk seorang sahaja daripada hamba-hamba Allah Taala yang beriman dan Nabi s.a.w berharap baginda akan memperolehnya dan memang selayaknya ia untuk baginda sebagaimana dalam hadis Muslim daripada Abdullah bin Amru r.a dan juga al-Bazzar daripada Abu Hurairah r.a [Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar al-Asqalani, 2/95].

Maksud Sebenar al-Maqam al-Mahmud:

Setelah kita jelaskan makna al-Maqam al-Mahmud ini dari segi bahasa, para Ulama telah berbincang juga dalam menentukan apakah sebenarnya maksud al-Maqam al-Mahmud ini dan mereka menyatakan ada dua maksud bagi al-Maqam al-Mahmud:

Pertama: Syafaat Nabi s.a.w iaitulah Syafaat al-Uzma

Kedua: Allah Taala akan mendudukkan baginda di atas Arasy pada di akhirat.

Berkata Imam Ibn al-Jauzi r.h:

والأكثر على أن المراد بالمقام المحمود الشفاعة وقيل إجلاسه على العرش وقيل على الكرسي ووقع في صحيح بن حبان من حديث كعب بن مالك مرفوعا يبعث الله الناس فيكسوني ربي حلة خضراء فأقول ما شاء الله أن أقول فذلك المقام المحمود ويظهر أن المراد بالقول المذكور هو الثناء الذي يقدمه بين يدي الشفاعة ويظهر أن المقام المحمود هو مجموع ما يحصل له في تلك الحالة

Maksudnya: “dan kebanyakan Ulama menyatakan maksud al-Maqam al-Mahmud adalah Syafaat dan dikatakan baginda akan didudukkan di atas Arasy dan dikatakan di atas al-Kursi dan telah sabit dalam Sahih Ibn Hibban daripada Hadis Kaab bin Malik secara marfu’: “Allah akan membangkitkan manusia lalu Tuhanku memakaikan aku pakaian hijau maka aku akan bercakap apa yang Allah kehendaki untuk aku cakpakan maka itulah al-Maqam al-Mahmud”, dan nyata yang dimaksudkan perkataan yang disebutkan ini adalah puji-pujian yang baginda ucapkan sebelum meminta Syafaat dan demikian juga nyata di sini adalah al-Maqam al-Mahmud ini himpunan semua keadaan yang berlaku pada baginda ketika itu (di padang Mahsyar)”. [Aunul Makbud fi Syarhi Sunan Abi Daud, 2/163, Fathul Bari, 2/95].

Telah sabit tafsiran al-Maqam al-Mahmud bahawa maksudnya Syafaat baginda sebagaimana dalam hadis:

عن حُذيفة، قال: يجمع الناس في صعيد واحد، فيسمعهم الداعي، وينفذهم البصر، حفاة عراة كما خُلقوا، قياما لا تكلَّم نفس إلا بإذنه، ينادى: يا محمد، فيقول: لبيك وسعديك والخير في يديك، والشرّ ليس إليك، والمهديّ من هَدَيت، عبدك بين يديك، وبك وإليك، لا ملجأ ولا منجا منك إلا إليك، تبارك وتعاليت، سبحانك ربّ هذا البيت ؛ فهذا المقام المحمود الذي ذكره الله تعالى.

Maksudnya: “Daripada Huzaifah kata beliau: ‘Manusia dihimpunkan dalam satu kawasan, mereka akan mendengar seruan penyeru dan dilihat dalam keadaan berkaki ayam dan berbogel seperti mana mereka diciptakan awalnya, mereka diam berdiri tidak bercakap kecuali dengan izinNya. Kemudian Allah menyeru: Wahai Muhammad!. Maka baginda menjawab: Labbaik dan Sa’daik, segala kebaikan ditangnMu, dan kejahatan tidak disandarkan kepadaMu dan yang mendapat hidayah itu adalah orang yang Engkau hidayahkan, hambaMu berada di hadapanMu, dan denganMu serta untuMu, tiada tempat lari dan sembunyi melainkan kepadaMu, Maha Berkat dan Maha Tinggi Kamu, Maha Suci kamu Tuhan rumah ini’, inilah dia al-Maqam al-Mahmud yang dinyatakan Allah Taala”. [Tafsir al-Tabari, 17/526].

Telah sabit Tafsiran alMaqam al-Mahmud ini dengan Syafaat daripada Ibn Abbas r.a, Ibn Masud r.a, Huzaifah bin al-Yaman r.a, Ibn Umar r.a, Salman al-Farisi r.a, Jabir r.a, al-Hasan dan riwayat Ibn Abi Najih daripada Mujahid. [Zadul Masir, Ibn al-Jauzi, 4/186].

Telah sabit juga daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w ditanya berkenaan tafsir ayat ini berkenaan al-Maqam al-Mahmud lalu Nabi s.a.w menjawab: “Ia adalah al-Syafaah” [al-Tarmizi dan Ahmad, Hadis Sahih].

Makna kedua al-Maqam al-Mahmud iaitu Allah Taala akan mendudukkan baginda di atas Arasy telah sabit daripada Mujahid melalui Lais, Abdullah bin Salam r.a, Ibn Abbas r.a daripada riwayat al-Dahhak. [Zadul Masir, 4/186].

Maka dalam membicarakan al-Maqam al-Mahmud ini, terdapat dua akidah penting Ahli Sunnah wal Jamaah yang perlu dibincangkan iaitu: Syafaat Rasulullah s.a.w dan Duduknya baginda di atas Arasy atau Kursi.

Pertama: al-Syafaah

Berkata al-Allamah al-Imam Nasir al-Sunnah wal Qami’ al-Bidaah Abu Jaafar al-Thahwi al-Hanafi r.h:

وَالشَّفَاعَةُ الَّتِي ادَّخَرَهَا لَهُمْ حَقٌّ، كَمَا رُوِيَ فِي الْأَخْبَارِ

Maksudnya: “dan al-Syafaah yang disimpankannya untuk mereka (Umat Muhammad) adalah hak (benar) seperti mana yang diriwayatkan dalam Akhbar (hadis-hadis)”. [Syarah Akidah al-Tahawiah, Ibn Abil Izz al-Hanafi, 1/202, cet. Arab Saudi].

Al-Syafaah atau Syafaat bermaksud: ‘Menjadi orang tengah dalam mendatangkan manfaat atau menolak mudarat’.[Syarah al-Aqidah al-Wasitiah, Muhammad bin Soleh al-Usaimin, Majmuk Fatawa wa Rasil al-Usaimin, 8/524].Makna Syafaat pada syarak tidak berbeza daripada makna bahasanya ini kerana Nabi s.a.w di mahsyar akan menjadi perantara antara makhluk dengan Allah Taala untuk memohon dimulakan Hisab dan lainnya.

Syafaat itu sabit dengan al-Kitab dan al-Sunnah antaranya firman Allah Taala:

مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksudnya: “..tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya…” [al-Baqarah: 255]

Penafian Allah Taala terhadap Syafaat yang tidak mendapat keizinan daripadaNya menetapkan adanya Syafaat yang diizinkan oelhNya Taala. [Syarah al-Aqidah al-Wasitiah, Syeikh Khalil al-Harras, m.s 288].

Ini juga menetapkan bahawa di sana ada Syafaat yang benar dan ada Syafaat yang tidak benar. Maka Syafaat yang benar itu adalah Syafaat yang mendapat izin Allah Taala yang akan berlaku akhirat kepada Nabi Muhammad s.a.w dan orang-orang saleh. Adapun Syafaat yang tidak benar seperti kaum musyrikin yang menjadikan berhala-berhala mereka sebagai perantara antara mereka dengan Allah Taala seperti yang Allah Taala jelaskan sendiri dalam firmanNya:

وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنْفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لَا يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: “dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: “Mereka (yang Kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Dia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha suci Allah dan tertinggi keadaannya dari apa yang mereka sekutukan.” [Yunus: 18].

Kaum Musyrikin menjadi syirik kerana menjadikan berhala-berhala dan segala macam jenis sembahan mereka selain Allah Taala sebagai pemberi Syafaat kepada mereka di sisi Allah Taala dan mereka di akhirat akan terhalang mendapat Syafaat kerana Syafaat itu tempatnya di akhirat bagi mereka yang diizinkan oleh Allah Taala. Oleh sebab itu Allah menyatakan bahawa tindakan kaum musyrikin ini seolah-olah berlagak pandai hendak memberitahu kepada Allah yang berhala mereka dapat memberi Syafaat sedangkan Syafaat itu milik Allah jua dan Allah Maha Mengetahui bahawa Dia tidak akan mengizinkan Syafaat daripada semabahan mereka itu. [Rujuk Tafsir al-Tabari, 15/47, Tafsir Ibn Kasir, 4/356, al-Baghawi, 4/126].

Allah Taala dalam surah al-Zumar ayat ke-43 dan 44 telah menjawab syubhat kaum musyrikin yang beriman dengan Syafaat yang batil ini:

أَمِ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ شُفَعَاءَ قُلْ أَوَلَوْ كَانُوا لَا يَمْلِكُونَ شَيْئًا وَلَا يَعْقِلُونَ (43) قُلْ لِلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (44)

Maksudnya: “Patutkah mereka (yang musyrik) mengambil yang lain dari Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain dari Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?”  Katakanlah (Wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah yang Menguasai Segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadanya (untuk menerima balasan).”

Imam Mujahid r.h dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan Syafaat itu hanya berlaku dengan izin Allah Taala jua dan Allah Taala tidak akan memberi izin Syafaat kecuali kepada yang dia redai sahaja dan hanya untuk mereka yang diperkenan Allah Taala jua.

Adapun kaum musyrikin maka mereka bukanlah ahli untuk menerima Syafaat dan berhala mereka bukanlah makhluk yang diizinkan Allah Taala untuk memberi Syafaat sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Maka perlu diketahui bahawa terdapat Syafaat yang batil dan terdapat Syafaat yang hak supaya tidak terkeliru dengan tohmahan kaum Sufiah bahawa Ahlis Sunnah wal Jamaah (Salafiah) menolak Syafaat atau tidak beriman dengan Syafaat kerana Ahlis Sunnah wal Jamaah hanya menolak Syafaat yang batil yang tiada nas daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih bukan keseluruhan Syafaat.

Adapun Syafaat yang sahih menurut Ahlis Sunnah wal Jamaah terdapat beberapa jenis Syafaat yang telah sabit dalam Nas yang sahih iaitu 8 jenis kesemuanya atas perincian yang dilakukan oleh al-Allamah Imam Ibn Abil Izz al-Hanafi r.h:

Pertama: Syafaat al-Uzma yakni Syafaat terbesar yang menjadi kekhususan untuk Nabi Muhammad s.a.w sahaja iaitulah baginda s.a.w akan bertemu dengan Allah Taala di Mahsyar bermohon supaya Allah Taala memulakan prosiding perhitungan amal manusia.

Pada hari kiamat di Padang Mahsyar, manusia akan berasa amat terseksa menanti permulaan bicara kerana matahari mendekat kepada mereka maka mereka mula mencari-cari siapakah yang dapat menolong mereka untuk menghadap Allah Taala supaya Dia Taala memulakan perbicaraan.

Mereka mulanya mendatangi Adam a.s namun Adam a.s menolak kerana malu dengan perbuatannya memakan buah yang dilarang dan baginda menyuruh mereka berjumpa Nuh a.s, namun setelah berjumpa Nuh a.s, baginda juga menolak kerana malu dengan permintaan baginda kepada Allah Taala untuk menyelamatkan anak baginda yang derhaka daripada karam seraya baginda mencadangkan supaya berjumpa Ibrahim a.s.

Namun, Ibrahim a.s juga tidak dapat berbuat apa kerana malu dengan tindakan baginda melakukan beberapa helah, lalu baginda mencadangkan mereka bertemu dengan Musa a.s. Setelah bertemu dengan Musa a.s, baginda juga menolak kerana malu dengan tindakan membunuh Qibti dahulu. Baginda mencadangkan mereka berjumpa dengan Isa a.s dan setelah bertemu dengan Isa a.s namun Isa a.s menolak tanpa menyatakan sebarang alasan bahkan terus mencadangkan mereka berjumpa dengan Muhammad s.a.w.

Setelah mereka mendatangi Nabi Muhammad s.a.w, lantas baginda pergi berjumpa Allah Taala yang sedang bersemayam (meninggi) di atas Arasy lalu baginda sujud lalu Allah Taala mengajarkan kepada baginda secara Ilham kata puji-pujian yang tidak lagi pernah diajar kepada sesiapa sebelum baginda dan belum juga baginda ketahui sebelum diberi ilham tersebut. Setelah baginda mengucapkan puji-pujian tersebut Allah Taala memberikan keizinan kepada baginda untuk memberi Syafaat.

Allah Taala memulakan perhitungan amal dan memberikan kebenaran kepada baginda untuk memasukkan umat baginda yang mendapat kelebihan untuk masuk ke syurga tanpa Hisab ke dalam syurga. [Syarah al-Aqidah al-Tahawiah, 1/202-204].

Daslam hadis al-Tarmizi dan Imam Ahmad menyatakan bahawa selepas mereka berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w maka Nabi s.a.w telah berjumpa dengan Allah Taala untuk memohon Allah Taala memulakan Hisab kemudian dimulakanlah Hisab dan diserulah Muhammad s.a.w dan Umat baginda untuk dihisab terlebih dahulu.

Kedua dan Ketiga: Syafaat terhadap kaum yang sama timbangan amal kejahatan dan kebaikan mereka lalu baginda memberi Syafaat supaya mereka memasuki Syurga dan Syafaat terhadap kaum yang hendak dimasukkan ke dalam neraka tetapi dimasukkan ke syurga kerana syafaat baginda.

Keempat: Syafaat baginda terhadap kaum yang memasuki Syurga di derjat rendah untuk dinaikkan ke pangkat tinggi.

Kelima: Syafaat baginda terhadap umat baginda untuk memasuki Syurga tanpa Hisab sebagaimana dalam hadis Ukashah bin Muhsan r.a baginda mendoakan beliau termasuk dalam kalangan tersebut.

Keenam: Syafaat Nabi s.a.w untuk meringankan azab sebahagian orang kafir dalam neraka iaitulah bapa saudara baginda Abu Tolib sebagaimana dalam hadis:

عَنِ الْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ أَنَّهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ نَفَعْتَ أَبَا طَالِبٍ بِشَىْءٍ فَإِنَّهُ كَانَ يَحُوطُكَ وَيَغْضَبُ لَكَ قَالَ « نَعَمْ هُوَ فِى ضَحْضَاحٍ مِنْ نَارٍ وَلَوْلاَ أَنَا لَكَانَ فِى الدَّرْكِ الأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ ».

Maksudnya: Daripada al-Abbas bin Abdul Muttalib bahawa beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah tuan memberi apa-apa manfaat kepada Abu Tolib kerana dia telah melindungimu dan memarahi untukmu?” Jawab baginda: “Ya, dia berada di permukaan neraka, jika bukan kerana aku tentulah dia berada di lapisan paling bawah dalam neraka”. [al-Bukhari & Muslim].

Ketujuh: Syafaat baginda untuk memasukkan manusia ke syurga kerana syurga tidak akan dibuka sehingga baginda memohon kepada Allah Taala untuk membukanya. Dalam hadis al-Tarmizi dan Ahmad sabda Nabi s.a.w:

ثم آتى باب الجنة فآخذ بحلقة باب الجنة فأقرع الباب فيقال من أنت فأقول محمد فيفتح لي

Maksudnya: “Kemudian aku datang kepada pintu syurga dan mengetuknya lalu ditanya: Siapakah kamu? Maka jawabku: Muhammad. Maka pintu pun dibuka…” [al-Tarmizi dan Ahmad, Sahih].

Kelapan: Syafaat baginda untuk mengeluarkan kaum mukmin yang berdosa besar yang dimasukkan ke neraka untuk mengeluarkan mereka dan dimasukkan ke syurga. Sabda Nabi s.a.w:

شَفَاعَتِى لأَهْلِ الْكَبَائِرِ مِنْ أُمَّتِى

Maksudnya: “(Antara) Syafaatku adalah untuk mereka yang melakukan dosa besar daripada Umatku”. [Abu Daud, al-Tarmizi, dan Ahmad. Hadis Sahih].

Dalam hadis al-Tarmizi dan Ahmad yang terdahulu setelah dibukakan syurga kepada baginda Nabi s.a.w, baginda berkata:

فأرى ربي عز و جل وهو على كرسيه أو سريره فأخر له ساجدا وأحمده بمحامد لم يحمده بها أحد كان قبلي ولا يحمده بها أحد بعدي فيقال ارفع رأسك وقل تسمع وسل تعطه واشفع تشفع قال فارفع رأسي فأقول أي رب أمتي أمتي فيقال لي أخرج من النار من كان في قلبه مثقال كذا وكذا فأخرجهم ثم أعود فاخر ساجدا وأحمده بمحامد لم يحمده بها أحد كان قبلي ولا يحمده بها أحد بعدي فيقال لي ارفع رأسك وقل يسمع لك وسل تعطه واشفع تشفع فارفع رأسي فأقول أي رب أمتي أمتي فيقال أخرج من النار من كان في قلبه مثقال كذا وكذا فأخرجهم قال وقال في الثالثة مثل هذا أيضا

Maksudnya: “Maka aku melihat Tuhanku Azza wa Jalla sedang Dia berada di atas kursiNya atau TakhtaNya maka aku sujud kepadaNya dan aku memujiNya dengan pujian yang belum pernah ada sesiapa memujiNya seperti itu sebelumku maka dikatakan (yakni Allah berfirman): ‘Angkatlah kepalamu dan katakanlah, akan didengari dan mintalah akan dipenuhi dan Syafaatkanlah akan diberikan izin untuk Syafaat’. Maka aku mengangkat kepalaku lalu aku berkata: ‘Wahai Tuhanku, umatku,umatku!’ Maka dikatakan: ‘Keluarkanlan sesiapa yang ada dalam hatinya iman seberat itu dan itu daripada neraka’. Maka aku keluarkan mereka’. Kata perawi: Demikian baginda berkata sebanyak tiga kali lagi”.

Daripada kesemua jenis syafaat ini, terdapat Syafaat yang khusus bagi Nabi kita Muhammad s.a.w dan ada yang berkongsi padanya kaum mukminin, Nabi-nabi, dan Malaikat sebagaimana dalam hadis:

فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: شَفَعَتِ الْمَلَائِكَةُ، وَشَفَعَ النَّبِيُّونَ، وَشَفَعَ الْمُؤْمِنُونَ وَلَمْ يَبْقَ إِلَّا أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ، فَيَقْبِضُ قَبْضَةً مِنَ النَّارِ، فَيُخْرِجُ مِنْهَا قَوْمًا لَمْ يَعْمَلُوا خَيْرًا قَطُّ

Maksudnya: “Maka berkata Allah Taala: ‘Malaikat telah memberi Syafaat, para Nabi telah memberi Syafaat, dan kaum mukminin telah memberi Syafaat dan tiada yang tinggal (untuk memberi Syafaat) kecuali Yang Maha Mengasihani (Allah)’. Lalu Dia menggenggam segenggam daripada neraka dan dikeluarkan daripadanya kaum yang tiada amal kebaikan langsung (namun beriman)”. [Muslim].

Syafaat yang khusus bagi Nabi s.a.w adalah Syafaat al-Uzma yakni Syafaat baginda kepada seluruh makhluk untuk memohon Allah Taala memulakan Hitungan Amal, Syafaat baginda untuk membuka pintu Syurga, dan Syafaat baginda kepada Abu Tolib untuk diringankan azab. [Syarah al-Aqidah al-Wasitiah, Khalil al-Harras, m.s 290].

Adapun Syafaat yang lain, berkongsi padanya antara baginda dengan para Nabi, Malaikat, dan kaum mukminin. Antara hadis lain menunjukkan syafaat selain baginda adalah:

يُشَفَّعُ الشَّهِيدُ فِى سَبْعِينَ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ

Maksudnya: “Seorang Syahid akan memberi Syafaat kepada 70 ahli keluarganya”. [Abu Daud, Sahih].

Sabda Nabi s.a.w:

يوضع الصراط بين ظهري جهنم عليه حسك كحسك السعدان ثم يستجيز الناس فناج مسلم ومجدوح به ثم ناج ومحتبس به منكوس فيها فإذا فرغ الله عز و جل من القضاء بين العباد يفقد المؤمنون رجالا كانوا معهم في الدنيا يصلون بصلاتهم ويزكون بزكاتهم ويصومون صيامهم ويحجون حجهم ويغزونا غزوهم فيقولون أي ربنا عباد من عبادك كانوا معنا في الدنيا يصلون صلاتنا ويزكون زكاتنا ويصومون صيامنا ويحجون حجنا ويغزون غزونا لا نراهم فيقول اذهبوا إلى النار فمن وجدتم فيها منهم فأخرجوه قال فيجدونهم قد أخذتهم النار على قدر أعمالهم فمنهم من أخذته إلى قدميه ومنهم من أخذته إلى نصف ساقيه ومنهم من أخذته إلى ركبتيه ومنهم من أزرته ومنهم من أخذته إلى ثدييه ومنهم من أخذته إلى عنقه ولم تغش الوجوه فيستخرجونهم منها فيطرحون في ماء الحياة قيل يا رسول الله وما الحياة قال غسل أهل الجنة فينبتون نبات الزرعة وقال مرة فيه كما تنبت الزرعة في غثاء السيل ثم يشفع الأنبياء في كل من كان يشهد أن لا إله الا الله مخلصا فيخرجونهم منها قال ثم يتحنن الله برحمته على من فيها فما يترك فيها عبدا في قلبه مثقال حبة من إيمان الا أخرجه منها

Maksudnya: “al-Sirat (jembatan) akan direntang dibelakang Jahanam, atasnya terdapat duri-duri seperti duri-duri pokok Sa’dan kemudian manusia akan melaluinya. Terdapat yang selamat melaluinya tetapi telah dicederakan oleh duri-duri, ada yang terselamat tetapi menjadi tunggang terbalik kerana tertahan padanya. Apabila Allah Azza wa Jalla selesai daripada menghakimi antara para hambaNya maka kaum mukminin berasa mereka kehilangan beberapa orang yang pernah mereka kenal di dunia (yakni tidak mereka jumpa dalam syurga) yang dahulu pernah solat bersama, berzakat bersama-sama, berpuasa sama-sama, berhaji sama-sama, dan berjihad bersama-sama. Maka mereka berkata: ‘Wahai Tuhan kami, hamba-hambaMu yang dahulu pernah solat bersama kami, berzakat bersama kami, berpuasa dengan kami, berhaji dengan kami, dan berjihad dengan kami tetapi kami tidak dapat melihat mereka (dalam syurga)’. Lalu Allah berkata: ‘Pergi kamu lihat dalam neraka, siapa yang kamu jumpa maka keluarkanlah dia’. Kata baginda: ‘Maka mereka dapati mereka itu telah diambil neraka (dibakar neraka) sekadar amalan kejahatan mereka, ada yang dibakar sehingga tapak kaki, ada yang terbakar sampai setengah betis, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke pinggang, ada sampai ke buah dada, dan ada yang sampai ke leher tapi tiada yang dibakar mukanya. Lalu mereka dikeluarkan (oleh saudara-saudara se-Islam mereka) dan dilontarkan ke dalam Air al-Hayat. Ditanya kepada baginda: Apakah itu al-Hayat? Jawab Nabi s.a.w: ‘Air mandian Ahli Syurga, maka mereka akan tumbuh bagaikan pohon-pohon’. Dan berkata dalam lafaz lain: ‘Mereka itu tumbuh bagaikan tumbuhan dalam buih air yang mengalir’. Kemudian para Nabi akan memberi syafaat dan mengeluarkan semua yang mengucapkan ‘Lailahaillallah’ secara ikhlas (di dunia) daripadanya kemudian Allah Taala memberi rahmatNya kepada mereka yang berada dalamnya (neraka) lalu dikeluarkan semuanya orang yang ada dalam hatinya Iman walaupun seberat zarah”. [al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad, lafaznya bagi Ahmad].

Beriman dengan Syafaat Nabi s.a.w, kaum mukminin, para al-Anbiya’, dan Malaikat kepada orang beriman yang melakukan dosa besar dan mengeluarkan mereka daripada neraka dan dimasukkan ke syurga merupakan salah satu prinsip akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dan kaum Bidaah seperti al-Muktazilah dan al-Khawarij mengingkarinya.

Kaum Bidaah menyetujui Syafaah al-Uzma namun mereka mengingkari Syafaat bagi Ahli Kabair (pelaku dosa besar) sedangkan Syafaat baginda kepada pelaku dosa besar ini sabit juga dengan nas mutawatir yang mustahil diingkari orang yang waras akalnya.

Hasil perbincangan ini jelas kepada kita bahawa Syafaat itu berlaku di akhirat bagi mereka yang diizinkan Allah Taala. Adapun Syafaat bagi Nabi kita Muhammad s.a.w dan sesiapa jua di dunia tidak berlaku kerana bukanlah pada tempat. Kaum musyrikin apabila mereka tergesa-gesa hendak mendapatkan Syafaat semenjak di dunia dengan menjadikan berhala sebagai perantara antara mereka dan Allah Taala, maka mereka diharamkan daripada Syafaat di akhirat sebagaimana firman Allah Taala:

فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ

Maksudnya: “maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (Kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” [al-Muddassir: 48].

Kaedah Fiqah ada mengatakan:

مَنْ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang tergesa-gesa mendapatkan sesuatu sebelum masanya dihukum dengan terus tidak mendapatkan perkara itu”. [al-Asybah wan Nazair, 1/247].

Kedua: Allah Mendudukkan Nabi Muhammad s.a.w di atas Arasy

Makna kedua bagi al-Maqam al-Mahmud adalah Allah Taala akan mendudukkan baginda Nabi Muhammad s.a.w di atas Arasy atau Kursi di padang Mahsyar sehingga semua Nabi-nabi menjadi cemburu kepada baginda.

Imam Ibn Jarir al-Tabari r.h telah membawakan tafsiran Mujahid r.h melalui riwayat Lais bin Abi Sulaim r.h:

يُجْلسه معه على عرشه.

Maksudnya: “Dia mendudukkannya (Muhammad) bersamaNya di atas Arasy”. [Tafsir al-Tabari, 17/529].

Imam al-Baghawi r.h juga mengeluarkan tafsiran yang sama daripada Abdullah bin Masud r.a dan Abdullah bin Salam r.a dan Ibn al-Jauzi r.h menyatakan juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas r.a daripada jalan al-Dahhak r.h. [Tafsir al-Baghawi, 5/121, Zadul Masir, 4/186].

Ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah dalam berhadapan masalah ini, mempunyai dua pendirian:

Pertama: Menerimanya dengan alasan sahihnya hadis-hadis berkenaan hal ini.

Kedua: Menolak atas dasar daifnya hadis-hadis yang diriwayatkan dalam bab ini.

Ini berbeza dengan kaum Jahmiah yang menolak riwayat ini semata-mata menurut mereka ianya bertentangan dengan akal tanpa melihat kepada kesahihan atau kesabitan hadis. Ini berbeza dengan Ahlis Sunnah wal Jamaah yang mana jika ada di antara mereka tidak menerima bab ini adalah kerana kedaifan riwayat berkenaannya bukan kerana tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka.

Maka atas makna inilah seharusnya difahami perkataan beberapa Ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah terhadap mereka yang mengingkari masalah ini seperti perkataan Muhammad bin Ahmad bin Wasil r.h:

من رد حديث مجاهد فهو جهمي

Maksudnya: “Sesiapa yang menolak hadis Mujahid maka dia adalah Jahmiah”. [al-Sunnah lil Khallal, m.s 277].

Ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah telah sepakat bahawa hadis berkenaan ini hanya sampai kepada Mujahid sahaja, adapun semua hadis yang marfu’ kepada Nabi s.a.w berkenaannya adalah batil. [al-Uluww lil Aliyyil Ghaffar, al-Zahabi, m.s 171].

Namun telah sabit juga daripada Mujahid daripada Ibn Abi Najih dan Ibn Juraij bahawa maksud al-Maqam al-Mahmud adalah Syafaat sepertimana pendapat Jumhur Ulama Mufassirin sesuai dengan hadis-hadis yang marfu’ kepada Nabi s.a.w yang telah lalu sebutnya bahawa al-Maqam al-Mahmud adalah Syafaat baginda. [Tafsir al-Tabari, 17/527].

Ibn Jarir al-Tabari r.h menyatakan bahawa makna yang paling tepat berkenaan al-Maqam al-Mahmud adalah Syafaat Nabi s.a.w sebagaimana yang sabit dalam hadis-hadis yang marfu’ [Ibid, 17/529]. Kemudian Ibn Jarir r.h mengulas:

فإن ما قاله مجاهد من أن الله يُقعد محمدا صلى الله عليه وسلم على عرشه، قول غير مدفوع صحته، لا من جهة خبر ولا نظر، وذلك لأنه لا خبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم، ولا عن أحد من أصحابه، ولا عن التابعين بإحالة ذلك.

Maksudnya: “Maka apa yang dikatakan oleh Mujahid bahawa Allah mendudukkan Muhammad s.a.w di atas Arasy adalah perkataan yang tidak dapat ditolak kesahihannya sama ada dari segi khabar atau nazar (akal) kerana tiada khabar daripada Rasulullah s.a.w dan daripada mana-mana Sahabat atau Tabiin yang memustahilkan perkara tersebut…” [Ibid, 17/531].

Ibn Jarir r.h kemudian mengulas berkenaan ketidak mustahilan perkara ini dari segi akal bahawa Umat Islam sama ada yang mempercayai Allah Taala meninggi di atas Arasy atau yang mengingkarinya dengan takwil, kesemua mereka tidak memustahilkan Allah Taala mendudukkan Muhammad s.a.w di atas Arasy. [Lihat penjelasan beliau dengan panjang lebar dalam Tafsirnya: 17/532, al-Uluww lil Aliyyil Ghaffar, m.s 171].

Kata beliau Umat Islam dalam masalah ini atas tiga pendapat:

Pertama: Allah Taala sebelum Dia menciptakan Arasy Dia tidak bersentuhan dengan sesuatu, kemudian setelah Dia menciptakan Arasy Dia kekal pada keadaanNya tidak bersentuhan dengan Arasy bahkan Dia ‘Bainah’ terpisah daripada Arasy. Maka menurut mereka sama ada Allah Taala medudukkan Muhammad atas Arasy atau tidak, tidaklah menjadi masalah kerana dalam apa jua keadaan Muhammad tidak sama dengan Allah Taala.

Kedua: Kaum yang mengatakan Allah Taala tidak bersentuh dan tidak berpisah dengan sesuatu sama ada sebelum atau selepas Dia menciptakan Arasy (mereka ini kemungkinan besar adalah Ahli Kalam seperti Asyairah yang menafikan tempat), maka mereka ini menyatakan Allah wujud tanpa mengambil tempat maka tiada masalah jika Nabi s.a.w duduk di atas Arasy tidaklah menjadikan baginda seumpama Allah Taala.

Ketiga: Mereka yang berpandangan bahawa Allah Taala sebelum Dia mencipta Arasy Dia terpisah daripada segalanya kemudian setelah itu Dia duduk di atas Arasy bersentuhan denganNya. Maka Allah Taala itu menurut mereka terpisah daripada apa yang Dia hendak terpisah dan bersentuhan daripada apa yang Dia hendak bersentuhan. Menurut mereka juga tiada masalah jika Allah Taala mendudukkan Nabi Muhammad s.a.w kerana seperti mana baginda selama ini berpisah dengan pelbagai benda tidaklah menyamakan baginda dengan Allah yang terpisah dengan apa yang Dia hendak terpisah maka bersentuhan baginda dengan Arasy tidaklah juga menjadikan baginda menyamai Allah Taala yang bersentuhan dengan apa yang Dia hendak bersentuhan.

Atas dasar ini kata Ibn Jarir sesiapa yang mengatakan asar Mujahid ini mustahil pada akal maka dia terkeluar daripada firqah-firqah Islam yang ada dan jadilah dia Jahmiah yang kufur dengan ittifaq Umat.

Berkata  Muhammad bin al-Husain r.h:

اعلموا رحمنا الله وإياكم أن الله عز وجل أعطى نبينا صلى الله عليه وسلم ، من الشرف العظيم والحظ الجزيل ما لم يعطه نبيا قبله مما قد تقدم ذكرنا له ، وأعطاه المقام المحمود يزيده شرفا وفضلا ، جمع الله الكريم له فيه كل حظ جميل من الشفاعة للخلق والجلوس على العرش ، خص الله الكريم به نبينا صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Ketahuilah olehmu semoga Allah merahmati kami dan kamu juga bahawa Allah Azza wa Jalla memberikan kepada Nabi kita Muhammad s.a.w kemuliaan yang sangat besar dan keuntungan yang banyak yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelum baginda yang telah lalu kami sebutkan dan Dia memberi kepadanya al-Maqam al-Mahmud yang menambahkan kemuliaan dan kelebihannya, Allah menghimpun kemuliaan pada baginda daripada Syafaat bagi semua makhluk (di Mahsyar) dan duduk di atas Arasy yang khusus bagi Nabi kita Muhammad s.a.w…” [al-Syariah, al-Ajuri, 3/206].

Imam Ibn al-Qayyim r.h menyatakan beberapa Ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah yang menerima riwayat bahawa Allah mendudukkan Nabi Muhammad s.a.w di atas Arasy sebagaimana dinaqalkan daripada Imam al-Marwazi r.h yang mengarang kitab khusus berkenaan masalah ini dan beliau begitu membela akidah ini. [Badai’ul Fawaid, 4/39].

Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h juga menerima bahawa riwayat-riwayat dalam perkara ini menjadi hujah dan beliau memasukkannya sebagai salah satu kelebihan baginda Nabi s.a.w dan menjadi dalil kelebihan manusia yang soleh atas Malaikat. [Majmuk al-Fatawa, 4/374].

Namun, wallahua’lam, apa yang rajih pada kami adalah riwayat Allah Taala mendudukkan Nabi Muhammad s.a.w ini adalah riwayat yang tidak sabit bahkan daif lagi munkar (munkar pada Istilah hadis maksudnya riwayat orang daif yang berlawanan dengan riwayat orang siqah).

Pendapat ini dipilih setelah penelitian yang mendalam dan keinsafan yang besar bahawa riwayat Lais bin Abi Sulaim daripada Mujahid ini tidaklah sahih kerana Lais bin Abu Sulaim adalah Daif dan imam-imam Jarah Takdil telah menyatakan bahawa riwayat beliau bukanlah hujah maka dalam keadaan ini, riwayat beliau daripada Mujahid menyalahi riwayat orang yang siqah daripada Mujahid sendiri seperti Ibn Abi Najih dan Ibn Juraij yang menyatakan makna al-Maqam al-Mahmud adalah Syafaat dan menyalahi pula hadis-hadis yang marfu’ yang sahih terutama dalam Sahih al-Bukhari Nabi s.a.w sendiri menyatakan makna al-Maqam al-Mahmud adalah Syafaat dan tidak menyatakan selainnya.

Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Ibn Kasir r.h sehingga beliau langsung tidak mendatangkan riwayat Lais daripada Mujahid ini dan cukup sekadar mendatangkan riwayat yang banyak menunjukkan bahawa al-Maqam al-Mahmud adalah Syafaat tidak lainnya.

Imam al-Lalikai ketika membicarakan berkenaan al-Maqam al-Mahmud juga tidak membawa riwayat Mujahid ini bahkan cukup sekadar membawa riwayat tafsiran berkenaan Syafaat sahaja. Beliau menyatakan:

سياق ما روي في أن المقام المحمود هو الشفاعة

Maksudnya: “Pada mendatangkan apa yang diriwayatkan bahawa al-Maqam al-Mahmud itu adalah Syafaat”. [Syarah Usul I’tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah, al-Lalikaie, 5/199].

Jelas daripada pernyataan Imam besar Ahlis Sunnah wal Jamaah ini, al-Maqam al-Mahmud maksudnya hanyalah al-Syafaah tiada lainnya.

Berkenaan riwayat Abdullah bin Salam r.a berkenaan masalah ini sebagaimana kata Imam al-Zahabi r.h adalah tidak sahih sanadnya dan pada pandangan saya berat kemungkinan ketidak sahihan hadis ini berpunca pada Saif al-Sadusi (saya berusaha mencari terjemahnya namun tidak dijumpai maka kemungkinan besar dia ini majhul, wallahua’lam).

Demikian juga riwayat al-Dahhak daripada Ibn Abbas r.a juga sebagaimana kata al-Zahabi r.h tidak sahih, sanadnya gugur dan perawinya Umar bin Mudrik al-Razi adalah Matruk. [Rujuk: al-Uluww lil Aliyyil Ghaffar, m.s 93 dan 131].

Al-Marwazi r.h ada menyatakan bahawa selain al-Lais bin Abi Sulaim ada juga beberapa perawi lain meriwayatkan daripada Mujahid iaitu Atha’ bin al-Saib, Abu Yahya al-Qattat, dan Jabir bin Yazid. Namun kesemua mereka ini daif kerana Atha’ Mukhtalit (menjadi nyanyuk) 3 tahun sebelum kewafatannya, Abu Yahya daif, dan Jabir matruk. [Mukhtasar al-Uluww, al-Albani, m.s 15].

Maka pendirian yang kami ambil di sini adalah jika sabit hadis ini daripada Mujahid dan lainnya bahawa Nabi s.a.w didudukkan di atas Arasy, maka kami berlapang dada untuk menerimanya, namun jelas pada kami sekarang bahawa riwayat-riwayat berkenaan ini adalah daif dan berlawanan dengan riwayat yang sahih dan lebih sahih bahawa al-Maqam al-Mahmud adalah Syafaat.

Oleh itu, kami menyokong Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h dalam penolakan beliau terhadap riwayat berkenaan masalah ini.Beliau telah menjelaskan masalah ini dengan baik sekali dalam Mukhtasar al-Uluww [m.s 13-18] dan dalam Silsilah al-Daifah [hadis no. 865].

Walaubagaimanapun, perkara ini termasuk khilaf dalam furuk akidah yang tidak menjejaskan akidah seseorang muslim kerana mereka yang menerima hadis ini adalah kerana menurut ijtihad mereka yang menyatakan hadis ini sahih sedangkan mereka yang menolak daripada Ahlis Sunnah wal Jamaah adalah kerana mereka menilai hadis bab adalahb daif tidak berlaku hujah dengannya. Adapun mereka yang menolak semata-mata kerana akalnya yang tidak sihat tidak mampu menerima maka mereka semacam inilah dihukum sebagai Jahmiah kerana mendahulukan akal atas naqal.

Atas dasar ini kita dapati Imam al-Zahabi r.h dalam al-Uluww pada dasarnya beliau sendiri beriktiqad hadis dalam masalah ini munkar (yakni pada istilah hadis) namun beliau tidak juga begitu berkeras mengingkari mereka yang menerima dan mensahihkannya kerana diriwayatkan tidak sedikit juga Ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah yang menerima dan beriman dengan duduknya Nabi Muhammad s.a.w. di atas Arasy di Mahsyar.

Tanbih: Sebagai penutup perbahasan, terdapat sebahagian kaum yang menggelar diri mereka al-Asyairah dan al-Maturidiah mengingkari perkara (Duduknya Muahmmad s.a.w di atas Arasy) ini semata-mata menurut mereka membawa kepada akidah Tajsim atau Tasybih (menyamakan Tuhan dengan Makhluk) sedangkan jika kita teliti penjelasan Ibn Jarir al-Tabari r.h bahawa umat Islam dalam masalah ini atas tiga jalan dan kesemua mereka sama ada yang menetapkan Istiwa’ atau menafikannya tidak ingkar akan perkara ini.

Imam Ibn al-Jauzi r.h sendiri merupakan seorang yang mentakwil Sifat Allah Taala walaupun beliau memusuhi al-Asyairah dalam masalah al-Quran namun beliau tidak mengingkari masalah ini bahkan beliau menyatakan dalam tafsirannya riwayat Mujahid ini tanpa sebarang pengingkaran.

Demikian juga Imam al-Qurtubi r.h yang sering dibanggakan oleh al-Asyairah sebagai seorang daripada mereka, turut menyatakan bahawa daripada segi akal tidaklah mustahil Allah Taala mendudukkan Nabi Muhammad s.a.w di atas Arasy. [Tafsir al-Qurtubi, 10/311-312].

Kesimpulan

Al-Maqam al-Mahmud adalah Syafaat yang khusus bagi Nabi Muhammad s.a.w iaitulah Syafaat al-Uzma di Padang Mahsyar yang menyebabkan semua makhluk memuji baginda yang membantu mereka berjumpa Allah Taala untuk memohon dimulakan prosiding perhitungan amal.

Terdapat sebahagian Ulama Salaf yang percaya Nabi Muhammad s.a.w akan didudukkan di atas Arasy sehingga menjadikan semua Nabi dan Rasul cemburu kepada baginda dan dipuji oleh mereka. Namun, setelah diteliti, asar dan riwayat berkenaan perkara ini adalah daif tidak dapat didirkan hujah walaupun tidak mustahil pada akal.

Mereka yang ingkar pada perkara ini (duduknya Muhammad s.a.w atas Arasy) kerana semata-mata tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka maka mereka adalah Jahmiah, adapun yang ingkar kerana ketidak sahihan asar berkenaannya, maka mereka adalah benar. Wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: