FIQAH AL-MUSABAQAH

7 Jul

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Dewasa ini, pelbagai bentuk peraduan dan pertandingan telah muncul dalam kalangan Umat Islam dengan janjian ganjaran yang lumayan. Namun, Umat Islam hari ini jahil akan hukum hakam berkaitan peraduan dan pertandingan hari ini sehingga ramai dalam kalangan mereka terjebak dalam perjudian secara tidak sedar.

Maka di sini, kami akan membentangkan serba sedikit hukum hakam musabaqah yang sememangnya termaktub dalam kitab-kitab fiqah bahkan Imam al-Syafii r.h telah meletakkan masalah ini dalam bab khas berbeza dengan Ulama sebelum beliau.

Maksud Musabaqah:

Musabaqah atau al-Sibaq atau al-Sabq  (المسابقة-السباق-السبق) bermaksud perlumbaan seperti lumba kuda, lumba lari, dan jalan kaki, adapun Munadalah  (المناضلة) bermaksud peraduan yang melibatkan lontaran seperti lontar lembing, memanah, dan menembak.

Adapun al-Sabaq (السبَق) adalah ganjaran yang diberikan untuk pemenang dalam sesuatu perlumbaan atau peraduan.

Hukum Musabaqah:

Islam membenarkan perlumbaan dan pertandingan untuk maslahah agama dan kesihatan tubuh badan sebagaimana dalam firman Allah Taala:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

Maksudnya: “dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu…” [Al-Anfal: 60].

Apabila Allah Taala memerintahkan kita supaya mempersiapkan diri untuk peperangan dan jihad di jalanNya maka disyariatkan juga latihan perang dan dalam latihan ini untuk mengetahui tahap pencapaian seseorang memerlukan ujian dan pertandingan.

Dalam hadis pula banyak sekali dalil keharusan dan disyariatkan pertandingan yang boleh memberi maslahah untuk jihad antaranya:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا – قَالَ : { سَابَقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْخَيْلِ الَّتِي قَدْ ضُمِّرَتْ ، مِنْ الْحَفْيَاءِ ، وَكَانَ أَمَدُهَا ثَنِيَّةَ الْوَدَاعِ وَسَابَقَ بَيْنَ الْخَيْلِ الَّتِي لَمْ تُضَمَّرْ مِنْ الثَّنِيَّةِ إلَى مَسْجِدِ بَنِي زُرَيْقٍ ، وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ فِيمَنْ سَابَقَ } .

Maksudnya: “Daripada Ibn Umar r.hma kata beliau: Nabi s.a.w berlumba dengan kuda yang telah dikuruskan daripada al-Hafya’ sehingga Saniyyatil Wada’ dan baginda berlumba dengan kuda yang belum dikuruskan dari Saniyyatil Wada’ ke Masjid Bani Zuaraiq dan adalah Ibn Umar antara yang turut berlumba”. [Muttafaq ‘Alaih].

Berkata Imam al-San’ani r.h: “Hadis ini menjadi dalil disyariatkan musabaqah dan ianya bukanlah perkata sia-sia bahkan suatu aktiviti yang terpuji yang dapat mencapaikan penghasilan tujuan-tujuan peperangan dan bermanfaat untuk jihad dan hukumnya berlegar antara harus dan mustahab (sunat)” [Subul al-Salam, 6/232].

Maka Ulama telah sepakat bahawa peraduan dalam perkara-perkara yang bermanfaat untuk jihad dan kesihatan adalah harus bahkan sunat bagi mereka yang belajar ilmu peperangan untuk beradu kemahiran dan makruh jika meninggalkannya. [Hasyiah Qalyubi-Umairah, 16/188].

Jenis-jenis Musabaqah:

Pertama: Musabaqah yang diharuskan dan disyariatkan sama ada dengan pertaruhan (ganjaran) atau tidak iaitulah pertandinagn yang berkaitan dengan Jihad seperti lumba kuda, memanah, melontar lembing, dan lumba unta. Pada zaman sekarang dihubungkan dengannya seperti lumba jet perang, pertandingan menembak. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w:

لَا سَبَقَ إلَّا فِي خُفٍّ ، أَوْ نَصْلٍ ، أَوْ حَافِرٍ

Maksudnya: “Tidak (boleh) mengadakan ganjaran untuk pertandingan kecuali dalam lumba unta, kuda, dan memanah”. [Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Hibban].

Hadis ini menghadkan pertandingan yang boleh disediakan ganjaran hanyalah dalam lumba kuda, unta, dan memanah namun hukum ini adalah mu’allal (mempunyai illah) maka diqiaskan atasnya segala jenis permainan yang sama illah dengannya iaitulah alatan perang dan jihad. [Muzakkirah al-Fiqh, 2/263].

Musabaqah yang jenis ini hanya khas untuk mereka yang layak menjadi Mujahidin pada syarak iaitulah lelaki, adapun wanita dan khunsa makruh mereka bertanding dalam perkara ini jika tanpa ganjaran dan tiada perkara haram lain (dedah aurat eg.) dan jika dengan ganjaran adalah haram. [Hasyiah Qalyubi-Umairah, 16/188].

Kedua: Musabaqah yang tidak dibenarkan (yakni haram) sama ada dengan ganjaran mahupun tidak iaitulah dalam perkara-perkara yang haram seumpama bermain dadu, alat muzik, ratu cantik, dan catur. Sabda Nabi s.a.w:

مَنْ لَعِبَ بالنردشير ، فكأنمَّا صبَغَ يده في دم خنزير

Maksudnya: “Sesiapa bermain dengan dadu maka seolah-olah dia mencelup tangannya dalam darah babi”. [Muslim, Ibn Majah, Ahmad].

Ketiga: Musabaqah yang harus tanpa ganjaran tidak harus dengan ganjaran iaitulah permainan yang mempunyai masalahah kesihatan tetapi tidak bermanfaat secara langsung dalam jihad dan peperangan seperti berenang, jalan kaki, lumba lari, bermain pedang, seni pertahanan diri, gusti, angkat berat, lumba perahu, dan lain-lain selagi tidak dimasuki perkara yang diharamkan seperti pendedahan aurat, percampuran lelaki dan wanita, pembaziran waktu terutama solat dan solat berjemaah. [Rujuk: Taudih al-Ahkam, 6/448, Muzakkirah al-Fiqh, 2/263].

Pertaruhan dan Ganjaran Pertandingan:

Harus mengadakan ganjaran atau pertaruhan dalam pertandingan yang mempunyai manfaat langsung dalam peperangan iaitulah lumba kuda, unta, memanah dan seumpama dengannya seperti menembak, lumba kereta kebal, lumba jet pejuang, dan lain-lain.

Ini berdasarkan hadis:

لَا سَبَقَ إلَّا فِي خُفٍّ ، أَوْ نَصْلٍ ، أَوْ حَافِرٍ

Maksudnya: “Tidak (boleh) mengadakan ganjaran untuk pertandingan kecuali dalam lumba unta, kuda, dan memanah”. [Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Hibban].

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h:

فلم يجوز بالجعل شيئًا لا يستعان به على الجهاد، وإن كان مباحًا، وقد يكون فيه منفعة، كما في المصارعة، والمسابقة على الأقدام

Maksudnya: “Maka tidak harus memberi ganjaran sesuatu pun pada pertandingan yang tidak digunakan untuk berjihad walaupun mubah (harus) dan mungkin ada padanya manfaat seperti bergusti dan lumba lari”. [Majmuk Fatawa, 31/46].

Jumhur Ulama telah sepakat bahawa tiga jenis permainan ini harus padanya ganjaran dan pertandingan dengan ganjaran ini terdapat beberapa bentuk iaitu:

Pertama: Ganjaran dikeluarkan oleh pihak ketiga tidak melibatkan peserta seperti harta ganjaran itu dibayar oleh Sultan atau kerajaan dan harus kerajaan menggunakan wang baitul mal kerana ianya untuk maslahah jihad maka termasuk di bawah Asnaf Fi Sabilillah. Harus padanya peserta melebihi lebih daripada dua orang.

Kedua: Dua orang bertanding lumba kuda misalnya dan ganjaran akan dikeluarkan salah seorang daripada mereka. Misalnya Naqib berlumba kuda dengan Naqiy dan Naqib akan mengeluarkan ganjaran jika Naqiy berjaya menyainginya dan jika Najib berjaya menyaingi Naqiy tiada ganjaran yang perlu Naqiy keluarkan.

Ketiga: Dua orang bertanding dan kedua-duanya perlu membayar ganjaran kepada yang menang seperti bentuk di atas juga  Cuma apabila Najib berjaya menandingi Naqiy maka Naqiy juga mesti memberi ganjaran kepada Najib.

Keempat: Tiga orang bertanding dan dua orang daripada mereka akan memberikan ganjaran kepada yang ketiga jika dia berjaya menandingi mereka berdua adapun jika mereka berdua yang berjaya menandingi yang ketiga maka tiada apa-apa ganjaran dikenakan. Misalnya Najib, Naqiy, dan Najih berlawan memanah, jika Najih berjaya menandingi panahan si Najib dan Naqiy maka Najih akan mendapat ganjaran daripada Najib dan Naqiy, jika sebaliknya maka tiada ganjaran. [al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Syafii, 8/144].

Jumhur Ulama bersetuju bahawa bentuk yang pertama adalah harus jika harta itu daripada pemerintah atau baitul mal, namun jika rakyat yang mengeluarkannya seperti seorang bangsawan atau orang kaya maka Imam Malik r.h berpendapat tidak harus kerana urusan Jihad adalah urusan pemerintah. Namun, yang rajihnya adalah harus kerana ini hanyalah latihan jihad bukan perisytiharan jihad sama seperti harus bagi sesiapa sahaja mewaqafkan kuda dan alatan perang. [al-Bayan fi Fiqh al-Syafii, 7/425-426, al-Majmuk (Takmilah Najib Muti’i), 15/131].

Bentuk yang kedua pula adalah harus juga di sisi Jumhur Ulama kecuali Imam Malik r.h kerana beliau hanya mengharuskan ganjaran daripada pemerintah sahaja berdasarkan jika ganjaran dikelaurkan pemain ianya adalah ‘Qimar’ (judi) dan menjadi permainan yang batil. [al-Majmuk (Takmilah al-Muti’i), 15/133].

Namun, yang sahih adalah pendapat Jumhur kerana dalam hadis daripada Ibn Umar r.a:

أن النبى صلى الله عليه وسلم سبق بين الخيل وأعطى السابق

Maksudnya: “Bahawa Nabi s.a.w berlumba kuda dan baginda memberi ganjaran kepada pemenang”. [Ahmad, sahih].

Bentuk yang ketiga pula, Jumhur Ulama mengharamkannya kerana ianya termasuk dalam umum larangan Qimar dan Maisir (judi) sebagaimana dalam firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” [al-Maidah: 90].

Maksud al-Maisir adalah Qimar iaitulah: “Semua permainan atau pertaruhan yang mensyaratkan yang kalah mesti membayar ganjaran kepada yang menang”. [Mukjam Lughatul Fuqaha’, Qal’aji].

Berkata Ibn Abbas r.a:

الميسر القمار. كان الرجل في الجاهلية يخاطر على أهله وماله، فأيهما قمر صاحبه ذهب بأهله وماله.

Maksudnya: “al-Maisir itu adalah qimar. Adalah seseorang di zaman Jahiliah bertaruh dengan keluarga dan hartanya, maka sesiapa yang berjaya atas pertaruhan rakannya maka dia akan mengambil keluarga dan hartanya”. [al-Tabari, 4/324].

Maka semua permainan yang melibatkan ada untung dan rugi pada kedua pihak adalah qimar dan maisir yang diharamkan Allah dan RasulNya. Namun, Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h dan Ibn al-Qayyim r.h melihat keumuman sabda Nabi s.a.w berkenaan musabaqah dan keharusan membuat pertaruhan atasnya dan dalam hadis:

عن أنس وقيل له: «أكنتم تراهنون على عهد رسول الله – صلى الله عليه وسلم – ؟ أكان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يراهن؟ قال: نعم والله، لقد راهن على فرس يقال له سبحه، فسبق الناس؛ فهش لذلك وأعجبه»

Maksudnya: “Daripada Anas ditanya kepada beliau: Adakah kamu (para Sahabat) bertaruh di zaman Rasulullah s.a.w? Adakah Rasulullah s.a.w bertaruh? Jawab beliau: Ya, demi Allah, baginda bertaruh (menjanji ganjaran) dengan berlumba kuda baginda yang bernama Sabhah lalu baginda berjaya mendahului peserta lain maka baginda sangat gembira dan kagum akannya”. [Ahmad, al-Daruqutni, al-Baihaqi-sahih].

Perkataan “تراهن” menunjukkan pada asal bahasa adalah perlakuan daripada dua pihak maka zahir hadis ini kedua-dua pihak meletakkan ganjaran dalam perlumbaan kuda itu dan tidak ada dalam hadis ini menceritakan berkenaan ‘Muhallil’ yakni orang ketiga. Adapun jika dikatakan jika tidak ada Muhallil maka ini adalah ‘Qimar’ (judi) maka dijawab ini adalah yang diharuskan dengan dalil khas.  [Mulakhhas al-Fiqhi, Soleh al-Fauzan, jil. 2, al-Farusiah, Ibn al-Qayyim].

Adapun Jumhur Ulama berdalilkan hadis berikut:

من أدخل فرسا بين فرسين , وهو لا يأمن أن يسبق , فليس قمارا , ومن أدخل فرسا بين فرسين , وقد أمن أن يسبق فهو قمار

Maksudnya: “Sesiapa yang memasukkan kuda antara dua kuda sedangkan dia tidak aman daripada didahului maka ia bukanlah qimar, sesiapa yang memasukkan kuda antara dua ekor kuda sedangkan dia aman daripada didahului maka ia adalah qimar”. [Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad, al-Daruqutni, al-Baihaqi].

Maksud hadis ini, apabila dua orang yang berlumba mengeluarkan ganjaran maka perlu ada peserta ketiga yang tidak mengeluarkan ganjaran dan disyaratkan peserta ketiga ini juga setara dengan dua lagi peserta dari segi kelajuan kuda misalnya bagi lumba kuda, jika dia hanya sekadar masuk sedangkan kudanya memang pasti lemah tidak mampu menandingi kuda dua lagi peserta maka ia tetap qimar (judi).[al-Majmuk, 15/152].

Hadis ini dinilai berbeza pandangan antara Ulama hadis, Ibn Hajar al-Asqalani dalam Bulughul Maram mendaifkannya dan disokong oleh mereka yang tidak mensyaratkan Muhallil seperti Ibn Taimiah, Ibn al-Qayyim, dan kebanyakan Ulama Hanabilah Mutaakhirin dan disetujui juga Syeikh al-Albani. [Taudih al-Ahkam Syarah Bulughul Maram, 6/463, Irwaul Ghalil, 5/340].

Sebahagian Ahli Hadis lagi mensahihkan hadis ini antaranya al-Hakim dan Ibn Hibban namun yang sahihnya hadis ini adalah daif tetapi dalam Sahih Ibn Hibban:

 عن ابن عمر : أن النبي صلى الله عليه و سلم سابق بين الخيل وجعل بينهما سبقا وجعل بينهما محللا وقال : ( لا سبق إلا في حافر أو نصل )

Maksudnya: “Daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w berlumba kuda dan baginda jadikan antara keduanya ganjaran dan baginda letakkan muhallil dan bersabda: “Tidak ada ganjaran kecuali dalam lumba kuda atau unta”. [Ibn Hibban].

Tetatpi hadis ini juga daif kerana daifnya Abdullah bin Dinar, namun yang rajih pada kami –wallahua’lam- disyaratkan muhallil walaupun dalil-dalil naqlinya daif namun dari segi qias ianya sahih supaya tidak berlaku qimar.

Maka dapat disimpulkan bahawa antara empat bentuk ganjaran dalam musabaqah yang diharuskan padanya ganjaran ini, hanya bentuk pertama, kedua, dan keempat sahaja yang sahih, adapun bentuk yang ketiga adalah haram di sisi Jumhur Ulama. [al-Fiqh al-Manhaji, 8/144, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/635].

Syarat-syarat Musabaqah dengan Ganjaran:

Pertama: Hendaklah tempat mula dan tempat akhir perlawanan diketahui dan ditentukan.

Kedua: Hendaklah ditentukan kuda atau unta atau panah yang akan dipertandingkan demikian juga senapang, dan seumpamanya. Setelah ditentukan alatan untuk berlumba maka tidak boleh ditukar lagi, jika ditukar tanpa persetujuan maka batal lah pertandingan.

Ketiga: Hendaklah alatan yang digunakan itu setanding jangan salah satu daripadanya memang telah maklum tidak akan mampu melawan pihak lawan. Maka tidak sah lawan antara  kuda yang sihat melawan kuda yang sakit.

Keempat: Hendaklah ganjaran itu maklum kepada semua peserta dengan jumlahnya yang tepat dan harus pada syarak.

Kelima: Hendaklah ganjaran itu sama ada daripada pihak ketiga atau salah seorang daripada yang bertanding atau dua orang yang bertanding dengan adanya muhallil sebagaimana yang telah lalu keterangannya.

Keenam: Hendaklah dalam pertandingan yang dibenarkan padanya ganjaran iaitulah lumba kuda, unta, dan memanah serta yang seumpamanya daripada alatan perang. [al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Syafii, 8/145, al-Mulakhas al-Fiqhi, jil 2, Kitab al-Buyu’ Bab Fi Ahkam al-Sabq, Taudih al-Ahkam, 6/462-463, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/634].

Hukum Peraduan Akal dan Ilmu:

Maksud hukum peraduan akal dan ilmu ini adalah seumpama kuiz Fiqah, hafazan al-Quran dan matan-matan ilmu, kuiz faraidh, dan seumpamanya. Para Ulama setuju bahawa harus pertandingan semacam ini diadakan tanpa ganjaran namun berbeza pandangan jika diberikan ganjaran:

Pertama: Tidak harus yakni haram kerana peraduan ini tidak termasuk peralatan perang.

Kedua: Harus kerana ilmu juga senjata jihad untuk menyebarkan Islam bahkan ianya lebih tajam dan berkesan daripada senjata pedang dan seumpamanya. Dengan ilmu juga serangan kaum kufar dalam bentuk pemikiran (Ghazwul Fikri) dapat ditangkis, maka keharusan memberi ganjaran dalam pertandingan ilmiah lebih utama daripada pertandingan senjata.

Tarjih: Pada pandangan kami, yang rajihnya adalah harus mengambil ganjaran dalam peraduan ilmu-ilmu syar’i yang dengannya dapat ditangkis serangan pemikiran kaum kafir kerana pada zaman sekarang, musuh bukan sahaja menyerang dengan senjata bahkan senjata utama mereka sekarang adalah pemikiran maka illah diharuskan mengambil ganjaran yang ada pada lumba kuda, unta, dan memanah tadi berlaku dalam ilmu syariat juga.

Inilah padandangan al-Hanafiah yang disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah, Ibn Qayyim al-Jauziah, Syeikh Jabir al-Jazairi, Syeikh al-Usaimin, Syeikh Soleh al-Fauzan dan lain-lain lagi. Wallahua’lam. [Muzakkirah Fiqh, al-Usaimin, 2/264, Minhajul Muslim, al-Jazairi, m.s 279, al-Mulakhas al-Fiqhi, Soleh al-Fauzan, al-Furuk, 7/435].

Hukum Musabaqah Tilawah al-Quran:

Pada dasarnya, tilawah al-Quran termasuk perkara yang bermanfaat bagi agama dan berkumpul untuk mendengar bacaan al-Quran adalah Sunnah, namun adakah harus diberi ganjaran kepada mereka yang paling elok bacaannya dan seumpamanya?

Pada pandangan kami, semata-mata membaca al-Quran tidak harus dijadikan sebagai satu pertandingan yang diberi ganjaran kepadanya atas dasar hadis Nabi s.a.w:

من قرأ القرآن فليسأل الله به فإنه سيجيء أقوام يقرؤون القرآن يسألون به الناس

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran maka mintalah akan (pahalanya) daripada Allah kerana akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran lalu mereka meminta upahnya kepada manusia”. [al-Tarmizi, hasan].

Ini kerana sekadar membaca al-Quran tidaklah memberi faedah yang besar kerana Paderi Krsitian dan Pendeta Yahudi juga boleh belajar tarannum dan membaca al-Quran bahkan terbukti dalam sejarah Islam, kaum yang pertama menterjemah al-Quran ke bahasa asing adalah kaum Paderi Sepanyol.

Apa yang memberi faedah adalah ilmu tafsir al-Quran dan memahami isi kandungannya dan hukum hakam yang terkandung dalamnya. Sabda Nabi s.a.w berkenaan kaum Khawarij:

إنَّ هذا وأصحابه يقرؤون القرآن لا يجاوز حناجرهم ، يمرقون من الدين كما يمرق السَهَمُ من الرَّمِيَّةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia ini dan pengikut-pengikutnya membaca al-Quran tidak lepas daripada kerongkong mereka, mereka terkeluar daripada agama sebagaimana meluncurnya anak panah daripada busurnya”. [Muttafaq ‘Alaih]

Lebih dari itu, pertandingan al-Quran yang berlangsung di negara kita ini khasnya terdapat unsur-unsur maksiat yang nyata seperti percampuran lelaki dan wanita, alat-alat muzik dan nyanyian wanita yang haram, tabarruj di mana para wanita termasuk Qariah memakai perhiasan yang melampau di hadapan lelaki ajnabi. Para Ulama juga melarang wanita ajnabi mengeraskan suara (membaca dengan kuat) pada bacaan al-Quran di hadapan lelaki ajnabi. Berkata Syeikh Daud al-Fatani r.h: “dan adapun mengangkatkan suaranya (wanita) dengan membaca Quran di dalam sembahyang atau diluarnya makruh mutlaqan (secara mutlak)”. [Furu’ al-Masail, 1/56]. Berkata Syeikh Zainuddin al-Fatani r.h: “(masalah) Haram atas perempuan itu mengangkatnya suara dengan bang bersalahan mengangkat suara pada baca Quran maka yaitu makruh..” [Kasyful Lisam ‘an Asilatil Anam, 1/23].

Perlawanan Gusti, Seni Pertahanan Diri, Berenang, Lumba Lari:

Harus berlawanan gusti dan seni pertahanan diri yang mubah (yang tidak ada unsur-unsur haram yang lain) tanpa ganjaran sebagaimana dalam hadis:

عن سعيد بن جبير قال: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم بالبطحاء فأتى عليه يزيد بن ركانة أو ركانة بن يزيد ومعه عير له فقال له: يا محمد هل لك أن تصارعني ؟ فقال ما تسبقني أي ما تجعله لى من السبق قال: شاة من غنمي، فصارعه فصرعه فأخذ الشاة، فقال ركانة: هل لك في العود ؟ ففعل ذلك مرارا، فقال يا محمد ما وضع جنبى أحد إلى الارض، وما أنت بالذى تصرعنى فأسلم ورد النبي صلى الله عليه وسلم عليه غنمه

Maksudnya: “Daripada Said bin Jubair r.h kata beliau: Adalah Nabi s.a.w berada di Batha’ lalu datang kepada baginda Yazid bin Rukanah atau Rukanah bin Yazid bersama dengannya kambing-kambingnya lalu berkata: “Wahai Muhammad, adakah mahu engkau bergusti denganku? Maka berkata Nabi s.a.w: Apakah yang hendak kamu jadikan sebagai ganjaran? Jawabnya: Seekor kambing daripada kambingku ini. Maka mereka pun bergusti lalu baginda Nabi s.a.w berjaya mengalahkannya dan mengambil kambing itu. Berkata Rukanah: Mahukah engkau ulang lagi (perlawanan)? Maka mereka pun bergusti beberapa kali lalu dia berkata: Wahai Muhammad, tidak pernah ada sesiapa yang pernah mengalahkan aku dan engkau sebenarnya (dari segi luaran) bukanlah lawanku lalu dia memeluk Islam dan Nabi s.a.w mengembalikan kambingnya”. [Hadis Mursal Sahih dikeluarkan Abu Daud, dikeluarkan bersambung dalam kitab al-Sabq li Abu Syeikh].

Hadis ini jika kita lihat sekali maka zahirnya harus bertaruh dalam gusti mengambil ganjaran namun dalam keterangan ini, Nabi s.a.w telah mengembalikan semula ganjaran yang baginda peroleh kepada Rukanah r.a dan baginda Nabi s.a.w dalam peristiwa ini berlawanan untuk menarik minat Rukanah kepada Islam maka ianya termasuk dalam Jihad. [al-Furuk, 7/434, al-Bayan, 7/423].

Namun, Ulama al-Syafiiah Iraq dan tarjih al-Nawawi menyatakan harusnya mengambil ganjaran dalam bergusti kerana berpegang dengan zahir hadis ini di mana Nabi s.a.w meminta ganjaran daripada Rukanah r.a semasa dia mengajak Nabi s.a.w bergusti dan baginda mengambil ganjaran itu setelah menang namun baginda mengembalikannya kerana menjinakkan hatinya yang baharu memluk Islam. [al-Bayan, 7/422-423, Raudah al-Tolibin 10/351].

Pada pandangan kami, harus mengambil ganjaran dalam bergusti dan perlawanan seni mempertahankan diri kerana ianya merupakan jenis alatan jihad juga bahkan ianya sangat-sangat berguna untuk berjihad maka diqiaskan dengan lumba kuda, unta, dan memanah juga.

Tanbih: Gusti yang diadakan sekarang yang membawa kecederaan kepada pemain dan membawa kerosakan tubuh badan adalah haram kerana Islam melarang perkara yang membawa kemudaratan sebagaimana dalam hadis:

لا ضَرَرَ ولا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudarat dan memudaratkan” [Malik].

Oleh itu, Majmak Fiqh Rabitah al-Alam al-Islami pada persidangan yang ke-10 tahun 1987M telah mengeluarkan fatwa haramnya gusti yang ada sekarang seperti WWF dan TNA Wrestling dan seumpamanya. [Taudih al-Ahkam, 6/459 dan selepasnya].

Harus lawan renang dan lumba lari dan lumba jalan kaki tanpa ganjaran:

وتجوز المسابقة على الأقدام والسباحة في الماء والصراع بلا عوض والأصح المنع بالعوض

Maksudnya: “dan harus berlumba kaki, berenang dalam air, dan bergusti tanpa ganjaran dan dilarang dengan ganjaran”. [Kifayatul Akhyar, m.s 538].

Berkenaan dengan gusti telah kita jelaskan yang rajih adalah harus dengan ganjaran, adapun lumba kaki sama ada berlari atau berjalan harus tanpa ganjaran sebagaimana dalam hadis:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا كَانَتْ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فِى سَفَرٍ قَالَتْ فَسَابَقْتُهُ فَسَبَقْتُهُ عَلَى رِجْلَىَّ فَلَمَّا حَمَلْتُ اللَّحْمَ سَابَقْتُهُ فَسَبَقَنِى فَقَالَ « هَذِهِ بِتِلْكَ السَّبْقَةِ ».

Maksudnya: “Daripada Aisyah r.ha bahawa adalah beliau bersama Nabi s.a.w dalam safar maka berkata Aisyah: Maka aku berlumba kaki dengan baginda lalu aku mendahului baginda namun setelah aku bertambah berat badan aku berlumba lagi dengan baginda lalu baginda mendahuluiku maka baginda berkata: “Ini adalah balasan untuk perlumbaan yang dahulu”. [Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad-Sahih-].

Ulama al-Ahnaf berpandangan harus mengambil ganjaran daripada perlumbaan lari dan berjalan ini kerana dalam peperangan, diperlukan juga tentera berjalan kaki selain tentera berkuda. [al-Majmuk, 15/140, al-Bayan, 7/421-422].

Yang rajihnya pada kami tidak harus padanya ganjaran kerana Nabi s.a.w berlumba kaki dengan Aisyah r.a dan ini menunjukkan ianya bukan sejenis sukan yang utama dalam Jihad peperangan maka tidak harus padanya musabaqah dengan ganjaran.

Adapun berenang, maka harus padanya tanpa ganjaran demikian juga menyelam dan jumhur melihat tidak harus tanpa ganjaran namun yang rajihnya harus padanya ganjaran kerana ia meruapakan seni jihad yang sangat penting dan sabit dalam hadis-hadis yang sahih bahawa tentera laut itu lebih utama daripada tentera darat.

Kami juga berpandangan harus mengambil ganjaran dalam pertandingan kapal selam perang dan kapal perang kerana ianya adalah alatan untuk berperang juga dan kelajuan sesebuah kapal perang penting untuk mengejar kapal musuh dan inilah salah satu wajah (muqabil azhar) dalam mazhab al-Syafiiah. [al-Bayan, 7/422].

Adapun kapal biasa dan perahu biasa yang tidak digunakan untuk peperangan demikian juga lumba kereta dan motor yang sahih (yang bersistem) maka ianya harus dengan tanpa ganjaran, adapun dengan ganjaran tidak harus (haram). [al-Majmuk, 15/140].

Termasuk dalam jenis ini (harus tanpa ganjaran) adalah bola sepak, bola keranjang, bola jaring, bola tampar dan sebagainya kerana ia membantu ketangkasan tubuh asalkan tidak ada padanya perkara-perkara munkar seumpama pendedahan aurat, percampuran lelaki dan wanita ajnabi, mengabaikan waktu solat dan solat berjemaah. [Muzakkirah al-Fiqh, al-Usaimin, 2/264, Minhajul Muslim, al-Jazairi, m.s 278-279].

Adapun permainan ini dalam bentuk yang tersebar di alam sekarang ini dengan diadakan kelab-kelab, liga, dan sebagainya adalah haram kerana diberikan padanya ganjaran (hadiah), menghabiskan masa untuk sesuatu yang bukan matlamat dan mengabaikan matlamat lebih-lebih lagi dengan apa yang ada dalamnya daripada pergaulan bebas, pergaduhan dan permusuhan, meruntuhkan akidah al-Wala’ dan al-Bara’ dan lain-lain maksiat yang jelas pada semua kaum muslimin. [Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, al-Tuwaijiri, m.s 797, Fatwa Lajnah Daimah, 15/194].

Pertandingan dan Peraduan yang Dilarang Secara Mutlak:

Beberapa jenis permainan yang tidak memberi manfaat sama ada kepada agama mahupun kesihatan tubuh badan maka ianya adalah diharamkan syarak sama ada diambil padanya ganjaran mahupun tidak.

Demikian juga semua jenis permainan dan pertandingan yang berlaku padanya perkara yang diharamkan maka ianya haram seperti pendedahan aurat, percampuran lelaki dan wanita, unsur perjudian dan lain-lain. [Taudih al-Ahkam, 6/464, Muzakkirah al-Fiqh, 2/263].

Antara beberapa permainan yang dibahaskan Ulama adalah:

Pertama: Nard (Dadu). Haram bermain dadu sama ada dengan ganjaran mahupun tidak kerana telah sahih hadis daripada Nabi s.a.w:

عن بريدة أن النبي – صلى الله عليه وسلم – قال: «من لعب بالنردشير فكأنما صبغ يده في لحم خنزير ودمه»

Maksudnya: “Daripada Buraidah bahawa Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa bermain Nardasyir maka seolah-olah dia mencelup tangannya ke dalam daging dan darah babi”. [Muslim, Abu Daud].

Ini kerana telah ghalib bermain dadu adalah dengan qimar (judi) maka diharamkan walaupun tidak ada judi. Inilah mazhab keempat-empat Imam Mazhab dan khilaf dalam masalah ini daif tidak dapat melawan hadis Nabi s.a.w di atas. Maka dihubungkan juga dalam jenis ini bermain daun terup walaupun tanpa pertaruhan adalah haram. [Syarah Sahih Muslim li al-Nawawi, 7/446, Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 32/242].

Kedua: Catur. Haram bermain catur walaupun tanpa pertaruhan di sisi Jumhur Ulama kerana catur itu permainan yang sia-sia yang menyebabkan pemainnya mengucapkan kalimah dusta seperti kata: ‘Aku makan gajah ini’, ‘Check Mate’ (Check Mate berasal daripada kalimah Arab: Shah Mat  شاة مات yakni raja mati), ‘Aku bunuh kau’ dan seumpamanya yang sebenarnya tiada hakikat. [al-Bayan, 13/287-288].

Saidina Ali bin Abi Talib r.a apabila melalui orang yang bermain dengan catur maka dia akan membacakan firman Allah Taala:

مَا هَذِهِ التَّمَاثِيلُ الَّتِي أَنتُمْ لَهَا عَاكِفُونَ

Maksudnya: “Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?”[al-Anbiya’: 52].

Ini menunjukkan bahawa Saidina Ali bin Abi Talib r.a menganggap bermain catur adalah seumpama memuja berhala kerana bidak catur itu merupakan patung-patung. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 32/242, al-Bayan, 13/287].

Imam al-Baihaqi r.h telah meriwayatkan ijmak Sahabat akan haramnya bermain catur daripada Ali r.a, Aisyah r.ha, Ibn Umar r.hma, Abu Musa r.a, dan Abu Said r.a dan tiada sahabat lain yang menyalahi pendapat mereka ini. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 32/240-241].

Haramnya bermain catur secara mutlak ini adalah Mazhab al-Hanabilah, al-Malikiah, dan pilihan al-Ruyani dan al-Hulaimi daripada Ashab kita al-Syafiiah, adapun yang zahir dalam Mazhab al-Syafiiah dan al-Hanafiah serta sebahagian al-Malikiah adalah Makruh bermain catur jika tiada padanya unsur-unsur judi, ganjaran, dan percakapan yang sia-sia. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 35/269-271].

Maka dengan ini, Ulama telah ijmak bahawa bermain catur adalah dilarang dalam syariat dan larangan itu adalah Tahrim (haram) jika ada padanya perjudian atau pertaruhan, dan jika tiada padanya pertaruhan ulama berbeza berkenaan jenis larangan antara Makruh atau Tahrim. Dalam keadaan ini, tidak penting untuk kita berbalah panjang kerana Ulama atas semua keadaan sepakat bermain catur itu tercela pada syariat. Wallahua’lam.

Ketiga: Peraduan Laga Haiwan. Para Ulama telah ijmak haramnya melaga haiwan sama ada dengan pertaruhan atau tidak seperti sabung ayam, laga lembu, dan lain-lain bentuk penderaan terhadap haiwan. Berkata Syeikh Najib al-Muti’i:

وأما السبق بنطاح الكباش ونقار الديكة، فهو أسفه أنواع السبق وهو باطل لا يختلف أحد من أهل العلم

في عدم جوازه

Maksudnya: “dan adapun berlawan melaga kibasy dan sabung ayam maka ia adalah permainan yang paling dungu dan ianya batil (haram) tidak ada perbezaan langsung daripada Ahli Ilmu berkenaan ketidak harusannya (keharamannya)”. [al-Majmuk, 15/141].

Dalam hadis:

عن ابن عمر «أن النبي – صلى الله عليه وسلم – لعن من اتخذ شيئًا فيه الروح غرضًا»

Maksudnya: “Daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w melaknat sesiapa yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran (tandingan)”. [Muttafaq ‘Alaih].

Hadis ini melarang kita jadikan haiwan yang bernyawa sebagai sasaran menembak dan memanah (bukan tujuan untuk berburu) kerana ia satu bentuk penyiksaan terhadap haiwan maka dihubungkan jika melagakan antara haiwan juga.

Dalam hadis mursal daripada Mujahid r.h:

نَهى رسولُ الله -صلى الله عليه وسلم- عن التحريش بين البهائم

Maksudnya: “Rasulullah s.a.w melarang melaga-lagakan haiwan”. [Abu Daud & al-Tarmizi].

Hukum Peraduan Beli & Menang:

Telah tersebar luas dalam masyarakat hari ini peraduan beli dan menang seperti peraduan ‘Jutawan Power Root’ di mana sesiapa yang berjaya membeli barangan Power Root yang ada tanda tertentu pada penutup tin atau pembalut serbuk minuman akan diberi hadiah yang mencecah RM 1juta.

Berikut Fatwa Ulama berkenaan masalah ini:

Pertama: Syeikhul Islam wa Muftil Anam al-Allamah Ibn Baz rahmatullahi ‘alaih (Mufti Arab Saudi terdahulu):

ومن المعاملة الداخلة في القمار وفي بيع الغرر ما حدث في هذا العصر من وضع بعض الشركات والتجار جوائز خفية في بعض السلع التي يراد بيعها طمعا في استنزاف ثروات المسلمين وترغيبا لهم في شراء السلع المشتملة على الجوائز بأغلى من ثمنها المعتاد والاستكثار من تلك السلع . رجاء الظفر بتلك الجوائز , ولا ريب أن هذه المعاملات من الميسر ومن بيع الغرر; لأن المشتري يبذل ماله الكثير رجاء مال مجهول لا يدري هل يظفر به أم لا وهذا من الميسر وبيع الغرر الذي حذر الله ورسوله منه.

Maksudnya: “dan antara muamalat yang termasuk dalam jenis qimar (judi) dan jual beli gharar (tipu) apa yang berlaku di zaman ini sebahagian syarikat dan peniaga meletakkan hadiah tersembunyi dalam barangan jualan mereka kerana tamak untuk menghirup harta kaum muslimin dan menggalakkan mereka memberi barang jualan yang ada padanya hadiah dengan harga yang lebih daripada kebiasaan dan pembeli akan membeli dengan banyak barangan tersebut dengan harapan akan memperoleh hadiah-hadiah itu. Tidak ragu-ragu lagi bahawa muamalat ini termasuk maisir (judi) dan jual beli gharar kerana pembeli membelanjakan hartanya yang banyak untuk memperoleh harta yang majhul tidak pasti sama ada dia akan memperolehnya atau tidak dan inilah judi dan jual beli gharar yang dilarang Allah dan RasulNya…” [Majmuk Fatawa Ibn Baz, 4/201, lihat juga 5/241].

Kedua: Al-Lajnah al-Daimah lil Buhus wal Fatawa (Majlis Fatwa) Kerajaan Arab Saudi:

“Soalan: Terdapat beberapa syarikat menjual barang makanan di Amerika apabila engkau membeli barang daripadanya dia akan memberi beberapa nombor yang tidak dikenalpasti, setelah berjaya menghimpun nombor tertentu yang ditetapkan pihak syarikat maka engkau akan diberi hadiah berbentuk sejumlah wang. Adakah harus bagi orang Islam mengambil hadiah ini kerana diketahui dia tidaklah membayar sedikit pun (untuk mendapat hadiah) bahkan hanya dengan dia membeli barangan atau mengunjugi kedai itu dia diberi nombor-nombor yang berkemungkinan akan beroleh hadiah?.

Jawapan: Jika keadaan seperti yang kamu sebutkan maka tidak boleh (haram) kamu mengambil hadiah yang diberikan kedai ini dengan sebab engkau membeli atau mengunjugi kedai ini dan engkau memilih nombor yang engkau tidak ketahui dan diketahui setelah dipilih kerana ini adalah judi dan diketahui haramnya melalui al-Kitab (al-Quran), al-Sunnah, dan Ijmak Ulama. Wabillahit Taufiq wa Sallallahu ‘ala Nabiyyina Muhammad wa ‘ala Alihi wa Sohbihi wa Sallam.” [Fatwa Lajnah Daimah, 15/191 dan lihat juga fatwa selepasnya].

Ketiga: Syeikh Abdullah bin Sulaiman bin al-Mani’ Hafizahullah (Anggota Kibar Ulama Saudiah):

“Soalan: Sebuah syarikat membuat tisu untuk tujuan promosi telah meletakkan dalam sebahagian kotak tisu kad yang memberi hadiah yang bernilai kepada sesiapa yang mendapatnya. Adakah harus mempromosi cara ini? Jazakumullah al-Khair.

Jawapan: Jika hadiah ini adalah hadiah yang bernilai tinggi dan diumumkan bahawa dalam sebahagian kotak tisu ini ada hadiah yang bernilai tinggi dan ini menjadikan mereka yang terkesan akannya membeli tisu ini dengan banyak bukan kerana hendak menggunakannya tetapi dengan harapan memperoleh hadiah daripadanya, kami katakan ini adalah tidak harus (haram) dan ini adalah peraduan yang haram yang sebahagian daripadanya jelas adalah judi dan sebahagian lagi terdapat persamaan yang kuat dengan judi dan seumpamanya dan ini termasuk peraduan yang haram dan dilarang. Nabi s.a.w bersabda:

إنّ الحلال بيِّن ، وإن الحرام بيِّن ، وبينها أمور مشتبهات لايعلمهن كثير من الناس ، فمن اتقى الشبهات ، استبرأ لدينه وعِرْضهِ ، ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام

Maksudnya: “Sesungguhnya halal itu jelas dan sesungguhnya haram itu jelas dan antara keduanya terdapat perkara-perkara samar yang tidak diketahui kebanyakan manusia, maka sesiapa menjauhi syubhat dia telah memelihara agama dan maruahnya dan sesiapa yang terjebak dalam perkara syubhat dia telah terjebak dalam perkara haram…” [al-Bukhari & Muslim daripada al-Nu’man bin Basyir r.hma].

Adapun jika hadiah ini hadiah yang tidak seberapa dan tidak diwar-warkan berkenaannya sehingga manusia membelinya dengan berlebihan untuk mendapatkan hadiah bukan kerana keperluan atau kegunaan maka kami katakan: Jika tiada semua ini maka tidak mengapa”. [ http://www.islamtoday.net/fatawa/quesshow-60-36382.htm ].

Keempat: Syeikh Soleh al-Usaimin r.h:

Syeikh Soleh al-Usaimin r.h meletakkan dua syarat untuk dibolehkan sistem beli dan menang ini:

Pertama: Hendaklah harga barangan yang dijual ini adalah harga yang sama jika tidak dikenakan hadiah.

Kedua: Hendaklah yang membeli barangan itu membelinya kerana keperluan bukan kerana hendak memperoleh hadiah.

Dan demikian juga Syeikh Soleh al-Usaimin r.h menyatakan jika hadiah itu diletakkan secara berasingan seumpama kupon yang perlu dikumpul barulah mendapat hadiah maka ini adalah haram kerana dengan pasti akan menjadikan pembeli membeli barangan ini dengan tujuan mendapat hadiah dan boleh jadi dia peroleh bahagian yang diperlukan maka dia untung atau tidak maka dia rugi. [  http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1148980344169 ]

Kesimpulan: Hasil daripada fatwa para Ulama ini, kita dapati permainan yang sedang tersebar meluas sekarang ini seperti ‘Jutawan Power Root’ adalah haram kerana akan menyebabkan pembeli membeli produk ini untuk mengumpul kupon atau tanda yang ada dalam bekas minuman atau kertas pembalut untuk mendapatkan hadiah bukan kerana keperluan sebenar mereka.

Maka dipohon kepada pihak berkuasa agama negara ini – Waffaqahumullah – untuk mengambil tindakan lanjut (bukan lembap) terhadap perjudian moden yang semakin meluas ini lebih-lebih lagi pihak Mufti, janganlah terlalu sibuk menceburkan diri dalam fitnah politik lalu lupa masalah hukum hakam agama yang daruri ini. Wallahua’lam.

Tanbih:

Sebagai penutup perlu diingatkan bahawa apabil kita menyatakan tidak harus mengambil ganjaran dalam pertandingan kecuali alatan perang atau bermanfaat untuk jihad maka segala pertandingan yang harus untuk kesihatan badan yang tidak dibenarkan padanya ganjaran maka tidak dibenarkan padanya ganjaran sama ada yang membawa kepada judi mahupun tidak, sama ada dikeluarkan oleh salah seorang peserta atau dikeluarkan pihak ketiga seperti penganjur. Maka jika diadakan liga bola sepak misalnya dengan diberi hadiah kepada pemenang oleh pihak persatuan atau kerajaan misalnya tetap tidak harus (haram). [Fatawa Ulama’ Baladil Haram, m.s 790-791, Fatawa al-Lajnah al-Daimah lil Buhus wal Ifta’ Arab Saudi, 15/194, ]

[dan lihat juga: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1147955883031  ].

2 Respons to “FIQAH AL-MUSABAQAH”

  1. abuabdullah Ogos 15, 2009 pada 12:07 am #

    salam: ana lihat Islam telah melengkapkan umat ini dari pelbagai aspek..dari sekecil2 urusan sehinggalah urusan jihad.Apabila direnungi dan difikirkan kembali,seandainya umat Islam@negara2 Islam beramal dng hadith2ni,berkemungkinan besar negara2 Islam mampu menghasilkan jentera2 peperangan yang terbaik..berkemungkinan umat Islam memiliki kapal perang,kapal selam dan jet perang yang tepantas..ini tdak mustahil.tapi sebaliknya hari ini dunia islam sngt lemah sehinggakan kelengkapan senjata pun masih mengharapkan teknologi barat..sedangkan jumlah umat Islam yg ramai sudah mampu nak bina senjata sendiri..seandainya negra2 Islam bergabung tenaga dan kewangan utk membangunkan teknologi senjata..tak perlu lagi mengharapkan teknologi barat.. dlm keadaan umat islam yg serba lemah ni…ade pula pihak yg mahu menyibukkan mereka dgn musabaqah yg kurang manafa’at dan bertentangan dgn syarak.musabaqah yg diadakan tidak lain adalh semata2 menyibukkn mereka dr urusn agama mereka dan lebih kpd habuan dunia semata2.

  2. mashoori Ogos 15, 2009 pada 12:06 pm #

    Salam.
    Kita berdakwah sekadar apa yang kita mampu janganlah menjadi syaitan bisu yang hanya berpeluk tubuh dan jangan pula menjadi pendakwah di atas pintu neraka aktif berdakwah tetapi menyebarkan bidaah yang sesat-nauzubillah min zalika kullih.
    Terima kasih atas nasihat dan cadangan, semoga Allah memberkati pihak pengomentar dan menetapkan beliau dan kita semua atas manhaj salafi..ameen.
    setakat ini, yang saya termampu hanyalah blog ini dan ceramah2 di serata pulau pinang. dan selepas ini mungkin hanya blog ini sahaja yang mampu saya jadikan senjata dakwah memandangkan akan merantau ke tempat suci.doa2kan lah pihak blogger untuk bertambah kuat lagi dalam usaha dakwah setelah pulang nanti. wallahua’lam bis sawab.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: