AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH BUKAN KHAWARIJ

20 Jul

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah kaum muslimin yang berpegang teguh dengan ajaran Islam yang diwariskan Rasulullah s.a.w kepada sahabat baginda ridwanullahi alaihim ajma’in tanpa mengurang atau menambah kepadanya daripada diri mereka sendiri. Namun, tidaklah bermakna Ahlis Sunnah wal Jamaah ini adalah kaum yang semuanya mereka itu soleh tidak berdosa bahkan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah berkeyakinan penuh bahawa tidak ada yang maksum (terpelihara daripada dosa) keculai para Rasul dan Nabi serta Malaikat.

Atas sebab mereka ini adalah kaum yang menjadi tonggak Islam dan masdar kepada hukum hakam syariat Islam maka tidak sunyi tuduhan dan tohmahan jahat dilemparkan kepada mereka oleh kaum kafir yang kemudian disambut dan disambung oleh kaum jahil dalam kalangan kaum Muslimin terutama Ahli Bidaah.

Kaum bidaah semakin hari semakin lemah untuk menjatuhkan Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada luar bahkan mereka semakin berputus asa kerana Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah terpelihara daripada sebarang cubaan jahat musuh mereka sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق ، لا يضرُّهم مَن خَذَلهم حتى يأتيَ أمْرُ الله وهم كذلك

Maksudnya: “Tidak akan lekang satu kelompok daripada umatku terus zahir di atas kebenaran, tidak akan memudaratkan mereka akan orang yang mencerca mereka sehinggalah datangnya perintah Allah (kiamat) dan mereka berada dalam keadaan itu (menegakkan kebenaran)”. [Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi].

Setelah mereka menyedari mereka tidak akan berjaya melemahkan dakwah Salafiah (Ahlus Sunnah wal Jamaah) dengan cercaan dan tohmahan mereka, para kaum bidaah ini telah mengorak langkah berani dengan menyamar dan menyusup masuk ke dalam saff dakwah salafiah. Ini adalah langkah biasa yang digunakan kaum sesat untuk merosakkan kebenaran sebagaimana yang telah dilakukan Abdullah bin Saba’ al-Yahudi setelah mereka gagal menghancurkan dakwah Islam dengan senjata dan pedang, mereka menyusup masuk ke dalam saff dakwah lalu membuat porak peranda sehingga muncul lah anak-anak ayam mereka yang dikenali sebagai Ahli Bidaah wal Furqah yang menyelisihi Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w telah pun memberi ingat akan kemunculan kelompok ini sebagaimana dalam sabda baginda:

أَلاَ إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ افْتَرَقُوا عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ ثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِى النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ وَهِىَ الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Bahawa mereka sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada 72 puak dan sesungguhnya agama ini (umat Islam) akan berpecah kepada 73 puak, 72 puak berada di neraka dan satu puak di syurga iaitulah al-Jamaah”. [Abu Daud dan Ahmad].

Nabi s.a.w berpesan supaya kita mengikut al-Jamaah yakni para Sahabat baginda ridwanullahi ‘alaihim sebagaimana dalam hadis al-Tarmizi yang menjelaskan satu golongan yang terselamat di syurga ini sebagai:

ما أنا عليه وأصحابي

Maksudnya: “Apa yang aku dan para Sahabatku berada atasnya”. [al-Tarmizi].

Jelas dalam hadis ini, mereka yang dinamakan sebagai al-Firqah al-Najiah (Puak yang terselamat), al-Taifah al-Mansurah (Kelompok yang diberi pertolongan Allah), dan Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah mereka yang mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda ridwanullahi ‘alaihim dalam memahami dan mengamalkan agama Islam yang murni ini.

Allah Taala tidak pernah memungkiri janjiNya demikian juga Rasulullah s.a.w tidak pernah tersalah dalam menyampaikan Syariat Islam ini, benarlah Allah dan RasulNya, walaupun terdapat golongan Ahli Bidaah yang cuba menyamar menjadi musang berbulu ayam dalam barisan dakwah Ahlus Sunnah wal Jamaah, lambat laun kejahatan mereka akan terdedah juga.

Dewasa ini, kita dapat melihat ramai yang dahulunya melaung-laungkan slogan dakwah salafiah hari ini telah mula menampakkan wajah sebenar mereka dengan melaungkan slogan Khawarij pula. Ahli Bidaah tidak akan dapat bertahan lama berada dalam saff dakwah salafiah kerana mereka seolah-olah duduk di atas bara, lama kelamaan akan melompat juga.

Berintima’ atau menasabkan diri kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah bukan sekadar menamakan diri sebagai ‘al-Salafy’, atau ‘al-Atsary’, atau sekadar menerima sifat-sifat Allah Taala tanpa takwil dan ta’thil bahkan ianya memerlukan penerimaan penuh terhadap semua usul dan kaedah Manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah sama ada dalam Akidah, Ibadat, Akhlak, Muamalat, Sosial, dan Politik.

Allah Taala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. [Al-Baqarah: 208].

Allah Taala mencela mereka yang beriman dengan sebahagian dan menolak sebahagian lagi:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “..Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian Yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke Dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [al-Baqarah: 85].

Sikap menerima sebahagian kebenaran yang sesuai dengan hawa nafsu dan menolak kebenaran selebihnya yang tidak sesuai dengan hawa nafsu adalah sikap Ahli Kitab Nasarani dan Yahudi yang dicela oleh Allah Taala, dan mereka yang meniru sikap ini adalah tercela dan merekalah Ahli Bidaah wal Furqah kerana ciri pertama Ahli Bidaah itu adalah meniru cara hidup dan sikap kaum kafir.

Mereka yang menerima sebahagian Manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah dan menolak sebahagian yang lain adalah Ahli Bidaah kerana sikap seperti ini meniru sikap kaum kafir dan semua bentuk peniruan terhadap kaum kafir yang dicela adalah Bidaah Dolalah, maka dakwaan sesetengah kaum kononnya kita tidak boleh menghukum seseorang sebagai Ahli Bidaah selagi dia tidak melanggar keseluruhan atau sebahagian besar Manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah dakwaan yang mazhab yang bidaah.

Para Ulama telah menetapakan bahawa seseorang akan dihukum terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah jika dia ingkar akan salah satu daripada:

Pertama: Usul daripada Usul-usul Ahlus Sunnah

Kedua: Kaedah daripada Kaedah-kaedah Ahlus Sunnah

Ketiga: Beberapa banyak perkara furuk yang disepakati Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Maka jika seseorang itu mengingkari satu Usul atau satu Kaedah atau beberapa perkara furuk yang telah diterima Ahlus Sunnah wal Jamaah secara ijmak maka dia terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah dan jadilah dia Ahli Bidaah.

Antara Usul yang telah disepakti dan diterima dengan sepakat oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah haram memberontak terhadap pemerintah Muslim walaupun mereka itu fasiq dan zalim. Ini adalah Usul yang sangat besar dan utama yang membezakan antara Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan firqah al-Khawarij yang keluar memberontak dan mengkafirkan pemerintah muslim atas sebab dosa atau kesalahan yang bukan kufur.

Berkata Imam al-Tahawi r.h:

وَلَا نَرَى الْخُرُوجَ على أَئِمَّتِنَا وَوُلَاة أُمُورِنَا، وَإِنْ جَارُوا، وَلَا نَدْعُو عَلَيْهِمْ، وَلَا نَنْزِعُ يَدًا مِنْ طَاعَتِهِمْ، وَنَرَى طَاعَتَهُمْ مِنْ طَاعَة الله عَزَّ وَجَلَّ فَرِيضَة، مَا لَمْ يَأْمُرُوا بِمَعْصِيَة، وَنَدْعُوا لَهُمْ بِالصَّلَاحِ وَالْمُعَافَاة

Maksudnya: “dan kami tidak menerima memberontak kepada pemimpin dan pemerintah kami walaupun mereka berlaku zalim dan kami tidak akan mendoakan kejahatan atas mereka dan kami tidak akan tangan daripada mentaati mereka (memungkiri baiah) dan kami berpendapat mentaati mereka adalah termasuk mentaati Allah Azza wa Jalla dan satu kefarduan selama mana mereka tidak menyuruh melakukan kemaksiatan, dan kita mendoakan mereka dengan kebaikan dan keampunan”. [Syarah al-Aqidah al-Tahawiah, 1/371].

Berkata Imam Sufian al-Sauri r.h kepada muridnya Syuaib bin Harb r.h:

يا شعيب لا ينفعك ما كتبت حتى ترى الصلاة خلف كل بر وفاجر ، والجهاد ماضيا إلى يوم القيامة ، والصبر تحت لواء السلطان جار  أم عدل

Maksudnya: “Wahai Syuaib tidak akan memberi manfaat kepadamu apa yang engkau tulis sehingga engkau berpendapat harusnya solat di belakang semua Imam sama ada yang baik mahupun yang zalim, dan jihad belaku sehingga hari kiamat dan sabar di bawah pemerintahan sultan yang zalim atau pun adil”. [Syarah Usul Iktiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah, 1/305].

Berkata Imam al-Barbahari r.h:

ولا يحل قتال السلطان ولا الخروج عليه وإن جار وذلك لقول رسول الله صلى الله عليه و سلم لأبي ذر الغفاري اصبر وإن كان عبدا حبشيا وقوله للأنصار اصبروا حتى تلقوني على الحوض وليس من السنة قتال السلطان فإن فيه فساد الدنيا والدين

Maksudnya: “Dan tidak halal memerangi pemerintah dan memberontak kepadanya walaupun dia berlaku zalim berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w kepada Abu Zarr al-Ghifari r.a: ‘Sabarlah walaupun dia itu seorang hamba habsyi’, dan sabda baginda kepada Ansar: ‘Sabarlah kalian sehingga kalian bertemu denganku di Haud’, dan bukanlah daripada Sunnah memerangi pemerintah kerana sesungguhnya pada perbuatan itu kerosakan dunia dan agama”. [Syarhus Sunnah, m.s 29].

Dasar Usul Ahlis Sunnah wal Jamaah ini adalah beberapa hadis Nabi s.a.w antaranya:

اسمع وأطع ، في عسرك ويسرك ، ومنشطك  ومكرهك ، وأثرة  عليك ، وإن أكلوا مالك ، وضربوا ظهرك

Maksudnya: “Dengar dan Taatlah dalam susah dan senangmu, keadaan rela dan terpaksa, dan dalam keadaan yang memudaratkan kamu dan jika mereka merampas harta mu sekalipun dan memukul belakangmu”. [al-Sunnah, Ibn Abi Asim].

Dalam hadis Sahih Muslim daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a Nabi s.a.w bersabda:

تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ

Maksudnya: “Hendaklah kamu mendengar dan mentaati pemerintah walaupun dia memukul belakangmu dan merampas hartamu, maka dengar dan taatlah”.

Dalam hadis Muslim juga:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِىَ وَتَابَعَ ». قَالُوا أَفَلاَ نُقَاتِلُهُمْ قَالَ « لاَ مَا صَلَّوْا ».

Maksudnya: “Daripada Ummu Salamah r.ha bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Akan ada pemimpin-pemimpin yang kamu kenal kemungkaran mereka itu dan kamu ingkar akannya maka sesiapa yang mengenali kemungkaran mereka akan terlepas (daripada terjebak dalamnya) dan sesiapa yang ingkar maka dia selamat, tetapi sesiapa yang reda dan mengikut (maka dia binasa)’. Kata para Sahabat: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: ‘Tidak boleh selagi mereka bersolat’.”

Dalam hadis Sahih Muslim juga:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِنَّهَا سَتَكُونُ بَعْدِى أَثَرَةٌ وَأُمُورٌ تُنْكِرُونَهَا ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَأْمُرُ مَنْ أَدْرَكَ مِنَّا ذَلِكَ قَالَ « تُؤَدُّونَ الْحَقَّ الَّذِى عَلَيْكُمْ وَتَسْأَلُونَ اللَّهَ الَّذِى لَكُمْ ».

Maksudnya: “Daripada Abdullah kata beliau: Bersabda Rasulullah s.a.w: ‘Sesungguhnya akan berlaku selepasku beberapa peristiwa dan kejadian yang kamu ingakr akannya’. Mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana perintahmu jika ada antara kami yang mendapati keadaan itu? Jawab baginda: ‘Kamu tunaikan hak yang ada atas kamu dan kamu mintalah hak kamu kepada Allah’.”

Banyak sekali hadis-hadis berkenaan hal ini dan Ahlus Sunnah wal Jamaah juga telah ijmak beramal dengannya dan semua hadis-hadis ini muhkam bukan mansukh sebagaimana dakwaan sesetengah Ahli Bidaah. Dalil hadis-hadis muhkam adalah amalan para Sahabat dan Tabiin serta Tabi Tabiin akannya misalnya hadis Nafi’ Maula Ibn Umar r.hma:

لَمَّا خَلَعَ أهلُ المدينَة يَزِيدَ بْنَ مُعاوِيَةَ جَمَعَ ابْنُ عُمرَ حَشَمَهُ وَوَلَدَهُ ، وقال : سمعتُ رسولَ الله -صلى الله عليه وسلم- يقول : «يُنصَبُ لِكُلِّ غَادِرٍ لِواءٌ يومَ القيامَةِ ، وإِنَّا قد بَايَعْنا هذا الرجلَ على بيعِ اللهِ ورسولِهِ ، وَإِنِّي لا أعلَمُ غَدْرا أَعْظمَ مِن أن يُبَايَعَ رَجُلٌ على بَيْعِ اللهِ ورسولِهِ ، ثُم يُنصَبَ له القتالُ ، وإني لا أعلم أحدا منكم خَلَعَه ، ولا بَايَعَ في هذا الأمر ، إلا كانت الفَيْصَل بيني وبينه

Maksudnya: “Apabila penduduk Madinah memberontak kepada Yazid bin Muawiyah Ibn Umar menghimpun semua keluarganya dan anaknya seraya berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersanda: ‘Ditegakkan bagi setipa pengkhianat bendera di hari kiamat dan sesungguhnya kita telah membaiat lelaki ini (Yazid) dengan Baiat Allah dan RasulNya dan sesungguhnya aku tidak tahu apakah ada khianat yang lebih besar daripada seseorang membaiat dengan baiat Allah dan RasulNya kemudian dia hendak memerangi pemerintah yang dibaitanya, dan sesungguhnya tidaklah aku ketahui seorang daripada kamu yang memberontak kepadanya dan membaiat dalam urusan ini melainkan ia menjadi pemisah antara kau dan dia”. [al-Bukhari & Muslim].

Demikian juga hadis-hadis ini merupakan nasihat dan taujih Nabi s.a.w berkenaan perkara yang akan berlaku setelah kewafatan baginda, maka Nabi manakah pula yang datang setelah baginda lalu memansukhkannya dan menukar dengan harusnya memberontak?!!

Para Sahabat ridwanullahi alaihim telah ijmak melarang dan mengingkari tindakan Saidina Husain bin Ali r.hma memberontak kepada Khalifah Yazid bin Muawiyah r.h  demikian juga mereka mengingkari pemberontakan penduduk Madinah dalam peristiwa al-Hurrah dan ini jelas menunjukkan hadis-hadis berkenaan bab ini diamalkan dan muhkam.

Jika ada pula yang mendakwa kononnya terdapat sebahagian Salaf yang memberontak maka ini menunjukkan mereka tidak ijmak dalam masalah ini. Ini adalah kekaburan yang nyata kerana kesalahan ijtihad yang nyata berlawanan dengan nas tidak memudaratkan Ijmak seperti Ijmaknya Ulama haram meliwat Isteri, ijmaknya Ulama semua yang memabukkan adalah haram sama ada diminum sedikit atau banyak, Ijmak ulama haramnya riba al-Fadl dalam jual beli dan lain-lain masalah yang terdapat qaul syaz yang tidak diambil kira sehingga tidaklah menghalang berlakunya Ijmak.

Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak akan mentaati pemerintah jika dia menyuruh melakukan sesuatu perkara maksiat sekalipun akan menyebabkan pemerintah itu berindak zalim kepada kita dengan membunuh kita pula atau memenjarakan kita dan sebagainya. Perkara ini jelas terlihat pada syaksiah Imam Ahmad bin Hanbal r.h di mana beliau telah dipaksa oleh Khalifah al-Mu’tasim untuk mengatakan al-Quran Makhluk namun beliau enggan sehingga dipenjara dan disiksa, namun beliau tidak pernah membenarkan kaum muslimin memberontak demikian juga Ulama lainnya yang sezaman dengan beliau ramai yang lari bersembunyi namun tidak ada pula antara mereka yang menyusun strategi untuk memberontak terhadap Khalifah.

Antara dalil bahawa telah berlaku Ijmak haramnya memberontak kepada pemerintah muslim adalah Ijmaknya Ulama akan harusnya diperangi kaum Bughah yakni mereka yang memberontak kepada Waliyyul Amri yang muslim walaupun pemerintah itu seorang yang zalim dan fasiq.

Dalam hadis daripada Auf bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ : الذين تُحبُّونَهُمْ ويُحبونَكُمْ ، وَتُصَلُّونَ عليهم ، ويُصَلُّونَ عليكم ، وَشِرارُ أَئِمَّتِكُمُ : الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ ، وَيُبْغِضُونَكمْ ، وتَلْعَنُونَهُم ، وَيلْعَنُونَكم» قال : قُلنا : يا رسول الله ، أفَلا نُنابِذُهم [ عند ذلك ؟] ، قال : «لا ، ما أقاموا فيكم الصلاةَ ، لا ، ما أقاموا فيكم الصلاةَ ، ألا مَنْ وَلِيَ عليهِ وَالٍ ، فرآهُ يَأْتي شَيئا مِنْ مَعصيةِ اللهِ ، فليكره ما يأتي من معصية الله، ولا يَنْزِعَنَّ يَدا من طَاعَةٍ» أخرجه مسلم.

Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cinta kepada mereka dan mereka cinta kepada kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu dan seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci kepada mereka dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Berkata Auf: ‘Kami pun berkata: Wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka ketika itu?’, Jawab baginda: ‘Tidak boleh selagi dia mendirikan solat pada kamu, tidak boleh selagi dia mendirikan solat pada kamu, sesungguhnya sesiapa yang melantik seseorang sebagai pemerintahnya lalu dia lihat pemimpinnya itu melakukan maksiat kepada Allah, bencilah maksiat pada Allah yang dilakukannya itu dan jangan sekali-kali mencabut tangan daripada ketaatan (memungkiri baiah)”. [Muslim].

Daripada Ubadah bin al-Samit r.a kata beliau:

بايعنا رسول الله – صلى الله عليه وسلم – على السمع والطاعة ، في العُسر واليُسر ، والمنْشَط ، والمكْرَه وعلى أثَرَةٍ علينا ، وعلى ألا نُنازع الأمر أهْلَهُ ، وعلى أن نقول بالحق أينما كُنّا لا نخافُ في الله لَوْمَةَ لائم.

قال : «إلا أن تَرَوْا كُفرًا بَواحًا ، عندكم فيه من الله برهان»

Maksudnya: “Kami telah membaiat Rasulullah s.a.w untuk dengar dan taat (kepada pemimpin) dalam keadaan susah, senang, rela, terpaksa, dan yang membawa kesusahan kepada kami, dan kami tidak akan merampas sesuatu urusan (pemerintahan) daripada ahlinya (yang memegang jawatan itu) dan supaya kami berkata benar di mana sahaja kami berada dan kami tidak boleh takut kerana Allah cercaan pencerca”. Kata baginda: “Kecuali jika kamu melihat (pada pemerintah) kekafiran yang jelas yang ada pada kamu di sisi Allah hujjah”. [al-Bukhari & Muslim].

Jelas dalam hadis-hadis yang sahih ini dibuktikan pula amalan para Salaf Soleh dengannya bahawa tidak boleh kita memerangi dan memberontak kepada pemerintah selagi dia seorang muslim walaupun dia melakukan maksiat kepada Allah Taala kecuali jika berlaku padanya kekufuran yang menjadikannya kafir maka hendaklah diperangi dan jika tidak mampu hendaklah berhijrah.

Kaum Bidaah berdalilkan hadis di atas ini bahawa cukuplah pemerintah itu dilihat melakukan amalan kufur maka bolehlah kita memberontak! Subhanallah! Ini adalah ucapan Khawarij tulen. Adakah cukup semata-mata kita melihat seseorang yang diyakini seorang muslim melakukan sesuatu kekufuran sudah boleh kita menghukumnya kafir dan menghalalkan darahnya?! Allaha Allah Wahai kaum muslimin…jagalah darah saudaramu! Ingat sabda Nabi s.a.w:

مَن قال لأخيه يا كافر ، فقد باء بها أحدُهما

Maksudnya: “Sesiapa berkata kepada saudaranya (yang muslim) wahai kafir maka telah kembali kalimah itu kepada salah seorang mereka”. [Riwayat al-Jamaah kecuali al-Nasai].

Tidak boleh kita menghukum seseorang muslim yang melakukan sesuatu kekufuran kecuali setelah dipastikan tiada padanya halanagn-halangan takfir seumpama kejahilan, tersalah, syubhat takwil, tergelincir lidah dan seumpanya. Jika semata-mata melihat seseorang muslim melakukan perbuatan kafir seperti kita nampak daripada kejauhan dia tuduk di hadapan kubur lalu kita hukum dia telah kafir padahal dia tunduk itu untuk mengambil barangnya yang terjatuh maka ini akan membawa bala yang besar.

Wahai Ahli Bidaah, jika kami menggunakan kaedah kamu ini dalam menghukum kafirnya seseorang maka akan dihukum kafirlah Syed Qutb, Hasan al-Banna, Yusuf al-Qardawi, Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz, dan lain-lain lagi pemimpin kamu yang tidak terlepas daripada melakukan amalan syirik atau menuturkan kalimah kufur. Namun, kami Ahlus Sunnah wal Jamaah sangat cintakan persaudaraan Islam ini kami benci untuk memutuskan tali persaudaraan ini dengan sewenang-wenangnya.

Atas fahaman siapakah kamu memahami kononnya cukuplah sekadar melihat pemimpin itu melakukan kekufuran maka dihukum padanya hilang hak memimpin dan diperangi? Di manakah slogan mengikuti Manhaj Salaf yang kamu sebelum ini laung-laungkan? Adakah ini manhaj salaf? Demi Allah, sama sekali tidak, kamu sebenar-benarnya kaum pembawa fitnah dan pada hari ini Allah Taala telah mendedahkan wajah sebenar kamu.

Ketahuilah manhaj salaf dalam bermuamalah dengan pemimpin yang zalim dan fasiq adalah menasihati mereka tanpa menjatuhkan maruah mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka dan berusaha untuk memperbaiki diri kerana kezaliman pemerintah bermula dengan kemaksiatan yang tersebar dalam rakyatnya sebagaimana yang dinyatakan Imam Ibn Abil Izz al-Hanafi r.h:

وأما لزوم طاعتهم وإن جاروا، فلأنه يترتب على الخروج من طاعتهم من المفاسد أضعاف ما يحصل من جورهم، بل في الصبر على جورهم تكفير السيئات ومضاعفة الأجور، فإن الله تعالى ما سلطهم علينا إلا لفساد أعمالنا، والجزاء من جنس العمل، فعلينا الاجتهاد في الاستغفار والتوبة وإصلاح العمل

Maksudnya: “Adapun wajib mentaati mereka walaupun berlaku zalim maka kerana memberontak dan keluar daripada ketaatan mereka itu membawa kepada kerosakan-kerosakan yang berganda berbanding kezaliman mereka, bahkan bersabar atas kezaliman mereka itu menghapuskan dosa-dosa dan menggandakan pahala, kerana sesungguhnya Allah Taala tidaklah menjadikan kekuasaan mereka atas kita melainkan kerana rosaknya amalan kita dan balasan itu setimpal dengan amalan maka wajib atas kita bersungguh-sungguh memohon ampun dan memperbaiki amalan”. [Syarah al-Tahawiah, m.s 381 tahkik al-Albani].

Firman Allah Taala:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Maksudnya: “dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” [al-Syura: 30].

Dan firman Allah Taala:

وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu).” [al-An’am: 129].

Sabda Nabi s.a.w:

ثلاث خصال لا يغل عليهن قلب مسلم : إخلاص العمل لله ، والنصيحة لولاة الأمر ، ولزوم الجماعة ، فإن دعوتهم تحيط من ورائهم

Maksudnya: “Tiga perkara yang (jika dilakukan) tidak akan mencemarkan hati muslim: “Ikhlas amalan untuk Allah, menasihati pemerintah, dan melazimi al-Jamaah maka sesungguhnya dakwah mereka mengelilingi belakang mereka”. [al-Sunnah Ibn Abi Asim, Sahih].

Sabda Nabi s.a.w:

من أراد أن ينصح لذي سلطان فلا يبده علانية ، ولكن يأخذ بيده فيخلوا به ، فإن قبل منه فذاك ، وإلا كان قد أدى الذي عليه

Maksudnya: “Sesiapa yang hendak menasihati orang yang berkuasa maka janganlah dilakukan secara terbuka (yang boleh menjatuhkan maruahnya) tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya, jika dia menerima nasihat itu maka itulah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah menunaikan tanggungjawab yang ada atasnya”. [Al-Sunnah Ibn Abi Asim, sahih].

Inilah akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, Manhaj al-Salafi yang tulen yang bersih daripada bidaah dan khurafat dan atas perkara sebeginilah Dakwah Salafiah ditegakkan iaitu untuk menegakkan Islam yang sesuai dengan Manhaj Nabawi.

Apa yang perlu diberi perhatian oleh Salafiyun, Ahlus Sunnah wal Jamaah, Ahli Bidaah mendatangkan Syubhat harusnya memecat atau menurunkan pemerintah daripada jawatannya kerana fasiq sebagai dalil harusnya memberontak.

Ini adalah talbis dan tadlis yang sangat dahsyat kerana pemecatan pemimpin melalui Ahli Syura atau Ahli al-Halli wal Aqdi tidak membawa sebarang mudarat dan mafsadah, adapun memberontak dengan senjata akan membawa kerosakan yang besar.

Maka jika terdapat Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menyatakan bahawa harusnya menukar pemerintah yang melakukan kezaliman dan kefasiqan adalah apabila dengan cara yang aman yang tidak membawa kepada kerosakan yang lebih besar dan menumpahkan darah kaum muslimin.

Sebahagian Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah sebaliknya berpendapat kefasiqan dan kezaliman sama sekali tidak menjadikan ruang untuk menukar pemerintah bahkan kita disuruh menasihatinya dan bersabar atas kezaliman tersebut sehingga Allah Taala menghilangkannya dengan diubah pemimpin itu menjadi adil atau dimatikan dan diganti dengan yang lain.

Namun, Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak berbeza pendapat jika usaha menukar pemerintah itu akan membawa kepada pertumpahan darah yang terpelihara dan fitnah yang besar maka tidak harus sama sekali memberontak kepada pemimpin itu.

Demikianlah Manhaj Salafi yang lurus, menilai baik dan buruk menurut timbangan al-Quran dan al-Sunnah bukan menurut hawa nafsu dan emosi semata-mata seperti mana kaum Khawarij yang seriang memberontak, berdemonstrasi jalanan menjejaskan kehidupan manusia seharian bahkan mencemar kesucian masjid atas sebab yang sangat remeh dan temeh misalnya bahasa apa yang patut digunakan untuk belajar  Matematik dan Sains. Sebab yang remeh ini pun menjadi alasan untuk mereka memberontak dan memprotes mencemar kesucian masjid dan menyekat kehidupan manusia lain.

Mudah-mudahan artikel ringkas dan tidak seberapa ini dapat memberi manfaat menyingkap syubhat Emran Ahmad, penulis di laman web al-Fikrah.net iaitulah laman sesawang kaum Hizbiah Khawarij Moden yang sedang berleluasa menyebarkan fitnah dan kesesatan menggunakan nama Manhaj Salafi. Mudah-mudahan Allah Taala memberi hidayah kepada kita semua dan menetapkan kita atas Manhaj Salafiah Sejati sehingga ke akhir hayat..amin.

 

RUJUKAN:

Syarah al-Aqidah al-Tahawiah, Ibn Abil Izz al-Hanafi

Al-Sunnah li Ibn Abi ‘Asim dan Takhrijnya Zilal al-Jannah oleh Syeikh al-Albani

Al-Sunnah li Imam al-Khallal

Al-Syariah lil Ajury

Syarah Usul Iktiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah oleh Imam al-Lalikaie

Al-Khilafah al-Islamiah baina Nuzumil Hukmil Mu’asir oleh Syeikh Jamal al-Murakibi

Syarah al-Sunnah oleh Imam al-Barbahari

Al-Ahkam al-Sultaniah oleh Imam Abul Ya’la al-Farra’

Al-Ahkam al-Sultaniah oleh Imam al-Mawardi

Al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (Takmilah) oleh Syeikh Najib al-Muti’i.

Jami’ul Usul fi Ahadis al-Rasul oleh Imam Majduddin Abus Sa’adat Ibn al-Asir Tahkik Syuaib al-Arnauth dan Taklik Aiman Soleh Syaaban.

Al-Jarh wal Takdil ‘Indas Salaf oleh Syeikh Abdul Salam bin Barjas Al Abdul Karim.

Satu Respons to “AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH BUKAN KHAWARIJ”

  1. NurIslamy September 18, 2009 pada 10:36 am #

    Salam.. saya ingin mengutarakan beberapa soalan :

    1. sesetengah ulama mengatakan bahawa hadis
    haramnya menentang pemerintah berlaku apabila
    pemerintah tersebut masih lagi mengangkat al-quran
    dan As- sunah sebagai rujukan utama. Namun jika dilihat pemerintahan di Malaysia sekarang ini, pemerintahnya tidak mengangkat Al-quran dan As-sunah sebagai pegangan utama sebaliknya yang diangkat adalah perlembagaan(sekular). Oleh itu, melihat waqi’yah pada zaman ini yang berbeza dengan zaman dahulu, sesetengah ulama membolehkan memberontak kepada pemimpin yang dianggap fasiq ini.

    2. di sebut juga dalil yang dibentangkan di atas adalah dalil dhonni bukan qat’iee.
    Apa pandangan ustaz tentang hal ini.

    Insan yang keliru

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: