IDUL FITRI DAN TAGHUT

19 Sep

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Idul Fitri atau Hari Raya Aidil Fitri akan menjelma lagi bagi tahun 1430H dan membawa pelbagai kenangan bagi Umat Islam seluruh dunia. Bagi mereka yang beriman, perasaan bercampur baur antara sedih dengan kepergian Ramadan dan kegembiraan kedatangan Idul Fitri, manakala bagi mereka yang jahil maka semua yang berlaku hanya rutin tahunan semata-mata dan tiada bagi mereka sentimen kerohanian langsung.

Idul Fitri sebenarnya membawa makna yang mendalam seperti mana yang seringa kita dengar para Khatib menjelaskan iaitu ‘Kembali kepada Fitrah’ atau ‘Bersih daripada Dosa seperti mana bayi yang baharu lahir’. Ini adalah ungkapan yang sangat masyhur dan maklum pada kebanyakan kaum muslimin bagi mentakrifkan Idul Fitri.

Fitrah manusia adalah Iman dan Tauhid kepada Allah Taala sebagai firman Allah Taala:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, Iaitu agama Yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. [al-Rum: 30].

Dalam ayat ini, Allah Taala menyatakan bahawa Fitrah yang Allah Taala fitrahkan manusia semenjak mereka diciptakan adalah menerima tauhid dan iman kepada Allah Taala. Maka amat wajar sekiranya Idul Fitri ini digambarkan sebagai ‘Pesta Tauhid’ kepada Allah Taala dan demikianlah disyariatkan pada hari raya untuk kita bertakbir yang di dalamnya terkandung puji-pujian kepada Allah dan mentauhidkanNya.

Namun, amat malang sekali bagi Umat Islam khususnya di Malaysia dalam kemeriahan mereka menyambut Idul Fitri namun mereka amat sedikit yang kembali kepada fitrah (mudah-mudahan saya dan para pembaca termasuk dalam golongan yang sedikit ini) bahkan kebanyakan mereka lebih jauh daripada fitrah daripada sebelumnya.

Selain daripada maksiat yang sedia maklum dan sudah berbuih-buih mulut para Ustaz dan Ustazah menegurnya saban tahun seperti pendedahan aurat, percampuran bukan mahram, dan pembaziran, terdapat perkara halus yang sangat berbahaya mengancam umat Islam di hari raya yang boleh merosakkan Tauhid iaitulah taghut yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di musim perayaan ini.

Islam datang dengan seruan Tauhid dan seruan Tauhid itu maknanya menghapuskan taghut sebagaimana firman Allah Taala:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Maksudnya: “dan Sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah Bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulNya.” [al-Nahl: 36].

Maka amat sedih dan kecewanya jika Umat Islam dewasa ini yang sepatutnya menjauhi taghut tetapi menjadikan taghut sebagai ‘Syiar’ sambutan perayaan mereka.

Taghut itu adalah semua hamba Allah yang melampaui batas dan meletakkan dirinya pada tempat yang melebihi daripada sepatutnya sebagai seorang hamba dan makhluk. Misal taghut adalah sebahagian kaum bergelar ‘Tok Guru’ atau ‘Ustaz’ kemudian meletakkan dirinya seumpama Nabi atau Rasul, mengajar kepada manusia ibadat-ibadat yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w dan al-Salaf al-Soleh atau kaum Pemerintah yang memerintah tidak menurut hukum syarak dan mereka ini semua termasuk dalam kepala taghut kerana kedua-dua jenis kaum ini tidak berhukum dengan hukum Allah.

Firman Allah Taala:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya: “tidakkah engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.” [al-Nisaa: 60].

Ciri-ciri utama Taghut dalam kalangan manusia ini adalah mereka suka menukar-nukar hukum Allah dan RasulNya, yang halal dikatakan haram, yang haram dihalalkan, yang sunnah dibidaahkan dan yang bidaah disunnahkan atau di’hasanah’kan dan seumpamanya.

Kepala Taghut atau Taghut yang utama itu menurut para Ulama Islam ada lima iaitulah:

Pertama: Iblis Laknatullahi ‘alaih

Kedua: Mereka yang disembah selain Allah dalam keadaan mereka reda seumpama Firaun.

Ketiga: Mereka yang menyeru supaya diibadahi kepada dirinya selain Allah seperti para syeikh-syeikh Tariqat Sufi.

Keempat: Mereka yang mendakwa ilmu ghaib seperti Tok Dukun, Bomoh, Pawang, Ahli Metafizik dan seumpamanya.

Kelima: Mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah sama ada dia itu pemerintah atau rakyat seperti bapa yang meredai anaknya mendedahkan aurat dan para tok guru yang menyeru kepada amalan-amalan bidaah dan meng’hasanahkan’ bidaah-bidaah tersebut.

Allah Taala menghina dan mencerca para taghut dan memerintahkan Umat manusia menjauhinya sepertimana dalam ayat-ayat yang telah kita sebutkan di atas dan Allah menjanjikan mereka yang menjauhi taghut dengan ganjaran yang besar di akhirat sebagaimana firmanNya:

وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَنْ يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّهِ لَهُمُ الْبُشْرَى فَبَشِّرْ عِبَادِ

Maksudnya: “dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu”. [al-Zumar: 17].

Oleh itu, dalam suasana menyambut Idul Fitri ini hendaklah kaum muslimin dan muslimat kembali kepada fitrah mereka dengan meninggalkan segala taghut-taghut ini sama ada yang kecil mahupun yang besar supaya akidah mereka terpelihara.

Allah Taala apabila melarang sesuatu perkara, maka Dia juga melarang perkara yang membawa kepada perkara tersebut sebagaimana yang tercatat dalam ilmu Qawaqed Fiqhiah. Maka semua jalan yang membuka ruang kepada berlakunya penyembahan taghut adalah dilarang dalam Islam.

Atas dasar itu Islam melarang Umatnya melampau dalam memuji seseorang tokoh sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

لا تطروني كما أطرت النصارى ابن مريم فإنما أنا عبده فقولوا عبد الله ورسوله

Maksudnya: “Janganlah kamu melampau (dalam memuji) aku seperti mana melampaunya kaum Nasrani terhadap anak lelaki Maryam (Isa al-Masih a.s) maka sesungguhnya aku ini hambaNya maka sebutlah: ‘Hamba Allah dan utusanNya’.” [al-Bukhari].

Sabda Rasulullah s.a.w:

وإياكم والغُلُوَّ في الدَّين ، فإنما هُلكَ من كان قبلكم بالْلغُلُوِّ في الدَّين

Maksudnya: “dan hati-hatilah kamu terhadap sikap melampau dalam beragama kerana sesungguhnya telah dimusnahkan umat sebelum kamu kerana sikap melampau dalam beragama”. [al-Nasai].

Islam atas dasar itu juga melarang umatnya menjadikan gambar makhluk bernyawa sebagai kemegahan dan tatapan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

إن أشد الناس عذابا عند الله يوم القيامة المصورون

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling hebat azabnya di sisi Allah pada hari kiamat adalah tukang ukir dan lukis”. [al-Bukhari & Muslim].

Daripada Abu Juhaifah r.a kata beliau:

لعن النبي صلى الله عليه و سلم الواشمة والمستوشمة وآكل الربا وموكله ونهى عن ثمن الكلب وكسب البغي ولعن المصورين

Maksudnya: “Nabi s.a.w melaknat pembuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, pemakan riba dan yang memberinya makan, melarang daripada harga jualan anjing, hasil pelacuran, dan melaknat tukang ukir”. [al-Bukhari].

Ibn Abbas r.hma, sahabat Rasulullah s.a.w dan sepupu baginda yang digelar sebagai ‘Turjuman (Penterjemah) al-Quran’ dan ‘Hibrul Ummah’ (Cebdekiawan Umat) menjelaskan bahawa asal berlakunya penyembahan berhala adalah kaum soleh yang meninggal dunia iaitulah: Wad, Suwa’ Yaghus, Yauq, dan Nasr lalu kaum manusia menjadikan bagi mereka ini tugu-tugu peringatan lalu syaitan menyesatkan mereka sehingga tugu-tugu ini disembah selain Allah Taala-nauzubillah min zalik-. [Lihat: Tafsir Ibn Kasir, 8/234-235].

Demikianlah Islam memandang serius budaya membina tugu-tugu peringatan sama ada dalam bentuk patung mahupun gambar-gambar besar yang bergantungan di musim perayaan ini di sebalik banner dan poster ucapan selamat hari raya.

Mengucapkan selamat hari raya terutama daripada pemimpin kepada rakyat amatlah baik dan digalakkan namun meletakkan gambar-gambar pemimpin dengan saiz yang begitu besar sebagai lambang kemegahan dan syiar adalah perkara yang dibenci dalam Islam kerana satu bentuk melampau dalam memuja seseorang tokoh.

Ali bin Abi Talib r.a menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w berpesan kepada beliau:

أَنْ لاَ تَدَعَ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ وَلاَ قَبْرًا مُشْرِفًا إِلاَّ سَوَّيْتَهُ.

Maksudnya: “Janganlah kamu biarkan satu patung melainkan engkau hancurkan dan janganlah kau biarkan kubur yang ditinggikan melainkan engkau ratakan”. [Muslim].

عن عائشة : أن أم حبيبة وأم سلمة ذكرتا كنيسة رأينها بالحبشة فيها تصاوير فذكرتا للنبي صلى الله عليه و سلم فقال ( إن أولئك إذا كان فيهم الرجل الصالح فمات بنوا على قبره مسجدا وصوروا فيه تلك الصور فأولئك شرار الخلق عند الله يوم القيامة )

Maksudnya: Daripada Aisyah r.ha bahawa Ummu Habibah dan Ummu Salamah menceritakan berkenaan gereja yang mereka lihat di Habsyah yang terdapat dalamnya gambar-gambar lalu mereka berdua menceritakannya kepada Nabi s.a.w lantas baginda bersabda: “Sesungguhnya mereka itu jika ada orang soleh dalam kalangan mereka mati maka mereka akan membina di kuburnya masjdi (tempat Ibadat) dan membuat gambar-gambar itu maka mereka itulah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada hari kiamat”. [al-Bukhari & Muslim].

Hadis-hadis ini jelas melarang kita membuat gambar-gambar tokoh atau tugu-tugu peringatan mereka untuk kenang-kenangan atau bermegah-megah atau lainnya kerana ianya adalah syiar (lambang) agama syirik dan boleh membawa kepada syirik.

Bersempena dengan perayaan Idul Fitri yang diberkati ini, maka amat wajar Umat Islam sekaliannya terutama di Malaysia menzahirkan perayaan ini sebagai ‘Pesta Tauhid’ bukan perayaan yang dicemari dengan karat-karat jahiliah dan syirik-nauzubillah min zalik- yang semuanya menjejaskan perjalanan kita untuk kembali kepada fitrah.

Tidak lupa juga saya berpesan kepada diri sendiri dan semua kaum muslimin muslimat untuk menjadikan perayaan idul fitri ini sebagai pesta ibadah sebagaimana juga bulan Ramadan bukan Pesta Maksiat dengan pelbagai jenis maksiat berlaku dalam menyambut kemenangan mujahadah melawan nafsu dan syaitan sepanjang Ramadan.

Saya menyeru kepada mereka-mereka yang menggelar diri mereka sebagai pejuang Islam seperti firqah PAS untuk membersihkan diri mereka daripada amalan taghut ini jika benar mereka hendak menegakkan Islam. Jika selama ini PAS menuding jari kepada UMNO sebagai parti Taghut namun hari ini kita dapat lihat kaum yang paling banyak memuja taghut adalah kaum PAS terutama ‘Taghut Bangka’ mereka dengan gambar yang besar-besar.

Saya bukanlah hendak membela UMNO kerana kita tahu parti kerajaan ini juga terjebak dalam amalan taghut gambar ini, namun mereka ini sebagaimana yang sering diwar-warkan oleh PAS bukanlah pejuang Islam maka sebagaimana Tok Guru PAS tidak hairan DAP menghina Islam maka demikian juga saya tidak hairan jika UMNO melakukan perkara haram ini, namun yang menjadi hairan apabila PAS yang mendakwa mereka penegak daulah Islamiah juga menjadi juara Taghut.

Kepada para pendakwah Islam di segenap penjuru dunia, mereka perlu sedar apa jua nama pertubuhan yang mereka duduk, manhaj dakwah mereka adalah satu dan keutamaan dakwah mereka adalah sama iaitulah menyeru kepada Tauhid dan Sunnah Rasulullah s.a.w bukan beriman dengan sebahagian hukum hakam lalu kufur dengan sebahagian hukum hakam yang lain.

Ingatlah firman Allah Taala:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [al-Baqarah: 85].

Akhir kata, semoga Umat Islam di Malaysia dapat menyambut Idul Fitri tahun ini dalam penuh semangat ke-Islaman dan mengikut petunjuk dan hidayah Rasulullah s.a.w bukan dengan Islam yang direka-reka sendiri atau Islam Tok Guru tertentu. Wallahua’lam.

4 Respons to “IDUL FITRI DAN TAGHUT”

  1. Suhili Februari 15, 2010 pada 3:56 pm #

    Ehm, siapakah yang berhak untuk menilai seseorang itu layak berkata tentang agama atau tidak. Bukan apa, kadang2 saya tengok ada orang belajar di Universiti tapi bila dia ajar dekat murid dia sebagai guru, apa yang dia ajar tu salah dan bercanggah dengan fakta sebenar. Jadi persoalannya, adakah ijazah dan kelulusan itu lesen untuk berkata-kata?

  2. mashoori April 21, 2010 pada 2:35 pm #

    suhili, cuba enta fahamkan perkataan Imam al-Barbahari r.h ini:

    واعلم أن العلم ليس بكثرة الرواية والكتب ولكن العالم من اتبع الكتاب والسنة وإن كان قليل العلم والكتب ومن خالف الكتاب والسنة فهو صاحب بدعة وإن كان كثير الرواية والكتب
    Maksudnya: “Ketahuilah bahawa ilmu itu bukan dengan banyaknya riwayat dan kitab tetapi orang alim itu adalah sesiapa yang mengikut al-Kitab dan al-Sunnah walaupun dia sedikit ilmu dan kitab dan sesiapa yang menyelisihi al-Kitab dan al-Sunnah maka dia seorang Ahli Bidaah walaupun banyak riwayatnya dan kitabnya”. [Syarhus Sunnah lil Barbahari].

    Maka al-Quran dan al-Sunnah serta Manhaj Salaf al-Soleh itulah yg menjadi ukuran, Nabi s.a.w telah menghadkan kpd kita ikutan selepas baginda adalah para Sahabat, Tabiin, dan Tabi’ Tabiin maka sesiapa yang mengikut perintah baginda dan mengikut 3 kurun utama ini maka dialah yang berhak bercakap berkenaan agama demikian pula sebaliknya. wallahua’lam.

  3. Hamba Allah Mei 7, 2010 pada 9:20 pm #

    Assalamu’alaikum warahmatullah…

    Saya sungguh malu melihat pertelingkahan anda dengan seorang al-akh di dalam Facebook. Kan kita sesama muslim ya akhi. Cuba anda renungkan, adakah Rasulullah S.A.W. akan menghina saudaranya sendiri sebagaimana anda saling hina-menghina sesama muslim seperti yang terpapar di Facebook al-akh itu?

    Anda tuntut anda pengikut salaf, menjauhkan bidaáh, tetapi memburuk-burukkan saudara sendiri itu jauh sekali daripada sunnah rasul kita, bukan?

    Faghfirli… Semoga Allah melembutkan hati-hati kita terhadap saudara-saudara kita…

  4. mashoori Mei 17, 2010 pada 12:40 am #

    Waalaikumussalam wrt

    Ya akhi, ana xpasti pertelingkahan yang bagaimana enta maksudkan.
    jika pertelingkahan itu berlaku antara ana dan saudara se-manhaj ya memang ada berlaku dan telah berlaku tasamuh (toleransi) antara kami dan persefahaman semula walhamdulillah… ana tidak akan membalas yg buruk2 kpd mereka yg semanhaj kerana sesama Ahlus Sunnah wal Jamaah itu memerlukan lemah lembut dlm menegur dan sebagainya. pada ulama salaf itu tauladan yg baik ketika mereka bertelingkah sesama mereka seperti pergaduhan antara Imam al-Bukhari dgn gurunya Muhammad bin Yahya al-Zuhali r.h tauladan Imam al-Bukhari amat wajar diikuti.

    Adapun jika saudara hendak maksudkan pertelingkahan di sini antara saya dan beberapa org yang terdapat pada mereka bidaah dan kesalahan manhaj yg jelas dan setelah diberikan dalil masih keras kepala dan degil maka ini adalah ‘pertelingkahan yg benar’ dan termasuk dlm erti kata mengubah kemungkaran dan ianya insya -Allah semata2 utk membela agama Allah jua. wallahua’lam bis sawab.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: