KEWAJIPAN MENTAUHIDKAN ALLAH DALAM KETAATAN

11 Jan

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

Universiti Islam Madinah Nabawiah, Arab Saudi

Ucapan Syahadah yang diucapkan seorang muslim mengandungi ikrar dan pengakuan terhadap ketunggalan ALLAH s.w.t sebagai ILAH yakni yang berhak disembah dan ditaati dengan sepenuh kecintaan, pengharapan, ketakutan, ketundukan, dan kepatuhan.

Demikian pula Syahadah bahawa Muhammad adalah Rasul ALLAH membawa maksud segala hukum hakam dan Syariat daripada ALLAH s.w.t adalah apa yang disampaikan dan diajarkan oleh Muhammad Rasul (Utusan) ALLAH s.w.t, tiada yang berhak diikuti dan ditaati secara mutlak dalam kalangan makhluk kecuali Rasulullah s.a.w kerana baginda adalah Utusan daripada ALLAH yang tidak bercakap melainkan dengan wahyu daripada ALLAH.

Kelaziman dan di antara kandungan Tauhid al-Uluhiah (mengesakan ALLAH dalam Ibadat) adalah mentaati ALLAH s.w.t dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun daripada makhluk-Nya dalam ketaatan dan tidak mengambil selain ALLAH s.w.t sebagai pembuat hukum dan undang-undang.

Dalil kewajipan mentauhidkan ALLAH s.w.t dalam Tasyri’ (membuat hukum) adalah banyak sekali daripada al-Quran dan al-Sunnah di antaranya:

Dalil Pertama:

Firman ALLAH s.w.t dalam Surah Ali Imran ayat ke-32:

قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Rasul): Taatlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya, maka barangsiapa yang berpaling (enggan mentaati ALLAH dan Rasul-Nya) maka sesungguhnya ALLAH tidak mencintai orang-orang yang kafir”.

Kata Imam Abdul Rahman bin Nasir al-Sa’di r.h [w.1376 H] dalam Tafsir beliau:

“Ini adalah perintah ALLAH kepada para hamba-Nya dengan perintah yang paling umum iaitulah supaya mentaati (mematuhi)-Nya dan Rasul-Nya yang mana termasuk dalamnya Iman dan Tauhid dan apa yang merupakan cabang-cabangnya daripada amalan-amalan dan perkataan-perkataan yang zahir dan batin bahkan termasuk (dalam erti kata) mentaati-Nya dan mentaati Rasul-Nya adalah menjauhi apa yang dilarang kerana menjauhi perkara yang dilarang sebagai satu kepatuhan kepada perintah ALLAH merupakan ketaatan kepada-Nya maka barangsiapa yang mentaati ALLAH dan RasulNya maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. [Maka barangsiapa yang berpaling] yakni: berpaling daripada mentaati ALLAH dan Rasul-Nya maka tiada lagi di sana untuk dirujuk keadaannya melainkan sebagai suatu kekufuran dan mentaati Syaitan yang derhaka.” [Taisir al-Karim al-Mannan, m.s 128].

Dalil Kedua:

Firman ALLAH s.w.t dalam Surah al-Nisaa’ ayat ke-59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah (patuhlah) kepada ALLAH dan patuhlah kepada Rasul serta orang-orang yang berkuasa dalam kalangan kamu, jika kamu berselisih pandangan dalam suatu perkara maka kembalikanlah kepada ALLAH dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman dengan ALLAH dan Hari Akhirat demikian itu adalah sebaik-baik penyelesaian”.

Para Mufassirun (Ulama’ Tafsir al-Quran) menyatakan dalam ayat ini ALLAH mengulang perintah: (Taatlah) pada Rasul tetapi tidak pada Ulil Amri (pemerintah dan ulama’) kerana ketaatan kepada Pemerintah dan Ulama’ tidaklah mutlak tetapi bersyarat iaitu selagi mana perintah mereka tidak berlawanan dengan perintah ALLAH dan Rasul, adapun ketaatan kepada Rasul adalah mutlak kerana baginda tidak memerintahkan sesuatu melainkan ianya adalah Wahyu daripada ALLAH sebagaimana ALLAH berfirman:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

Maksudnya: “Dan tidaklah dia (Rasulullah s.a.w) berkata-kata berdasarkan hawa nafsu tetapi ia adalah Wahyu yang diwahyukan kepadanya”. [Al-Najm: 3-4].

Sabda Rasulullah s.a.w :

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ الطَّاعَةُ، فِيمَا أَحَبَّ أَوْ كَرِهَ، إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: “Wajib atas setiap muslim itu mentaati (pemerintah) dalam perkara yang dia sukai dan yang dibenci melainkan jika dia diperintahkan untuk melakukan maksiat maka jika dia diperintahkan dengan kemaksiatan maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taati (dalam perkara maksiat itu)”. [HR Ashab al-Sunan dan Ahmad].

Dalil Ketiga:

Firman ALLAH s.w.t dalam Surah al-Ahzab ayat ke-36:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

Maksudnya: “dan tidaklah patut bagi seorang mukmin dan tidak pula bagi seorang mukminah jika ALLAH dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu keputusan lalu mereka mempunyai pilihan (selain dari hukum ALLAH dan Rasul) dalam urusan mereka, barangsiapa yang menderhaka kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”.

Kata al-Hafiz Ibn Katsir r.h [w.774 H] dalam Tafsir beliau:

“Maka ayat ini adalah umum dalam semua urusan, iaitu apabila ALLAH dan RasulNya telah memutuskan suatu hukum maka tiada lagi hak bagi sesiapa pun menyelisihinya dan tiada lagi pilihan lain, tiada lagi pendapat  dan perkataan (selainnya)”. [Tafsir al-Quran al-Azim, 6/423]

Demikian juga terdapat ayat-ayat yang mencela perbuatan mengambil hukum dan menjadikan hukum makhluk mendahului hukum ALLAH dan Rasul-Nya serta ALLAH menamakan mereka yang melakukan perkara ini sebagai Syirik:

Pertama: Firman ALLAH dalam Surah al-Nisaa’ ayat 60-61:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا (60) وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا (61)

Maksudnya: “Apakah kamu tidak melihat kepada mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang diturunkan kepada kamu (wahai Rasul) dan apa yang diturunkan sebelum kamu lalu mereka hendak berhukum kepada para Thaghut sedangkan mereka diperintahkan supaya kufur dengannya, dan syaitan mengekehendaki untuk menyesatkan mereka dengan kesesatan yang jauh. Dan apabila diseru kepada mereka datanglah kemari (berhukum) dengan apa yang ALLAH telah turunkan kepada Rasul maka engkau melihat kaum Munafiq itu berpaling daripada engkau dengan sepenuh palingan”.

Kata Al-Hafiz Ibn Katsir r.h:

“Ini adalah pengingkaran ALLAH Azza wa jalla atas mereka yang mendakwa beriman dengan apa yang ALLAH turunkan kepada Rasul-Nya dan kepada Nabi-nabi terdahulu lalu mereka hendak berhukum dalam menyelesaikan pertelingkahan mereka kepada selain Kitab ALLAH dan Sunnah Rasul-Nya …”

Kemudian beliau menyatakan Sebab Turunnya ayat berkenaan kaum munafiqin yang hendak berhukum kepada Ka’ab al-Asyraf (ketua Yahudi) dan enggan berhukum kepada Rasulullah s.a.w atau hendak berhukum kepada hukum Jahiliah. Lalu kata beliau:

“dan ini lebih umum daripada itu semua, sesungguhnya ia adalah celaan kepada sesiapa sahaja yang berpaling daripada Al-Kitab dan al-Sunnah kepada selain keduanya daripada kebatilan dan itulah (hukum-hakam selain daripada al-Quran dan al-Sunnah) yang dimaksudkan sebagai Thaghut dalam ayat ini”. [2/346]

Kedua: Firman ALLAH Ta’ala dalam surah al-Taubah ayat ke-31:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: “Mereka mengambil Ulama-Ulama’ mereka dan Ahli Ibadat mereka sebagai Tuhan-tuhan selain ALLAH demikian juga mereka menjadikan al-Masih anak Maryam (sebagai Tuhan selain ALLAH) sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan hanya untuk beribadat kepada Ilah (sembahan) yang satu, Tiada sembahan yang berhak disembah selain Dia Maha Suci Dia daripada apa yang mereka sekutukan”.

Perbuatan kaum Yahudi dan Nasrani menyembah Ulama-ulama mereka dan Ahli Ibadat ditafsirkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis berikut:

عن عدي بن حاتم قال: أتيت رسولَ الله صلى الله عليه وسلم وفي عُنُقي صليبٌ من ذهب، فقال: يا عديّ، اطرح هذا الوثنَ من عنقك! قال: فطرحته، وانتهيت إليه وهو يقرأ في “سورة براءة”، فقرأ هذه الآية: (اتخذوا أحبارهم ورُهبانهم أربابًا من دون الله) ، قال قلت: يا رسول الله، إنا لسنا نعبدُهم! فقال: أليس يحرِّمون ما أحلَّ الله فتحرِّمونه، ويحلُّون ما حرَّم الله فتحلُّونه؟ قال: قلت: بلى! قال: فتلك عبادتهم

Maksudnya: Daripada ‘Adi bin Hatim r.a kata beliau: “Aku datang kepada Rasulullah s.a.w (untuk memeluk Islam) sedangkan di leherku ada Salib daripada emas seraya baginda bersabda: “Wahai ‘Adi, buanglah berhala ini daripada lehermu”. Kata Adi: Maka aku membuangnya.  Aku mendekat kepada baginda sedangkan baginda membaca Surah al-Bara-ah lalu baginda membaca ayat ini [Ayat ke-31]. Kata ‘Adi: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidak lah menyembah mereka”. Lantas kata baginda: “Bukankah mereka mengharamkan apa yang ALLAH halalkan lalu kamu turut mengharamkannya, mereka menghalalkan apa yang ALLAH haramkan lalu kamu turut menghalalkannya?” Kata ‘Adi: Jawabku: Bahkan (demikianlah yang kami lakukan). Sabda baginda s.a.w: “Itulah bentuk peribadatan terhadap mereka”. [HR al-Tarmizi, al-Tabrani, dll].

Telah sepakat pula Ulama’ Tafsir keseluruhannya bahawa yang dimaksudkan dengan peribadatan terhadap Ulama’ dan Ahli Ibadat dalam ayat ini adalah perbuatan memberikan mereka hak Tasyri’ dalam menghalalkan dan mengharamkan dan mentaati mereka dalam perkara maksiat. [Rujuk: Tafsir Ibn Abi Hatim, 6/1784].

Kata Saidina Abdullah bin Abbas r.huma:

إِنَّهُمُ اتَّبَعُوهُمْ فِيمَا حَلَّلُوا وَحَرَّمُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka mengikut mereka (Ulama’ dan Ahli Ibadat) dalam apa sahaja yang mereka halalkan dan haramkan”. [Tafsir al-Quran al-Azim, Ibn Katsir, 4/135].

Demikian juga tsabit riwayat daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a apabila ditanya berkenaan ayat ini beliau berkata:

“Adapun mereka sesungguhnya tidaklah berpuasa untuk mereka dan tidak pula solat untuk mereka tetapi adalah mereka itu apabila mereka (para Ulama’) menghalalkan kepada mereka sesuatu lalu mereka menghalalkannya, dan jika mereka mengharamkannya atas mereka sesuatu maka mereka mengharamkannya, maka itulah dia yang dikatakan menjadikan mereka sebagai sembahan”. [Al-Tabari, 14/211]

Ketiga: Firman ALLAH s.w.t dalam surah alFurqan ayat ke-43:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Maksudnya: “Apakah kamu tidak melihat orang yang menjadikan sembahannya adalah hawa nafsunya, apakah kamu (wahai Rasul) boleh menjadi pengawalnya (daripada bertindak bodoh seperti itu)?”

ALLAH s.w.t mencela mereka yang menjadikan akal dan hawa nafsu sebagai penentu agamanya dan dalam membuat hukum tanpa merujuk kepada Kitab ALLAH dan Sunnah RAsulullah s.a.w. Kata Imam Ibn Katsir r.h:

أَيْ: مَهْمَا اسْتَحْسَنَ مِنْ شَيْءٍ وَرَآهُ حَسَنًا فِي هَوَى نَفْسِهِ، كَانَ دينَه ومذهبَه

Maksudnya: “Yakni: Apa sahaja yang dia rasakan baik dan Nampak elok pada hawa nafsunya maka itulah yang menjadi agama dan mazhab pegangannya”. [6/113]

Ayat-ayat celaan ini menunjukkan bahawa perbuatan menjadikan selain ALLAH dan Rasul s.a.w sebagai pembuat hukum dan mengikut hukum selain daripada apa yang ALLAH dan Rasul-Nya sudah tetapkan adalah Maksiat dan boleh membawa pelakunya kepada Syirik.

Namun, keadaan Umat Islam hari ini menzahirkan bahawa mereka semakin jauh daripada hukum ALLAH dan Rasul-Nya, mereka menjadikan makhluk-makhluk sebagai sumber hukum dan meninggalkan Wahyu ALLAH di belakang dan hal ini dapat kita lihat dalam beberapa fenomena berikut:

Pertama: Taklid Buta dan Fanatik Mazhab

Sikap Taklid Buta dan Fanatik Mazhab walaupun mazhabnya itu berlawanan dengan nas wahyu yang sahih lagi sarih jelas menepati cirri-ciri kaum Yahudi dan Nasrani yang ALLAH cela dalam ayat ke-31 Surah al-Taubah (al-Bara-ah), mereka menghalalkan apa yang ALLAH dan RasulNya haramkan kerana ada qaul atau mazhab Ulama’ tertentu, mereka mensyariatkan amalan-amalan yang bukan Syariat kerana Ulama’ sekian, ‘Alim sekian, tok guru sekian berkata ianya harus atau sunat atau wajib atau lainnya.

Para Ulama’ kaum Muslimin telah bersepakat bahawa Taklid secara membuta tuli dan Taksub kepada pendapat Mazhab yang jelas berlawanan dengan dalil adalah tercela dan haram sebagaimana kata Imam al-Syafii r.h:

أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَنَّ مَنْ اسْتَبَانَتْ لَهُ سُنَّةُ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لَمْ يَكُنْ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ

Maksudnya: “Kaum Muslimin telah bersepakat bahawa wajib atas sesiapa yang jelas baginya Sunnah Rasulullah s.a.w maka tidak boleh baginya untuk meninggalkannya kerana perkataan sesiapa pun daripada manusia lain”. [I’lam al-Muwaqqi’ien, Ibn al-Qayyim, 1/6].

Adapun perkataan Ulama’ : “Tidak ada pengingkaran dalam Masalah ijtihad” maka ini adalah khusus dalam masalah-masalah yang dibina atas ijtihad yang tiada padanya nas yang muktamad lagi sahih dan jelas, adapun apabila telah jelas dalil maka wajib mengikut dalil dan haram mengikut pendapat Ulama’.

Kata Imam al-Auz’ie r.h [w.157 H]:

مَنْ أَخَذَ بِنَوَادِرِ الْعُلَمَاءِ خَرَجَ مِنَ الْإِسْلَامِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil pendapat-pendapat Ulama’ yang nadir (janggal) maka dia telah terkeluar daripada Islam”. [Atsar dikeluarkan oleh: Al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, no.20918].

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: ” وَيْلٌ لِلْأَتْبَاعِ مِنْ زَلَّةِ الْعَالِمِ، قِيلَ: وَكَيْفَ ذَلِكَ؟ قَالَ: يَقُولُ الْعَالِمُ الشَّيْءَ بِرَأْيِهِ فَيَلْقَى مَنْ هُوَ أَعْلَمُ مِنْهُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهُ فَيُخْبِرُهُ وَيرْجِعُ، وَيَقْضِي الْأَتْبَاعُ بِمَا حَكَمَ “

Maksudnya: Berkata Ibn ‘Abbas r.huma: “Kecelakaanlah bagi para pengikut dek kerana kesilapan orang ‘alim”. Dikatakan kepada beliau: “Bagaimanakah itu (boleh berlaku)?” Kata beliau: “Seorang ‘alim berpendapat dalam suatu masalah dengan pandangan (ijtihad)nya lalu dia bertemu dengan orang yang lebih berilmu daripadanya dengan (Sunnah) Rasulullah s.a.w lalu dia memberitahu kepada (alim itu) lalu dia (alim itu) kembali menarik pendapatnya (yang menyelisihi Sunnah) tetapi para pengikut terus berhukum dengan hukum yang terdahulu (yang menyelisihi Sunnah)”. [Al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, no.836].

عَنْ زِيَادِ بْنِ جُبَيْرٍ، قَالَ: قَالَ عُمَرُ: «هَلْ تَدْرِي مَا يَهْدِمُ الإِسْلامَ؟» قُلْتُ: لَا، قَالَ: «يَهْدِمُهُ زَلَّةُ الْعَالِمِ، وَجِدَالُ الْمُنَافِقِ بِالْكِتَابِ، وَحُكْمُ الأَئِمَّةِ الْمُضِلِّينَ»

Maksudnya: Daripada Ziyad bin Jubair r.h kata beliau: Berkata Umar r.a: “Adakah kamu tahu apakah yang akan merosakkan Islam?” Kataku: Tidak. Kata beliau: “Akan merosakkannya kegelinciran ‘alim, Jidal (perdebatan) kaum Munafiq dengan (menjadikan dalilnya) adalah al-Kitab (al-Quran), dan hukum yang dikeluarkan oleh Imam-imam (tokoh-tokoh ikutan) yang menyesatkan”. [Syarhus Sunnah, al-Baghawi, 1/317].

Maka pada dewasa ini, kita dapat menyaksikan berapa ramai Umat Islam yang terus taksub dan fanatik dengan Akidah al-Asya’irah sedangkan Akidah itu sendiri telah diakui berlawanan dengan pegangan Imam yang mereka sangka mereka ikuti iaitu: Imam Abul Hasan al-Asy’ari r.h, bahkan tokoh-tokoh terkemudian al-Asya’irah sendiri ramai yang menyatakan penyesalan mereka dan menarik balik fatwa-fatwa mereka yang berlawanan dengan al-Quran dan al-Sunnah tetapi pengikut-pengikut masih lagi fanatic dan mempertahankannya.

Demikian juga mereka yang taksub dengan mazhab-mazhab Fiqh yang terus berusaha mencari dan mereka-reka dalih untuk membenarkan mazhab mereka walaupun jelas terdapat nas yang menyalahi pendapat Imam mereka.

Tindakan pengikut ini adalah sebenarnya menjadikan Ulama’-ulama’ mereka sebagai sembahan selain ALLAH s.w.t dan lebih teruk di akhirat nanti para ikutan mereka ini akan berlepas diri di hadapan ALLAH s.w.t daripada dakwaan mereka sebagaimana ALLAH s.w.t berfirman:

إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ

Maksudnya: “Ketika mana mereka yang diikut berlepas diri daripada mereka yang mengikut dan mereka telah melihat azab dan terputuslah antara mereka kasih sayang”. [al-Baqarah: 166].

Kedua: Mendahulukan Akal atas Wahyu.

Akal adalah makhluk yang ALLAH ciptakan dan setiap makhluk itu sifat zatnya adalah “faqir” memerlukan bimbingan, hidayah, dan taufiq daripada ALLAH s.w.t sedangkan hidayah dan taufiq ALLAH itu diketahui melalui Kalam-Nya iaitu al-Qur’an dan apa yang Dia wahyukan kepada Rasulullah s.a.w melalui Al-Sunnah.

Maka perbuatan mendahulukan akal dan mengikut apa yang disangka akal sebagai baik tanpa menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai kayu ukurnya adalah jelas termasuk dalam amalan mereka yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAH yang ALLAH cela dalam Surah al-Furqan ayat ke-43.

Perbuatan mendahulukan pandangan akal atas Wahyu adalah perbuatan Iblis –laknat ALLAH ke atasnya tidak henti-henti- apabila dia berkata:

قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

Maksudnya: “Berkata Iblis: Aku lebih baik daripadanya (Adam) Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah”. [Sod: 76]

Sedangkan ini hanyalah sangkaan yang salah dan Qiyas yang Fasad, ALLAH mencipta apa yang Dia kehendaki dan Dia memilih apa yang Dia kehendaki maka Dia afdalkan Adam yang dicipta dari Tanah daripada Iblis yang dicipta daripada Api.

Kata Saidina Sahl bin Hanif r.a:

اتَّهِمُوا الرَّأْيَ، فَلَقَدْ رَأَيْتُنِي يَوْمَ أَبِي جَنْدَلٍ وَلَوْ أَسْتَطِيعُ أَنْ أَرُدَّ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْرَهُ لَرَدَدْتُ، وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Tohmahlah pendapat akal, aku telah melihat keadaan diriku pada hari Abu Jandal (hari perjanjian Hudaibiah) jika aku mampun untuk menolak keputusan Rasulullah s.a.w sudah tentu aku tolak sedangkan ALLAH dan RasulNya lebih mengetahui…” [HR al-Bukhari].

Demikian juga diriwayatkan ucapan yang sama daripada Umar bin al-Khattab r.a di mana para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim amat terkejut dengan keputusan Rasulullah s.a.w untuk tidak menyelamatkan Abu Jandal r.a dan mengembalikan kepada Ayahnya Suhail dan dengan isi perjanjian Hudaibiah yang kelihatan pada luarannya membawa kerugian Umat Islam, namun ALLAH s.w.t menamakan apa yang berlaku sebgai Al-Fathul Mubin (Kemenangan Yang Nyata):

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya KAMI telah memberikan kepada kamu (wahai Rasul) akan kemenangan yang nyata”. [al-Fath: 1].

Maksud pembukaan yang nyata ini adalah Perjanjian Hudaibiah [Rujuk: Tafsir al-Tabari]. Dan ternyata hasil perjanjian Hudaibiah ini merupakan kemenangan yang besar bagi Islam dan Umatnya yang berakhir dengan pembukaan Makkah dan tersebarnya Islam di luar daripada Jazirah Arab.

Kata Saidina Ali r.a:

لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ، وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ

Maksudnya: “Jika agama ini dibina berdasarkan pandangan akal maka tentulah bahagian bawah khuf lebih utama untuk disapu daripada atasnya, namun aku melihat Rasulullah s.a.w menyapu bahagian atas kedua khuf baginda”. [HR Abu Daud].

Kata ‘Allamah Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah r.h [w.751 H]:

ومن اعترض على الكتاب والسنة بنوع تأويل من قياس أو ذوق أو عقل أو حال ففيه شبه من الخوارج أتباع ذي الخويصرة

Maksudnya: “dan barangsiapa yang menentang al-Kitab dan al-Sunnah dengan apa-apa jenis Takwil sama ada Qiyas atau Zauq (perasaan-perasaan hati), Akal, atau keadaan maka padanya terdapat kesamaan dengan Khawarij pengikut Zul Khuwaisirah”. [Al-Sawa’iq al-Mursalah, 1/308].

Menjadi suatu kewajipan atas seorang Mukmin dan Mukminah untuk mendahulukan wahyu atas pandangan-pandangan akal dan hawa nafsunya, emosi dan perasaan jiwanya, bahkan mendahului kemaslahatan peribadi dan keadaan semasa.

Namun, dewasa ini lebih banyak Umat Islam yang mendahulukan pandangan akal dan ijtihad peribadi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal atas dasar Maslahat, Maqasid, Tajribah (cubaan) dan lainnya.

Sesuatu perkara jika pada pandangan akal atau atas cubaan ia membawa manfaat dan ada kemaslahatan tidak bermakna bahawa Syarak membenar dan mengizinkannya, mengetahui sesuatu perkara itu baik atau buruk memang banyak caranya dengan fikir, pandang, rasa, dan kaji tetapi untuk mengetahui sama ada benda itu boleh atau tidak pada Syarak maka hanya ada dua sahaja kayu ukurnya: Al-Quran dan Al-Sunnah yang Sahihah.

Sesuatu perkara jika ada maslahah dan kebaikan maka tidak semestinya syarak akan membenarkannya kerana tidak semua maslahah diambil kira, di sana ada Maslahah yang Mulghah (Tidak diambil kira) oleh Syarak sebagaimana firman ALLAH berkenaan dengan Arak dan Judi:

فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya: “Pada keduanya (Arak dan Judi) itu terdapat keburukan yang besar dan terdapat juga manfaat-manfaat bagi manusia namun keburukan keduanya itu lebih besar dari kemanfaatan keduanya”. [Al-Baqarah: 219].

Demikian juga ada sesetengah perkara yang pada sangkaan manusia logik pada akal sebenarnya hanyalah Khayalan yang Tidak mungkin wujud, dan ada perkara yang pada sangkaan akal sesetengah manusia tidak logic tetapi sebenarnya akalnya yang rosak berlawanan dengan fitrah dan akal lain yang sihat.

Ketiga: Demokrasi dan Sistem-sistem Kufur

Dunia Islam hari ini sering diasak untuk melaksanakan Demokrasi dan Umat Islam hari ini sanggup bermandi darah untuk memperjuangkan Demokrasi tanpa mereka sedari Demokrasi adalah Syirik Akbar (Besar) yang menjadikan orang yang beriktiqad dengannya terkeluar daripada Islam –nauzubillah min zalik-.

Jauhar atau inti pati Demokrasi adalah: “Pemerintahan dari Rakyat, untuk Rakyat, oleh Rakyat” berlawanan dengan kehendak Islam di mana Negara Islam adalah: “Dari ALLAH untuk ALLAH kerana ALLAH dengan hukum ALLAH”.

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. [Yusuf: 40]

Demokrasi atau apa yang disebut sekarang sebagai: “Kuasa Rakyat” adalah kekufuran yang sama melanda kaum Yahudi dan Nasrani apabila mereka menjadikan suara majority sebagai asas dalam semua perkara termasuk dalam pembentukan akidah mereka di perhimpunan-perhimpunan Gereja (al-Majami’ al-Maskoniah).

Dengan Kuasa Rakyat dan Kehendak Rakyat, kaum Kafir Nasrani dan Yahudi menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal sebagaimana kita dapat saksikan di USA, UK, Rusia, dan lainnya.

Hari ini Umat Islam mengikut jejak langkah Umat sebelum mereka ini dan melaungkan slogan kufur yang sama dengan Umat-umat sebelum mereka yang telah dihukum musnah dan celaka oleh ALLAH di dunia dan akhirat –nauzubillah min zalik-.

Demikian juga sistem-sistem kufur lainnya seperti Kapitalis, Sosialis, Sekularisme, Liberalisme, yang semuanya berpaksi kepada mempertuhankan hawa nafsu dan menghalalkan apa yang ALLAH haramkan dan mengharamkan apa yang ALLAH halalkan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بَاعًا بِبَاعٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، وَشِبْرًا بِشِبْرٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَدَخَلْتُمْ فِيهِ» ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ، وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: «فَمَنْ إِذًا»

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a kata beliau: Bersabda Rasulullah s.a.w: “Kamu akan mengikut jejak langkah orang sebelum kamu sedepa demi sedepa, sehasta demi sehasta, dan sejengkal demi sejengkal, sehingga jika mereka masuk lubang biawak sekalipun maka kamu akan masuk ke dalamnya”. Mereka (para Sahabat) berkata: “wahai Rasulullah, adakah tuan maksudkan (dengan orang sebelum kamu) adalah Yahudi dan Nasrani?” Jawab baginda: “Jika bukan itu siapa lagi?” [HR Al-Bukhari, Ibn Majah, Ahmad dll, lafaz dlm Ibn Majah].

Hadis di atas merupakan khabar yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w akan apa yang dilakukan Umat baginda di akhir zaman dan tujuan baginda mengkhabarkan perkara ini yang tentunya baginda peroleh menerusi wahyu daripada ALLAH yang Maha Mengetahui supaya kita berhati-hati jangan sampai terjebak dengan perlakuan sebahagian kaum Fasiq yang meniru gaya hidup kaum kafir.

Hukum Mereka Yang Taat kepada Makhluk dalam Perkara yang Menyelisihi Syarak:

Para Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah telah merincikan masalah mereka yang mentaati makhluk dalam perkara maksiat sebagai berikut:

1- Mentaati perintah yang maksiat dalam menghalal dan mengharamkan dengan iktiqad bahawa yang diikutinya itu memang mempunyai hak Tasyri’ serta reda dengan hukum mereka itu mendahulukannya atas hukum ALLAH dan Rasul-Nya, maka ini adalah Syirik Akbar menjadikan pelakunya Murtad –nauzubillah min zalik-.

2- Mentaati perintah yang maksiat kerana hawa nafsu namun masih beriktiqad bahawa hak tasyri’ adalah milik ALLAH sahaja dan hukum ALLAH adalah yang benar. Maka hukumnya adalah Mukmin yang Berdosa (Fasiq Milli).

3- Mentaati perintah yang maksiat atas sangkaan bahawa itu adalah benar dan itulah hukum ALLAH (yakni Jahil). Maka jenis yang ketiga ini tidak lepas daripada dua keadaan:

i- Dia mampu belajar dan mencari kebenaran atau dijelaskan kepadanya kebenaran tetapi dia ingkar mendengarnya maka dia berdosa dan sama seperti jenis yang kedua.

ii- Tidak mampu belajar atau tiada yang mampu mengajarkannya, maka ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani kepada hamba-hambaNya, Dia tidak membebankan mereka melebihi dari kemampuan mereka, maka jenis ini diberi keuzuran.

Wallahul Muwaffiq.

17 Safar 1433 H, Madinah Nabawiah, Arab Saudi.

ALLAH MENCIPTAKAN ADAM a.s MENURUT RUPA-NYA?

16 Dis

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

UNIVERSITI ISLAM MADINAH NABAWIAH

Di antara pintu masuk Syaitan untuk menghalang manusia dari mengikuti kebenaran dan menyelewengkan mereka dari jalan al-Haqq adalah dengan menuduh Ahlus Sunnah wal Jamaah atau yang mereka namakan sebagai “Wahhabi” berakidah Taysbih yakni menyamakan ALLAH s.w.t dengan makhluk.

Antara dalih yang mereka gunakan adalah Hadis Sahih daripada Rasulullah s.a.w di mana baginda bersabda:

خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ

Maksudnya: “ALLAH mencipta Adam menurut rupa-Nya” [HR al-Bukhari].

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ فَإِنَّ اللَّهَ خَلَقَ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ

Maksudnya: “Jika seseorang kamu memukul maka hendaklah dia menjauhi wajah kerana sesungguhnya ALLAH mencipta Adam menurut rupa-Nya” [HR Abdullah bin Ahmad dlm al-Sunnah].

Sabda Rasulullah s.a.w:

لَا تُقَبِّحُوا الْوَجْهَ فَإِنَّ اللَّهَ خَلَقَ آدَمَ عَلَى صُورَةِ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: “Janganlah kamu menghina wajah (seseorang) kerana sesungguhnya ALLAH telah menciptakan Adam menurut rupa al-Rahman”. [HR Abdullah bin Ahmad dlm al-Sunnah, Ibn Battah dalam al-Ibanah al-Kubra, al-Tabrani dalam al-Mukjam al-Kabir, Ibn Abi ‘Asim dlm al-Sunnah, dll].

Prinsip Salafus Soleh berkenaan Hadis ini:

Ahlus Sunnah wal Jamaah beriman dengan hadis ini dan mereka tidak membantah apa yang sahih dan tsabit daripada Rasulullah s.a.w. Keimanan Ahlus Sunnah wal Jamaah berkenaan hadis ini adalah sama seperti mana keimanan mereka dengan sifat-sifat ALLAH yang lain iaitu: Menetapkan Sifat sesuai dengan zahirnya tanpa melakukan takwil dan tidak pula melakukan Tasybih dan Tamtsil.

Kata Imam al-Ajurri r.h:

هَذِهِ مِنَ السُّنَنِ الَّتِي يَجِبُ عَلَى الْمُسْلِمِينَ الْإِيمَانُ بِهَا , وَلَا يُقَالُ فِيهَا: كَيْفَ؟ وَلِمَ؟ بَلْ تُسْتَقْبَلُ بِالتَّسْلِيمِ وَالتَّصْدِيقِ , وَتَرْكِ النَّظَرِ , كَمَا قَالَ مَنْ تَقَدَّمَ مِنْ أَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Ini adalah daripada Sunnah-sunnah yang wajib atas kaum muslimin beriman dengannya dan tidak dikatakan padanya: Bagaimana? Dan Kenapa? Bahkan diterima dengan penuh penyerahan dan pembenaran dan meninggalkan perbuatan mencari-cari (kaifiatnya) seperti mana yang dikatakan oleh orang-orang terdahulu daripada Imam-imam kaum muslimin”. [al-Syari’ah, m.s 285]

Kata Imam Ibn Battah r.h:

وَكُلُّ مَا جَاءَ مِنْ هَذِهِ الْأَحَادِيثِ، وَصَحَّتْ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَفَرْضٌ عَلَى الْمُسْلِمِينَ قَبُولُهَا، وَالتَّصْدِيقُ بِهَا، وَالتَّسْلِيمُ لَهَا، وَتَرْكُ الِاعْتِرَاضِ عَلَيْهَا، وَوَاجِبٌ عَلَى مَنْ قَبِلَهَا، وَصَدَّقَ بِهَا أَنْ لَا يَضْرِبَ لَهَا الْمَقَايِيسَ، وَلَا يَتَحَمَّلَ لَهَا الْمَعَانِيَ وَالتَّفَاسِيرَ لَكِنْ تَمُرُّ عَلَى مَا جَاءَتْ وَلَا يُقَالُ فِيهَا: لِمَ؟ وَلَا كَيْفَ؟ إِيمَانًا بِهَا وَتَصْدِيقًا، وَنَقِفُ مِنْ لَفْظِهَا وَرِوَايَتِهَا حَيْثُ وَقَفَ أَئِمَّتُنَا وَشُيُوخُنَا، وَنَنْتَهِي مِنْهَا حَيْثُ انْتَهَى بِنَا

Maksudnya: “dan setiap yang datang daripada hadis-hadis dan sahih daripada Rasulullah s.a.w maka wajib atas kaum muslimin menerimananya dan membenarkannya dan menyerah diri kepadanya serta meninggalkan perbuatan membantahinya, demikian wajib pula bagi yang telah menerimanya dan membenarkannya untuk dia tidak melakukan qiyas (penyamaan) baginya dan tidak membawanya dengan makna-makna dan tafsiran-tafsiran (yang menyeleweng) tetapi hendaklah dibiarkan seperti mana ia datang (sesuai dengan zahirnya) dan tidak dikatakan: Kenapa? Dan Bagaimana? Sebagai tanda keimanan dengannya dan membenarkannya dan kita berhenti pada melafazkannya dan meriwayatkannya di mana para Imam-imam kita dan guru-guru kita berhenti padanya…” [Al-Ibanah al-Kubra, 7/244].

Daripada pernyataan para Ulama-ulama besar Islam ini, kita dapati bahawa bukanlah Wahhabi yang merekayasa akidah bahawa ALLAH mencipta Adam dalam rupa-Nya tetapi ianya akidah yang telah diimani dan diyakini para Ulama Salaf daripada Sahabat, Tabiin, Tabi’ Tabiin dan mereka yang berada di atas jalan Ulama Salaf ini.

Ulama’ Salaf Menolak Takwilan Terhadap Hadis ini:

Imam Ahmad r.h telah mengingkari mereka yang mentakwilkan hadis ini dengan makna ALLAH mencipta Adam dalam rupa Adam atau dalam rupa Tanah atau rupa orang yang dipukul.

Ditanya kepada Imam Ahmad bin Habal r.h berkenaan orang yang mentafsirkan hadis ini dengan makna ALLAH mencipta Adam dalam rupa tanah; lantas kata Imam:

“Ini adalah perkataan orang-orang Jahmiah” [Aqidah al-Rasikhin fil ‘Ilmi, juz 2, 666-667].

Demikian juga daripada Abu Talib al-Mishkani r.h kata beliau:

“Aku mendengar Abu Abdullah (Imam Ahmad) berkata: “Barangsiapa yang berkata: Sesungguhnya ALLAH mencipta Adam dalam rupa Adam, maka dia adalah seorang Jahmiah. Atas rupa apakah Adam itu sebelum dia diciptakan?” [ibid, m.s 667]

Kata Abdullah bin Ahmad:

“Seorang lelaki berkata kepada Ayahku (Imam Ahmad): Sesungguhnya seorang lelaki berkata kepadaku: ALLAH mencipta Adam menurut rupa-Nya yakni maksudnya rupa lelaki itu (yang dipukul) maka jawab beliau (Imam Ahmad): “Dusta! Ini adalah perkataan orang Jahmiah”. [ibid, m.s 668].

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h:

هذا الحديث لم يكن بين السلف من القرون الثلاثة نزاع في أن الضمير عائد إلى الله فإنه مستفيض من طرق متعددة عن عدد من الصحابة وسياق الأحاديث كلها يدل على ذلك

Maksudnya: “Hadis ini tidak ada percanggahan dalam kalangan Salaf daripada kurun yang tiga bahawa damir padanya merujuk kepada ALLAH, sesungguhnya ia telah datang dengan banyak jalan daripada beberapa Sahabat demikian juga susunan hadis-hadis semuanya menunjukkan perkara itu…” [Bayan Talbis Jahmiah, 6/373]

Zahir Hadis Tiada Padanya Tamtsil:

Hadis ALLAH menciptakan Adam dalam rupa-Nya s.w.t tidaklah membawa maksud Tamtsil (menyamakan) antara makhluk dengan Khaliq kerana pernyataan: sesuatu itu menurut rupa sesuatu; tidak bermaksud ia menyerupainya dari semua bentuk.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

أَوَّلُ زُمْرَةٍ تَلِجُ الجَنَّةَ صُورَتُهُمْ عَلَى صُورَةِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ

Maksudnya: “Awal golongan yang memasuki syurga, rupa mereka itu menurut seperti rupa bulan purnama …” [HR al-Bukhari & Muslim].

Lafaz: “rupa mereka seperti rupa bulan purnama” tidak bermaksud rupa Ahli Syurga itu seratus peratus seperti bulan, tiada mata, tiada hidung, dan lainnya, tetapi yang dimaksudkan dari segi kecerahan, keindahan, bersinar-sinar dan berseri-seri.

Maka difahami daripada ini, hadis: ALLAH mencipta Adam menurut rupa Al-Rahman; tidaklah bermaksud menyamakan Adam a.s dan mentamsilkan Adam a.s dengan ALLAH ta’ala. Bahkan ALLAH mencipta Adam a.s menurut rupa-Nya s.w.t namun ALLAH dan Adam tiada persamaan dan tamstil sama sekali. [rujuk: Syarah Hadis 40, Ibn Utsaimin, m.s 45-46]

JAMAAH TABLIGH

21 Okt

SOALAN:

Saya ada membaca beberapa fatwa oleh pihak Samahah Tuan (Mufti) di mana anda menggalakkan para penuntut ilmu untuk keluar bersama Jamaah Tabligh, segala puji bagi ALLAH kami telah keluar bersama mereka dan kami mendapat banyak faedah akan tetapi wahai Syaikh ku yang utama, saya mendapati terdapat amalan-amalan (yang dilakukan oleh mereka) tidak terdapat dalam Kitab ALLAH dan Sunnah Rasul sallallahu ‘alai wa sallam seperti:

1- Membuat halaqah dalam masjid yang terdiri dari dua orang atau lebih kemudian saling mengingati 10 surah terakhir daripada al-Quran dan berterusan melakukannya dengan cara ini setiap kali kami keluar padanya.

2- Iktikaf pada hari Khamis secara berterusan.

3- Menghadkan hari-hari tertentu untuk keluar iaitu: 3 hari dalam sebulan, 40 hari dalam setahun, dan 4 bulan dalam seumur hidup.

4- Membaca Doa beramai-ramai secara berterusan setiap kali selepas Bayan.

Maka bagaimanakah wahai Syaikh ku yang utama, jika saya keluar bersama Jamaah ini saya perlu melakukan amalan-amalan ini sedangkan ianya tidak warid dalam Kitab ALLAH dan tidak pula dalam Sunnah Rasul sallallahu ‘alaihi wa sallam? Dalam keadaan diketahui wahai Syaikh ku yang utama bahawa sukar untuk mengubah manhaj (mereka) ini dan ini adalah cara mereka maka kami berharap diberi penjelasan.

JAWAPAN:

Apa yang anda sebutkan berkenaan amalan-amalan Jamaah ini semuanya adalah BIDAAH maka TIDAK BOLEH menyertai mereka sehinggalah mereka melazimi Manhaj al-Kitab dan al-Sunnah dan meninggalkan bidaah-bidaah dalam perkataan-perkataan mereka, amalan-amalan mereka, dan akidah mereka.

وبالله التوفيق، وصلى الله على نبينا محمد وآله وصحبه وسلم.

Lajnah Tetap untuk Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi.

Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz – Ketua

Abdullah bin Ghudian – Ahli

Soleh al-Fauzan – Ahli

Abdul Aziz Al Syeikh – Ahli

Bakr Abu Zaid – Ahli

[Sumber: Fatwa Lajnah Tetap untuk Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi, Majmu’ah (Himpunan) Kedua, Jil 2, m.s 45-46, No. Fatwa: 17776].

HUKUM KELUAR BERSAMA JAMAAH TABLIGH

20 Okt

OLEH: IMAM ABDUL AZIZ BIN ABDULLAH BIN BAZ R.H

TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI

SOALAN:

Saya telah keluar bersama Jamaah Tabligh ke India dan Pakistan, dan adalah kami berhimpun dan bersolat di masjid yang terdapat padanya kubur dan saya mendengar bahawa solat di masjid yang terdapat padanya kubur adalah batal (tidak sah) maka apakah pandangan anda berkenaan solat saya ini? Adakah perlu saya mengulanginya? Dan apakah hukum keluar bersama mereka (Jamaah Tabligh) ke tempat-tempat ini?

JAWAPAN:

بسم الله، والحمد لله، أما بعد:

Jamaah Tabligh Tidak mempunyai Ilmu yang mendalam dalam masalah-masalah Akidah, maka TIDAK BOLEH keluar bersama mereka melainkan bagi mereka yang mempunyai ilmu dan pengetahuan luas akan Akidah yang Sahih yang dipegang oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah supaya dia boleh memberi petunjuk kepada mereka, menasihati mereka, dan bekerjasama dengan mereka atas kebaikan; kerana mereka ini aktif dalam gerak kerja mereka tetapi mereka memerlukan lebih lagi ilmu dan orang yang mengajarkan kepada mereka daripada kalangan Ulama Tauhid dan Sunnah.

Semoga ALLAH memberikan rezeki kepada semua dengan kefahaman dalam agama dan tetap di atasnya.

Adapun solat di masjid-masjid yang terdapat padanya kuburan maka ia TIDAK SAH dan wajib engkau ulang solat yang telah engkau solat di dalamnya kerana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam:

لعن الله اليهود والنصارى اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد

Maksudnya: “ALLAH melaknat Yahudi dan Nasrani kerana mereka itu mengambil kuburan para Nabi mereka sebagai tempat ibadat.” [HR al-Bukhari & Muslim].

Hadis ini disepakati akan kesahihannya. Demikian juga sabda baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam:

ألا وإن من كان قبلكم كانوا يتخذون قبور أنبيائهم وصالحيهم مساجد، ألا فلا تتخذوا القبور مساجد؛ فإني أنهاكم عن ذلك

Maksudnya: “Sesungguhny orang-orang sebelum kamu mengambil kuburan para Nabi mereka dan orang-orang soleh mereka sebagai tempat ibadat, maka janganlah kamu menjadikan kuburan sebagai tempat ibadat kerana sesungguhnya aku melarang kamu daripada itu”.

Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahih beliau dan hadis-hadis berkenaan bab ini sangatlah banyak.

وبالله التوفيق، وصلى الله على نبينا محمد، وآله وصحبه وسلم.

Sumber: Majmuk Fatawa Ibn Baz, 8/331

Komentar:

Daripada penjelasan Imam Ibn Baz rahimahullah ini, jelas bahawa beliau MENTAHZIR Jamaah Tabligh kerana kata beliau:

TIDAK BOLEH keluar bersama mereka

Namun, Imam Ibn Baz r.h melihat adanya kelonggaran kepada para Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah yang kukuh Ilmu Akidah mereka dan Iktiqad mereka untuk keluar bersama Jamaah Tabligh untuk “berdakwah” kepada mereka bukan menjadi Ahli Jamaah Tabligh. Kata beliau:

supaya dia boleh memberi petunjuk kepada mereka, menasihati mereka, dan bekerjasama dengan mereka atas kebaikan

Hal ini kembali kepada kaedah dan dawabit Wasail Dakwah jika ianya memberikan kesan dan faedah maka boleh kepada seorang da’ie masuk ke kawasan yang ada kemungkaran untuk mengubahnya, adapun jika wasilah ini tidak memberikan hasil yang besar pada sangkaan yang kuat maka dikembalikan kepada hukum asal iaitu “Tidak Boleh”.

Adapun golongan awam, penuntut-penuntut ilmu yang tidak kukuh ilmu dan akidah mereka yang terdedah kepada syubhat-syubhat, maka mereka ini tidak ada kelonggaran sama sekali untuk mengikut keluar dan hadir di majlis-majlis Jamaah Tabligh ini kerana kehadiran mereka tiada faedah dan manfaat sama sekali bahkan mudarat amat besar.

Maka perlulah mentahzir Jamaah Tabligh secara umum kerana majoriti manusia di zaman kini adalah golongan awam dan penuntut-penuntut ilmu, maka mereka yang mentahzir Jamaah Tabligh telah melakukan tindakan yang sesuai dengan taujihat dan fatwa Imam Ibn Baz r.h di atas tiada perlawanan dan pertentangan sama sekali.

Semoga kita diberi kefahaman yang benar dan jelas oleh ALLAH s.w.t dan keteguhan dalam menjalankan suruhanNya. Ameen.

Hadis : “Aku melihat Tuhanku dalam bentuk seorang pemuda amrad, rambutnya sangat kerinting dan lebat di dalam taman yang hijau.”

14 Okt

Oleh: Panel Kajian Ilmiah Laman Web Dorar.net

Terjemahan: Sohibul Fadilah Ustaz Idris bin Sulaiman

Sesetengah golongan bidaah menuduh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah sebagai Mujassim (mengatakan bahawa Allah bertubuh badan) kerana beliau mensahihkan Hadis:

” رَأَيْتُ رَبِّي فِي صُورَةِ شَابٍ أَمْرَدٍ لَهُ وَفْرَةُ جَعْدٍ قَطَطٍ في رَوْضَةٍ خَضْرَاء “

(Aku melihat Tuhanku dalam bentuk seorang pemuda amrad

(yang tidak bermisai dan tidak berjanggut), rambutnya sangat kerinting

dan lebat di dalam taman yang hijau)

Bagi menjawab tuduhan ini, saya katakan:

Hadis ini diriwayatkan melalui dua jalur dengan lafaz-lafaz yang berbeza.

Jalur Riwayat yang Pertama: Daripada riwayat Qatadah, daripada Ikrimah, daripada Ibnu Abbas radhiallahu anhuma secara marfu’.

Antara lafaznya:

” أَنَّ مُحَمَّداً رَأى رَبَّهُ فِي صُورَةِ شَابٍ أَمْرَدٍ مِنْ دُونِهِ سِتْرٌ مِنْ لُؤْلُؤٍ، قَدَمَيْهِ ، أوْ قَالَ: رِجْلَيْهِ فِي خَضِرَةٍ “

(Bahawasanya Muhammad melihat Tuhannya dalam bentuk seorang lelaki tidak bermisai dan tidak berjanggut, dia dikelilingi mutiara dan kedua kakinya di atas rumput)

” رَأَيْتُ رَبِّي جَعْداً أَمْرَدٍ عَلَيْهِ حُلَّةٌ خَضْرَاءٍ “

(Aku melihat Tuhanku berambut kerinting, tidak bermisai, tidak berjanggut dan berpakaian cantik berwarna hijau)

” رَأيْتُ رَبِّي فِي صُورَةِ شَابٍّ أمْرَدٍ جَعْدٍ عَلَيْهِ حُلَّةٌ خَضْرَاءٌ “

(Aku melihat Tuhanku dalam bentuk seorang pemuda yang tidak bermisai, tidak berjanggut, berambut kerinting dan berpakaian cantik berwarna hijau)

Hadis ini daripada jalur riwayat ini disahihkan oleh sebahagian ulama antara mereka:

  1. Imam Ahmad (المنتخب من علل الخلال , hlm. 282 dan ابطال التأويلات لأبي يعلى , 1/139).
  2. Abu Zur’ah Al-Razi (إبطال التأويلات لأبي يعلى  , 1/144 ) .
  3. Al-Tabarani (إبطال التأويلات لأبي يعلى  , 1/143 ) .
  4. Abu Al-Hasan bin Basyar ( إبطال التأويلات  , 1/142-143, 222) .
  5. Abu Ya’la (إبطال التأويلات  , 1/142-143, 222) .
  6. Ibnu Sadaqah (إبطال التأويلات , 1/144 ) .
  7. Ibnu Taimiyah ( بيان تلبيس الجهمية , 7/290,356 ) .

Sebahagian ulama yang lain mendaifkannya seperti Ibnu Al-Jauzi (العلل المتناهية , 1/36) dan Imam Al-Zahabi yang mengingkarinya (سير أعلام النبلاء  , 10/113 ). Al-Subki dalam   ( طبقات الشافعية الكبرى  , 2/312 ) berkata “Ia maudu’ (Palsu) dan satu pendustaan terhadap Rasulullah sallalahu alaihi wasallam. “

Jalur Riwayat yang Kedua: Daripada Hadis Marwan bin Uthman, daripada Ammarah bin Amir, daripada Al-Tufail isteri Ubai bin Kaab secara marfu’.

Antara lafaznya:

  ” رَأَيْتُ رَبِّي فِي المَنَامِ فِي صُورَةِ شَابٍّ مُوَقَّرٍ فِي خَضِرٍ، عَلَيْهِ نَعْلانِ مِنْ ذَهَبٍ، وَعَلَى وَجْهِهِ فِراشٌ مِنْ ذَهَبٍ “

(Aku melihat Tuhanku dalam mimpi dalam bentuk seorang pemuda yang dihormati, berpakaian kehijauan, berselipar emas dan atas mukanya selimut daripada emas).

” يُذْكَرُ أنَّهُ رَأى رَبَّهُ عِزَّ وَجَلَّ فِي المِنَامِ فِي صُورَةِ شَابٍّ مُوفَرٍ فِي خَضِرٍ عَلى فِرَاشٍ مِنْ ذَهَبٍ فِي رِجْلَيْهِ نَعْلانِ مِنْ ذَهَبٍ “

(Disebutkan bahawa beliau melihat Tuhannya dalam mimpi dalam bentuk seorang pemuda yang dihormati, berpakaian kehijauan, sedang duduk di atas selimut emas dan berselipar emas).

” أنَّهُ رَأى رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي النَّوْمِ فِي صُورَةِ شَابٍّ ذِي وَفْرَةٍ، قَدَمَاهُ فِي الخَضِرَةِ، عَلَيْهِ نَعْلانِ مِنْ ذَهَبٍ ، عَلَى وَجْهِهِ فِراشٌ مِنْ ذَهَبٍ “

(Bahawasanya beliau melihat Tuhannya dalam tidur dalam bentuk seorang pemuda yang berisi, kedua kakinya atas rumput yang hijau, berselipar emas dan atas mukanya selimut emas)

Hadis ini disahihkan oleh Al-Hassan bin Basyar dan Abu Ya’la dalam                                 ( طبقات الحنابلة لأبي يعلى  , 2/59 ).

Sebahagian ulama yang lain mendaifkannya serta mengingkarinya seperti:

  1. Imam Ahmad ( المنتخب من علل الخلال لابن قدامة  , hlm. 284 ).
  2. Yahya bin Ma’in ( تاريخ بغداد للخطيب  , 13/311 ) .
  3. Al-Nasa’I ( العلل المتناهية لابن الجوزي  , 1/30 ) .
  4. Ibnu Hibban ( الثقات  , 5/245 ) .
  5. Al-Subki ( طبقات الشافعية الكبرى  , 2/312 ) .
  6. Ibnu Hajar (تهذيب التهذيب  , 10/86 ) .
  7. Al-Sayuti ( اللآلي المصنوعة  , 1/30) .
  8. Al-Syaukani ( الفوائد المجموعة  , hlm. 447) .

Semua para ulama yang mensahihkan hadis ini menetapkan bahawa ia adalah ‘rukyah’ mimpi dan bukan apa yang dilihat dengan mata kepala. Oleh itu, hadis ini tidak menimbulkan sebarang kemusykilan yang boleh digunakan oleh golongan hawa nafsu terhadap Ahli Sunnah.

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam ‘Bayaan Talbiis Al-Jahmiyah’ (7/229) “Kesemuanya (riwayat-riwayat Hadis) menunjukkan bahawa ia adalah suatu ‘rukyah’ mimpi yang berlaku ketika Baginda di Madinah kecuali hadis Ikrimah daripada Ibnu Abbas. Dan para ulama telah menjadikan asal kedua-dua hadis itu (iaitu hadis daripada riwayat Ibnu Abbas dan Umm Al-Tufail) sebagai satu.”

Kata beliau lagi (Bayaan Talbis Al-Jahmiyah, 7/194), “Dan Imam Ahmad yang meriwayatkan hadis ini berterus-terang mengatakan bahawa ia adalah suatu ‘rukyah’ mimpi.”

Terdapat juga penegasan beliau bahawa Allah tidak boleh dilihat di dunia dengan mata kepala dalam kitab beliau ‘Minhaaj Al-Sunnah’ (2/313) yang mana ketika beliau menyanggah golongan Mujassimah (yang mengatakan bahawa Allah bertubuh badan) beliau berkata,”Mereka telah menghimpunkan apa yang dinafikan oleh Allah dan RasulNya sehingga mengatakan bahawa Allah boleh dilihat di dunia dengan mata kepala.”

Kata beliau dalam ‘Al-Wasiyyah Al-Kubra’ (hlm. 77), “Semua mereka yang mengatakan bahawa mereka telah melihat Tuhannya dengan mata kepalanya telah melakukan suatu kesilapan menurut ijmak para ulamak.”

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah tidak bersendirian dalam menafikan ketiadaan kemusykilan dalam hadis ini kerana ia adalah ‘rukyah’ mimpi. Terdapat para ulama lain yang turut berpendapat begitu. Antara mereka adalah:

1-      Berkata Imam Al-Zahabi dalam ‘Miizan Al-I’tidal’ (1/594), “Apa yang dilihat ini adalah ‘rukyah’ mimpi sekiranya (riwayat adalah) sahih.”

2-      Berkata Imam Al-Sayuuti dalam ‘Al-La’ali Al-Masnuu’ah’ (1/34), “Hadis ini sekiranya ditafsirkan sebagai suatu ‘rukyah’ mimpi maka tiada kemusykilan dalamnya.”

3-      Al-Ajluuni dalam ‘Kasyf Al-Khafaa’ (1/437) telah menukil kata-kata Al-Sayuuti di atas tanpa menafikannya.

4-      Al-Mu’allami dalam ‘Al-Tankiil’ (1/253) berkata, “Terdapat antara jalur-jalur riwayat Hadis ini yang menunjukkan bahawa ia adalah ‘rukyah’ mimpi malah antaranya secara jelas menetapkannya begitu. Sekiranya begitu, maka tertolaklah sanggahan yang ada terhadapnya secara total.”

Berkata Imam Al-Darimi dalam ‘Al-Naqdh A’la Al-Marisi‘ (2/738) tentang hadis ‘Tuhanku datang kepadaku dalam sebaik-baik keadaan’, “Apa yang dimaksudakan adalah dalam ‘rukyah’ mimpi dan Allah boleh dilihat dalam mimpi dalam apa jua keadaan dan bentuk.”

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam ‘Bayaan Talbis Al-Jahmiyah’ (1/325-328):

“Perkataan ‘rukyah’ (penglihatan) walaupun pada asalnya ia sepadan (dengan hakikat sesuatu itu- penterjemah) tetapi ada kalanya ia tidak sepadan. Sepertimana firmanNya:

أَفَمَنْ زُيِّنَ لَهُ سُوءُ عَمَلِهِ فَرَآهُ حَسَنًا

(Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia melihatnya baik) (Fatir, 8).

FirmanNya:

يَرَوْنَهُمْ مِثْلَيْهِمْ رَأْيَ الْعَيْنِ

(Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata mereka – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri) (Aali Imran, 13).

Boleh jadi sesuatu sangkaan atau bayangan itu menepati (hakikat sesuatu itu) daripada satu sudut walaupun pada realitinya ia tidak menepati hakikat sesuatu itu sepenuhnya. Sepertimana apa yang dilihat oleh manusia dalam mimpi mereka. Barangkali ketika jaga mereka melihat apa yang dilihat dalam mimpi sama ada sesuatu gambaran, perbuatan ataupun kata-kata. Ia adalah ibarat gambaran buat hakikat sesuatu itu. Sepertimana Nabi Yusuf melihat bintang-bintang, Matahari dan Bulan sujud kepadanya. Tidak syak bahawa ia adalah suatu yang digambarkannya sedangkan hakikatnya ia adalah perbuatan kedua ibubapa dan adik-beradiknya sujud kepadanya. Berkata Nabi Yusuf:

يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا

(“Wahai ayahku! Inilah Dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar) (Yosuf, 100).

 

Begitu juga dengan ‘rukyah’ mimpi si Raja yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf. Si Raja telah bermimpi melihat tangkai tumbuhan dan lembu walhal hakikat tafsirnya adalah kesuburan dan kemarau. Apa yang dilihatnya dalam mimpi itu adalah benar sepertimana yang tergambar buatnya. Dengan erti kata lain apa yang dilihat dalam mimpi itu ada tafsirannya. Tafsirannya sesuai dengan apa yang dilihat dalam mimpi itu dan terdapat beberapa persamaan (antara apa yang dilihat dalam mimpi serta penafsirannya) daripada beberapa sudut. Sesungguhnya penafsiran mimpi kembali kepada qias, pengamatan, penyamaan dan kesesuaian. Maka sesiapa yang beranggapan bahawa apa yang tergambar dalam fikiran serta apa yang dikhayalkan dalam mimpi akan menepati realiti sesuatu itu di alam nyata sepadan dengan apa yang dilihat dengan mata kepala, dia telah silap. Sepertimana mereka yang beranggapan bahawa Matahari itu sendiri yang ada di langit serta bulan dan bintang telah keluar dari tempatnya untuk datang dan sujud kepada Nabi Yosuf dan memang terdapat tujuh lembu gemuk yang telah memakan tujuh lembu yang kurus. Jelas tanggapan ini adalah batil.

Atas dasar ini, boleh jadi seseorang itu bermimpi melihat tuhannya serta berbicara denganNya. Mimpi yang sebegini memang benar boleh berlaku. Tetapi orang itu tidak boleh beranggapan bahawa hakikat Allah adalah sepertimana yang dilihatnya dalam mimpinya itu. Ini kerana apa yang terbayang dalam mimpi tidak semestinya menyamai hakikat sesuatu itu. Tetapi apa yang digambarkan dalam mimpi perlu sesuai dan menepati dengan kepercayaannya terhadap tuhannya.

Sesuai dengan keimanan dan kepercayaannya, itulah yang tergambar buatnya dalam mimpinya. Sesetengah para ulama berkata, ‘sekiranya seseorang itu melihat tuhannya dalam suatu bentuk, bentuk itulah yang akan menjadi ‘hijab’ (pemisah) antara orang itu dan Allah.

Orang-orang soleh akan terus-menerus melihat Allah dalam tidur mereka serta berbicara denganNya. Saya beranggapan bahawa tidak akan ada yang mengingkari hal ini. Ini kerana ia adalah suatu yang tidak mungkin dapat dinafikan memandangkan suatu mimpi itu datang kepada seseorang tanpa pilihannya. Hal ini diakui oleh semua orang.

Para ulama Usuluddin daripada kalangan sahabat-sahabat kita dan selain mereka telah menyebutkan tentang golongan Muktazilah dan selain mereka yang mengingkari kemampuan melihat Allah. Walhal nukilan tentang mereka yang bermimpi melihat Allah dalam mimpi adalah mutawatir. Tetapi barangkali mereka beranggapan bahawa seseorang itu tidak boleh mempercayai bahawa dia melihat Allah dalam mimpinya. Makanya, mereka menganggap bahawa mimpi yang sebegini adalah karut semata-mata. Penafian mereka ini terhadap kebenaran ‘rukyah’ mimpi melihat Allah jelas suatu yang melampau. Kumpulan Jahmiah juga berpendapat sebegini. Pendapat ini adalah batil dan menyelisihi apa yang telah dipersetujui oleh Generasi Salaf serta ulama mereka. Malah, ia menyelisihi apa yang telah dipersetujui oleh semua mereka yang berakal daripada kalangan anak Adam.

Sesungguhnya ‘rukyah’ mimpi melihat Allah ketika tidur tidaklah menjadi kekurangan mahupun kecacatan terhadap Allah subhanahu wata’ala. Cuma ia bergantung kepada keadaan si orang yang bermimpi itu daripada sudut sejauh mana keimanan dan istiqamahnya.

Adapun kata-kata sebahagian orang bahwa apa jua yang terlintas dalam fikiran atau khayalan, maka Allah bersifat sebaliknya dan tidaklah bersifat sebegitu. Kata-kata ini ada benarnya. Kita tidak boleh beranggapan bahawa apa yang dikhayalkan oleh seseorang ketika mimpi atau jaga tentang bentuk Allah, maka Allah sememang bersifat begitu. Hakikat Allah tidak sebegitu. Malah bentuk jin dan malaikat pun tidak akan dapat dibayangkan oleh manusia mengikut bentuknya yang sebenar. Barangkali apa yang dibayangkan itu ada kesesuaian dan kesamaannya tetapi Allah ta’ala adalah Maha Agong dan Maha Besar.” Tamat kata-kata beliau.

Maka perbuatan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mensahihkan hadis “Aku melihat Tuhanku dalam bentuk seorang pemuda yang tidak bermisai dan tidak berjanggut…” tidak bererti bahawa beliau mempercayai bahawa hakikat Allah adalah dalam bentuk seorang pemuda amrad yang tidak bermisai dan tidak berjanggut. Tetapi seperti mana kata beliau, Kita tidak boleh beranggapan bahawa apa yang dikhayalkan oleh seseorang ketika mimpi atau jaga tentang bentuk Allah, maka Allah sememang bersifat begitu. Hakikat Allah tidak sebegitu. Malah bentuk jin dan malaikat pun tidak akan dapat dibayangkan oleh manusia mengikut bentuknya yang sebenar.”

Bagaimana mungkin kita boleh mengatakan bahawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah beranggapan bahawa Allah berbentuk seorang pemuda amrad? Maha suci Allah daripada itu. Beliau jauh sekali daripada beranggapan begitu. Ini kerana beliau hanya mensifatkan Allah seperti mana yang Allah sifatkan buat diriNya atau yang disifatkan oleh Rasulullah sallalahu alaihi wasallam.

Penjelasan dan sanggahan beliau terhadap golongan ‘Mujassimah’ (yang menganggap bahawa Allah bertubuh badan) banyak sekali.

Antaranya kata-kata beliau dalam ‘Minhaaj Al-Sunnah’ (2/313):

“Mereka yang menetapkan sifa-sifat Allah (daripada golongan Mujassimah) telah menghimpunkan (sifat-sifat)  yang telah dinafikan sendiri oleh Allah dan RasulNya. Mereka sehingga berkata: Allah boleh dilihat di dunia dengan mata kepala, berjabat tangan, memeluk, turun ke bumi, datang pada waktu siang hari Arafah dengan menaiki unta untuk memeluk jemaah Haji yang berjalan dan berjabat tangan dengan mereka yang berkenderaan. Ada antara mereka yang berkata: Allah boleh menyesal, menangis dan bersedih. Ada yang lain pula berkata: Allah berdarah daging. Inilah antara ungkapan mereka yang jelas menyamakan sifat Tuhan Pencipta yang Maha Agong dengan sifat manusia. Walhal Allah subhanahu wata’ala bebas daripada sifat-sifat yang khas buat makluknya. Sesungguhnya segala sifat yang khas buat makhluk adalah sifat yang serba kurang. Allah bebas dariapada segala kekurangan. Hanya kesempurnaan sahaja yang layak buatNya. Tidak ada yang menyamaiNya dalam kesempurnaan ini. Allah secara mutlaknya bebas daripada sebarang kekurangan dan bebas daripada sebarang tandingan.” Tamat kata-kata beliau.

Apakah seseorang yang menolak golongan Mujassimah dengan kata-kata yang sebegini boleh dianggap tergolongan dalam golongan Mujassimah juga? “Maha suci Engkau (Ya Allah) sungguh ini adalah satu dusta yang besar. ” (Al-Nur, 16). 

BACAAN-BACAAN KETIKA BERBUKA PUASA

31 Jul

OLEH: FAQIH AL-ZAMAN IBN USAIMIN RH

TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI

Dan perkataan beliau: (dan mengucapkan apa yang warid): Yakni disunatkan menyebut apa yang warid daripada Nabi s.a.w ketika berbuka puasa, dan diketahui warid (daripada Nabi s.a.w) ketika hendak berbuka puasa dan selainnya membaca Bismillah ketika hendak makan dan minum dan ia (membaca bismillah) atas pendapat yang terkuat adalah WAJIB yakni jika seseorang hendak makan atau minum maka WAJIB atasnya untuk mebaca Bismillah. Dalilnya adalah seperti berikut:

Pertama: Nabi s.a.w memerintahkannya[1].

Kedua: Perkhabaran baginda s.a.w  bahawa Syaitan akan makan bersama dengan orang yang tidak membaca Bismillah.

Ketiga: Tindakan baginda menahan tangan seorang Jariah dan seorang Badwi yang datang untuk makan sebelum mereka membaca bismillah dan baginda memberitahu bahawa Syaitan yang menolak (mendorong) mereka (untuk makan) dan bahawa tangan syaitan bersama dengan tangan mereka berdua yang sedang dipegang olehNabi s.a.w dihalang daripada makan.

Tetapi jika dia terlupa maka hendaklah mengucapkan:

بسم الله أوله وآخره

Maksudnya: “Dengan Nama ALLAH pada awal dan akhirnya” [Abu Daud, al-Tarmizi, dan Ahmad].

Demikian juga apa yang warid (daripada Nabi s.a.w) sewaktu berbuka puasa dan lainnya adalah mengucapkan al-Hamdulillah selepas selesai (makan atau minum) kerana ALLAH reda kepada hambaNya yang memuji-Nya setelah dia makan dan setelah dia minum[2].

Adapun apa yang diriwayatkan berkaitan bacaan ketika berbuka puasa (bacaan khusus) seperti:

اللهم لك صمت، وعلى رزقك أفطرت، اللهم تقبل مني إنك أنت السميع العليم

Maksudnya: “Ya ALLAH, aku berpuasa kerana-Mu, atas rezeki dari Kamu jua aku berbuka, Ya ALLAH terimalah daripada aku, sesungguhnya Engkau maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.[3]

Demikian juga datang beberapa atsar yang lain juga berkenaan bacaan (khusus) ketika berbuka, dan semuanya pada sanad masing-masing terdapat masalah, tetapi jika dibaca oleh seseorang maka ianya tidak menjadi kesalahan.

Antaranya juga (bacaan khusus ketika berbuka) adalah apabila hari yang panas lalu dia minum setelah berbuka maka dia mengucapkan:

ذهب الظمأ، وابتلت العروق، وثبت الأجر إن شاء الله

Maksudnya: “Telah hilanglah kedahagaan, telah basah pula kerongkong, dan telah tsabit pula pahala insya-ALLAH”.[4]

Hilangnya dahaga dengan minum amat jelas, demikian juga basahnya urat kerongkong jelas (ianya disebabkan minum) maka seorang manusia jika dia minum dalam keadaan dia dahaga, dia berasa apabila air sampai ke dalam perutnya air itu mengalir ke seluruh tubuhnya dan dia berasa sangat puas seraya dia berkata dalam hatinya: “Maha Suci ALLAH yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui yang mengalirkan air ini dengan begitu cepat (dalam tubuhnya)”.

Zahir hadis ini menunjukkan bahawa zikir ini dibaca jika seorang yang berpuasa itu berada dalam keadaan dahaga dan kerongkongnya kering.[5]

 

Sumber: Al-Syarhul Mumti’ ‘ala Zadil Mustaqni’, 6/441.


[1]. Asal setiap perintah syarak adalah wajib kecuali ada dalil lain yang mengalihkannya kepada sunat atau harus. Hadis perintah ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf hadis no 24441

[2]  Hadis Riwayat Muslim

[3]  Dikeluarkan oleh al-Daruqutni dan Ibn Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wal Lailah. Ianya da’if sebagaimana dinyatakan  Imam Ibn al-Qayyim r.h dalam Zadul Ma’ad.

[4]  Dikeluarkan oleh al-Daruqutni dan al-Hakim. Imam al-Daruqutni menyatakan hadis ini Hasan.

[5] yakni dibaca setelah berbuka puasa dengan meminum air setelah berpuasa dengan keadaan dahaga dan kering disebabkan cuaca panas

BERHUKUM DENGAN HUKUM ALLAH

1 Jul

WAJIB berhukum dengan (hukum) al-Kitab (Al-Quran) dan al-Sunnah dalam semua perselisihan (yang berlaku), bukan dalam sebahagian sahaja tidak dalam sebahagian yang lain, maka wajib berhukum dengannya dalam urusan Akidah, dan ini adalah yang paling penting sekali, dalam perselisihan berkaitan dengan Hak-hak antara manusia, dalam perselisihan berkaitan Manhaj dan Mazhab, dan perselisihan Fiqh.

ALLAH berfirman:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ

Maksudnya: “Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada ALLAH dan Rasul..” [al-Nisaa: 59].

Adapun mereka yang hendak mengambil satu sisi sahaja (dalam berhukum dengan hukum ALLAH) dan meninggalkan apa yang lebih penting daripadanya maka ini bukanlah berhukum dengan Kitab ALLAH (dengan ertikata yang sebenar), maka demikianlah apa yang diperkatakan oleh penyeru kepada (Tauhid) al-Hakimiah pada hari ini bahawa mereka mengkehendaki berhukum dengan Syariat dalam perselisihan hak-hak tetapi mereka tidak pula berhukum dengannya dalam persoalan Akidah, mereka berkata: “Manusia itu bebas dalam persoalan Akidah”. Cukuplah dia berkata: “Aku Muslim”, (tidak ada masalah) sama ada dia Rafidi atau Jahmi atau Muktazili atau lainnya, “Kita bersatu atas apa yang kita sepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang kita selisihi”.

Inilah kaedah yang mereka letakkan dan mereka  namakan sebagai ‘Kaedah Emas’ yang pada hakikat sebenarnya adalah: Berhukum dengan al-Kitab dalam sebahagian perkara tetapi meninggalkannya dalam perkara yang lebih penting kerana berhukum dengan Syariat dalam persoalan Akidah lebih besar daripada berhukum dengannya dalam masalah pertelingkahan Hak.

Maka berhukum dengannya (Syariat) dalam persoalan Akidah, meruntuhkan Syirik dan Kubur-kubur yang menjadi sembahan dan masyhad-masyhad Syirik, dan memerangi orang-orang musyrikin sehingga mereka beriman dengan ALLAH dan Rasul-Nya ini lebih penting.

Maka mereka yang mengambil sisi Hakimiah sahaja dan mengabaikan sisi Akidah, mengabaikan persoalan Manhaj dan Mazhab yang memecahbelahkan manusia pada hari ini dan mengabaikan masalah perselisihan dalam Fiqh (dalam berhukum dengan Syariat) lalu berkata: Pendapat para Fuqaha’ semuanya sama sahaja, kita ambil sahaja yang mana satu pun (tidak ada masalah) tanpa melihat kepada sandarannya, ini adalah perkataan yang BATIL kerana yang wajib kita mengambil pendapat yang tegak padanya dalil, maka hendaklah dihukum dengan Kitab ALLAH setiap perselisihan dalam masalah Akidah dan ini yang paling penting sekali, pertelingkahan dalam hak-hak, pertelingkahan dalam Manhaj, dan pertelingkahan dalam Fiqh.

Firman ALLAH:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ

Maksudnya: “maka jika kamu berselisih dalam suatu perkara ..”

Ini adalah umum (dalam segenap hal).

Firman ALLAH:

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللهِ

Maksudnya: “dan apa yang kamu selisihkan berkenaannya daripada sesuatu maka hukumnya adalah (dikembalikan) kepada ALLAH ..” [al-Syura: 10].

Perintah ini juga Umum (meliputi semua hal).

Mereka yang mengambil aspek Hakimiah (sebagai matlamat perjuangan) menggantikan Tauhid adalah SALAH, di mana mereka mengambil satu sisi lalu meninggalkan apa yang lebih penting iaitulah Akidah, demikian juga meninggalkan apa yang seumpama dengannya atau lebih penting daripadanya iaitulah persoalan berkaitan Manhaj-manhaj yang telah memecah belahkan manusia, setiap kelompok ada manhajnya tersendiri, setiap kelompok ada mazhabnya sendiri, kenapa kita tidak kembali kepada Al-Kitab dan al-Sunnah lalu kita mengambil manhaj dan mazhab yang sesuai dengan Kitab dan Sunnah lalu kita ikuti?!

Kesimpulannya, berhukum dengan al-Kitab dan al-Sunnah perlu dilakukan dalam semua perkara bukan dalam sebahagian meninggalkan sebahagian yang lain, barangsiapa yang tidak berhukum dengan syariat dalam semua perkara maka dia beriman dengan sebahagian Kitab tetapi kufur dengan sebahagian yang lain sama ada dia kehendaki atau tidak (untuk termasuk dalam golongan ini).

Firman ALLAH:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

Maksudnya: “Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain”. [Al-Baqarah: 85].

Sumber: I’anatul Mustafid Syarah Kitab al-Tauhid, Ma’ali al-Syeikh Soleh al-Fauzan, 2/135.