Tag Archives: agama

AGAMA ANAK: POLEMIK BERSAMA PENSYARAH UKM

5 Mei

Ketika para ulama, mufti, dan pihak berkuasa agama negara ini sedang berjihad melawan keputusan kerajaan yang dilihat mencemarkan agama Islam yang seklaigus menceroboh Perlembagaan Persekutuan, kita amat terkejut dengan satu kenyataan seorang pensyarah di sebuah Universiti terkemuka negara, Prof Madya Dr. Ibrahim bin Abu Bakar, profesor madya di Jabatan Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyokong keputusan kerajaan berhubung isu agama anak mualaf yang dikekalkan dengan agama semasa perkahwinan ibu bapanya jika salah seorang mereka memeluk Islam.

Tindakan beliau yang mengeluarkan kenyataan yang sangat ‘syaz’ (ganjil) ini amat mengecewakan kerana akan membuka ruang kepada pihak-pihak berkepentingan untuk terus memijak kesucian Islam di negara ini. Selain itu, pandangan beliau itu juga amat bertentangan dengan realiti kebenaran dan merendahkan kedudukan ilmiah beliau sendiri.

Pada pandangan beliau Islam tidak memaksa anak untuk memilih agama berdalilkan dua dalil yang pertama firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 256:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

Dalil beliau yang kedua adalah sabda Nabi s.a.w:

ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه كما تنتج البهيمة بهيمة جمعاء هل تحسون فيها من جدعاء

Maksudnya: “Tidak ada bayi yang dilahirkan kecuali ia dilahirkan dalam keadaan fitrah lalu ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani (Kristian) atau Majusia seperti mana seekor haiwan ternakan melahirkan anaknya yang sempurna sifat, adakah kamu rasa akan ada yang akan mejadi cacat dengan sendirinya?!”  [al-Bukhari & Muslim].

Menurut beliau, dalil yang pertama menunjukkan Islam tidak memaksa seseorang untuk memeluk Islam dan dalil yang kedua menunjukkan bahawa agama seseorang anak ditentukan oleh kedua-dua ibu dan bapa bukan bapa atau ibu sahaja.

Perbincangan Istidlal:

Namun, perlu kita teliti bahawa dalil yang digunakan ini memang diakui kesahihannya dan tidak diragui lagi tetapi setiap dalil yang qath’i subut (sahih pada kesabitannya) tidak semestinya qath’i pada dilalahnya (petunjuk dalil).

Ayat ke-256 surah al-Baqarah yang tersebut pada sesetengah ulama adalah mansukh hukumnya (tidak terpakai hukumnya) apabila turunnya perintah jihad tolab (memerangi negara kafir yang enggan membayar jizyah).

Namun, yang sahihnya ayat ini adalah muhkam (yakni tidak mansukh) namun jika diteliti sebab ayat ini diturunkan adalah berkenaan anak-anak yang telah baligh iaitu apabila terdapat sebahagian kaum Ansar yang ingin memaksa anak-anak mereka yang telah baligh yang menjadi Yahudi untuk memeluk Islam semasa pengusiran Bani Nadhir daripada Madinah.

Tidak ada khilaf dalam kalangan Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa orang yang telah baligh yang beragama Yahudi atau Nasrani tidak boleh dipaksa memeluk Islam jika dia telah memilih untuk membayar jizyah, adapun yang beragama selain Yahudi dan Nasrani sebahagian ulama berpendapat mereka ini hanya mempunyai dua pilihan sama ada memeluk Islam atau ‘pedang’.

Maka fakta yang dikemukan Profesor Madya ini bahawa Islam tidak pernah memaksa manusia memeluk Islam sama sekali adalah tidak benar bahkan Islam wajib ditegakkan dengan lisan dan sinan yakni lidah dan senjata.

Namun, seperti yang telah kita jelaskan dalam artikel-artikel sebelum ini, bukanlah bermakna Islam membenarkan umatnya melakukan pencerobohab sesuka hati terhadap orang kafir, bahkan kafir itu ada yang dinamakan zimmi yang mempunyai hak atas Umat Islam untuk dipenuhi, ada juga kafir Mu’ahid yang mengikat perjanjian damai dengan Umat Islam, dan ada Musta’man yang diberi perlindungan oleh Umat Islam.

Apa yang dapat disimpulkan bahawa pandangan beliau bahawa ayat ini menjadi dalil kita tidak boleh memaksa seseorang memluk Islam sama sekali adalah batil dan tidak pernah difahami sedemikian rupa oleh mana-mana Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terdahulu.

Istidlal beliau dengan dalil yang kedua, jika kita lihat sekali pandang, seolah-olah ada kebenarannya, namun jika kita teliti kembali methode istinbat hukum dan istidlal Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah, setiap dalil wajib difahami sesuai dengan kefahaman al-Salaf al-Soleh daripada para Sahabat r.a, Tabiin, dan Tabi’ Tabiin. Maka kita dapati bahawa tidak ada seorang pun ulama terdahulu dalam kalangan al-Salaf al-Soleh ini yang memahami hadis ini seperti kefahaman beliau.

Buktinya adalah Ijmak Ulama bahawa apabila bapa memeluk Islam maka anaknya yang belum baligh juga dihukum sebagai Islam. Ulama berbeaza pendapat jika yang memeluk Islam itu adalah ibu tanpa si bapa, Jumhur Ulama tetap berpendapat bahawa anak itu dihukum Islam.

Bahkan Imam Ibn Battal r.h menyatakan bahawa hadis: “maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi…” menjadi dalil bahawa Islam salah seorang mereka mencukupi untuk mengIslamkan anak yang belum baligh.

Lihatlah betapa kefahaman Dr. Ibrahim ini amat tidak selari sekali dengan apa yang difahami oleh Ulama terdahulu yang diiktiraf. Bahkan Imam Ibn Hajar al-Asqalani r.h menolak anggapan bahawa hadis ini menunjukkan Islam salah seorang ibu bapa tidak mengubah agama anak.

Perlu kita ingatkan bahawa Ijmak ulama dalam setiap zaman adalah hujjah dan dalil qath’i yang perlu diterima berdasarkan firman Allah Taala:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: “dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [al-Nisaa’: 115]

Ayat ini telah dijadikan para ulama usul sebagai dalil bahawa Ijmak Mujtahidin (Kesepakatan fatwa antara ulama mujtahid) adalah hujah yang wajib diikut.

Rumusan:

Hasil daripada penelitian di atas dapatlah kita rumuskan bahawa pandangan Dr.Ibarahim tertolak berdasarkan pendapat tersebut menyalahi ijmak Ulama dan kefahaman yang beliau interpertasikan terhadap ayat dan hadis di atas tidak selari dengan apa yang difahami para Ulama terdahulu. Wallahua’lam.

Oleh itu, saya menyeru kepada beliau untuk menarik balik kenyataan beliau yang amat mengelirukan Umat Islam negara ini dan sekaligus membuka pintu-pintu keburukan terhadap kedudukan Islam di negara ini.

Rujukan:

1-   Tafsir al-Tabari

2-  Fathul Bari Syarhu Sahih al-Bukhari, Imam Ibn Hajar al-Asqalani

3-  Syarah Ibn Battal ‘ala Sahih al-Bukhari, Imam Ibn Battal

4-  Al-Istizkar, Imam Ibn Abdil Barr

5-  Majmuk Fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiah, Abdul Rahman bin Muhammad bin QasiM

6-  Artikel Dr. Ibrahim: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090502215339/Article/

 

DITULIS OLEH:

MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI,

SISWA JURUSAN USULUDDIN & DAKWAH,

MEDINA INTERNATIONAL UNIVERSITY.

Advertisements

AGAMA ASAL ITU ISLAM

24 Apr

Keputusan Kerajaan Malaysia bahawa agama anak-anak yang salah seorang ibu bapanya menukar agama terus kekal sebagai agama asal walaupun salah seorang ibu bapa itu memeluk Islam amat mengejutkan dan mengecewakan.

Keputusan kabinet yang tidak merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu amat mengecewakan kerana keputusan ini selain bertentangan dengan hukum syarak Islam turut melambangkan betapa rapuhnya kedudukan Islam di negara ini yang meletakkan Islam sebagai ‘Agama Rasmi’.

Perlu kita ingat akan sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه كما تنتج البهيمة بهيمة جمعاء هل تحسون فيها من جدعاء

Maksudnya: “Tidak ada satu bayi yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasarani atau Majusi seperti mana haiwan melahirkan anaknya yang sempurna, adakah kamu rasa ia akan menjadi cacat (tanpa kecederaan setelah itu)?” [al-Bukhari & Muslim].

Hadis ini menjelaskan maksud firman Allah Taala:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, Iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [al-Rum: 30].

Difahami daripada ayat dan hadis ini bahawa manusia ini asalnya dilahirkan sebagai muslim dan mukmin kemudian merekalah yang menyeleweng kerana pengaruh persekitaran dan yang paling kuat adalah didikan ibu dan bapanya.

Dalam ayat yang lain Allah Taala menjelaskan:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ (172) أَوْ تَقُولُوا إِنَّمَا أَشْرَكَ آبَاؤُنَا مِنْ قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِنْ بَعْدِهِمْ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ (173)

Maksudnya: “dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. atau supaya kamu tidak mengatakan:” Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang Kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. oleh itu, Patutkah Engkau (Wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?” [al-A’raf:172 & 173].

Demikianlah semua manusia itu telah pun mengaku beriman kepada Allah Taala di mana Allah mengeluarkan mereka dalam bentuk zuriat (benih-benih) daripada sulbi Adam alaihis salam, lalu menyaksikan mereka bahawa mereka akan mentauhidkan-Nya.

Atas perjanjian inilah manusia lahir ke dunia ini dan atas perjanjian inilah sepatutnya mereka kembali menghadap Allah Taala, tetapi kebanyakan manusia telah lupa kepada janji mereka lalu mereka merugikan diri mereka sendiri.

Ini adalah hakikat yang perlu diketahui oleh semua manusia dan perlu diterima sama ada suka atau tidak kerana kebenaran itu selalunya pahit. Atas dasar hakikat inilah juga kita perlu faham kenapa Islam mesti diberi keutamaan berbanding agama lain kerana Islam adalah agama asal, adapun agama lain adalah pendatang asing secara haram sahaja.

Sekarang kita melihat pula ketetapan syarak terhadap status agama kanak-kanak yang belum baligh atau yang sudah baligh tetapi tidak sempurna akalnya dalam keadaan salah seorang ibu bapanya menukar agama.

Jumhur Ulama Islam menetapkan bahawa anak hendaklah mengikut agama yang terbaik antara dua agama ibu bapanya. Jika bapanya seorang Hindu dan ibunya seorang Krsitian, maka hendaklah anaknya dihukum sebagai Krsitian kerana agama Kristian masih lagi agama samawi (langit) sedangkan Hindu adalah agama wasani (berhala) dan wad’i (ciptaan manusia semata-mata). [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 2/311].

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah:

ويتبع في الدين خيرهما دينا عند جماهير أهل العلم، وهو مذهب أبي حنيفة والشافعي وأحمد، وأحد القولين في مذهب مالك

Maksudnya: “dan anak itu mengikut (ibu bapanya) yang terbaik agama antara keduanya dalam urusan agama di sisi Jumhur Ahli Ilmu dan inilah mazhab Abu Hanifah, al-Syafii, Ahmad, dan salah satu pendapat mazhab Malik”. [Majmuk al-Fatawa, 31/67].

Maka atas dasar itu, apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam, maka secara otomatis anak yang belum baligh atau sudah baligh tetapi tidak sempurna akal dihukum sebagai muslim. Ulama Hanafiah mensyaratkan hendaklah anak dan ibu atau bapanya itu tinggal dalam negeri yang sama yakni kedua-duanya dalam negeri Islam seperti kedua-duanya tinggal dalam Malaysia atau seorang di Malaysia dan seorang di Indonesia atau anaknya di negeri Islam dan bapanya di negeri kafir harbi. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 2/310 & 311].

Satu lagi Qaul dalam Mazhab Malik adalah anak mengikut agama ayahnya sahaja, maka jika ayahnya seorang Islam maka anaknya juga dihukum Islam tetapi tidak mengikut agama ibu. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 2/311].

Jika kita terapkan hukum ini dalam kes Mohamad Ridzuan dan anak-anaknya, tentulah atas dua-dua pendapat ulama sama ada Jumhur atau Mazhab Malik, anak-anak beliau dihukum sebagai Islam kerana mereka semuanya masih belum mencapai usia baligh.

Tindakan kabinet memutuskan untuk mengekalkan status agama anak-anak Mohamad Ridzuan sebagai Hindu adalah tindakan yang menyekat kebebasan beragama kerana kanak-kanak tersebut telah pun menjadi muslim secara otomatis pada saat bapa mereka mengucapkan dua kalimah syahadah.

Bahkan jika kita kembali kepada hakikat Fitrah manusia, mereka adalah muslim sebenarnya sejak dalam perut ibu mereka sehinggalah dilahirkan dan diberi didikan Hindu. Tindakan bapa mereka memeluk Islam sekadar mengembalikan status agama sebenar anak-anak tersebut sebagai muslim.

Demikian juga keputusan kabinet bahawa status pernikahan seseorang yang memeluk Islam dengan pasangannya yang kafir hanya boleh dibubarkan oleh Mahkamah Sivil tidak sepatutnya berlaku.

Jika hendak mensyaratkan proses pembubaran perkahwinan itu perlu melalui mahkamah sekalipun, biarlah ianya berlaku di Mahkamah Syariah kerana kes ini melibatkan maruah umat Islam di negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Menurut hukum syarak pula, pernikahan antara suami isteri yang salah seorang mereka memeluk Islam menjadi terbatal serta merta walaupun ulama berbeza pendapat adakah bagi isteri iddah sehingga jika isteri memeluk Islam umpamanya kemudian dalam tempoh iddah suami pula memeluk Islam maka perkahwinan mereka menjadi sah semula selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Ulama Syafiiah berpendapat jika telah berlaku dukhul (persetubuhan) dalam perkahwinan tersebut, maka pernikahan mereka menjadi sah semula setelah suami masuk Islam dalam tempoh iddah. [al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah,4/101].

Oleh itu, jelas di sini bahawa keputusan pihak kabinet berhubung isu ini amat bertentangan dengan kehendak syarak yang sebenar dan menggambarkan seolah-olah Islam di negara ini kehilangan kedudukan ‘Rasminya’. Pihak kerajaan perlu melakukan tindakan segera bagi menambat semula hati umat Islam yang terobek dalam isu ini.

Saya juga menyeru kepada mereka yang bersemangat dalam membela Islam hendaklah membela dengan cara yang betul. Janganlah kita menghapus kemungkaran dengan mungkar yang lain. Nasihatilah pemimpin kita yang muslim dengan cara yang baik dan elok, bukan berdemonstrasi atau protes jalanan yang hanya akan membawa akibat buruk dunia dan akhirat.

Saya mengajak semua kaum muslimin agar menyuarakan terus rasa tidak senang mereka terhadap keputusan ini kepada pihak berwajip seperti YAB Perdana Menteri sendiri melalui surat menyurat atau e-mel yang mudah dilakukan melalui laman web beliau.

Ingatlah pesan Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

من أراد أن ينصح لسلطان بأمر فلا يبد له علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فإن قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذي عليه له

Maksudnya: “Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin atas sesuatu perkara maka janganlah dilakukan secara terbuka (yang boleh memalukan) tetapi peganglah tangan pemimpin itu dan bersendirianlah dengannya, jika dia menerima maka itulah yang dikehendaki, jika dia menolak maka engkau telah menunaikan tanggunggajawmu terhadapnya”. [Ahmad, Sahih li Ghairih dan Hasan li Ghairih].

Oleh itu, hendaklah dalam menasihati pemimpin itu dilakukan secara tidak menjatuhkan air muka beliau. Wallahua’lam.

 

DITULIS OLEH:

AL-FAQIR ILALLAH, MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI.