Tag Archives: ANAK

AGAMA ANAK: POLEMIK BERSAMA PENSYARAH UKM

5 Mei

Ketika para ulama, mufti, dan pihak berkuasa agama negara ini sedang berjihad melawan keputusan kerajaan yang dilihat mencemarkan agama Islam yang seklaigus menceroboh Perlembagaan Persekutuan, kita amat terkejut dengan satu kenyataan seorang pensyarah di sebuah Universiti terkemuka negara, Prof Madya Dr. Ibrahim bin Abu Bakar, profesor madya di Jabatan Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyokong keputusan kerajaan berhubung isu agama anak mualaf yang dikekalkan dengan agama semasa perkahwinan ibu bapanya jika salah seorang mereka memeluk Islam.

Tindakan beliau yang mengeluarkan kenyataan yang sangat ‘syaz’ (ganjil) ini amat mengecewakan kerana akan membuka ruang kepada pihak-pihak berkepentingan untuk terus memijak kesucian Islam di negara ini. Selain itu, pandangan beliau itu juga amat bertentangan dengan realiti kebenaran dan merendahkan kedudukan ilmiah beliau sendiri.

Pada pandangan beliau Islam tidak memaksa anak untuk memilih agama berdalilkan dua dalil yang pertama firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 256:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

Dalil beliau yang kedua adalah sabda Nabi s.a.w:

ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه كما تنتج البهيمة بهيمة جمعاء هل تحسون فيها من جدعاء

Maksudnya: “Tidak ada bayi yang dilahirkan kecuali ia dilahirkan dalam keadaan fitrah lalu ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani (Kristian) atau Majusia seperti mana seekor haiwan ternakan melahirkan anaknya yang sempurna sifat, adakah kamu rasa akan ada yang akan mejadi cacat dengan sendirinya?!”  [al-Bukhari & Muslim].

Menurut beliau, dalil yang pertama menunjukkan Islam tidak memaksa seseorang untuk memeluk Islam dan dalil yang kedua menunjukkan bahawa agama seseorang anak ditentukan oleh kedua-dua ibu dan bapa bukan bapa atau ibu sahaja.

Perbincangan Istidlal:

Namun, perlu kita teliti bahawa dalil yang digunakan ini memang diakui kesahihannya dan tidak diragui lagi tetapi setiap dalil yang qath’i subut (sahih pada kesabitannya) tidak semestinya qath’i pada dilalahnya (petunjuk dalil).

Ayat ke-256 surah al-Baqarah yang tersebut pada sesetengah ulama adalah mansukh hukumnya (tidak terpakai hukumnya) apabila turunnya perintah jihad tolab (memerangi negara kafir yang enggan membayar jizyah).

Namun, yang sahihnya ayat ini adalah muhkam (yakni tidak mansukh) namun jika diteliti sebab ayat ini diturunkan adalah berkenaan anak-anak yang telah baligh iaitu apabila terdapat sebahagian kaum Ansar yang ingin memaksa anak-anak mereka yang telah baligh yang menjadi Yahudi untuk memeluk Islam semasa pengusiran Bani Nadhir daripada Madinah.

Tidak ada khilaf dalam kalangan Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa orang yang telah baligh yang beragama Yahudi atau Nasrani tidak boleh dipaksa memeluk Islam jika dia telah memilih untuk membayar jizyah, adapun yang beragama selain Yahudi dan Nasrani sebahagian ulama berpendapat mereka ini hanya mempunyai dua pilihan sama ada memeluk Islam atau ‘pedang’.

Maka fakta yang dikemukan Profesor Madya ini bahawa Islam tidak pernah memaksa manusia memeluk Islam sama sekali adalah tidak benar bahkan Islam wajib ditegakkan dengan lisan dan sinan yakni lidah dan senjata.

Namun, seperti yang telah kita jelaskan dalam artikel-artikel sebelum ini, bukanlah bermakna Islam membenarkan umatnya melakukan pencerobohab sesuka hati terhadap orang kafir, bahkan kafir itu ada yang dinamakan zimmi yang mempunyai hak atas Umat Islam untuk dipenuhi, ada juga kafir Mu’ahid yang mengikat perjanjian damai dengan Umat Islam, dan ada Musta’man yang diberi perlindungan oleh Umat Islam.

Apa yang dapat disimpulkan bahawa pandangan beliau bahawa ayat ini menjadi dalil kita tidak boleh memaksa seseorang memluk Islam sama sekali adalah batil dan tidak pernah difahami sedemikian rupa oleh mana-mana Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terdahulu.

Istidlal beliau dengan dalil yang kedua, jika kita lihat sekali pandang, seolah-olah ada kebenarannya, namun jika kita teliti kembali methode istinbat hukum dan istidlal Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah, setiap dalil wajib difahami sesuai dengan kefahaman al-Salaf al-Soleh daripada para Sahabat r.a, Tabiin, dan Tabi’ Tabiin. Maka kita dapati bahawa tidak ada seorang pun ulama terdahulu dalam kalangan al-Salaf al-Soleh ini yang memahami hadis ini seperti kefahaman beliau.

Buktinya adalah Ijmak Ulama bahawa apabila bapa memeluk Islam maka anaknya yang belum baligh juga dihukum sebagai Islam. Ulama berbeaza pendapat jika yang memeluk Islam itu adalah ibu tanpa si bapa, Jumhur Ulama tetap berpendapat bahawa anak itu dihukum Islam.

Bahkan Imam Ibn Battal r.h menyatakan bahawa hadis: “maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi…” menjadi dalil bahawa Islam salah seorang mereka mencukupi untuk mengIslamkan anak yang belum baligh.

Lihatlah betapa kefahaman Dr. Ibrahim ini amat tidak selari sekali dengan apa yang difahami oleh Ulama terdahulu yang diiktiraf. Bahkan Imam Ibn Hajar al-Asqalani r.h menolak anggapan bahawa hadis ini menunjukkan Islam salah seorang ibu bapa tidak mengubah agama anak.

Perlu kita ingatkan bahawa Ijmak ulama dalam setiap zaman adalah hujjah dan dalil qath’i yang perlu diterima berdasarkan firman Allah Taala:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: “dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [al-Nisaa’: 115]

Ayat ini telah dijadikan para ulama usul sebagai dalil bahawa Ijmak Mujtahidin (Kesepakatan fatwa antara ulama mujtahid) adalah hujah yang wajib diikut.

Rumusan:

Hasil daripada penelitian di atas dapatlah kita rumuskan bahawa pandangan Dr.Ibarahim tertolak berdasarkan pendapat tersebut menyalahi ijmak Ulama dan kefahaman yang beliau interpertasikan terhadap ayat dan hadis di atas tidak selari dengan apa yang difahami para Ulama terdahulu. Wallahua’lam.

Oleh itu, saya menyeru kepada beliau untuk menarik balik kenyataan beliau yang amat mengelirukan Umat Islam negara ini dan sekaligus membuka pintu-pintu keburukan terhadap kedudukan Islam di negara ini.

Rujukan:

1-   Tafsir al-Tabari

2-  Fathul Bari Syarhu Sahih al-Bukhari, Imam Ibn Hajar al-Asqalani

3-  Syarah Ibn Battal ‘ala Sahih al-Bukhari, Imam Ibn Battal

4-  Al-Istizkar, Imam Ibn Abdil Barr

5-  Majmuk Fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiah, Abdul Rahman bin Muhammad bin QasiM

6-  Artikel Dr. Ibrahim: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090502215339/Article/

 

DITULIS OLEH:

MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI,

SISWA JURUSAN USULUDDIN & DAKWAH,

MEDINA INTERNATIONAL UNIVERSITY.

PANDANGAN KABINET DISANGGAH PIHAK BERKUASA AGAMA

24 Apr

Pihak JAKIM melalui Ketua Pengarahnya menjelaskan bahawa keputusan kabinet berhubung isu status agama anak muallaf yang menimbulkan kemarahan kaum muslimin negara ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Hukum Syarak sekaligus.

Berikut laporan BERNAMA:

24 April, 2009 21:04 PM

Penentuan Status Agama Anak Perlu Lihat Hukum Syarak Dan Perundangan – Jakim

By: Ramjit

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) — Penentuan status agama anak apabila apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk agama Islam perlu dilihat kepada hukum syarak dan perundangan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata menurut Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

“Berdasarkan peruntukan ini, persetujuan salah satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12 (4) ini adalah ‘parent or guardian’, bukannya ‘parents or guardian’ yang mana ia bermaksud ‘ibu atau bapa atau penjaga’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohamad berkata, Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) pula memperuntuk bahawa seseorang kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh masuk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

“Antara kes yang boleh dirujuk yang berkaitan dengan hak penentuan agama anak ialah kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, di mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa bapa kanak-kanak tersebut mempunyai kuasa untuk mengislamkan anaknya berdasarkan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah kerana berdasarkan Perkara 12 (4) itu, agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya, oleh itu dalam kes ini suami adalah berhak untuk mengislamkan anaknya walaupun isterinya tidak bersetuju,” katanya.

Wan Mohamad berkata, dari segi hukum syarak pula, mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mestilah seorang Islam, kerana jika orang itu bukan beragama Islam dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.

Katanya, hak seorang muallaf di sisi undang-undang juga perlu dipertahankan, dan seseorang yang memeluk Islam itu tidak sewajarnya dianggap ingin melarikan diri dari tanggungjawab.

Semalam, Kabinet memutuskan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa mengumumkan perkara itu berkata keputusan tersebut adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh Kabinet memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang.

Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya — Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 — kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun emak mereka masih beragama Hindu.

Merujuk kepada kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Perak itu, Wan Mohamad berkata semua pihak perlu bersabar dan menghormati keputusan kes itu memandangkan perbicaraan masih belum selesai.

Semua pihak juga seharusnya mematuhi peruntukan undang-undang Islam dan Perlembagaan Persekutuan khususnya kerana ia merupakan undang-undang utama Persekutuan, katanya.

(Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=406634)

AGAMA ASAL ITU ISLAM

24 Apr

Keputusan Kerajaan Malaysia bahawa agama anak-anak yang salah seorang ibu bapanya menukar agama terus kekal sebagai agama asal walaupun salah seorang ibu bapa itu memeluk Islam amat mengejutkan dan mengecewakan.

Keputusan kabinet yang tidak merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu amat mengecewakan kerana keputusan ini selain bertentangan dengan hukum syarak Islam turut melambangkan betapa rapuhnya kedudukan Islam di negara ini yang meletakkan Islam sebagai ‘Agama Rasmi’.

Perlu kita ingat akan sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه كما تنتج البهيمة بهيمة جمعاء هل تحسون فيها من جدعاء

Maksudnya: “Tidak ada satu bayi yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasarani atau Majusi seperti mana haiwan melahirkan anaknya yang sempurna, adakah kamu rasa ia akan menjadi cacat (tanpa kecederaan setelah itu)?” [al-Bukhari & Muslim].

Hadis ini menjelaskan maksud firman Allah Taala:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, Iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [al-Rum: 30].

Difahami daripada ayat dan hadis ini bahawa manusia ini asalnya dilahirkan sebagai muslim dan mukmin kemudian merekalah yang menyeleweng kerana pengaruh persekitaran dan yang paling kuat adalah didikan ibu dan bapanya.

Dalam ayat yang lain Allah Taala menjelaskan:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ (172) أَوْ تَقُولُوا إِنَّمَا أَشْرَكَ آبَاؤُنَا مِنْ قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِنْ بَعْدِهِمْ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ (173)

Maksudnya: “dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. atau supaya kamu tidak mengatakan:” Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang Kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. oleh itu, Patutkah Engkau (Wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?” [al-A’raf:172 & 173].

Demikianlah semua manusia itu telah pun mengaku beriman kepada Allah Taala di mana Allah mengeluarkan mereka dalam bentuk zuriat (benih-benih) daripada sulbi Adam alaihis salam, lalu menyaksikan mereka bahawa mereka akan mentauhidkan-Nya.

Atas perjanjian inilah manusia lahir ke dunia ini dan atas perjanjian inilah sepatutnya mereka kembali menghadap Allah Taala, tetapi kebanyakan manusia telah lupa kepada janji mereka lalu mereka merugikan diri mereka sendiri.

Ini adalah hakikat yang perlu diketahui oleh semua manusia dan perlu diterima sama ada suka atau tidak kerana kebenaran itu selalunya pahit. Atas dasar hakikat inilah juga kita perlu faham kenapa Islam mesti diberi keutamaan berbanding agama lain kerana Islam adalah agama asal, adapun agama lain adalah pendatang asing secara haram sahaja.

Sekarang kita melihat pula ketetapan syarak terhadap status agama kanak-kanak yang belum baligh atau yang sudah baligh tetapi tidak sempurna akalnya dalam keadaan salah seorang ibu bapanya menukar agama.

Jumhur Ulama Islam menetapkan bahawa anak hendaklah mengikut agama yang terbaik antara dua agama ibu bapanya. Jika bapanya seorang Hindu dan ibunya seorang Krsitian, maka hendaklah anaknya dihukum sebagai Krsitian kerana agama Kristian masih lagi agama samawi (langit) sedangkan Hindu adalah agama wasani (berhala) dan wad’i (ciptaan manusia semata-mata). [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 2/311].

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah:

ويتبع في الدين خيرهما دينا عند جماهير أهل العلم، وهو مذهب أبي حنيفة والشافعي وأحمد، وأحد القولين في مذهب مالك

Maksudnya: “dan anak itu mengikut (ibu bapanya) yang terbaik agama antara keduanya dalam urusan agama di sisi Jumhur Ahli Ilmu dan inilah mazhab Abu Hanifah, al-Syafii, Ahmad, dan salah satu pendapat mazhab Malik”. [Majmuk al-Fatawa, 31/67].

Maka atas dasar itu, apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam, maka secara otomatis anak yang belum baligh atau sudah baligh tetapi tidak sempurna akal dihukum sebagai muslim. Ulama Hanafiah mensyaratkan hendaklah anak dan ibu atau bapanya itu tinggal dalam negeri yang sama yakni kedua-duanya dalam negeri Islam seperti kedua-duanya tinggal dalam Malaysia atau seorang di Malaysia dan seorang di Indonesia atau anaknya di negeri Islam dan bapanya di negeri kafir harbi. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 2/310 & 311].

Satu lagi Qaul dalam Mazhab Malik adalah anak mengikut agama ayahnya sahaja, maka jika ayahnya seorang Islam maka anaknya juga dihukum Islam tetapi tidak mengikut agama ibu. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 2/311].

Jika kita terapkan hukum ini dalam kes Mohamad Ridzuan dan anak-anaknya, tentulah atas dua-dua pendapat ulama sama ada Jumhur atau Mazhab Malik, anak-anak beliau dihukum sebagai Islam kerana mereka semuanya masih belum mencapai usia baligh.

Tindakan kabinet memutuskan untuk mengekalkan status agama anak-anak Mohamad Ridzuan sebagai Hindu adalah tindakan yang menyekat kebebasan beragama kerana kanak-kanak tersebut telah pun menjadi muslim secara otomatis pada saat bapa mereka mengucapkan dua kalimah syahadah.

Bahkan jika kita kembali kepada hakikat Fitrah manusia, mereka adalah muslim sebenarnya sejak dalam perut ibu mereka sehinggalah dilahirkan dan diberi didikan Hindu. Tindakan bapa mereka memeluk Islam sekadar mengembalikan status agama sebenar anak-anak tersebut sebagai muslim.

Demikian juga keputusan kabinet bahawa status pernikahan seseorang yang memeluk Islam dengan pasangannya yang kafir hanya boleh dibubarkan oleh Mahkamah Sivil tidak sepatutnya berlaku.

Jika hendak mensyaratkan proses pembubaran perkahwinan itu perlu melalui mahkamah sekalipun, biarlah ianya berlaku di Mahkamah Syariah kerana kes ini melibatkan maruah umat Islam di negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Menurut hukum syarak pula, pernikahan antara suami isteri yang salah seorang mereka memeluk Islam menjadi terbatal serta merta walaupun ulama berbeza pendapat adakah bagi isteri iddah sehingga jika isteri memeluk Islam umpamanya kemudian dalam tempoh iddah suami pula memeluk Islam maka perkahwinan mereka menjadi sah semula selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Ulama Syafiiah berpendapat jika telah berlaku dukhul (persetubuhan) dalam perkahwinan tersebut, maka pernikahan mereka menjadi sah semula setelah suami masuk Islam dalam tempoh iddah. [al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah,4/101].

Oleh itu, jelas di sini bahawa keputusan pihak kabinet berhubung isu ini amat bertentangan dengan kehendak syarak yang sebenar dan menggambarkan seolah-olah Islam di negara ini kehilangan kedudukan ‘Rasminya’. Pihak kerajaan perlu melakukan tindakan segera bagi menambat semula hati umat Islam yang terobek dalam isu ini.

Saya juga menyeru kepada mereka yang bersemangat dalam membela Islam hendaklah membela dengan cara yang betul. Janganlah kita menghapus kemungkaran dengan mungkar yang lain. Nasihatilah pemimpin kita yang muslim dengan cara yang baik dan elok, bukan berdemonstrasi atau protes jalanan yang hanya akan membawa akibat buruk dunia dan akhirat.

Saya mengajak semua kaum muslimin agar menyuarakan terus rasa tidak senang mereka terhadap keputusan ini kepada pihak berwajip seperti YAB Perdana Menteri sendiri melalui surat menyurat atau e-mel yang mudah dilakukan melalui laman web beliau.

Ingatlah pesan Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

من أراد أن ينصح لسلطان بأمر فلا يبد له علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فإن قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذي عليه له

Maksudnya: “Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin atas sesuatu perkara maka janganlah dilakukan secara terbuka (yang boleh memalukan) tetapi peganglah tangan pemimpin itu dan bersendirianlah dengannya, jika dia menerima maka itulah yang dikehendaki, jika dia menolak maka engkau telah menunaikan tanggunggajawmu terhadapnya”. [Ahmad, Sahih li Ghairih dan Hasan li Ghairih].

Oleh itu, hendaklah dalam menasihati pemimpin itu dilakukan secara tidak menjatuhkan air muka beliau. Wallahua’lam.

 

DITULIS OLEH:

AL-FAQIR ILALLAH, MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI.

NASAB ANAK ZINA

18 Nov

Pernyataan Masalah:

Telah berlaku masalah dalam masyarakat Malaysia berkenaan nasab anak zina sama ada boleh dinasabkan kepada penzina yang telah berkahwin dengan ibunya dan bolehkah pula lelaki itu menjadi wali perkahwinan kepada anaknya dari zina. Maka, jawatankuasa ini dipohon meneliti dan mengemukakan pendapat berkenaan masalah ini sesuai dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah.

Dasar Pendalilan Hukum dalam Masalah ini:

Hadis yang menjadi asas kepada perbincangan nasab anak zina adalah:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: كَانَ عُتْبَةُ عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ سَعْدٍ أَنَّ ابْنَ وَلِيدَةِ زَمْعَةَ مِنِّي فَاقْبِضْهُ إِلَيْكَ فَلَمَّا كَانَ عَامَ الْفَتْحِ أَخَذَهُ سَعْدٌ فَقَالَ ابْنُ أَخِي عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ فَقَامَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ فَقَالَ أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ فَتَسَاوَقَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ سَعْدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ ابْنُ أَخِي قَدْ كَانَ عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ فَقَالَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ ثُمَّ قَالَ لِسَوْدَةَ بِنْتِ زَمْعَةَ احْتَجِبِي مِنْهُ لِمَا رَأَى مِنْ شَبَهِهِ بِعُتْبَةَ فَمَا رَآهَا حَتَّى لَقِيَ اللَّهَ- (أخرجه البخاري ومسلم وأبو داود والنسائي)

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a katanya: ‘Utbah (Utbah bin Abi Waqqash) berpesan kepada saudaranya Saad (Saad bin Abi Waqqash r.a) : “Anak lelaki Zam’ah dengan sahayanya adalah anakku maka engkaulah ambillah dia”. Pada tahun pembukaan Makkah, Saad mengambil budak tersebut dan berkata: “dia ini anak saudaraku, dia berpesan supaya aku menjaganya (budak tersebut iaitulah Abdul Rahman bin Zam’ah)”. Kemudian berkata pula Abdun bin Zam’ah r.a: “Dia ini (Abdul Rahman) adalah saudaraku, anak sahaya bapaku, dilahirkan atas hamparannya”. Maka Nabi s.a.w kemudian memtuskan hukum dengan sabda baginda: “sesungguhnya dia ini adalah bagi kamu wahai Abdun bin Zam’ah kerana anak itu milik hamparan (wanita) dan bagi penzina adalah batu (tidak mendapat apa-apa hak)” kemudian baginda bersabda pula kepada Saudah binti Zam’ah r.a (isteri baginda): “Berhijablah kamu di hadapan dia (Abdul Rahman)” dan perkara ini berlaku Nabi s.a.w melihat adanya persamaan (Abdul Rahman) dengan ‘Utbah, maka Saudah tidak pernah berjumpa dengannya sehingga dia wafat.- [al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai, at-Tarmizi]

Begitu juga sebuah hadis lagi:

عَنْ شُعَيْبٍ ، عَنْ جَدِّهِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْروٍ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ:

كُلَّ مُسْتَلْحَقٍ يُسْتَلْحَقُ بَعْدَ أَبِيهِ ، الَّذِي يُدْعَى لَهُ ، ادَّعَاهُ وَرَثَتُهُ مِنْ بَعْدِهِ ، فَقَضَى ؛ إِنْ كَانَ مِنْ أَمَةٍ يَمْلِكُهَا يَوْمَ أَصَابَهَا ، فَقَدْ لَحِقَ بِمَنِ اسْتَلْحَقَهُ ، وَلَيْسَ لَهُ فِيمَا قُسِمَ قَبْلَهُ مِنَ الْمِيرَاثِ شَيْءٌ ، وَمَا أَدْرَكَ مِنْ مِيرَاثٍ لَمْ يُقْسَمْ ، فَلَهُ نَصِيبُهُ ، وَلاَ يُلْحَقُ إِذَا كَانَ أَبُوهُ الَّذِي يُدْعَى لَهُ أَنْكَرَهُ ، وَإِنْ كَانَ مِنْ أَمَةٍ لاَ يَمْلِكُهَا ، أَوْ مِنْ حُرَّةٍ عَاهَرَ بِهَا ، فَإِنَّهُ لاَ يُلْحَقُ وَلاَ يَرِثُ ، وَإِنْ كَانَ أَبُوهُ الَّذِي يُدْعَى لَهُ هُوَ الَّذِي ادَّعَاهُ ، وَهُوَ وَلَدُ زِنًا لأَهْلِ أُمِّهِ ، مَنْ كَانُوا ، حُرَّةً أَوْ أَمَةً.

Maksudnya: Daripada Shuaib daripada datuknya Abdullah bin Amru r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Setiap anak yang didapati setelah kematian ayahnya, yang anak itu dinasabkan kepadanya, maka ahli warisnya hendaklah manasbkan anak tersebut kepada ayahnya”. Maka Nabi s.a.w memutuskan:

1- setiap anak yang dilahirkan oleh sahaya yang dimiliki tuannya semasa hayat tuannya dan disetubuhi maka anak itu dinasabkan pada tuannya dan anak itu tidak mendapat harta warisan yang telah dibahagikan sebelum itu (penetapan nasab) tetapi jika harta belum dibahagikan sebelum dia (anak) ditemui maka dia mendapat bahagiannya tetapi jika bapa yang hendak dinasabkan anak kepadanya ingkar (bahawa budak itu anaknya) maka dia tidak dinasabkan.

2- Jika seorang anak dilahirkan oleh seorang sahaya yang belum dimiliki tuannya atau dilahirkan oleh seorang wanita merdeka hasil perzinaan keduanya maka anak itu tidak boleh dinasabkan padanya (bapa) dan tidak boleh mendapat pusaka. Jika bapanya mengakui bahawa anak itu anaknya maka anak itu adalah anak zina yang mewarisi harta sebelah ibunya sama ada daripada wanita sahaya atau merdeka” -[Abu Daud & Ahmad dengan sanad Hasan menurut al-Albani dan al-Arnauth, didhaifkan oleh Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah]

Kedua-dua hadis ini memiliki sabab wurud yang semakna iaitu menceritakan masalah nasab anak yang diragukan siapakah bapanya kerana di zaman Jahiliyyah, sahaya-sahaya itu dilacurkan oleh tuannya lalu berlaku pertikaian nasab anak yang dilahirkan.

Komentar Ulama dalam Masalah Nasab Anak Zina:

Dalam menjelaskan pandangan ulamak berkenaan masalah ini dapat disimpulkan seperti berikut:

1- Seseorang mendakwa bahawa seorang budak adalah anak zina sedangkan wanita itu mempunyai suami dan kelahiran budak itu dalam tempoh yang memungkinkan hamil semenjak berlakunya persetubuhan.

Dalam kes seperti ini ulamak bersepakat bahawa anak itu dinasabkan kepada bapa asal (suami kepada ibu budak tersebut). Ini berdasarkan hadis yang kita sebutkan di atas apabila Utbah menuntut Abdul Rahman bin Zam’ah, oleh kerana Abdul Rahman bin Zam’ah lahir ketika ibunya menjadi sahaya kepada Zam’ah dinasabkan Abdul Rahman kepada Zam’ah bukan Utbah.

2- Wanita yang tidak bersuami kemudian melahirkan anak yang nyata anak itu anak zina.

Dalam kes ini, jumhur ulamak menetapkan juga bahawa anak itu tidak dinasabkan kepada bapanya dari zina bahkan dinasabkan kepada ibu [Kementerian Waqf Kuwait, al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,40/237]. Mereka berhujjah dengan sabda Nabi s.a.w:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya: “Anak itu untuk hamparan (isteri) dan bagi penzina adalah batu (tidak mendapat hal nasab)”

Berkata as-Syeikh Wahbah az-Zuhaili Hafizahullah:

ونسب الولد من أمه ثابت في كل حالات الولادة شرعية أو غيرشرعية، أما نسب الولد من أبيه، فلا يثبت إلا من طريق الزواج الصحيح أو الفاسد، أو الوطء بشبهة، أو الإقرار بالنسب، وأبطل الإسلام ما كان في الجاهلية من إلحاق الأولاد عن طريق الزنا

Maksudnya: “dan nasab anak itu tsabit bagi ibunya dalam semua keadaan sama ada dilahirkan secara syar’i atau tidak syar’i, adapun nasab anak kepada bapa, tidak tsabit kecuali dengan jalan perkahwinan yang sahih atau fasid, wati syubhat atau iqrar dan Islam telah membatalkan amalan Jahiliyyah yang menasabkan anak (kepada bapa) melalui zina”[az-Zuhaili,Dr., Wahbah, al-Fiqahul Islami wa Adillatuh, 10/3]

Tetapi, para ulamak menetapkan juga bahawa anak zina itu mahram kepada ayahnya dari zina sebagaiman disebut dalam al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah [45/221]:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ الْقَائِلُونَ بِتَحْرِيمِ وَلَدِ الزِّنَى مِنَ الزَّانِي بِأُمِّهِ وَهُمُ الْجُمْهُورُ عَلَى أَنَّهُ يَحْرُمُ عَلَى وَلَدِ الزِّنَى أُصُول الزَّانِي وَفُرُوعُهُ ، لِلْجُزْئِيَّةِ بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “Telah sepakat para fuqaha’ bahawa anak zina itu mahram kepada lelaki yang berzina dengan ibunya dan jumhur mereka juga berpendapat diharamkan juga anak zina kepada usul (seperti datuk, dan bapa) kepada penzina dan furuknya (seperti anak dan cucu penzina) kerana sebagahian darinya (penzina)…”

 Tetapi, mereka menetapkan penzina tidak mewarisi harta anak zinanya dan sebaliknya [al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/70 & 45/223]. Mazhab Syafii menetapkan anak zina bukan mahram kepada bapanya dari zina dan bapanya itu boleh berkahwin dengan anak perempuannya dari hasil zina. Berkata an-Nawawi r.h (w676H):

زنا بإمرأة فولدت بنتا يجوز للزاني نكاح البنت لكن يكره وقيل إن تيقن أنها من مائة إن تصور تيقنه حرمت عليه وقيل تحرم مطلقا والصحيح الحل مطلقا

Maksudnya: “Seorang lelaki berzina dengan seorang wanita lalu wanita itu melahirkan seorang anak perempuan (hasil perzinaan mereka) maka harus bagi penzina itu bernikah dengan anak perempuan tersebut tetapi makruh dan dikatakan (satu wajah dalam mazhab) jika dia yakin anank perempuan itu hasil air maninya haram bernikah dan terdapat pendapat mengatakan haram secara mutlak (sama seperti jumhur) adapun yang sahih (pada mazhab) adalah halal secara mutlak”- [an-Nawawi,Abu Zakaria, Muhyiddin, Raudhah at-Tolibin wa Umdah al-Muftin,2/483].

Namun, terdapat sebahagian ulamak salaf yang lain berpendapat bahawa anak zina itu adalah anak yang haqiqi kepada bapanya dari zina maka menurut golongan ini, anak itu dinasabkan kepada penzina dan mewarisi hartanya dan sebaliknya.

Pendapat ini dikemukakan oleh Ibn Sirin r.h (w110H), al-Hasan al-Basri r.h (w110), Urwah bin az-Zubair r.h (w93H) dan Sulaiman bin al-Yasar r.h (w107H) [al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/222] dan disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (w728H) dan muridnya Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah r.h (w751H).

Disebutkan dalam al-Furuk oleh Ibn Muflih r.h (w763H):

وَاخْتَارَ شَيْخُنَا أَنَّهُ إنْ اسْتَلْحَقَ وَلَدَهُ مِنْ زِنًا وَلَا فِرَاشَ لَحِقَهُ .وَنَصُّ أَحْمَدَ فِيهَا : لَا يَلْحَقُهُ هُنَا ، وَفِي الِانْتِصَارِ : فِي نِكَاحِ الزَّانِيَةِ يَسُوغُ الِاجْتِهَادُ فِيهِ ، ثُمَّ قَالَ : وَذَكَرَ ابْنُ اللَّبَّانِ فِي الْإِيجَازِ أَنَّهُ مَذْهَبُ الْحَسَنِ وَابْنِ سِيرِينَ وَعُرْوَةَ وَالنَّخَعِيُّ وَإِسْحَاقَ ، وَكَذَا فِي عُيُونِ الْمَسَائِلِ ، لَكِنَّهُ لَمْ يَذْكُرْ ابْنَ اللَّبَّانِ

Maksudnya: “dan memilih syeikh kami bahawa jika seorang lelaki menuntut nasab anaknya dari zina dan wanita itu bukan firash dinasabkan padanya. Adapun yang dinaskan daripada Imam Ahmad tidak dinasabkan. Dalam kitab al-Intisar dinyatakan: masalah berkahwin dengan wanita zina adalah masalah ijtihad, kemudian dinyatakan: Ibn al-Labban menyebut dalam al-Ijaz bahawa ini 9menasabkan anak zina kepada penzina) adalah mazhab al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin,Urwah,an-Nakha’i dan Ishaq dan demikian lagi disebut dalam Uyun al-Masail tetapi tidak dinyatakan bahawa ini pendapat Ibn al-Labban”-[al-Hanbali,Ibn Muflih, al-Furuk,10/251]

Dalil pihak ini adalah berdasarkan beberapa atsar:

1- Kisah  Juraij r.h seorang ahli ibadat di zaman dahulu:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ رَجُلٌ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ يُقَالُ لَهُ جُرَيْجٌ يُصَلِّي فَجَاءَتْهُ أُمُّهُ فَدَعَتْهُ فَأَبَى أَنْ يُجِيبَهَا فَقَالَ أُجِيبُهَا أَوْ أُصَلِّي ثُمَّ أَتَتْهُ فَقَالَتْ اللَّهُمَّ لَا تُمِتْهُ حَتَّى تُرِيَهُ وُجُوهَ الْمُومِسَاتِ وَكَانَ جُرَيْجٌ فِي صَوْمَعَتِهِ فَقَالَتْ امْرَأَةٌ لَأَفْتِنَنَّ جُرَيْجًا فَتَعَرَّضَتْ لَهُ فَكَلَّمَتْهُ فَأَبَى فَأَتَتْ رَاعِيًا فَأَمْكَنَتْهُ مِنْ نَفْسِهَا فَوَلَدَتْ غُلَامًا فَقَالَتْ هُوَ مِنْ جُرَيْجٍ فَأَتَوْهُ وَكَسَرُوا صَوْمَعَتَهُ فَأَنْزَلُوهُ وَسَبُّوهُ فَتَوَضَّأَ وَصَلَّى ثُمَّ أَتَى الْغُلَامَ فَقَالَ مَنْ أَبُوكَ يَا غُلَامُ قَالَ الرَّاعِي قَالُوا نَبْنِي صَوْمَعَتَكَ مِنْ ذَهَبٍ قَالَ لَا إِلَّا مِنْ طِينٍ

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Bersabda Rasulullah s.a.w: “Ada seorang lelaki daripada Bani Israel bernama Juraij,(suatu hari) dia sedang bersolat lalu datang ibunya memanggilnya tetapi dia enggan menjawab. Dia (Juraij) berkata: ‘Aku menjawab atau meneruskan solat?!’ Kemudian ibunya datang lalu berdoa: ‘Ya Allah, janganlah engkau matikan Juraij sehingga dia melihat wajah penzina’. Sedang Juraij berada dalam biaranya berkata seorang wanita (pelacur): ‘Aku akan menimbulkan fitnah pada Juraij’. Lalu dia datang menggoda Juraij tetapi gagal dan dia pergi pula menggoda seorang penggembala sehingga berjaya dan melahirkan seorang anak. Dia (pelacur) menghebohkan anak itu hasil zinanya dengan Juraij. Lau penduduk kampung menyerang Juraij, merobohkan biaranya, mengeluarkannya dari situ dan mencercanya. Juraij berwudhu’ dan bersolat (setelah selesai) dia datang kepada bayi itu dan bertanya: ‘Siapakah bapamu wahai bayi?’ Kata bayi itu: ‘si pengembala’. Lalu penduduk kampung berkata: ‘kami akan bina semula biaramu daripada emas’. Juraij menjawab: ‘Tidak, cukuplah dari tanah sahaja”-[al-Bukhari, Muslim, Ahmad].

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan dinisbahkan kalimah bapa kepada anak zina tersebut dengan penzina. Mengikut qaedah: ‘Asal sesuatu kalimah adalah haqiqat’ , jika penzina itu bukan bapa kepada anak hasil zinanya tentulah tidak digunakan kalimah bapa di sini.

Berkata Ibn Hajar al-Asqalani r.h:

وَاسْتَدَلَّ بَعْض الْمَالِكِيَّة بِقَوْلِ جُرَيْجٍ ” مَنْ أَبُوك يَا غُلَام ” بِأَنَّ مَنْ زَنَى بِامْرَأَةِ فَوَلَدَتْ بِنْتًا لَا يَحِلّ لَهُ التَّزَوُّج بِتِلْكَ الْبِنْت خِلَافًا لِلشَّافِعِيَّةِ وَلِابْنِ الْمَاجِشُونِ مِنْ الْمَالِكِيَّة . وَوَجْه الدَّلَالَة أَنَّ جُرَيْجًا نَسَبَ اِبْن الزِّنَا لِلزَّانِي وَصَدَّقَ اللَّه نِسْبَته بِمَا خَرَقَ لَهُ مِنْ الْعَادَة فِي نُطْق الْمَوْلُود بِشَهَادَتِهِ لَهُ بِذَلِكَ ، وَقَوْله أَبِي فُلَان الرَّاعِي ، فَكَانَتْ تِلْكَ النِّسْبَة صَحِيحَة فَيَلْزَم أَنْ يَجْرِي بَيْنهمَا أَحْكَام الْأُبُوَّة وَالْبُنُوَّة ، خَرَجَ التَّوَارُث وَالْوَلَاء بِدَلِيل فَبَقِيَ مَا عَدَا ذَلِكَ عَلَى حُكْمه

Maksudnya: “dan sebahagian ulamak maliki berdalilkan perkataan Juraij: ‘siapakah bapamu wahai bayi?’ bahawa sesiapa yang berzina dengan seorang wanita lalu dia melahirkan anak perempuan, tidak boleh dia berkahwin pula dengan anak perempuan tersebut bersalahan dengan pendapat mazhab syafii dan ibn Amjisyun dari Malikiyyah. Wajah dilalahnya adalah Juraij menasabkan anak zina itu kepada penzina dan Allah membenarkan tindakan Juraij itu dengan dijadikan bagi Juraij perkara yang menyalahi adat apabila bayi itu bercakap dan demikian juga ucapan bayi itu,’bapaku adalah si fulan si pengembala’ adalah nasab yang sahih maka wajib melaksanakan hukum-hakam anak dan bapa antara keduanya kecuali hukum waris dan wali kerana ada dalil maka kekal lah selain itu atas hukumnya”.[Fathul Bari,10/239].

Perktaan Ibn Hajar ini memberi faedah bahawa di sana ada ulamak yang berpendapat anak zina itu dinasabkan kepada bapanya tetapi dikecualikan hukum pewarisan dan perwalian berdasarkan dalil-dalil hadis yang kita utarakan sebagai hadis al-Bab dalam kertas kerja ini. Namun, kita telah sebutkan sebahagian tabiin melaksanakan hukum anak zina ini seperti anak yang sah juga dalam masalah pusaka dan perwalian jika dia berkahwin dengan ibu anaknya dari zina.

2- Hadis-hadis yang menyatakan tidak dihubungkan nasab anak zina kepada penzina hanya berlaku dalam kes-kes di mana ibu anak tersebut adalah firash (isteri orang) dan tidak ada nas yang jelas tentang nasab anak zina yang ibunya bukan firash (bukan isteri orang), maka kembali kepada asal anak itu adalah yang datang daripada sulbi seorang lelaki. Jika diteliti hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh mereka yang melarang dinasabkan anak zina kepada penzina ternyata mereka keliru. Jikalaulah anak zina tidak boleh dinasabkan kepada penzina tentulah Utbah bin Abi Waqqas tidak akan menuntut nasab Abdul Rahman bin Zam’ah demikian juga dalam hadis yang kedua, tentulah para penzina tidak akan berebut nasab anak zina mereka dengan tuan-tuan sahaya yang mereka zinai.

Berkata Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah:

فَإِنْ قِيلَ فَقَدْ دَلّ الْحَدِيثُ عَلَى حُكْمِ اسْتِلْحَاقِ الْوَلَدِ وَعَلَى أَنّ الْوَلَدَ لِلْفِرَاشِ فَمَا تَقُولُونَ لَوْ اسْتَلْحَقَ الزّانِي وَلَدًا لَا فِرَاشَ هُنَاكَ يُعَارِضُهُ هَلْ يَلْحَقُهُ نَسَبُهُ وَيَثْبُتُ لَهُ أَحْكَامُ النّسَبِ ؟ قِيلَ هَذِهِ مَسْأَلَةٌ جَلِيلَةٌ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِيهَا فَكَانَ إسْحَاقُ بْنُ رَاهْوَيْهِ يَذْهَبُ إلَى أَنّ الْمَوْلُودَ مِنْ الزّنَى إذَا لَمْ يَكُنْ مَوْلُودًا عَلَى فِرَاشٍ يَدّعِيهِ صَاحِبُهُ وَادّعَاهُ الزّانِي أُلْحِقَ بِهِ وَأُوّلَ قَوْلِ النّبِيّ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ عَلَى أَنّهُ حَكَمَ بِذَلِكَ عِنْدَ تَنَازُعِ الزّانِي وَصَاحِبِ الْفِرَاشِ كَمَا تَقَدّمَ وَهَذَا مَذْهَبُ الْحَسَنِ الْبَصْرِيّ رَوَاهُ عَنْهُ إسْحَاقُ بِإِسْنَادِهِ فِي رَجُلٍ زَنَى بِامْرَأَةِ فَوَلَدَتْ وَلَدًا فَادّعَى وَلَدَهَا فَقَالَ يُجْلَدُ وَيَلْزَمُهُ الْوَلَدُ وَهَذَا مَذْهَبُ عُرْوَةَ بْنِ الزّبَيْرِ وَسُلَيْمَانُ بْنُ يَسَارٍ ذَكَرَ عَنْهُمَا أَنّهُمَا قَالَا : أَيّمَا رَجُلٍ أَتَى إلَى غُلَامٍ يَزْعُمُ أَنّهُ ابْنٌ لَهُ وَأَنّهُ زَنَى بِأُمّهِ وَلَمْ يَدّعِ ذَلِكَ الْغُلَامَ أَحَدُ فَهُوَ ابْنُهُ وَاحْتَجّ سُلَيْمَانُ بِأَنّ عُمَرَ بْنَ الْخَطّابِ كَانَ يُلِيطُ أَوْلَادَ الْجَاهِلِيّةِ بِمَنْ ادّعَاهُمْ فِي الْإِسْلَام وَهَذَا الْمَذْهَبُ كَمَا تَرَاهُ قُوّةً وَوُضُوحًا وَلَيْسَ مَعَ الْجُمْهُورِ أَكْثَرُ مِنْ الْوَلَدِ لِلْفِرَاشِ وَصَاحِبُ هَذَا الْمَذْهَبِ أَوّلُ قَائِلٍ بِهِ وَالْقِيَاسُ الصّحِيحُ يَقْتَضِيهِ فَإِنّ الْأَبَ أَحَدُ الزّانِيَيْنِ وَهُوَ إذَا كَانَ يُلْحَقُ بِأُمّهِ وَيُنْسَبُ إلَيْهَا وَتَرِثُهُ وَيَرِثُهَا وَيَثْبُتُ النّسَبُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَقَارِبِ أُمّهِ مَعَ كَوْنِهَا زَنَتْ بِهِ وَقَدْ مَاءِ الزّانِيَيْنِ وَقَدْ اشْتَرَكَا فِيهِ وَاتّفَقَا عَلَى أَنّهُ ابْنُهُمَا فَمَا الْمَانِعُ مِنْ لُحُوقِهِ بِالْأَبِ إذَا لَمْ يَدّعِهِ غَيْرُهُ ؟ فَهَذَا مَحْضُ الْقِيَاسِ

Maksudnya: “Jika dikatakan hadis ini (al-walad lil firash) adalah untuk hukum menasabkan anak jika ibunya itu firash maka bagaimana pula jika seorang penzina menuntut nasab anak yang ibunya bukan firash (tidak ada pertindihan tuntutan) adakah anak itu dinasabkan kepada penzina? Maka dikatakan ini adalah masalah yang sangat halus  telah berbeza pandangan ahli ilmu padanya, Ishaq bin Rahuwaih r.h berpendapat jika anak zina itu ibunya bukan firash dan penzina menuntut nasabnya pada anak tersebut maka dihubungkan nasabnya dan ditakwilkan maksud hadis Nabi s.a.w: “anak itu untuk hamparan”, adalah dilaksanakan apabila bertelagah antara penzina dengan empunya firash (suami atau tuan sahaya) seperti yang telah disebutkan. Ini juga adalah mazhab al-Hasan al-Basri debsgsimsn ysng diriwayatkan Ishaq dengan sanadnya berkenaan lelaki yang berzina kemudian wanita yang dizinainya melahirkan anak dan dia mengaku itu anaknya hendaklah (menurut al-Hasan al-Basri) disebat lelaki itu dan anak itu dinasabkan padanya.Ini juga mazhab Urwah bin az-Zubair dan Sulaiman bin Yasar, keduanya berkata: ‘Sesiapa yang mendakwa seseorang budak sebagai anaknya dan dia berzina dengan ibu budak itu dan tidak ada orang lain yang turut mendakwa demikian maka budak itu adalah anaknya. Sulaiman berhujjah dengan perbuatan Umar bin al-Khattab r.a menasabkan anak-anak Jahiliyyah (hasil zina) dengan bapa yang mengaku sebagai penzina (yang menghasilkan anak-anak itu) setelah Islam. Mazhab ini adalah kuat dan jelas sebagaimana yang kamu lihat dan tidak ada dalil bagi Jumhur melainkan hadis ‘anak itu untuk hamparan’, sedangkan mazhab itu telah pun berdalil dengan hadis tersebut (dan mentafsirkan hadis itu dengan lebih jelas) dan qias yang sahih menyokong pendapat ini kerana bapa adalah salah seorang penzina (yang menghasilkan anak tersebut), jika anak itu dinasabkan pada ibunya dan berlaku hukum pusaka antara dia dan keluarga ibunya sedangkan dia (ibu anak zina itu) juga telah berzina dan air mani keduanya telah bercampur (dalam kejadian anak tersebut) dan kedua mereka (ibu dan bapa dari zina) mengaku budak itu sebagai anak mereka maka apakah yang menghalang daripada dinasabkan budak tersebut kepada bapa dari zina jika tiada pihak lain mendakwa nasabnya? Ini adalah persoalan qias sahaja…”-[al-Jawziyyah,Ibn al-Qayyim, Zad al-Maad fi Hadyi Khairil Ibad,5/381-382]

Kemudian beliau berdalilkan dengan hadis berkenaan peristiwa Juraij di atas.

3- Demikian lagi ulamak telah sepakat (Jumhur) anak zina adalah mahram kepada bapanya. Sebab menjadi mahram itu sama ada nasab, musaharah (persemendaan) atau radha’ah (penyusuan). Telah pasti sebab mahramnya anak zina dengan bapanya si penzina bukan kerana musaharah atau radha’ah(penyusuan) maka kekal lah asal sebab mahramnya anak zina dengan nasab iaitu dia bernasab kepada bapanya yang berzina dengan ibunya [Ibn Kathir, Abul Fida’ Ismail, Tafsir al-Quran al-Azim,2/248]. Pendapat jumhur yang mengatakan anak zina tidak mewarisi harta bapanya dari zina tidak menafikan nasab anak tersebut kepada bapanya. Imam Ibn al-Qayyim menyatakan:

وَأَنَّ الْأَحْكَامَ تَتَبَعَّضُ فِي الْعَيْنِ الْوَاحِدَةِ عَمَلًا بِالِاشْتِبَاهِ كَمَا تَتَبَعَّضُ فِي الرَّضَاعَةِ ، وَثُبُوتُهَا يَثْبُتُ بِهَا الْحُرْمَةُ وَالْمَحْرَمِيَّةُ دُونَ الْمِيرَاثِ وَالنَّفَقَةِ ، وَكَمَا فِي وَلَدِ الزِّنَا ، هُوَ وَلَدٌ فِي التَّحْرِيمِ ، وَلَيْسَ وَلَدًا فِي الْمِيرَاثِ ، وَنَظَائِرُ ذَلِكَ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ تُذْكَرَ

Maksudnya: “dan hukum-hukum itu terbahagi-bahagi dalam satu masalah yang sama beramal dengan kesamaran yang berlaku (dalam kes itu) seperti berbezanya hukum dalam hal penyusuan di mana susuan itu menetapkan mahram kepada anak susuan dengan bapa susuan tanpa menetapkan hukum warisan dan nafkah, maka demikian juga dalam kes anak zina di man dia mahram pada ayahnya dari zina dan tidak berlaku pula hukum warisan antara keduanya dan misalnya banyak lagi untuk disebut”-[al-Jawziyyah,Ibn al-Qayyim, Iklamul Muwaqqiin an Rabbil Alamin, 6/2]

Kesimpulan:

1-     Ulamak bersepakat bahawa anak yang didakwa anak zina jika dia dilahirkan dalam tempoh ibunya mempunyai suami dan tempoh kelahirannya memungkinkan proses kehamilan dan melahirkan daripada suami dia dihubungkan kepada suami ibunya.

2-     Ulamak berbeza pendapat jika jelas anak itu anak zina:

·        Anak zina tidak dinasabkan kepada bapa zina tetapi dia adalah mahram kepada ayahnya. Tidak berlaku hukum pewarisan antara keduanya. Inilah qaul Jumhur

·        Anak zina tidak dinasabkan pada ayahnya dari zina dan dia bukan mahram kepada ayahnya dan tidak berlaku hukum faraidh. Ini Qaul Syafiiyyah.

·        Anak zina dinasabkan pada bapanya tetapi tidak berlaku hukum pewarisan sebagimana yang disebut oleh ibn Hajar al-Asqalani bahawa ini pendapat al-Malikiyyah.

·        Anak zina dinasabkan kepada bapanya secara syar’i dan berlaku segala hukum seperti anak yang sah taraf juga. Ini adalah pendapat al-Hasan al-Basri, Sulaiman bin Yasar, Ishaq bin Rahuwaih, Urwah bin az-Zubair, Ibn Taimiyyah sebagaimana disebut dalam Ikhtiyarat Ilmiyyah, dan salah satu pandangan Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah.

Tarjih:

Penulis lebih cenderung untuk merajihkan pendapat yang keempat kerana tidak ada nas-nas yang sahih berkenaan masalah ini dan jika adapun adalah dalam bentuk dilalah yang zhanni sahaja. Maka kembali berpegang kepada qaedah asal, anak adalah hasil sulbi seorang lelaki dikekalkan hukum nasab kepada bapanya dari zina. Wallahuaklam.

Syor:

Saya mengesyorkan supaya Jawatankuasa ini memfatwakan bahawa dinasabkan anak zina kepada bapanya (si penzina) yang telah berkahwin dengan ibunya dan dilaksanakan hukum hakam lainnya sebagai anak yang sah taraf. Mudah-mudahan pendapat ini mendekatkan kita kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang sebenar dan menyelesaikan masalah nasab anak zina di negara kita ini.Wallahuaklam.

Rujukan:

Sunan Abi Daud dengan Takhrij al-Albani, Maktabah Syamilah

Sahih Muslim, Maktabah Syamilah

Sahih al-Bukahri, Maktabah Syamilah

Musnad Ahmad dengan Takhrij al-Arnauth, Maktabah Syamilah

Kementerian Waqf Kuwait, al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Maktabah Syamilah

Ibn Kathir, Abul Fida’ Ismail, Tafsir al-Quran al-Azim, Maktabah Syamilah

an-Nawawi,Abu Zakaria, Muhyiddin, Raudhah at-Tolibin wa Umdah al-Muftin,Maktabah Syamilah

al-Jawziyyah,Ibn al-Qayyim, Iklamul Muwaqqiin an Rabbil Alamin, Maktabah Syamilah.

Al-Jawziyyah, Ibn al-Qayyim, Zadul Maad fi Hadyi Kahiril Ibad,Maktabah Syamilah

Al-Azim al-Abadi, Aunul Makbud fi Syarhi Sunan Abi Daud, Maktabah Syamilah

al-Asqalani,Ibn Hajar, Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari,Maktabah Syamilah

az-Zuhaili,Dr., Wahbah, al-Fiqahul Islami wa Adillatuh,Maktabah Syamilah

 

DISEDIAKAN OLEH:  MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI, PEG. PENYELIDIK JAB. MUFTI PERLIS