Tag Archives: DAP

ANTARA ‘SATU MALAYSIA’ DAN ‘SATU MADINAH’

22 Apr

Slogan terbaru kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohd. Najib –Semoga dilindungi Allah dan diberi hidayah senantiasa- adalah pembentukan ‘One Malaysia’ atau ‘Satu Malaysia’.

Konsep Satu Malaysia yang meletakkan bahawa semua kaum dan bangsa di Malaysia ini perlu bergerak seiring mencapai kemajuan pada dasarnya tidaklah mempunyai apa-apa kesalahan selagi konsep ini mendaulatkan dan memartabatkan agama Islam sebagai agama yang wajib diikuti setiap manusia dan jin.

Namun, saya amat suka jika dalam melaksanakan dan merealisasikan dasar ini, kita pasakkan dasar ini dengan dasar ‘Satu Madinah’ yang pernah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam dan dilangsungkan berterusan oleh para Khalifah al-Rasyidin selepas baginda.

Ya, memang tidak pernah disebut dalam mana-mana kitab ulama salaf perkataan ‘One Madinah’ atau ‘Satu Madinah’, namun jelas bahawa baginda Rasullallah sallallahu alaihi wa sallam dalam mentadbir Madinah tidak pernah meminggirkan mana-mana kelompok dalam pembangunan dan ekonomi.

Kaum Aus, Khazraj, Qurasih, Rom, Farsi, dan banyak lagi diberi peluang untuk memajukan diri mereka di Madinah dan mereka mempunyai ruang dalam politik Madinah dan ekonominya.

Walaupun demikian, perlu difahami bahawa konsep ‘Satu Madinah’ ini bukanlah berpaksi kepada negara, nasionalisme, suku, bangsa, dan lainnya tetapi paksinya hanya satu sahaja iaitulah ‘Tauhid kepada Allah Taala’.

Negara Madinah yang didirikan Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam adalah negara dakwah yang mempunyai matlamat untuk menyebarkan dakwah Islam sama ada melalui lisan atau senjata. Demikian juga untuk mempertahankan Islam daripada sebarang pencerobohan kaum kafir yang ingkar.

Negara Madinah ini berpijak pada prinsip yang dinyatakan Allah Taala dalam firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” [al-Nahl: 90].

Dalam ayat ini menyatakan bahawa prinsip seorang mukmin sama ada sebagai individu, keluarga, sosial, dan negara adalah:

Pertama: Keadilan

Kedua: Berbuat Ihsan

Ketiga: Menyambung silaturrahim

Keempat: Melarang kemungkaran

Maksud berbuat keadilan adalah menegakkan Tauhid kepada Allah Taala. Maka inilah sebesar-besar keadilan yang perlu ditegakkan kerana firman Allah Taala:

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Syirik itu adalah kezaliman yang sangat besar”. [Luqman: 13].

Berkata Ibn Abbas Radiallahu anhuma ketika mentafsirkan makna ‘Keadilan’ dalam ayat ke-90 surah al-Nahl di atas: “Menyaksikan bahawa Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”. [Ibn Kasir: 4/595].

Oleh itu, saya berasa sangat hairan dengan politikus Islam mendapat tarbiah ala Ikhwan al-Muslimun di negara ini yang melaung-laungkan slogan menegakkan keadilan tetapi mereka tidak melaksanakan keadilan yang terbesar sekali iaitu menyeru kepada Tauhid, bahkan mereka sanggup pula bersekongkong dengan kaum zalim iaitulah kaum kafir dan diperbudakkan oleh mereka dalam mencapai hasrat-hasrat yang telah terbau busuknya.

Keadilan juga bermakna memberikan yang empunya hak akan haknya, bukan menyama ratakan semua orang tanpa mengira situasi. Contohnya mudah, seorang lelaki jika kita hadiahkan kepadanya sepasang baju kurung untuk dipakainya merupakan kezaliman kepadanya walaupun dengan alasan untuk menyamaratakan dengan wanita kerana lelaki berbeza dengan wanita demikianlah sebaliknya kita berikan baju melayu kepada wanita adalah kezaliman kepadanya.

Maka dalam memberikan ruang politik perlulah kita berlaku adil bukan berlaku ‘equal’ (menyamaratakan) kerana setiap orang ada kemampuan tersendiri. Adalah kezaliman apabila kita menyuruh seorang nenek berusia 80 tahun memilih pemimpin sedangkan dia sudah tidak lagi mampu membuat pilihan yang tepat kerana lemah ingatan dan sebagainya.

Demikian juga menjadi kezaliman apabila kita melantik seorang kafir menjadi pemimpin ke atas umat Islam atas apa nama jawatan sekalipun kerana bukanlah hak seorang kafir memerintah seorang muslim bahkan tiada hak untuknya menjadi teman rapat seorang muslim sekalipun sebagaimana firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” [Ali Imran: 118].

Allah Taala melarang dalam ayat ini menjadikan kaum munafiq yakni orang kafir yang berpura-pura Islam sebagai teman rapat. Kaum munafiq itu zahirnya dihukum Islam tetapi batinnya kufur, maka jika inilah hukumnya terhadap munafiq tentulah lebih utama haram kita menjadikan orang yang jelas menzahirkan kekufurannya sebagai teman apatah lagi pemimpin.

Firman Allah Taala:

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman…” [Ali Imran: 28].

Demikian juga menceburkan wanita dalam kancah pertarungan politik adalah tidak wajar kerana hak wanita adalah mentarbiah generasi mendatang dan memberikan sokongan kepada suami mereka dan keluarga mereka. Bukanlah hak wanita menjadi pemimpin ke atas lelaki kerana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

لن يفلح قوم ولوا أمرهم امرأة

Maksudnya: “Tidak akan berjaya sama sekali suatu kaum yang menyerahkan kekuasaan pemerintahan mereka kepada seorang wanita”. [al-Bukhari].

Maka kita dapati negara Madinah Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam tidak melibatkan kaum Yahudi dan Wanita dalam majlis syura baginda. Demikian juga yang berlaku sepanjang pemerintahan Khalifah al-Rasyidin, kaum kafir dan wanita tidaklah terlibat dalam politik secara langsung.

Ini semua dengan tujuan merealisasikan ‘Keadilan’ kepada setiap kaum dengan memerikan hak-hak mereka sesuai dengan ketetapan Allah Taala bukan apa yang dikehendaki hawa nafsu manusia.

Prinsip kedua adalah berbuat ihsan iaitulah sabar dalam menegakkan kewajipan-kewajipan yang telah Allah fardukan kepada manusia dan sebesar-besar kefarduan itu adalah mengeakkan Tauhid kepada Allah Taala dan berjihad menyebarkan ajarannya.

Oleh itu,para pejuang agama Allah Taala perlu bersabar dalam menjalankan perintah-perintah Allah Taala dan RasulNya kerana jalan menuju ke syurga itu dipenuhi pancaroba sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ

Maksudnya: “Dikelilingi syurga itu dengan pancaroba dan dikelilingi neraka itu dengan keenakan nafsu”. [Muslim].

Tindakan demonstrasi jalanan dan pemberontakan terhadap pemimpin muslim yang zalim bukanlah daripada kesabaran yang dianjurkan Islam bahkan termasuk maksiat yang dilarang sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

« خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ ». قَالُوا قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلاَ نُنَابِذُهُمْ عِنْدَ ذَلِكَ قَالَ « لاَ مَا أَقَامُوا فِيكُمُ الصَّلاَةَ لاَ مَا أَقَامُوا فِيكُمُ الصَّلاَةَ أَلاَ مَنْ وَلِىَ عَلَيْهِ وَالٍ فَرَآهُ يَأْتِى شَيْئًا مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ فَلْيَكْرَهْ مَا يَأْتِى مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ وَلاَ يَنْزِعَنَّ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ »

Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka akan mereka dan mereka suka akan kamu, dan kamu mendoakan (kesejahteraan) mereka dan mereka mendoakan (kesejahteraan) kamu; Seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata sahabat: “Apakah tidak boleh kami memberontak terhadap mereka?” Jawab baginda: “Tidak boleh selagi mereka mendirikan solat dalam kalangan kamu, sesungguhnya jika ada antara kamu melihat pemimpinnya melakukan maksiat kepada Allah maka bencilah perbuatan itu tetapi janganlah dia mencabut ketaatan (memberontak)”. [Muslim & Ahmad].

Hadis ini terang bagaikan mentari bahawa selama seorang pemimpin itu tidak menjadi kufur maka betapa zalim bagaimana pun dia maka tidak boleh kita memberontak dan menggulingkannya. Para Ulama dan Pendakwah perlu bersabar dalam menasihati mereka dan bersedia bergadai nyawa demi menegakkan kebenaran.
Prinsip berbuat baik kepada kaum kerabat menjadi tunjang ketiga kerana keluarga adalah asas masyarakat. Apabila institusi kekeluargaan sejahtera maka akan lahirlah masyarakat yang sejahtera dan sebaliknya apabila institusi ini pincang maka goyahlah masyarakat seterusnya meruntuhkan negara.

Maka aspek berbakti kepada ibu bapa perlu dititik beratkan oleh negara yang bersatu padu dan maju. Tindakan mengabaikan penjagaan ibu bapa dengan menghantar ke rumah orang-orang tua misalnya adalah tidak wajar sama sekali bagi seorang anak. Demikian juga penjagaan nasab keturunan merupakan perkara yang perlu dititik beratkan.

Menjadi tanggungjawab kerajaan dan masyarakat memudahkan proses perkahwinan anak-anak muda bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dalam perzinaan dan pergaulan tidak sihat. Firman Allah Taala:

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.” [al-Nur: 32]

Ayat ini menjelaskan bahawa kemiskinan bukanlah alasan yang baik untuk menghalang anak-anak muda daripada menempuh alam perkahwinan. Jikalau mereka diberi didikan yang sempurna dan baik sesuai dengan al-Quran dan al-Sunnah menurut manhaj al-Salaf al-Soleh, insya-Allah, mereka akan mampu menempuh dugaan yang Allah Taala berikan.

Prinsip terakhir yang dinayatakan Allah Taala dalam ayat ke-90 surah al-Nahl tersebut adalah prisnip mencegah kemungkaran. Menjadi tanggungjawab setiap individu muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim, dan Negara Islam untuk mencegah kemungkaran dan menyeru kepada kebaikan.

Firman Allah Taala:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: “kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada Segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” [Ali Imran: 110].

Menyuruh berbuat kebaikan merupakan dakwah kepada tauhid bukan semata-mata menyeru kepada kebaikan yang diterima secara fitrah oleh manusia demikian juga mencegah kemungkaran itu adalah mencegah segala perkara yang mengundang murka Allah Taala dan sebesar-besar sebab kemurkaan Allah adalah syirik dan kufur.

Saya berasa terhina dan kecewa apabila sebuah kerajaan kafir di utara tanah air menjadikan slogan Amar Makruf Nahi Munkar ini sebagai moto kerajaan mereka sedangkan mereka merupakan pelaku maksiat terbesar dalam alam ini iaitu kufur dan syirik kepada Allah Taala.

Lebih mengecewakan apabila sekutu-sekutu jahil mereka yang mendakwa diri mereka politikus Islam tidak mendiamkan diri dengan tindakan yang mencemar pemahaman terhadap al-Quran ini.

Tindakan ini memberikan tafsiran yang salah terhadap makna sebenar Amar Makruf Nahi Munkar yang dituntut Islam dan menyempitkan makna munkar dan makruf kepada cabang-cabangnya sahaja dan melupakan usul dan akarnya.

Jika benar mereka hendak menjadikan moto ini sebagai moto kerajaan mereka maka marilah mereka mengucapkan dua kalimah syahadah beriman kepada Allah dan RasulNya.

Demikianlah Negara Madinah melaksanakan konsep ‘Satu Madinah’ ini di bawah pimpinan Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam serta diteruskan oleh para sahabat baginda radiallahuanhum.

Rasulullah sallallahu alaihi menyatukan penduduk yang pelbagai kaum dan bangsa melalui akidah Tauhid bukan atas nama negara, bangsa keturunan, atau tanah tetapi penduduk Madinah meletakkan diri mereka sebagai bangsa Islam.

Mereka memartabatkan Islam sebagai agama, bangsa, dan negara serta meletakkan Islam sebagai pemerintah dan pemimpin berkuasa mutlak yang memandu mereka mentadbir tanah air mereka.

Perlu diingatkan bahawa kosnep Satu Madinah tidak pernah meletakkan kaum kafir setara dengan kaum muslimin kerana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

لاَ تَبْدَءُوا الْيَهُودَ وَلاَ النَّصَارَى بِالسَّلاَمِ فَإِذَا لَقِيتُمْ أَحَدَهُمْ فِى طَرِيقٍ فَاضْطَرُّوهُ إِلَى أَضْيَقِهِ

Maksudnya: “Janganlah kamu mulakan memberi salam kepada Yahudi dan Nasrani, jika kamu bertemu mereka di jalan maka himpitlah dia ke tepian”. [Muslim, al-Tarmizi, Ahmad].

Perintah ini bukanlah bermakna kaum kafir itu dizalimi dan ditindas tetapi hendaklah kaum kafir itu menghormati kaum muslimin selaku tuan tanah dan pemilik negara yang sebenar. Konsep Satu Madinah dapat disimpulkan berdiri juga atas prinsip ‘Ketuanan Muslimin’ atau ‘Muslims Supremacy’.

Islam membenarkan kaum kafir yang menjadi warganegaranya untuk menyertai aktiviti ekonomi negara bahkan baginda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam sehingga baginda wafat baju besi baginda masih tergadai pada seorang Yahudi kerana baginda membeli makanan secara hutang daripadanya.

Namun, aktiviti tersebut perlulah berjalan menurut lunas-lunas Islam seperti tiada riba, penipuan, dan perjudian. Demikian juga undang-undang negara Islam berlandaskan hukum syarak namun kaum kafir boleh mempunyai mahkamah khas mereka sendiri tetapi apabila mereka membawa sesuatu kes ke mahkamah Islam, mereka perlu akur dengan undang-undang Islam.

Firman Allah Taala:

فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “…oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [al-Maidah: 42].

Ayat ini menjelaskan apabila kaum kafir zimmi Ahli Kitab datang kepada hakim muslim untuk berhukum dalam masalah yang terdapat perbezaan syariat maka hakim muslim boleh memilih sama ada menerima kes itu atau tidak, tetapi jika dia menerima maka hendaklah dia berhukum sesuai dengan hukum Islam. [Tafsir al-Saadi, 1/232, Aisar al-Tafasir, 1/351].

Maka tidak perlu kepada kaum kafir zimmi di tanah air kita ini khasnya jika suatu hari nanti, insya-Allah, kerajaan kita ingin melaksanakan undang-undang Syariah, mereka akan diberi pilihan dan undang-undang Syariah ini khas untuk kaum muslimin pada dasarnya.

Demikian juga pihak kerajaan tidak perlu takut untuk melaksanakan undang-undang ini kerana tidak akan menjejaskan sama sekali sokongan kaum kafir kepada kerajaan jika dilaksanakan dengan tepat dan teratur.

Oleh itu, konsep Satu Malaysia ini jika hendak dilaksanakan dengan betul tanpa menjejaskan kedudukan Islam dan tidak mengabaikan akidah al-wala’ dan al-bara’, hendaklah diikuti dan dipasakkan kepada konsep Satu Madinah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam dan para sahabat baginda radiallahu anhum.

Perlu saya jelaskan juga, saya tidak menyandarkan sumber tulisan saya ini kepada Perlembagaan Madinah yang masyhur dalam sirah kerana isi kandungan perjanjian ini tidaklah sabit melalui riwayat yang sahih sehingga dapat dijadikan hujah. Apa yang pasti, Madinah adalah Negara Tauhid dan perlembagaannya adalah al-Qur’an dan al-Sunnah. [Rujuk: Marwiyat al-Sirah, Dr.Akram Diya’ al-Umari,1/64].

 

 

DITULIS OLEH:

MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI,

KULIAH USULUDDIN & DAKWAH,

AL-MADINAH INTERNATIONAL UNIVERSITY.

Advertisements

MANHAJ AHLI SUNNAH WAL JAMAAH TERHADAP PEMIMPIN YANG ZALIM

11 Feb

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

Artikel ringkas ini akan cuba menjelaskan manhaj yakni kaedah Ahli Sunnah wal Jamaah dalam bermuamalah atau berhubungan dan bergaul dengan pemimpin yang zalim.

Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) meletakkan permasalahan berkenaan pemimpin ini dalam bab akidah melambangkan betapa pentingnya isu kepimpinan ini sekaligus menafikan dakwaan bahawa Islam adalah agama sekular yang mengasingkan agama daripada politik. Fahaman sekular amat menyelweng daripada akidah Islam keran Islam melihat politik sebagai masalah akidah yang perlu dipelihara.

Pemahaman politik yang terkeluar daripada manhaj ASWJ akan melahirkan kesesatan dalam perkara akidah. Sebagai contoh ajaran Syiah Rafidah yang bukan sekadar sesat bahkan kafir adalah berpunca daripada pergolakan politik.

Selain itu, masalah bagaimana kita perlu bermuamalah dengan pemimpin muslim yang zalim juga termasuk dalam akidah al-Wala’ wa al-Bara’ (Cinta dan Benci kerana Allah)  yang merupakan ikatan iman yang paling teguh.

Pemimpin yang muslim yang melakukan kezaliman termasuklah dalam kategori kedua manusia dalam akidah al-Wala’ wa al-Bara’ iaitu mereka yang berhak mendapat al-wala’ (kesetiaan) dan al-Bara’ (berlepas diri) sekaligus.  Berikut kita jelaskan noktah-noktah penting dalam manhaj ini:

Pertama: Mentaati Pemerintah Adalah Wajib ‘Ain

Mentaati pemerintah kaum muslimin yang beragama Islam adalah fardu ‘ain berdalilkan firman Allah s.w.t dalam surah alp-Nisaa ayat ke-59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Kewajipan taat kepada pemimpin kaum muslimin adalah perkara ijmak dalam kalangan ASWJ bahkan para ulama juga telah ijmak wajibnya memerangi kaum bughah yakni mereka yang menentang pemimpin Islam secara bersenjata.

Kedua: Haram Mentaati Perintah Yang Maksiat

Demikian juga telah ijmak ulama haram terhadap muslim mengikut perintah pemimpin yang membawa kepada maksiat. Ini berdasarkan ayat di atas (surah al-Nisaa: 59) yang mengqaidkan (mengikat) ketaatan kepada pemimpin itu dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. Demikian juga sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Ketaatan itu sesungguhnya hanya dalam perkara makruf” [Muttafaq ‘Alaih].

Dan sabda Nabi s.a.w:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: “Dengar dan Taat itu wajib atas setiap muslim dalam perkara yang dia suka dan benci selama tidak disuruh melakukan maksiat maka apabila dia (pemimpin) menyuruh melakukan maksiat maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taat” [Muttafaq ‘alaih].

Antara contoh dalam tidak mentaati perkara maksiat adalah sebagaimana hadis dalam sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa seorang panglima perang yang dilantik Rasulullah s.a.w dalam satu sariah memerintahkan para prajuritnya untuk masuk dalam api lalu mereka semua enggan. Sehingga akhirnya kemarahan panglima mereka reda dan api pun  padam, mereka pulang ke Madinah dan mengadukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda berkata: “Jika kamu masuk ke dalamnya tentulah kamu tidak akan keluar lagi, sesungguhnya taat itu hanya dalam perkara makruf”.

Ketiga: Wajib Menasihati Pemimpin Yang Zalim.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih lagi masyhur:

الدين النصيحة قلنا لمن ؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم 

Maksudnya: “Agama itu adalah Nasihat”. Kami (Sahabt) bertanya: ‘Untuk siapa?’ Jawab baginda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan awam mereka”. [Muslim].

Dan sabda Nabi s.a.w:

أفضل الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر

Maksudnya: “Jihad yang Afdal adalah perkataan yang benar di sisi pemimpin yang zalim” [Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, dan Ahmad dan hadisnya sahih].

Nasihat kepada pemimpin itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin depan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (43) فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى (44)

Maksudnya:  “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. [Taha: 43&44].

Istidlalnya adalah jika kepada Firaun yang kafir pun Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s bercakap secara lemah lembut maka lebih utama lagi dilakukan kepada pemimpin Islam.

Sabda Nabi s.a.w:

من أراد أن ينصح لذى سلطان بأمر فلا يبدله علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فان قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه

Maksudnya: “sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi pegnaglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Ahmad, sahih].

Dalam hadis ini menjelaskan wajibnya menasihati pemimpin dan wajib pula melakukannya dengan cara yang baik. Dalam sebuah riwayat dinyatakan:

عن زياد بن كسيب العدوي قال كنت مع أبي بكرة تحت منبر ابن عامر وهو يخطب وعليه ثياب رقاق فقال أبو بلال : أنظروا إلى أميرنا يلبس ثياب الفساق فقال أبو بكرة اسكت سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول من أهان سلطان الله في الأرض أهانه الله

Maksudnya: Daripada Ziyad bin Kasib al-Adwi katanya: Aku bersama Abu Bakrah di bawah minbar Ibn Amir ketika dia sedang berkhutbah dengan memakai pakaian yang nipis maka berkata Abu Bilal: ‘Lihat pemimpin kita itu, dia memakai pakaian orang fasiq’. Maka berkata Abu Bakrah r.a: Diamlah, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah di bumi maka Allah akan menghinanya”. [al-Tarmizi, sahih].

Oleh itu, jelas sekali dalam manhaj Syarak yang benar, perbuiatan berdemonstrasi dan protes jalanan membantah pemimpin yang zalim adalah maksiat dan perbuatan itu hanyalah menambah dosa atas dosa semata-mata.

Abu Ishaq al-Sabi’i r.h, daripada pembesar ulama Tabiin berkata:

ما سب قوم أميرهم، إلا حرموا خيره

Maksudnya: “Tidak ada suatu kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan akan terhalang daripada mendapat kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani].

Keempat: Haram Memberontak dan Menggulingkan Pemerintah Yang Zalim

Walaupun disuruh kita tidak mengikuti perintah yang berunsur maksiat, namun pemimpin yang menyuruh melakukan maksiat atau melakukan maksiat hanya wajib dinasihati secara baik dan tidak boleh digulingkan dengan kekerasan atau menderhaka kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w:

Dalilnya hadis Muslim dan Ahmad berikut:

عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول الله أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال ( لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا تكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة )

Maksudnya: Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknapt mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.

Hadis ini tidaklah menunjukkan bolehnya melaknat pemimpin kerana tidak boleh sama sekali melaknat seseorang muslim tetapi melaknat amalan pemimpin tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w:

(ستكون أمراء فتعرفون وتنكرون فمن عرف برئ ومن نكر سلم ولكن من رضي وتابع ) قالوا أفلا نقاتلهم ؟ قال ( لا ما صلوا )

Maksudnya: “Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana ianya maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Kata baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. [Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, Ahmad].

Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

( يكون بعدي أئمة لا يهتدون بهداي ولا يستنون بسنتي وسيقوم فيهم رجال قلوبهم قلوب الشياطين في جثمان إنس ) قال قلت كيف أصنع ؟ يا رسول الله إن أدركت ذلك ؟ قال ( تسمع وتطيع للأمير وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك فاسمع وأطع )

Maksudnya: “Akan ada selepasku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak mengikut sunnahku dan akan ada dalam mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan berbadan manusia”. Kata Huzaifah:’Aku bertanya: Maka bagaimana aku harus lakukan wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: “Kamu dengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia menyebat belakangmu dan merampas hartamu, dengar dan taatlah”. [al-Bukhari & Muslim, lafaz bagi Muslim].

Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ فَإِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِنْ السُّلْطَانِ شِبْرًا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya: “Sesiapa yang membenci akan perbuatan pemimpinnya (yang maksiat) maka bersabarlah kerana sesungguhnya sesiapa yang keluar menentang pemerintah sejengkal lalu mati, maka dia mati sebagai orang jahiliah”. [al-Bukhari & Muslim]

Syarat untuk keluar memberontak adalah apabila pemimpinnya menjadi kafir maka ketika itu wajib atas kaum muslimin melucutkan jawatannya dengan cara yang paling elok dan jika tidak ada jalan lain melainkan perang maka hendaklah berperang jika tidak hendaklah mereka berhijrah. [Syarah Tahawiyah min Kalam Ibn Taimiah, 86&87].

Ini sebagaimana sabit dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Ubadah bin al-Samit r.a katanya:

دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ

Maksudnya: “Rasulullah s.a.w memanggil kami lalu baginda mengambil baiat daripada kami dan antara yang baginda syaratkan adalah dengar dan taat (pada pemimpin) dalam perkara yang kami suka dan benci (selagi bukan maksiat), dalam keadaan senang dan susah kami dan dalam perkara yang merugikan kami dan janganlah kami menandingi hak ahlinya melainkan kamu melihat kufur yang jelas yang padanya kamu mempunyai dalil di hadapan Allah nanti”.

Berkata al-Qadi ‘Iyadh r.h:

لو طرأ عليه الكفر انعزل

Maksudnya: “Jika dia (pemimpin) menjadi kafir (nauzubillah min zalik) maka dia terlucut jawatan..” [Syarah Sahih Muslim li al-Nawawi, 12/229].

Berkata Imam Abul Hasan al-Asy’ari r.h:

ونرى الدعاء لأئمة المسلمين بالصلاح والإقرار بإمامتهم وتضليل من رأى الخروج عليهم إذا ظهر منهم ترك الاستقامة

وندين بإنكار الخروج بالسيف وترك القتال في الفتنة

Maksudnya: “dan kami berkeyakinan wajibnya mendoakan kebaikan bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan kestabilan pemerintahan mereka serta menyesatkan sesiapa sahaja yang berpendapat bolehnya menderhaka kepada pemimpin yang zalim dan kami beriman haramnya memberontak dengan senjata dan kami beriman perlu meninggalkan berperang dalam fitnah”. [al-Ibanah, 1/11].

Jelas daripada kenyataan Imam al-Asy’ari ini, ASWJ bersepakat haramnya memberontak kepada pemerintah selama dia muslim dan beriman walaupun dia melakukan maksiat dan berlaku zalim.

Analoginya mudah, apabila ibu bapa kita melakukan maksiat atau menyuruh kita melakukan maksiat maka kita wajib mengingkari maksiat tersebut tetapi kita tidak boleh memutuskan nasab kita dengan mereka.

Imam Abu Jaafar al-Tahawi r.h menyatakan dalam kitab Aqidah beliau:

-“ولا نرى الخروج على أئمتنا وولاة أمورنا وإن جاروا ولا ندعو عليهم ولا ننزع يدا من طاعتهم ونرى طاعتهم من طاعة الله عز وجل فريضة، ما لم يأمروا بمعصية، وندعو لهم بالصلاح والمعافاة.”

Maksudnya: “dan kami tidak percaya sama sekali bolehnya keluar menetang pemerintah walaupun mereka berlaku zalim dan kami tidak akan mendoakan keburukan atas mereka dan tidak akan menderhaka pada mereka bahkan kami berpendapat mentaati mereka termasuk taat kepada Allah Azza wa Jall dan ianya fardu (wajib) selama mereka tidak menyuruh melakukan maksiat dan kami mendoakan bagi mereka kebaikan dan kemapunan”. [Syarah Tahaiwah min Kalam Ibn Taimiah, 85].

Contoh Ulama al-Salaf dalam Berhadapan Kezaliman Pemimpin

Imam Abu Hanifah r.h: Beliau telah dipenjarakan oleh Khalifah al-Mansur al-Abbasi hanya kerana tidak mahu menerima jawatan Qadi (Hakim). Abu Hanifah r.h tidak pernah sama sekali membenarkan kaum muslimin menentang atau memberontak terhadap al-Mansur sehingga beliau wafat dalam penjara.

Imam Malik bin Anas r.h: Di zaman beliau terdapat pemberontakan terhadap al-Mansur (yakni Khalifah al-Mansur yang menghukum Abu Hanifah tadi) kemudian pemberontak ini berjaya menawan Madinah dan dipaksa untuk membaiat pemimpin mereka. Imam Malik enggan menderhaka pada Khalifah dan sanggup diseksa walaupun diketahui al-Masnur seorang yang zalim.

Imam al-Syafii r.h: Beliau telah ditangkap dan ditahan tanpa usul periksa dan dituduh sebagai pemberontak oleh Khalifah Harun al-Rasyid r.h, namun Imam Syafii setelah dibebaskan tidak pernah berdendam dengan khalifah bahkan sentiasa mendoakan kebaikan buat beliau.

Imam Ahmad bin Hanbal r.h: Khalifah al-Makmun dan al-Muktasim telah menyiksa beliau kerana keengganan menurut perintah maksiat mereka mengatakan al-Qur’an makhluk. Namun, Imam Ahmad melarang para pengikutnya yakni ASWJ memberontak.

Kesimpulan

Apa yang kami bentangkan ini semuanya berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, bukanlah berdasarkan hawa nafsu dan emosi. Kami menasihatkan kaum muslimin yang kami cintai sekalian untuk berpegang teguh dengan Manhaj ASWJ ini dalam semua aspek kehidupan mudah-mudahan kita berjaya dunia dan akhirat.

Ingatlah, Umat Muhammad yang diakhir zaman ini tidak akan berjaya melainkan mereka mengikut jejak langkah yang telah dilalui oleh pendahulu mereka yang soleh yang telah berjaya dunia dan akhirat. Wallahua’lam.