Tag Archives: niqab

NIQAB : ANUGERAH ALLAH YANG DIZALIMI

25 Jun

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Allah Taala berfirman:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Maksudnya: “orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. dan Demi Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.” [al-Baqarah: 120].

Tindakan kerajaan Kafir yang zalim lagi kejam, Perancis melarang Umat Islam wanita memakai Niqab atau penutup muka yang dikenali sebagai ‘Purdah’ merupakan realiti dan tafsiran hidup terhadap firman Allah Taala di atas. Demikianlah kaum kafir tidak pernah diam dan tidak akan berhenti menzalimi dan menghina agama Islam dan umatnya sehinggalah mereka berjaya memesongkan akidah kaum muslimin.

Saya bersegera menulis artikel ini dengan harapan mendahului salakan anjing-anjing Oreintalis yang akan menyalak tanda sokongan terhadap tindakan Sarkozy –Alaihi minallahi ma Yastahiq- ini kerana perkara ini pernah berlaku sebelum ini ketika mana pendahulu Sarkozy mengharamkan pemakaian tudung dan disambut dengan salakan sokongan oleh anjing belaan al-Azhar al-Syarif yang dipakaikan jubah Ulama.

Umat Islam hari ini mudah terkeliru dengan dakyah-dakyah barat kerana kaum kafir pada hari ini lebih maju berbanding dahulu kerana mereka bukan sahaja akan disokong oleh ahli-ahli politik penyembah demokrasi dan sekularisme bahkan anjing-anjing berserban dan berjubah yang menggelar diri mereka Ulama (sedangkan mereka Ular dalam semak).

Allah Taala telah menyamakan kaum yang menggelar diri mereka Ulama namun  menjadi penyesat umat dengan anjing yang menjulur lidah sebagaimana dalam firmanNya:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ (175) وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الْأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (176)

Maksudnya: “dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.” [al-A’raf: 175-176].

Ayat ini menceritakan kisah Bal’am bin Ba’ir atau Bal’am bin Abir, seorang alim daripada yang mustajab doanya telah berpaling tadah daripada ajaran Rasulnya iaitu Nabi Musa a.s ketika itu dan menyokong kaum kafir yang hendak memerangi Musa a.s dan menyekat baginda dan kaum baginda memasuki Tanah Yang dijanjikan (Palestin) setelah berakhirnya tempoh sesat 40 tahun. Akhirnya dia dijadikan hina umpama anjing oleh Allah Taala, menjadi ahli neraka dan lidahnya terjulur bagaikan anjing.-Nauzubillah min zalik-.

Maka saya menyeru kepada mereka yang telah diberikan Allah Taala kemuliaan dengan kedudukan sebagai Mufti, Alim Ulama, Ahli Fatwa, dan lainnya supaya tetaplah di atas prinsip dan berpegang teguhlah dengan agama Allah Taala dalam apa jua keadaan melanda. Umat Islam dewasa ini amat memerlukan keikhlasan anda dan ketelusan lidah anda bukan putar belit dan fatwa yang berselirat dengan helah dan syubhat.

Kembali kepada isu Niqab atau Purdah, ketahuilah wahai Saudara-saudariku se-Islam, sesungguhnya memakai purdah atau niqab adalah tuntutan syariat Islam kepada seorang wanita muslimah mukminah dan para Ulama Islam tidak pernah berbeza pendapat dalam masalah ini.

Pemakaian Niqab atau Purdah bukanlah satu penghinaan atau pengurungan bahkan merupakan kemuliaan dan keistimewaan yang Allah Taala anugerahkan kepada para wanita. Saya tidak akan mendatangkan logik yang susah atau qias mantik yang panjing, cukuplah jika saudara dan saudari sekalian perhatikan buah-buahan yang sedang mekar masak, lazat dipandang dan menarik perhatian burung dan haiwan lain memakannya, apakah yang akan dibuat oleh tuan kebun yang memeiliki buah itu?

Jawapan yang pantas tuan-tuan dan puan-puan, tentu sekali akan dibalutnya, dibungkus dengan rapi. Demikian juga apabila tuan-tuan dan puan-puan mengeluarkan wang daripada ATM, wang yang menarik mata pencuri dan perompak, apakah tindakan pantas yang akan dilakukan? Wah, bagus anda semua, jawapan yang tepat: Kita simpan cepat-cepat dalam dompet atau beg galas, kita tutup wang tersebut jangan sampai dilihat orang lain.

Nah, sekarang, apakah dengan membalut buah tadi atau menyimpan wang dalam dompet kita tidak sayang kepada buah atau wang tadi? Kita hendak merendah-rendahkan nilai buah dan wang tadi? Sungguh sama sekali tidak, bahkan kita menyembunyikan keduanya kerana keduanya sangat berharga pada kita sehingga kita tidak sanggup orang lain melihatnya dan mencederakannya.

Demikianlah pandangan Islam terhadap wanita, mereka adalah maruah, mereka adalah pembentuk generasi mendatang, dan tunjang keluarga yang setiap lelaki yang berjaya tidak dapat tidak berdiri di belakangnya seorang wanita yang hebat. Maka Islam memerintahkan mereka menutup tubuh mereka, terutama wajah yang menjadi himpunan kecantikan wanita yang sentiasa menarik perhatian burung-burung bernama lelaki untuk mematuknya.

Semua manusia sama ada muslim, nasrani, yahudi, hindu dan lainnya mengakui lelaki yang paling hebat dan berpengaruh di dunia ini adalah Muhammad bin Abdullah s.a.w. Tahukah tuan-tuan dan puan-puan, semua isteri-isteri baginda yang menyokong baginda sepanjang perjuangan baginda adalah semuanya wanita berpurdah? Demikian juga anak-anak gadis baginda dan isteri-isteri para Sahabat baginda yang merupakan pembantu setia dalam perjuangan adalah mereka yang berpurdah.

Maka dakwaan liar si anjing Sarkozy dan mereka yang menyalak bersamanya adalah dakwaan batil bahawa Purdah adalah penghinaan dan menyekat kebebasan. Dakwaan anjing-anjing kafir ini berlawanan dengan akal yang sejahtera dan realiti yang nyata. Lihatlah wanita-wanita kafir yang berjalan mededahkan tubuh dan wajah, mereka semua tidak terlepas menjadi tatapan nafsu sang lelaki sama ada kita perasan atau tidak.

Demikian juga wanita-wanita muslimah yang terperangkang dalam jerangkap samar Iblis ini, semuanya menjadi korban nafsu dan syahwat dan jika tidak paling kurang akan menjadi santapan neraka di akhirat nanti, nauzubillah min zalik.

Sabda Nabi s.a.w:

المرأةُ عورة ، فَإِذا خَرَجَتْ اسْتَشْرَفَهَا الشيطانُ

Maksudnya: “Wanita itu adalah aurat, apabila dia keluar (dari rumah) maka syaitan akan menghiasanya”. [al-Tarmizi dan Ibn Khuzaimah, hadis Hasan Gharib].

Ini adalah hakikat yang diberitakan oleh Rasulullah s.a.w yang diterima daripada Allah Taala dan perlu diingat Allah Taala adalah pencipta Alam ini termasuklah lelaki dan wanita. Maka Dia Maha Mengetahui apakah jenis pakaian yang perlu dipakai oleh lelaki dan apakah pula jenis pakaian yang perlu dipakai oleh wanita.

Alangkah malang makhluk yang bernama manusia, apabila Allah memberinya nafas dia ambil, Allah berinya makanan dia makan, diberi minuman dia minum, namun apabila Allah Taala memberinya pakaian yang memang sesuai dengan kejadian yang Allah ciptakan dia, dia menolak dan mendakwa dia lebih tahu mana yang sesuai.

Islam apabila membezakan sesuatu hukum antara lelaki dan wanita bukanlah kerana Islam memandang wanita itu hina atau makhluk yang rendah darjatnya namun Islam memandang daripada sudut kejadian masing-masing yang telah Allah Taala ciptakan. Firman Allah Taala:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: “kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka…” [al-Nisaa: 34]

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Taala telah menciptakan lelaki dengan beberapa kelebihan berbanding wanita demikian juga wanita diciptakan tidak sama dengan lelaki, dan lelaki itu diberi tanggungjawab berbeza dengan wanita maka setiap hukum yang berbeza antara lelaki dan wanita bukanlah kerana Islam hendak merendahkan wanita tetapi dalam rangka berlaku adil terhadap masing-masing jantina.

Firman Allah Taala:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” [al-Baqarah: 286].

Oleh itu, janganlah cepat kita menuduh Islam agama yang suci murni ini dengan tohmahan dan fitnah yang tidak berasaskan sedangkan kita sendiri tidak memahami perkara yang kita tohmah dan fitnah itu. Amat buruklah mereka yang menerima dan menggunakan nikmat Allah kemudian menolak perintah dan larangNya.

Kaum Muslimin, muslimat dan bangsa manusia sekalian, Islam mensyariatkan dan memerintahkan wanita-wanitanya menutup wajah mereka atas prinsip yang kami terangkan ini bukan kerana hendak menrendah atau menghina wanita apatah lagi memenjarakan mereka, sama sekali tidak.

Setelah jelas bahawa perintah berpurdah bukanlah satu penghinaan maka perlu kami jelaskan di sini hukum sebenar berkenaan hukum berpurdah bagi muslimah kerana terdapat beberapa kaum anjing berjubah ulama yang mendakwa kononnya purdah adalah bidaah tidak ada dasarnya daripada Islam.

Ketahuilah bahawa berpurdah itu adalah Sunnah sabit dalam hadis-hadis yang sahih dan disepakati para Ulama Muslimin semenjak zaman Salaf Soleh lagi. Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h berkata:

“Hendaklah diketahui bahawa menutup wajah dan tapak tangan adalah berasal daripada sunnah dan telah diamalkan semenjak zaman baginda Nabi s.a.w seperti mana yang diisyaratkan baginda dalam sabdanya:

لا تنتقب المرأة المحرمة ولا تلبس القفازين

Maksudnya: “Janganlah wanita yang berihram memakai Niqab (purdah) dan janganlah memakai sarung tangan”. [Sahih]” [Jilbab al-Marah al-Muslimah, m.s 104, cet. Pertama al-Maktabah al-Islamiah].

Hadis yang didatangkan oleh Syeikh ini dikeluarkan oleh al-Bukhari hadis no. 1741 dan berkata Imam Ibn Taimiah r.h:

“Ini menunjukkan bahawa pemakaian purdah dan sarung tangan adalah dikenali (diamalkan) para wanita yang tidak berihram (di zaman Nabi s.a.w) dan ini menunjukkan mereka menutup wajah dan tapak tangan mereka”. [Ibid].

Daripada Aisyah r.a:

كان الركبان يمرون بنا ونحن مع رسول الله صلى الله عليه وسلم محرمات فإذا حاذوا بنا أسدلت إحدانا جلبابها من رأسها على وجهها فإذا جاوزونا كشفناه

Maksudnya: “Adalah penunggang-penunggang melalui kami sedangkan kami bersama dengan Rasulullah s.a.w dalam keadaan Ihram, apabila mereka melintasi kami maka setiap kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) akan melabuhkan jilbabnya daripada kepalanya ke atas wajahnya apabila mereka telah berlalu kami pun membukanya kembali”. [Ahmad dan dinilai Hasan li Ghairih oleh Syeikh al-Albani].

عن أسماء قالت : كنا نغطي وجوهنا من الرجال و كنا نمتشط قبل ذلك

Maksudnya: “Daripada Asma’ r.a kata beliau: ‘Adalah kami menutup wajah kami daripada lelaki dan kami menyikat rambut sebelum itu (Ihram)”. [Ibn Khuzaimah dan al-Hakim, hadis Sahih].

Para Ulama menyatakan, walaupun Nabi s.a.w melarang wanita berniqab (memakai purdah) dalam Ihram, namun mereka dibenarkan untuk menutup wajah dengan kain yang tidak bersentuh dengan kulit wajah mereka sama seperti lelaki berihram dilarang menutup kepala dengan serban atau kepiah tetapi boleh menutup dengan bumbung atau payung.

Ini menunjukkan menutup wajah dan tapak tangan dalam kalangan wanita Salaf al-Soleh adalah makruf dan diamalkan dan mereka berniqab di luar ihram. Ini jelas dalam hadis berikut:

عن صفية بنت شيبة عن عائشة أنها كانت تطوف بالبيت وهي منتقبة

Maksudnya: “Daripada Safiyyah binti Syaibah daripada Aisyah r.a adalah beliau bertawaf dalam keadaan memakai niqab (purdah)”. [Musannaf Abdul Razak].

Ini menunjukkan setelah bertahallul, para wanita muslimah akan memakai kembali niqab mereka dan sekaligus menunjukkan disyariatkan pemakaian niqab ini. Pemakaian Niqab ini berterusan dari generasi ke generasi sehinggalah datangnya penjajahan barat lalu dicabutnya Niqab melalui tangan Muhammad Abduh dan muridnya Qasim Amin serta kuncu-kuncu mereka yang bersubahat dengan kaum Iblis –alaihim minallahi ma yastahiq-.

Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Ahzab: 59].

Saidina Ibn Abbas r.a berkata dalam mentafsirkan ayat ini:

“Allah Taala memerintahkan para wanita mukminah apabila mereka keluar daripada rumah mereka untuk sesuatu keperluan hendaklah mereka menutup wajah mereka daripada kepala dengan jilbab dan hanya menampakkan sebelah mata (untuk melihat)”. [Ibn Kasir, 6/ 481-482].

Dalam riwayat yang lain menyatakan cara menutup wajah adalah dengan melilitkan jilbab sehingga menutup dahi dan bahagian wajah dan menampakkan dua mata sahaja.[Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah al-Zuhaili, 22/109].

Oleh itu, dakwaan bahawa memakai purdah atau burqa atau apa sahaja yang menutup wajah wanita sebagai amalan bidaah adalah dakwaan bidaah yang menyesatkan serta pengingkaran terhadap syariat Islam yang mulia-nauzubillah min zalik- namun para Ulama Islam hanya berbeza pendapat apakah menutup wajah ini suatu perintah wajib atau mandub sahaja.

Perbezaan pendapat ini pula berlaku ketika aman daripada fitnah dan maksud fitnah di sini keadaan yang boleh menyebabkan berlakunya kemungkaran seperti tersebarnya lelaki-lelaki fasiq seperti yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w sehingga turunnya perintah menutup wajah dalam ayat 59 surah al-Ahzab di atas. [al-Baghawi, 6/376].

Mazhab al-Hanafiah dan al-Malikiah secara umumnya berpendapat tidak wajib wanita menutup wajah dan kedua tapak tangannya sama ada dalam solat atau di luarnya kecuali dalam keadaan fitnah seperti di hadapan lelaki kafir atau lelaki muslim yang kaki maksiat. Jika dalam keadaan fitnah seperti ini maka wajiblah dia menutup wajah dan dua tapak tangannya.

Mazhab al-Syafiiah dan al-Hanabilah berpendapat wajah wanita wajib ditutup demikian juga dua tapak tangannya diluar solat yakni di hadapan lelaki ajnabi kerana fitnah adalah benda zanni dan tidak sama padanya setiap manusia dan keadaan. Maka wajah wanita itu sendiri merupakan illah untuk diwajibkan tutup. [Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/654-664, al-Fiqh ‘alal Mazahib al-Arba’ah, 1/198].

Hasil pemerhatian pendapat para Ulama Mazhab ini, kita dapati kaum muslimat yang berada di Perancis menurut kesepakatan mazhab-mazhab yang muktabar wajib memakai penutup wajah sama ada niqab atau burqa atau lainnya kerana mereka berada dalam suasana fitnah, dikelilingi lelaki kafir dan fasiq di merata ceruk negeri.

Sebagai penutup, saya menyeru kepada semua kaum muslimin dan muslimat di negara ini khasnya dan di seluruh dunia amnya supaya mencabar tindakan kejam rejim Nasrani Perancis ini dengan menggandakan usaha dakwah kepada pemakaian niqab dan menutupa aurat serta menggerakkan jentera untuk memerangi habis-habisan budaya ‘bertudung tetapi telanjang’ yang semakin menular dalam masyarakt Islam hari ini. Wallahua’lam.

NYANYIAN SYAITAN DI TELINGA WANITA MUSLIMAH

15 Mac

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Al-Jibrati, seorang sejarawan moden Mesir dalam kitabnya yang terkenal, Ajaibul Asar, ketika menyentuh peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun 1215 Hijrah dalam bulan Zul Hijjah menyatakan bahawa tahun tersebut (1215H) melabuhkan tirainya dengan pelbagai peristiwa yang jelik dan berleluasanya kerosakan.

Antara kerosakan yang disebut oleh al-Jibrati rahimahullah adalah: “dan antaranya berlaku tabarruj dalam kalangan wanita dan kebanyakan mereka meninggalkan maruah dan sifat malu. Hal ini berlaku apabila kedatangan kaum Perancis bersama wanita-wanita mereka, berjalan di khalayak ramai dalam keadaan mereka (wanita-wanita Perancis) tidak menutup wajah, memakai gaun, dan mandil sutera yang berwarna warni serta melabuhkan Tarhah[1] Kashmir di atas bahu-bahu mereka, dan pakaian yang berwarna-warni dan bercelup-celupan serta mereka menunggang kuda dan keladai dan memacunya dengan pantas sambil bergelak ketawa dan bersenda gurau dengan orang-orang awam, maka cenderunglah kepada mereka itu kaum yang mengikut hawa nafsu dalam kalangan wanita-wanita yang rendah moralnya (daripada muslimah) kerana mereka menundukkan para wanita dengan harta-harta. Adalah perbuatan meniru gaya hidup wanita Perancis ini mulanya dilakukan dengan sembunyi kerana takut dicerca masyarakat tetapi setelah berlakunya fitnah terakhir di Mesir dan Perancis menyerang Bulaq[2], menceroboh penduduknya, merampas harta benda mereka, dan menawan wanita-wanita yang mereka sukai lalu jadilah mereka tawanan kepada tentera Perancis, lalu mereka dipakaikan pakaian wanita-wanita Perancis, dididik pula mereka dengan gaya hidup mereka (Perancis) lalu mereka ini (wanita-wanita muslimah) menanggalkan niqab yang menjadi lambing sifat malu mereka dan bergaul dengan mereka wanita-wanita yang rosak akhlaknya (daripada wanita perancis)”. [3]

Peristiwa yang dinyatakan oleh al-Jibrati ini adalah permulaan fenomena pendedahan aurat dalam kalangan wanita Islam sehingga Louis Awad[4] menamakan tahun ini sebagai ‘Tahun Emansipasi Wanita’. Demikianlah betapa bangganya kaum kafir dengan kejayaan mereka merosakkan wanita-wanita Islam[5].

Jelas daripada catatan fakta sejarah ini, permulaan seruan dan pemalu pertama genderang emansipasi (pembebasan) wanita adalah kaum kafir dan gerakan ini bermula di Mesir melalui penjajah Perancis kemudian merebak ke serata pelusuk Negara Islam.

Namun, menjadi satu tanda pertanyaan, bagaimanakah nyanyian syaitan ini terus berlangsung di telinga-telinga wanita muslimah, menghasut dan mengajak mereka membogelkan diri di jalan-jalan raya, mendedahkan tubuh mereka yang selama ini menjadi lambang maruah diri di khalayak ramai?

Bahkan, sepertimana yang dimaklumi kita semua, seruan pembogelan  wanita ini tanpa segan silu menamakan kumpulan mereka dengan nama Islam seperti ‘Sisters in Islam’, Gerakan Musawah, dan sebagainya. Apakah rahsia mereka mengatas namakan gerakan mereka dengan nama Islam tanpa rasa takut?

Jawapannya bagi yang membaca artikel saya sebelum ini ‘Kemaraan Orientalisme di Belakang Tabir Islamisme’ memang sudah dapat diduga, tidak lain tidak kelompok manusia yang bernama muslim tetapi berhati kafir menjadi dalang utama di sebalik semua seruan ini.

Melalui lidah-lidah syaitan inilah lagu-lagu kufur ini dimainkan dan dinyanyikan di telinga-telinga wanita muslimah sehingga fenomena yang disifatkan oleh al-Jibrati sebagai perlakuan sumbang dan amalan wanita murahan menjadi satu adat kebiasaan yang diterima bahkan dianggap biasa.

Kita dapat melihat hari ini bagaimana munculnya fesyen-fesyen pakaian yang mendedahkan aurat, tabarruj, menampakkan susuk tubuh, dan sebagainya tetapi tanpa segan silu dinamakan ‘Busana Muslimah’,’Fesyen Islam’, dan sebagainya lagi.

Kesimpulannya hasil usaha kaum muslim yang diorientaliskan ini berjaya menjadikan fenomena tidak bertudung dan mendedahkan aurat sebagai fenomena biasa yang tidak lagi dianggap sebagai dosa bahkan adat yang diterima.

Fenomena ini telah pun dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis baginda:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا ».

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu kata beliau: Bersabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam: ‘Dua golongan daripada Ahli Neraka yang belum pernah aku melihatnya (wujud) iaitulah: Kaum yang bersama mereka itu cemeti-cemeti seperti ekor lembu, memukul manusia, dan kaum wanita yang bertutup tetapi telanjang, mereka itu mengajak manusia menjauhi perintah Allah dan mereka sendiri menjauhi perintah Allah, kepala mereka seakan-akan bongol-bongol unta yang senget, mereka ini (dua golongan ini) tidak masuk ke syurga dan tidak pula mendapat baunya sedangkan baunya dapat dihidu dari jarak sekian..sekain..” [Muslim, Ahmad, al-Baihaqi dalam al-Kubra, dan al-Tabrani dalam Mukjam al-Awsat].

Maka perkhabran Rasulullah s.a.w ini jelas menerangkan kepada kita, fenomena ‘Tabarruj’ dan ‘Sufur’ ini merupakan maksiat dan dosa besar demikian juga Nabi s.a.w mengkhabarkan kepada kita akan adanya kaum yang bertindak ganas memukul manusia sesuka hati yakni perlakuan teroris.

Makna wanita bertutup tetapi telanjang dinyatakan ulama adalah wanita yang pada zahirnya menutup aurat tetapi mempunyai akhlak yang buruk dan ini memang hakikat yang berlaku pada hari ini di mana kita mendengar berita wanita bertudung labuh, menutup aurat tetapi akhirnya mengandungkan anak luar nikah hasil zina-nauzubillah min zalik-, wanita aurat, menjaga auratnya yang zahir tetapi terjebak dengan ajaran sesat dan syirik seperti ajaran kufur Syiah dan Tasawuf-nauzubillah min zalik- dan gejala seperti ini tidak pernah berlaku di zaman Nabi s.a.w.

Makna kedua yang disebut ulama adalah wanita yang memakai pakaian yang nipis menampakan warna kulit atau pakaian ketat yang menampakkan susuk tubuhnya atau menutup sebahagian aurat tetapi mendedahkan aurat yang lain. Ini juga banyak di zaman kita ini seperti anak-anak remaja dan siswazah university yang bertudung tetapi memakai baju yang ketat atau seluar yang menampakkan susuk bentuk kakinya, demikian juga yang betudung dan menutup aurat tetapi melakukan tabarruj seperti bernyanyi dan menari di hadapn lelaki bukan mahram serta sebagainya yang dapat kita lihat.[6].

Perintah menutup aurat adalah perintah yang sabit daripada nas al-Qur’an yang sarih (jelas) sebagaiman firman Allah Azza wa Jalla:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Makusdnya: “dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”[al-Nur: 31].

Dalam surah al-Ahzab ayat ke-53 Allah Jalla fi ‘Ulah berfirman:

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ

Maksudnya: “dan apabila kamu meminta sesuatu Yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. cara Yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.”

Ayat ini walaupun ditujukan khitabnya kepada Ummuhatul Mukminin (Ibu-ibu Orang beriman) yakni para isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam namun hukumnya terkena kepada umum kaum mukminin kerana umumnya illah yang diletakkan Allah subhanahu wa taala iaitu: ‘menjaga kesucian hati’, maka setiap manusia perlu menjaga kesucian hati tanpa ada perbezaan. Maka digunakan qiyas aula menunjukkan kewajipan ini lebih utama kepada kaum mukminah biasa kerana mereka tidak terjamin kesucian hati adapun Isteri-isteri Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam adalah wanita pilihan Allah Jalla wa ‘Ala namun mereka tetap diwajibkan hijab[7].

Dalam surah al-Ahzab ayat ke-59 Allah Jalla wa ‘Ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Ayat yang mulia ini memerintahkan supaya wanita-wanita muslimah yang merdeheka (bukan hamba sahaya) supaya melabuhkan tudung mereka dan menutup wajah mereka kecuali sebelah mata untuk melihat apabila keluar daripada rumah.[8]

Berkata Saidina Abdullah bin Abbas radiallahuanhu: “Allah memerintahkan wanita-wanita beriman apabila keluar daripada rumah kerana sesuatu keperluan hendaklah mereka menutup wajah mereka daripada atas kepala mereka dengan jilbab (tudung) dan menampakkan sebelah mata (untuk melihat)”.[9]

Tafsiran ini juga diriwayatkan daripada Abidah al-Salmani, Ibn Aun, dan Ibn Sirin rahimahumullah. [10]

Para ulama Islam telah bersepakat (ijmak) disyariatkan (diperintahkan) kepada wanita Islam apabila keluar daripada rumah untuk menutup wajah mereka namun mereka berbeza pendapat apakah jenis perintah yang dikehendaki, sama ada ‘Ijab’ (wajib) atau ‘nadab’ (sunat).

Ulama Mazhab Hanafiah mewajibkan wanita menutup wajahnya sebagai menjaga daripada fitnah, ulama Hanabilah berpendapat wajah wanita adalah aurat dan wajib ditutup, adapun ulama Syafiiah berpendapat wajah wanita adalah aurat nazar yakni haram direnung oleh lelaki ajnabi namun wanita itu hanya sunat sahaja menutupnya.[11]

Namun, ulama sepakat apabila menimbulkan fitnah atau keadaan suasana yang dipenuhi fitnah maka wajib atas wanita menutup wahjahnya kerana zahir sebab nuzul ayat ini memerintahkan wanita yang merdeheka menutup wajah mereka apabila munculnya kaum fasiq di Madinah yang menganggu wanita-wanita sahaya lalu diperintahkan wanita merdeheka menutup wajah bagi membezakan dengan wanita sahaya supaya mereka tidak diganggu.[12]

Oleh itu, difahami daripada ayat ini, menutup wajah wanita adalah amalan syar’I dan sunnah bukan amalan bidaah atau ‘kongkongan’ seperti yang disalakkan oleh anjing-anjing orientalis dalam kalangan ‘pendakwa’ ulama kaum muslimin.

Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

ولا تنتقب المرأة المحرمة ولا تلبس القفازين

Maksudnya: “dan janganlah wanita yang berihram itu memakai niqab dan jangan pula memakai sarung tangan”. [al-Bukhari].

Hadis ini menunjukkan wanita-wanita mukminah di zaman Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam memakai niqab dan memakai sarung tangan yakni menutup seluruh tubuh mereka di luar daripada waktu ihram ketika keluar daripada rumah dan amalan menutup muka dan tapak tangan adalah sunnah semenjak zaman Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam, bukan sekadar adat kongkongan seperti yang dinyanyikan oleh syaitan-syaitan berbadan manusia ke telinga-telinga wanita moden pada hari ini.[13]

Sabda Nabi sallallahu alaihi wa sallam:

المرأة عورة فإذا خرجت استشرفها الشيطان

Maksudnya: “Wanita itu adalah aurat, apabila dia keluar (daripada rumahnya) maka syaitan akan menghiasnya”. [al-Tarmizi, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, al-Bazzar, al-Tabrani dalam al-Awsat dan al-Kabir, hadis ini sahih].

Aurat adalah sesuatu yang perlu ditutup dan dilindungi, maka hadis ini menunjukkan kepada wanita supaya mereka menutup tubuh mereka keseluruhannya kerana ‘alif lam’ dalam kalimah ‘al-marah’ adalah istighraq yakni merangkumi seluruh tubuhnya. Inilah makna zahir hadis ini dan menunjukkan perintah menutup wajah dan tapak tangan wanita memang warid dalam hadis-hadis Nabi sallallahu alaihi wa sallam.

Berkata Syeikh Nasir al-Din al-Albani rahimahullah:

والنصوص متضافرة عن أن نساء النبي صلى الله عليه وسلم كن يحتجبن حتى في وجوههن

Maksudnya: “dan nas-nas sangat banyak daripada isteri-isteri Nabi s.a.w bahawa adalah mereka menutup wajah mereka…”[14]

Syeikh Nasir al-Din al-Albani rahimahullah termasuk ulama yang tidak mewajibkan menutup wajah namun beliau dengan tegas menyatakan bahawa menutup wajah bagi wanita itu ‘sunnah’ yang dituntut bukan seperti sebahagian anjing-anjing orientalis atau syaitan-syaitan berbadan manusia yang menyalak dan menyanyikan lagu kebidaahan niqab kepada wanita-wanita Islam dewasa ini.

Anjing Orientalis yang pertama menyalakkan bahawa niqab bukan daripada Islam seorang lelaki yang berjubah dengan jubah ulama tetapi berlidah syaitan, Syeikh Rifaah al-Tahtawi iaitulah seorang Imam lulusan al-Azhar al-Syarif yang diutuskan sebagai pengiring kumpulan cendakiawan Mesir ke Perancis untuk mempelajari teknologi Perancis.

Namun, Rifaah, yang dijulang oleh sesetengah pendakwa ulama di zaman ini sebagai mujaddid[15], tidak sekadar mengiring tetapi dia juga mengambil kurusus bahasa Perancis dan berjaya mencapai tahap yang membanggakan. Hasilnya dia mengarang kitab bernama ‘Talkhis al-Ibriz fi Talkhis al-Baris’ (Mensucikan Emas dalam Menceritakan Keadaan Paris) yang ditulisnya di Perancis dan diperkenan gurunya yang kafir, Jomar.

Dalam kitabnya ini dia menulis:

السفور والاختلاط بين الجنسين ليس داعياً إلى الفساد

Maksudnya: “dan pendedahan aurat (sufur)[16] serta percampuran antara jantina bukanlah sesuatu yang membawa kepada kerosakan”.[17]

Pemerintah Mesir yang memang selama ini menanti peluang membawa masuk pemikiran ‘Syaitan’ ini ke dalam nadi negara Umat Islam dan kedudukan Rifaah al-Tahtawi selaku ulama Mesir yang telah diberi tazkiyah (kepujian) oleh Syeikh Hasan al-Attar rahimahullah, Syeikhul Azhar ketika itu memudahkan niat jahatnya itu.[18]

Dengan segera pemerintah Mesir, Ali Basha mengarahkan buku Syeikh Rifaah ini dicetak dan disebarkan ke serata ceruk pelusuk Mesir serta diperintahkan untuk dibaca dalam  Istananya serta dewan-dewan kerajaan sehingga sampai ke tahap dijadikan teks pengajaran sekolah dan diterjemahkan juga ke dalam bahasa Turki (bahasa rasmi Khilafah Usmaniah).[19]

Kemudian setelah berlalunya zaman Rifaah Tahtawi, muncul pula Syaitan-syaitan manusia yang mendendangkan lagu-lagu pendedahan aurat dan tabaruj di telinga-telinga wanita muslimah Mesir.

Apabila datang pula penjajahan Inggeris ke atas Mesir, seorang Qibti Nasrani, Fahmi Markus menulis pula kitabnya, ‘al-Marah fil Syarqi’ yang mencela Islam dengan menyeru supaya wanita muslimah menanggalkan hijab, menghalalkan pergaulan bebas, menghadkan talak di mana mestilah talak itu berlaku di hadapan hakim sahaja, mengharamkan poligami, dan menghalalkan perkahwinan wanita muslimah dengan lelaki kafir.[20]

Kemudian diikuti pula oleh Darker yang digelar ‘Duke’ menulis kitab ‘al-Misriyun’ yang di dalamnya juga dia mencemuh hijab dan mencela pendirian Islam yang menghadkan tugas wanita di dalam rumah mentarbiah anak-anak-yang merupakan kegerunan utama mereka- lalu menyeru wanita muslimah keluar bekerja bersama kaum lelaki –yang pastinya membawa kepada ikhtilat antara lelaki dan wanita-.

Lalu bangunlah seorang lelaki muslim yang mempunyai semangat membela agamanya tetapi kurang ilmunya, Qasim Amin, mengkritik Darker dan menjawab tuduhan-tuduhan Darker tadi dan mencela wanita Mesir yang mengamalkan gaya hidup barat (yang pada waktu itu hanyalah dilakukan oleh Permaisuri Mesir, Nazili). Namun, Qasim Amin kerana kekurangan ilmu, telah menyamakan Islam dengan ajaran Nasrani dan Injil pada pandangannya.[21]

Kritikan Qasim Amin ini mendapat kemurkaan daripada Permaisuri Nazili yang merupakan wanita tunggal di Mesir yang bergaul bebas dengan bukan mahram dan mengamalkan gaya hidup barat lalu dia meminta Syeikh Muhammad Abduh, Mufti Mesir ketika itu menegur Qasim Amin.

Muhammad Abduh bersama teman-temannya, Saad Zaghlul dan Lutfi Sayyid, segera menegur Qasim Amin untuk membetulkan kesalahannya dan menarik balik kritikannya terhadap Darker sehingga Qasim Amin mengarang kitabnya yang berjudul: “Tahrir al-Marah” (Emansipasi Wanita) maka lahirlah Qur’an Syaitan-syaitan Emansipasi yang pertama.[22]

Kitab Tahrir al-Marah yang diterbitkan pada 1899M ini mendapat bantuan sepenuhnya daripada Muhammad Abduh, Mufti Mesir ketika itu dan dipercayai juga bahawa ianya adalah karangan Muhammad Abduh sendiri.[23]

Maka demikianlah berterusan nyanyian-nyanyian syaitan menyeru kepada pendedahan aurat, pengharaman poligami, penghadan kuasa talak lelaki, dan menyeru wanita supaya menceburkan diri dalam bidang-bidang pekerjaan kaum lelaki.

Antara tokoh-tokoh yang terkenal memperjuangkan emansipasi wanita ini adalah Saad Zaghlul dan isterinya Safiah Zaghlul. Saad Zaghlul adalah manusia yang membelakangi Qasim Amin selepas Muhammad Abduh. Jika Muhammad Abduh membantu Qasim Amin secara ilmu untuk menulis kitabnya Saad Zaghlul pula adalah orang yang memberikan sokongan moral.

Apabila terbitnya kitab Qasim Amin tersebut, kaum muslimin bangkit menentangnya dan dihukum kufur, mereka mencemuhnya di mana-mana sahaja sehingga Istana sendiri terpaksa berlepas diri daripada Qasim Amin (sedangkan kitabnya ditulis atas arahan Permaisuri), namun Saad Zaghlul dan isterinya Safiah membawa Qasim Amin ke rumah mereka dan menjamunya makan tengah hari dan malam dan untuk merealisasikan usaha emansipasi mereka, Safiah bersama Qasim Amin bersiar-siar di pekan Mesir berdua-duaan dalam keretanya (Safiah).[24]

Tindakan Safiah Zaghlul dan Qasim Amin ini dengan sokongan dayus daripada Saad Zaghlul sendiri bertentangan dengan sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

لا يخلون أحدكم بامرأة فإن الشيطان ثالثهما

Maksudnya: “Tidaklah bersendirian seseorang kamu dengan wanita (yang bukan mahram) kecuali yang ketiganya syaitan”. [Ahmad, sahih].

Sabda Nabi sallallahu alaihi wa sallam:

ثلاثة لا ينظر الله عز و جل إليهم يوم القيامة العاق لوالديه والمرأة المترجلة والديوث وثلاثة لا يدخلون الجنة العاق لوالديه والمدمن على الخمر والمنان بما أعطى

Maksudnya: “Tiga golongan yang Allah Aza wa Jalla tidak akan pandang (dengan pandangan rahmat) kepada mereka di hari kiamat: Penderhaka kepada kedua ibu bapanya, wanita yang berlagak seperti lelaki (tomboy), dan lelaki dayus dan tiga golongan yang tidak akan masuk syurga: Penderhaka kepada kedua ibu bapanya, penagih arak (alcoholic), dan pengungkit atas apa yang diberinya”. [al-Nasai dan Ahmad, sahih].

Dayus bermaksud lelaki yang membiarkan isterinya melakukan maksiat sedangkan dia mampu menghalangnya atau meredai isterinya melakukan maksiat.Dalam bahasa mudahnya adalah lelaki yang tiada perasaan cemburu terhadap isteri dan keluarganya.[25]

Tindakan Saad Zaghlul membiarkan isterinya berdua-duaan dengan Qasim Amin adalah kedayusan yang nyata dan inilah yang dikehendaki barat iaitu supaya umat Islam rosak akhlak dan nilai-nilai murni yang terbina daripada akidah Tauhid mereka kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Saad Zaghlul sewaktu pulang daripada buangannya pada tahun 1921M, telah mencabut hijab isterinya kemudian dia jugalah yang mengarahkan wanita yang hadir di cermahnya membuka niqab (penutup muka) kemudian pada tahun 1919M, Huda Sya’rawi, anak didik Saad Zaglul bersama isteri Saad, Safiah Zaghlul mengetuai wanita Mesir dalam demonstrasi yang kononnya membantah penjajahan Inggeris ke atas Mesir tetapi sebaik sahaja perarakan mereka sampai di Dataran al-Ismailiah di Kaherah, mereka membuka hijab mereka dan membakarnya.[26]

Maka demikianlah bermulanya sebuah kegelapan dan kejahilan hasil daripada pengaruh kaum kafir yang berjaya memasukkan racun mereka ke dalam tubuh Umat Islam dan bisanya terus dirasai sampai hari ini.[27]

Syaitan-syaitan Emansipasi terus memainkan genderang kufur mereka dan meniup seruling neraka mereka di telinga-telingan wanita Islam dan ramai yang terpedaya dengan nyanyian merdu mereka ini kecuali mereka yang diberi rahmat oleh Allah subhanahu wa taala.

Bahkan dengan kembali gerakan Hijab melalui dakwah-dakwah ulama Ahli Sunnah wal Jamaah seperti Syeikhul Islam Ibn Baz rahimahullah, Syeikhul Islam Muhammad bin Soleh al-Usaimin rahimahullah, dan Syeikhul Islam al-Muhaddis li Diyar al-Syamiah Muhammad Nasir al-Din al-Albani rahimahullah, kaum munafiqin ini tidak membiarkan dakwah Islam yang murni ini terlepas dengan mudah.

Terdapat juga syaitan-syaitan emansipasi ini menyarung jubah ‘Salafiah’, kemudian meniup di telinga para wanita Islam seruling emansipasi mereka secara halus. Mereka mengambil pendapat-pendapat ‘pendakwa’ ulama seperti Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qardawi, dan Hasan Turabi lalu diserapkan ke dalam barisan dakwah salafiah sehingga menimbulkan kekaburan dan kekeliruan.

Mereka datang kali ini dalam bentuk manhaj Taisir atau ‘Pemudahan’ fiqah lalu memasukkan pemikiran-pemikiran Emansipasi ini secara halus lagi daripada sebelumnya.

Namun, halus mana sekalipun sebatang jarum, tetap terasa sakitnya di kulit dan isi, maka bangkitlah ulama-ulama Islam yang tulin dan sejati-insya-Allah- seumpama Syeikh Soleh al-Fauzan Hafizahullah, Syeikh Rabi’ al-Madkhali Hafizahullah, Syeikh Ali Hasan al-Halabi Hafizahullah, Syeikh Abdul Aziz Rais Hafizahullah, Syeikh Soleh Alu Syeikh Hafizahullah, Syeikh Muhammad bin Ismail Muqaddam hafizahullah, Syeikh Sulaiman al-Kharasyi hafizahullah, dan ramai lagi membongkar muslihat licik golongan ini dan membuka topeng mereka lalu menampakkan wajah sebenar mereka.

Benarlah sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam yang memang baginda itu seorang benar lagi dibenarkan:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِى ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِىَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ

Maksudnya: “Tidak lekang daripada umatku ini sekelompok (taifah)[28] yang terus berada di atas kebenaran tidak akan memudaratkan mereka orang yang menghina mereka sehingga datang perintah Allah dan mereka masih begitu (berpegang dengan kebenaran)”. [al-Bukhari dan Muslim, lafaz bagi Muslim].

Wallahua’lam

 

 

 

 

 

 

 

 

 


[1] Tarhah adalah sejenis kain yang diletak di atas kepala dan dilabuhkan ke atas bahu. Seumpama tudung pengantin nasrani yang dipakai dengan gaun pengantin mereka.

[2] Nama tempat di Mesir yang terkenal di sana terdapat pusat percetakan pertama, Matbaah Bulaq.

[3] Ajaibul Asar, 2/63.

[4] Seorang Nasrani Mesir yang menyeru kepada penghidupan semula agama Firaun di Mesir.

[5] Audatul Hijab, Syeikh Ismail al-Muqaddam.

[6] Al-Mufhim li Ma Asykala min Sahih Muslim, Abul Abbas al-Qutubi, 17/122.

[7] Adwaul Bayan fi Tafsir al-Quran bil Quran, al-Allamah Muhammad Amin al-Syanqiti, 6/348

[8] Tafsir al-Tabari, 20/324.

[9] Tafsir Ibn Kasir, 6/481-482.

[10] Tafsir al-Tabari, 20/324-325, Tafsir Ibn Kasir, 6/481-482.

[11] Al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiah, 42/365

[12] Aisar al-Tafasir, Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jazairi, 3/302, Tafsir Ibn Kasir, 6/482.

[13] Syeikh Muhammad Nasir al-Din Rahimahullah mempunyai penjelasan yang baik mendiamkan salakan anjing-anjing Orientalis ini dalam kitab beliau: ‘Jilbab al-Marah al-Muslimah’, muka surat 104-117.

[14] Ibid.

[15] Antara yang menjulang Rifaah Tahtawi sebagai Mujaddid adalah Umar Kamil, Syaitan Sufi di Negeri Tauhid, Arab Saudi.

[16] Asal makna sufur adalah mendedahkan wajah. Lihatlah bagaimana bermula daripada seruan menanggalkan niqab akhirnya membawa kepada pendedahan aurat.

[17] Muka surat 305, diambil daripada Audatul Hijab, Syeikh Ismail al-Muqaddam, m.s 15

[18] Sedangkan kepujian yang diberi oleh Syeikh Hasan Attar ini adalah sebelum Rifaah pergi ke Perancis.

[19] Al-Muamarah ‘alal Marah al-Muslimah, Syed Ahmad Farj, m.s 38, dinukil daripada Audatul Hijab, m.s 16.

[20] Audatul Hijab, m.s 17, Harakah Tahrir al-Marah, Syeikh Sulaiman al-Kharasyi.

[21] Audatul Hijab,20

[22] Ibid, 21.

[23] Audatul Hijab, 27, Harakah Tahrir al-Marah, Syeikh Sulaiman al-Kharasyi.

[24] Audatul Hijab, 29 & 30, Surat Khabar al-Masa’, 4 Ogos 1983, Khamis, artikel berjudul: ‘Adakah Pembebas Wanita Membubuh Diri?’.

[25] Al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 21/96.

[26] Harakah Tahrir al-Marah, Syeikh Sulaiman al-Kharasyi, Asalib Ilmaniah fi fi Taghrib al-Marah, Harakat Tahrir al-Marah: Tarikh Yuiedu Nafsahu, Musfir bin Ali al-Qahtani.

[27] Sedangkan kita saban hari mendengar kaum kafir di barat ini ada yang sanggup berbunuhan kerana berebut ‘teman wanita’, maka di manakah kebebasan yang mereka salakkan kepada umat Islam itu?.

[28] Lafaz ‘Taifah’ menunjukkan Ahli Sunnah wal Jamaah bukanlah sentiasanya banyak kerana Taifah juga digunakan untuk seorang. Benarlah ucapan Saidina Ibn Masud radiallahuanhu: “Jemaah itu adalah kamu berada di atas kebenaran walaupun kamu berseorangan”.