Tag Archives: Nizar

BELALAH KERANA AGAMA

15 Feb

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Apabila tercetusnya fitnah politik Perak, maka kita dapat lihat satu golongan agama yang beragama mengikut emosi, mengenepikan hukum Allah yang mereka perjuangkan selama ini.

YB Mohd. Nizar pada sambutan Jubli Perak Pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak dalam pembukaan ucapannya iaitu sehari sebelum pemecatan beliau membaca ayat berikut:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.[Ali Imran: 26].

Memang senang bagi beliau membaca ayat ini tetapi pada keesokan harinya, apabila Allah s.w.t mengkehendaki beliau beramal dengan ayat ini, kita dapat saksikan apa yang berlaku.

Saya tidak akan memanjangkan perbicaraan berkenaan pihak yang satu ini kerana telah saya jelaskan dalam artikel sebelum ini.

Membela: Antara Syariat dan Adat

Kali ini, saya ingin menyentuh pula pihak yang bangun membela raja mereka juga dengan penuh emosi. Saya jelaskan sebelum ini memang taat kepada pemerintah itu kewajipan agama dan membela hak seorang muslim itu kewajipan syar’i, tetapi setiap perkara yang syar’i dalam melaksanakannya hendaklah mengikut cara yang syar’i juga.

Pemerintah dalam Islam bukanlah seorang yang maksum daripada dosa namun syarak menetapkan kita perlu taat pada perintah beliau selama perintah itu tidak melanggar syariat. Apabila perintah itu melanggar syariat kita dilarang keras menurut namun tidaklah pula menjadi keleluasaan bagi seorang muslim untuk bangun menentang dan menggulingkan pemimpin muslim tersebut.

Apa yang ingin saya sentuh di sini, dalam usaha pihak yang membela Paduka Seri Sultan Perak, kebanyakan mereka ini hanya membela dalam rangka adat semata-mata dan hal ini amat mengecewakan.

Adat-Istiadat & Bidaah

Kita perlu sedar bahawa tidak semua adat istiadat diraja yang diamalkan masyarakat melayu pada hari ini berasal daripada Islam bahkan ada daripadanya yang ada pengaruh Hindu dan Budha, jadi dalam hal ini seseorang muslim perlu berhati-hati apabila ingin menunjukkan taat setianya pada Raja atau Sultan.

Misalnya dalam masyarakat melayu, apabila seorang Raja atau Sultan mangkat akan diadakan perkabungan sehingga menjangkau ratusan hari. Hal ini amat bertentangan dengan syariat kerana apabila Rasulullah s.a.w wafat, para Sahabat radiallahu’anhum tidak mengadakan sebarang upacara perkabungan, demikian juga para Khulafa’ al-Rasyidin selepas baginda bahkan para khalifah selepas itu.

Adat perkabungan ini hanya berlaku dalam kesultanan Islam apabila Bani Mamluk memerintah dan terkesan kepada kesultanan Islam lainnya. Jadi amalan ini adalah suatu bidaah dalam agama Islam yang perlu dijauhi sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mereka cipta perkara baharu dalam agama kami maka amalan itu tertolak”. [al-Bukhari & Muslim].

Urusan kematian termasuk urusan ibadat dalam Islam, maka mereka cipta apa-apa bentuk upacara baharu dalam istiadat pemakaman yang tiada asalnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah adalah bidaah yang tercela.

Daulat & Tulah

Demikian juga kepercayaan daulat dan tulah yang kononnya seseorang raja mempunyai kekuasaan luar biasa. Sebetulnya konsep Daulat dan Tulah perlu dilihat daripada segi syariat. Kita tidak begitu kisah dengan istilah yang digunakan tetapi bagaimana kita meninterpertasikan istilah tersebut yang penting.

Jika kita katakan raja itu berdaulat dengan makna baginda memilki kekuasaan yang diberi oleh Syariah Islamiah maka ianya benar kerana firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu…” [al-Nisaa: 59]

Dan sabda Nabi s.a.w:

تسمع وتطيع للأمير وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك فاسمع وأطع

Maksudnya: “Hendaklah kamu dengar dan taat kepada pemerintah walaupun dia memukulmu dan merampas hartamu, dengar dan taatlah (dalam makruf)”. [al-Bukhari & Muslim].

Demikian juga konsep tulah, jika yang hendak dimaksudkan adalah mendapat kemurkaan Allah s.w.t apabila kita menderhaka kepada pemerintah maka ia sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w:

من أهان سلطان الله في الأرض أهانه الله

Maksudnya: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah di bumi maka Allah akan menghinanya”. [al-Tarmizi, sahih].

Maka kosnep ini kita terima namun jika yang hendak dimaksudkan dengan daulat dan tulah itu pemerintah tersebut mempunyai hak pemerintahan dengan sendirinya dan mempunyai kekuasaan sakti tertentu, maka ini bertentangan dengan kefahaman Islam yang benar.

Oleh itu, usaha yang terbaik dalam rangka membela kedaulatan Raja-raja Melayu adalah dengan mengikut lunas-lunas syarak sehingga kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam direalisasikan sepenuhnya.

Adat Istiadat yang dilihat tidak sesuai dengan Islam perlu segera dikikis dan digantikan dengan hukum hakam syariat supaya dengan demikian pemerintahan Raja-raja Melayu lebih dihormati kawan dan lawan.

Kedudukan Sistem Beraja

Saya juga ingin menyentuh berkenaan kedudukan sistem beraja dalam syariat Islam. Sistem pemerintahan dalam Islam pada asalnya adalah Khilafah tanpa ada sistem beraja monarki yakni Khalifah akan dipilih oleh Majlis Syura tanpa pewarisan takhta namun apabila Saidina Muawiyah r.a menaiki takhta, umat Islam telah berpecah belah kerana munculnya puak-puak sesat seperti Syiah Rafidah dan Khawarij, oleh itu beliau menukar kepada sistem beraja monarki yang berterusan kepada kerajaan-kerajaan selepas itu seperti Abbasiah dan Usmaniah.

Tindakan Muawiyah r.a ini telah terlebih dahulu diberitakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda baginda:

سَتَكُونُ خِلَافَةُ نُبُوَّةٍ وَرَحْمَةٍ ثُمَّ يَكُونُ مُلْكٌ وَرَحْمَةٌ ثُمَّ يَكُونُ مُلْكٌ وَجَبْرِيَّةٌ ثُمَّ يَكُونُ مُلْكٌ عَضُوضٌ

Maksudnya: “Akan berlaku Khilafah Nubuwah dan rahmat kemudian berlaku sistem beraja yang rahmat kemudian sistem beraja yang keras kemudian sistem beraja yang sukar..” [Ahmad, al-Bazzar, al-Tabrani dalam al-Awsa; Lihat: Takhrij Ahadis Majmuk Fatawa Ibn Taimiah,5/420].

Nabi s.a.w bagaimanapun mengiktiraf kerajaan beraja ini dan memerintah kaum muslimin taat kepada raja-raja mereka selama mereka tidak menyuruh kepada maksiat dan bersabar atas kezaliman mereka. Sabda baginda s.a.w:

( كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما هلك نبي خلفه نبي وإنه لا نبي بعدي وستكون خلفاء فتكثر ) قالوا فما تأمرنا ؟ قال ( فوا ببيعة الأول فالأول وأعطوهم حقهم فإن الله سائلهم عما استرعاهم )

Maksudnya: “Adalah Bani Israil diperintah oleh para Nabi, setiap kali wafat seorang Nabi akan diganti Nabi yang lain, adapun selepasku tiada lagi Nabi tetapi akan ada kahlifah-kahlifah dan mereka itu banyak sekali”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah yang kamu perintahkan pada kami (untuk lakukan)?’Jawab baginda: “Berilah hak baiat yang terawal dibaiat dan berilah hak mereka kerana Allah akan memperosalkan mereka atas tugas mereka”. [Muslim].

Syahid daripada hadis ini menunjukkan walaupun nanti akan banyak pemerintah umat Islam mereka semua diiktiraf sebagai pemerintah yang sah dan perlu ditaati sesuai dengan kenyataan Rasulullah s.a.w: dan berilah hak mereka; menunjukkan mereka tetap ditaati dalam perkara makruf.

Oleh itu, kedudukan pemerintahan beraja monarki sebagai pemerintah yang sah dari segi syariat tidak perlu dipertikaikan lagi. Jika kita mempertikaikan beberapa adat istiadat yang tidak sesuai dengan syariat dalam kalangan Raja-raja Melayu bukanlah bermakna kita mempertikaikan kesahihan kedudukan mereka sebagai pemerintah bahkan kita mengiktirafnya dan kita menghukum mereka yang memberontak terhadap Raja-raja Melayu yang muslim sebagai terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Saya amat aneh dengan seorang penulis di salah satu akhbar Malaysia pada hari Ahad yang seolah-olah cuba mempertikaikan kesahihan kedudukan sistem beraja di sisi Syariat sedangkan sistem beraja telah diamalkan semenjak zaman Sahabat Rasulullah s.a.w tetapi tidak pula mempertikaikan sistem demokrasi yang jelas lagi nyata hasil pemikiran kaum Greek yang kufur kepada Allah s.w.t.

Sebagai penutup coretan saya ini, sekali lagi saya ingin menyeru semua kaum muslimin dan muslimat di Malaysia ini dalam keadaan fitnah dan kelam kabut yang kita hadapi sekarang hendaklah setiap tindakan mereka berlandaskan nasihat dan petunjuk syariat, janganlah terlalu ikutkan emosi sehingga merosakkan syariat. Wallahua’lam.

 

Advertisements

HIZBIYYAH: VIRUS KAFIR PEROSAK AKIDAH UMAT

12 Feb

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

Antara bentuk al-Ghazwul Fikri yang paling merbahaya dan merupakan antara serangan yang paling awal dilancarkan oleh pihak musuh terhadap umat Islam adalah at-Tahazzub dan al-Tafarruq.

At-Tahazzub bermakna berparti-parti atau berkelompok-kelompok dan at-Tafarruq pula bermaksud berpecah-pecah.

Agenda penting pihak Salib untuk memudahkan laluan penyebaran dakyah mereka adalah dengan memcahbelahkan Umat Islam.

Takrif

Usaha pihak Kuffar untuk menjauhkan Umat Islam daripada berpegang teguh dengan Manhaj as-Salaf as-Soleh.

Maka daripada takrif ini kita dapati bahawa Umat Islam akan terus dianggap berpecah belah selagi mereka tidak mengikut manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah atau disebut juga al-Manhaj al-Salafi.

Penyatuan Umat Islam di bawah sebuah parti yang di dalamnya terdapat pelbagai kelompok seperti Sufi, Asyairah, Maturidiah, Liberal, bahkan Syiah seperti Parti Ikhwan al-Muslimun tidaklah diiktiraf sebagai penyatuan yang syar’i.

Sejarah

Usaha ini bermula pada separuh kedua pemerintahan Saidina Usman bin Affan R.A di mana seorang Yahudi berpura-pura memeluk ajaran Islam yang bernama Abdullah bin Saba’ dan terkenal dengan nama Ibn Sauda’ kerana ibunya seorang hamba berkulit hitam. Dai datang daripada Yaman ke Madinah al-Munawwarah yang merupakan Darul Khilafah ketika itu. Dia menampakkan dirinya sebagai seorang Islam di sana.

Abdullah bin Saba’ memulakan rencana dengan menyebarkan hadis palsu : “Setiap Nabi itu ada Wasiyy dan Wasiyyku adalah Ali”. Dia menjelajah ke Hijjaz, Basrah,Kufah, Syam dan Mesir.

Dia mewar-warkan bahawa Usman bin Affan R.A telah menyeleweng dan ditabur pelbagai fitnah. Oleh kerana ramai umat Islam yang baru masuk ke dalam agama ini dan belum mantap ilmu mereka, maka mereka terpedaya. Awal gerakan dakyahnya diterima adalah di Mesir.

Gerakan ini bermula sebagai sebuah pertubuhan politik yang menampakkan diri mereka beramar makruf dan nahi munkar kemudian menggunakan aqidah Islam untuk kepentingan mereka dan akhirnya terkenal sebagai Syiah Ali atau Syiah.

Sebab utama munculnya ajaran ini adalah kerana umat Islam meninggalkan sistem memahami agama sebagaimana pemahaman as-Salaf as-Soleh yang terdiri daripada Sahabat R.Hum terutama Khulafa’ ar-Rasyidun Saidina Usman bin Affan R.A ketika itu.

Hasil daripada gerakan ini berlakulah perpecahan umat Islam kepada kemudian terbentuk pula al-Khawarij di zaman Saidina Ali, kemudian muncul pula pelbagai gerakan sama ada berpunca dari pemahaman politik atau aqidah.

Puncanya adalah sama iaitu meninggalkan jejak langkah as-Salaf as-Soleh dan al-Manhaj as-Salafi.

Sejarah Gerakan ini di Zaman Moden

Pada penghujung kesultanan Usmaniyyah Turki, pihak barat telah sekali lagi cuba memecah belahkan Umat Islam dengan menjauhkan mereka daripada ajaran as-Salaf as-Soleh. Pada kurun ke-12 Hijrah, gerakan dakwah as-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab untuk mengembalikan ajaran Islam sesuai dengan fahaman al-Jamaah iaitu as-Salaf as-Soleh telah cuba dihalang dengan ditabur pelbagai fitnah dan kedustaan.

Medium yang digunakan adalah ulama’-ulama’ ahli bidaah yang telah mereka wujudkan sejak zaman Usman bin Affan. Medium yang paling banyak mereka guna adalah golongan Sufi Asy’ari dan gerakan Syiah.

Tuduhan-tuduhan Yang Dilempar

1-     Membawa agama baru

2-     Mendakwa menjadi Nabi

3-     Bersekongkol dengan Inggeris

4-     Menderhaka terhadap Turki Usmaniyyah.

Jawapan

1-                 Jawapan as-Syeikh Muhammad kepada Ahli Qasim tentang aqidahnya:

أشهد الله ومن حضرني من الملائكة، وأشهدكم: أني أعتقد ما اعتقدته الفرقة الناجية، أهل السنة والجماعة، من الإيمان بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، والبعث بعد الموت، والإيمان بالقدر خيره وشره،

Maksudnya: “Aku bersaksikan Allah dan para Malaikat yang hadir dan aku bersaksikan kamu bahawa aku beraqidah dengan aqidah al-Firqah an-Najiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, kebangkitan setelah mati, dan qadar baik dan buruk…..”

Dalam Risalah ini as-Syaikh dengan panjang lebar menjelaskan aqidah beliau satu persatu dan aqidah beliau sama tepat dengan aqidah as-Salaf as-Soleh.

2-                 Kata as-Syeikh:

وأومن بأن نبينا محمدا صلى الله عليه و سلم خاتم النبيين والمرسلين، ولا يصح إيمان عبد حتى يؤمن برسالته، ويشهد بنبوته

Maksudnya: “dan aku beriman bahawa Nabi kita Muhammad S.A.W adalah penutup sekalian nabi dan rasul dan tidak sah iman seorang hamba sehingga dia beriman dengan kerasulan dan kenabian baginda….”

3-                 Sejarah membuktikan bahawa apabila Saudi Arabia berjaya menubuhkan kerajaan pada tahun 1802 M, Kerajaan Usmaniyyah yang diperintah oleh Sultan Mahmud II (seorang yang berfahaman sekular dan merupakan pengasas Tanzimat yang telah membuang sistem Islam dari pentadbiran Usmani) telah melancarkan serangan terhadap Kerjaan Saudi melalui Gabenor Mesir Ali Basha. Kemenangan Ali Basah telah disambut dengan ucapan tahniah oleh pihak Inggeris melalui Kapten Goerge Forester Sedler yang merupakan pemerintah kolonial Inggeris di India. Ini sebesar-besar bukti bahawa yang bersekongkol dengan Inggeris adalah Ali Basah bukan Muhammad bin Saud.

4-                 Ketaatan Saudi kepada Usmaniyyah tidak timbul sebagai isu kerana Saudi tidak menyerang Usmaniyyah tetapi Sultan Mahmud II yang menyerang Saudi dan Sultan Mahmud II ini terkenal sebagai seorang berfahaman Freemason. Adapun pembentukan kerajaan Saudi adalah melalui penggabungan beberapa kekuasaan politik kesukuan di bawah Raja Muhammad bin Saud. Kerajaan Usmaniyyah tidak mempunayi kekuasaan hakiki terhadap kawasan Najd berdasarkan Qawanin Alu Usman Madhamin Daftar ad-Diwan kecuali al-Ahsa’. Pada zaman kerajaan Saudi ke-3 iaitu di bawah al-Malik Abdul Aziz Al Saud, pada surat bertarikh 1/9/1322 H kepada Sultan Abdul Hamid II baginda Raja telah mengikrarkan bahawa Kerajaan Saudi termasuk dalam kekuasaan Usmaniyyah dan Sultan Abdul Hamid II mengiktiraf hak kekuasaan Hijaz kepada Malik Abdul Aziz Al Saud.

5-                 Pada 31 Oktober 1831 Ali Basah telah bangkit menentang Sultan Usmani tetapi tidak kedengaran walaupun satu huruf daripada pihak yang ‘anti-Wahabi’ mengatakan Ali basha yang mereka julang sebagai Pahlawan menentang Wahabi itu sebagai pemberontak terhadap Khalifah.

Oleh itu, tuduhan-tuduhan yang dileparkan terhadap kerajaan Saudi dalam lembaran sejarah dan dikaitkan dengan as-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab hanyalah taktik Salibisme dan Zionisme untuk menjauhkan Umat Islam daripada kembali terhadap al-Jamaah dan dakwah salafiyyah yang akan menyatukan mereka kembali sehingga kembalinya khilafah di atas Manhaj Nubuwwah sebagaimana janji Nabi S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal.

Nota Penting

عن حذيفة بن اليمان قال: كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنْ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya: Daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A katanya: Manusia selalu bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang kebaikan tetapi aku selalu bertanya tentang keburukan kerana takut aku ditimpanya, maka aku berkata: Wahai Rasulullah kami dulu berada pada zaman jahiliyyah dan keburukan lalu Allah datangkan kepada kami kebaikan ini (Islam) maka adakah lagi selepas ini keburukan? Jawab baginda: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah selepas itu kebaikan pula? Jawab baginda: Ya, tetapi padanya ada debu. Kataku: Apakah debunya itu? Jawab baginda: Kaum yang memberi petunjuk bukan dengan petunjukku, kamu kenal dan kamu munkir (perbuatan mereka). Kataku: Apakah selepas itu keburukan pula? Jawab baginda : Ya, akan ada penyeru-penyeru di atas pintu neraka Jahannam, sesiapa yang mengikut mereka akan dilontar ke dalamnya (neraka). Kataku: Sifatkanlah mereka kepada kami. Jawab baginda: Mereka daripada kulit kita dan bercakap dengan bahasa kita (Islam). Kataku: Maka apakah pesanmu jika aku mendapati keadaan itu? Jawab baginda: Hendaklah kamu mengikut Jamaah kaum muslimin dan pemimpin mereka. Kataku: Jika tiada Jamaah dan Imam? Kata baginda: “Maka jauhilah semua puak-puak yang ada walaupun engkau terpaksa menggigit akar kayu dan engkau mati dalam keadaan itu”– [al-Bukhari&Muslim].

 Daripada hadis ini, Rasulullah s.a.w menasihati kita supaya menjauhi pergolakan yang berlaku di akhir zaman dan terus melazimi manhaj  Ahli Sunnah wal Jamaah walaupun terpaksa mengasingkan diri daripada manusia ramai. Wallahua’lam.

MANHAJ AHLI SUNNAH WAL JAMAAH TERHADAP PEMIMPIN YANG ZALIM

11 Feb

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

Artikel ringkas ini akan cuba menjelaskan manhaj yakni kaedah Ahli Sunnah wal Jamaah dalam bermuamalah atau berhubungan dan bergaul dengan pemimpin yang zalim.

Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) meletakkan permasalahan berkenaan pemimpin ini dalam bab akidah melambangkan betapa pentingnya isu kepimpinan ini sekaligus menafikan dakwaan bahawa Islam adalah agama sekular yang mengasingkan agama daripada politik. Fahaman sekular amat menyelweng daripada akidah Islam keran Islam melihat politik sebagai masalah akidah yang perlu dipelihara.

Pemahaman politik yang terkeluar daripada manhaj ASWJ akan melahirkan kesesatan dalam perkara akidah. Sebagai contoh ajaran Syiah Rafidah yang bukan sekadar sesat bahkan kafir adalah berpunca daripada pergolakan politik.

Selain itu, masalah bagaimana kita perlu bermuamalah dengan pemimpin muslim yang zalim juga termasuk dalam akidah al-Wala’ wa al-Bara’ (Cinta dan Benci kerana Allah)  yang merupakan ikatan iman yang paling teguh.

Pemimpin yang muslim yang melakukan kezaliman termasuklah dalam kategori kedua manusia dalam akidah al-Wala’ wa al-Bara’ iaitu mereka yang berhak mendapat al-wala’ (kesetiaan) dan al-Bara’ (berlepas diri) sekaligus.  Berikut kita jelaskan noktah-noktah penting dalam manhaj ini:

Pertama: Mentaati Pemerintah Adalah Wajib ‘Ain

Mentaati pemerintah kaum muslimin yang beragama Islam adalah fardu ‘ain berdalilkan firman Allah s.w.t dalam surah alp-Nisaa ayat ke-59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Kewajipan taat kepada pemimpin kaum muslimin adalah perkara ijmak dalam kalangan ASWJ bahkan para ulama juga telah ijmak wajibnya memerangi kaum bughah yakni mereka yang menentang pemimpin Islam secara bersenjata.

Kedua: Haram Mentaati Perintah Yang Maksiat

Demikian juga telah ijmak ulama haram terhadap muslim mengikut perintah pemimpin yang membawa kepada maksiat. Ini berdasarkan ayat di atas (surah al-Nisaa: 59) yang mengqaidkan (mengikat) ketaatan kepada pemimpin itu dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. Demikian juga sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Ketaatan itu sesungguhnya hanya dalam perkara makruf” [Muttafaq ‘Alaih].

Dan sabda Nabi s.a.w:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: “Dengar dan Taat itu wajib atas setiap muslim dalam perkara yang dia suka dan benci selama tidak disuruh melakukan maksiat maka apabila dia (pemimpin) menyuruh melakukan maksiat maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taat” [Muttafaq ‘alaih].

Antara contoh dalam tidak mentaati perkara maksiat adalah sebagaimana hadis dalam sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa seorang panglima perang yang dilantik Rasulullah s.a.w dalam satu sariah memerintahkan para prajuritnya untuk masuk dalam api lalu mereka semua enggan. Sehingga akhirnya kemarahan panglima mereka reda dan api pun  padam, mereka pulang ke Madinah dan mengadukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda berkata: “Jika kamu masuk ke dalamnya tentulah kamu tidak akan keluar lagi, sesungguhnya taat itu hanya dalam perkara makruf”.

Ketiga: Wajib Menasihati Pemimpin Yang Zalim.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih lagi masyhur:

الدين النصيحة قلنا لمن ؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم 

Maksudnya: “Agama itu adalah Nasihat”. Kami (Sahabt) bertanya: ‘Untuk siapa?’ Jawab baginda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan awam mereka”. [Muslim].

Dan sabda Nabi s.a.w:

أفضل الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر

Maksudnya: “Jihad yang Afdal adalah perkataan yang benar di sisi pemimpin yang zalim” [Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, dan Ahmad dan hadisnya sahih].

Nasihat kepada pemimpin itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin depan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (43) فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى (44)

Maksudnya:  “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. [Taha: 43&44].

Istidlalnya adalah jika kepada Firaun yang kafir pun Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s bercakap secara lemah lembut maka lebih utama lagi dilakukan kepada pemimpin Islam.

Sabda Nabi s.a.w:

من أراد أن ينصح لذى سلطان بأمر فلا يبدله علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فان قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه

Maksudnya: “sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi pegnaglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Ahmad, sahih].

Dalam hadis ini menjelaskan wajibnya menasihati pemimpin dan wajib pula melakukannya dengan cara yang baik. Dalam sebuah riwayat dinyatakan:

عن زياد بن كسيب العدوي قال كنت مع أبي بكرة تحت منبر ابن عامر وهو يخطب وعليه ثياب رقاق فقال أبو بلال : أنظروا إلى أميرنا يلبس ثياب الفساق فقال أبو بكرة اسكت سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول من أهان سلطان الله في الأرض أهانه الله

Maksudnya: Daripada Ziyad bin Kasib al-Adwi katanya: Aku bersama Abu Bakrah di bawah minbar Ibn Amir ketika dia sedang berkhutbah dengan memakai pakaian yang nipis maka berkata Abu Bilal: ‘Lihat pemimpin kita itu, dia memakai pakaian orang fasiq’. Maka berkata Abu Bakrah r.a: Diamlah, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah di bumi maka Allah akan menghinanya”. [al-Tarmizi, sahih].

Oleh itu, jelas sekali dalam manhaj Syarak yang benar, perbuiatan berdemonstrasi dan protes jalanan membantah pemimpin yang zalim adalah maksiat dan perbuatan itu hanyalah menambah dosa atas dosa semata-mata.

Abu Ishaq al-Sabi’i r.h, daripada pembesar ulama Tabiin berkata:

ما سب قوم أميرهم، إلا حرموا خيره

Maksudnya: “Tidak ada suatu kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan akan terhalang daripada mendapat kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani].

Keempat: Haram Memberontak dan Menggulingkan Pemerintah Yang Zalim

Walaupun disuruh kita tidak mengikuti perintah yang berunsur maksiat, namun pemimpin yang menyuruh melakukan maksiat atau melakukan maksiat hanya wajib dinasihati secara baik dan tidak boleh digulingkan dengan kekerasan atau menderhaka kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w:

Dalilnya hadis Muslim dan Ahmad berikut:

عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول الله أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال ( لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا تكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة )

Maksudnya: Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknapt mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.

Hadis ini tidaklah menunjukkan bolehnya melaknat pemimpin kerana tidak boleh sama sekali melaknat seseorang muslim tetapi melaknat amalan pemimpin tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w:

(ستكون أمراء فتعرفون وتنكرون فمن عرف برئ ومن نكر سلم ولكن من رضي وتابع ) قالوا أفلا نقاتلهم ؟ قال ( لا ما صلوا )

Maksudnya: “Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana ianya maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Kata baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. [Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, Ahmad].

Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

( يكون بعدي أئمة لا يهتدون بهداي ولا يستنون بسنتي وسيقوم فيهم رجال قلوبهم قلوب الشياطين في جثمان إنس ) قال قلت كيف أصنع ؟ يا رسول الله إن أدركت ذلك ؟ قال ( تسمع وتطيع للأمير وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك فاسمع وأطع )

Maksudnya: “Akan ada selepasku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak mengikut sunnahku dan akan ada dalam mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan berbadan manusia”. Kata Huzaifah:’Aku bertanya: Maka bagaimana aku harus lakukan wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: “Kamu dengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia menyebat belakangmu dan merampas hartamu, dengar dan taatlah”. [al-Bukhari & Muslim, lafaz bagi Muslim].

Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ فَإِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِنْ السُّلْطَانِ شِبْرًا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya: “Sesiapa yang membenci akan perbuatan pemimpinnya (yang maksiat) maka bersabarlah kerana sesungguhnya sesiapa yang keluar menentang pemerintah sejengkal lalu mati, maka dia mati sebagai orang jahiliah”. [al-Bukhari & Muslim]

Syarat untuk keluar memberontak adalah apabila pemimpinnya menjadi kafir maka ketika itu wajib atas kaum muslimin melucutkan jawatannya dengan cara yang paling elok dan jika tidak ada jalan lain melainkan perang maka hendaklah berperang jika tidak hendaklah mereka berhijrah. [Syarah Tahawiyah min Kalam Ibn Taimiah, 86&87].

Ini sebagaimana sabit dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Ubadah bin al-Samit r.a katanya:

دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ

Maksudnya: “Rasulullah s.a.w memanggil kami lalu baginda mengambil baiat daripada kami dan antara yang baginda syaratkan adalah dengar dan taat (pada pemimpin) dalam perkara yang kami suka dan benci (selagi bukan maksiat), dalam keadaan senang dan susah kami dan dalam perkara yang merugikan kami dan janganlah kami menandingi hak ahlinya melainkan kamu melihat kufur yang jelas yang padanya kamu mempunyai dalil di hadapan Allah nanti”.

Berkata al-Qadi ‘Iyadh r.h:

لو طرأ عليه الكفر انعزل

Maksudnya: “Jika dia (pemimpin) menjadi kafir (nauzubillah min zalik) maka dia terlucut jawatan..” [Syarah Sahih Muslim li al-Nawawi, 12/229].

Berkata Imam Abul Hasan al-Asy’ari r.h:

ونرى الدعاء لأئمة المسلمين بالصلاح والإقرار بإمامتهم وتضليل من رأى الخروج عليهم إذا ظهر منهم ترك الاستقامة

وندين بإنكار الخروج بالسيف وترك القتال في الفتنة

Maksudnya: “dan kami berkeyakinan wajibnya mendoakan kebaikan bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan kestabilan pemerintahan mereka serta menyesatkan sesiapa sahaja yang berpendapat bolehnya menderhaka kepada pemimpin yang zalim dan kami beriman haramnya memberontak dengan senjata dan kami beriman perlu meninggalkan berperang dalam fitnah”. [al-Ibanah, 1/11].

Jelas daripada kenyataan Imam al-Asy’ari ini, ASWJ bersepakat haramnya memberontak kepada pemerintah selama dia muslim dan beriman walaupun dia melakukan maksiat dan berlaku zalim.

Analoginya mudah, apabila ibu bapa kita melakukan maksiat atau menyuruh kita melakukan maksiat maka kita wajib mengingkari maksiat tersebut tetapi kita tidak boleh memutuskan nasab kita dengan mereka.

Imam Abu Jaafar al-Tahawi r.h menyatakan dalam kitab Aqidah beliau:

-“ولا نرى الخروج على أئمتنا وولاة أمورنا وإن جاروا ولا ندعو عليهم ولا ننزع يدا من طاعتهم ونرى طاعتهم من طاعة الله عز وجل فريضة، ما لم يأمروا بمعصية، وندعو لهم بالصلاح والمعافاة.”

Maksudnya: “dan kami tidak percaya sama sekali bolehnya keluar menetang pemerintah walaupun mereka berlaku zalim dan kami tidak akan mendoakan keburukan atas mereka dan tidak akan menderhaka pada mereka bahkan kami berpendapat mentaati mereka termasuk taat kepada Allah Azza wa Jall dan ianya fardu (wajib) selama mereka tidak menyuruh melakukan maksiat dan kami mendoakan bagi mereka kebaikan dan kemapunan”. [Syarah Tahaiwah min Kalam Ibn Taimiah, 85].

Contoh Ulama al-Salaf dalam Berhadapan Kezaliman Pemimpin

Imam Abu Hanifah r.h: Beliau telah dipenjarakan oleh Khalifah al-Mansur al-Abbasi hanya kerana tidak mahu menerima jawatan Qadi (Hakim). Abu Hanifah r.h tidak pernah sama sekali membenarkan kaum muslimin menentang atau memberontak terhadap al-Mansur sehingga beliau wafat dalam penjara.

Imam Malik bin Anas r.h: Di zaman beliau terdapat pemberontakan terhadap al-Mansur (yakni Khalifah al-Mansur yang menghukum Abu Hanifah tadi) kemudian pemberontak ini berjaya menawan Madinah dan dipaksa untuk membaiat pemimpin mereka. Imam Malik enggan menderhaka pada Khalifah dan sanggup diseksa walaupun diketahui al-Masnur seorang yang zalim.

Imam al-Syafii r.h: Beliau telah ditangkap dan ditahan tanpa usul periksa dan dituduh sebagai pemberontak oleh Khalifah Harun al-Rasyid r.h, namun Imam Syafii setelah dibebaskan tidak pernah berdendam dengan khalifah bahkan sentiasa mendoakan kebaikan buat beliau.

Imam Ahmad bin Hanbal r.h: Khalifah al-Makmun dan al-Muktasim telah menyiksa beliau kerana keengganan menurut perintah maksiat mereka mengatakan al-Qur’an makhluk. Namun, Imam Ahmad melarang para pengikutnya yakni ASWJ memberontak.

Kesimpulan

Apa yang kami bentangkan ini semuanya berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, bukanlah berdasarkan hawa nafsu dan emosi. Kami menasihatkan kaum muslimin yang kami cintai sekalian untuk berpegang teguh dengan Manhaj ASWJ ini dalam semua aspek kehidupan mudah-mudahan kita berjaya dunia dan akhirat.

Ingatlah, Umat Muhammad yang diakhir zaman ini tidak akan berjaya melainkan mereka mengikut jejak langkah yang telah dilalui oleh pendahulu mereka yang soleh yang telah berjaya dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

PANDANGAN SYARIAT TERHADAP FITNAH POLITIK PERAK

10 Feb

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Fitnah atau kekacauan politik yang berlaku di negeri Perak Darul Rizwan mendapat perhatian banyak pihak dan banyak pula yang membincangkannya dalam pelbagai aspek. Namun, seperti biasa, amat sedikit bilangan mereka yang membincangkannya daripada sudut pandang syarak sedangkan syarak adalah penyelesaian tunggal dalam menghadapi krisis yang runcing ini.

Kita berterima kasih kepada S.S Mufti Perak yang sebelum ini terkenal dengan kebencian beliau kepada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) namun dalam situasi yang meruncing ini, beliau sendiri berfatwa selaras dengan manhaj ASWJ. Kita berharap selepas ini beliau terus membuka mata hati beliau daripada taklid buta, menerima manhaj ASWJ yang sejati sama ada dalam akidah, ibadah, akhlak, muamalat, dan siasah (politik).

Berbalik kepada isu pergelutan politik Perak, kita perlu memahami hakikat bahawa parti yang sebenarnya memerintah Perak adalah Democratic Action Party (DAP), iaitu parti kafir yang terkenal dengan permusuhannya terhadap Islam dan umatnya. Jika kita merujuk kepada kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak dalam PRU-12, kita dapati DAP mempunyai 18 kerusi manakala PAS hanya 6 kerusi dan PKR 7 kerusi.

Perlantikan Nizar bin Jamaluddin sebagai Menteri Besar hanyalah dalam memenuhi tuntutan perundangan yang menghendaki Menteri Besar mestilah seorang Melayu Islam. Barisan Exco Perak majoritinya adalah golongan kafir demikian juga Speaker DUN dan timbalannya.

Oleh itu, mengiktiraf kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat sebagai kerajaan Islam tulin adalah pembohongan dan pendustaan. Allah s.w.t telah melarang kaum muslimin menjadikan kaum kafir sebagai pemimpin dan pemegang jawatan-jawatan besar negara dalam firman-Nya:

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً

Maksudnya: “Janganlah kaum mukminin menjadikan kaum kafir sebagai ‘wali’ selain orang mukmin, sesiapa yang melakukan demikian maka tiada baginya pertolongan Allah melainkan kamu melakukannya kerana takut secara taqiyah..” [Ali Imran: 28].

Imam Ibn Jarir al-Tabari r.h menyatakan bahawa ayat ini merupakan larangn daripada Allah s.w.t kepada kaum mukmin untuk menjadikan kaum kafir sebagai penolong dan pendamping, demikian juga menjadikan mereka sebagai teman rapat. Dikecualikan jika mereka melakukannya secara taqiyah yakni dipaksa dan diancam bahaya seperti dia berada di negeri kafir atau ditawan oleh orang kafir (dijajah), maka hendaklah mereka membencinya dalam hati sahaja. [Tafsir al-Tabari].

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah kamu memanggil orang munafiq sebagai tuan, kerana jika kamu menjadikannya sebagai tuan kamu telah menyebabkan kemurkaan Tuhan kamu” [Ahmad].

Lihatlah, jika sekadar memanggil ‘tuan’ pun tidak boleh, apatah lagi kita memberinya jawatan yang menjadikannya ‘tuan’ dan ‘pemerintah’ kita. Perkara ini (haramnya melantik kaum kafir sebagai pemimpin) adalah ijmak dalam kalangan ulama ASWJ. Perkara ini para ulama membincangkannya dalam isu akidah yang dinamakan akidah al-wala’ dan al-bara’ dan boleh dirujuk kepada kitab-kitab berkenaan seperti Al-Wala’ wal Bara’ oleh Syeikh Soleh al-Fauzan hafizahullah.

Kesimpulan daripada isu pertama ini dapatlah kita katakan bahawa tidak ada bezanya antara hukum Barisan Nasional yang turut menjadikan kaum kafir sebagai peimpin dengan Pakatan Rakyat yang melakukan perkara yang sama, namun dalam hal semacam ini kaum muslimin hendaklah berpegang dengan kaedah fiqah yang telah disepakati para ulama iaitu:

ارتكاب أخف الضررين

Maksudnya: “Melakukan Mudarat yang teringan antara dua mudarat”.

Jika kembali meninjau fiqah waqi’ (Kefahaman Realiti), kita dapati kerajaan yang dipimpin BN lebih ringan mudaratnya kerana kedudukan Melayu yang majoritinya beragama Islam adalah majoriti walaupun kita sedar kerajaan BN ini masih ada mukhalafat (Penyelisihan) syariah yang mereka lakukan. Maka rakyat Perak perlu sedar bahawa mereka apabila mengundi DAP suatu ketika dahulu telah melakukan dosa besar dan apa yang menimpa mereka hari ini adalah diharap sebagai kaffarah (penebus dosa) daripada Allah untuk mereka.

Isu kedua yang perlu mereka faham adalah kedudukan Menteri Besar dalam syarak hanyalah sebagai Wazir sahaja yakni pembantu kepada pemerintah yang sebenar yakni Paduka Seri Sultan Perak dalam konteks ini.

Imam al-Mawardi dalam kitab beliau al-Ahkam al-Sultaniah menyatakan jenis Wizarah (Kementerian) itu terdapat dua:

  • 1- Wizarah al-Tafwid yakni pemerintah menyerahkan kuasa kepada menteri untuk menjalankan kuasanya tanpa perlu menunggu arahan beliau terlebih dahulu dalam beberapa perkara
  • 2- Wizarah al-Tanfiz yakni berlawanan dengan jenis pertama, menteri jenis ini terikat dengan arahan pemerintah.

Menteri Besar, Perdana Menteri, dan Ketua Menteri di Malaysia boleh dikategorikan sebagai Wizarah al-Tafwid manakala menteri di bawah mereka jika dilihat dari hubungan mereka dengan Raja atau Sultan adalah wizarah al-Tafwid manakala dari segi hubungan mereka dengan Wazir Mufawwad Ilaih (Menteri Besar dsbg) adalah Wazir Tanfiz.

Maka, dalam keadaan ini, ketaatan rakyat hendaklah dicurahkan kepada Sultan atau Raja yang memerintah dalam konteks kita ini kerana bagindalah pemerintah sebenar dan ketaatan kita terhadap Menteri Besar, Perdana Menteri, Ketuan Menteri, dan sebagainya hanyalah ketaatan tabaiyyah (yang bersifat mengikut) kepada ketaatan terhadap Sultan dan Raja. Apabila Sultan atau Raja membuat keputusan untuk menukar orang memegang jawatan Wizarah al-Tafwid tadi, maka rakyat hendaklah taat dan patuh tanpa bangkangan selagi orang yang dilantik itu beragama Islam dan layak memerintah.

Dalam hal ini, rakyat perlu sedar pula bagaimana syarak mengatur langkah dalam mentaati pemerintah. Syarak meletakkan syarat hendaklah perkara yang ditaati itu dalam perkara makruf yakni bukan maksiat. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya ketaatan itu adalah hanya dalam urusan makruf”.[al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Nasai].

Namun, adakah bermakna apabila seorang pemerintah itu melakukan maksiat dan memerintahkan kita melakukan maksiat kita perlu menggulingkannya dan merampas takhtanya? Atau sekadar kita tidak menjalankan perintah maksiatnya tanpa menggunakan kekerasan terhadapnya?

Rasulullah s.a.w bersabda: “Dengar dan taatlah (kepada pemerintah) walaupun dia memukul belakang kamu dan merampas harta kamu..” [al-Bukhari & Muslim, lafaz bagi Muslim].

Sabda Rasulullah s.a.w juga: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah kamu cinta dan dia mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”; kemudian seorang sahabat bertanya: ‘Adakah boleh kami menggulingkan mereka ketika itu?’ Jawab Nabi s.a.w: “Tidak boleh selagi mereka mendirikan solat (2x), sesungguhnya seseorang kamu apabila melihat pemimpinnya melakukan maksiat maka bencilah maksiat yang dilakukan tetapi janganlah dia mencabut tangannya daripada memberikan ketaatan”. [Muslim, Ahmad, dll].

Daripada dua hadis yang sangat-sangat sahih dan jelas maknanya ini, kita dapati Rasulullah s.a.w melarang kita menderhaka kepada pemerintah dengan menggulingkannya secara kekerasan walaupun dia melakukan maksiat dan kezaliman. Jika beginilah sekali hukumnya apabila pemerintah melakukan maksiat, maka apakah kita akan sangka hukumnya jika pemerintah memerintahkan sesuatu yang bukan maksiat?

Allah s.w.t berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan pemimpin dalam kalangan kamu…” [al-Nisaa: 59].

Ayat ini memerintahkan orang yang beriman memberikan ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya serta mentaati pemerintah dalam urusan yang sesuai dengan syarak dan pemerintah kaum mukmin itu hendaklah dalam kalangan mereka bukan orang kafir.

Oleh itu, ayat ini menjelaskan dalam hal yang bukan maksiat wajib ke atas kaum muslimin mentaati perintah pemimpin walaupun perintah itu bertentangan dengan kehendak dan kepentingan peribadinya.

Akhir kata dalam penyelesaian isu ini adalah kembali ke pangkal jalan dan melazimi methode berpolitik yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda. Sebagai penutup saya ingin menyampaikan pesan Rasulullah s.a.w apabila kita berhadapan dalam keadaan fitnah seperti ini.

Hendaklah kita melazimi manhaj ASWJ yang sejati iaitu yang mengikut al-Salaf al-Soleh bukan mengikut amalan nenek moyang dan orang banyak tanpa mempedulikan sandaran daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Janganlah kita berhukum dengan emosi dan perasaan kita semata-mata kerana Allah s.w.t telah mencela dengan celaan yang besar golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah s.w.t. Wallahua’lam.