Tag Archives: pinjaman

MENGENALI RIBA

4 Jul

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Riba merupakan dosa besar yang sangat dikecam dan dikutuk Allah Taala dan RasulNya s.a.w. Allah Taala berfirman:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: “orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa Yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” [al-Baqarah: 275].

Mereka yang masih berdegil memakan riba setelah jelas laranagn Allah Taala ini adalah mereka yang hendak memerangi Allah Taala dan RasulNya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (278) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ (279)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman. oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”  [al-Baqarah: 278-279].

Dalam hadis Nabi s.a.w:

عن جابر ، قال: «لعن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- آكل الربا ، ومُوكِلَهُ ، وكَاتبه ، وشَاهديه ، وقال : هم سواء»

Maksudnya: “Daripada Jabir r.a kata beliau: ‘Rasulullah s.a.w melaknat pemakan riba, yang memberi makan, penulis (perjanjian riba), dan saksi-saksinya’. Dan baginda berkata: “Mereka adalah sama”. [Muslim & Ahmad].

Hasil daripada nas-nas yang jelas ini, kita dapati riba merupakan salah satu al-Kabair (dosa besar) dan perlakuan riba ini merupakan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah Taala di dunia dan akhirat sebagaimana yang dapat kita lihat sekarang daripada krisis ekonomi dunia.

Takrif Riba

Riba pada bahasa bermaksud ‘tambahan’ dan ‘lebihan’ sebagaimana dalam firman Allah Taala:

وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنْبَتَتْ مِنْ كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ

Maksudnya: “Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.” [al-Hajj: 5].

Dalam Mukjam al-Wasit dinyatakan bahawa maksud kalimah ربا adalah:  نما وزاد yakni ‘tumbuh’ dan ‘bertambah’.

Adapun pada syarak maksud riba adalah:

عقد على عوض مخصوص غير معلوم التماثل في معيار الشرع حالة العقد أو مع تأخير في البدلين أو أحدهما

Maksudnya: “Aqad atas pertukaran dengan benda tukaran yang tertentu yang tidak diketahui persamaan antara keduanya pada timbangan syarak pada waktu aqad atau dengan dilewatkan (penyerahan) tukaran keduanya atau salah satunya”. [Mughni al-Muhtaj, al-Syarbini, Muhammad al-Khatib, 2/210, Furuk al-Masail, al-Fatani, Daud, 2/11].

Bahagian-bahagian Riba:

Riba dapat dibahagikan kepada dua bahagian:

Pertama: Riba al-Nasiah (Riba Hutang)

Kedua: Riba al-Fadl (Riba Jual Beli)

Maka riba itu bukan sahaja berlaku apabila kita memberi hutang dengan syarat dibayar melebihi jumlah pinjaman namun juga berlaku dalam jual beli terhadap beberapa jenis mata benda. [al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, al-Zuhaili, Wahbah, 5/353].

Riba Nasiah النسيئة

Riba al-Nasiah atau Riba Duyun atau disebut juga Riba Jahiliah dan Riba Jali (Terang) adalah riba yang diamalkan oleh kaum musyrikin Mekah di zaman Jahiliah dan pada jenis riba inilah Allah Taala menurunkan ayat-ayat yang mengharamkan riba menurut satu wajah daripada Qaul Ashab al-Syafiiah dan sebahagian Ulama. [al-Majmuk Syarhul Muhazzab, 9/391, al-Fiqh alal Mazahib al-Arba’ah, 2/172].

Maksud Riba Nasiah adalah: “Pertambahan pada hutang dengan bertambahnya tempoh pembayaran”. Ini berdasarkan tafsiran para Ulama dengan ijmak maksud riba Jahiliah adalah kaum Musyrikin Mekah apabila mereka memberi hutang sampai kepada tempoh pembayaran balik maka mereka memberi pilihan kepada peminjam sama ada membayar atau menangguhkan pembayaran dengan syarat menambah pembayaran. [al-Fiqh alal Mazahib al-Arba’ah, 2/172, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 5/353, al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 22/57-58].

Firman Allah Taala:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: “orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa Yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” [al-Baqarah: 275].

Dan firmanNya:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (278) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ (279)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman. oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”  [al-Baqarah: 278-279].

Rasulullah s.a.w bersabda:

أَلاَ إِنَّ كُلَّ رِبًا مِنْ رِبَا الْجَاهِلِيَّةِ مَوْضُوعٌ لَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُونَ وَلاَ تُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya setiap riba daripada riba jahiliah adalah batil, bagi kamu asal modal, kamu (dengan itu) tidak melakukan kezaliman dan tidak pula dizalimi”. [Abu Daud dan Ibn Majah, sahih].

Maka dengan ini difahami ‘bunga’ atau ‘faedah’ yang dikenakan pihak ceti, along, bank, dan sesiapa sahaja yang memberi pinjaman secara bayaran bertambah ini adalah riba jahiliah yang haram dengan ijmak dan kafirlah orang yang menghalalkannya kerana haramnya riba nasiah ini maklum secara daruri setiap muslim sama ada alim atau tidak.

Seseorang yang membuat pinjaman dengan along atau ceti atau lainnya secara riba adalah orang yang memerangi Allah Taala dan RasulNya serta pemerintah hendaklah menghukum si pemberi pinjam dan yang meminjam kemudian si peminjam hendaklah diperintah membayar jumlah asal pinjamannya dan jika dia tidak mampu pemerintah perlulah membantunya dengan wang Baitul Mal jika dia seorang muslim dan tujuan dia membuat pinjaman adalah untuk sesuatu yang halal.

Termasuk dalam riba nasiah ini semua jenis dan bentuk hutang misalnya kita membeli rumah dengan bayaran ansuran bulanan RM 500 sebulan dibayar pada 29 hari bulan Qamariah setiap bulan. Jika tiba pada masanya kita tidak membayarnya lalu kita bayar pada waktu selepasnya maka dikenakan penalti sebanyak 1% atau 0.01% maka ini adalah riba dan pelakunya adalah orang yang menentang Allah Taala dan RasulNya serta wajib atasnya neraka selagi dia tidak bertaubat.-Nauzubillah min zalik-.

Terdapat sebahagian manusia yang kafir (walaupun mereka mendakwa mereka muslim) yang mempersendakan ayat-ayat Allah serta memperlekehkan syariat Islam dengan mendakwa riba yang sedikit seperti 1% atau 0.1% adalah tidak salah, yang salah adalah jika jumlah besar seperti 3% atau lebih.

Mereka berdalihkan ayat Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”  [Ali Imran: 130].

Berkata Allamah Abu Bakar Jabir al-Jazairi al-Madini hafizahullah berkenaan qaid ‘lipat kali ganda’ dalam ayat ini: “Tidak ada kefahaman dalam ayat ini kerana ianya datang atas dasar kebiasaan yang berlaku kerana satu dirham (daripada riba) sama haramnya seperti seribu dirham, adapun semasa di zaman jahiliah mereka melewat-lewatkan pembayaran hutang dan menambah bayaran atas kelewatan itu sehingga hutang menjadi bertambah-tambah lipat kali ganda maka jadilah ianya berlipat kali ganda yang banyak”. [Aisar al-Tafasir, 1/202].

Imam al-Alusi r.h berkata: “dan bukanlah hal ini untuk mengikat perkara yang ditegah sehingga menjadikan asal riba tidak dilarang (kecuali berlipat ganda) bahkan ianya hanyalah untuk meraikan keadaan (ketika itu)”. [Ruhul Ma’ani, 3/212].

Ini seumpama firman Allah Taala:

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “….dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya)…” [al-Nisaa: 23].

Ayat ini menjelaskan apabila kita berkahwin dengan janda yang mempunyai anak setelah kita mencampuri (jimak) isteri kita lalu kita bercerai atau meninggal si isteri ini tidaklah boleh kita mengahwini pula anak perempuan bekas isteri kita ini dan Allah meletakkan qaid anak tiri kita ini yang berada dalam jagaan kita. Namun para Ulama bersepakat, anak tiri yang tidak kita jaga kerana tinggal dengan ayah kandungnya misalnya tetap haram kita kahwini setelah kita menjimak ibunya. Maka Qaid di sini diabaikan kerana datang menceritakan kebiasaan yang berlaku. [Lihat: Tafsir al-Munir, al-Zuhaili, Wahbah, 4/309,Ibn Kasir, 2/251].

Syeikh Wahbah al-Zuhaili hafizahullah menyatakan bahawa pengharaman riba berlaku secara berperingkat-peringkat seperti arak juga, maka ayat larangan memakan riba secara berlipat ganda ini berlaku pada peringkat ketiga kemudian pada peringkat keempat turunnya ayat riba dalam surah al-Baqarah yang mengharamkan riba sama ada banyak atau sedikit. [Tafsir al-Munir, 3/91-92].

Atas penjelasan ini maka tersingkaplah syubhat bahawa riba sama ada banyak atau sedikit tetap haram pada syarak dan tiada khilaf dalam kalangan Ulama Muktabar dalam masalah ini. Mereka yang cuba mencari helah menghalalkan riba ini tidak lain umpama kaum Yahudi dan Nasara yang senantiasa mencari helah untuk mengahlalkan apa yang Allah haramkan-nauzubillah min zalik-.

Masalah ‘Yuran Perkhidmatan’:

Yuran Perkhidmatan atau atau Kos Perkhidmatan atau ‘Rusum al-Khidmat’   (رسوم الخدمات)  merupakan masalah baharu yang timbul dalam perbankan Islam moden di mana seorang peminjam daripada bank perlu membayar jumlah tertentu atas alasan bayaran untuk perkhidmatan yang disediakan bank untuk memproses pinjaman si peminjam.

Majmak al-Fiqh al-Islami yang bersidang pada 8-13 Safar 1407 Hijrah/ 11-16 Oktober 1986 Masihi di Amman, Jordon (Persidangan yang ke-3) mengeluarkan fatwa berhubung masalah ini seperti berikut:

“Khusus berkenaan bayaran untuk khidmat hutang di Bank Pembangunan Islam, Majlis telah mengambil keputusan sebagai berikut:

1-   Harus mengambil kos  perkhidmatan memberi hutang

2-   Hendaklah jumlah itu adalah jumlah kos yang sebenar

3-   Tambahan melebihi kos sebenar adalah riba yang diharamkan syarak”. [al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/112].

Jadi dalam fatwa ini, para Ulama sedunia bersetuju bahawa boleh pihak bank mengenakan kos perkhidmatan dalam jumlah sebenar dan bukan dalam bentuk peratus, jika mereka mengenakan dalam bentuk peratus seperti 3% atau 1% yang dilakukan PTPTN dan dibantu oleh Bank Islam Malaysia Berhad, ini adalah riba yang haram. Wallahua’lam. [Rujuk Fatwa Syeikh Husamuddin Afanah berkenaan kos perkhidmatan di: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1225697940157)

Riba al-Fadl (Riba Jual Beli):

Selain dalam masalah hutang, terdapat sejenis riba lagi yang jarang diketahui masyarakat Islam hari ini iaitulah riba jual beli yang terkenal disebut riba al-fadl (berlebih-lebihan) atau disebut Imam Ibn al-Qayyim sebagai Riba al-Khafiyy (tersembunyi).

Maksud Riba al-Fadl atau jual beli ini adalah:

بيع النقود بالنقود أو الطعام بالطعام مع الزيادة

Maksudnya: “Menjual Nuqud dengan nuqud atau makanan dengan makanan secara berlebihan”. [Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, Hamud al-Tuwaijiri, m.s 762].

Maksud nuqud di sini adalah emas dan perak sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang kerajaan Usmaniah:

النُّقُودُ جَمْعُ نَقْدٍ وَهُوَ عِبَارَةٌ عَنْ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ

Maksudnya: “al-Nuqud jamak kepada ‘naqd’ iaitulah ibarat kepada emas dan perak”. [Majallah al-Ahkam, Akta 130, m.s 32].

Hukum Riba al-Fadl:

Haram melakukan riba jual beli sebagaimana haramnya riba dalam hutang berdalilkan hadis Nabi s.a.w daripada Ubadah bin al-Samit r.a kata beliau:

 إِنِّى سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَنْهَى عَنْ بَيْعِ الذَّهَبِ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرِّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرِ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرِ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحِ بِالْمِلْحِ إِلاَّ سَوَاءً بِسَوَاءٍ عَيْنًا بِعَيْنٍ فَمَنْ زَادَ أَوِ ازْدَادَ فَقَدْ أَرْبَى.

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w melarang menjual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam kecuali bersamaan, ain denga  ain, maka sesiapa yang menambah ataun minta tambah maka dia telah melakukan riba”. [Muslim, Abu Daud, al-Nasai, dan Ahmad].

dalam riwayat Abu Daud menyatakan:

وَلاَ بَأْسَ بِبَيْعِ الذَّهَبِ بِالْفِضَّةِ – وَالْفِضَّةُ أَكْثَرُهُمَا – يَدًا بِيَدٍ وَأَمَّا نَسِيئَةً فَلاَ وَلاَ بَأْسَ بِبَيْعِ الْبُرِّ بِالشَّعِيرِ وَالشَّعِيرُ أَكْثَرُهُمَا يَدًا بِيَدٍ وَأَمَّا نَسِيئَةً فَلاَ »

Maksudnya: “dan tidak mengapa menjual emas dengan perak sedangkan perak lebih secara serah terima (tunai) adapun secara nasiah (hutang) maka tidak boleh dan tidak mengapa menjual gandum dengan syair sedangkan syair lebih secara serah terima adapun secara nasiah maka tidak boleh”.

Riba al-Fadl adalah haram dengan al-Sunnah dan ijmak ulama, adapun riwayat daripada Saidina Ibn Abbas r.hma bahawa beliau mengharuskan riba jenis ini, beliau telah merujuk kembali pendapatnya dan kembali kepada hadis-hadis yang sahih. [al-Hawi, al-Mawardi, 5/77].

Jika benar sekalipun terdapat perbezaan pendapat, perbezaan itu bukanlah sesuatu yang muktabar kerana berlawanan dengan  hadis-hadis yang sahih dan Jamahir (Majoriti atas Majoriti) para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin telah sepakat haramnya riba dalam jual beli.

Barang-barang Ribawi dan Syarat-syarat Jual Beli padanya:

Barang-barang ribawi sepakat para Ulama adalah enam jenis benda yang disebutkan Rasulullah s.a.w dalam hadis di atas iaitulah: Emas, Perak, Tamar, Garam, Gandum, dan Syair.

Emas dan Perak adalah dua benda ribawi se-illah berlainan jenis

Tamar, gandum, syair, garam adalah benda ribawi berlainan jenis se-illah

Adapun emas dengan gandum misalnya maka keduanya adalah berlainan jenis dan illah.

Syarat dalam melaksanakan jual beli barang ribawi apabila ianya sejenis dan se-illah seperti emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum hendaklah ada padanya 3 syarat:

Pertama: al-Mumasalah iaitulah bersamaan jumlahnya sama ada dari segi timbangan mahupun sukatan maka tidak boleh menukar 3g emas dengan 3.1g emas, 4kg gandum dengan 4.1kg gandum.

Kedua: al-Hulul iaitulah segera yakni penyerahan barang itu mestilah bersegera dalam majlis akad jual beli. Tidak boleh menjual 3kg gandum yang ada di majlis dengan 3kg gandum yang berada di luar majlis akad.

Ketiga: Taqabud iaitu serah terima berlaku dalam majlis akad. Maka tidak sah menjual 3kg gandum yang berada di majlis akad dengan 3kg gandum yang berada di majlis akad tetapi akan diberi selepas majlis akad. [Rujuk: Tuhfatul Muhtaj fi Syarhil Minhaj, al-Haitami, 16/459, al-Syarhul Mumti, al-Usaimin, 8/399, Kifayatul Akhyar, m.s 233]

Apabila jual beli berlaku antara barang ribawi yang se-illah tetapi berlainan jenis seperti emas dengan perak, gandum dengan syair maka disyaratkan padanya dua syarat:

Pertama: al-Hulul

Kedua: al-Muqabadah

Maka harus menjual 3g emas dengan 4g perak asalkan keduanya hadir dalam majlis akad dan diserah terima pada majlis akad demikian juga 3gantang kurma dijual dengan 4gantang syair harus padanya asalkan berlaku serah terima dalam majlis dan kedua barang hadir dalam majlis akad. [Kifayatul Akhyar, 235].

Adapun menjual barang ribawi yang tidak se-illah dan tidak sejenis maka tidak tidak mengapa dijual secara berlebih kurang dan secara bertangguh asalkan memenuhi syarat-syarat jual beli yang lain seperti milik penjual, mampu diserahkan, suci bukan najis dan sebagainya. [Kifayatul Akhyar, 235, al-Syarhul Mumti’, 8/404, Mukhtasar al-Fiqh, m.s 763].

Jenis-jenis Riba al-Fadl:

Ulama membahagikan Riba al-Fadl kepada dua jenis:

Pertama: Riba al-Fadl iaitulah menjual dua benda sejenis dan se-illah secara tidak sama timbangan seperti menjual 10 misqal emas dengan 11 misqal emas.

Kedua: Riba al-Nasiah iaitulah menjual barang ribawi secara bertangguh seperti menjual 10 misqal emas dengan 10 misqal emas secara hutang.

Ini adalah pendapat jumhur Ulama, adapun Ulama Syafiiah membahagikan kepada 4 jenis riba:

Pertama: Riba al-Fadl iaitulah menjual barang ribawi sejenis dan se-illah dengan tidak sama ukuran seperti menjual 10 gantang gandum dengan 11 gantang gandum.

Kedua: Riba al-Yad iaitulah menjual barang ribawi walaupun tidak sejenis tetapi se-illah tanpa taqabud di majlis seperti menjual 10 gantang kurma dengan 11gantang syair yang kedua-dua barang ini diaqad segera (hulul) tetapi barang itu diserahkan selepas majlis akad.

Ketiga: Riba al-Nasa’ iaitulah menjual barang ribawi sejenis atau berlainan jenis tetapi se-illah secara bertangguh sepertin katanya: ‘Aku jual 3gantang garam ini dengan 4gantang gandum kamu itu dibayar beransur-ansur selama sebulan’.

Keempat: Riba al-Qard iaitulah seseorang memberi pinjam dengan syarat mendapat manfaat daripada peminjam seperti Najwa memberi pinjam sebanyak RM 1 kepada Salwa dengan syarat Salwa perlu menumpangkan Najwa ke tempat kerja setiap minggu. Sebahagian besar Ulama Syafiiah memasukkan riba ini ke dalam Riba al-Fadl di atas. [rujuk: Hasyiah al-Bajuri ‘ala Ibn Qasim, 1/343, al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 22/57].

Perbahasan Illah Barangan Ribawi:

Illah maksudnya sifat yang ada pada sesuatu yang syarak jadikan sebagai penyebab sesuatu hukum seperti sifat memabukkan yang ada pada arak adalah sebab syarak mengharamkan arak. [Rujuk: Jamul Mahsul fi Syarhi Risalah Ibn Saadi fil Usul, Soleh al-Fauzan, m.s 94].

Para Ulama telah sepakat bahawa emas dan perak adalah berkongsi illah yang sama dalam masalah riba demikian juga empat lagi barang ribawi berkongsi satu lagi illah yang berbeza dengan illah emas dan perak. [al-Hawi, 5/83, al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 22/64].

Namun mereka berbeza dalam menentukan apakah illah-illah barang ribawi ini sehingga sebahagian Fuqaha’ Ahlis Sunnah wal Jamaah menghadkan riba hanya berlaku dalam enam benda ini sahaja tidak pada selainnya kerana menurut mereka illahnya tersembunyi seperti solat juga. Ini adalah pendapat yang dipilih Thawus, Masruq, al-Sya’bi, Usman al-Batti, dan Qatadah serta menjadi pilihan Ibn Uqail al-Hanbali. [al-Majmuk, 9/393, al-Hawi, 5/81, al-Syarhul Mumti’, 8/395].

Demikian juga kaum Zahiriah yang menolak qias tidak memasukkan selain enam benda ini sebagai barang riba namun pendapat yang muktamad adalah barang ribawi itu lebih dari enam dengan qias. [al-Majmuk, 9/392-393].

Illah Riba pada Emas dan Perak:

Ulama berbeza pandangan dalam menentukan apakah illah riba emas dan perak sebagai berikut:

Pertama: Illa riba emas dan perak adalah keduanya barang yang ditimbang maka dihubungkan kepadanya segala jenis barang yang ditimbang seperti tembaga, timah, besi, dan kapas. Ini adalah qaul al-Ahnaf (Mazhab Hanafi) dan riwayat yang masyhur daripada Hanabilah (Mazhab Hanbali) serta juga merupakan pendapat Sufyan al-Sauri, Hammad, al-Hakam, al-Zuhri, dan al-Auzai. [al-Majmuk, 9/393, al-Syarhul Mumti’, 8/398, Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 29/470].

Kedua: Illah riba emas dan perak adalah al-Samaniah الثمنية yakni emas dan perak adalah harga dan nilai segala barang-barang dan ini merupakan mazhab al-Syafiiah, al-Malikiah, dan riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan dipilih oleh jumhur muhaqqiqin mazhab Hanbali seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h dan Syeikhul Ibn al-Qayyim r.h. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 29/471, al-Majmuk, 9/393, al-Fiqh ‘alal Mazahib al-Arba’ah, m.s 547-548, Bidayatul Mujtahid, 2/106, al-Mughni, 7/496-497].

Maka illah ini terhad kepada apa yang dinamakan sebagai ‘wang’ yang tetap dengan harga barang-barang iaitulah emas dan perak dan tidak menjangkau kepada selainnya daripada barang-barang dagangan yang dijadikan sebagai harga tukaran seperti menjual kain dengan makanan walaupun harus menjadikan kain sebagai harga makanan dan sebaliknya namun ianya bukanlah ghalib kerana boleh sahaja kain bertukar menjadi yang dijual dan sebaliknya.

Illah harga ini lebih sesuai dan lebih munasabah berbanding illah timbangan kerana para ulama telah setuju bolehnya membeli barang yang ditimbang seperti kapas, besi, dan timah dengan dinar emas dan dirham perak secara tidak sama timbangan. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 29/471-472].

Kedudukan Mata Wang Hari Ini:

Mata wang hari ini sama ada dalam bentuk kertas atau syiling adalah mata wang fiat, yakni tidak disandarkan kepada emas mahupun perak, bahkan semata-mata berdasarkan kepercayaan manusia dan penerimaan mereka akannya sebagai benda yang menjadi harga segala barang.

Para Ulama mempunyai pandangan berbeza berkenaan kedudukan mata wang hari ini adakah ianya barang ribawi atau bukan bahkan adakah diwajibkan padanya zakat atau tidak.

Pendapat yang tegas dan sahih adalah wang hari ini diwajibkan padanya zakat kerana wang kertas hari ini adalah harta asasi manusia pada hari ini dan Allah Taala mewajibkan zakat pada harta yang utama. FirmanNya:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً

Maksudnya: “Ambillah daripada harta-harta mereka akan sedekah (zakat)…” [al-Taubah: 103].

Maka wang fiat hari ini adalah harta manusia yang ghalib dan asasi serta dihimpun dan dikembangkan seperti emas dan perak juga maka wajar sekali dikenakan zakat padanya walaupun tidak didagangkan.

Adapun kedudukannya sebagai barang ribawi ini perlu perhatian lanjut kerana illah riba emas dan perak adalah ‘harga yang ghalib’ yakni diterima manusia setiap tempat dan zaman sebagai harga dan ditentukan dengannya ganti rugi barang dan sebagainya dan amat jarang berlaku نادرة الوقوع akan ada manusia menolak emas dan perak sebagai harga barang atau ganti rugi kepada barangnya yang rosak.

Imam al-Nawawi r.h berkata:

إذا راجت الفلوس رواج النقود لم يحرم الربا فيها هذا هو الصحيح المنصوص وبه قطع المصنف والجمهور وفيه وجه شاذ أنه يحرم حكاه الخراسانيون

Maksudnya: “Apabila fulus itu laku seperti lakunya nuqud (emas dan perak) tidak haram padanya riba inilah yang sahih dinaskan dan dengannya dipastikan musannif (al-Syirazi) dan Jumhur(al-Syafiiah) dan padanya terhadap satu wajah syaz ianya haram diriwayatkan al-Khurasaniyyun (daripada Ashab al-Syafiiah)”. [al-Majmuk, 9/395].

Ini kerana fulus (wang selain emas dan perak) terdedah kepada ‘kasad’ yakni pemberhentian penggunaannya sebagai wang apabila pemerintah membatalkan harganya sehingga ia menjadi barang dagangan biasa atau tembaga biasa. Keadaan ini berlaku pada wang fiat hari ini kerana ia terdedah kepasa kasad berbeza dengan emas dan perak yang akan terus diterima manusia sebagai harga walaupun dalam bentuk serbuk sekalipun.

Lakunya wang hari ini juga tidaklah ghalib kerana Ringgit Malaysia hanya diterima di Malaysia sahaja, Riyal Saudi hanya laku di Saudi, dan Dolar Amerika diterima di Amerika Syarikat sahaja. Jika kita membeli daripada orang awam barangan dengan dolar amerika di Malaysia mereka tentu tidak akan menerimanya. Maka wang hari ini bukanlah harga yang ghalib dan atas dasar pandangan ini ia bukanlah barang ribawi.

Sebahagian Ulama lagi berpendapat wang hari ini adalah barang ribawi ini berdasarkan fulus apabila ia laku seperti lakunya emas dan perak maka ia adalah barang ribawi. Ini adalah Qaul Imam Malik r.h dan disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h dan diikuti kebanyakan Ulama masa kini dan atas pendapat ini Majmak Fiqh Islam Rabitah al-‘Alam al-Islami mengeluarkan fatwa.

Mereka menjadikan wang hari sebagai jenis-jenis yang berbeza mengikut negara pengeluarnya, maka Ringgit Malaysia adalah sejenis, Riyal Saudi adalah sejenis, US Dolar sejenis, dan seterusnya. Maka tidak boleh menjual RM 10 dengan RM 11 secara tunai mahupun bertangguh tetapi boleh menjual RM 10 dengan Riyal Saudi 100 asalkan secara tunai.

Adapun atas qaul yang tidak menjadikan wang hari ini sebagai barang ribawi maka tiada masalah menjual RM 10 dengan RM 11 secara tunai mahupun bertangguh, RM 10 dengan USD 40 secara bertangguh dan seterusnya. Namun, wang yang disimpan perlu dikeluarkan zakat apabila sampai nisabnya dan cukup haul kerana wang termasuk ‘harta yang berkembang’. Wallahua’lam.

Tarjih: Pada pandangan kami, wang fiat hari ini bukanlah barang ribawi walaupun ianya barang zakawi (yang dikenakan zakat) kerana barang yang dikenakan zakat tidak semestinya menjadi barang riba seperti unta adalah barang zakat tetapi bukan barang riba bahkan emas dan perak yang dijadikan perhiasan adalah barang riba tetapi tidak dikenakan zakat menurut jumhur ulama. Pendapat inilah yang dirajihkan Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar dan Syeikh Hasan Ayyub. [Rujuk Perbahasan Masalah ini: Buhus Fiqhiah fi Qaya Iqitisadiah Muasarah, 1/267-300, Fiqh al-Muamalat al-Maliah, Hasan Ayyub, m.s 146-152, al-Syarhul Mumti’ ‘ala Zadil Mustaqni’, al-Usaimin, 6/92-95 dan 8/404-405, Syarhu Zadil Mustaqni’, al-Hamd, 9/86-90, al-Fiqh al-Manhaj ‘alal Mazhab al-Syafii, 6/71].

Menjual Barang Kemas Secara Berhutang:

Telah berlaku dalam masyarakat hari ini menjual barang kemas sama ada emas atau perak secara berhutang atau bayaran ansuran, maka adakah ianya harus?

Jawapannya berbeza mengikut pendapat Ulama dalam kedudukan wang kertas dan syiling hari ini adakah barang ribawi atau bukan. Jika kita berpegang dengan wang kertas dan syiling bukan barang ribawi maka tiada masalah menjual emas dan perak dengannya secara bertangguh dan beransur-ansur bayaran.

Namun atas pendapat yang melihat wang fiat ini barang ribawi dengan illahnya adalah harga, maka wang hari ini dengan emas dan perak adalah dua benda se-illah berlainan jenis. Maka wajib padanya serah terima secara tunai, haram menjual secara ansuran. Wallahua’lam.

Adapun jika dia menjual emas dengan emas seperti menukar emas lama dengan emas baru maka wajib padanya sama timbangan dan serah terima secara tunai demikian juga perak. Jika dia menukar emas dengan perak maka wajib padanya serah terima secara tunai dengan ijmak Ulama.

Illah Riba Pada Tamar, Gandum, Garam, dan Syair:

Ulama juga berkhilaf dalam masalah ini kepada beberapa pendapat dan Imam  al-Nawawi r.h menyatakan terdapat 10 mazhab kesemuanya dalam menentukan illah riba ini namun kami akan sebutkan yang mempunyai kekuatan dan masyhur sahaja:

Pertama: Illah riba pada empat jenis barang ini adalah ‘makil’ مكيل yakni disukat seperti gantang, cupak, dan seumpamanya. Maka semua benda yang dijual secara sukatan adalah ribawi walaupun bukan makanan seperti kapur, kapur tohor , dan garam abu. Ini adalah qaul al-Ahnaf dan riwayat yang masyhur daripada Imam Ahmad. [al-Mughni, 7/495].

Kedua: Illah padanya adalah berbeza pada riba al-Fadl dan al-Nasiah, illah pada berlebihan adalah kerana ianya makanan yang mengenyangkan dan tahan untuk disimpan, sementera illah pada riba nasa’ kerana ianya makanan semata-mata. Atas dasar ini, beras misalnya adalah barang ribawi yang dilarang padanya riba al-fadl dan al-nasiah kerana ia makanan asasi dan tahan disimpan lama. Adapun buah epal misalnya atau roti misalnya juga barang ribawi namun hanya haram padanya riba nasiah bukan al-Fadl maka harus menjual dua biji epal dengan 3 biji epal asalkan tunai dan tiga buku roti dengan sebuku roti asalkan tunai. Ini adalah mazhab Malikiah. [Bidayatul Mujtahid, 2/106, Hasyiah al-‘Adwi, 5/454-456, al-Fawakih al-Dawani, 5/404 dan seterusnya].

Ketiga: illah padanya illah murakkabah (illah bertindan) iaitu makanan dan disukat atau ditimbang. Atas qaul ini, makanan yang disukat atau ditimbang seperti beras, tepung, gula, dan sebagainya adalah barang ribawi sedangkan makanan yang tidak disukat dan ditimbang bukanlah barang ribawi seperti buah durian yang dijual secara biji. Ini adalah Qaul Qadim Imam al-Syafii dan riwayat kedua Imam Ahmad bin Hanbal dan disokong kebanyakan mutaakhirin Hanabilah. [al-Majmuk, 9/401, al-Hawi, 5/83, al-Mughni, 7/497].

Keempat: Illah pada barang-barang ini adalah semata-mata kerana ianya makanan maka berlaku riba pada semua jenis yang dinamakan makanan hatta air sekalipun demikian juga ubat-ubatan. Inilah Qaul Jadid dan zahir mazhab al-Syafii dan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal. [al-Majmuk, 9/397, al-Mughni, 7/496, al-Hawi, 5/83].

Tarjih: Illah yang rajih pada kami adalah Qaul Jadid Imam al-Syafii r.h berdalilkan sabda Nabi s.a.w:

 الطعامُ بالطعام مِثلاً بمثل

Maksudnya: “Makanan dengan makanan hendaklah sama”. [Muslim].

Ini menunjukkan Nabi s.a.w meletakkan makanan sebagai illah kepada mestinya bersamaan ukuran dalam jual beli, persamaan di sini tidak dihadkan dengan sukat atau timbang bahkan umum dalam segala segi persamaan sama ada ditimbang, disukat, dikira secara biji, dan sebagainya.

Adapun hadis:

ما وزن مثل بمثل إذا كان ونوعا واحدا وما كيل فمثل ذلك فإذا أختلف النوعان فلا بأس به

Maksudnya: “Apa yang ditimbang maka hendaklah bersamaan jika sejenis dan apa yang disukat demikian juga dan jika berbeza jenis maka tidak mengapa”. [al-Daruqutni]

Hadis ini daif kerana syaz. Imam al-Daruqutni telah mengisyaratkan kedaifan hadis ini dengan kata beliau: “Tidak meriwayatkannya selain Abu Bakar daripada al-Rabi’ dengan lafaz ini dan menyalahinya jamaah maka mereka meriwayatkan daripada al-Rabi’ daripada Ibn Sirin daripada Ubadah dan Anas daripada Nabi s.a.w dengan bukan lafaz seperti ini”. [Sunan al-Daruqutni, 3/18].

Adapun illah Imam Malik adalah tidak sesuai dengan nas kerana Nabi s,a.w meletakkan garam sebagai barang ribawi sedangkan garam bukan qut (makanan asasi) demikian juga rutob sabit sebagai barang ribawi (riba al-Fadl) sedangkan rutob bukanlah sesuatu yang asasi dan tidak tahan untuk disimpan. Membezakan illah antara riba al-Fadl dan riba al-Nasiah adalah sesuatu yang tidak sarih dalam nas. Wallahua’lam.

Atas dasar ini, sabitlah riba atas semua jenis makanan sama ada yang utama mahupun tidak, dan termasuk yang dinamakan makanan adalah air dalam hadis kata Aisyah r.ha:

تُوُفِّىَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَقَدْ شَبِعْنَا مِنَ الأَسْوَدَيْنِ الْمَاءِ وَالتَّمْرِ.

Maksudnya: “Telah wafat Rasulullah s.a.w dan kami telah kenyang dengan dua benda hitam: air dan tamar”. [[Muslim].

Hadis ini menunjukkan air itu termasuk sejenis makanan, maka tidak boleh menjual 1 liter air dengan 2 liter air walaupun tunai atau 1 liter air dengan 2kg beras melainkan secara tunai. [Rujuk: al-Hawi fi Fiqh al-Syafii oleh al-Mawardi, al-Majmuk Syarhil Muhazzab oleh al-Nawawi, dan al-Bayan fi Fiqh al-Syafii oleh al-Umrani].

Menentukan Takrif ‘Jenis’:

Dalam mengenali sesuatu barang ribawi adakah ianya sejenis atau berlainan kaedahnya adalah:

كل شيئين اتفقا في الاسم الخاص من أصل الخلقة فهما جنس واحد ، وكل شيئين اختلفا في الاسم من أصل الخلقة فهما جنسان .

Maksudnya: “Semua dua benda yang sama dalam nama khasnya pada asal kejadian maka ianya jenis yang sama dan setiap dua benda yang berbeza pada nama khas daripada asal kejadian maka keduanya dua jenis berlainan”. [al-Fiqh al-Manhaji ‘ala al-Mazhab al-Syafii, 6/75].

Maksud isim khas adalah nama yang membezakan sesuatu benda daripada isim am yang musytarak pada semua benda seperti nama ‘tamar’ mengkhusukan tamar daripada nama amnya ‘buah-buahan’, nama ‘beras’ yang membezakan beras daripada saudaranya ‘bijirin’ yang lain.

Dikehendaki dengan asal kejadian adalah bentuk yang asal dijadikan dia oleh Allah Taala maka tidak dikiran sesuatu yang sama nama setelah melalui proses pembuatan atau kesamaan lainnya seperti asam jawa di dalam bahasa arab disebut ‘Tamar Hindi’ namun ini persamaan nama bukan pada asal kejadian maka asam jawa dan tamar adalah dua jenis yang berlainan.

Hasilnya adalah:

Emas sejenis, perak adalah sejenis yang lain pula. Emas dengan semua tingkatakan karatnya adalah sejenis tidak ada beza maka tidak boleh menukar 20g emas 90karat dengan 30g emas 80 karat, demikian juga perak.

Tamar dalam segala jenisnya sama ada ajwah, mariami, rutob adalah sejenis, beras sama ada siam, malaysia, dan berbeza-beza gred adalah sejenis. Tidak boleh menjual 1kg beras siam dengan 2kg beras malaysia.

Benda yang ada jenis basah dan kering adalah sejenis maka anggur dan kismis adalah sejenis, dan benda yang terhasil daripada asalnya dengan asalnya adalah sejenis maka tepung gandum dengan gandum adalah sejenis.

Daging-daging pula berjenis mengikut asal haiwannya maka daging lembu sejenis, daging ayam sejenis, tanpa mengira sama ada lembu itu lembu susu atau daging, ayam telur, ayam kampung, atau ayam daging.

Lemak haiwan itu pula sejenis yang lain, lemak ayam sejenis dan lemak lembu sejenis dan tidak sejenis dengan daging, Maka harus menjual 10kg lemak ayam dengan 20kg daging ayam asalkan tunai.

Demikian juga bahagian-bahagian organ haiwan sejenis, hati ayam sejenis, hati lembu sejenis, hempedu ayam sejenis, maka harus menjual 10kg hati ayam dengan 11kg daging ayam misalnya asalkan tunai.

Tepung berjenis mengikut asalnya, tepung gandum dan tepung beras dua jenis berlainan maka harus menjual 1kg tepung gandum dengan 1.5kg tepung beras misalnya asalkan tunai.

Demikian juga cuka dan nira, nira nipah sejenis dan nira nyiur sejenis, susu juga berjenis-jenis mengikut asalnya. Susu unta sejenis, susu lembu sejenis, susu kambing sejenis dan seterusnya.

Demikian juga telur mengikut asalnya, telur ayam sejenis, telur itik sejenis, telur puyuh sejenis. [al-Fiqh al-Manhaji, 6/75-76].

Mengenali Maksud ‘Persamaan’

Barang yang se-illah dan sejenis disyaratkan padanya sama ukuran dan serah tunai terima dalam jual belia. Telah kita ketahui apakah yang dinamakan sejenis dan se-illah, sekarang perlu pula kita ketahui apakah itu ‘sama ukuran’.

Kaedah dalam masalah ini adalah:

الجهل بالتماثل كالعلم بالتفاضل

Maksudnya: “Jahil akan persamaan seolah-olah tahu akan berlebihan”. [al-Majmuk (Takmilah al-Subki) 10/ 232].

Atas dasar ini, haram menjual barangan ribawi secara borong tanpa diketahui sukatannya seperti menjual seguni beras dengan seguni beras selagi tidak disukat persamaan antara keduanya. Daripada Jabir r.a kata beliau:

نهى رسول الله – صلى الله عليه وسلم – عن بيع الصُّبْرَةِ من التمر لا يُعْلَمُ مَكيلتها بالكيل الْمُسمَّى من التمر

Maksudnya: “Rasulullah s.a.w melarang menjual seguni tamar yang tidak diketahui sukatannya dengan sesukat tamar yang diketahui sukatannya”. [Muslim & al-Nasai; lafaz bagi Muslim].

Atas dasar ini apabila menjual barang ribawi yang se-illah dan sejenis maka disyaratkan hendaklah ditimbang bagi barang yang pada adatnya ditimbang dan disukat pada barang yang adatnya disukat. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w:

الذهب بالذهب وَزْنًا بِوَزْنٍ ، مِثلاً بمثل ، والفضة بالفضة وَزْنًا بوزن ، مثلاً بمثل ، فَمَنْ زاد أو اسْتَزَاد فهو ربًا

Maksudnya: “Emas dengan emas, sama timbangan, perak dengan perak sama timbangan, sesiapa yang menambah atau minta ditambah maka ia adalah riba”. [Muslim, Muwatta’, al-Nasai].

Demikian juga barang yang dijual secara bilang hendaklah sama bilangannya sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

لا تبيعوا الدينار بالدينارين ، ولا الدرهم بالدرهمين

Maksudnya: “Janganlah kamu menjual se-dinar dengan dua dinar dan sedirham dengan dua dirham”. [Muslim & al-Muwatta’].

Demikian juga barangan yang pada adatnya dijual secara sukatan hendaklah dijual sama sukatan seperti beras, gandum, tamar, dan makanan yang kebanyakan dijual secara sukatan. Sabda Nabi s.a.w:

الحنطةُ بالحنطةِ ، والشَّعيرُ بالشعيرِ ، والتَّمرُ بالتَّمرِ ، والملحُ بالملحِ ، كيلاً بكيلٍ ، وزناً بوزنٍ ، فمن زادَ أو ازداد فقد أربى ، إلا ما اختلفَ ألوانه

Maksudnya: “Gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam, sukatan dengan sukatan, timbangan dengan timbangan, sesiapa yang menambah atau meminta tambahan telah mengambil riba kecuali yang berbeza jenisnya”. [Muslim & Ahmad].

Iktibar syarak pada sesuatu benda sama ada dijual secara timbangan atau sukatan adalah uruf Ahlil Haramain Mekah dan Madinah di zaman Rasulullah s.a.w berdasarkan hadis:

الوزن وزن أهل مكَّة، والمكيال مكيال أهل المدينة

Maksudnya: “Timbangan itu adalah timbangan Ahli Mekah dan sukatan itu sukatan Ahli Madinah”. [Abu Daud].

Maka benda yang pada ghalibnya dijual secara timbang di Hijaz di zaman Rasulullah s,a.w hendaklah dijual secara timbang demikian juga yang disukat di zaman Rasulullah s.a.w di Hijaz adalah dihukum sebagai barang sukatan. Apabila manusia mengubahnya maka tidaklah diambil kira akan perubahan tersebut. [Raudah al-Tolibin, al-Nawawi, 3/380-381].

Adapun benda yang tidak diketahui sama ada ia ditimbang atau disukat pada zaman Rasulullah s.a.w jika makanan itu lebih besar jirimnya daripada tamar maka ditimbang adapun jika sebesar tamar atau lebih kecil daripadanya maka yang paling sahih (atas mazhab Syafii) hendaklah diraikan padanya adat negeri jual beli ketika itu. [Raudah al-Tolibin, 3/381].

Maka atas kaedah ini, Jumhur Ulama melarang kita menjual 1kg gandum dengan 1kg gandum kerana asal gandum itu disukat sama ada gantang, cupak, dan sebagainya demikian juga tamar, syair, dan lainnya yang dinyatakan dalam nas.

Adapun beras misalnya maka diraikan adat semasa dan setempat, apabila telah beradat orang menjual beras secara timbang dewasa ini maka haruslah dijual 1kg beras dengan 1kg beras secara tunai serah terima.

Pada pandangan kami, demikian juga jika telah ghalib (kebanyakan) adat menjual sesuatu makanan secara bilangan maka hendaklah diraikan juga iaitulah seperti durian maka tidak perlu dikira  secara sukat atau timbang kerana beradat manusia menjual secara bilangan.

Inilah pendapat Jumhur Ulama, al-Qadi Abu Yusuf R.h bahawa setiap barang itu dikembalikan kepada adat semasa dan setempat berhujjah Nabi s.a.w menyatakan emas dan perak sebagai ditimbang dan makanan yang empat dalam hadis disukat adalah sesuai uruf pada masa itu di zaman baginda. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 22/69].

Atas pendapat ini, harus menjual 1kg gandum dengan 1kg gandum serah terima secara tunai kerana adat manusia hari ini menjual gandum secara timbang bukan lagi sukat demikian juga garam, tamar, syair, beras, gula dan sebagainya.

Tarjih: Pendapat Abu Yusuf r.h adalah yang rajih dalam masalah ini, adapun berkenaan hadis: ‘Timbangan itu timbangan Ahli Mekah dan Sukatan itu sukatan Ahli Madinah’, hadis ini berkaitan dengan perkara taabbudi seperti zakat dan kaffarah. Apabila syarak meletakkan nisab zakat emas dan perak dengan timbangan maka diikutilah timbangan Ahli Mekah dan apabila syarak meletakkan kaffarah dengan sukatan maka diikut padanya sukatan Ahli Madinah. [lihat penjelasan hadis ini oleh al-Khattabi, Maalim al-Sunan, 3/61-63].

Masalah-masalah Berkaitan Memastikan Persamaan:

Atas dasar memastikan kesamaan dalam menjual barang ribawi sejenis dan seillah ini terdapat beberapa larangan daripada Nabi s.a.w sebagai berikut:

Pertama: Dilarang menjual barang ribawi yang se-illah dan sejenis yang mempunyai keadaan basah dan kering seperti buah tamar yang rutob (basah) dengan tamar yang kering:

عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : { سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسْأَلُ عَنْ اشْتِرَاءِ الرُّطَبِ بِالتَّمْرِ فَقَالَ : أَيَنْقُصُ الرُّطَبُ إذَا يَبِسَ قَالُوا نَعَمْ فَنَهَى عَنْ ذَلِكَ }

Maksudnya: “Daripada Saad bin Abi Waqqas r.a kata beliau: ‘Aku mendengar Rasulullah s.a.w ditanya tentang menjual beli buah kurma basah dengan kurma kering lalu baginda bertanya: ‘Adakah buah basah itu akan berkurang setelah ia kering?’ Jawab mereka: ‘Ya’. Maka baginda melarang akan perkara itu”. [Riwayat Sunan yang lima, sahih].

Hadis ini menunjukkan tidak boleh menjual barang ribawi sejenis dan se-illah melainkan dalam keadaan yang sama yang tidak mempunyai unsur-unsur bertambah kurang maka dihubungkan juga seumpama menjual daging lembu 1kg mentah dengan 1kg daging lembu masak adalah riba. [Taudih al-Ahkam, 4/421].

Kedua: Larangan menjual Daging dengan haiwan asalnya seperti daging lembu dengan lembu, daging ayam dengan ayam dan seterusnya bagi haiwan yang boleh dimakan:

عن سعيد بن المسيّب أنَّ رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نهى عن بيع اللحم بالحيوان.

Maksudnya: “Daripada Said bin al-Musayyab r.h bahawa Rasulullah s.a.w melarang menjual daging dengan haiwan”. [Malik, al-Baihaqi, al-Daruqutni, al-Hakim, Hadis Hasan].

Adapun jika daging berlainan seperti daging ayam dengan lembu atau daging lembu dengan ayam maka disyaratkan serah terima secara tunai sahaja.

Ketiga: Dilarang jual beli Muzabanah dan Muhaqalah:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ { : نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْمُزَابَنَةِ : أَنْ يَبِيعَ ثَمَرَ حَائِطِهِ إنْ كَانَ نَخْلًا بِتَمْرٍ كَيْلًا ، وَإِنْ كَانَ كَرْمًا أَنْ يَبِيعَهُ بِزَبِيبٍ كَيْلًا ، وَإِنْ كَانَ زَرْعًا أَنْ يَبِيعَهُ بِكَيْلِ طَعَامٍ ، نَهَى عَنْ ذَلِكَ كُلِّهِ } .

Maksudnya: “Daripada Ibn Umar r.hma kata beliau: Rasulullah s.a.w melarang daripada jual beli Muzabanah iaitulah menjual buah di kebunnya (yang masih di pokok) seumpama buah kurma dengan tamar (buah kurma yang telah dipetik) secara sukatan, dan seumpama juga buah anggur dengan anggur kering secara sukatan dan jika seumpama tanaman lain dengan makanan secara sukatan, baginda melarang semuanya itu”. [al-Bukhari & Muslim].

Daripada Anas bin Malik r.a:

” أن النبى صلى الله عليه وسلم نهى عن المحاقلة “

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w melarang jual beli secara Muhaqalah” [al-Bukhari].

Al-Muzabanah= Menjual Tamar yang telah dipetik secara sukat misalnya segantang dengan segantang tamar yang masih di pokok demikian juga anggur dan lain-lain buah-buahan.

Al-Muhaqalah= menjual makanan (bijiran) dengan sejenisnya yang belum dituai seperti menjual 100 gantang beras dengan 100 gantang padi yang belum dituai.

Namun harus menjual secara Araya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ { أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَخَّصَ فِي بَيْعِ الْعَرَايَا بِخَرْصِهَا مِنْ التَّمْرِ ، فِيمَا دُونَ خَمْسَةِ أَوْسُقٍ ، أَوْ فِي خَمْسَةِ أَوْسُقٍ }

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w memberikan rukhsah (kelonggaran) dalam jual beli ‘araya dengan tamar dalam jumlah kurang dari 5 ausuq atau sebanyak 5 ausuq”. [Al-Bukhari & Muslim].

Maksud jual beli Araya adalah menjual buah kurma yang masih dipokok (rutob) dengan kurma yang telah kering (tamar) yang telah dipetik kurang daripada 5 ausuq (5 ausuq = 90kg) dan untuk menentukan persamaan ini seorang pakar sukat digelar Kharis akan menentukannya. [Taudih al-Ahkam,4/427 dan selepasnya, al-Bayan, 5/204-207].

Keempat: Haramnya ‘Mud Ajwah’ مد عجوة

Haram menjual misalnya secupak ajwah (tamar ajwah) dan sedirham dengan dua mud ajwah atau menjual 10 misqal emas dengan 5 misqal emas (rantai) dan sebutir mutiara berdasarkan hadis:

عن فضالة بن عبيد قال: اشتريت يوم خيبر قلادة باثني عشر دينارًا، فيها ذهب وخرز، ففصَّلتها، فوجدت فيها أكثر من اثني عشر دينارًا، فذكرت ذلك للنبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فقال: ” لا تُباع حتَّى تفصَّل “

Maksudnya: “Daripada Fudalah bin Ubaid r.a kata beliau: Aku membeli pada hari Khaibar seutas rantai dengan harga 12 dinar dan rantai itu terdiri daripada emas dan talinya maka aku pisahkan lalu aku dapati emasnya itu melebihi 12 dinar maka aku beritahu kepada Nabi s.a.w maka baginda bersabda: “Jangan dijual sehingga dipisahkan”. [Muslim].

Riba al-Qard

Para Ulama meletakkan kaedah dalam riba:

كل قرض جر نفعا فهو ربا

Maksudnya: “Semua pinjaman yang membawa manfaat (kepada pemberi pinjam) adalah riba”.

Kaedah ini adalah sebuah hadis daif daripada Nabi s.a.w namun terdapat riwayat yang sahih daripada Sahabat bahawa mereka melarang perbuatan ini dan para Ulama telah ijmak akannya. [Tanqih al-Tahqiq, Ibn Abdul Hadi, 4/108, Irwaul Ghalil, al-Albani, 5/234].

Apabila seseorang memberi pinjam kepada seseorang yang lain walau barang bukan ribawi sekalipun dengan syarat apabila si peminjam hendaklah memulangkannya dengan manfaat tertentu atau mensyaratkan manfaat tertentu sebelum dapat meminjamnya maka ia dianggap riba seperti Najib memberi pinjam kepada Naqi RM 100 dengan syarat Naqi perlu menghantar Najib ke pekan atau Naqi perlu berkahwin dengan adik perempuan Najib.

Demikian juga dia mensyaratkan pemulangan barang yang lebih baik daripada yang diberi pinjam seperti dia meminjamkan sekilo beras patah dengan syarat dibayar semula sekilo beras wangi atau disyaratkan lebih daripada kadar asal seperti meminjam sehelai baju dengan syarat dipulangkan dua helai baju secara mutlak.

Adapun jika si peminjam dengan sukarela hendak membayar secara lebih atau barang yang lebih baik dan manfaat yang harus maka ini tidak salah bahkan memang digalakkan Islam sebagaimana dalam hadis daripada Jabir r.a kata beliau: “Adalah Rasulullah s.a.w mempunyai hutang padaku lalu baginda membayarnya dan menambah”. [al-Bukhari & Muslim]. [al-Bayan, 5/462-465].

al-Asram meriwayatakan bahawa seorang lelaki mempunyai hutang kepada penjual ikan sebanyak 20 dirham lalu dia memberi hadiah ikan kepadanya lalu setelah dinilai hadiahnya itu menyamai 13 dirham lalu dia bertanya kepada Ibn Abbas lalu beliau berkata: ‘Berilah kepadanya (yakni baki hutang) 7 dirham’. [al-Baihaqi, disahihkan al-Albani].

Hadis ini menunjukkan tidak harus seorang peminjam memberi hadiah kepada empunya hutang selama belum dilangsaikan hutang, jika dia memberinya maka dianggap ianya sebagai pembayaran kepada hutangnya. [Muzakkirah al-Fiqh, al-Usaimin, 2/221-222].