Tag Archives: Tv1

PENGAJARAN DARIPADA GAZA

20 Jan

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Peperangan al-Furqan yang berlangsung selama  22 hari menyaksikan keganasan Bani Israil yang sangat dahsyat. Pihak media sekadar menamakan peperangan itu sebagai Perang Gaza atau Gaza War tetapi pihak Hamas menamakannya sebagai ‘Peperangan al-Furqan’ yang membawa maksud peperangan yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Penamaan pihak Hamas terhadap perang ini sangat tepat kerana dalam peperangan ini kita dapat melihat hakikat sebenar banyak pihak. Kita dapat melihat apakah sebenarnya kelemahan yang dihadapi kaum muslimin dan apakah punca mereka menjadi terlalu lemah.

Antara Senario menarik yang dapat kita lihat adalah :

Kejahilan Kaum Muslimin

Jahil adalah penyakit yang paling merbahaya dalam diri seorang insan dan lebih bahaya lagi bagi seorang yang bergelar muslim dan muslimah. Jahil adalah punca utama seseorang manusia menjadi syirik dan kufur kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam surah al-A’raf ayat 138-139:

 وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَى قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَى أَصْنَامٍ لَهُمْ قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ (138) إِنَّ هَؤُلَاءِ مُتَبَّرٌ مَا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (139)

Maksudnya: “dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu Tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. “Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa Yang mereka kerjakan itu”.

Ayat ini menjelaskan bahawa punca Bani Israil melakukan syirik dan tergerak nafsu untuk melakukan syirik mempunyai dua sebab:

Pertama: Jahil

Kedua: Meniru Gaya Hidup Orang Kafir.

Inilah punca kenapa kaum Yahudi menjadi kaum kafir sedangkan dahulu mereka beriman kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya Musa a.s. Yahudi berubah menjadi kaum yang ganas, membunuh Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah serta mengubah ajaran agama Tauhid menjadi agama wasni (penyembah berhala).

Amat menyedihkan apabila kita melihat kaum muslimin hari ini juga sebahagian mereka ditimpa penyakit yang serupa. Mereka Jahil akan agama mereka lalu meniru budaya agama kufur.

Saya amat geli hati melihat telatah para pemberita wanita yang begitu bersemangat mengecam dan mengutuk kekejaman rejim zionis tetapi mereka sendiri mengambil pakaian Yahudi untuk membalut badan mereka, memakai fesyen agama Yahudi dengan mendedahkan aurat dan melanggar arahan Allah s.w.t.

Pakar-pakar Sains Politik yang dijemput untuk memberikan analisis pula bercakap mengutuk Yahudi tetapi malang sekali lidah yang mereka guna adalah lidah Yahudi, bahasa mereka bahasa Yahudi, idea mereka idea Yahudi, dan mata mereka dalam menilai kejadian di Gaza juga mata Yahudi.

Bukanlah bermakna mereka menganalis untuk menyokong Yahudi, tidak, mereka mengutuk dan mengecam Yahudi, tetapi mereka gagal mengaitkan kejadian Gaza dengan akidah Islam yang sahih dan hukum hakam syarak yang mulia.

Misalnya, kebanyakan mereka selalu memberi kredit kepada Iran dan Syria, mereka jahil bahawa Syria dan Iran adalah negara yang berfahaman Syiah yang telah disepakati para ulama Islam mereka itu terkeluar daripada Islam. Bahkan mereka seolah-olah melupakan sejarah kekejaman Syiah yang disokong oleh Syria dan Iran pada tahun 1985 terhadap pelarian Palestin yang berfahaman Sunnah di Shabra dan Shatilla serta terdahulu daripada itu peristiwa Tel al-Zaatar yang menyaksikan kerajaan Syria di bawah Hafiz al-Asad, bapa presiden sekarang Bashar al-Asad, membunuh pelarian Palestin di Tel al-Zaatar.

Mereka jahil bahawa ajaran Syiah yang dianut oleh Syria dan Iran pada hari ini adalah pemikiran yang dibawa masuk oleh Abdullah bin Saba’, lelaki Yahudi daripada Yemen lalu mereka tertipu dengan muslihat Iran dan Syria dalam usaha jahat mereka mensyiahkan penduduk Sunnah Palestin khasnya dan kaum muslimin lain amnya.

Saya juga tertarik melihat seorang doktor rakyat Palestin yang berkhidmat di kawsan Israeli yang sering menjadi jemputan media untuk membuat kenyataan, Anak-anaknya turut terkorban dalam serangan ganas Yahudi itu. Malangnya, dia juga termasuk kaum jahiliah yang tidak sedar bahawa permusuhan antara Islam dan Yahudi asasnya adalah perbezaan akidah. Dia menyeru supaya Yahudi dan Arab hidup damai sedangkan dia lupa firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 120:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya: “dan tidak akan reda kepada kamu kaum Yahudi dan Nasarani selagi kamu tidak mengikut agama mereka…”

Terdapat juga kita melihat ada antara rakyat Palestin yang meratap kematian sanak saudara mereka dan anak-anak mereka. Kita tidak menafikan mereka ditimpa musibah yang sangat berat tetapi Allah s.w.t tidak akan menguji suatu kaum melainkan dengan ujian yang mereka mampu hadapi. Adakah mereka lupa bahawa Rasulullah s.a.w melarang perbuatan meratap mayat? Apakah beza mereka dengan kaum Yahudi yang turut meratap kematian pihak mereka? Sabda Rasulullah s.a.w:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُودَ ، وَشَقَّ الْجُيُوبَ ، وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya: “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, merobek baju, dan menyeru dengan seruan Jahiliah (ratapan orang mati)” [al-Bukhari, al-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, Ahmad].

Mereka jahil bahawa antara punca yang menyebabkan turunnya bala daripada Allah s.w.t adalah berlakunya maksiat dan antara maksiat yang besar adalah bidaah dalam urusan agama.

Tembelang Kaum Munafiqin dan Ahli Bidaah

Ma’rakah al-Furqan juga menzahirkan sifat nifaq yang disembunyikan kaum munafiqin selama ini terutama kaum Syiah. Hizbullah selaku sayap kanan Syiah di Lubnan menzahirkan sikap sebenarnya terhadap Palestin dan membuktikan apa yang diucapkan selama ini hanyalah omong kosong semata-mata. Allah s.w.t menyatakan sikap kaum munafiqin apabila mereka diseru untuk berjihad menentang musuh yang menceroboh negara Islam:

وَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ نَافَقُوا وَقِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا قَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوِ ادْفَعُوا قَالُوا لَوْ نَعْلَمُ قِتَالًا لَاتَّبَعْنَاكُمْ هُمْ لِلْكُفْرِ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ مِنْهُمْ لِلْإِيمَانِ يَقُولُونَ بِأَفْوَاهِهِمْ مَا لَيْسَ فِي قُلُوبِهِمْ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يَكْتُمُونَ

Maksudnya: “dan juga dengan tujuan ia hendak melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)”. mereka menjawab: “Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)”. mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.” [Ali Imran: 167]

Ayat ini diturunkan menceritakan sikap kaum munafiqin yang menolak untuk berperang dalam Ghazwah Uhud lalu beralasan pula kononnya mereka tidak menyangka peperangan akan benar-benar berlaku. Inilah sikap Syiah apabila diajak berperang dengan peperangan yang sebenar mereka menolak.

Satu pihak yang lain pula, tembelang golongan bidaah berjaya dibongkar terutama mereka yang selama ini menyatakan mereka bermanhaj salafi dan Ahli Sunnah wal Jamaah, namun ternyata mereka mempunyai fahaman Khawarij tersembunyi seperti golongan al-Ikhwan al-Muslimun.

Mereka menyeru kaum muslimin bangun menentang pemerintah mereka sedangkan Nabi s.a.w bersabda:

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ ، وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ ، وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ ، وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللهِ ، أَفَلاَ نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ ، فَقَالَ : لاَ ، مَا أَقَامُوا فِيكُمُ الصَّلاَةَ ، وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلاَتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ ، وَلاَ تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cinta akan mereka dan mereka cinta kepada kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, sejahat-jahat pemimpin kamu pula adalah yang kamu benci mereka itu dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”; Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?” Jawab baginda: Tidak boleh selagi mereka mendirikan solat dalam kalangan kamu (menegakkan Syiar Solat Jemaah) , apabila kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang kamu benci maka bencilah perbuatannya tetapi janganlah kamu keluar dari ketaatan (memberontak)”. [Muslim, Ahmad, al-Darimi]

Dalam sebuah hadis lagi Nabi s.a.w bersabda:

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ ، فَلاَ يُبْدِ لَهُ عَلاَنِيَةً ، وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ ، فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ ، وَإِلاَّ كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi hendaklah dia memegang tangannya lalu bersendirian dengannya, jika dia menerima nasihatnya itu maka terlaksanalah seperti yang dikehendaki, jika dia menolak maka dia (si penasihat) telah melaksanakan tugasnya” [Ahmad].

Ini adalah cara yang diajar Rasulullah s.a.w dalam berurusan dengan pemerintah, bukan dengan cara berdemonstrasi dan melakukan protes jalanan, meniru gaya kaum kafir.

Kita begitu kesal sekali melihat kelompok al-Ikhwan al-Muslimun mengambil kesempatan dalam protes yang dilakukan terhadap kekejaman Zionis untuk mengutuk dan memprotes terhadap kerajaan Mesir yang pada syaraknya adalah kerajaan Islam. Kita tidak mengatakan Mesir adalah sebuah kerajaan Islam yang adil tetapi Islam mempunyai cara tersendiri dalam berurusan dengan pemerintah yang zalim atau tersasar daripada keadilan bukan dengan meniru cara kaum kafir Nasrani yang sering meruntuhkan kerajaan mereka dengan protes jalanan semenjak revolusi Perancis  dan Rusia.

Kita begitu sedih dengan sikap kaum muslimin yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam tetapi Islam yang mereka perjuangkan itu ditafsirkan menurut cara mereka, bukan dengan ajaran yang difahami Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda.

Pihak Iran yang muinafiq itu turut menyeru supaya umat Islam bangun memproites kerajaan-kerajaan Arab yang pada pandangannya pengkhianat tetapi apabila rakyatnya sendiri bangun melakukan protes dalam beberapa perkara yang mereka tidak puasa hati terhadap kerajaan, pihak kerajaan Iran menangkap mereka dan menghalang protes tersebut.

Saya amat tertarik dengan kenyataan Jamaah Islamiah Mesir yang suatu ketika dahulu terkenal dengan aksi keganasan namun telah mengisytiharkan taubat dan kembali mengikut manhaj al-Salaf al-Soleh. Pihak Jamaah menyatakan walaupun benar pihak Mesir ada kekurangan dalam mebantu Palestin, namun Mesir tidak pernah sama sekali mengepung dan menyembelih pelarian Palestin seperti yang dilakukan Syiah pada tahun 1982 dan 1985 dahulu.

Puak Syiah dan Ikhwan menuduh Mesir bersubahat dengan Yahudi semata-mata kerana Mesir tidak membuka 24 jam sempadan Rafah. Sebenarnya sama ada Mesir buka atau tidak sempadan Rafah, keadaan tetap sama kerana di seberang sana pihak Yahudi telah menunggu untuk menghalang apa-apa bantuan. Bukankah Yahudi membedil sempadan Rafah sehingga mencederakan beberapa penduduk Mesir?Apakah mereka yang selama ini terkenal dengan Fiqh Waqi’ (Fiqh Realiti) telah hilang kesedaran waqi’ mereka? Di  manakah akal yang mereka agung-agungkan selama ini?Kenapa mereka tidak mengukur kejadian Gaza dan Rafah ini dengan kesedaran akal yang waras? Semua ini semata-mata kerana mereka ingin menggunakan peluang untuk merebut kuasa. Hanya itulah matlamat mereka, adapun Islam yang menjadi slogan hanyalah alat semata-mata.

Jihad : Antara Semangat dan Syarak

Melihat pula keadaan mereka yang berjihad dan penyokong-penyokong mereka kita hampir keliru jihad jenis apakah yang mereka hendak lancarkan? Jihad Syar’i atau Jihad Watani? Jihad Syar’i perlu mengikut syarat dan peraturan tertentu adapun Jihad Watani (Nasionalisme) hanya memerlukan semangat dan nafsu.

Ada pihak yang mengecam Mesir dan beberapa negara Arab yang berusaha supaya diadakan gencatan senjata bagi tempoh yang lama seperti Cadangan Mesir yang meletakkan tempoh 15 tahun gencatan senjata. Mereka menyeru Jihad dan menolak perdamaian. Apakah mereka sudah tidak mampu memahami firman Allah s.w.t:

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”. [al-Anfal: 61].

Apakah mereka sudah lupa bahawa Nabi s.a.w pernah mengadakan perdamaian dengan kaum musyrikin Mekah selama 10 tahun, dan berdamai dengan Yahudi Quraizah?. Mereka cuba membuktikan mereka kukuh tetapi hakikatnya 1300 lebih rakyat Palestin menjadi korban. Mana-mana manusia yang berakal jika melihat keadaan di Gaza mereka akan berkata pihak muslimin patut berdamai dahulu kerana kita dalam keadaan lemah. Semua ini menunjukkan kaum muslimin perlu memikirkan semula adakah jihad mereka jihad yang dikehendaki Allah s.w.t atau sekadar perang tabii yang akan dilakukan mana-mana makhluk untuk mempertahankan haknya.

Penutup dan Penyelesaian

Inilah antara sebahagian pengajaran yang dapat kita lihat disebalik perang Gaza atau perang al-Furqan. Semua masalah yang terzahir ini memerlukan penyelesaian segera dan penyelesaian itu telah lama dilaung-laungkan oleh Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitulah kembali berpegang kepada Manhaj Salafi yang tulen.

Hanya dengan cara itu sahaja kita akan bersatu atas dasar yang diredai Allah s.w.t dan melayakkan semula diri kita mendapat pertolongan-Nya. Ingatlah firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”. [Muhammad: 7]

Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti r.h dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan Allah s.w.t menjelaskan sifat-sifat orang yang menolong agama Allah dan layak mendapat pertolongan-Nya dalam firman-Nya:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya:. “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. [al-Hajj: 41]

Berkata Syeikh: “Ayat ini menunjukkan mereka yang tidak menunaikan solat, mengeluarkan zakat, tidak mengajak kepada kebaikan dan tidak mencegah kemungkaran tidak akan mendapat pertolongan Allah s.w.t sama sekali” [Adwaul Bayan, 7/352].

PEMBETULAN TERHADAP PANDANGAN TUN MAHATHIR

11 Jan

OLEH : MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Pada pukul 10.30 p.m, Jumaat, 9 Januari 2009, Y.Bhg Tun Dr. Maharthir Mohamad telah dijemput dalam rancangan Blog @1 kelolaan TV1 RTM. Saya amat tertarik dalam perbincagan yang menumpukan isu Palestin dan Gaza yang turut menjadi tajuk utama di Blog Tun Mahathir.

Namun, saya berasa bertanggungjawab untuk membetulkan pandangan Tun bahawa Isu Israeli bukanlah satu ‘Isu Agama’. Pandangan Tun ini sangat bertentangan sekali dengan akidah Islam yang murni. Saya amat menghargai pandagan Tun berkenaan Isu Gaza dan Palestin dan anggaplah pembetulan terbuka ini sebagai tanda penghargaan saya terhadap buah fikiran Tun.

Punca permusuhan sebenar antara Islam dan Yahudi adalah perbezaan akidah yang dinauti. Islam mengajar umatnya supaya berlepas diri dan mengambil sikap benci dan bermusuhan terhadap segala bentuk syirik dan kekufuran terhadap Allah s.w.t. Bahkan jika kita lihat makna Islam itu sendiri sudah jelas sebagaimana dinyatakan para ulama al-Salaf al-Soleh sebagai :

الاستسلام لله بالتوحيد ، والانقياد له بالطاعة ، والبراءة من الشرك وأهله

Maksudnya : “(Islam itu) menyerah diri kepada Allah dengan mentauhidkan-Nya, mengikut perintah-Nya dengan ketaatan kepada-Nya, dan berlepas diri daripada syirik dan ahlinya” [al-Usul al-Salasah, Syeikh Muhammad al-Tamimi].

Oleh itu, dalam akidah Islamiah, perkara puncak akidah adalah akidah al-Wala’ dan al-Bara’ yakni memberikan kesetiaan kepada kaum mukminin dan berlepas diri daripada ahli syirik dan kufur.

Kewajipan memberikan kesetiaan kepada kaum mukminin ini jelas dalam firman Allah s.w.t :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara..” [al-Hujurat : 10]

Sabda Nabi s.a.w pula :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya : “Tidak beriman seseorang kamu (dengan iman yang sempurna) sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri” [al-Bukhari].

Maksud saudara dalam hadis ini adalah sesuai dengan firman Allah s.w.t dalam ayat di atas iaitu saudara seagama dan seiman.

Kemudian Allah s.w.t juga melarang kita menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, teman setia, dan sahabat karib :

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya : “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya”. [al-Mujadilah : 22]

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah s.w.t melarang kita mencintai dan memberi kesetiaan kepada kaum kafir walaupun mereka itu kaum kerabat kita sendiri. Kita tidak boleh membela mereka mahupun membantu mereka dalam melakukan kekufuran dan syirik kepada Allah s.w.t.

Sabda Nabi s.a.w :

أوثق عرى الإِيمان الحب في الله والبغض في الله

Maksudnya : “Akar Iman yang paling teguh adalah mencintai kerana Allah dan memusuhi kerana Allah” [Ibn Abi Syaibah, al-Tayalisi].

Namun, perlu difahami Islam tidak melarang umatnya untuk menjalankan perniagaan dengan kaum kafir yang tidak menzahirkan permusuhan dengan Islam, berbuat baik dan berkhidmat kepada ibu bapa yang bukan Islam, menegakkan keadilan terhadap kaum kafir yang tertindas dan seumpamanya tetapi Islam melarang kita meredai perbuatan syirik mereka dan hendaklah kita terus berdakwah kepada mereka kepada Islam. Allah menjelaskan perkara ini dalam firman-Nya :

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya : “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [al-Mumtahanah : 8]

Dalam sebuah hadis sahih bahwa ibu Asma’ binti Abu Bakar r.a datang menziarahinya di Madinah semasa perjanjian Hudaibiah dan menghadiahkannya hadiah. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan perkara ini lalu Allah s.w.t menurunkan firman-Nya ini. [Tafsir Ibn Kasir, 8/90].

Maka perlu difahami di sini Islam melarang kita ‘bermawaddah’ terhadap orang kafir tetapi Islam tidak melarang kita melakukan ‘Ihsan’ dan ‘Birr’ kepada mereka. Mawaddah bermaksud cinta dan kasih sayang, adapun Ihsan dan Birr adalah berbuat kebaikan walaupun kita membenci seseorang.

Seorang muslim yang melakukan maksiat, kita membenci perbuatan maksiatnya, tetapi kita mencintainya sebagai saudara kita, kita mendoakannya, kita menasihatinya, kita tidak melaknatnya tetapi orang kafir yang berbuat baik kepada kita, kita tidak boleh mencintainya dan mendoakan kebaikan buatnya kecuali kita berdoa supaya Allah memberinya hidayah kepada Islam. Adapun orang kafir yang memerangi kita, kita membencinya dan kita tidak berbuat ihsan kepadanya, kita tidak membantunya bahkan kita memeranginya semula.

Oleh itu, kita perlu jelas dalam masalah kita dengan Yahudi berdasarkan kaedah akidah al-wala dan al-bara ini. Kita memushui Yahudi kerana mereka syirik dan kufur kepada Allah s.w.t tetapi kita memerangi mereka kerana mereka memerangi kita dan menyekat dakwah kita dan mencerca agama kita. Allah s.w.t berfirman :

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya : “dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas kerana Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampui batas.” [al-Baqarah : 190]

Dalam ayat ini, Allah s.w.t memerintahkan kita memerangi kaum kafir yang memerangi kita dan peperangan itu hendaklah berdasarkan menuntut keredaan Allah. Jelas daripada suruhan berperang dalam menuntut keredaan Allah, mempertahankan bumi Palestin termasuk suruhan agama. Apabila ia daripada suruhan agama, ia termasuk urusan agama. Hendaklah Tun fahami agama Islam ini bukanlah sempit dan terpencil dalam urusan kerohanian solat, puasa, dan zikir sahaja. Bahkan Jihad termasuk perkara kerohanian terbesar dalam Islam.

Nabi s.a.w bersabda :

 ذُِرْوَةُ سَنَامِ الإِسْلاَمِ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ

Maksudnya : “Kemuncak Islam adalah Jihad di Jalan Allah” [Ahmad]

Oleh kerana mempertahankan bumi Palestin adalah Jihad fi Sabilillah, dan Jihad fi Sabilillah adalah urusan agama, maka natijah yang kita dapat adalah Palestin adalah urusan agama. Lebih-lebih lagi kita maklum Palestin adalah tempat letaknya Masjid al-Aqsa dan tempat Isra’ Rasulullah s.a.w dan bermulanya Mikraj baginda di Palestin. Hakikat ini perlu disedari Umat Islam sehingga mereka tidak lagi mengharapkan kaum kafir untuk menyelesaikan masalah mereka.

Kita amat sedih dengan tindakan bekas Presiden Palestin, Abu Mazin Mahmud Abbas yang sentiasa mengharap pihak barat yang kafir itu menyelesaikan masalah Umat Islam Palestin. Apabila Raja Abdullah Al Saud mengadakan perjanjian di antara Fatah dan Hamas di hadapan Kaabah untuk meleraikan pertikaian dua pihak, pihak Fatah sanggup mencabuli perjanjian itu lalu bertadah ke Amerika Syarikat untuk meminta penyelesaian.

Semua ini berpunca kerana melihat isu Palestin hanyalah isu orang Arab atau lebih sempit dan lebih teruk isu dalaman Negara Palestin. Jika benar Palestin adalah isu Arab atau bukan isu agama, kenapakah OIC ditubuhkan, khas untuk memelihara Palestin? Penubuhan OIC jelas memberi isyarat Isu Palestin adalah isu Umat Islam dan apabila ianya isu umat Islam, ia menjadi urusan agama.

Demikianlah saya nyatakan hujah dan dalil yang jelas insyaAllah bahawa isu Palestin sama ada dari sudut naqli (nas-nas wahyu) mahupun aqli (akal dan logik) adalah isu agama bukan isu biasa. Saya berharap pihak Tun dan yang sealiran mengubah perspektif ini dan memberi tumpuan menyatukan Umat Islam di bawah Panji Tauhid untuk berjihad membebaskan Palestin dan seluruh negara Islam daripada penjajahan kafir sama ada dalam bentuk hissi mahupun maknawi. Wallahua’lam.

WAKTU SIARAN BERITA TV1 MEMARTABATKAN ISLAM

10 Jan

SAYA tertarik dengan beberapa isu yang ditimbulkan berkaitan waktu siaran berita di TV1 RTM versi bahasa Melayu yang diubah daripada jam 8 malam kepada jam 9 malam. Kebanyakan maklum balas yang diberikan oleh orang ramai adalah negatif beralasan menjatuhkan martabat bahasa Melayu.

Saya tidak nampak di manakah kurangnya bahasa ibunda kita dengan pengubahan waktu berita itu. Bahkan pengubahan waktu itu akan menaikkan martabat agama Islam selaku agama rasmi negara ini.

Hal ini, berikutan pada jam 8 sehingga 9 malam adalah waktu seorang Muslim beribadah, terutama lelaki Muslim yang diwajibkan menghadiri solat berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid atau surau.

 

Jadi, siaran berita pada jam 9 malam sebenarnya amat wajar dalam rangka menghormati waktu solat Isyak serta memberi peluang mereka berjemaah Isyak di masjid menonton siaran berita.

Jika sungguhpun pengubahan waktu ini akan melemahkan kedudukan bahasa Melayu pada pandangan sesetengah golongan, namun jika ia menaikkan martabat Islam dalam negara ini, apa salahnya. Kita boleh menukar apa saja bahasa yang kita gunakan, tetapi kita tidak boleh menukar agama Islam yang sangat kita cintai.

Saya menyeru kepada pihak yang berpandangan negatif terhadap isu ini supaya menilai sesuatu isu dari sudut syariat Islam terlebih dulu sebelum menilainya menurut sudut pandang bahasa atau budaya.

Kepada pihak RTM, saya mengucapkan tahniah dan saya meminta semua rangkaian media mengikut jejak langkah RTM ini. Bahkan siaran waktu ini amat baik lagi jika diseragamkan sepanjang minggu, bukan sekadar dari Isnin hingga Jumaat.

MUHAMMAD ASRIE SOBRI,
Penuntut Jurusan Usuludin dan Dakwah
Universiti Antarabangsa al-Madinah,
Shah Alam, Selangor.

[Artikel ini merupakan surat yang dihantar penulis ke Berita Harian bertarikh 7 Januari 2009, Rabu.]

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20090106230422/Article/