Tag Archives: UKM

HASIL POLEMIK BERSAMA PENSYARAH UKM

7 Mei

HASIL POLEMIK BERSAMA PENYSRAH UKM

Berikut adalah hasil polemik saya bersama Pensyarah UKM, Dr. Ibrahim bin Abu Bakar-Hadahullah wa Hafizahu- berkenaan isu agama anak mualaf:

Jawapan Beliau terhadap Blog:

Muhammad Asri Sobri,            6hb.Mei2009

Saya ada membaca pendapat kamu dan pendapat kamu adalah hasil pembacaan dan pengelaman kamu sendiri. Kamu tidak menerima wahyu daripada Allah untuk mengatakan pendapat kamu itu benar dan pendapat orang lain itu salah. Pendapat kamu itu sama dengan pendapat ulama yang kamu pilih untuk bersama mereka, dan tidak bersama yang lain.

Kamu tidak perlu jadi macam kaum Khawarij yang berperang dengan Kalifah Ali kerana khalifah berkenaan tidak mahu menerima pendapat mereka supaya terus berperang melawan Muawiyah bin Abu Sufyan.
.
Umat Islam berbeza pendapat dalam semua kes yang berlaku selepas kematian Nabi Muhammad sa.w. Contohnya dalam kes pengganti Nabi Muhammad s.a.w.  Ansar mengatakan mereka lebih layak menjadi pemimpin kerana mereka membantu Muhajirin yang keluar dari Mekah menuju Madinah. Muhajirin mengatakan mereka lebih layak kerana mereka lebih dulu Islam daripada Ansar. Akhirnya masalah ini diselesaikan kerana Hadis yang dibaca oleh Abu Bakar al-Siddiq diterima iaitu Imam-imam (pemimpin) daripada kalaangan Quraish. Ansar bukan daripada Quraish menerima Hadis berkenaan dan mereka setuju kemudiannya Abu Bakar al-Siddiq dilantik menjadi Khalifah pertama umat Islam.

Kes kumpulan Riddah di kalangan Muslim selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w. Umar al-Khattab berbeza pendapat dengan Abu Bakar al-Siddiq pada peringkat awal untuk menyelesaikan masalah Riddah di kalangan sebahagian umat Islam.  Mereka berdua berhujah dengan Hadis-hadis yang mereka terima daripada Nabi Muhammad s.a.w.  Oleh kerana Abu Bakar al-Siddiq menjadi Khalifah dan Umar al-Khattab masih belum menjadi Khalifah, maka pendapat Khalifah dipersetujui oleh Umar dan kumpulan Riddah itu diperangi dengan menggunakan angkatan tentera Muslim.

Kes Khalifah Uthman
Khalifah Uthman dipersalahkan oleh sebahagian Muslim dan Muslim minoriti ini kemudian bertindak membunuh Khalifah Uthman di rumahnya sendiri.

Kes Khalifah Ali
Khalifah Ali dipersalahkan oleh sebahagian Muslim yang kemudian dikenali dengan Khawarij dan mereka ini berperang menentang Ali di beberapa tempat dan masa dan akhirnya Khalifah Ali dapat dibunuh oleh mereka dalam kumpulan Khawarij.

Kamu menulis pendapat ulama itu dan ini dan kemudian kamu pilih pendapat ulama yang sama dengan pendapat kamu sendiri. Itulah cara kamu berdalil dan berhujah dalam tulisan kamu itu, dan kamu merendahkan orang lain yang berbeza pendapat daripada kamu.

Quran ada memberitahu Muslim suapaya sesuatu kaum itu merasa bangga diri ke atas kaum yang lain kerana kemungkinan kaum yang dihina itu lebih mulia daripada kaum yang menghina itu.

Dalam sejarah umat Islam, kaum Khawarij amat bangga dengan pendaptnya yang menghukum Khalifah Ali sebagai seorang yang kafir kerana melakukan dosa besar. Dosa besar yang dikatakan oleh kaum Khawarij kepada Ali adalah kerana Ali sanggup berunding dengan musuhnya Muawiyah. Itulah punca kebanggaan kaum Khawarij dan mereka sanggup berperang menentang Khalifah Ali walaupun pada peringkat awal mereka marah kepada Muawiyah kerana tidak mengiktiraf Ali sebagai Khalifah umat Islam. Kaum Khawarij kemudian sama seperti Muawiyah berperang menentang Khalifah Ali.
Sekian terima kasih kerana mengirimkan pendapat kamu kepada saya.
Dr. Ibrahim

Jawapan Balas daripada saya:

بسم الله الرحمن الرحيم

Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana Ybhg. Dr sudi membaca artikel saya dan memberi komentar terhadapnya.

Terlebih dahulu perlu saya jelaskan bukanlah saya berniat buruk menulis artikel tersebut atau merendahkan mana-mana pihak kerana saya tahu kedudukan saya berbanding kedudukan dr amat berbeza sekali.

Ingin saya jelaskan bukanlah saya ini Khawarij kerana -alhamdulillah- saya berpegang teguh -insya-Allah- dengan manhaj al-Salaf al-Soleh (walaupun banyak yang menggelar kami wahabi) dan saya yakin dgn kebenaran manhaj ini.

Apabila saya mengatakan para Ulama, Mufti, dan badan berkuasa agama sedang berjihad melawan keputusan kabinet janganlah dr samakan seruan jihad ini dengan seruan jihad dalam Amanat Haji Abdul Hadi yang jelas ‘keKhawarijannya’.

Saya beriktikad dengan jazam bahawa tindakan sesetengah pihak yang berdemo memprotes keputusan kabinet ini adalah satu ‘perbuatan’ yang menyalahi syarak.

Saya beriktikad dengan jazam bahawa menentang pemerintah muslim dengan senjata dan perkataan selagi dia mendirikan solat adalah perbuatan haram.

Saya beriktikad dengan jazam bahawa tidaklah sama sekali menjadi kafir seseorang muslim dengan semata-mata melakukan dosa besar selagi dia tidak menghalalkan perbuatannya atau melakukan syirik dan kufur yang jelas.

Inilah pendirian saya yang perlu dr faham sebelum menyalah sangka terlebih jauh lagi.

Saya agak kesal dengan tindakan dr yang menyamakan Saidina Muawiyah r.a dengan Khawarij, tidaklah sama tindakan Khawarij memerangi Saidina Ali dengan perang Siffin antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyah radiallahuanhuma.

Khawarij memerangi Saidina Ali kerana akidah mereka yang rosak mengkafirkan para Sahabat Rasulullah s.a.w sedangkan Muawiyah r.a memerangi Ali r.a kerana ijtihad yang salah yang tentu sahaj diberi satu pahala atas ijtihadnya.Muawiyah r.a tidak pernah mengkafirkan Ali r.a.

Saya bersetuju bahawa dalam perkara Ikhtilaf tidak perlu kita menimbulkan polemik yang panjang sehingga merosakkan persaudaraan se-Islam namun persoalan yang sedang kita bincang adalah tindakan Ybhg Dr menyalahi ‘Ijmak’ Ulama. Keluar daripada Ijmak yang bersifat Qath’i adalah perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Sunni, bukankah menyalahi Ijmak itu sifat Khawarij?!

Ingatlah, punca kesesatan adalah kerana mereka menafsir dan memahami nas agama diluar kefahaman para Ulama yang ada ketika itu iaitulah para Sahabat.

Sekarang kita bandingkan antara tindakan saya yang memahami nas sesuai dengan kefahaman  Ulama Salaf dengan tindakan Ybhg dr menyalahi Ijmak, siapakah antara kita yang selayaknya digelar sebagai Khawarij di sini pada manhajnya?!

Maaf jika terkasar bahas tetapi orang enak dibuai mimpi kadang kala terpaksa disimbah air untuk mengejutkannya dari tidur.

Jika kita merujuk kepada Usul Fiqah Ahli Sunnah wal Jamaah, kita dapati terdapat kaedah jelas menyatakan bahawa tidak boleh kita menimbulkan pendapat baharu yang menyalahi ijmak atau khilaf yang telah sedia wujud di zaman Salaf.

Misalnya, jika para Sahabat berbeza pendapat kepada dua pendapat dalam satu masalah maka tidak boleh para Tabiin mengadakan pendapat ketiga dalam masalah tersebut. [Rujuk: Min Usul al-Fiqh ‘ala Manhaj Ahlil Hadis, Zakaria bin Ghulam Qadir al-Bakistani, Maktabah Raqamiyyah, Al-Madinah International University].

Maka jika inilah kedudukan Tabiin maka siapakah Ybhg dr hendak dibandingkan dengan mereka?!

Memang kita perlu mengikut dalil tetapi bukanlah maknanya kita boleh mentafsirkan dalil sesuka hati dan mereka-reka pendapat baharu sesuka hati. Ada hadnya untuk kita berbeza pendapat, cukuplah dengan Ijmak Ulama terdahulu jika sudah ada ijmak, jika masalah yang timbul masalah turas cukuplah dengan ijtihad ulama terdahulu dan ambil lah yang terdekat dengan Wahyu. Janganlah kita ikut resmi Khawarij, Nas diambil Kefahaman ditolak.

Janganlah kerana kita hendak mendapat kedudukan duniawi, taasub kepada partin politik tertentu, kita hendak menggadaikan prinsip agama kita yang mulia ini. Saya juga berharap Ybhg dr dapatlah juga menghormati ilmuwan yang lebih mulia dan lebih tinggi kedudukan mereka berbanding Dr dan mana-mana Mufti dalam dunia dewasa ini, iaitulah para Ulama al-Salaf al-Soleh.

Mudah-mudahan Ybhg Dr dapat menerima penjelasan ini sebaik mungkin dan renungkanlah semula pendapat Dr yang terdahulu serta beristikharahlah kepada Allah Taala, mudah-mudahan kita semua sentiasa berada dalam petunjuk dan ri’ayah Allah Taala-Amin-.

Wassalam,

 

Muhammad Asrie bin Sobri

11 Jumadal Ula 1430 daripada Hijrah Rasulullah s.a.w

bersamaan 6 Mei 2009 Masehi.

 

Jawapan Balas beliau:

Muhammad Asrie B. Sobri,                  Malam 6hb.Mei2009
Ijmak ulama yang kamu katakan itu berlaku di mana? Siapa ulama yang berkumpul dan bersetuju dengan apa yang kamu nyatakan ini? Bilakah ulama itu berijmak dan mengeluarkan hukum kepada kes-kes tertentu? Adakah kes lelaki Hindu masuk Islam dan isterinya kekal dalam Hindu seperti yang berlaku di Malaysia pada tahun ini telah diijmakkan oleh ulama sebelum ini?

Ulama yang menulis dalam kitab-kitab mereka tidak dapat mengemukakan hujah lain selain daripada Ijmak Ulama atau Ijmak Umat tetapi kedua-dua istilah fikah itu sukar diterima oleh para pengkaji Islam kini kerana keadaan masa dan tempat yang menyebabkan sukar untuk sekumpulan ulama bertemu dan berbincang dan memutuskan sesuatu isu agama dan kemudian keputusan mereka itu dikatakan Ijmak Ulama atau Ijmak Umat.

Ulama itu sendiri menulis dalam bukunya atau kitabnya menggunakan istilah Ijmak Ulama atau Ijmak Umat sedangkan realiti sebenar tidak pernah ada Ijmak Ulama atau Ijmak Umat kerana tiada tarikh dicatakan lokasi dan masa ulama berkumpul untuk mengeluarkan satu hukum yang dikategorikan dalam Ijmak Ulama atau Ijmak Umat.
.
Kenapa ada Muslim memanggil kamu Wahabi?  Mereka itu berpendapat sedemikian kerana banyak persamaan fahaman dan pegangan kamu dengan fahaman dan pegangan Wahabi yang dinisbahkan kepada Muhammad bin Abd al-Wahhab di semenanjung Arab abad ke-18 dahulu.

Kamu mungkin telah membaca buku-buku yang mengharamkan Ilmu Kalam dan mengeluarkan Abu Hasan al-Ash`ari dan al-Maturidi daripada kumpulan Ahli Sunah Waljamaah kerana mereka berdua terlibat dengan  Ilmu Kalam.  Ahli Hadis dan ulama Fikah yang menentang Ilmu Kalam menghukumkan Ilmu Kalam itu bidaah dan sesat.  Tetapi ulama Kalam seperti Abu Hasan al-Ash`ari dalam karyanya memberikan jawapan kepada dakwaan atau tuduhan itu bahawa ulama Fikah dan Hadis yang menghukumkan bidaah dan sesat Ilmu Kalam dan Mutakallim itu adalah bidaah dan sesat kerana Nabi Muhammad s.a.w. tidak mengeluarkan hukum bidaah dan sesat kepada Ilmu Kalam dan Mutakallim kerana Nabi Muhammad s.a.w. mati lebih awal sebelum wujud atau muncul Ilmu Kalam zaman Khalifah Abbasiah bernama al-Ma’mun.

Terpulang kepada kamu untuk beriltizam dan berjazam dengan apa yang kamu percayai sebagai betul dan kamu tidak ada hak untuk menghukum orang lain yang tidak berada dalam kumpulan kamu atau sependapat dengan kamu sebagai tidak betul, bidaah, sesat atau kafir.  Kamu boleh ambil semua pendapat ulama yang sama dengan pendapat kamu untuk menyokong pendapat kamu.

Kamu katakan bahawa Muawiyah menentang Ali kerana perbezaan ijtihad. Kalau demikian, maka Muslim yang membunuh Khalifah Uthman juga membunuh Uthman kerana perbezaan ijtihad kerana mereka tidak dalam kumpulan Khawarij. Kamu kata bahawa Khawarij menentang Ali kerana akidah Khawarij yang rosak. Siapa pula yang memberitahu kamu mengenai akidah Khawarij yang rosak itu?  Kepada Khawarij, akidah mereka yang betul dan akidah musuh mereka yang rosak. Dalam akidah Islam, hanya Allah yang maha mengetahui kerosakan atau ketidak rosakan akidah dalam hati seseorang manusia.

Sekian terima kasih.
Dr. Ibrahim

 

Jawapan Saya:

Ybhg Dr. Ibrahim Abu Bakar

Nampaknya manhaj (methode) yang diikuti Ybhg Dr amat jauh sekali dengan apa yang telah diputuskan oleh para Ulama silam. Sejak bilakah tarikh dan tempat menjadi syarat untuk sahnya sesuatu ijmak? Adakah Dr mendakwa bahawa dr lebih mengetahui daripada Ulama terdahulu?

Baiklah jika betul bahawa apabila seorang bapa memeluk Islam dan anak kecilnya tidak menjadi Islam dengan Islam bapa, nyatakan sipakah Ulama selain dr yang berpendapat sedemikian? Bilakah beliau mengeluarkan fatwanya? di manakah fatwa itu dikeluarkan? Mazhab yang muktabar yang diikuti majoriti Umat adalah Mazhab al-Hanafi, al-Maliki, al-Syafii, dan al-Hanbali. Telah diketahui secara pasti Keempat-empat mazhab ini bersepakat bahawa apabila seorang bapa memeluk Islam tidak kiralah agama apa sekalipun agama sebelum dia memeluk Islam maka anaknya yang masih kecil atau anak yang dewasa tetapi terencat akal dihukum Islam dengan Islam bapanya. Berlaku Khilaf jika si ibu memeluk Islam tanpa si bapa, Imam Malik bin Anas r.a berpendapat anak tetap mengikut agama bapa kerana kepada bapalah dinasabkan anak tersebut. Jumhur Ulama termasuk Ibn Wahab daripada al-Malikiah sendiri memutuskan anak tersebut tetap dihukum Islam kerana ibu juga mempunyai hak ke atas anaknya.

Sila rujuk Ahkam Ahli al-Zimmah karya Imam Ibn al-Qayyim r.h dalam perbahasan Hukum Anak-anak Ahli al-Zimmah dan Ybhg dr akan menjumpai masalah ini dengan jelas dibincangkan.

Apa yang saya cuba jelaskan ini menunjukkan Ulama Muktabar telah menetapkan keputusan dan perkara ini sudah diterima dengan aman oleh seluruh Umat Islam Ahli Sunnah wal Jamaah, maka apakah Dr ingin menjadi pemecah keamanan ini? Menimbulkan keraguan dan membuka ruang kepada kaum Liberal dan Kafir di negara ini meratah kedaulatan Islam di negara ini?!

Saya mohon supaya dr menarik baliklah fatwa dr itu supaya tidak menimbulkan kekeliruan masyarakat Islam terutama yang mualaf dan marilah bersama-sama jemaah kaum muslimin terdahulu yang telah pun sedia menetapkan hukum ini. Banyak lagi perkara baharu yang belum ada hukumnya untuk dr berijtihad dan berfatwa, kenapa masalah yang sudah ada hukumnya menjadi pilihan?! cukuplah masalah sebegini kita tarjihkan dan tahkik sahja, xperlulah nak tunjuk pandai melebih daripada Ulama al-Salaf al-Soleh dengan membuat pendapat baharu yang langsung xterfikir oleh Ulama terdahulu.

Saya faham dr adalah seorang Ahli Kalam tetapi janganlah memfitnah Imam Abul Hasan al-Asy’ari sebagai Ahli Kalam juga kerana walaupun dinisbahkan kepada beliau kitab Istihsan al-Khaud fi Ilmil Kalam, yang jelas al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari wafat dengan akidahnya al-Ibanah fi Usul al-Diyanah yang jelas menerangkan beliau adalah Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah al-Salafiah. Kemungkinan kitab al-Istihsan itu ditulis semasa beliau berada dalam akidah Muktazilah atau Kullabiah amat besar, maka berhati-hatilah.

Berkenaan dengan Khalifah al-Makmun, bukankah Ilmu Kalam yang muncul ketika itu adalah Ilmu Kalam al-Muktazilah dan Imam Abul Hasan al-Asy’ari sendiri telah menghukum al-Muktazilah sebagai sesat bahkan al-Muktazilah telah wujud semenjak zaman Hasan al-Basri r.h cuma ketika zaman al-Makmun mazhab sesat ini dijadikan mazhab rasmi dan ingatlah orang yang bangkit menetang ajaran ini adalah Imam Ahmad bin Hanbal r.h yang sanggup menggadai nyawa menentang ajaran sesat ini, siapakah dr untuk menghina jasa Imam besar ini dan merendah-rendahkan beliau dengan memuji Ilmu Kalam dan Muktazilah. Wah, Muawiyah dihina al-Makmun pula dipuji..pelik betul pemikiran Dr ini.

Adapun berkenaan Khawarij, kesesatan mereka itu sabit dalam hadis-hadis yang sahih bahkan Ulama al-Asya’irah sendiri bersetuju bahawa Khawarij adalah kaum yang sesat akidahnya. Adapun pembunuh Saidina Usman bin al-Affan r.a jika kita teliti dengan elok dan penuh keimanan, yang membunuh beliau adalah kaum yang zalim iaitulah Syiah Rafidah pimpinan Abdullah bin Saba’ -Laknatullahi ‘alaih- dan jika kita melihat Fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiah, mereka ini juga tidak lari daripada ciri-ciri kaum Khawarij bahkan Khawarij itu sendiri berasal daripada pengikut Syiah Rafidah sendiri.

Apakah dr lebih pandai daripada Imam-imam terdahulu seperti al-Sya’bi, Sufyan Uyainah, Sufyan al-Sauri, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuwaih, Imam  al-Syafii sendiri, dan lain-lainnya dengan menyatakan bahawa Khawarij tidak sesat? Subhanallah, adakah Dr lebih mendahulu daripada Rasulullah s.a.w sendiri? Bukankah Saidina Ali r.a sendiri menghukum kesesatan Khawarij demikian juga Saidina Ibn Abbas r.a?! saya ingatkan kepada Dr, rujuklah kitab-kitab Ulama terdahulu janganlah kerana gelaran Profesor Madya yang dimiliki menggelapkan mata menutup hati sehingga sanggup menzalimi diri sendiri.

Saya ingin tegaskan di sini bahawa Saidina Muawiyah r.a adalah Sahabat, Penulis Wahyu, seorang yang telah didoakan Rasulullah s.a.w supaya mendapat hidayah dan penyebab hidayah, bahkan perlantikan Muawiyah r.a sebagai Khalifah digelar sebagai ‘Am al-Jamaah menunjukkan betapa rahmat Allah Taala menyertai pemerintahan beliau. Bertakwalah kepada Allah dan jagalah lidah kamu terhadap para Sahabat Rasulullah s.a.w.

Akhir kata, jika saya ada tersilap kata maaf dipohon jika ada tersilap fakta tunjuk ajar dipinta.

Wassalam ‘ala manittaba’al Huda.

 

Muhammad Asrie bin Sobri.

12 Jumadal Ula 1430 Hijrah/ 7 Mei 2009 Masehi.

 

Balasan beliau:

Muhammad Asrie B Sobri              7Mei 2009

Kamu membuat rujukan kepada kitab karangan Ibn al-Qayyim yang judulnya jelas mengenai Hukum Ahli Zimmi. Apakah orang Hindu di Malaysia ini dapat disamakan dengan ahli zimmi seperti mana dalam kitab karya Ibn al-Qayyim itu?  Itulah masalah kamu. Kamu membuat rujukan satu kes yang berlaku bulan ini di Malaysia kepada kitab yang ratusan tahun dulu yang kesnya tidak sama dengan kes hari ini di Malaysia.

Kalau kami merujuk kepada karya Ibn al-Qayyim itu untuk menyelesaikan kes Hindu beragama Islam di Malaysia dan isterinya masih beragama Hindu, maka kamu perlu lebih dahulu menghukumkan Hindu di Malaysia ini sebagai kafir zimmi. Apakah hukuman kamu sedemikian itu betul dan tepat?  Kalau tidak sedemikian, maka penyelesaian Ibn al-Qayyim kepada kes kafir zimmi tidak boleh digunapakai kepada kes kafir bukan zimmi.
Selagi kamu membuka kitab-kitab fikah ratusan tahun lalu untuk menyelesaikan masalah masa kini, maka selama itu penyelesaian kamu tidak mengambil kiri perubahan masa, tempat, dan kedudukan manusia yang terlibat dalam kes-kes baru itu.  Sebagai contoh, orang kafir di Malaysia bukan zimmi tetapi kamu buka kitab fikah mengenai kafir zimmi karya Ibn al-Qayyim. Pada pendapat saya, hukum yang kamu ambil daripada kitab karya Ibn al-Qayyim itu tidak boleh digunakan kepada Hindu di Malaysia kerana Hindu di Malaysia bukan termasuk dalam kategori kafir zimmi.  Ibn al-Qayyim menulis kitabnya untuk masalah zamannya di mana wujud kafir zimmi.

Selama kamu menjadikan karya Ibn al-Qayyim sebagai rujukan kami, maka kamu menyamakan apa yang wujud di Malaysia hari ini sama dengan apa yang wujud pada zaman ibn al-Qayyim itu. Apakah realitinya sama?

Selepas ini saya tidak akan memberikan jawapan lagi kepada email kamu kerana saya ada urusan lain.
Sekian.
Dr. Ibrahim

 

Jawapan saya:

Baiklah kita rujuk pula Syarah Ibn Battal kepada Sahih al-Bukhari, jelas menyatakan jika seorang kafir harbi memeluk Islam maka anaknya yang kecil juga dihukum Islam.

Jika ibunya ditawan lalu memeluk Islam dan anaknya ditawan bersamanya sedangkan bapanya tidak maka menurut Sahnun daripada al-Malikiah dan Jumhur Ulama bahawa anak yang kecil itu juga dihukum Islam

 Bahkan jika dirujuk kepada Ensiklopedia Fiqah Kuwait tidak dibezakan hukum ini antara harbi, mu’ahad, musta’man, dan zimmi. jelas hukum ini terpakai kepada semua jenis kafir.

Ulama ketika berbahas isu ini juga xsebut pun masalah agama si kafir tu hindu ke kristian ke yahudi ke majusi ke. Ingat hindu ni xdak ke zaman ulama dulu?! Ingat,sejarah mencatatkan  India menerima Islam semenjak zaman Bani Umayyah lagi yakni zaman Tabiin.

Cukuplah jika Dr nak cakap Dr xterima Ibn Qayyim sebab Ibn Qayyim juga bermanhaj Salafi bukan Asyairah atau Ahli Kalam kan lebih jelas daripada berkias-kias jauh begini

 nampaknya setakat inilah polemik kita dan tidak ada jawapan dalam isu Saidina Muawiyah r.a, Khawarij dan perkara berbangkit yang lain. dan jelas tidak ada ulama lain yang berpendapat seperti Dr selain Dr sendiri maka tidak perlulah kami ambil kisah dengan fatwa Syaz Dr itu.

 

Maha Suci Allah yang telah memenangkan agamaNya.

 

Wassalam ‘ala manittaba’al huda.

 

Muhammad Asrie bin Sobri

12 Jumadal Ula 1430 Hijrah/7 Mei 2009 Masehi.

 

Hasil:

– Beliau Tidak berupaya membuktikan pendapat beliau mempunyai ijtihad atau pandangan Ulama terdahulu sebelum beliau

– Beliau mempunyai pemikiran yang ganjil dan tidak selari dengan Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah bahkan tidak selari dengan Ulama al-Asya’irah sekalipun.

– Beliau tidak menjaga lidah daripada mencemuh Sahabat Nabi s.a.w sehingga menyamakan Khawarij seperti Muawiyah r.a yang membawa maksud Muawiyah r.a juga sama seperti Khawarij.

– Beliau Tidak mengikut manhaj Usul Fiqh yang benar dalam berijtihad dengan mengadakan syarat-syarat yang pelik untuk menerima Ijmak sehingga memerlukan tarikh bilakah Ijmak itu berlaku. Jika begini, banyaklah Ijmak Ulama yang akan ditolak termasuk haram meliwat Isteri, haram mendatangi Isteri ketika Haid, dan sebagainya.

– Beliau Tidak menyesatkan firqah yang telah nyata kesesatan mereka dengan pernyataan Rasulullah s.a.w seperti Khawarij dan kaum sesat yang diijmakkan kesesatan mereka oleh Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah bahkan Ulama Asyairah sendiri seperti Muktazilah

– Beliau tidak memahami hakikat Akidah Imam Abul Hasan al-Asy’ari r.h.

– Hujah-hujah beliau secara keseluruhannya hanyalah berdasarkan logik beliau sendiri begitu juga tafsiran terhadap nas, maka pendapat beliau dalam isu ini adalah syaz dan tertolak.

 

 

AGAMA ANAK: POLEMIK BERSAMA PENSYARAH UKM

5 Mei

Ketika para ulama, mufti, dan pihak berkuasa agama negara ini sedang berjihad melawan keputusan kerajaan yang dilihat mencemarkan agama Islam yang seklaigus menceroboh Perlembagaan Persekutuan, kita amat terkejut dengan satu kenyataan seorang pensyarah di sebuah Universiti terkemuka negara, Prof Madya Dr. Ibrahim bin Abu Bakar, profesor madya di Jabatan Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyokong keputusan kerajaan berhubung isu agama anak mualaf yang dikekalkan dengan agama semasa perkahwinan ibu bapanya jika salah seorang mereka memeluk Islam.

Tindakan beliau yang mengeluarkan kenyataan yang sangat ‘syaz’ (ganjil) ini amat mengecewakan kerana akan membuka ruang kepada pihak-pihak berkepentingan untuk terus memijak kesucian Islam di negara ini. Selain itu, pandangan beliau itu juga amat bertentangan dengan realiti kebenaran dan merendahkan kedudukan ilmiah beliau sendiri.

Pada pandangan beliau Islam tidak memaksa anak untuk memilih agama berdalilkan dua dalil yang pertama firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 256:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

Dalil beliau yang kedua adalah sabda Nabi s.a.w:

ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه كما تنتج البهيمة بهيمة جمعاء هل تحسون فيها من جدعاء

Maksudnya: “Tidak ada bayi yang dilahirkan kecuali ia dilahirkan dalam keadaan fitrah lalu ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani (Kristian) atau Majusia seperti mana seekor haiwan ternakan melahirkan anaknya yang sempurna sifat, adakah kamu rasa akan ada yang akan mejadi cacat dengan sendirinya?!”  [al-Bukhari & Muslim].

Menurut beliau, dalil yang pertama menunjukkan Islam tidak memaksa seseorang untuk memeluk Islam dan dalil yang kedua menunjukkan bahawa agama seseorang anak ditentukan oleh kedua-dua ibu dan bapa bukan bapa atau ibu sahaja.

Perbincangan Istidlal:

Namun, perlu kita teliti bahawa dalil yang digunakan ini memang diakui kesahihannya dan tidak diragui lagi tetapi setiap dalil yang qath’i subut (sahih pada kesabitannya) tidak semestinya qath’i pada dilalahnya (petunjuk dalil).

Ayat ke-256 surah al-Baqarah yang tersebut pada sesetengah ulama adalah mansukh hukumnya (tidak terpakai hukumnya) apabila turunnya perintah jihad tolab (memerangi negara kafir yang enggan membayar jizyah).

Namun, yang sahihnya ayat ini adalah muhkam (yakni tidak mansukh) namun jika diteliti sebab ayat ini diturunkan adalah berkenaan anak-anak yang telah baligh iaitu apabila terdapat sebahagian kaum Ansar yang ingin memaksa anak-anak mereka yang telah baligh yang menjadi Yahudi untuk memeluk Islam semasa pengusiran Bani Nadhir daripada Madinah.

Tidak ada khilaf dalam kalangan Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa orang yang telah baligh yang beragama Yahudi atau Nasrani tidak boleh dipaksa memeluk Islam jika dia telah memilih untuk membayar jizyah, adapun yang beragama selain Yahudi dan Nasrani sebahagian ulama berpendapat mereka ini hanya mempunyai dua pilihan sama ada memeluk Islam atau ‘pedang’.

Maka fakta yang dikemukan Profesor Madya ini bahawa Islam tidak pernah memaksa manusia memeluk Islam sama sekali adalah tidak benar bahkan Islam wajib ditegakkan dengan lisan dan sinan yakni lidah dan senjata.

Namun, seperti yang telah kita jelaskan dalam artikel-artikel sebelum ini, bukanlah bermakna Islam membenarkan umatnya melakukan pencerobohab sesuka hati terhadap orang kafir, bahkan kafir itu ada yang dinamakan zimmi yang mempunyai hak atas Umat Islam untuk dipenuhi, ada juga kafir Mu’ahid yang mengikat perjanjian damai dengan Umat Islam, dan ada Musta’man yang diberi perlindungan oleh Umat Islam.

Apa yang dapat disimpulkan bahawa pandangan beliau bahawa ayat ini menjadi dalil kita tidak boleh memaksa seseorang memluk Islam sama sekali adalah batil dan tidak pernah difahami sedemikian rupa oleh mana-mana Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terdahulu.

Istidlal beliau dengan dalil yang kedua, jika kita lihat sekali pandang, seolah-olah ada kebenarannya, namun jika kita teliti kembali methode istinbat hukum dan istidlal Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah, setiap dalil wajib difahami sesuai dengan kefahaman al-Salaf al-Soleh daripada para Sahabat r.a, Tabiin, dan Tabi’ Tabiin. Maka kita dapati bahawa tidak ada seorang pun ulama terdahulu dalam kalangan al-Salaf al-Soleh ini yang memahami hadis ini seperti kefahaman beliau.

Buktinya adalah Ijmak Ulama bahawa apabila bapa memeluk Islam maka anaknya yang belum baligh juga dihukum sebagai Islam. Ulama berbeaza pendapat jika yang memeluk Islam itu adalah ibu tanpa si bapa, Jumhur Ulama tetap berpendapat bahawa anak itu dihukum Islam.

Bahkan Imam Ibn Battal r.h menyatakan bahawa hadis: “maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi…” menjadi dalil bahawa Islam salah seorang mereka mencukupi untuk mengIslamkan anak yang belum baligh.

Lihatlah betapa kefahaman Dr. Ibrahim ini amat tidak selari sekali dengan apa yang difahami oleh Ulama terdahulu yang diiktiraf. Bahkan Imam Ibn Hajar al-Asqalani r.h menolak anggapan bahawa hadis ini menunjukkan Islam salah seorang ibu bapa tidak mengubah agama anak.

Perlu kita ingatkan bahawa Ijmak ulama dalam setiap zaman adalah hujjah dan dalil qath’i yang perlu diterima berdasarkan firman Allah Taala:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: “dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [al-Nisaa’: 115]

Ayat ini telah dijadikan para ulama usul sebagai dalil bahawa Ijmak Mujtahidin (Kesepakatan fatwa antara ulama mujtahid) adalah hujah yang wajib diikut.

Rumusan:

Hasil daripada penelitian di atas dapatlah kita rumuskan bahawa pandangan Dr.Ibarahim tertolak berdasarkan pendapat tersebut menyalahi ijmak Ulama dan kefahaman yang beliau interpertasikan terhadap ayat dan hadis di atas tidak selari dengan apa yang difahami para Ulama terdahulu. Wallahua’lam.

Oleh itu, saya menyeru kepada beliau untuk menarik balik kenyataan beliau yang amat mengelirukan Umat Islam negara ini dan sekaligus membuka pintu-pintu keburukan terhadap kedudukan Islam di negara ini.

Rujukan:

1-   Tafsir al-Tabari

2-  Fathul Bari Syarhu Sahih al-Bukhari, Imam Ibn Hajar al-Asqalani

3-  Syarah Ibn Battal ‘ala Sahih al-Bukhari, Imam Ibn Battal

4-  Al-Istizkar, Imam Ibn Abdil Barr

5-  Majmuk Fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiah, Abdul Rahman bin Muhammad bin QasiM

6-  Artikel Dr. Ibrahim: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090502215339/Article/

 

DITULIS OLEH:

MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI,

SISWA JURUSAN USULUDDIN & DAKWAH,

MEDINA INTERNATIONAL UNIVERSITY.