Arkib | Julai, 2011

BACAAN-BACAAN KETIKA BERBUKA PUASA

31 Jul

OLEH: FAQIH AL-ZAMAN IBN USAIMIN RH

TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI

Dan perkataan beliau: (dan mengucapkan apa yang warid): Yakni disunatkan menyebut apa yang warid daripada Nabi s.a.w ketika berbuka puasa, dan diketahui warid (daripada Nabi s.a.w) ketika hendak berbuka puasa dan selainnya membaca Bismillah ketika hendak makan dan minum dan ia (membaca bismillah) atas pendapat yang terkuat adalah WAJIB yakni jika seseorang hendak makan atau minum maka WAJIB atasnya untuk mebaca Bismillah. Dalilnya adalah seperti berikut:

Pertama: Nabi s.a.w memerintahkannya[1].

Kedua: Perkhabaran baginda s.a.w  bahawa Syaitan akan makan bersama dengan orang yang tidak membaca Bismillah.

Ketiga: Tindakan baginda menahan tangan seorang Jariah dan seorang Badwi yang datang untuk makan sebelum mereka membaca bismillah dan baginda memberitahu bahawa Syaitan yang menolak (mendorong) mereka (untuk makan) dan bahawa tangan syaitan bersama dengan tangan mereka berdua yang sedang dipegang olehNabi s.a.w dihalang daripada makan.

Tetapi jika dia terlupa maka hendaklah mengucapkan:

بسم الله أوله وآخره

Maksudnya: “Dengan Nama ALLAH pada awal dan akhirnya” [Abu Daud, al-Tarmizi, dan Ahmad].

Demikian juga apa yang warid (daripada Nabi s.a.w) sewaktu berbuka puasa dan lainnya adalah mengucapkan al-Hamdulillah selepas selesai (makan atau minum) kerana ALLAH reda kepada hambaNya yang memuji-Nya setelah dia makan dan setelah dia minum[2].

Adapun apa yang diriwayatkan berkaitan bacaan ketika berbuka puasa (bacaan khusus) seperti:

اللهم لك صمت، وعلى رزقك أفطرت، اللهم تقبل مني إنك أنت السميع العليم

Maksudnya: “Ya ALLAH, aku berpuasa kerana-Mu, atas rezeki dari Kamu jua aku berbuka, Ya ALLAH terimalah daripada aku, sesungguhnya Engkau maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.[3]

Demikian juga datang beberapa atsar yang lain juga berkenaan bacaan (khusus) ketika berbuka, dan semuanya pada sanad masing-masing terdapat masalah, tetapi jika dibaca oleh seseorang maka ianya tidak menjadi kesalahan.

Antaranya juga (bacaan khusus ketika berbuka) adalah apabila hari yang panas lalu dia minum setelah berbuka maka dia mengucapkan:

ذهب الظمأ، وابتلت العروق، وثبت الأجر إن شاء الله

Maksudnya: “Telah hilanglah kedahagaan, telah basah pula kerongkong, dan telah tsabit pula pahala insya-ALLAH”.[4]

Hilangnya dahaga dengan minum amat jelas, demikian juga basahnya urat kerongkong jelas (ianya disebabkan minum) maka seorang manusia jika dia minum dalam keadaan dia dahaga, dia berasa apabila air sampai ke dalam perutnya air itu mengalir ke seluruh tubuhnya dan dia berasa sangat puas seraya dia berkata dalam hatinya: “Maha Suci ALLAH yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui yang mengalirkan air ini dengan begitu cepat (dalam tubuhnya)”.

Zahir hadis ini menunjukkan bahawa zikir ini dibaca jika seorang yang berpuasa itu berada dalam keadaan dahaga dan kerongkongnya kering.[5]

 

Sumber: Al-Syarhul Mumti’ ‘ala Zadil Mustaqni’, 6/441.


[1]. Asal setiap perintah syarak adalah wajib kecuali ada dalil lain yang mengalihkannya kepada sunat atau harus. Hadis perintah ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf hadis no 24441

[2]  Hadis Riwayat Muslim

[3]  Dikeluarkan oleh al-Daruqutni dan Ibn Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wal Lailah. Ianya da’if sebagaimana dinyatakan  Imam Ibn al-Qayyim r.h dalam Zadul Ma’ad.

[4]  Dikeluarkan oleh al-Daruqutni dan al-Hakim. Imam al-Daruqutni menyatakan hadis ini Hasan.

[5] yakni dibaca setelah berbuka puasa dengan meminum air setelah berpuasa dengan keadaan dahaga dan kering disebabkan cuaca panas

BERHUKUM DENGAN HUKUM ALLAH

1 Jul

WAJIB berhukum dengan (hukum) al-Kitab (Al-Quran) dan al-Sunnah dalam semua perselisihan (yang berlaku), bukan dalam sebahagian sahaja tidak dalam sebahagian yang lain, maka wajib berhukum dengannya dalam urusan Akidah, dan ini adalah yang paling penting sekali, dalam perselisihan berkaitan dengan Hak-hak antara manusia, dalam perselisihan berkaitan Manhaj dan Mazhab, dan perselisihan Fiqh.

ALLAH berfirman:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ

Maksudnya: “Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada ALLAH dan Rasul..” [al-Nisaa: 59].

Adapun mereka yang hendak mengambil satu sisi sahaja (dalam berhukum dengan hukum ALLAH) dan meninggalkan apa yang lebih penting daripadanya maka ini bukanlah berhukum dengan Kitab ALLAH (dengan ertikata yang sebenar), maka demikianlah apa yang diperkatakan oleh penyeru kepada (Tauhid) al-Hakimiah pada hari ini bahawa mereka mengkehendaki berhukum dengan Syariat dalam perselisihan hak-hak tetapi mereka tidak pula berhukum dengannya dalam persoalan Akidah, mereka berkata: “Manusia itu bebas dalam persoalan Akidah”. Cukuplah dia berkata: “Aku Muslim”, (tidak ada masalah) sama ada dia Rafidi atau Jahmi atau Muktazili atau lainnya, “Kita bersatu atas apa yang kita sepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang kita selisihi”.

Inilah kaedah yang mereka letakkan dan mereka  namakan sebagai ‘Kaedah Emas’ yang pada hakikat sebenarnya adalah: Berhukum dengan al-Kitab dalam sebahagian perkara tetapi meninggalkannya dalam perkara yang lebih penting kerana berhukum dengan Syariat dalam persoalan Akidah lebih besar daripada berhukum dengannya dalam masalah pertelingkahan Hak.

Maka berhukum dengannya (Syariat) dalam persoalan Akidah, meruntuhkan Syirik dan Kubur-kubur yang menjadi sembahan dan masyhad-masyhad Syirik, dan memerangi orang-orang musyrikin sehingga mereka beriman dengan ALLAH dan Rasul-Nya ini lebih penting.

Maka mereka yang mengambil sisi Hakimiah sahaja dan mengabaikan sisi Akidah, mengabaikan persoalan Manhaj dan Mazhab yang memecahbelahkan manusia pada hari ini dan mengabaikan masalah perselisihan dalam Fiqh (dalam berhukum dengan Syariat) lalu berkata: Pendapat para Fuqaha’ semuanya sama sahaja, kita ambil sahaja yang mana satu pun (tidak ada masalah) tanpa melihat kepada sandarannya, ini adalah perkataan yang BATIL kerana yang wajib kita mengambil pendapat yang tegak padanya dalil, maka hendaklah dihukum dengan Kitab ALLAH setiap perselisihan dalam masalah Akidah dan ini yang paling penting sekali, pertelingkahan dalam hak-hak, pertelingkahan dalam Manhaj, dan pertelingkahan dalam Fiqh.

Firman ALLAH:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ

Maksudnya: “maka jika kamu berselisih dalam suatu perkara ..”

Ini adalah umum (dalam segenap hal).

Firman ALLAH:

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللهِ

Maksudnya: “dan apa yang kamu selisihkan berkenaannya daripada sesuatu maka hukumnya adalah (dikembalikan) kepada ALLAH ..” [al-Syura: 10].

Perintah ini juga Umum (meliputi semua hal).

Mereka yang mengambil aspek Hakimiah (sebagai matlamat perjuangan) menggantikan Tauhid adalah SALAH, di mana mereka mengambil satu sisi lalu meninggalkan apa yang lebih penting iaitulah Akidah, demikian juga meninggalkan apa yang seumpama dengannya atau lebih penting daripadanya iaitulah persoalan berkaitan Manhaj-manhaj yang telah memecah belahkan manusia, setiap kelompok ada manhajnya tersendiri, setiap kelompok ada mazhabnya sendiri, kenapa kita tidak kembali kepada Al-Kitab dan al-Sunnah lalu kita mengambil manhaj dan mazhab yang sesuai dengan Kitab dan Sunnah lalu kita ikuti?!

Kesimpulannya, berhukum dengan al-Kitab dan al-Sunnah perlu dilakukan dalam semua perkara bukan dalam sebahagian meninggalkan sebahagian yang lain, barangsiapa yang tidak berhukum dengan syariat dalam semua perkara maka dia beriman dengan sebahagian Kitab tetapi kufur dengan sebahagian yang lain sama ada dia kehendaki atau tidak (untuk termasuk dalam golongan ini).

Firman ALLAH:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

Maksudnya: “Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain”. [Al-Baqarah: 85].

Sumber: I’anatul Mustafid Syarah Kitab al-Tauhid, Ma’ali al-Syeikh Soleh al-Fauzan, 2/135.