Tag Archives: kehakiman

VIRUS MUDAHANAH DALAM DAKWAH

1 Feb

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Maksud Mudahanah:

Dalam bahasa, Mudahanah (المداهنة) dan Idhan (الإدهان) berasal daripada fi’il: داهن يداهن bermaksud: المُصانَعة واللِّين bermksud: “Berpura-pura dan berlemah-lembut”. Juga ditakrifkan sebahagian ulama bahasa sebagai: إِظهارُ خلاف ما يُضمِر (menzahirkan perkara yang bersalahan dalam batin). [Lisanul Arab, 13/160].

Dalam surah al-Qalam, ayat ke-9, Allah s.w.t berfirman:

وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ

Maksudnya: “mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu)”.

Ibn Abbas r.a mentafsirkan ayat ini dengan katanya:

لو ترخص لهم فيرخِّصون

Maksudnya: “Jika kamu (wahai Muhammad s.a.w) melonggarkan prinsip agamamu maka mereka (kaum kafir) juga akan melonggarkan prinsip agama mereka”. [al-Tabari, 23/533].

Imam al-Tabari r.h menyatakan tafsiran yang paling rajih dalam ayat ini adalah:

ودّ هؤلاء المشركون يا محمد لو تلين لهم في دينك بإجابتك إياهم إلى الركون إلى آلهتهم، فيلينون لك في عبادتك إلهك

Maksudnya: “Mereka yang muyrik ini suka jika kamu berlembut dalam agamamu dengan menyahut seruan mereka supaya kamu cenderung kepada semabahn-sembahan mereka (yakni supaya kamu menyembah berhala seperti mereka) maka mereka akan menyembah pula Tuhan-mu”. [al-Tabari, 23/534].

Tafsiran ini paling sesuai kerana selain tepat daripada segi bahasa, tepat juga dengan surah al-Kafirun yang menceritakan kaum musyrikin Mekah mencadangkan supaya baginda Nabi s.a.w menyembah berhala sehari maka esoknya mereka akan mentauhidkan Allah s.w.t pula.

Berdasarkan tafsiran ini kita dapati para ulama memberikan takrif al-Mudahanah dalam istilahnya sebagai:

مُعَاشَرَة الْفَاسِق وَإِظْهَار الرِّضَا بِمَا هُوَ فِيهِ مِنْ غَيْر إِنْكَار عَلَيْهِ

Maksudnya: “Bergaul dan bersahabat dengan orang fasiq serta menunjukkan keredaan terhadap maksiatnya tanpa mengingkari perbuatan tersebut”. [Fathul Bari, 17/317].

Dapat juga kita ringkaskan dengan takrif:

التنازل عن أساسيات الدين لإرضاء هوى الناس

Maksudnya: “Menggugurkan perkara-perkara asas agama untuk mendapat keredaan hawa nafsu manusia”.

Hukum al-Mudahanah:

Al-Mudahanah adalah haram berdasarkan firman Allah s.w.t:

فَلَا تُطِعِ الْمُكَذِّبِينَ (8) وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ (9)

Maksudnya: “oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (uagama Allah). mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu)”. [al-Qalam: 8&9].

وَلَوْلَا أَنْ ثَبَّتْنَاكَ لَقَدْ كِدْتَ تَرْكَنُ إِلَيْهِمْ شَيْئًا قَلِيلًا (74) إِذًا لَأَذَقْنَاكَ ضِعْفَ الْحَيَاةِ وَضِعْفَ الْمَمَاتِ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ عَلَيْنَا نَصِيرًا (75)

Maksudnya: “dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka. jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami”. [al-Israa: 74&75].

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 120:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Maksudnya: “orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.

Demikian juga surah al-Kafirun keseluruhannya menyatakan larangan keras sikap al-Mudahanah ini. Imam Ibn Hajar al-Asqalani r.h berkata:

وَالْمُدَاهَنَة مُحَرَّمَة

Maksudnya: “dan al-Mudahanah itu adalah haram”. [Fathul Bari, 17/317]

Syekhul Islam Muhammad bin Abdul Wahab r.h menyatakan berkenaan hukum meninggalkan menyuruh manusia berbuat baik dan mencegah kemungkaran kerana bermudahanah:

وترك ذلك على سبيل المداهنة، والمعاشرة، وحسن السلوك، ونحو ذلك مما يفعله بعض الجاهلين، أعظم ضرراً، وأكبر إثماً من تركه لمجرد الجهالة

Maksudnya: “dan meninggalkan perkara itu (Amar makruf nahi munkar) dengan alasan mudahanah, pergaulan, dan berbuat baik serta seumapamanya sebagaimana yang dilakukan sebahagian kaum jahil lebih besar bahayanya dan dosanya daripada meninggalkannya kerana jahil semata-mata”. [al-Durar al-Saniah, 8/70].

Perbezaan al-Mudahanah dan al-Mudarah

Dalam berdakwah, seorang da’i disyariatkan supaya bermudarah (المداراة) yakni berlemah lembut dan bijaksana dalam menasihati pelaku maksiat. Ulama menyatakan maksud al-mudarah adalah:

الرِّفْق بِالْجَاهِلِ فِي التَّعْلِيم وَبِالْفَاسِقِ فِي النَّهْي عَنْ فِعْله ، وَتَرْك الْإِغْلَاظ عَلَيْهِ حَيْثُ لَا يَظْهَر مَا هُوَ فِيهِ ، وَالْإِنْكَار عَلَيْهِ بِلُطْفِ الْقَوْل وَالْفِعْل ، وَلَا سِيَّمَا إِذَا احْتِيجَ إِلَى تَأَلُّفه وَنَحْو ذَلِكَ

Maksudnya: “Berlemah lembut dengan orang yang jahil dalam mengajarnya dan berlemah lembut terhadap orang fasiq dalam melarang kejahatannya serta meninggalkan berkeras dan mengingkarinya dengan cara lemah lembut sama ada dengan perbuatan atau perkataan terutama jika untuk menjinakkan hatinya dan seumpamanya”. [Fathul Bari, 17/317].

Berkata Syeikh Abdul Latif bin Abdul Rahman r.h:

وأما المداراة، فهي: درء الشر المفسد بالقول اللين، وترك الغلظة، أو الإعراض عنه إذا خيف شره، أو حصل منه أكبر مما هو ملابس

Maksudnya: “Adapaun al-Mudarah adalah: Menolak kejahatan yang membinasakan dengan perkataan yang lemah lembut serta meninggalkan kekerasan atau berpaling daripadanya jika ditakuti berlaku kerosakan yang lebih besar”. [al-Durar al-Saniah: 8/72].

Maka mudarah ialah kita berlemah lembut dalam dakwah dan termasuk juga meninggalkan ahli maksiat dalam maksiat mereka jika ditakuti mendapat mudarat jika mencegahnya tetapi tidak meredainya. Ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w:

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه ومن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان

Maksudnya: “Sesiapa yang melihat kemungkaran maka cegahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lisannya, jika tidak mampu juga maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”. [Muslim].

Mencegah dengan lisan dan hati yakni dengan membenci maksiat itu termasuk dalam kategori mudarah.

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ إِنَّا لَنَكْشِرُ فِي وُجُوهِ أَقْوَامٍ وَإِنَّ قُلُوبَنَا لَتَلْعَنُهُمْ

Maksudnya: Daripada Abu Darda’ r.a katanya: “Sesungguhnya kami memaniskan muka di hadapan sebahagian kaum sedangkan hati kami melaknatnya”. [al-Bukhari, Bab al-Mudarah].

Hukum bermudarah dalam dakwah adalah disyariatkan bahkan ianya mandub (sunat) sebagaimana yang dinayatakan Imam Ibn Hajar al-Asqalani r.h dan Ibn Battal r.h menyatakan al-Mudarah termasuk akhlak seorang mukmin. [Fathul Bari, 17/317].

Maka mudarah adalah lawan daripada al-Mudahanah di mana al-mudahanah seseorang itu menggadaikan prinsip agamanya demi hawa nafsu manusia, adapun mudarah adalah berdakwah dan mencegah kemungkaran dengan lemah lembut atau meninggalkan terus pelaku maksiat setelah dia enggan mendengar nasihat.

Virus Mudahanah dalam Pendekatan Pendakwah Moden

Setelah kita memahami bahawa haramnya mudahanah dan disyariatkan mudarah dalam berdakwah kepada Allah s.w.t, kita perlu mengakui juga hakikat hari ini yang menyaksikan terdapat golongan pendakwah yang gagal memahami apakah al-Mudahanah dan apakah al-Mudarah lalu mereka melakukan mudahanah dengan sangkaan al-Mudarah.

Pendekatan al-Mudahanah dalam kalangan pendakwah moden dapat dilihat dalam slogan mereka yang diberi nama ‘Taisir al-Fiqh’ atau memudahkan fiqah. Dalam usaha menampakkan Islam adalah ajaran yang mudah terdapat pendakwah yang sanggup mengemukakan fatwa atau pendapat ulama dalam masalah tertentu yang syaz atau menimbulkan perbezaan pendapat yang tidak muktabar untuk menjadi ikutan masyarakat Islam.

Kerana terlalu ghairah memudahkan agama yang sememangnya telah mudah ini, mereka mengabaikan aspek akidah dan manhaj yang menjadi tunjang agama ini. Mereka sanggup menggadaikan prinsip dengan mengemukakan pendapat yang marjuh atau tidak muktabar untuk menarik minat orang ramai dan lebih teruk lagi ada antara mereka yang memberi fatwa syaz yang menyalahi ijmak ulama terdahulu.

Kedudukan Khilaf Ulama dan Sejauh Mana Keabsahannya

Khilaf ulama atau perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tidaklah semuanya diterima kerana firman Allah s.w.t:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ

Maksudnya: “kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya..” [al-Nisaa: 59].

Dan juga sabda Nabi s.a.w :

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “Apabila seorang hakim berhukum dan berijtihad lalu dia betul (dalam ijtihadnya) maka baginya dua pahala, jika dia salah maka baginya satu pahala”. [Muttafaq ‘Alaih].

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w menetapkan adanya Ahli Ijtihad yang salah dalam ijtihadnya, maka difahami kesalahn itu sesuatu yang tidak boleh diikut, maka dapatlah kita simpulkan tidak semua ijtihad itu diterima.

Demikian juga sabit larangan daripada Salaf untuk kita melakukan Tatabu’ al-Rukhas (تتبع الرخص) yakni mengikut pendapat yang termudah antara mazhab jika dengan tujuan menghalalkan yang haram atau membawa kepada hukum yang tidak pernha dijumpai dalam mana-mana mazhab seperti orang yang berkahwin tanpa wali dan saksi dengan alasan menhimpunkan mazhab Hanafi dan Maliki, dan Jumhur.

Imam Ibn Abdil Barr r.h meriwayatkan ijmak ulama haramnya tatabu’ al-rukhas dengan tujuan mempermainkan agama.[Ma’alim Usul al-Fiqh inda Ahli al-Sunnah wal Jamaah, 502].

Imam Ibn al-Qayyim r.h berkata:

وبالجملة فلا يجوز العمل والإفتاء في دين الله بالتشهي والتخير وموافقة الغرض، فيطلب القول الذي يوافق غرضه وغرض من يحابيه فيعمل به، ويفتي به، ويحكم به، ويحكم على عدوه ويفتيه بضده، وهذا من أفسق الفسوق، وأكبر الكبائر

Maksudnya: “Dan kesimpulannya tidak boleh beramal dan berfatwa dalam agama Allah ini dengan perkara yang sesuai dengan hawa nafsu dan memilih pendapat yang serasi dengan tujuan peribadi seperti meminta fatwa yang sesuai dengan tujuan peribadinya dan mereka yang sekutu dengannya dan beramal dengan pendapat tersebut tetapi berhukum ke atas musuhnya dengan fatwa yang berlawanan, ini adalah sebesar-besar kefasikan dan dosa besar”. [Ibid].

Demikian juga para ulama salaf telah bersepakat dilarangnya kita mengikut pendapat ulama yang nyata kesalahannya seperti bertentangan dengan nas yang zahir  dan ijmak. Misalnya kata Imam al-Auzai r.h:

من اخذ بنوادر العلماء خرج عن الاسلام

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil nawadir ulama maka dia keluar daripada Islam” [Irsyadul Fuhul, 1/454].

Imam al-Qadi Ismail r.h. berkata:

ما من عالم الا وله زلة ومن جمع زلل العلماء ثم اخذ بها ذهب دينه

Maksudnya: “Tidak ada seorang alim melainkan dia mempunyai kegelinciran (kesalahan), maka sesiapa yang menghimpun kesalahan ulama lalu mengikutnya maka hilanglah agamanya”. [Ibid].

Imam Malik r.h ketika ditanya berkenaan mereka yang mendengar muzik dan nyanyian di Madinah beliau berkata:

إنما يفعله عندنا الفساق

Maksudnya: “Sesungguhnya yang melakukan hal itu adalah kaum fasiq daripada kami (Ahli Madinah)”. [Tafsir al-Qurtubi, 14/54]

Hukuman ini diberikan Imam Malik kerana tidak ada ulama yang menghalalkan muzik daripada al-Salaf al-Soleh kecuali Ibrahim bin Saad daripada Ahli Madinah maka pendapatnya ini menyalahi Ijmak yang telah terdahulu berlaku di zaman Sahabat dan Tabiin, maka pendapatnya syaz dan mereka yang mengikut pendapat yang syaz dengan sengaja adalah fasiq. [Ibid].

Imam al-Auzai berkata:

يترك من قول اهل مكة المتعة والصرف ومن قول اهل المدينة السماع واتيان النساء في ادبارهن ومن قول اهل الشام الحرب والطاعة ومن قول اهل الكوفة النبيذ

Maksudnya: “Ditinggalkan (tidak boleh diikut) pendapat Ahli Makkah dalam masalah Mutaah dan Saraf (sejenis Sihir), pendapat Ahli Madinah dalam masalah mendengar (muzik) dan meliwat isteri, pendapat Ahli Syam dalam masalah perang dan taat, dan pendapat Ahli Kufah dalam masalah nabiz”. [Irsyadul Fuhul, 1/454].

Maksudnya terdapat segelintir ulama Mekah menghalalkan nikah Mutaah dan membuat sihir sarf (sihir pengasih), terdapat ulama Madinah yang menghalalkan muzik dan liwat isteri, terdapat ulama Syam yang membenarkan memerangi pemimpin, dan terdapat ulama Kufah membenarkan kita meminum nabiz yakni arak yang dibuat selain daripada anggur selama tidak mabuk. Namun, semua pendapat ini adalah berlawanan dengan nas yang sarih daripada al-Qur’an dan al-Sunnah dan berlawanan dengan ijmak yang telah berlaku sebelum mereka. Fatwa mereka ini merupakan kesilapan ijtihad daripada mereka, maka tidak boleh diikut dan sesiapa yang mengikutnya maka dia telah mengambil nawadir ulama yang boleh mengeluarkannya daripada Islam.Nauzubillah min zalik.

Kesimpulan

Hasil daripada pembentangan yang lalu dapatlah kita ketahui bahawa bermudahp-mudah dalam urusan fiqah itu bukanlah bermakna boleh sesuka hati kita memberi fatwa yang dilihat sesuai dengan hawa nafsu manusia dan boleh manrik minta mereka untuk mengikuti dakwah kita.

Saya menyeru kepada kaum muslimin dan muslimat sekalian, supaya kembali kepada manhaj (metode) menuntut ilmu yang sahih iaitu mengikut kepada dalil, menjauhi taklid buta, dan taksub mazhab. Perlu kita ingat, tidak ada yang maksum kecuali Nabi kita Muhammad s.a.w dan ijmak umat ini.

Saya juga menyeru supaya kita jangan terlalu mengagungkan ulama tertentu sehingga sanggup menutup mata akan kesalahan mereka lalu kita menjadi taksub kepada mereka. Ingatlah sabda Nabi s.a.w :

لا تكونوا إمعة تقولون إن أحسن الناس أحسنا وإن ظلموا ظلمنا ولكن وطنوا أنفسكم إن أحسن الناس أن تحسنوا وإن أساءوا فلا تظلموا

Maksudnya: “Janganlah kamu menjadi ‘Imma’ah’; kamu berkata: Jika baik manusia, maka baiklah kami, jika mereka berbuat jahat maka jahatlah kami; tetapkanlah pendirian kamu, jika manusia itu baik maka jadilah kamu baik, jika mereka berlaku jahat maka janganlah kamu ikut”. [al-Tarmizi].

Hadis ini menunjukkan Nabi s.a.w melarang keras kita bertaklid buta kepada manusia dan telah sabit riwayat daripada para sahabat r.a mereka menamakan orang yang bertaklid buta sebagai Imma’ah. Wallahua’lam bi al-Sawab.

WANITA DALAM ISLAM (I)

20 Nov

Allah s.w.t mencipta lelaki dan wanita dengan fitrah kejadian berbeza sama ada daripada segi fizikal mahupun mental. Hikmah kejadian ini adalah bersesuaian dengan tugas yang akan digalas oleh mereka di muka bumi ini.

Allah s.w.t mencipta lelaki sebagai makhluk yang melakukan tugas-tugas berat dan mencipta wanita sebagai pendamping dan pendidik. Kedua-dua makhluk Allah ini saling memerlukan maka Allah s.w.t mensyariatkan nikah dan Allah meletakkan tugas dan tanggungjawab khas kepada suami dan tugas serta tanggungjawab khas kepada isteri. Kedua-dua mereka perlu menjalankan peranan masing-masing supaya zuriat manusia yang seterusnya mendapat perhatian dan didikan yang cukup.

Kegagalan memahami hakikat ini telah membawa malapetaka yang besar kepada manusia. Lihat sahaja penggerak-penggerak  Liberalisme dan Femanisme, mereka gagal memahami hakikat ini atau sengaja menjahilakn diri mereka berkenaan perkara ini.

Allah s.w.t berfirman:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. [al-Nisaa:34].

Dalam ayat ini, Allah s.w.t menjelaskan bahawa Dia menjadikan wanita dan lelaki dengan kelebihan tersendiri dan masing-masing ada kelebihan atas lainnya. Sehebat mana seorang lelaki, tetapi dia tetap kalah kepada wanita yang bergelar ibu di mana dia diwajibkan untuk berbakti kepada wanita yang melahirkannya itu.

Ramai yang salah anggap bahawa ayat di atas menunjukkan Islam melebihkan lelaki atas wanita, ini salah kerana perlu dirujuk ayat sebelum ayat ini iaitu ayat ke-32:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Maksudnya: dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.[al-Nisaa:32]

Ayat ini merupakan tamparan Allah s.w.t kepada penyeru Liberalisme dan Feminisme bahawa Islam melebihkan lelaki ke atas wanita. Dalam dunia ini, hanya Islam sahaja yang menyamakan amal ibadat yang dibuat oleh wanita dengan amal ibadat oleh lelaki dari segi pahala dan ganjarannya. Dalam agama lain, termasuk Kristian, sehebat mana seorang ‘abidah-ahli ibadat wanita- dia tidak akan sama dengan lelaki. Oleh sebab itu, dalam Kristian wanita tidak boleh menjadi Pope.

Adapun dalam Islam, kewujudan isteri-isteri Rasulullah s.a.w yang menjadi sumber maklumat hukum demikian juga perawi-perawi hadis wanita menjadi bukti tegar bagaimana Islam memberikan hak wanita dalam beragama.

WANITA DALAM KEHAKIMAN ISLAM

Syubhat yang sering ditimbulkan adalah kenapa wanita itu tidak boleh menjadi saksi dalam mahkamah dan kenapa kesaksian wanita itu memerlukan dua orang berbanding seorang lelaki? Sebenarnya pernyataan ini keliru. Tidak semua kes dalam Islam jika saksinya wanita mestilah dua orang bahkan ada kes-kes yang hanya kesaksian wanita sahaja diterima seperti kes-kes kelahiran, kedaraan, penyusuan dan urusan-urusan yang hanya wanita sahaja terbabit padanya secara ghalib (kebiasaan).

Seringa timbul keraguan kenapakah Allah s.w.t menetapkan dua wanita sama dengan seorang lelaki dalam persaksian kes-kes harta. Jika mereka yang mengkaji ilmu psikologi tentulah mereka tahu jawapannya. Ini kerana wanita itu lebih lemah ingatannya dan mudah terpengarauh dengan suasana. Jadi mungkin sekali dia tertipu dalam suatu urusan. Hakikat ini tidak dapat disembunyikan kerana ianya fakta yang jelas.

Adapun tidak diterimanya kesaksian wanita dalam kes-kes hudud dan qisas (jenayah) adalah kerana wanita tidak mampu menggalas tugas ini. Wanita yang menyaksikan suatu kejadian jenayah akan mengalami trauma dan mewajibkannya menjadi saksi akan menyukarkan keadaan.

Demikian juga sifat wanita yang cepat panik dan takut menyukarkannya untuk mengingati kes jenayah yang dilihatnya sama ada kes bunuh, zina ataupun kecurian. Inilah hakikat yang perlu difahami oleh para pejuang Liberalisasi Wanita sebelum menuduh Allah s.w.t sebagai zalim. Undang-undang Islam ini dicipta oleh Allah s.w.t dan Dia juga yang mencipta lelaki dan wanita, maka undang-undang yang dicipta adalah sesuai dengan makhluk-Nya yang akan menerima dan melaksana undang-undang tersebut.

Wujudnya sesetangah wanita yang mampu menyaksikan kes-kes ini tidak menafikan undang-undang Islam yang maha adil ini kerana terdapat kaedah fikih menyatakan:

الحكم الشرعي يبنى على الكثير الغالب، لا على القليل النادر

Maksudnya: “Hukum Syarak dibina atas perkara kebanyakan yang selalu terjadi bukan perkara yang jarang-jarang berlaku”-[al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 5/451].

Namun demikian, bagi hakim jika dia melihat kekuatan wanita tersebut menjadi saksi dia masih boleh menggunakan keterangan wanita itu untuk menjadi qarinah (penguat) kepada kesaksian dan keterangan yang ada.

KENAPA TIADA HAKIM WANITA?

Persoalan ini masih menerima jawapan hampir sama dengan kes kesaksian. Wanita dalam psikologi diakui sebagai memeiliki sifat emosional dan cepat gelabah serta panik berbanding lelaki. Wanita juga memiliki apa yang disebut sebagai السيولة العاطفية [Limpahan Emosi] yang menjadikannya cepat kasihan dan cepat terpengaruh.

Keadaan fizikal wanita seperti kedatangan haid, mengandung dan melahirkan anak juga menjadi penghalang fitrah kepadanya untuk menjalankan tugas berat ini.

Selain itu, jawapan muktamad kepada persoalan ini adalah, Allah s.w.t tidak mencipta wanita sebagai penghukum tetapi pendidik. Mereka diberi tugas oleh Allah s.w.t sebagai pendidik generasi dan tempat merea adalah di rumah menajalankan ‘tugas’ yang telah Allah wajibkan ke atas mereka.

Apabila seseorang yang tidak mendapat lesen guaman dan kebenaran untuk menjalankan prosiding perundangan dia tidak akan dibenarkan untuk menjadi peguam atau hakim walaupun dia mempunyai pengetahuan dalam bidang undang-undang maka begitulah ibaratnya, walaupun seorang wanita itu jika dia kuat dan hebat macam mana sekalipun tetapi dia tidak mendapat ‘lesen’ daripada Allah s.w.t untuk menjalankan prosiding perbicaraan sebagai hakim. Maka jika kita boleh patuh kepada undang-undang ciptaan manusia, apakah patut kita mempertikaikan undang-undang Pencipta dan Pentadbir Alam ini?! Subhanallah…