TAKFIR:ANTARA YANG TERCELA DAN TERPUJI

2 Ogo

OLEH: MUHAMMAD ASRIE AL-MADANI

Isu takfir (menghukum seseorang muslim sebagai kafir) merupakan isu yang ‘evergreen’ dan sentiasa menjadi bualan panas bahkan kita tidak menafikan bahawa ini merupakan salah satu isu yang terpenting dalam Akidah Islamiah kerana ia ada kaitan rapat dengan Usuluddin.

Masalah Takfir boleh dikatakan antara landasan terawal sebahagian Umat Islam tergelincir daripadanya lalu terjebak dalam kesalahan yang fatal dalam memahaminya. Kemunculan Khawarij di zaman Khilafah Ali bin Abi Talib r.a memanaskan isu pengkafiran terhadap kaum muslimin yang melakukan dosa-dosa besar.

Perbahasan panas ini berterusan dengan kemunculan Muktazilah yang membawa konsep Manzilah bainal Manzilatain (Antara dua tempat), seorang muslim yang melakukan dosa-dosa besar tidak mukmin dan tidak kafir tetapi dia berada di tengah-tengah dan di akhirat dia kekal dalam neraka.

Apabila muncul gerakan dakwah pimpinan Syeikhul Islam Muhammad bin Abdul Wahab al-Tamimi r.h pada kurun ke-12 hijrah, isu takfir menjadi panas kembali dan gerakan dakwah Syeikhul Islam Muhammad al-Tamimi r.h ini digelar sebagai pergerakan ‘Wahabiah’ dan ciri-ciri utama mereka adalah ‘mengkafirkan’ kaum muslimin dan mereka adalah Khawarij abad ini.

Tuduhan sebegini muncul akibat kejahilan sebahagian Umat Islam kerana jauhnya mereka daripada ilmu berkenaan Akidah Tauhid yang berkaitan dengan makna Syahadah dan syarat-syarat kalimah Syahadah dan perkara yang membatalkannya.

Demikian juga kejahilan berkenaan apa yang telah dinyatakan oleh Allah Taala dalam al-Quran dan apa yang diputuskan oleh Rasulullah s.a.w dalam Sunnah baginda serta apa yang telah disepakati seluruh kaum muslimin terdahulu bahawa seseorang muslim itu tidak selamanya kekal muslim dengan sekali mengucap sahaja walaupun dia melakukan perkara yang membatalkan kalimah syahadah yang diucapkannya itu.

Jenis-jenis Takfir:

Oleh itu, perlu difahami bahawa bukan semua orang yang mengkafirkan kaum muslimin tertentu itu dihukum sebagai Khawarij kerana mereka yang mengkafirkan seseorang muslim atau kelompok muslim tertentu terbahagi kepada 5 (lima) jenis manusia:

Pertama: Mereka yang mengkafirkan kaum muslimin tertentu secara salah namun mereka melakukannya kerana takwil dan ijtihad namun mereka tersalah dalam ijtihad itu seperti yang berlaku kepada Saidina Umar bin al-Khattab r.a ketika mana dia mengkafirkan Saidina Hatib bin Abi Balta’ah r.a dalam peristiwa Hudaibiah di mana Umar r.a berkata: “Wahai Rasulullah, biarkan aku penggal sahaja leheri si munafiq ini” yakni Hatib bin Abi Balta’ah r.a lalu Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dia telah menyaksikan (menyertai) peperangan Badar, dan apa yang dapat memebuat kamu tahu mudah-mudahan Allah telah meninjau kepada Ahli Badar lalu Dia berkata: Buatlah apa sahaja yang kamu mahu kerana Aku telah mengampunkan kamu”.

Mereka ini, yang mengkafirkan secara takwil dan dia pula memang seorang Ahli Ijtihad maka tiada dosa baginya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

إذا حكم الحاكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران وإذا حكم فاجتهد ثم أخطأ فله أجر

Ertinya: “Apabila seorang hakim berijtihad kemudian dia benar maka baginya dua pahala dan jika dia berhukum lalu berijtihad kemudian dia tersalah maka baginya satu pahala”. [Muttafaq ‘Alaih].

Allah Taala juga telah berfirman mengajar doa kepada kaum mukminin dalam akhir surah al-Baqarah ayat ke 286:

رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Kau menghukum kami jika kami terlupa atau tersalah”.

Allah berkata setelah turunnya ayat ini: “Aku telah melakukannya”. [Riwayat Muslim].

Kedua: Mereka yang mengkafirkan sebahagian kaum muslimin berdasarkan dalil yang sahih daripada al-Quran dan al-Sunnah serta melazimi kaedah-kaedah yang ditetapkan dalam manhaj Salafus Soleh sebagaimana

Rasulullah s.a.w dan para Sahabat mengkafirkan munafiqin sedangkan kaum munafiqin itu sepanjang hayat mereka sentiasa basah lidah mereka dengan syahadah dan menghadiri solat bersama Rasulullah s.a.w namun Allah berfirman:

وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ فَاسِقُونَ

Maksudnya: “dan janganlah kamu mensolatkan atas mereka yang mati daripada mereka selama-lamanya dan jangan kamu berdiri di kuburannya kerana sesungguhnya mereka itu telah kafir dengan Allah dan RasulNya dan mereka mati dalam keadaan fasiq (yakni fasiq akbar –Kufur-)”. [al-Taubah: 84].

Demikian juga ijmak Ulama Salaf daripada Sahabat ridwanullahi ‘alaihim untuk memerangi mereka yang enggan membayar zakat walaupun mereka itu mengaku dengan dua kalimah Syahadah dan mendirikan solat.

Demikian juga para Salafus Soleh telah ijmak bahawa Musailamah al-Kazzab dan mereka yang mengikutnya adalah kafir dan halal darah walaupun mereka itu masih mengaku dengan dua kalimah syahadah dan mempercayai Muhammad bin Abdullah adalah Rasul (utusan) Allah.

Allah Taala berfirman:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ فَمِنْهُم مَّنْ هَدَى اللّهُ وَمِنْهُم مَّنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ

Maksudnya: “dan Kami telah mengutuskan kepada setiap umat seorang Rasul supaya menyeru mereka: Hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan jauhilah taghut; maka ada antara mereka yang diberi hidayah oleh Allah dan ada antara mereka yang telah ditetapkan padanya kesesatan”. [al-Nahl: 36]

Mereka yang mensyirikkan Allah Taala dan mendekati taghut jelas merupakan golongan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala mereka itu berada dalam kesesatan dan kekufuran maka:

أَفَنَجْعَلُ الْمُسْلِمِينَ كَالْمُجْرِمِينَ

Maksudnya: “Apakah patut Kami samakan mereka yang menyerah diri (beriman) dengan mereka yang melakukan dosa (kufur)?!” [al-Qalam: 35].

Ketiga: Mereka yang mengkafirkan orang-orang yang beriman kerana bencikan keimanan mereka dan tauhid mereka kepada Allah Taala. Maka mereka ini adalah sebenarnya yang kufur dan musyrik; firman Allah Taala:

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ

Maksudnya: “mereka yang menyiksa kaum mukminin dan mukminat kemudian tidak bertaubat maka bagi mereka itu azab Jahannam dan bagi merekalah azab yang membakar”. [al-Buruj: 10].

Mereka yang melakukan tindakan seperti ini tidak ubahnya seperti Abu Jahal dan Abu Lahab yang melemparkan tuduhan sesat, menyeleweng, sabi’, dan lain-lain lagi kepada Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda.

Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Barangsiapa yang memanggil saudaranya: Wahai Kafir! Maka ianya akan terkena pada salah seorang antara mereka”. [al-Bukhari & Muslim].

Keempat: Mereka yang mengkafirkan kaum muslimin yang lain atas dasar hawa nafsu dan tassub kepada mazhab. Perselisihan dalam masalah-masalah Ijtihadiah tidak seharusnya membawa kepada takfir dan tabdi’ kerana boleh jadi dalam suatu masalah nas itu jelas pada satu pihak tetapi tersembunyi pada pihak yang lain.

Telah masyhur dan mutawatir berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan para Sahabat dan Salafus Soleh ridwanullahi ‘alaihim dalam masalah ijtihadi seperti masalah adakah datuk menghalang saudara daripada mendapat warisan atau tidak, adakah menyentuh wanita itu membatalkan wuduk atau tidak, adakah qunut dalam subuh atau tidak.

Tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menyesatkan atau mengkafirkan pihak lawan yang berbeza pendapat dengan mereka bahkan mereka berbeza pendapat dengan penuh hormat dan etika ilmiah.

Maka mereka yang melakukan perkara seperti ini perlulah bertaubat kepada Allah Taala dengan segera kerana apa yang dilakukannya itu adalah kesalahan yang ketara dan kezaliman terhadap saudaranya se-muslim.

Kelima: Mereka yang mengkafirkan kaum muslimin yang lain kerana dosa-dosa yang dilakukan mereka seperti berzina, minum arak, mencuri, membunuh dan lainnya daripada dosa-dosa besar sedangkan mereka ini tidaklah beriktiqad halalnya segala perbuatan ini, namun melakukannya kerana hasutan syaitan dan tolakan nafsu semata-mata.

Maka mereka yang mengkafirkan kaum muslimin atas dasar sebeginilah yang dinamakan sebagai al-Khawarij dan al-Haruriah. Mereka ini adalah sesat dan ahli bidaah serta telah tsabit dalam hadis-hadis yang sahih menghina dan mencela mereka bahkan galakkan untuk memerangi mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إن من ضئضئ هذا أو في عقب هذا قوم يقرؤون القرآن لا يجاوز حناجرهم يمرقون من الدين مروق السهم من الومية يقتلون أهل الإسلام ويدعون أهل الأوثان لئن أنا أدركتهم لأقتلنهم قتل عاد

Maksudnya: “Sesungguhnya daripada keturunan lelaki ini (zul khuwaisirah) akan ada kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka, mereka terkeluar daripada agama seperti mana meluncur keluarnya anak panah dari busurnya, mereka memerangi Ahli Islam dan membiarkan Ahli Berhala, jika aku menemui mereka ini akan aku bunuh mereka sebagaimana dibunuhnya (dimusnahkan) kaum ‘Aad”. [al-Bukhari & Muslim].

Oleh itu, perlu kita nilai terlebih dahulu jika mendengar seseorang menyatakan fulan bin fulan atau fulanah bintu fulan atau kumpulan sekian atau perbuatan demikian atau perkataan sekian adalah kufur, dari jenis yang manakah si penutur ini sebelum kita menuduhnya sebagai Khawarij, Haruri, Terroris, dan sebagainya.

Kedudukan Seseorang Selepas Mengucap:

Perlu juga kita ketahui bahawa seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah, seorang muslim, bukanlah bermakna dia kekal muslim begitu sahaja kerana syahadah itu ada rukun dan syarat-syaratnya demikian juga ada padanya pembatal-pembatal syahadah.

Jika seseorang itu mengucap dua kalimah Syahadah kemudian dia tidak melaksanakan tuntutan dan syarat-syarat kalimah itu atau melakukan perkara-perkara yang membatalkannya maka seperti rukun-rukun Islam yang lain seperti solat, puasa, zakat, dan haji; syahadah ini akan batal dan pelakunya dihukum kafir setelah iman –nauzubillah min zalik-.

Dalilnya adalah firman Allah Taala:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ (65) لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ (66)

Maksudnya: “Jika kamu bertanya kepada mereka maka pasti mereka akan berkata: Sesungguhnya kami hanyalah bergurau dan bermain-main sahaja; katakanlah: Adakah dengan Allah, ayat-ayatNya, dan RasulNya kamu berolok-olok?. Janganlah kamu meminta uzur lagi kerana kamu telah kafir selepas iman kamu, jika Kami mengampunkan sebahagian daripada kamu maka Kami akan azab juga sebahagian yang lain kerana mereka itu orang-orang yang berdosa”. [al-Taubah: 65-66].

Firman Allah Taala:

مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang kufur dengan Allah setelah imannya melainkan orang yang dipaksa sedangkan hatinya tenang dengan iman tetapi mereka yang lapang dadanya dengan kekufuran (setelah iman) maka atas mereka itulah kemurkaan Allah dan bagi mereka azab yang sangat dahsyat”. [al-Nahl: 106].

Kedua-dua ayat ini jelas menerangkan kepada kita bahawa seorang yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah boleh menjadi kufur semula jika dia melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan tuntutan syahadah itu.

Ulama Islam juga telah ijmak dari timur ke barat bahawa seseorang muslim yang melakukan perkara-perkara yang dihukum syirik atau kufur maka dia boleh terkeluar daripada Islam dan semua mazhab imam-imam yang muktabar tidak sunyi kitab mereka daripada Bab Riddah (Hukuman Orang yang murtad).

Allah Taala berfirman:

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: “dan barangsiapa yang berpaling tadah daripada agamanya (Islam) lalu dia mati dalam keadaan kafir maka mereka itulah yang gugur segala amalan mereka di dunia dan akhirat dan mereka itulah penghuni neraka yang kekal di dalamnya”. [al-Baqarah: 217].

Maka, jelas sekali bahawa tidaklah semua orang yang mengkafirkan seseorang muslim atau suatu kelompok muslim itu adalah Khawarij dan Haruriah kerana memang ada golongan yang berhak dihukum kafir setelah Imannya-nauzubillah min zalik-.

Takfir Mutlak dan Mu’ayyan:

Perkara yang seterusnya perlu difahami dalam masalah takfir ini adalah; menghukum sesuatu perbuatan atau perkataan sebagai kufur atau syirik bahkan bidaah dan maksiat juga tidaklah bermakna serta merta menghukum pelakunya sebagai kafir dan murtad, atau ahli maksiat atau mubtadi’.

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h:

فإن نصوص الوعيد، التي في الكتاب والسنة، ونصوص الأئمة بالتكفير، والتفسيق ونحو ذلك لا يستلزم ثبوت موجبها في حق المعين، إلا إذا وجدت الشروط وانتفت الموانع، لا فرق في ذلك بين الأصول، والفروع

Maksudnya: “Maka sesungguhnya nas-nas ancaman yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah, dan nas-nas para Imam dalam takfir dan tafsiq (menghukum fasiq) dan seumpamanya tidaklah melazimkan tsabit pada individu tertentu melainkan terdapat syarat-syaratnya dan ternafi segala halangan-halangannya, tiada beza dalam perkara ini sama ada dalam sola usul ataupun furuk”. [Majmuk Fatawa, jil 10, m.s 372].

Kata beliau lagi:

وحقيقة الأمر في ذلك : أن القول قد يكون كفراً، فيطلق القول بتكفير صاحبه، ويقال من قال كذا فهو كافر، لكن الشخص المعين الذي قاله لا يحكم بكفره، حتى تقوم عليه الحجة التي يكفر تاركها

Maksudnya: “dan hakikat perkara ini: bahawa sesuatu ucapan itu boleh jadi ianya kufur maka diitlakkan hukum kafir kepada pengucapnya maka dikatakan: Sesiap yang berkata demikian maka dia kafir. Tetapi individu tertentu yang menyebutnya tidaklah dihukum kafir sehingga tegak atasnya hujah yang menyebabkan kafirnya orang yang meninggalkannya”. [Majmuk Fatawa, jil 23, m.s 345].

Syeikh Sulaiman bin Suhaim r.h dalam radd beliau atas fitnah yang dilemparkan kepada dakwah Salafiah yang digelar Wahhabi berkata:

الوهابية لا يكفرون إلا من كفره الله ورسوله، وقامت عليه الحجة التي يكفر تاركها

Maksudnya: “al-Wahhabiah tidaklah mengkafirkan sesiapa kecuali mereka yang telah dikafirkan oleh Allah dan RasulNya dan telah tegak atasnya hujah yang menjadikan orang yang berpaling daripadanya kafir”. [al-Dhiya’ al-Shariq, m.s 653].

Berkata Syeikhul Islam Muhammad bin Abdul Wahab r.h:

وأما التكفير : فأنا أكفر من عرف دين الرسول، ثم بعد ما عرفه سبه، ونهى الناس عنه، وعادى من فعله، فهذا : هو الذي أكفر، وأكثر الأمة ولله الحمد ليسوا كذلك

Maksudnya: “adapun berkenaan takfir: maka aku mengkafirkan orang yang telah mengenal agama Rasul, kemudian selepas itu dia mencelanya dan melarang manusia daripadanya, memusuhi mereka yang melaksanakannya, maka inilah orang yang aku kafirkan dan kebanyakan umat bukan lah demikian, segala puji bagi Allah”. [al-Durar al-Saniah, jil 1, ms 73].

Berkata Syeikh Abdul Latif Alu Syeikh r.h berkenaan akidah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab r.h:

وانه لا يكفر إلا بما أجمع المسلمون على تكفير فاعله، من الشرك الأكبر والكفر بآيات الله ورسله أو بشيء منها بعد قيام الحجة وبلوغها المعتبر

Maksudnya: “dan sesungguhnya beliau (Muhammad bin Abdul Wahab) tidak mengkafirkan kecuali dengan apa yang telah disepakati oleh kaum muslimin untuk mengkafirkan pelakunya daripada syirik akbar dan kufur dengan ayat-ayat Allah dan Rasul-rasulNya atau sesuatu daripadanya setelah tegak dan sampainya hujah yang muktabar”. [al-Durar al-Saniah].

Maka jelas dalam pernyataan-pernyataan ini, Ahlus Sunnah wal Jamaah tidaklah mengkafirkan seseorang muslim melainkan dengan nas-nas yang jelas bahawa perbuatan itu atau ucapan itu kufur dan setelah pelakunya itu dipastikan menepati syarat-syarat takfir dan ternafi daripadanya halangan-halangan yang menghalangnya dihukum kafir.

Syarat-Syarat Takfir:

Syarat-syarat Takfir itu adalah dia melakukan perkara kufur itu dengan sengaja dan tahu ianya adalah kufur.

Halangan-halangan yang perlu dipastikan seseorang itu tiada akannya sewaktu dia melafazkan kalimah kufur atau melakukan perbuatan kufur adalah: Takwil yang ada padanya wajah dalam bahasa, Terlepas cakap, terpaksa dan terancam dengan paksaan dan ancaman yang memudaratkan nyawa, dan jahil dengan syarat dia tidak cuai dalam mencari ilmu dan tidak pula berpaling daripada kebenaran apabila ianya datang.

Disyaratkan juga orang yang jahil itu dalam perkara yang bukan dimaklumi secara darurat dalam agama seperti solat lima waktu jika seseorang mengatakan ianya tidak wajib dengan alasan jahil sedangkan dia tinggal dalam negara Islam, lahir sebagai muslim maka tidak ada uzur baginya bahkan dihukum kafir serta merta.

Masalah ini telah kami terangkan dalam dua artikel sebelum ini yang boleh dirujuk di:

Pertama: https://mashoori.wordpress.com/2008/12/28/urusan-tauhidtiada-uzur-padanya/

Kedua: https://mashoori.wordpress.com/2008/12/28/fatwa-syeikh-soleh-al-fauzan-hafizahullah-berkenaan-uzur-kerana-jahil/

Antara dalil yang menunjukkan tidak semua mereka yang melakukan perkara kufur dihukum kafir adalah hadis yang dikeluarkan dalam Sahihain seorang lelaki yang hendak mati berkata kepada ahlinya: “Jika aku telah mati maka bakar mayat ku dan tebarkannya ke dalam laut kerana jika Allah berjaya mendapatkan aku Dia pasti akan mengazabku dengan azab yang tidak pernah Dia azabkan sesiapa pun sebelumku”. Kemudian apabila dia telah mati, keluarganya melakukan hal yang sedemikian dan Allah maha berkuasa menghidupkannya semula di barzakh lalu Allah bertanya kenapa dia melakukan perkara itu, maka dia menjawab: Kerana takut padaMu. Allah kemudiannya mengampunkannya.

Allah mengampunkan lelaki ini walaupun dia sebenarnya syak pada kekuasaan Allah dan ianya kufur dengan sepakat kaum muslimin namun kerana dia melakukannya atas dasar ketakutannya yang amat sangat pada Allah, dan kejahilannya maka Allah mengampunkannya.

Demikian juga hadis seorang lelaki yang kehilangan unta di padang pasir bersama bekalannya, dalam keadaan dia pasti dia akan mati kelaparan tiba-tiba untanya ditemui kembali, oleh kerana kegembiraan yang teramat sangat dia tergelincir lisan menyebut: Ya Allah, Engkaulah hambaku dan Akulah TuhanMu.

Imam-imam Dakwah dan Takfir:

Atas dasar ini, apabila kita menemui kalam Ulama Dakwah yang menyebut perbuatan si fulan adalah syirik, perkataan sedemikian kufur dan seumpamanya bukanlah bermaksud sama sekali secara automatis mereka mengkafirkan setiap muslim yang melakukan perbuatan itu atau mengucapkan ucapan tersebut.

Kata Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab r.h:

لا نكفر من عبد الصنم، الذي على عبد القادر ؛ والصنم الذي على قبر أحمد البدوي، وأمثالهما، لأجل جهلهم، وعدم من ينبههم

Maksudnya: “Kami tidak mengkafirkan mereka yang menyembah berhala yang berada di atas (kubur) Abdul Qadir dan berhala di atas kubur Ahmad Badwi dan seumpama keduanya kerana kejahilan mereka dan tiada orang yang memberi peringatan kepada mereka”. [Al-Durar al-Saniah, 1/104].

Namun, perlu diingat juga, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab r.h dan para Ulama Dakwah tidak akan teragak-agak untuk mengkafirkan mereka yang telah jelas kekufurannya dan terlaksana padanya syarat-syarat takfir.

Oleh itu, telah warid beberapa orang yang Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab menghukum mereka kafir dan memerangi mereka seperti Syamsan, Taj, Ibn Suhaim, dan beberapa lagi para penyeru syirik dan Ahli Sihir.

Bahkan dalam sejarah Islam sebelum dakwah Syeikhul Islam Muhammad lagi telah tercatat beberapa tokoh yang dianggap Ulama oleh sebahagian orang awam kemudian jelas hal mereka kepada Ulama Umat lalu difatwakan kekafiran mereka dan dihukum mati seperti al-Hallaj.

Ahli Sunnah vs Khawarij serta Murjiah:

Maka, selain kita perlu berhati-hati terhadap sebahagian golongan yang bersikap ghuluw dalam menjatuhkan hukum kufur kepada muslim seperti Khawarij dan Haruriah kita juga perlu menjauhi dengan dakyah sekumpulan lagi manusia yang bertasamuh dan bertoleransi dalam semua urusan sehingga tiada lagi manusia bernama kufur di ‘alam ini.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h:

“Bertentangan dengan golongan yang mengkafirkan secara batil ini terdapat pula kaum yang tidak mengenal akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagaimana yang sepatutnya, atau mereka mengetahui sebahagiannya tetapi jahil akan sebahagian yang lain dan apa yang mereka tahu itu boleh jadi mereka sembunyikannya dan tidak mendedahkannya kepada orang lain dan mereka tidak mencegah daripada bidaah-bidaah yang menyelisihi al-Kitab dan al-Sunnah serta tidak mencela Ahli Bidaah dan menghukum mereka, bahkan boleh jadi mereka mencela dakwah kepada Sunnah dan Usuluddin secara mutlak serta tidak membezakan antara apa yang dinyatakan oleh al-Quran, al-Sunnah, dan Ijmak dengan apa direka oleh Ahli Bidaah dan Firqah, atau pun mereka ini membenarkan semua pihak dengan mazhab-mazhab mereka yang pelbagai seumpama para Ulama membenarkan perbezaan dalam perkara-perkara ijtihad yang ada padanya ruang berbeza pendapat. Jalan ini merupakan yang biasanya banyak terdapat pada kebanyakan Murjiah, sebahagian Fuqaha’, Ahli Tasawuf, dan Ahli Falsafah…” [Majmuk Fatawa, jil 12, m.s 467, Risalah al-Kailaniah][1].

Ketahuilah, Ahlus Sunnah wal Jamaah itu adalah kaum pertengahan dalam  setiap isu umat termasuklah dalam isu Takfir ini, mereka itu umpama susu yang mengalir di antara najis darah Khawarij yang mengkafirkan secara semberono dan najis tinja Murjiah yang langsung tidak mahu mengkafirkan.

Tabdi’ Mengambil Kaedah Takfir:

Segala apa yang kami terangkan berkaitan takfir ini berlaku juga dalam isu Tabdi’ (membidaahkan), Tadhlil (menyesatkan), dan Tafsiq (memfasiqkan), semuanya berkongsi kaedah yang sama dan pendirian manusia berkenaannya juga sama dengan isu Takfir ini, ada yang melampau dalam membidaahkan orang dan ada juga yang cuai sehingga tidak mahu membidaahkan sesiapa walaupun jelas si fulan itu seorang penyeru kepada bidaah.

Ulama Salafus Soleh sebagaimana tidak teragak-agak menghukum kafir mereka yang murtad-nauzubi wajhillahi min zalik- mereka juga tidak teragak-agak menghukum bidaah individu tertentu yang telah tsabit pada haknya hukum-hakam bidaah.

Demikian juga para Ulama Salaf apabila menghukum sesuatu perbuatan dan perkataan sebagai bidaah tidak bermakna mereka secara langsung menghukum semua pelakunya sebagai mubtadi’ dan sesat bahkan perlulah dipastikan dahulu syarat-syarat yang kami sebutkan dalam masalah takfir ini terlaksana pada individu tersebut.

Kegagalan memahami masalah ini selari dengan Manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah menjadikan sebahagian mereka yang  menyandarkan diri pada Dakwah berada dalam keadaan kehairanan berhadapan dengan fatwa-fatwa Ulama berkenaan Tabdi’ dan Takfir sehingga mereka takut untuk mengatakan Akidah al-Asyairah yang terang-terang menyalahi akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagai bidaah.

Mudah-mudahan artikel ringkas ini diberikan qabul oleh Allah Taala dan menjadi pembuka minda kepada mereka yang berada dalam kekeliruan. Wallahu Waliyyu al-Taufiq wal Hidayah.


[1] Bandingkan dengan apa yang diucapkan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah ini dengan keadaan pengekor Hizbiah dan Ikhwaniah di masa kita ini maka engkau akan dapati ianya tepat 100 %-hadanallahu wa iyyahum-.

Tinggalkan komen